Terkini...




0

Kemampuan Tanpa Batas


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Allah Yang Maha Agung menghendaki agar dakwah dilakukan dengan seluruh wasilah kemanusiaan dan seorang pendakwah wajib mencari berbagai cara yang mampu ditanggung oleh manusia untuk menjayakan dakwahnya.
 
Oleh kerana itu Rasulullah saw tidak selalu berkata :
 
"Perkara ini telah diwahyukan kepadaku."
 
Tapi baginda lebih sering berkata :
 
"Aku mempunyai cara dan idea yang lain."
 
Bahkan dalam Perang Uhud, sebahagian sahabat berbeza pendapat dengan Nabi dalam hal taktik dan strategi perang, padahal Nabi berada di tengah-tengah mereka dan wahyu turun kepada beliau.
 
Firman Allah swt :
 
"Bahwa Allah tidak membebani seseorang di luar kemampuannya." (QS Al-Baqarah : 286)
 
Ayat ini adalah satu penjelasan yang menguatkan prinsip tersebut.
 
Pembebanan adalah satu perkara yang menyusahkan. Oleh kerana itu, ia mesti berkadar lurus dengan kemampuan.
 
Imam Al Qurtubi berkata :
 
"Allah menggariskan bahwa Dia tidak akan membebani hambanya (sejak ayat ini diturunkan) dengan amalan-amalan hati atau anggota badan, sesuai dengan kemampuan orang tersebut. Dengan demikian umat Islam terangkat kesulitannya. Ertinya, Allah tidak membebani apa-apa yang terlintas dalam perasaan dan tercetus dalam hati."
 
Ramai orang yang memahami ayat ini dengan mengatakan bahwa kemampuan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah batasan minima kemampuan seseorang.
 
Oleh kerana itu, kemampuan dapat berubah-ubah bergantung kepada motivasi di mana ada orang yang tidak mampu dan ada orang yang mampu.
 
Tentu sahaja pendapat ini agak mengelirukan kerana para sahabat menunjukkan contoh secara nyata kepada kita bahwa mereka memberi komitmen dengan seluruh kapasiti kemampuan mereka.
 
Jika kita buka lembaran sirah para sahabat, kita akan dapati kebanyakan mereka wafat di luar negeri.
 
  1. Abu Ayub Al-Anshari wafat di benteng Konstantinopel.
  2. Ummu Haram binti Milhan mengakhiri hidupnya di Pulau Qubrus, Yunani.
  3. Uqbah bin Amir meninggal di Mesir.
  4. Bilal bin Rabah dimakamkan di Syria.
 
Demikianlah mereka mengembara ke segenap penjuru dunia untuk berdakwah. Mereka mengerahkan semua yang berharga dalam hidupnya untuk meninggikan panji Islam.
 
Begitulah semestinya memahami ayat 286 surah Al Baqarah di atas.
 
Dalam Perang Uhud para sahabat tetap memenuhi seruan Allah untuk mengejar orang-orang musyrik.
 
Usaid bin Hudhair ra berkata :
 
"Dengar dan taat hanyalah untuk Allah dan untuk Rasulnya".
 
Ia langsung menyiapkan senjatanya, padahal ia baru sahaja mengubati tujuh kesan luka yang bersarang di tubuhnya.
 
Bahkan dalam peperangan "Hamra' Al-Asad", empat puluh orang sahabat masih tetap keluar ikut berperang meskipun mereka masih dalam keadaan terluka. Di antara mereka adalah Thufail bin Nu'man dengan 13 luka di tubuhnya dan Kharrasy bin As-Simmah dengan 10 luka di tubuhnya.
 
Semua ini menunjukkan bahwa :
 
"Kemahuan yang kuat akan mengerahkan seluruh kesungguhan, walaupun menghadapi banyak kesulitan dan penderitaan. Sebaliknya, kemahuan yang lemah menjadi tidak berdaya meskipun wasilah dan waktu tersedia."
 
Oleh kerana itulah, Allah swt menyebutkan sikap mereka dalam Al-Qur'an :
 
"(Iaitu) orang-orang yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di antara mereka dan yang bertakwa, ada pahala yang besar." (QS Ali Imran : 172)
 
KEMAMPUAN DAN KEINGINAN
 
Kemampuan untuk berdakwah adalah dorongan kehendak jiwa dan melaksanakannya atas izin Allah.
 
