Terkini...




0

Perjuangan Mendapatkan Taqwa


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Ada satu perkataan yang sangat penting dalam Al Qur'an. Perkataan itu adalah taqwa.

Mengapa?

Ini adalah kerana taqwa merupakan :
  1. Tujuan dari diturunkannya Al Qur'an.
  2. Tujuan dari diutusnya Rasulullah saw.
  3. Pra-syarat meraih kebahagiaan dunia dan akhirat.
"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal." (QS Al Baqarah : 197)

Sesungguh, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila dalam khutbah Jumaat, khatib sentiasa mengajak jamaah untuk bertaqwa.

Salah satunya yang tersebut dalam ayat berikut :

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam." (QS Ali Imran : 102)

Tidak kurang dari 15 kali perkataan taqwa berulang dalam Al Qur'an. Perintah bertaqwa (ittaqu) pula berulang sebanyak 69 kali sedangkan perkataan 'muttaquun' atau (orang-orang yang bertaqwa--jamak) sebanyak 6 kali dan 'muttaqiin' (orang bertaqwa--tunggal) sebanyak 43 kali.

Perkataan 'taqwa' diambil dari akar kata 'waqaa-yaqii' yang bermakna menjaga (melindungi) dari bencana atau sesuatu yang menyakitkan.

Pendapat lain menyatakan bahwa perkataan ini diambil dari akar kata 'waqwaa', kemudian huruf 'wau' pada awalnya diganti dengan 'ta'' sehingga berbunyi 'taqwa', yang ertinya terhalang.

Ada ungkapan yang dinilai sebagai berasal dari Rasulullah saw yang menyatakan 'al-taqii muljam' bahwa orang bertaqwa itu terkawal lidahnya.

Ungkapan ini bermakna sikap berhati-hati. Demikianlah huraian Dr Quraish Shihab tentang makna taqwa dalam bukunya 'Secercah Cahaya Ilahi'.

TAQWA BUKAN SEKADAR RITUAL

Persamaan perkataan taqwa dengan sikap berhati-hati terungkap dalam percakapan antara Umar bin Al Khatthab dengan Ubay bin Ka'ab.

Ketika itu, Ubay bertanya kepada Umar tentang makna taqwa.

Khalifah yang kedua ini kemudiannya bertanya balik, "Pernahkah engkau berjalan di tempat yang penuh duri?

Ya pernah, ungkap Ubay.

Apa yang engkau lakukan? tanya Umar kembali.

Tentu aku sangat berhati-hati melaluinya!"  jawab Ubay.

"Itulah yang dinamakan taqwa", tegas Umar.

Jadi, orang yang bertaqwa adalah orang yang berhati-hati dalam bersikap di mana segalanya penuh perhitungan manakala kefahaman, emosi dan gerakan fizikalnya benar-benar dipandu oleh peraturan Ilahi agar seiring dan sejalan.
  1. Mereka tidak mahu menerima wang, kecuali wang tersebut didapati dengan cara yang dibenarkan.
  2. Mereka tidak mahu makan, kecuali makanan yang terjamin kehalalannya, baik zatnya atau cara mendapatkannya.
  3. Mereka tidak mahu berbicara, kecuali pembicaraannya benar dan tidak menyakiti.
  4. Mereka tidak mahu berniaga, kecuali perniagaannya tidak merugikan orang, barang yang dijual terjamin kehalalannya, tidak melanggar undang-undang dan tidak tersentuh unsur riba.
Intipatinya, dalam perkara apa pun, orang yang bertaqwa sentiasa menyertakan sikap berhati-hati yang bersumber dari keinginan untuk menyelaraskan diri dengan peraturan Allah swt.

Dalam bahasa pengurusan, orang yang bertaqwa adalah orang yang 'pro-aktif'.

Ertinya, ia mampu :

"Memanfaatkan ruang antara stimuli (rangsangan) dan respons (tindakan) untuk berfikir sesuai dengan prinsip."

Secara mudahnya, orang yang bertaqwa itu sentiasa melibatkan fikiran dalam setiap tindakannya sehingga tindakan yang dihasilkan dapat dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat kerana selalunya berasaskan kepada prinsip-prinsip Ilahiyah.

Contohnya, seorang pegawai di pejabat menerima sampul surat berisi wang dua ribu ringgit. Ini merupakan satu stimuli.

Apakah respons pegawai ini?

Jika ia seorang 'muttaqin', maka ia tidak akan menerima sampul surat tersebut begitu sahaja.

