Terkini...




0

Memahami Dakwah Islam Sebenar


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ramai generasi muda Islam yang tidak mengenali Imam Hasan Al Banna dengan fikrah (pemikiran) dan dakwahnya padahal mereka sepatutnya mengenali dengan lebih dekat dan kita sepatutnya juga memperkenalkannya kepada mereka.
Apalagi di tengah-tengah kaum muslimin ketika ini di mana tidak ada fikrah yang benar-benar  mereka boleh mengambilnya sebagai titik tolak yang benar kecuali fikrah yang dimiliki dan dibawa oleh Imam Hasan Al Banna.
Selain itu terdapat ramai golongan yang sengaja mengaburkan gambaran tentang Imam Hasan Al Banna di mata generasi muda Islam dan niat mereka tiada lain melainkan agar manusia tidak dapat menempuh jalan yang benar sebagaimana yang beliau gariskan.
Di pihak yang lain pula, kini muncul di mana-mana, aliran pemikiran yang sempit yang menghendaki agar fikrah dan dakwah yang dibawa oleh Imam Hasan Al Banna menjadi terasing.
Namun, mereka perlu mengerti bahwa mana-mana gerakan Islam yang tidak bertolak dari fikrah Imam Hasan Al Banna adalah terbukti  cacat di mana mustahil rasanya jika kita ingin membangun aktiviti yang lengkap dan komprehensif untuk berkhidmat kepada Islam tanpanya.
Selain itu terdapat banyak serangan secara membabi buta yang ditujukan kepada sebahagian fikrah yang dilontarkan oleh Imam Hasan Al Banna.
Ramai manusia yang telah tergelincir kerananya, terutama mereka yang tidak dikurniakan  oleh Allah berupa keluasan cara pandang sebagaimana yang telah Allah anugerahkan kepada Imam Hasan Al Banna.
Hal inilah yang memerlukan murid-muridnya dan mereka-mereka yang mempunyai komitmen dengannya untuk menulis dan menjelaskan fikrah ini dengan mengemukakan perbahasan dan penjelasan yang jitu agar ianya menjadi pencerahan dan sumber petunjuk bagi  mereka yang ingin mencari kebenaran dan berpegang teguh dengnnya.
Sebahagian dari tulisan ini juga adalah berdasarkan apa yang ditulis oleh Syeikh Sa'id Hawwa  yang diharapkan dapat memainkan peranannya dalam aspek ini melalui kitab beliau :
"Al Madkhal Ilad Dakwatil Ikhwanul Muslimin" (Pintu Masuk Kepada Dakwah Ikhwanul Muslimin).
INTROSPEKSI DIRI
 
Terlalu banyak kita meminta manusia supaya beriltizam dengan kita, tapi kita tidak pernah meminta diri kita membuat pembaharuan ke atas diri kita supaya kita layak dipatuhi dan diberikan iltizam oleh orang-orang Islam.
 
Terlalu banyak kita meminta manusia beriltizam dengan kita tanpa mereka ketahui apakah makna iltizam dengan kita.
 
Pada ketika yang lain pula, saudara kita akan menghadapi salah seorang dari kita yang tidak mengetahui apakah alasan penyertaannya  dan dia tidak ketahui kerja-kerja dakwah yang positif.
 
Pada ketika-ketika yang lain pula sebahagian dari mereka yang  telah mengikuti tarbiyah kita meragui tentang keupayaan mencapai matlamat-matlamat kita. Jarang sekali kita dapati sebahagian dari kita yang mampu menerangkan jalan-jalan untuk mencapai matlamat kita dengan jelas dan tepat.
 
Adapun, apa yang orang lain mengkritik kita memang banyak dan kita mengakui sebahagian  dari kritikan itu benar.
 
Kita mengakui mempunyai kekurangan dalam banyak perkara  dan orang lain tidak ketahui mengenai diri kita khususnya hubungan kita dengan Allah, tetapi adakah kita mempunyai keuzuran?
 
BERILITIZAM DENGAN JAMAAH
 
Dalam sebuah hadits, Rasulullah saw bersabda kepada Hudzaifah :
 
"Hendaklah kamu berpegang dengan jamaah kaum muslimin dan imam mereka."
Menerusi definasi ini setiap orang Islam mestilah menentukan pegangan dan ilitizamnya.
 
Salah satu prinsip asas yang tidak boleh diabaikan oleh seorang muslim adalah bahwa umat Islam mesti mempunyai jamaah dan imam.
 