Apabila dorongan itu tidak ada pada diri seseorang, maka ia menjadi tidak berdaya. Oleh kerana itu Nabi saw mengajarkan kita untuk berdoa :
 
"Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari rasa sesak dada dan gelisah, dan aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan kikir dan aku berlindung kepadaMu dari dikelilingi hutang dan penguasaan manusia."
 
Rasulullah saw juga bersabda :
 
"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah. Segala sesuatunya lebih baik. Nampakkanlah terhadap perkara-perkara yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah engkau menjadi tidak berdaya." (HR Muslim)
 
Sesungguhnya perasaan tidak berdaya dan tidak mempunyai kemampuan yang sentiasa diucapkan berulang kali oleh para pendakwah hanya akan mengendurkan kekuatan Islam serta melambatkan kelajuan kenderaan dakwah.
 
Apabila seorang pendakwah tidak berani membangun dakwahnya tanpa ada perasaan takut, keadaan itu sebenarnya akan menghancurkan dakwahnya.
 
Apabila seorang pendakwah tidak tahan menerima kritikan, ia tidak akan pernah maju ke depan dan tidak akan sampai kepada kemampuan untuk memberikan arahan (taujih) dan perubahan (taghyir).
 
BATAS KEMAMPUAN PENDAKWAH
 
Apakah batasan kemampuan seorang pendakwah dalam berdakwah?
 
Jawabannya ada di dalam firman-firman Allah swt berikut :
 
"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia." (QS Al-Anfal : 74)
 
"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." (QS At-Taubah : 20)
 
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar." (QS Al-Hujurat : 15)
 
"Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya." (QS Ash-Shaff : 11)
 
"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (QS At-Taubah : 41)
 
Maksud dari firman Allah swt dalam surah At Taubah, ayat 41 di atas adalah sama sahaja apakah kamu dalam keadaaan ringan untuk pergi berjihad atau dalam keadaan berat.
 
Keadaan ini mengandungi beberapa pengertian :
 
PERTAMA :
 
Ringan kerana bersemangat untuk keluar berjihad dan berat kerana merasa sukar untuk berangkat.
 
KEDUA :
 
Ringan kerana tidak ramai ahli keluarga yang ditinggalkan dan berat kerana ramainya ahli keluarga yang ditinggalkan.
 
KETIGA :
 
Ringan kerana kurang persenjataan yang dibawa sebaliknya berat kerana beratnya persenjataan yang dibawa.
 
KEEMPAT :
 
Ringan kerana berkenderaan dan berat kerana berjalan kaki.
 
KELIMA :
 
Ringan kerana masih muda dan berat kerana telah uzur dan lanjut usia.
 
KEENAM :
 
Ringan,kerana keadaan fizikal badan yang kurus dan berat kerana pertambahan berat badan.
 
KETUJUH

Ringan kerana sihat dan cergas dan berat kerana sakit atau badan kurang selesa.
 
Jadi, ia sebenarnya mencakupi seluruh aspek.
 
Kebanyakan para sahabat dan tabi'in memahami ayat itu dengan pengertian yang mutlak.
 
Mujahid berkata :
 
"Sesungguhnya Abu Ayub Al Ansari turut mengambil bahagian dalam peperangan Badar bersama Rasulullah saw dan ia belum pernah tertinggal dari peperangan.
 
Ia berkata, "Allah telah berfirman dalam surah At Taubah ayat 41 :
 
maka itu ertinya aku dapati diriku dalam keadaan ringan atau berat'."
 
Dari Safwan bin Amr, ia berkata :
 
"Ketika aku menjadi Gabenor Homs (Syria), aku menjumpai seorang bapa tua warga Syria yang telah lanjut usianya. Ia berada di atas kenderaannya bersiap-siap hendak ikut berperang.
 
Lalu aku berkata kepadanya, 'Wahai ayahanda, engkau diizinkan oleh Allah untuk tidak ikut berperang.'
 
Seraya mengangkat kedua keningnya, bapa tua itu berkata, 'Wahai anakku, Allah telah menyuruh kita keluar baik dalam keadaan ringan mahupun berat. Ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa menguji orang yang dicintainya.'
 