Ia akan bertanya :
  1. Sampul surat ini dari siapa?
  2. Untuk apa?
  3. Apakah sesuai dengan prosedur yang sedia ada?
  4. Apakah ianya halal untuk diambil?
  5. Apakah tidak menyalahi nilai-nilai kejujuran dalam agama?
Jika memang sampul surat itu hak dirinya serta terjamin kehalalannya, maka ia terima. Namun jika tidak, ia menolak walaupun dipaksa.

Itulah respons yang didahului oleh proses berhenti sejenak untuk berfikir dan menyesuaikan diri dengan prinsip-prinsip Ilahi.

Dalam apa perkara pun, tidak semestinya yang hanya berkaitan dengan wang, malah tindakan dan ucapannya juga benar-benar terkawal dan penuh dengan sikap berhati-hati.

Sebenarnya, sikap berhati-hati dan mengawal diri akan menjamin keselamatan seseorang di dunia dan akhirat di samping ianya sebagai sebab bagi mengundang datangnya pertolongan Allah.

Firman Allah swt :

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya." (QS At Thalaq : 2-5)

Sebaliknya, sikap suka menceroboh dan tidak mengawal diri akan membuatkan seseorang binasa.

Hampir semua masalah bermula dari tidak adanya sifat taqwa (kecerobohan, kurang perhitungan, kurang kawalan).
  1. Perkelahian boleh berlaku kerana tidak berhati-hati menjaga lidah.
  2. Terjerumusnya seseorang ke lembah hitam boleh bermula dari sikap kurang berhati-hati memilih pergaulan.
Maka jelaslah, taqwa itu tidak hanya sekadar diukur dengan jumlah ibadah-ibadah ritual semata-mata bahkan ianya mesti wujud dalam kehidupan seharian.

Benarlah firman Allah swt di awal tadi agar kita menjadikan taqwa sebagai bekalan.

RAMADHAN DAN SIKAP BERHATI-HATI

Ramadhan yang sedang kita jalani sekarang ini sebenarnya menjadi momentum yang tepat untuk menumbuhkan sikap berhati-hati.

Selama satu bulan penuh kita :
  1. Dilatih untuk tidak berkata kecuali yang baik, benar lagi sesuai dengan keadaannya.
  2. Dilatih mengendalikan perut untuk tidak makan makanan haram bahkan makanan halal secara berlebihan.
  3. Dilatih mengendalikan mata bukan sahaja dari memandang yang haram dipandang, tapi juga dari memandang hal-hal yang membawa kepada pembaziran.
  4. Dilatih menjaga panca indera lain dan perasaan agar semuanya terkawal.
Intipatinya, Ramadhan melatih kita menjadi manusia yang sentiasa berhati-hati.

Allah swt berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (QS Al Baqarah : 183)

PUASA MEMBUAHKAN TAQWA

Bagaimana caranya supaya puasa kita mampu mencapai darjat taqwa yang hakiki?

Dalam banyak penulisan Imam Al-Ghazali dan Imam Al-Qusyairi, kedua-duanya sangat menyarankan untuk berpuasa dalam tingkatan hakikat, namun tingkatan hakikat ini tidak dapat diraih dengan begitu mudah bahkan ianya perlu bertahap dari fasa 'syariat' ke fasa 'thariqat' dan akhirnya menuju ke destinasi 'hakikat'.

Pada fasa syariat ini, seorang muslim perlu memahami dalil-dalil syari'e dan hukum sah dan batalnya puasa.
Kemudian ia diseru untuk meningkatkan puasanya ke tahap selanjutnya, iaitu thariqat di mana selain puasa secara lahiriah (syariat), ia juga mesti berpuasa dari aspek batinnya seperti :

1.      Mencela.
2.      Memaki.
3.      Bohong.
4.      Bertengkar.
5.      Berfikir tentang yang perkara-perkara yang boleh menaikkan hawa nafsunya.
6.      Melakukan perkara-perkara buruk yang boleh membuatkan rusaknya nilai puasa.
7.      Meninggalkan ibadah-ibadah wajib dan sunah yang rutin dikerjakan.

Jadi pada fasa thariqat, seorang muslim dituntut untuk lebih kreatif dan produktif dengan semakin meningkatkan amalan-amalan lainnya. Apabila seorang muslim tersebut tetap istiqamah dalam kedua fasa tersebut maka ia sedang menuju tangga hakikat.

