Terkini...




0

Pelbagaikan Kaedah Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ada seorang pernah berkata bahawa ia merasa tidak mempunyai kemampuan untuk berdakwah kerana dia bukan seorang yang faqih dan bukan juga seorang yang banyak tahu tentang kaedah dakwah.

Adapun hadits-hadits Rasulullah saw yang berkaitan dengan dakwah yang telah dibacanya merupakan sebuah barakah.

Ia tidak tahu bahawa barakah mesti berbuah dan buah dari barakah adalah produktiviti.

Rasulullah saw bersabda :

"Senyummu pada wajah saudaramu adalah sedekah." (Mashabih As Sunnah)

Cuba kita perhatikan bahwa Rasulullah saw tidak mengatakan "Senyummu untuk saudaramu."

Bahkan digunakan perkataan "wajah", kerana pada wajah terdapat banyak pancaindera dan ia merupakan gambaran hakiki seorang manusia.

Oleh kerananya, sebuah senyuman yang tidak terlihat oleh saudara kita tidak akan mempunyai erti dan tidak akan berkesan.

Senyuman adalah gambaran isi hati yang menggerakkan perasaan dan memancar pada wajah seperti kilauan cahaya seakan-akan berbicara dan memanggil sehingga hati yang mendengar akan terpikat.

Senyuman yang dibuat-buat tidaklah sama dengan senyuman yang tulus ikhlas.

Senyuman yang dibuat-buat adalah sebuah ciptaan seni, tidak lebih dari hanya sebuah senyuman plastik.

Sedangkan senyuman yang tulus ikhlas adalah fitrah; ia ibarat bunga yang mekar di tangkainya, indah dipandang mata dan harum baunya yang menjadikan jiwa terlena dan bersimpati.

Mengenai perkara ini, Rasulullah saw telah mengingatkan kepada kita dengan sabdanya :

"Kamu tidak akan dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia." (HR Abu Ya'la dan Al Baihaqi)

Puluhan tahun yang lalu, ada sebuah penemuan ilmiah menyebutkan bahwa tumbuh-tumbuhan akan semakin subur apabila berada di tempat di mana terdapat alunan suara berirama perlahan dan tumbuh-tumbuhan itu akan merasa "gembira" tatkala pemiliknya menyiraminya dengan air yang sejuk.

Namun sebaliknya, tumbuh-tumbuhan itu akan "menangis" tatkala ada yang memetik tangkai dan bunganya.

Rasulullah saw bersabda :

"Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita pun mencintainya. "

Jika demikian keadaan tumbuh-tumbuhan dan benda-benda mati, maka keadaan manusia yang telah diberi oleh Allah swt nikmat berupa pancaindera dan akal tentu lebih
dari itu.

Itulah rahsia yang tersimpan dalam diri manusia. Apabila ia dapat membuka rahsia itu, Allah akan membukakan baginya penglihatan dan mata hati mereka yang lalai dan terlena dalam kemaksiatan.

Dengan iman, perasaan, dan kekuatan ruhiah, Islam mengubah ramai manusia dengan sebuah perubahan yang tidak mampu dilakukan oleh kekuatan-kekuatan material.

Seorang pendakwah hendaklah merasakan nikmat iman yang tulus ikhlas sehingga ia dapat menembusi batu sekeras mana pun dan dapat menumbuhkan pohonan meskipun di tengah padang pasir yang gersang. Ia akan mampu mencetak "khairu ummah" (umat terbaik).

Kalau kita teliti, maka kita akan ketahui bahwa yang menyebabkan generasi pertama umat ini masuk Islam adalah :

1. Senyuman yang tulus.
2. Pandangan yang menenangkan.
3. Pergaulan yang simpatik.
4. Ucapan yang berkesan.

Jadi, jika kita tidak tersenyum pada wajah saudara kita, maka kita tidak akan mendapatkan pahala sedekah itu. Jika setiap muslim mahu memberi senyuman tatkala bertemu dengan saudaranya sesama muslim, kita akan melihat sebuah masyarakat muslim yang berwajah ceria dan saling mencintai.