Diriwayatkan oleh Imam Az-Zuhri, suatu ketika Said bin Al-Musayyib ra keluar untuk berperang sedangkan salah satu matanya tidak dapat melihat. Lalu ia berkata :
 
"Allah meminta kita untuk keluar berperang, baik terasa ringan atau berat. Jika aku tidak berdaya untuk berjihad, maka bererti aku telah memperbanyakkan pasukan musuh dan aku hanya menjaga harta bendaku."
 
Juga ketika Al-Miqdad bin Al-Aswad dikatakan kepadanya pada ketika beliau hendak berperang, "Engkau dimaklumi."
 
Lalu ia berkata :
 
"Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kita surah Al-Bara'ah : "Pergilah dalam keadaan ringan ataupun berat."
 
DAKWAH ADALAH TAKTIK DI JALAN ALLAH
 
Taktik di jalan Allah tidak hanya terbatas kepada peperangan tetapi mencakupi pengertian yang lebih luas.
 
Dakwah dengan segala bentuknya adalah suatu taktik di jalan Allah. Oleh kerana  itu, dalam surat At-Taubah, Allah swt menyebutkan :
 
"Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya." (QS At-Taubah : 122)
 
Imam Ar-Razi berkata :
 
"Kewajiban berdakwah bagi para sahabat terbahagi menjadi dua golongan, satu golongan keluar untuk berperang dan golongan lainnya tetap tinggal bersama Rasulullah saw.
 
Golongan yang berperang mewakili golongan yang tidak ikut serta manakala golongan yang tidak ikut berperang mewakili yang berperang dalam hal mendalami ilmu pengetahuan.
 
Dengan cara inilah urusan agama dapat diselesaikan secara sempurna."
 
Jika kita membuat analisa, ada dua keterkaitan yang erat pada ayat tersebut iaitu  keterkaitan antara taktik "tafaqquh" (pembelajaran) dan taktik "indzar" (dakwah).
 
Oleh kerana itu, seorang Muslim dituntut untuk memaksimakan  kesungguhannya serta ditanya tentang beban kemampuan dirinya untuk membela agama Islam dengan bentuk jihad yang beraneka ragam dimulai dengan dakwah penuh hikmah dan nasihat yang baik hingga jihad dengan mengorbankan jiwa-raga.
 
Seorang mukmin sedar betul bahwa setiap kesungguhan yang dikerahkannya dalam ketaqwaan adalah kesungguhan yang disesuaikan dengan kemungkinan-kemungkinan hakikat dirinya yang lemah dan tidak akan sampai pada darjat yang sesuai dengan keagungan Allah swt.
 
Oleh kerana itu, sebahagian para mufassirin berpendapat bahwa firman Allah :
 
"Bertaqwalah engkau kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa" (QS Ali Imran : 102),
 
di-mansuhkan dengan ayat "Bertaqwalah kepada Allah semampu kamu".
 
Perkara ini berdasarkan keterangan dalam "asbabun nuzul" bahwasanya tatkala ayat pertama turun, kaum muslimin merasa keberatan kerana sebenar-benar taqwa bererti :
 
  1. Tidak boleh bermaksiat walau sekelip mata sekalipun.
  2. Mesti sentiasa bersyukur.
  3. Tidak boleh kufur.
  4. Mesti sentiasa ingat dan tidak boleh lupa.
 
Tiada seorang hamba pun yang mampu melakukannya.
 
Apabila tiada kesepakatan bahwa ayat tersebut mansuh, maka kita mesti mengatakan wallahu a'lam.
 
Ada dua kapasiti ketaqwaan :
 
  1. Kapasiti yang hanya layak untuk Allah swt.
  2. Kapasiti ketaqwaan yang sesuai dengan kemampuan seorang hamba.
 
Kapasiti yang sesuai dengan kemampuan seseorang adalah kapasiti individu yang berbeza dengan individu lainnya, dan berbeza pada satu keadaan dengan keadaan lainnya.
 
Sayugianya seorang mukmin mesti sentiasa berada di antara dua kapasiti tersebut.
 
Berusaha mengarah kepada keagungan Allah swt kerana bagi seorang Mukmin, esok mesti lebih baik dari hari ini dan hari ini mesti lebih baik dari hari kelmarin.
 
