Terkini...




0

Perpecahan Ummah Dan Rawatannya


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Kelemahan yang paling besar yang sentiasa menjejaskan kekuatan Islam adalah perpecahan di kalangan umat Islam.

Perpecahan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti :

PERTAMA : FAKTOR DALAMAN

Kebanyakan faktor ini disebabkan oleh kaum munafik dan sebahagiannya pula disebabkan oleh kaum yang fasik.

KEDUA : FAKTOR LUARAN

Faktor ini disebabkan oleh oleh orang-orang kafir samada dari kalangan musyrikin atau  ahlul kitab.
Musuh-musuh Islam adalah mereka yang menentang Islam samada dari dalam atau dari luar Islam.

Mereka pada hakikatnya diciptakan oleh Allah mengikut fitrah dan mengikut sunatullah yang Allah telah tentukan, namun demikian mereka telah melanggar janji dengan tidak mengakui fitrah yang ada pada dirinya dan juga tidak mengamalkan janjinya kepada Allah ketika menyatakan Allah sebagai Rabb di masa manusia di dalam rahim ibunya.

Perpecahan di sebabkan juga oleh kerana orang-orang fasik iaitu orang-orang yang mencabuli perjanjian Allah sesudah di perteguhkannya dan memutuskan perkara yang di suruh Allah supaya di hubungkan dan mereka pula membuat kerusakan dan bencana di muka bumi.

"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja , (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmahnya), iaitu kalau yang orang-orang beriman maka mereka akan mengetahui bahwa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata : "Apakah maksud Allah membuat perbandingan ini ?" (jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik; (iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi." (QS Al Baqarah : 26 – 27)

PUNCA BERLAKUNYA PERPECAHAN

Punca berlakunya perpecahan kebiasaannya dimulai oleh keengkaran dan kerusakan yang dilakukan oleh manusia yang dianggap sebagai penolakan kepada hukum dan nilai-nilai Allah yang juga adalah satu bentuk pelanggaran perjanjian dengan Allah swt.

Manusia secara umumnya pun boleh dikatakan melanggar janji dengan Allah jika ia  tidak mengikuti fitrah dan kecenderungan dirinya sebagai manusia yang Allah ciptakan.

Selain itu, bagi seorang muslim yang sudah berjanji yakni telah mengucapkan syahadah dengan sikap menjadikan Allah sebagai Tuhan dan juga menjadikan Muhammad saw sebagai rasul tetapi kemudian tidak menepatinya misalnya :

a.       Tidak mengikuti arahan.
b.       Tidak mengerjakan ibadah.
c.        Tidak beramal soleh.

Maka, ini boleh dianggap sebagai tanda munculnya pelanggaran.

Seorang muslim sudah semestinya menepati janji untuk menjadikan Allah sebagai satu-satunya Tuhan dan tidak menjadikan sembahan lain seperti hawa nafsu dan dunia sebagai tuhan sembahan dan ikutan.

Begitu juga perjanjian bahwa menjadikan Muhammad saw sebagai Rasul dan contoh tauladan mestilah diamalkan dengan meninggalkan segala contoh tauladan yang lain selain nabi.

Pelanggaran ini juga merupakan salah satu bentuk tidak menepati janji syahadahnya.

PELANGGARAN MENGUNDANG LAKNAT ALLAH

Melanggar perjanjian akan mendapat laknat Allah swt sehingga Allah swt tidak memberikan keberkatan dan rahmahnya.

"Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak belaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka bersedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya." (QS Al Maaidah : 13)

Manusia yang dilaknat oleh Allah bererti ia mendapatkan kemurkaan Allah di mana hidupnya :

1. Akan menjadi susah.
2. Tidak tenang.
3. Tidak bahagia.
4. Tidak mendapat rahmah Allah.
5. Tidak mendapat keberkatan dari Allah.

Akibat mendapat laknat Allah itu, hatinya akan menjadi keras dan dia dengan mudah sahaja akan menjadi marah, gelisah, susah hati dan tidak tenang.

Keadaan jiwa yang sedemikian mungkin akan menyebabkan hatinya rosak dan bahkan akan mengalami ganguan jiwa.

Selain itu, manusia yang mendapat laknat Allah juga mengakibatkan tingkah lakunya mengikuti hawa nafsu dan akhirnya jatuh kepada sikap mempermainkan minhaj Islam yang tergambar dalam dua bentuk :

a. Islam dipermainkan kerana kecenderungan itu berdasarkan hawa nafsu yang tidak mempunyai prinsip dan kedudukan yang jelas.
b. Islam dilaksanakan sebahagian dan ditinggalkan sebahagian, dengan bentuk pemikiran yang menggugat Islam dalam berbagai pandangan dan cara berfikirnya.

