Terkini...




0

Pemuda Pemikul Risalah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Pemuda-pemuda telah memainkan peranan yang penting dalam kebangkitan Islam dari zaman generasi Al Quran hinggalah kepada zaman mutakhir kerana pada usia muda wujud harapan yang dipenuhi dengan idealisma.
 
Selepas kejatuhan Khilafah Islamiah di Turki, bangkit seorang pemuda bernama Hasan Al Banna pada tahun 1928 ketika umurnya hanya 23 tahun. Beliau berusaha menyedar, membina dan menggerakkan jiwa umat Islam yang telah mati.
 
Kini pemuda-pemuda baru lahir di Tunisia, Libya, Mesir, Jordan, Syria dan pelbagai negara umat Islam menyambung tugasan beliau setelah beliau tinggalkan apabila dipanggil pulang oleh Rabbul Jalil pada 12 Februari 1949.
 
Dalam memikul risalah Islam, pemuda memiliki beberapa potensi sehingga dengan potensi yang dimiliki itu, ianya dapat dikembangkan melalui tarbiyah. Potensi pemuda ini dapat digerakkan hingga mencapai objektif yang dikehendaki.

Kebangkitan pemuda-pemuda hari ini untuk merubah sistem masyarakat, tidak dapat tidak ianya perlu kepada bimbingan ulama'-ulama' dan guru-guru mursyid yang boleh bersama-sama dengan mereka. Justeru itu Dr Yusof Al Qardhawi menasihati pemuda-pemuda Islam dengan beberapa perkara :
 
PERTAMA : HORMATI KEPAKARAN SESEORANG
 
Setiap ilmu ada ahlinya dan setiap kepandaian ada orangnya. Sesungguhnya Al Qur'an dan As Sunnah mengajar kita supaya merujuk kepada pakar dan ahli setiap bidang dalam perkara-perkara yang tidak kita ketahui.

Firman Allah swt :

"Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui." (QS Al Anbiya : 7)

Dalam sirah telah berlaku peristiwa di mana seorang sahabat yang meninggal dunia akibat dari mandi junub dalam keadaan luka. Apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah saw, baginda bersabda :

"Mereka membunuhnya, Allah membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya penawar bagi kelemahan itu ialah bertanya."

KEDUA : AMBIL ILMU DARI ORANG YANG WARA' DAN SEDERHANA

Apabila tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya, maka pemuda perlu mengambil ilmu syar'ie dari ulama'-ulama' yang thiqah, iaitu yang berhimpun pada mereka keluasan ilmu, wara' dan sederhana.

Tidak akan diterima ilmu dari seorang alim selagi ia tidak mengamalkan ilmunya. Inilah yang diistilahkan dengan wara'. Asasnya ialah takut kepada Allah yang merupakan buah ilmu yang benar, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama'." (QS Faatir : 28)

KETIGA : PERMUDAHKAN DAN JANGAN MENYUSAHKAN

Apabila berhadapan dan berurusan dengan orang awam, pemuda-pemuda hendaklah memudahkan dan menghindarkan diri daripada keterlaluan dan keras.
 
Islam menganjurkan seseorang mengambil pendapat yang lebih 'azimah dan selamat dalam masalah-masalah tertentu.
 
Namun, jika meninggalkan rukhsah dalam semua perkara, maka jadilah agama ini hanya himpunan pemdapat-pendapat yang 'azimah yang menggambarkan kesempitan dan kesukaran.
Padahal Allah swt menghendaki kelapangan dan kemudahan bagi hambanya.
Firman Allah swt :

"Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesempitan bagimu."
(QS Al Baqarah  : 185)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa seorang Arab Badwi telah kencing dalam masjid, lantas orang ramai bangun hendak memukulnya, tetapi Nabi saw bersabda:

"Biarkan dia dan tuangkan oleh kamu ke atas kencingnya satu timba air, kerana kamu diutus adalah untuk memudahkan bukan untuk menyukarkan." (HR Bukhari)

Tatkala Muaz memanjangkan bacaan sembahyang bersama umat Islam, Nabi saw bersabda kepadanya :

"Adakah engkau hendak membuat fitnah wahai Muaz? Diulang-ulangnya tiga kali." 