Kewajiban utama setiap muslim adalah memberikan kesetiaannya kepada jamaah dan imamnya. Ini merupakan pintu masuk utama untuk memahami apa yang diperjuangkan oleh Ikhwanul Muslimin.
 
Masalah jamaah Islam bukanlah sesuatu yang diada-adakan tetapi ianya merupakan suatu masalah yang paling kritikal yang tiada tolok bandingnya di mana kita perhatikan banyak nash-nash memperkatakan dengan begitu terperinci dan meluas.
 
Sungguh, gagasan tentang Jamaah Islam telah dilupakan oleh ramai orang dan jalan yang benar untuk menuju ke sana pun telah hilang.
 
Maka Allah swt menganugerahkan nikmatNya kepada Imam Hasan Al-Banna untuk merintis jalan yang sempurna menuju kepada kewujudan jamaah dan kepimpinan yang berlandaskan berbagai faktor yang diperlukan untuk tujuan tersebut dan tindakan nyata untuk mencapainya.
 
Memang, suatu jamaah hanya boleh dikatakan sebagai Jamaah Islam apabila ia telah memenuhi beberapa syarat, meliputi kefahaman dan kesedaran terhadap jamaah itu, serta keupayaan pimpinannya.
 
SIFAT-SIFAT KHUSUS JAMAAH
 
Di antara sifat-sifat khusus Jamaah Islam ialah :
 
1.      Jamaah yang mendokong Islam tanpa sekatan dan kewaspadaan.
2.      Jamaah yang dengannya muncul kebenaran yang tunggal yang dipersetujui sepanjang sejarah, kebenaran yang mencerminkan ahli Sunnah Wal Jamaah.
3.      Jamaah yang mampu mengemukakan satu bentuk kebenaran yang dapat diterima dan disertai olah semua orang Islam.
4.      Jamaah yang bergerak di dalam rangka kerja yang amali ke arah mencapai matlamat Islam sepenuhnya dengan menggunakan jalan itu.
5.      Jamaah yang berusaha membebaskan kaum muslimin daripada penyakit-penyakit yang membawa mereka  sehingga diperhinakan dan dipijak-pijak kehormatannya.
6.      Jamaah di mana setiap anggotanya bersifat dengan akhlak yang mulia yang dimiliki oleh jamaah yang diridhai Allah; bermula dari cintakan Allah, merendah diri kepada orang mukmin, megah terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah dan mengikhlaskan penyerahan kepada Allah, Rasul dan orang-orang mukmin.
7.      Jamaah yang tidak melupakan persaudaraan terhadap sesama muslim, mereka tidak kikir kelebihan mereka untuk orang lain dan mereka tidak angkuh terhadap kebenaran.
 
BEBERAPA PINTU MASUK UNTUK MEMAHAMI DAKWAH IKHWAN
 
Buat masa ini, jamaah Ikhwanul Muslimin adalah salah satu jamaah dari jamaah kaum muslimin yang bekerja dan berusaha dengan sekuat tenaga untuk  memenuhi syarat-syarat di atas.
 
PINTU MASUK PERTAMA
 
Ini adalah kerana ia adalah sebuah jamaah yang :
 
a.       Memiliki pemimpin yang lurus.
b.      Lahir dari rahim saf yang lurus pula.
c.       Dipupuk dan dibesarkan oleh sistem syura yang penuh Islamik.
d.      Memiliki ciri-ciri keislaman sejati, sentiasa bersikap kritis, mengembangkan, dan mempelopori  kebaikan di bawah sifat-sifat itu.
e.       Aktif menegakkan Islam secara lengkap dalam lingkungan individu, keluarga, bangsa, dan dunia seluruhnya.
f.       Memahami Islam dengan baik dan komitmen penuh kepadanya dengan mengikuti cara-cara yang telah dipraktikkan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.
 
Ini merupakan sifat-sifat yang sentiasa melekat di tubuh umat Islam sebagaimana yang telah ditegaskan oleh teks-teks syariat.
 
Oleh kerana itu, Jamaah Ikhwanul Muslimin pada hakikatnya merupakan mata rantai sejarah umat Islam sepanjang zaman yang menghubungkan perjalanan aqidah, syariah mahupun sistem hidup secara keseluruhannya.
 
Inilah pintu masuk pertama untuk memahami Ikhwanul Muslimin dan dakwahnya.
 