Mereka yang melanggar janji ini akan sampai kepada melupakan minhaj dan konsep Islam yang mungkin di ketahuinya atau yang sudah di fahaminya.

Melupakan konsep secara sengaja atau mungkin tidak sengaja sebagai akibat maksiat yang tumbuh di dalam dirinya akan menjejaskan ingatan dan kecenderungannya yang positif.

Akhirnya mereka berkhianat dan melakukan tindakan dan tingkah laku yang menentang Islam dan tingkah laku yang menyesatkan.

Allah swt berfirman mengenai bahaya gangguan syaitan yang mempengaruhi manusia sehingga menjadi sesat jalan.

Khianat adalah orang yang tidak menunaikan amanah yang Allah berikan atau yang manusia berikan.

Keadaan khianat menunjukkan peribadi yang tidak bertanggungjawab, sehingga khianat ini akan dimusuhi oleh ramai orang dan juga di murkai oleh Allah swt.

Dengan sifat khianat ini, akan tumbuh sifat kebencian antara satu dengan yang lain dan saling bermusuhan.

Peribadi yang tidak bertanggungjawab dan yang berkhianat kepada manusia akan menyebabkan perkara-perkara berikut :

a. Allah swt akan membuktikan kerosakan yang dilakukannya.
b. Manusia akan saling benci membenci.
c. Permusuhan akan berlaku.
d. Tindakan dan tingkah lakunya berdasarkan kemahuan sendiri dengan tidak mengambil pandangan dan kepentingan masyarakat atau orang lain.
e. Akhirnya berlakulah perpecahan di kalangan manusia.

PROSES RAWATAN

PERTAMA : MENEPATI JANJI

Oleh kerana sebab utama kepada perpecahan adalah tidak menepati janji, maka cara penyelesaian atau ubatnya adalah "MENEPATI JANJI."

Proses rawatannya boleh dimulai dengan menepati perjanjian dalam dua sudut :

1.  Perjanjian sebagai manusia muslim dan beriman.
2. Perjanjian sebagai manusia dalam mengikuti fitrah dan pengakuan terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah.

Maka, apabila janjinya dengan Allah ditepati, ia juga akan menepati janjinya kepada manusia dalam hubungannya sesama manusia.

Usaha menepati janjinya kepada Allah swt akan menyebabkan ia memperolehi rahmat (kasih sayang) dari Allah swt.

Allah mencintai manusia yang jujur dan bersikap benar kerana mengakui keadaan dirinya dan komitmen kepada apa yang sudah disepakati sehingga mengamalkanya didalam kehidupannya.

Rasa berterima kasih dan bersyukur kepada Allah :

a. Merupakan sikap orang yang menerima kewujudan Allah.
b. Menggambarkan sikap manusia yang menepati janji.

Mereka tentunya akan mendapatkan kasih sayang sebagai balasan atas komitmen dan usaha untuk menepati janji.

Muslim yang sentiasa menepati janji dan mendapatkan rahmah dari Allah swt akan menjadikan hatinya :

1. Halus.
2. Tidak kasar.
3. Tidak keras.
4. Tidak memberontak.

Manusia yang mendapatkan rahmah dari Allah akan menjadikan dirinya :

a. Tenang.
b. Halus pekertinya.
c. Baik budi bahasanya.
d. Tidak pemarah.
e. Tenang.

Hasil rahmah yang menenangkan hati ini akan menjadikan seseorang individu itu memberikan sepenuh komitmennya dengan minhajnya.

Sikap komitmen dengan minhaj Islam adalah ciri mereka yang menepati janji terhadap manusia atau Allah swt akan sentiasa mengikuti minhaj yang dijadikan panduan dan yang diterimanya.

Dengan yang demikian mereka pun sentiasa merujuk kepada peraturan, bimbingan, arahan dan kesepakatan yang dibuat oleh kita bersama manusia ataupun kepada Allah yang sebelum kita dilahirkan berjanji kepada Allah.

KEDUA : BERSIKAP AMANAH

Sikap amanah akan muncul pada peribadi yang menepati janji. Dengan amanah ini, manusia yang berhubungan dengannya dan membuat perjanjian dengannya akan merasakan kepuasan.

Sedangkan amanah kepada tanggungjawab yang Allah berikan kepada manusia untuk menjadi khalifah akan dapat dilaksanakan dengan cara yang baik melalui dua peranan :

1. Peranan yang membangun (al imarah).
2. Peranan memelihara (ar ri'ayah).

Sifat amanah akan :

a. Menumbuhkan saling kasih sayang antara manusia.
b. Menjalin hubungan yang mendarah daging.
Dengan sifat amanah itulah kemudiannya akan menimbulkan kesatuan.