Oleh kerana itu, ia mesti mampu merasakan dengan kesedaran penuh bahwa dengan puasa ia sebenarnya sedang berhubungan dengan Allah swt sehingga apapun yang kita kerjakan dan lakukan, samada ketika berpuasa ataupun saat di luar ibadah puasa, ia sentiasa merasa dijaga dan diawasi serta berada dalam aturan nash-nash dan semata-mata lillahi ta`ala.

Inilah yang dimaksudkan berada dalam tingkatan hakikat.

Pendekata :

a.       Puasa secara syariat adalah 'khidmatullah' (Ubudiyah kepada Allah).
b.      Puasa secara thariqat adalah 'qurbatullah' (Mendekatkan diri kepada Allah).
c.       Puasa secara hakikat ialah 'maiyyatullah' (Merasakan kehadiran Allah dalam setiap keadaan).

Akhirnya, puasa di bulan Ramadhan bukan hanya melaksanakan syariat, tetapi juga untuk mengembalikan kita pada fitrah dan kesucian.

Maka, bagi mereka yang membersihkan diri (tazkiyatun nafs), adalah sayugia untuk sampai kepada 'idul fitri'.

Yang jelas bahwa dengan melaksanakan peraturan Allah dengan penuh keikhlasan akan memudahkan kita menuju menjadi manusia yang sempurna iaitu manusia yang tidak lagi bergantung kepada sesuatu yang lain samada kebendaan ataupun jawatan kerana segala keperluaannya telah dipenuhi dan dijamin oleh Yang Maha Sempurna.

Bukankah Allah swt berfirman :

"Dia telah memberikan kepadamu segala keperluan dari apa-apa yang kamu mohonkan. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah maka tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar" (QS Ibrahim : 34)

Jadi, benarlah yang diceritakan di atas bahwa kita yang mempunyai mata, telinga, mulut, tangan dan segala panca indera atau diberi akal dan hati tetapi sangat jarang bersyukur kapada Tuhan.

Padahal kalau kita renungkan bahwa dengan matalah, kita dapat melihat dan berpengetahuan, namun ketika kita mengetahui segala sesuatu yang terlihat dengan mata itu, kita jarang memikirkan kenapa mata dapat melihat dan siapakah yang menciptakannya.

Maka dengan melaksanakan puasa secara sesungguhnya, kita sedang dibina untuk menjadi manusia yang bertaqwa.

Untuk menjadi manusia yang bertaqwa, tentunya dilakukan dengan proses yang panjang. Ia diwajibkan berakhlak mulia, taat dan patuh terhadap perintah dan larangan agama dan hal ini termasuk melaksanakan puasa.

Apabila seorang muslim melaksanakannya dengan sebenar-benarnya, maka ia dianggap sebagai orang yang bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Inilah sebabnya puasa Ramadhan diakhiri dengan idul fitri iaitu perayaan di atas kemenangan umat Islam yang berhasil mensucikan dan membersihkan dirinya dari perkara-perkara yang nista dan kotoran-kotoran jiwa.

Sebenarnya, kesucian dan kebersihan itu dipertahankan atau dijadikan "benteng" dari terpaan-terpaan negatif di bulan-bulan lain sehingga wajarlah apabila Rasulullah saw merasa sedih bila berada di penghujung hari-hari Ramadhan kerana khuatir takut nanti jiwa yang bersih dan suci itu akan dikotori oleh perkara-perkara yang akan membawa kepada dosa.

Oleh kerana itu, seorang muslim di katakan buruk apabila hari ini lebih buruk dari kelmarin.

Selain itu, ia juga dikatakan rugi jika kelak selepas Ramadhannya itu, ia tidak meningkatkan kualiti hidup atau menurun kuantiti dan kualiti ibadahnya.

Mereka inilah yang digelar sebagai tidak berhasil dan tidak berprestasi dalam puasa Ramadhannya.

Inilah yang diperingatkan dalam sebuah hadits bahwa :

"Ramai di antara orang yang berpuasa hanya mendapatkan rasa lapar dan dahaga, dan ramai orang yang solat malam (namun) yang didapatkannya itu hanya terjaga dari tidur (belaka)." (HR Ahmad dan Hakim)

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan kami kali ini sebagai medan perjuangan untuk kami harungi segala halangan dan ujian bagi mencapai matlamat yang telah Engkau tetapkan iaitu mendapat hadiah ketaqwaan yang akan menjadi benteng keselamatan bagi iman kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top