Terkini...




0

Pelbagaikan Kaedah Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ada seorang pernah berkata bahawa ia merasa tidak mempunyai kemampuan untuk berdakwah kerana dia bukan seorang yang faqih dan bukan juga seorang yang banyak tahu tentang kaedah dakwah.

Adapun hadits-hadits Rasulullah saw yang berkaitan dengan dakwah yang telah dibacanya merupakan sebuah barakah.

Ia tidak tahu bahawa barakah mesti berbuah dan buah dari barakah adalah produktiviti.

Rasulullah saw bersabda :

"Senyummu pada wajah saudaramu adalah sedekah." (Mashabih As Sunnah)

Cuba kita perhatikan bahwa Rasulullah saw tidak mengatakan "Senyummu untuk saudaramu."

Bahkan digunakan perkataan "wajah", kerana pada wajah terdapat banyak pancaindera dan ia merupakan gambaran hakiki seorang manusia.

Oleh kerananya, sebuah senyuman yang tidak terlihat oleh saudara kita tidak akan mempunyai erti dan tidak akan berkesan.

Senyuman adalah gambaran isi hati yang menggerakkan perasaan dan memancar pada wajah seperti kilauan cahaya seakan-akan berbicara dan memanggil sehingga hati yang mendengar akan terpikat.

Senyuman yang dibuat-buat tidaklah sama dengan senyuman yang tulus ikhlas.

Senyuman yang dibuat-buat adalah sebuah ciptaan seni, tidak lebih dari hanya sebuah senyuman plastik.

Sedangkan senyuman yang tulus ikhlas adalah fitrah; ia ibarat bunga yang mekar di tangkainya, indah dipandang mata dan harum baunya yang menjadikan jiwa terlena dan bersimpati.

Mengenai perkara ini, Rasulullah saw telah mengingatkan kepada kita dengan sabdanya :

"Kamu tidak akan dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia." (HR Abu Ya'la dan Al Baihaqi)

Puluhan tahun yang lalu, ada sebuah penemuan ilmiah menyebutkan bahwa tumbuh-tumbuhan akan semakin subur apabila berada di tempat di mana terdapat alunan suara berirama perlahan dan tumbuh-tumbuhan itu akan merasa "gembira" tatkala pemiliknya menyiraminya dengan air yang sejuk.

Namun sebaliknya, tumbuh-tumbuhan itu akan "menangis" tatkala ada yang memetik tangkai dan bunganya.

Rasulullah saw bersabda :

"Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita pun mencintainya. "

Jika demikian keadaan tumbuh-tumbuhan dan benda-benda mati, maka keadaan manusia yang telah diberi oleh Allah swt nikmat berupa pancaindera dan akal tentu lebih
dari itu.

Itulah rahsia yang tersimpan dalam diri manusia. Apabila ia dapat membuka rahsia itu, Allah akan membukakan baginya penglihatan dan mata hati mereka yang lalai dan terlena dalam kemaksiatan.

Dengan iman, perasaan, dan kekuatan ruhiah, Islam mengubah ramai manusia dengan sebuah perubahan yang tidak mampu dilakukan oleh kekuatan-kekuatan material.

Seorang pendakwah hendaklah merasakan nikmat iman yang tulus ikhlas sehingga ia dapat menembusi batu sekeras mana pun dan dapat menumbuhkan pohonan meskipun di tengah padang pasir yang gersang. Ia akan mampu mencetak "khairu ummah" (umat terbaik).

Kalau kita teliti, maka kita akan ketahui bahwa yang menyebabkan generasi pertama umat ini masuk Islam adalah :

1. Senyuman yang tulus.
2. Pandangan yang menenangkan.
3. Pergaulan yang simpatik.
4. Ucapan yang berkesan.

Jadi, jika kita tidak tersenyum pada wajah saudara kita, maka kita tidak akan mendapatkan pahala sedekah itu. Jika setiap muslim mahu memberi senyuman tatkala bertemu dengan saudaranya sesama muslim, kita akan melihat sebuah masyarakat muslim yang berwajah ceria dan saling mencintai.