Inilah barakah dari sebuah senyuman yang tulus.

Allah swt pernah menegur Rasulullah saw tatkala beliau bermuka masam ketika ditemui oleh Abdullah Ibnu Umi Maktum ra.

Allah swt berfirman :

"Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari
dosa)."(QS 'Abasa : 1-3)

Dari contoh ini, kita akan mengetahui bahawa setiap yang datang dari Rasulullah saw adalah kaedah dakwah dan manhaj tarbiyah.

Marilah kita mengambil salah satu contoh dari hadits-hadits berikut yang mengajarkan tentang wasilah dan kaedah dakwah yang mudah dipelajari dan diterapkan oleh para pendakwah.

Kita akan melihat bahawa pelajaran-pelajaran itu sangat mudah dan akan menyedari bahawa daya tangkap kitalah yang memang belum sampai kepada hakikat yang hendak disampaikan oleh Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda :

"Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka bertanyalah, jika sakit maka jenguklah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah (dengan mengucapkan 'yarhamukallah' , dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (ke kubur)." (HR Muslim)

PERTAMA : JIKA BERTEMU MAKA BERILAH SALAM


Mengucapkan salam adalah langkah pertama dan ianya akan semakin mantap jika diikuti dengan berjabat tangan.

Ucapan salam mesti disertai dengan perasaan :

a. Cinta.
b. Senang hati.
c. Wajah yang berseri.

Ini adalah agar fungsi ucapan salam itu dapat diwujudkan. Selepas itu bolehlah saling memperkenalkan nama, pekerjaan dan tempat tinggal. Dengan yang demikian, kita telah memulakan tahap awal dalam berdakwah.

KEDUA : JIKA TIDAK KELIHATAN MAKA BERTANYALAH

Watak sebuah perkenalan adalah jika seseorang yang sudah kita kenal itu tidak terlihat dalam waktu yang tertentu, maka kita mesti mencari khabar berita tentang keadaannya atau  menghubunginya, samada melalui telefon, surat, e-mail ataupun SMS.

KETIGA : JIKA SAKIT MAKA JENGUKLAH

Sunnatullah akan berlaku pada setiap orang di mana pada suatu ketika ia akan merasa :

a. Gembira.
b. Sedih.
c. Sakit.

Maka setiap keadaan mesti dihadapi dengan sikap yang Islamik. Jika kita mendengar bahawa sahabat kita sakit, kita mesti cepat-cepat :

1. Menjenguknya.
2. Memberikan ketenangan kepadanya.
3. Mendoakan untuk kesembuhannya.
4. Membawa hadiah yang sesuai.

Rasulullah saw bersabda :

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana hadiah itu akan menjadikan kamu saling mencintai." (HR Malik dalam "Al-Muwatha" ')

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama muslim kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepadanya, 'Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga.'" (HR Muslim)

Di tempat sahabat kita tersebut, kita pun dapat berkenalan dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan dengan yang demikian kita akan semakin ramai mempunyai kenalan.

Jangan sampai kunjungan itu kita pergunakan untuk membaca Al Qur'an, majalah atau berbual yang tidak ada gunanya agar tujuan dan matlamat kunjungan tersebut dapat dipenuhi.

Jika kita masuk rumahnya, hendaklah kita duduk di mana kita dipersilakan duduk.

Diriwayatkan dalam sebuah atsar :

"Barangsiapa masuk rumah salah seorang di antara kamu maka duduklah di tempat tersebut, kerana kaum itu lebih mengetahui aurat rumah mereka." (HR Thabrani)

KEEMPAT : JIKA IA MENGUNDANGMU MAKA PENUHILAH

Setelah melewati tahapan-tahapan di atas maka hubungan antara kita dengan sahabat kita akan semakin erat. Suatu ketika, sahabat kita akan menghadapi keadaan-keadaan penting seperti kejayaan dalam tugas, perkahwinan atau yang lainnya, lalu ia mengundang kita untuk menghadiri acara-acara tersebut.