Mengambil 'azimah bagi keseluruhan manusia akan memberatkan mereka dan menimbulkan fitnah tapi bagi amal individu, adalah harus baginya untuk mengambil 'azimah bagi tujuan sempurna dan berhati-hati sebaliknya bagi masyarakat awam tidak harus baginya semata-mata untuk mengelakkan mereka dari lari dari agama Allah.

Saranan Nabi saw dalam hadis yang bermaksud :

"Apabila solat salah seorang kamu bersama orang ramai, maka hendaklah ia meringankannya, kerana di antara mereka itu ada orang lemah, orang sakit dan orang tua, dan apabila salah seorang kamu solat untuk dirinya, maka hendaklah ia memanjangkannya mengikut kemahuannya." (Hadis Muttafaqun 'alaihi)

KEEMPAT : MENYERU MANUSIA DENGAN BIJAKSANA DAN BAIK

Firman Allah swt :

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (QS Ah Nahl : 125)

Pendakwah yang bijaksana akan menyampaikan dakwah kepada orang lain dengan cara yang lemah lembut dan kata-kata yang paling manis dengan tidak mencuaikan sedikitpun isi kandungannya.

Seorang lelaki telah menggesa Khalifah Al Makmum (Abbasiah) supaya melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan menggunakan tutur kata yang kesat dan kasar.
 
Khalifah Al Makmum telah menegur lelaki tersebut :
 
"Wahai saudara, berlemah-lembutlah kerana Allah telah mengutus orang lebih baik dari engkau kepada orang yang lebih buruk dari saya dan Allah menyuruhnya dengan lemah lembut.
 
Allah telah mengutus Musa dan Harun di mana keduanya lebih baik dari engkau kepada Fir'aun yang lebih buruk daripada saya, dan menasihatkan keduanya dengan firmanNya yang bermaksud":

"Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu berdua, kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (QS Thaha : 42-43)

Peranan pemuda dirasakan penting kerana mereka mempunyai beberapa potensi seperti :
 
1.      Membangkitkan 'himmah' di dalam menimbulkan persoalan.
2.      Memindahkan generasi.
3.      Menukar generasi.
4.      Memperbaharui maknawiah umat.
5.      Unsur perubah.
 
Namun, kita perlu membekalkan pemuda agar potensinya berkembang melalui beberapa perkara:
 
a.       Tarbiyah secara fitrah.
b.      Hikmah dan ilmu.
c.       Pembentukan keperibadian kepimpinan dan pengikut.
 
Dengan bekalan-bekalan di atas, maka akan wujudlah pemuda-pemuda yang bergerak.
 
Risalah Islam atau apapun bentuk seruan ke arah perubahan hanya dapat dilaksanakan oleh para pemuda.
 
Sepanjang perjalanan sejarah manusia dari Nabi Adam as hingga kepada Nabi Muhammad saw dan diteruskan hingga ke zaman kini membuktikan bahwa perubahan-perubahan sentiasa dipelopori oleh para pemuda. Pemuda yang berpotensi di masa sekarang ini adalah mereka yang bergelar pelajar atau mahasiswa.
 
Dakwah Islam, sejak zaman Nabi saw lagi ianya dipelopori oleh para pemuda seperti Ali bin Abi Talib, Mushab bin Umair, Usamah bin Zaid dan sebagainya.
 
Pelajar atau mahasiswa merupakan nyawa gerakan pemuda dan masyarakat.
 
Kehadiran pemuda sangat dialu-alukan bagi membawa suatu perubahan dan pembaharuan. Usaha reformasi di segala bidang juga menjadi salah satu seruan pemuda dalam pembentukan masyarakat madani.
 
Perubahan yang dibawa oleh pemuda ini tidak mungkin dapat dibawa oleh orang tua ataupun anak-anak sehingga potensi yang dimiliki oleh pemuda mampu membawa kepada kejayaan.
 