Inilah barakah dari sebuah senyuman yang tulus.

Allah swt pernah menegur Rasulullah saw tatkala beliau bermuka masam ketika ditemui oleh Abdullah Ibnu Umi Maktum ra.

Allah swt berfirman :

"Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari
dosa)."(QS 'Abasa : 1-3)

Dari contoh ini, kita akan mengetahui bahawa setiap yang datang dari Rasulullah saw adalah kaedah dakwah dan manhaj tarbiyah.

Marilah kita mengambil salah satu contoh dari hadits-hadits berikut yang mengajarkan tentang wasilah dan kaedah dakwah yang mudah dipelajari dan diterapkan oleh para pendakwah.

Kita akan melihat bahawa pelajaran-pelajaran itu sangat mudah dan akan menyedari bahawa daya tangkap kitalah yang memang belum sampai kepada hakikat yang hendak disampaikan oleh Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda :

"Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka bertanyalah, jika sakit maka jenguklah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah (dengan mengucapkan 'yarhamukallah' , dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (ke kubur)." (HR Muslim)

PERTAMA : JIKA BERTEMU MAKA BERILAH SALAM


Mengucapkan salam adalah langkah pertama dan ianya akan semakin mantap jika diikuti dengan berjabat tangan.

Ucapan salam mesti disertai dengan perasaan :

a. Cinta.
b. Senang hati.
c. Wajah yang berseri.

Ini adalah agar fungsi ucapan salam itu dapat diwujudkan. Selepas itu bolehlah saling memperkenalkan nama, pekerjaan dan tempat tinggal. Dengan yang demikian, kita telah memulakan tahap awal dalam berdakwah.

KEDUA : JIKA TIDAK KELIHATAN MAKA BERTANYALAH

Watak sebuah perkenalan adalah jika seseorang yang sudah kita kenal itu tidak terlihat dalam waktu yang tertentu, maka kita mesti mencari khabar berita tentang keadaannya atau  menghubunginya, samada melalui telefon, surat, e-mail ataupun SMS.

KETIGA : JIKA SAKIT MAKA JENGUKLAH

Sunnatullah akan berlaku pada setiap orang di mana pada suatu ketika ia akan merasa :

a. Gembira.
b. Sedih.
c. Sakit.

Maka setiap keadaan mesti dihadapi dengan sikap yang Islamik. Jika kita mendengar bahawa sahabat kita sakit, kita mesti cepat-cepat :

1. Menjenguknya.
2. Memberikan ketenangan kepadanya.
3. Mendoakan untuk kesembuhannya.
4. Membawa hadiah yang sesuai.

Rasulullah saw bersabda :

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana hadiah itu akan menjadikan kamu saling mencintai." (HR Malik dalam "Al-Muwatha" ')

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama muslim kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepadanya, 'Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga.'" (HR Muslim)

Di tempat sahabat kita tersebut, kita pun dapat berkenalan dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan dengan yang demikian kita akan semakin ramai mempunyai kenalan.

Jangan sampai kunjungan itu kita pergunakan untuk membaca Al Qur'an, majalah atau berbual yang tidak ada gunanya agar tujuan dan matlamat kunjungan tersebut dapat dipenuhi.

Jika kita masuk rumahnya, hendaklah kita duduk di mana kita dipersilakan duduk.

Diriwayatkan dalam sebuah atsar :

"Barangsiapa masuk rumah salah seorang di antara kamu maka duduklah di tempat tersebut, kerana kaum itu lebih mengetahui aurat rumah mereka." (HR Thabrani)

KEEMPAT : JIKA IA MENGUNDANGMU MAKA PENUHILAH

Setelah melewati tahapan-tahapan di atas maka hubungan antara kita dengan sahabat kita akan semakin erat. Suatu ketika, sahabat kita akan menghadapi keadaan-keadaan penting seperti kejayaan dalam tugas, perkahwinan atau yang lainnya, lalu ia mengundang kita untuk menghadiri acara-acara tersebut.