PINTU MASUK KEDUA
Maka, telah menjadi kewajiban bagi umat Islam untuk tidak memberikan ketaatan kecuali kepada jamaah yang benar-benar dapat memenuhi ciri-ciri jamaatul muslimin agar kesetiaan orang muslim tidak akan sia-sia jika diberikan kepada selain orang-orang Islam yang memiliki komitmen.
Oleh kerana menegakkan hukum Islam merupakan kewajiban bagi setiap muslim, maka perkara itu menuntut adanya sebuah jamaah yang bekerja untuk memperjuangkannya kerana hukum Islam tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya jamaah, sementara Ikhwanul Muslimin telah bekerja untuk mewujudkan tujuan-tujuan tersebut, maka hal itu menunjukkan bahwa keberadaan dan tegaknya Ikhwanul Muslimin merupakan salah satu tuntutan yang mesti diperjuangkan.
Ini pintu masuk kedua untuk memahami Ikhwanul Muslimin dan dakwahnya.
PINTU MASUK KETIGA
 
Bersesuaian dengan harapan tersebut, perlu ada suatu perubahan pada minda dan perbuatan yang dapat mengubah peribadi seorang muslim dari :
 
1.      Tanpa rasa tanggungjawab Islam menuju keseriusan memikul dan melaksanakannya.
2.      Ketidakacuhan kepada Islam menjadi setia kepadanya.
3.      Kejahilan terhadap Islam menjadi faham tentangnya.
4.      Kelalaian menjadi ingat dan sedar.
 
Perubahan minda dan perbuatan yang berbagai ragam ini jelas menuntut kewujudan sebuah Jamaah Islam dan semua ini telah dirintis oleh Imam Hasan Al Banna atas asas taufik dari Allah swt.
 
Keberadaan Ikhwanul Muslimin sesungguhnya menuntut pembaharuan Islam, samada dalam bidang ilmu, amal, ataupun realiti kehidupan manakala di sudut lain pula, kelangsungannya juga membangkitkan permusuhan terhadap Islam.
 
Atas dasar itulah, demi kewujudan dan kelangsungan Islam, mesti lahir satu gerakan yang dapat mewujudkan cita-cita Islam dan semua itu merupakan kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
 
Bagi orang-orang Muslim yang sering bertanya:
 
"Apakah matlamat Ikhwanul Muslimin?"
 
mereka seharusnya mengubah pertanyaan mereka kepada :
 
"Apakah yang akan berlaku tanpa Ikhwanul Muslimin?"
 
Bahkan para ulama' Islam yang memiliki perhatian terhadap perjuangan Islam dewasa ini juga sering hanya disibukkan dengan sebahagian agendanya sahaja manakala seringkali pula berlaku di mana mereka tidak benar-benar memahami akan tuntutan keperluan masa kini, lalu mereka kemudiannya menjauhkan diri dari berbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.
Jika kita memahami permasalahan ini, maka kita telah mengetahui satu  lagi pintu masuk untuk memahami Ikhwanul Muslimin dan dakwahnya.
PINTU MASUK KEEMPAT
Dakwah Ikhwan merupakan simbol bagi berkibarnya panji politik Islam di berbagai wilayah Islam di mana tanpa dakwah Ikhwan, panji politik Islam kelihatan merudum dan tidak bermaya.
Ketahuilah bahwa di setiap wilayah Islam berdiri gerakan yang mengibarkan bendera politik selain Islam samada di bawah bendera nasionalisma, bendera humanisma, bendera komunisma dan lain-lain. Semua bendera ini ternyata dapat menarik banyak kelompok kaum muslimin sedangkan bendera politik Islam, tidak ramai yang sanggup mengibarkannya.
Adalah sesuatu yang dimaklumi bahwa Islam adalah agama yang menyeluruh dan merupakan sistem hidup yang lengkap. Sejak kejatuhan Daulah Utsmaniyah bahkan jauh sebelum itu lagi dan semenjak jatuhnya negara-negara Islam ke tangan kekuasaan negara-negara kafir, nasib  politik Islam mengalami kelemahan dan bahkan mengalami kehancuran besar. Oleh kerana itu mesti ada pihak yang mengibarkan kembali panji-panji untuk menegakkan sistem politik Islam dan Ikhwan telah melakukannya.
Ini pintu masuk yang lain untuk memahami Ikhwanul Muslimin dan dakwahnya.
Dari paparan di atas, kita mengetahui bahwa bergerak bersama Ikhwanul Muslimin merupakan keperluan bagi setiap muslim di zaman ini untuk menegakkan berbagai kewajiban, meskipun dia mempunyai aliran Islam sendiri.
 
Mengapa kita berkata demikian?
 