PERTAMA : MEMBANGKITKAN HIMMAH DALAM MENIMBULKAN PERSOALAN
 
Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan nabi-nabi lainnya yang masih pemuda seringkali memberikan persoalan dan kritikan kepada apa sahaja yang berlaku di sekitarnya.
 
Para pemuda kerap menimbulkan pertanyaan terhadap perkara-perkara yang :
 
1.      Tidak betul.
2.      Tidak benar.
3.      Tidak adil.
 
Keadaan yang tidak sesuai ini biasanya dijadikan sebagai suatu tempat kritikan atau persoalan pemuda.
 
"Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu sungguh-sungguh memujanya?" (QS Al Anbiya' : 52)
 
"Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dalam keadaan takut kepada Fir'aun dan ketua-ketua kaum mereka menyiksa mereka; kerana sesungguhnya Fir'aun bermaharajalela di muka bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas. Dan Nabi Musa berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau kamu sungguh-sungguh beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika kamu benar-benar orang Islam." (QS Yunus : 83 – 84)
 
Potensi membangkitkan suatu persoalan ini adalah ciri pertama kenapa pemuda ini dapat melakukan perubahan.
 
Pemuda tidak akan senang dengan sesuatu yang sudah dicapainya. Pemuda juga tidak dapat tenang melihat ketidakadilan.
 
Peranan pemuda ini sangat penting, lebih khususnya dalam membentuk budaya dan arus perdana di kampus dan juga dalam masyarakat.
 
KEDUA : GENERASI PENERUS
 
Generasi tua atau generasi pemegang kepimpinan samada dalam suatu pemerintahan, dakwah atau masyarakat tentunya akan semakin tua dan mungkin mati.
 
Keadaan demikian memerlukan adanya generasi penerus yang menggantikan peranan pemimpin sebelumnya. Keadaan ini adalah suatu yang logik.
 
Namun, siapakah penggantinya?
 
Jawabannya adalah pemuda.
 
Kepimpinan, pemerintahan dan sebagainya perlu diteruskan kepada generasi berikutnya.
 
Generasi ibu bapa perlu digantikan oleh generasi anaknya, begitulah seterusnya diganti pula oleh generasi cucunya. Di tengah masyarakat dan dalam organisasipun berlaku sedemikian rupa, iaitu perubahan pimpinan kepada generasi seterusnya yang masih bergelar pemuda.
 
"Dan orang-orang yang beriman yang dibawa oleh zuriat keturunannya dalam keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (QS At Thur : 21)
 
"Dan juga mereka (yang diridhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata:"Wahai Tuhan kami, berilah kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami; (generasi pengganti) perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Al Furqan : 74)
 
KETIGA : GENERASI PENGGANTI
 
Memindahkan generasi bererti menggantikan pemimpin sebelumnya dengan meneruskan semua program-program yang telah dirancang sebelumnya.
 
Manakala menukar generasi pula disebabkan generasi sebelumnya tidak baik atau kurang berjaya sehingga diperlukan penukaran generasi kepada generasi yang baru.
 
Allah swt menyebutkan bahwa orang yang tidak beriman ini akan digantikan oleh orang yang beriman.
 
Begitu juga yang berlaku dalam negara atau suatu pemerintahan di mana pemerintah yang tidak berlaku adil, jujur dan amanah maka kepimpinan sebelumnya perlu diganti oleh kepimpinan baru.
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamamu, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah sayang kepada mereka dan mereka sayang kepada Allah; bersifat lemah lembut terhadap orang beriman dan tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah, dan mereka tidak takut terhadap celaan orang-orang yang suka mencela. Yang demikian itu ialah kurniaan dari Allah kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya; sesungguhnya Allah maha luas kurniaNya lagi maha mengetahui." (QS Al Maaidah : 54)
 
KEEMPAT : MEMPERBAHARUI MAKNAWIYAH UMAT
 
Siapakah yang dapat bergerak untuk memperbaharui maknawiyah umat?
 
Jawabannya adalah pemuda.
 