KETIGA : MEMELIHARA UKHUWAH

Dr Yusof Al Qardhawi berkata bahwa di antara buah dari ukhuwah adalah "Al Wahdah" (bersatu) dan ianya adalah  berlawanan dengan perkataan "Al Firqah" yang bererti berpecah belah.

Masyarakat Islam yang bersaudara adalah masyarakat yang mempunyai kesatuan dalam masalah aqidah, ibadah, akhlak, arah pemikiran, perasaan, perilaku dan tata cara kehidupan, tradisi sosial, nilai-nilai kemanusiaan dan dasar-dasar hukumnya.

Masyarakat Islam itu juga memiliki kesatuan dalam sasarannya iaitu yang menghubungkan :

1. Bumi dengan langit.
2. Dunia dan akhirat.
3. Makhluk dengan Khaliqnya.

Selain itu, ia juga sama dalam asas-asas manhajnya, iaitu yang menggabungkan antara :

a. Idealisma dan realiti.
b. 'Tsabat' (yang tetap) dengan 'tathawwur' (fleksibel).
c. Berpegang pada warisan khazanahnya dengan daya kreativiti dan kemodenan.

Masyarakat Islam itu juga satu dalam rujukan dan sumber hukumnya sekaligus sebagai sumber hidayah, itulah Al Qur'an Al Karim dan Sunnah Al Muthahharah (yang suci) dan satu dalam idolanya iaitu Rasulullah saw sebagai conroh tauladan.

Mereka adalah masyarakat yang :

1. Beriman kepada Rabb yang satu.
2. Beriman kepada Kitab yang satu.
3. Beriman kepada Rasul yang satu.
4. Menghadap kiblat yang satu.
5. Melaksanakan ibadah yang satu.
6. Berhakim dalam memutuskan segala persoalan pada syari'at yang satu.
7. Wala' (kesetiaannya) pun adalah wala' yang satu iaitu wala' kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hanya kerana Allah ia cinta, kerana Allah ia benci, kerana Allah ia mengikat hubungan dan kerana Allah pula ia memutuskan hubungan.

Allah swt berfirman :

"Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka" (QS Al Mujaadilah : 22)

Tidak sepatutnya masyarakat Islam itu berpecah belah seperti masyarakat lain yang dinyalakan oleh :

a. Fanatik golongan.
b. Keturunan.
c. Warna kulit.
d. Tanah air (asal daerah).
e. Bahasa.
f. Kelas sosial.
g. Mazhab.

Ukhuwah Islamiyah berada di atas segala jenis ashabiyah' (fanatisma) apa pun nama dan bentuknya.

Rasulullah saw sangat anti terhadap segala bentuk atau sikap fanatik seperti ini, sebagaimana dalam sabda baginda saw :

"Bukan termasuk umatku orang yang mengajak pada 'ashabiyah', dan bukan termasuk umatku orang yang berperang atas dasar 'ashabiyah', dan bukan termasuk umatku orang yang mati atas dasar 'ashabiyah'." (HR Abu Dawud)

Al Qur'an mengingatkan kita akan bahaya perancangan yang dihembuskan oleh orang-orang bukan Islam yang ingin memecah belah umat Islam dan memporak porandakan persatuan mereka sebagaimana yang pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi terhadap kaum Muslimin dari suku Aus dan Khazraj setelah dipersatukan oleh Allah dalam Islam.

Kemudian Allah swt memperingatkan kepada kita agar jangan bercerai-berai dan berselisih, sebagaimana firmanNya :

"Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka (yang dibawa oleh nabi-nabi mereka). Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat." (QS Ali 'Imran : 105)

Syeikh Mutawalli As Sya'rawi berkata :

"Allah swt melarang daripada mengikut hawa nafsu yang membawa kepada perpecahan sekalipun begitu mereka masih mengikut hawa nafsu yang menghumbankan mereka ke azab neraka".

Syeikh Al-Maraghi pula berkata :

"Janganlah kamu bersikap seperti Ahli Kitab yang telah memecahbelahkan agamanya sehingga mereka berpuak-puak. Setiap puak memiliki fahaman yang bertentangan dengan golongan lain, membela ideologi dan mempropagandakannya kepada orang ramai serta menyalahkan ideologi lain sehingga mereka bersikap memusuhi dan saling berbunuhan.