Kita mesti memenuhi undangan tersebut kerana ini merupakan kesempatan berharga yang tersedia tanpa perlu kita rancangkan terlebih dahulu. Begitu juga sebaliknya, kita pun mesti mengundangnya dalam acara-acara penting yang kita adakan.

KELIMA : JIKA IA BERSIN DAN MENGUCAPKAN  "HAMDALAH" MAKA JAWABLAH (UCAPKAN "YARHAMUKALLAH)

Duduk bersebelahan dengan orang yang belum dikenali di suatu tempat, samada di perjalanan, majlis keramaian ataupun tatkala menjenguk orang sakit, lalu orang yang duduk di sebelah kita itu bersin maka hendaklah kita menoleh kepadanya dengan wajah berseri seraya mengucapkan, "yarhamukallah (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada Anda)."

Tentunya perkara ini akan menjadikan dirinya merasakan sesuatu yang baru dan selepas itu kita dapat bercakap-cakap dengannya.

KEENAM : JIKA IA MENINGGAL DUNIA MAKA HANTARKANLAH KE TEMPAT PEMAKAMANNYA

Apa yang dapat kita lakukan setelah seseorang itu meninggal dunia dan dikuburkan?

Pada hakikatnya, menghantar orang lain yang meninggal ke tempat pemakaman adalah menghantar dirinya sendiri, yang ia akan dapat mengambil nasihat, pelajaran, dan merenungkannya.

Ini sebuah sunnah Rasulullah saw yang menggambarkan persatuan dan kesatuan kaum muslimin.

Jika sebelumnya, kita dapat mengenal peribadi orang yang telah meninggal dunia, maka sekarang kita dapat menggunakan kesempatan untuk berkenalan dengan keluarganya dan orang-orang yang berta'ziah ke rumahnya.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa menghadiri jenazah hingga menyolatkannya, maka baginya pahala satu qirath. Barangsiapa menyaksikan hingga di makamkan, maka baginya dua qirath." Seorang sahabat bertanya, "Apakah dua qirath itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Seperti dua gunung yang besar." (Muttafaqun 'Alaih)

CONTOH MITHALI SEORANG PENDAKWAH
Sekarang mari kita menyusuri kehidupan seorang pendakwah yang bernama Syeikh Ali Nawaitu yang juga merupakan seorang tokoh Ikhwanul Muslimin yang kaya dengan pelbagai kaedah dakwah dalam rangka untuk menarik masyarakat kepada dakwah sehingga ia menjadi contoh mithali kepada mereka yang bergaul dengannya.
Beliau di antara anggota Ikhwan yang telah dipenjarakan selama 20 tahun iaitu dari tahun 1954 hingga 1974 di penjara Mesir.
KEMAHIRAN MELUKIS DALAM PENJARA
Beliau menceritakan pengalamannya di dalam penjara bagaimana para banduan di kalangan anggota Ikhwan belajar ilmu dari anggota yang lain sehingga masing-masing mempunyai berbagai kepakaran.
Salah satu dari kepakaran yang dipelajari adalah mengingati wajah anggota Ikhwan yang masuk ke penjara dan melukisnya di atas kertas.
Kebiasaannya, apabila seseorang ditahan, keluarga mereka tidak diberitahu. Jadi jika ada banduan baru dari anggota Ikhwan yang masuk penjara, beliau akan melukis potret banduan tersebut di atas kertas sebesar saiz setem dan kertas ini akan diseludup keluar dan kemudiannya potret itu dibesarkan supaya orang di luar penjara boleh tahu siapa yang masuk ke penjara.
Dikatakan beliau mampu mengingati sehingga 300 wajah anggota Ikhwan dalam penjara serta dapat melukisnya dengan tepat.
MENGINGATI WAJAH SAUDARA SEPERJUANGAN
Di antara rahsia mengapa beliau dapat mengingati wajah-wajah saudara-saudaranya ialah amalan beliau dalam membaca Al Ma'thurat dan doa Rabithah.
Pernah dalam suatu halaqah setelah selesai membaca Al Ma'thurat secara jamai'e, maka beliau menyuruh semua mereka yang hadir dalam halaqah itu untuk bangun membuat satu bulatan dan kemudiannya masing-masing memegang tangan secara bergandingan di kiri dan kanan.
Beliau kemudiannya menyuruh mereka untuk menutup mata masing-masing dan mengarahkan untuk membayangkan serta mengingati wajah setiap Ikhwah yang dikenali. Mungkin dengan cara inilah bayangan wajah-wajah sahabat seperjuangan dapat diingati dan dihadirkan dalam pemikiran kita.
MENYUSUN KASUT DAN SELIPAR
 