Pemuda dengan potensi yang dimiliki, semangat yang berkobar-kobar, jasad yang kuat, pemikiran yang cerdas dapat memperbaharui maknawiyah umat.
 
Usaha pembaharuan ini adalah dengan memberikan dakwah, tarbiyah dan jihad. Usaha-usaha pemuda yang sedemikian dapat memperbaharui maknawiyah umat.
 
Orang tua tidak akan mungkin dapat melaksanakan peranan ini begitu juga para anak-anak tidak dapat berperanan secara berkesan. Hanya pemuda yang dapat menjalankan peranan perubahan ini.
 
"Dan Nabi mereka berkata kepada mereka:"Sesungguhnya Allah telah melantik Thalut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab:"Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kekuasaan itu daripadanya, dan ia tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:"Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Thalut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan ilmu pengetahuan dan kekuatan fizikal". Dan (ingatlah), Allah juga yang memberikan kekuasaan kepada siapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan kurniaNya), lagi Maha Mengetahui." (QS Al Baqarah : 247)
 
KELIMA : UNSUR PERUBAH
 
Pemuda dengan potensi yang dimilikinya juga mempunyai unsur perubah kepada :
 
a.       Ketidakadilan.
b.      Kejahiliyahan.
c.       Kesesatan.
d.      Kemusyrikan.
 
Pemuda dengan unsur perubahnya dapat menjalankan peranan tersebut secara baik dan berkesan.
 
Di zaman Nabi saw, para pemudalah yang merubah :
 
1.      Jahiliyah kepada Islamiyah.
2.      Kemusyrikan kepada tauhid.
3.      Kebatilan kepada Al-Haq.
4.      Sekular kepada Islam.
 
Unsur perubah yang paling berpotensi adalah pemuda yang sedar, berpengetahuan dan mempunyai fikrah Islam yang mantap. Ciri-ciri seperti ini dapat diperolehi melalui usaha belajar dan menuntut ilmu.
 
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan mereka dengan petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya maka kami mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (QS Al Kahfi : 13 – 14)
 
BEKALAN-BEKALAN
 
Agar potensi-potensi pemuda tersebut muncul secara berkesan dan berpengaruh, maka pemuda perlu diberikan bekalan-bekalan yang akan memberi semangat dan kekuatan bagi mengharungi setiap cabaran dan ujian yang akan ditempuhi.
 
Tanpa bekalan-bekalan, maka potensi pemuda yang berharga akan menghilang manakala bekalan yang baik adalah bekalan yang mengikuti kaedah dan minhaj dari Allah dan RasulNya.
 
PERTAMA : TARBIYAH SECARA FITRAH
 
Tarbiyah secara fitrah adalah tarbiyah yang merujuk kepada fitrah manusia. Tarbiyah secara fitrah juga istilah lain dari 'Tarbiyah Islamiyah'.
 
Fitrah manusia sangat sesuai dengan fitrah Islam. Pemberian fitrah Islam kepada pemuda akan diterima secara ikhlas dan dapat diamalkan oleh pemuda dengan baik.
 
Penerimaan tarbiyah secara fitrah ini terjejas apabila di dalam hatinya ada noda atau kotoran maksiat yang menutup fitrahnya.
 
Tarbiyah secara fitrah yang diberikan kepada pemuda adalah usaha untuk membangun potensi pemuda dan juga memelihara potensi tersebut.
 
Sebahagian dari aktiviti tarbiyah secara fitrah adalah :
 
a.       Membaca Al-Qur'an.
b.      Beribadah.
c.       Beramal soleh.
d.      Memelihara alam.
 
Contoh tarbiyah secara fitrah adalah memberikan sesuatu yang diperlukan oleh pemuda. Dengan cara ini pemuda dipenuhi keperluannya dan juga mereka dapat mengembangkan diri mereka.
 
Di antara ciri-ciri keperluan semasa para pemuda  adalah :
 
1.      Keperluan belajar.
2.      Keperluan persaudaraan.
3.      Keperluan ingin tahu.
4.      Keperluan dinamik dan aktif.
 
