Terkini...




0

PROGRAM REMAJA “EKSPLORASI MERENTAS MASA”


Alhamdulillah dan syabas buat IkramTeens Kuala Langat kerana telah berjaya melaksanakan Program Remaja Puteri “Eksplorasi Merentas Masa” yang telah diadakan pada hari Ahad, 29 April 2012 bertempat di sekitar Surau Al-Ameen, Bandar Mahkota, Banting. Program ini adalah anjuran bersama IkramTeens Kuala Langat, AJK Surau Al-Ameen dan Klinik Fuziah. Seramai 32 orang remaja perempuan yang berusia antara 13 hingga 18 tahun telah mengambil bahagian dalam program ini.

Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan ukhuwwah antara peserta serta masyarakat setempat selain memperkenalkan Ikram kepada masyarakat umum di Daerah Kuala Langat. Ia juga bertujuan menyelami sirah Al-Rasul dan mecintai perjuangan hidup baginda.

Program yang bermula pada pukul 8 pagi ini telah dirasmikan oleh wakil Pengerusi Surau Al-Ameen, En Abd Latip b Ishak (Pensyarah Kolej Mara Banting). Beliau mengharapkan agar semua peserta dapat memanfaatkan program ini serta dapat menyusuri sirah Rasulullah saw.


Aktiviti diteruskan dengan sesi taaruf antara peserta. Sesi ini telah dikendalikan oleh ketua fasilitator iaitu saudari Ummu Hani. Para peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan mereka bertaaruf dalam kumpulan masing-masing. Mereka juga perlu berpecah kepada kumpulan yang berbeza mengikut arahan fasilitator untuk lebih mengenali peserta-peserta yang lain.

  
Selesai sesi taaruf, eksplorasi merentas masa pun bermula. Para peserta perlu bergerak dalam kumpulan masing-masing ke checkpoint yang telah ditetapkan berdasarkan klu yang yang telah diberikan. Mereka perlu melalui lima checkpoint yang mana tugasan di setiap tempat adalah berbeza. Seramai lima orang fasilitator dari IkramTeens Kuala Langat telah ditempatkan di setiap checkpoint. Antara tugasan yang perlu peserta selesaikan di checkpoint adalah mereka perlu menyusun apa sahaja barang yang ada pada diri mereka dalam jarak yang telah ditetapkan. Tugasan ini menuntut peserta untuk melakukan pengorbanan dalam menyelesaikan misi. Selain itu, mereka juga perlu mengutip sampah agar tempat tersebut kelihatan bersih. Ini dapat dirasionalkan dengan sifat Rasulullah yang sukakan kebersihan dan Rasulullah itu bersifat pembersih. Selain daripada tugasan yang perlu dilaksanakan di setiap checkpoint, peserta juga perlu menyiapkan tugasan yang perlu diselesaikan di sepanjang eksplorasi seperti menghafaz beberapa ayat Al-Quran dan melakar salasilah keturunan Rasulullah saw.




Eksplorasi ini berakhir pada kira-kira pukul 11.30 pagi. Slot resolusi diteruskan dengan merumuskan segala aktiviti yang telah dilaksanakan. Para peserta juga telah memberikan maklumbalas mengenai apa yang telah mereka dapat di sepanjang eksplorasi.


Slot terakhir adalah majlis penutup serta penyampaian hadiah. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Ustazah Rofisah, Pensyarah Fakulti Bahasa Arab KUIS. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dr Fuziah Osman dengan memberikan kata-kata galakan dan semangat kepada para peserta. Seterusnya beliau turut menyampaikan cenderahati kepada para peserta, fasilitator serta AJK Surau Al-Ameen yang telah menjayakan program ini.






Jazakumullahukhairan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program pada kali ini samada secara langsung atau tidak langsung. Harapan daripada En Zairom, Bendahari Surau Al-Ameen agar program ini ada susulannya demi memastikan objektif program tercapai. Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada Tuan Hj Kamaluddin, YDP IKRAM Kuala Langat yang sentiasa menyokong dan memberi galakan bagi menyempurnakan kejayaan program ini.

  
Disediakan oleh,
NAJWANI BT MUHAMMAD
Setiausaha Eksplorasi Remaja

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top