Sekiranya di kalangan mereka ini ada sekelompok orang yang menyuruh berbuat kebaikan, mencegah melakukan kemungkaran dan berpegang dengan tali Allah serta mempunyai satu tujuan niscaya tidak akan wujud perselisihan dalam urusan agama dan tidak akan berlakunya perpecahan".

Profesor Muhammad Quraish Shihab berkata :

"Ayat ini menyindir mereka yang berkelompok-kelompok seperti Yahudi dan Nasrani. Allah swt melarang orang-orang beriman menyerupai kelakuan mereka dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.
                                              
Ini kerana mereka lebih mementingkan kelompoknya dan terbawa oleh keinginan nafsu atau kedengkian sesama mereka. Ia juga boleh menyebabkan perselisihan yang teruk sampai membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan. Alangkah buruknya kelakuan mereka. Justeru, diperintahkan oleh Allah kepada Nabi untuk membimbing mereka ke jalan yang benar dan sempurna".

Antara ayat yang memerintahkan untuk berpegang teguh pada tali Allah dengan ayat yang melarang bercerai berai dan berselisih disebutkan ayat yang mewajibkan umat untuk berdakwah dan beramar ma'ruf dan nahi munkar seperti berikut :

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung." (QS Ali 'Imran : 104)

Ini menunjukkan bahwa yang mempersatukan umat dan yang mengumpulkan  kepingan-kepingan ukhuwah di antara mereka adalah adanya manhaj yang menjadi pegangan dan rujukan umat.

Itulah :

1. 'Tali Allah' (Islam dan Al Qur'an) dan risalah yang sama yang diperjuangkan dan menjadi pusat perhatiannya.
2. 'Dakwah' ke arah kebajikan, beramar ma ruf dan nahi munkar.

Namun, apabila umat itu kehilangan manhaj dan menjadi malas untuk memperjuangkan risalahnya, maka :

a. Jalan menuju persatuan itu akan tertutup.
b. Mereka akan bercerai berai.

Ada yang ke kanan dan ada yang ke kiri, dan syaitan akan menyeretnya ke timur dan ke barat. Inilah yang diperingatkan oleh Al Qur'an :

"Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu (dapat) mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahlan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa." (QS Al An'am : 153)

Persatuan umat yang diwajibkan oleh Islam bukan bererti mengingkari adanya kepelbagaian dan keberagaman yang disebabkan adanya perbezaan lingkungan, adat istiadat, latar belakang budaya yang beraneka ragam serta pengaruh tingkatan ilmu pengetahuan dan daya inteleknya.

Bahkan ini justeru akan memperkayakan khazanah budaya dalam kerangka persatuan sebagaimana berbagai bakat, kecenderungan (selera), pemikiran dan pengkhususan dalam satu keluarga atau beragamnya bunga-bunga dan buah-buahan di dalam suatu kebun.

"Yang disirami dengan air yang sama. Kami (Allah) melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya." (QS Ar-Ra'du : 4)

Di antara perkara yang penting untuk diperhatikan dalam Islam ini adalah sahnya ijtihad yang berbagai, selama mana ianya masih dalam kerangka kaidah-kaidah pokok dan nash-nash yang qath'ie dan disepakati.

Maka tidak boleh seorang mujtahid mengingkari mujtahid yang lainnya, meskipun ada perbezaan dalam hasilnya kerana tiap-tiap mujtahid itu memiliki arah berbeza yang masing-masing mendapat pahala samada benar atau salah, selama mana ia termasuk ahli berijtihad dengan segala syarat dan kriterianya.

Adapun perbezaan pendapat tidak boleh menjadi penyebab perpecahan atau permusuhan kerana para sahabat dan tabi'in juga berselisih dalam berbagai persoalan dan hal itu tidak membuatkan mereka berpecah belah, bahkan mereka bersikap 'tasamuh' (toleransi) dan saling mendoakan antara satu sama lain.

Di antara yang boleh meringankan 'khilaf' (perselisihan pendapat) adalah adanya keputusan imam atau hakim di mana ianya menjadi keputusan akhir dalam masalah khilafiyah sehingga mampu menghilangkan perselisihan dan pertengkaran dalam sudut pelaksanaan.

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sentiasa menyeru ke arah kesatuan umat yang akan memberi kekuatan kepada jati diri umat Islam. Kurniakanlah kefahaman yang tepat kepada kami sehingga kami mampu menjadi batu bata yang saling mengukuhkan di antara jasad umat Islam di mana masing-masing saling menyempurnakan antara satu dengan yang lainnya sehingga dengan kerjasama antara bahagian tubuh dan saling membantu, seluruh jasad umat ini akan hidup dan  terus berkembang serta mampu berperanan aktif untuk menegakkan kalimahMu di mukabumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top