Terkini...




0

Kenyataan Media


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

5 Jun 2015 bersamaan 18 Syaaban 1436 H
IKRAM Ucap Tahniah Kepada Saf Pimpinan Baru PAS

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan tahniah kepada saf pimpinan yang terpilih untuk memimpin Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama’ dan Jawatankuasa PAS Pusat.
IKRAM mendoakan agar PAS terus maju dalam mengorak langkah bersama seluruh rakyat Malaysia membina negara yang diredhai Allah subhanahu wa ta’ala.
IKRAM mengharapkan agar PAS terus bergerak untuk mengukuhkan sistem demokrasi dwiparti di Malaysia.

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia Media

Sumber : www.ikram.org.my
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
30 Jun 2010 / 17 Rejab 1431

PERBEZAAN PENDAPAT HARUS DITANGANI SECARA ILMIAH BUKAN DENGAN MELABEL

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini mengenai kaitan di antara apa yang dilabel sebagai fahaman Wahabi dengan kumpulan pengganas serta yang mengaitkan pula beberapa tokoh dan NGO Islam dengannya. Sebagai sebuah organisasi Islam, IKRAM berpegang kepada jalan damai dalam mencapai matlamat dan visi Islam serta melakukan aktiviti mengikut lunas undang-undang yang sah.

IKRAM menganggap perbezaan pandangan dengan kumpulan fahaman Wahabi perlu ditangani menurut adab dan akhlak berbeza pendapat dalam Islam. Perbezaan pendapat harus ditangani dengan bijaksana melalui diskusi dan wacana ilmiah, sebaik-baiknya secara tertutup, dan bukan dengan perantaraan media. Usaha untuk mengaitkan perbezaan pendapat dengan memberi label adalah sesuatu yang tidak sihat, apatah lagi mengaitkan perbezaan ini dengan keganasan. Sebarang dakwaan yang dibuat perlu disokong dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan bukti itu dinilai, yang terdakwa mengemukakan hujah balas dan dengan itu penganiayaan dan kezaliman terhindar.

Aktiviti keganasan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana aliran, kerana yang terlibat terdiri daripada pengikut pelbagai aliran. Mereka lahir daripada salah-faham terhadap Islam dan perjuangannya. IKRAM menyarankan pihak polis bertindak secara profesional, tidak memihak dan adil agar kepentingan negara dan setiap orang rakyatnya terjaga.

Umat perlu kembali kepada prinsip perbezaan pendapat, sesuatu yang mengkayakan kita, selagi kita mengamalkannya dengan baik. Semua pihak hendaklah bergerak kehadapan membina negara Malaysia yang harmoni, maju dan makmur serta saling bekerjasama membangun kehidupan masyarakat agar sejahtera dan maju.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
30 Jun 2010 / 17 Rejab 1431

IKRAM BERSEDIA MENYUMBANG BAGI MEMBANGUNKAN SISTEM PENTAKSIRAN PELAJAR YANG LEBIH MENYELURUH

IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang menaungi rangkaian 34 buah sekolah-sekolah menengah dan rendah yang mengambil pendekatan pendidikan secara holistik, bersepadu dan berteraskan aqidah Islam. Sekolah-sekolah ini telah beroperasi sejak tahun 1985 dan pada tahun 2000 disejajarkan di bawah Pusat Pendidikan SRI SMI Berhad (MUSLEH). MUSLEH kini bergabung dengan/di bawah IKRAM menjadikan IKRAM kini menaungi lebih 14,000 orang murid, 1,100 orang pendidik dan 20,000 orang ibubapa di seluruh negara.

2. Matlamat Pendidikan IKRAM, adalah untuk “memperkasa pendidikan Islam ke arah menjana generasi rabbani (yang diredhai Allah)”.

3. MUSLEH telah membina satu sistem pentaksiran yang holistik dan bersepadu bagi menilai dan meningkatkan pencapaian prestasi pelajar secara berterusan di sekolah secara lebih menyeluruh dan seimbang. Sistem tersebut dinamakan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM).