Ini adalah kerana untuk mewujudkan tujuan-tujuan Islam, diperlukan 'amal jama'ie' (kerja secara kolektif) di mana berlakunya banyak perubahan dalam kehidupan masyarakat kini misalnya :
 
a.       Ada fiqh dakwah yang sesuai dengan tuntutan zaman.
b.      Ada fiqh Islam tentang bagaimana menghadapi berbagai bentuk kekufuran, masa lalu mahupun masa kini.
c.       Ada kegiatan terhadap pemantauan berbagai kejadian yang menimpa umat Islam di berbagai wilayah.
d.      Ada tuntutan sikap sehari-hari sebagai kesan dari konflik harian demi tertegaknya Islam.
e.       Ada lagi tuntutan gerakan Islam bersepadu yang memerlukan setiap muslim berada di bawah naungannya.
f.       Ada juga aktiviti politik Islam yang semuanya memerlukan setiap muslim bergerak bersama Jamaah Islam.
 
Perlu dicatat bahwa gerakan Ikhwanul Muslimin adalah gerakan bersepadu dan menyeluruh  yang dapat memenuhi seluruh tuntutan dan menghimpun semua potensi. Oleh yang demikian,  tiada seorang muslim pun yang harus ketinggalan dari dakwah ini.
 
PINTU MASUK KELIMA
 
Kita melihat bahwa reformasi Islam di masa kini adalah 'trade mark' Ikhwanul Muslimin yang pertama. Banyak terdapat hukum yang berubah disebabkan perubahan zaman. Banyak situasi yang dapat mempengaruhi karakteristik sesebuah fatwa.
 
Oleh kerana itu, para ahli fiqh mengatakan :
 
"Fatwa ditetapkan berdasarkan masa, tempat dan peribadi yang memfatwakannya."
 
Tidak ragu lagi bahwa zaman kita kini adalah zaman yang memiliki karakteristik, sifat, interpretasi, prinsip nyata, piawaian, tuntutan untuk menerima atau menolak walaupun terhadap prinsipnya sendiri sedangkan orang di dalamnya sendiri memiliki sikap tertentu terhadap Islam.
 
Umat Islam sendiri saling berbeza pendapat dan terpecah belah sehingga Islam menjadi lemah manakala ikatan-ikatannya telah mulai terlerai dari jiwa ramai kaum muslimin.
 
Oleh kerana itu, persoalan reformasi Islam di masa kini merupakan persoalan mendesak yang memerlukan tenaga tertentu untuk membangunnya.
 
Dengan taufikNya, Allah swt telah menganugerahkan kepada Imam Hasan Al-Banna kemampuan meletakkan seluruh asas gerakan yang sempurna demi perjuangan pembaharuan di zaman Islam kini.
 
Oleh yang demikian, pembaharuan dan kefahaman terhadap zaman kini menjadi pintu masuk untuk mengetahui dakwah pokok Ikhwanul Muslimin. Suatu dakwah yang merangkumi banyak perkara termasuk perkara-perkara berikut :
PERTAMA
Rasulullah saw telah mewariskan kepada kita Al-Qur'an, As-Sunnah dan contoh aplikasinya serta produk yang dihasilkan dari ilmu dan amal.
 
Gerakan 'menghidupkan Islam' menuntut penghidupan ilmu, amal dan produknya. Yang dimaksudkan dengan produk di sini adalah situasi hati, jiwa dan ruhani sebagaimana ketika itu dimiliki oleh para sahabat Rasulullah saw; di mana :
 
a.       Jiwa menjadi suci.
b.      Hati menjadi takut kepada Allah.
c.       Ruh menjadi ma'rifat kepadaNya.
d.      Khusyuk dalam beribadah.
 
Proses menghidupkan Islam menyangkut juga perkara-perkara berikut ini :
 
1.      Menghidupkan kembali sesuatu yang kini disebut sebagai "fiqh dusturi" (fiqh kenegaraan) dan memformat kehidupan Islam dengannya.
2.      Menghidupkan kembali sesuatu yang kini disebut sebagai 'fiqih an niqabah' (sistem persyarikatan perdagangan) sehingga berbagai masalah perkongsian perdagangan mesti bermula dari fiqh Islam dalam perlaksanaannya.
3.      Menghidupkan kembali sesuatu yang kini disebut sebagai 'qawanin' (undang-undang) samada menyangkut undang-undang sivil, jenayah, individu, negara, perniagaan atau lainnya dan memformat kehidupan kaum muslimin dengannya.
4.      Menghidupkan kembali sistem rumahtangga Islam.
5.      Mengembalikan kedinamikan kehidupan umat Islam, agar dengan itu mereka dapat meneruskan perjuangan sejagatnya untuk menegakkan risalah Islam, agar kalimah Allah menjadi yang tertinggi di bumi ini.
 