Pernah juga berlaku dalam satu program katibah / qiyam di mana beliau adalah salah seorang yang berada dalam majlis tersebut. Semasa program berlangsung beliau meminta izin untuk keluar sekejap.
 
Beberapa minit selepas itu, salah seorang Ikhwah dalam program tersebut juga meminta izin utnuk keluar ke bilik air, namun apabila Ikhwah tersebut membuka pintu, beliau terkejut apabila mendapati Syeikh Ali Nawaitu sedang duduk menyusun kasut dan selipar di luar dewan.
 
Ikhwah itu bertanya mengapa Syeikh Ali melakukan itu lalu Syeikh Ali memberitahunya supaya membiarkan dirinya menyelesaikan tugas tersebut dan menyuruh Ikhwah tersebut agar diam dan masuk semula ke dalam dewan. Beliau mengatakan ini adalah arahan sebagaimana sabda Rasulullah saw :
 
"Baiki diri kamu dahulu kemudian seru orang lain."
 
MINUM AIR DENGAN PENUTUP BOTOL
 
Dalam suatu perjalanan di dalam kereta setelah selesai menyampaikan 'taujihat', beliau merasa dahaga dan di dalam kereta itu ada sebotol air mineral.
Beliau bertanya samada ada cawan atau gelas supaya beliau dapat menuangkannya ke dalamnya untuk diminum.
Oleh kerana tiada cawan atau gelas di dalam kereta tersebut, maka penumpang yang lain menyuruhnya untuk meminumnya terus dari mulut botol tersebut namun beliau enggan kerana menurutnya itu bukan dari sunnah Nabi saw dalam hal meminum minuman.
Setelah berfikir beberapa saat, beliau mempunyai satu idea iaitu beliau membuka tudung botol air mineral tersebut yang agak kecil saiznya dan menuangkan air dengan perlahan-lahan ke dalamnya lalu meminumnya beberapa kali. Penumpang lain terpinga-pinga melihat gelagat Syeikh Ali yang  begitu kuat pegangan beliau dalam hal melaksanakan sunnah Nabi dalam kehidupannya.   
 
SENTIASA BERKAWAD DAN SENAMAN PAGI
 
Di antara rahsia kesihatan badannya walaupun umur beliau sudah agak lanjut ialah beliau sentiasa melakukan kawad dan melaksanakan senaman di waktu pagi yang sudah menjadi agenda rutinnya di waktu pagi.
 
Pernah dalam usia yang lanjut tersebut, beliau masih mampu mendaki gunung dan beliau nampak lebih tangkas dari Ikhwah lain yang lebih muda dari beliau yang juga turut serta.
 
Demikianlah sekelumit kisah seorang pendakwah mithali yang berjaya menerapkan berbagai  kaedah dakwah di dalam interaksinya dengan masyarakat sehingga beliau mampu menjadi contoh yang bergerak dan berjalan di alam nyata.
Ada sebuah ungkapan yang mengatakan :

"Berbuat baiklah, dan lemparkan kebaikan itu ke dalam lautan."