4. IKRAM mengambil maklum akan cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR dan mengalu-alukan hasrat Kementerian untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

5. IKRAM bersetuju agar semua bentuk penilaian dan pengukuran pencapaian pelajar, sama ada di peringkat pusat mahupun penilaian berasaskan sekolah, termasuk UPSR, PMR dan SPM hendaklah dikaji semula dan diubahsuai, agar semuanya menuju ke arah pencapaian hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

6. IKRAM ingin menyarankan agar:

1.Kementerian Pendidikan kembali meneliti dan bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat murni Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ke arah:
“Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

2.Sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran sedia ada hendaklah dilakukan hanya setelah kajian terperinci dilakukan. Pengalaman yang lalu di mana perubahan-perubahan yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tanpa kajian terperinci telah membawa kesan yang amat buruk kepada sistem pendidikan negara.

3.Segala keperluan asas dan infrastruktur hendaklah disiapkan dengan sempurna sebelum sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran dilakukan.

7. IKRAM bersedia bekerjasama dengan pihak KPM khususnya pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk menggubal satu sistem pentaksiran kebangsaan yang boleh digunapakai untuk mencapai hasrat murni ke arah melahirkan insan seimbang dan harmonis (JERI) seperti yang termaktub dalam FPK.

8. IKRAM bersedia untuk:

1.menjelaskan kepada pihak KPM, khususnya pihak LPM mengenai konsep, falsafah, instrumen dan prosedur SPPM dan membuat kajian untuk mencari suatu mekanisme perlaksanaan yang lebih meluas di sekolah-sekolah kerajaan.
2.menjalankan penyelidikan lebih mendalam setelah mendapat maklumbalas daripada perbincangan dengan LPM untuk memurnikan lagi SPPM, agar ia dapat disesuaikan dengan hasrat dan kehendak KPM untuk perlaksanaan pada skala yang lebih besar di seluruh negara.
9. IKRAM percaya jika konsep di atas diterima, maka segala bentuk latihan kepengetuaan dan perguruan, kursus dalam perkhidmatan dan usaha memberi kesedaran awam perlulah dilaksanakan. Dalam hal ini, IKRAM bersedia untuk menyumbang tenaga kepakaran.

10. Akhirnya, IKRAM berharap agar isu pendidikan tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak dan negara.

Moga-moga Allah swt memberkati dan meredhai segala usaha kita demi kemaslahatan negara dan ummah.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
20 Jun 2010 / 7 Rejab 1431

PELANCARAN PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)

Hari ini kita menyaksikan pelancaran satu pertubuhan bukan kerajaan yang baru didaftarkan pada 22 Oktober 2009. Setakat ini IKRAM mempunyai enam puluh sembilan (69) cawangan daerah dan empat belas (14) cawangan negeri. Ahlinya sudah menjangkau tiga ribu lima ratus (3500) orang.

2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan yang berusaha untuk menegakkan Islam di Malaysia. Perlembagaan IKRAM menyebut matlamatnya seperti berikut:

1.Menyebarkan risalah Islam melalui dakwah, serta mempertahankannya daripada kebatilan dan syubahat;

2.Mengumpulkan hati dan jiwa individu Muslim di atas dasar Islam dan membina akhlak yang mulia;

3.Meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam;

4.Memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial serta membenteras kejahilan, kemiskinan, keruntuhan moral dan menggalakkan kerja kebajikan, tanpa mengira bangsa dan agama;

5.Memperjuangkan hak umat Islam dan berusaha meningkatkan kesatuan dan perpaduan di kalangan mereka;

6.Menegakkan syariat Islam secara praktikal;

7.Mengadakan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam;

8.Bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif yang selari bagi memajukan kepentingan Islam, umat Islam dan masyarakat.

3. IKRAM menyatukan di dalam satu organisasi, kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli di bawah berbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan tadbir urus baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguhkan.

4. IKRAM akan bergerak sebagai organisasi massa dan memilih pendekatan aman dalam mencapai matlamatnya. IKRAM memberi keutamaan kepada pendekatan mendidik dan yakin perubahan masyarakat bermula dengan perubahan diri dari sudut ilmu, kepercayaan (aqidah) dan amal (akhlak). Oleh itu tarbiah dan pembangunan insan mencirikan IKRAM dan menjadi sumbangan utamanya kepada masyarakat.

5. IKRAM akan bersama-sama dengan badan-badan Islam lain untuk memperjuangkan kepentingan Islam dan umat Islam serta bersama-sama dengan seluruh warga masyarakat madani dalam memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan masyarakat.

Semoga dengan tertubuhnya IKRAM usaha dakwah ke arah Islam dan perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia akan bertambah semarak, insya-Allah.

Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top