KEDUA
 
Termasuk dalam proses menghidupkan Islam ini adalah menghidupkan sistem nilai Islam, samada secara umum ataupun dalam beberapa sektor.
 
Ini adalah kerana ada beberapa kalangan orang yang meyakini Islam secara umum, tetapi mengingkari perinciannya. Apabila ditunjukkan secara terperinci, mereka  mengingkarinya.
 
Di sudut lain, ada seseorang yang sibuk dengan urusan 'furu'iyah' (cabang) Islam, namun melalaikan masalah besarnya.
 
Salah satu dari aktiviti pembaharuan Islam yang telah dan akan terus diperjuangkan oleh Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah :
 
1.      Menghidupkan prinsip-prinsip asas dengan logik yang terang.
2.      Menceritakan kesyumulan ajaran Islam.
3.      Mentarbiyah orang untuk memegang teguh ajaran-ajaran Islam secara terperincinya.
 
Selain itu Jamaah Ikhwan juga menjelaskan perlaksanaannya dengan cara memberi pengenalan tentang masalah-masalah 'furu'iyah' sambil menjelaskan mana di antaranya yang tidak boleh diperselisihkan dan mana pula yang menerima perbezaan, batas-batasnya, bila diperbolehkan dan bila tidak serta bagaimana etikanya secara umum untuk setiap persoalan.
 
DAKWAH YANG RELEVAN SEPANJANG ZAMAN
 
Setiap pembaca sejarah umat ini pada suatu ketika akan menyaksikan di lembaran-lembaran dokumennya bahwa sisa kehidupan umat ini akan diwakili oleh dakwah Imam Hasan Al-Banna dan murid-muridnya.
 
Perjalanan baru umat ini akan dimulai dan diteruskan oleh dakwah beliau yang telah berhasil memadukan :
 
a.       Antara hukum-hukum syari'at dengan tuntutan zaman.
b.      Antara cita-cita melangit seorang muslim dengan pandangan realistik di medan sebenar.
c.       Antara kesempurnaan tarbiyah dan ta'lim dengan pengurusan aktiviti politik dan ekonomi.
 
serta lain-lain yang mampu memenuhi hajat kaum muslimin dewasa ini. Ia berhasil meletakkan berbagai perkara tadi, sekaligus membersihkan warisan Islam dari berbagai noda dan kotoran yang melekat padanya.
 
Jamaah yang didirikan oleh Imam Hasan Al-Banna sesungguhnya mampu memenuhi semua kepentingan kaum muslimin.
 
Tiada seorang muslim pun yang tidak merasakan bahwa dalam jamaah ini terdapat segala perkara yang diimpikannya.
 
Tidak ada sekelompok masyarakat pun yang tidak melihat bahwa kebaikan yang ingin diperjuangkannya terdapat dalam Jamaah ini.
 
Dengan kelengkapan-kelengkapan yang menjadi komponen jamaah yang didirikan oleh Imam Hasan Al Banna ini, nyatalah bahwa ia adalah jamaah yang matang dan melalui jamaah inilah beliau dapat mengambil keputusan yang benar walau berada di mana sekalipun di mana keputusan yang benar itu mampu membersihkan daki-daki dari tubuh dakwah.
 
Dengan yang demikian, seluruh kebaikan telah berkumpul dalam tubuh jamaah ini dan telah pula membersihkan dirinya dari berbagai noda yang mengotorinya selama ini.
 
Sesungguhnya Imam Hasan Al Banna telah :
 
1.      Mengambil aqidah lalu membersihkan kotorannya.
2.      Mengambil tasawuf lalu membersihkan kotorannya.
3.      Mengambil fiqh lalu membersihkan kotorannya.
 
dan begitulah seterusnya.
 
Katakanlah bahwa semua yang diperlukan oleh umat Islam masa kini dan tersedia dengan asas Islam yang bersih yang membawa kemaslahatan kepada kaum muslimin telah terhimpun dalam Jamaah Ikhwanul Muslimin.
 
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan dakwahMu yang lurus. Pertemukanlah kami dengan jamaah dakwah yang benar-benar dapat memenuhi semua tuntunan dan kehendak kaum muslimin, mempertahankannya dari segala syubhat dan noda serta membersihkan jiwa dan nurani kami dari kekotoran nafsu dan penyelewengan matlamat hidup.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top