Tetapi para pendakwah mengatakan :

"Berbuat baiklah kerana Allah, niscaya kebaikan itu akan kembali kepadamu di dunia mahupun di akhirat."

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami amalkan sabda-sabda NabiMu sebagai kaedah dakwah yang akan memudahkan kami untuk berinteraksi sesama manusia serta menjadi sebab kepada manusia mendapat petunjuk dan hidayah dariMu untuk kembali tunduk dan menyerah diri kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 
0

Akhlak Asas Pembangunan Diri


Assalamualaikum Ikhwah dan Akhawat sekalian,

Suatu ketika Rasulullah saw bertanya kepada para sahabatnya :

"Inginkah kamu ku beritahu siapa dari kamu yang paling aku cintai dan akan duduk paling dekat denganku di majlis di hari Kiamat kelak?

Rasulullah saw mengulangi pertanyaan itu.

Pada ulangan pertanyaannya yang ketiga, para sahabat seperti tersentak dan berkata :

"Ya, kami ingin mengetahuinya ya Rasulullah! "Rasulullah saw kemudian bersabda :

"Orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu." (HR Ahmad)

Demikianlah, Rasulullah saw memulai dari akhir; menjelaskan kedudukan orang yang berakhlak mulia di akhirat kerana akhlak adalah bahagian terakhir dari ajaran Islam yang baginda bawa setelah aqidah dan
 syariat.

Dalam hadis lain, Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (HR Malik)

Oleh kerana itu, iman tidak di anggap sempurna sebelum mampu membangkitkan tenaga jiwa seseorang untuk mendorong keluarnya nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan dalam bentuk sikap dan perilaku.

Itulah iman yang hidup dan yang sempurna.

Dengarlah sabda Rasulullah saw :

"Orang mu'min yg paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka." (HR Tirmizi dari Abu Hurairah)

Oleh kerana itu, Allah swt mewajibkan berbagai macam ibadah agar 
iman menemui jalan menuju perilaku dan akhlak manusia muslim.

Itulah sebabnya, jika ibadah-ibadah tersebut tidak sampai berakhir dengan akhlak yang baik, maka bererti ia tidak sempurna dan tidak berkesan.

Ini sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Ankabut ayat 45 :

"….Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan2) keji dan munkar…".

Maka janganlah hairan jika kemudian nanti Allah akan menjadikan akhlak yang baik sebagai amal yang berat timbangan pahalanya.

Dalam ayat matematik, bolehlah kita rumuskan akhlak seperti berikut :

Akhlak = Iman + Amal Soleh

Dalam deretan ayat-ayat Al Quran, kita akan menemui dua kata kembar di atas yang sentiasa disebut secara bergandingan iaitu iman dan amal soleh.

a.       Yang pertama tersimpan dalam batin manakala yang kedua tersusun rapi pada keperibadian luar.

b.      Yang pertama menggelora dalam jiwa manakala yang kedua menggelombang dalam perilaku.

Kedua-duanya merupakan bahagian-bahagian yang :

1.      Menyatu.
2.      Saling terkait.
3.      Berjalan bergandingan mengayun langkah keperibadian.

Maka, hujung dari iman dan amal soleh adalah akhlak.

Perkara di atas boleh kita perincikan lagi seperti berikut :

PERTAMA : IMAN

Kumpulan kebenaran yang difahami dan diyakini secara mutlak; sesuatu yang kemudiannya mengarahkan pemikiran membentuk kemahuan dan meluruskan perilaku.

KEDUA : AMAL SOLEH

Kumpulan tindakan dan sikap yang lahir dari kesedaran pemikiran akan nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan serta kemahuan yang kuat yang berubah menjadi tekad.

Maka;

KETIGA : AKHLAK

Nilai dan pemikiran yang telah menjadi sikap mental yang mengakar dalam jiwa lalu terzahir dalam bentuk tindakan dan perilaku yang bersifat tetap, semulajadi dan membuahkan hasil.