Kita mesti memenuhi undangan tersebut kerana ini merupakan kesempatan berharga yang tersedia tanpa perlu kita rancangkan terlebih dahulu. Begitu juga sebaliknya, kita pun mesti mengundangnya dalam acara-acara penting yang kita adakan.

KELIMA : JIKA IA BERSIN DAN MENGUCAPKAN  "HAMDALAH" MAKA JAWABLAH (UCAPKAN "YARHAMUKALLAH)

Duduk bersebelahan dengan orang yang belum dikenali di suatu tempat, samada di perjalanan, majlis keramaian ataupun tatkala menjenguk orang sakit, lalu orang yang duduk di sebelah kita itu bersin maka hendaklah kita menoleh kepadanya dengan wajah berseri seraya mengucapkan, "yarhamukallah (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada Anda)."

Tentunya perkara ini akan menjadikan dirinya merasakan sesuatu yang baru dan selepas itu kita dapat bercakap-cakap dengannya.

KEENAM : JIKA IA MENINGGAL DUNIA MAKA HANTARKANLAH KE TEMPAT PEMAKAMANNYA

Apa yang dapat kita lakukan setelah seseorang itu meninggal dunia dan dikuburkan?

Pada hakikatnya, menghantar orang lain yang meninggal ke tempat pemakaman adalah menghantar dirinya sendiri, yang ia akan dapat mengambil nasihat, pelajaran, dan merenungkannya.

Ini sebuah sunnah Rasulullah saw yang menggambarkan persatuan dan kesatuan kaum muslimin.

Jika sebelumnya, kita dapat mengenal peribadi orang yang telah meninggal dunia, maka sekarang kita dapat menggunakan kesempatan untuk berkenalan dengan keluarganya dan orang-orang yang berta'ziah ke rumahnya.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa menghadiri jenazah hingga menyolatkannya, maka baginya pahala satu qirath. Barangsiapa menyaksikan hingga di makamkan, maka baginya dua qirath." Seorang sahabat bertanya, "Apakah dua qirath itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Seperti dua gunung yang besar." (Muttafaqun 'Alaih)

CONTOH MITHALI SEORANG PENDAKWAH
Sekarang mari kita menyusuri kehidupan seorang pendakwah yang bernama Syeikh Ali Nawaitu yang juga merupakan seorang tokoh Ikhwanul Muslimin yang kaya dengan pelbagai kaedah dakwah dalam rangka untuk menarik masyarakat kepada dakwah sehingga ia menjadi contoh mithali kepada mereka yang bergaul dengannya.
Beliau di antara anggota Ikhwan yang telah dipenjarakan selama 20 tahun iaitu dari tahun 1954 hingga 1974 di penjara Mesir.
KEMAHIRAN MELUKIS DALAM PENJARA
Beliau menceritakan pengalamannya di dalam penjara bagaimana para banduan di kalangan anggota Ikhwan belajar ilmu dari anggota yang lain sehingga masing-masing mempunyai berbagai kepakaran.
Salah satu dari kepakaran yang dipelajari adalah mengingati wajah anggota Ikhwan yang masuk ke penjara dan melukisnya di atas kertas.
Kebiasaannya, apabila seseorang ditahan, keluarga mereka tidak diberitahu. Jadi jika ada banduan baru dari anggota Ikhwan yang masuk penjara, beliau akan melukis potret banduan tersebut di atas kertas sebesar saiz setem dan kertas ini akan diseludup keluar dan kemudiannya potret itu dibesarkan supaya orang di luar penjara boleh tahu siapa yang masuk ke penjara.
Dikatakan beliau mampu mengingati sehingga 300 wajah anggota Ikhwan dalam penjara serta dapat melukisnya dengan tepat.
MENGINGATI WAJAH SAUDARA SEPERJUANGAN
Di antara rahsia mengapa beliau dapat mengingati wajah-wajah saudara-saudaranya ialah amalan beliau dalam membaca Al Ma'thurat dan doa Rabithah.
Pernah dalam suatu halaqah setelah selesai membaca Al Ma'thurat secara jamai'e, maka beliau menyuruh semua mereka yang hadir dalam halaqah itu untuk bangun membuat satu bulatan dan kemudiannya masing-masing memegang tangan secara bergandingan di kiri dan kanan.
Beliau kemudiannya menyuruh mereka untuk menutup mata masing-masing dan mengarahkan untuk membayangkan serta mengingati wajah setiap Ikhwah yang dikenali. Mungkin dengan cara inilah bayangan wajah-wajah sahabat seperjuangan dapat diingati dan dihadirkan dalam pemikiran kita.
MENYUSUN KASUT DAN SELIPAR
 