Cara yang fitrah melalui Islam mampu secara berkesan membangun potensi pemuda.
 
"Isa binti Maryam (berdoa kepada Allah) berkata:"Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada di hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) dariMu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki." (QS Al Maaidah : 114)
 
KEDUA : HIKMAH DAN ILMU
 
Selain tarbiyah secara fitrah yang diberikan kepada pemuda, ilmu dan kebijaksanaan juga diberi sehingga kesedaran dan motivasi untuk bergerak di kalangan pemuda muncul.
 
Orang dewasa dan tua yang mempunyai banyak pengalaman dan ilmu serta telah merasakan asam manisnya kehidupan perlu memberikan kepada pemuda suatu kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan.
 
Hikmah biasanya didapati oleh orang tua dan dewasa. Orang tua dengan pengalaman dan hidupnya yang sudah lama dapat memberikan hikmah kepada pemuda yang belum banyak pengalaman.
 
Ilmu pun biasanya didapati oleh orang dewasa dan tua, maka juga diperlukan memberikan ilmu dan pelajaran kepada pemuda kerana bekalan yang sedemikian dapat meningkatkan potensi pemuda.
 
"Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna. Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (QS Al Qasas : 14)
 
KETIGA : KEPERIBADIAN KEPIMPINAN DAN PENGIKUT
 
Kepada pemuda juga diperlukan bekalan keperibadian yang mempunyai sifat pemimpin dan pengikut.
 
Pemuda diharapkan mempunyai sifat sebagai pemuda yang sedia memimpin dan sedia dipimpin.
 
Pemimpin yang ikhlas dan pengikut yang taat adalah sifat yang juga perlu ditanamkan kepada jiwa pemuda sehingga dengan cara ini pergantian, penukaran dan pemindahan generasi dari orang tua kepada pemuda dapat dilaksanakan dengan baik.
 
Keperibadian yang mempunyai sifat pemimpin dan pengikut akan melancarkan perjalanan dakwah amal jama'ie.
 
"Yusuf berkata: "Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (QS Yusuf : 55)
 
"Salah seorang di antara wanita yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". (QS Al Qasas : 26)
 
PEMUDA YANG BERGERAK
 
Potensi yang dimiliki oleh pemuda kemudiannya dikembangkan dengan diberikan beberapa bekalan seperti tarbiyah kemudian melalui bekalan ini akan menghasilkan pemuda yang bergerak, dinamik dan aktif.
 
Pemuda yang aktif akan menghasilkan banyak perkara, sedangkan pemuda yang tidak aktif maka ianya akan menghancurkan dirinya sendiri.
 
Oleh sebab itu pemuda yang bergerak adalah pemuda yang mendapatkan tarbiyah bagi pengembangan dirinya.
 
"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (QS Ali Imran : 169)
 
Kita mampu untuk menjadi pemuda-pemuda yang melakar sejarah yang signifikan untuk umat. Titik tolak dan perubahannya boleh kita jana dan gerakkannya.
 
Pemuda-pemuda perlu dilatih, dirancangkan dan diprogramkan untuk menjadi luar biasa.
Cara pandangan mereka terhadap dunia adalah suatu pandangan yang luar biasa di mana mereka
berfikir dengan minda yang luar biasa dan segala-galanya adalah luar biasa.
 
Luar biasa dengan acuan Allah swt di mana kini, ianya telah menjadi asing dan terpisah dalam kehidupan manusia biasa.
 
Mereka-mereka ini perlu diletakkan dalam acuan intensif dan khusus di mana mereka perlukan universiti khas dan kolej yang khusus yang akan menghasilkan para graduan yang akan mempunyai kemampuan untuk "mengubah" dunia.
 
Ya Allah, lahirkanlah di kalangan kami para pemuda yang akan menjadi generasi pengganti dan pewaris kepada perjuangan dakwah dan tarbiyah sehingga ianya mampu mengubah lanskap minda dan pemikiran umat untuk membangun kembali kegemilangan Islam di akhir zaman.
 
Ameen Ya Rabaal Alameen
WAS

 http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top