Sebagaimana amal soleh mencakupi semua sektor kehidupan manusia maka akhlakpun seharusnya hadir dalam semua sisi kehidupan manusia yang kita panggil sebagai wilayah akhlak.

Akhlak dalam semua wilayah keperibadian manusia meliputi :

a.       Akhlak bagi pemikiran.
b.      Akhlak bagi keyakinan.
c.       Akhlak bagi hati.
d.      Akhlak bagi jiwa.

Akhlak dalam semua wilayah hubungan manusia meliputi :

a.       Akhlak manusia kepada Allah.
b.      Akhlak manusia kepada sesama manusia.
c.       Akhlak manusia kepada diri sendiri.
d.      Akhlak manusia kepada lingkungan alam di sekitarnya.

Akhlak dalam semua dimensi kehidupan manusia meliputi :

a.       Akhlak individu.
b.      Akhlak sosial.

Akhlak dalam semua sektor kehidupan manusia meliputi :

a.       Akhlak dalam politik.
b.      Akhlak dalam sosial.
c.       Akhlak dalam ekonomi.
d.      Akhlak dalam penghakiman dan undang-undang.
e.       Akhlak dalam keadaan perang dan damai.

Demikianlah 'La Ilaaha Illallah' sebagai kumpulan nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan memasuki individu manusia dan menumbuhkan visi, membangun mentaliti serta membentuk akhlak dan  karakternya.

Demikian pula 'La Ilaaha Illallah' sebagai kumpulan nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan memasuki masyarakat manusia dan mereformasi sistem serta membangun budaya dan mengembangkan peradabannya.

Bagaimanakah kita membuat penilaian atas akhlak?

Apakah ia benar atau salah?

Apakah ia baik atau buruk?

Apakah yang ini soleh dan yang itu tidak?

Ini adalah kerana penilaian terhadap perkara ini akan dapat menghantar kita kepada penilaian tentang seseorang; apakah ia seseorang yang soleh atau tidak, matang atau tidak, dewasa atau tidak?

Dengan kata lain, bertanya tentang bagaimana menilai bererti bertanya tentang sumber pembenaran atas suatu perbuatan.

Dari manakah kita menemui sumber pembenaran itu?

Apakah dari Allah swt atau dari manusia ataupun dari keduanya?

Para pemikir sejarah umat manusia sepakat membahagikan nilai itu dalam tiga kategori yang masing-masing mempunyai padanan yang berlawanan iaitu :

Nilai Kebenaran >< Nilai Kebatilan
Nilai Kebaikan >< Nilai Kejahatan
Nilai Keindahan >< Nilai Keburukan

Islam sendiri memang meletakkan nilai moralnya dalam tiga konteks tadi iaitu :

PERTAMA : AKAL

Yang dapat memahami nilai kebenaran dan kebatilan.

KEDUA : HATI (ASAS FITRAH & NURANI)

Yang dapat membezakan antara nilai kebaikan dan kejahatan.

KETIGA : ZAUQ (CITARASA)

Yang dapat merasakan nilai keindahan dari nilai keburukan.

Akan tetapi kemampuan akal, hati dan zauq manusia tidak mungkin dapat membuat penilaian yang tepat.
Untuk itulah Allah swt menurunkan agama agar manusia mendapatkan pedoman yang lebih
terperinci dalam penilaian sehingga bertemulah dua sumber pembenaran tersebut iaitu :

PERTAMA :

Sumber pembenaran dari Allah swt melalui Al Quran dan As Sunnah.

KEDUA :

Sumber pembenaran drai manusia dengan akal sihat, fitrah suci dan citarasa keindahannya.

Kemudian apakah pula kriteria penerimaan akhlak yang soleh tersebut?