Pernah juga berlaku dalam satu program katibah / qiyam di mana beliau adalah salah seorang yang berada dalam majlis tersebut. Semasa program berlangsung beliau meminta izin untuk keluar sekejap.
 
Beberapa minit selepas itu, salah seorang Ikhwah dalam program tersebut juga meminta izin utnuk keluar ke bilik air, namun apabila Ikhwah tersebut membuka pintu, beliau terkejut apabila mendapati Syeikh Ali Nawaitu sedang duduk menyusun kasut dan selipar di luar dewan.
 
Ikhwah itu bertanya mengapa Syeikh Ali melakukan itu lalu Syeikh Ali memberitahunya supaya membiarkan dirinya menyelesaikan tugas tersebut dan menyuruh Ikhwah tersebut agar diam dan masuk semula ke dalam dewan. Beliau mengatakan ini adalah arahan sebagaimana sabda Rasulullah saw :
 
"Baiki diri kamu dahulu kemudian seru orang lain."
 
MINUM AIR DENGAN PENUTUP BOTOL
 
Dalam suatu perjalanan di dalam kereta setelah selesai menyampaikan 'taujihat', beliau merasa dahaga dan di dalam kereta itu ada sebotol air mineral.
Beliau bertanya samada ada cawan atau gelas supaya beliau dapat menuangkannya ke dalamnya untuk diminum.
Oleh kerana tiada cawan atau gelas di dalam kereta tersebut, maka penumpang yang lain menyuruhnya untuk meminumnya terus dari mulut botol tersebut namun beliau enggan kerana menurutnya itu bukan dari sunnah Nabi saw dalam hal meminum minuman.
Setelah berfikir beberapa saat, beliau mempunyai satu idea iaitu beliau membuka tudung botol air mineral tersebut yang agak kecil saiznya dan menuangkan air dengan perlahan-lahan ke dalamnya lalu meminumnya beberapa kali. Penumpang lain terpinga-pinga melihat gelagat Syeikh Ali yang  begitu kuat pegangan beliau dalam hal melaksanakan sunnah Nabi dalam kehidupannya.   
 
SENTIASA BERKAWAD DAN SENAMAN PAGI
 
Di antara rahsia kesihatan badannya walaupun umur beliau sudah agak lanjut ialah beliau sentiasa melakukan kawad dan melaksanakan senaman di waktu pagi yang sudah menjadi agenda rutinnya di waktu pagi.
 
Pernah dalam usia yang lanjut tersebut, beliau masih mampu mendaki gunung dan beliau nampak lebih tangkas dari Ikhwah lain yang lebih muda dari beliau yang juga turut serta.
 
Demikianlah sekelumit kisah seorang pendakwah mithali yang berjaya menerapkan berbagai  kaedah dakwah di dalam interaksinya dengan masyarakat sehingga beliau mampu menjadi contoh yang bergerak dan berjalan di alam nyata.
Ada sebuah ungkapan yang mengatakan :

"Berbuat baiklah, dan lemparkan kebaikan itu ke dalam lautan."

Tetapi para pendakwah mengatakan :

"Berbuat baiklah kerana Allah, niscaya kebaikan itu akan kembali kepadamu di dunia mahupun di akhirat."

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami amalkan sabda-sabda NabiMu sebagai kaedah dakwah yang akan memudahkan kami untuk berinteraksi sesama manusia serta menjadi sebab kepada manusia mendapat petunjuk dan hidayah dariMu untuk kembali tunduk dan menyerah diri kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top