Juga hendaknya seorang Mukmin mesti meningkatkan tingkatan ketaqwaannya bersamaan dengan :
 
  1. Bertambahnya pengetahuan.
  2. Bertambahnya kenikmatan yang diperolehinya.
  3. Bertambahnya usia.
 
Jika seseorang itu memahami dengan baik perkara tersebut di atas, pasti dirinya akan merasa takut jika belum mengerahkan kemampuan sesuai yang dituntut kepadanya dan semakin berhati-hati dalam melaksanakannya.
 
Seorang Mukmin yang faham akan perkara ini sentiasa merasa tidak puas dengan amal dan kesungguhan yang telah dikerahkannya.
 
Ia sentiasa khuatir takut-takut  telah mengabaikan tuntutan yang diminta oleh Allah swt dari seorang Mukmin. Itulah keadaan orang-orang yang beriman sebagaimana yang disebutkan oleh Allah swt dalam firman-Nya :
 
"Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahwa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka, mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.  Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya, dan pada sisi Kami ada suatu Kitab yang membicarakan kebenaran, dan mereka tidak dianiaya." (QS Al-Mu'minun : 57- 62)
 
SIKAP BERHATI-HATI DAN RASA TAKUT
 
Salah satu sifat orang-orang Mukmin yang disebutkan di dalam ayat tersebut di atas adalah sikap berhati-hati dan rasa takut.
 
Sikap berhati-hati mencakupi rasa kekhuatiran yang bercampur dengan sedikit perasaan lemah dan tidak berdaya.
 
Imam Ar-Razi berkata :
 
"Di antara mereka ada yang cenderung mengertikan "isyfaq" dari perspektif pengaruhnya, iaitu ketaatan yang berterusan dan makna ayat tersebut menjadi, "orang-orang yang taat secara berterusan kerana takut kepada Tuhan mereka, dan bercita-cita untuk mencapai keridhaannya."
 
Jelasnya, bila seseorang sampai kepada perasaan takut yang membawanya pada sikap berhati-hati.
 
Kesempurnaan rasa takut adalah puncak ketakutan akan murka Allah dan azab akhirat, sehingga ia sentiasa menghindarkan diri dari maksiat.
 
Maka, barangsiapa yang memiliki kesempurnaan rasa takut kepada Allah, ia akan memenuhi perintah Allah untuk :
 
  1. Berdakwah.
  2. Menjalankan perintahnya.
  3. Menjauhi larangannya.
 
Sedangkan keadaan mereka yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, maksudnya adalah komitmen menyampaikan setiap kebenaran.
 
Oleh kerana itu, barangsiapa yang beribadah dan ia merasa takut dari sikap lalai dan salah disebabkan oleh kekurangan atau yang lainnya, maka demi rasa takut tersebut, ia akan bersungguh-sungguh menunaikan ibadahnya.
 
Rasa takut terhadap kekurangan yang menyebabkan seseorang mengerahkan kesungguhannya dalam bertakwa adalah tingkatan para 'shiddiqin' (orang yang konsisten).
 
Sesungguhnya Allah swt telah menjelaskan bahwa sebab rasa takut itu muncul kerana mereka akan kembali kepada Allah swt.
 
Beruntunglah orang yang memiliki sifat luhur seperti itu dan menjadikan jiwa mereka bersih dari 'riya'' dan 'sum'ah' (ingin dilihat dan didengar orang) serta mengarahkan keinginan-keinginannya kepada peningkatan amal.
 
Setelah arahan tersebut di atas, ayat-ayat dalam surah Al-Mu'minun itu mendorong peningkatan kapasiti dan kebolehan seseorang.
 
Dari sini, nampaklah kesepaduan antara seseorang yang memberikan tanggung jawab sesuai dengan kemampuan dan Allah yang sentiasa mengetahui hakikat kemampuan yang diawasi dan dihisabnya.
 
Sehingga akhirnya seorang pendakwah yang menuju ke tingkatan rasa takut dan hati-hati akan sampai kepada kebenaran dan ketepatan dalam menentukan batas kemampuannya.
 
Ya Allah, berilah kekuatan jiwa kepada kami sehingga kami mampu memberi segala kemampuan yang ada pada kami untuk melaksanakan segala perintah-perintahMu mencakupi dakwah dan amar ma'ruf nahi mungkar dan samada dalam keadaan ringan atau berat disertai jiwa yang takut kepadaMu sehingga kami sentiasa dalam keadaan taat yang berterusan kepadaMu.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top