Dengan memahami penjelasan di atas dapatlah difahami bahwa perbuatan soleh itu adalah perbuatan yang dilakukan dengan motif (niat) semata-mata untuk Allah swt dan dilakukan dengan cara yang benar sesuai dengan sunnah Rasulullah saw.

Dengan demikian, perbuatan itu bukan sahaja diterima di sisi Allah swt tetapi juga dikira berjaya dalam ukuran manusia; bukan sahaja membawa pelakunya memperolehi keselamatan di akhirat malah juga kebahagiaan di dunia.

Jadi kriteria penerimaan akhlak soleh ini dapat kita rumuskan seperti berikut:

Niat + amal + ikhlas untuk Allah + benar menurut sunnah + diterima di sisi Allah + berjaya di mata manusia + selamat di akhirat + bahagia di dunia.

Inilah perbezaan yang mendasar antara Islam dan materialisma.

Dalam konsep materialisma, manusia adalah pusat penilaian dan penerimaan sekaligus.

Oleh kerana masyarakat merupakan sesuatu yang relatif, maka penilaian dan penerimaan pun akhirnya berpusat pada individu di mana penilaiannya seperti berikut :

Suatu perbuatan dianggap baik dan benar jika ketika manusia melakukannya, ia mendapatkan kepuasan, kebahagiaan dan tidak merugikan orang lain. Bahwasanya masyarakat kemudian bersetuju atau
 tidak setuju, menerima atau tidak menerima, menjadi tidak relevan dan tidak penting.

Sekarang marilah kita meneliti induk-induk akhlak terpuji yang akan melahirkan berbagai sifat-sifat lain yg mewarnai karakter dan akhlak seseorang manusia itu:

PERTAMA  :

Cinta kebenaran melahirkan jujur, adil, keyakinan dan amanah.

KEDUA :

Kekuatan kehendak melahirkan optimis, tegas, ketahanan, disiplin, inisiatif, serius dan pengendalian diri.

KETIGA :

Cita-cita yang tinggi melahirkan dorongan berprestasi, dinamik, harga diri dan tidak mudah menyerah.

KEEMPAT :

Kesabaran melahirkan ketenangan, konsisten, pengendalian diri, lembut, santun dan mampu menjaga rahsia.

KELIMA :

Rasa kasih melahirkan pemaaf, empati, musyawarah, silaturahim, penolong, berbakti kepada orang tua dan santun kepada fakir miskin

KEENAM :

Naluri sosial melahirkan bersih hati, ukhuwah, anti perpecahan, mampu bekerjasama, menutup aurat dan menjaga barang milik bersama.

KETUJUH :

Cinta manusia melahirkan bersih jiwa, kerjasama, dermawan, adil dan sentiasa berkehendak baik.

KELAPAN :

Kedermawanan melahirkan pemurah, harga diri, mendahulukan orang lain, infaq dan ukhuwah.

KESEMBILAN :

Kemurahan hati melahirkan lembut, lapang dada, pemaaf, ridha, ceria dan menyenangkan orang lain.

Pendek kata kesemua karakter yang terserlah dalam perjalanan kehidupan manusia adalah terangkum dalam salah satu dari induk-induk akhlak terpuji yang dicatatkan di atas.

Akhir sekali marilah kita sama-sama meneliti semula akan karakter dan akhlak yang wujud di dalam diri kita samada ianya benar-benar hasil dari keimanan yang benar kepada Allah swt dan dicernakan dalam bentuk amal-amal soleh yang ikhlas kepada Allah swt serta diaplikasikan ke dalam setiap sisi kehidupan yang akan melahirkan satu wilayah akhlak yang benar-benar memberi kesan yang besar kepada perubahan dalam masyarakat.

Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperelokkan kejadian kami maka perelokkanlah pula akhlak kami dan masukkanlah kami bersama orang-orang yang dicintai oleh Rasulullah saw serta didekatkan diri kami bersama NabiMu di akhirat kelak.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

http://tinta-perjalananku.blogspot.com/
0

Perubahan Melalui Al Qur'an


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Jika kita teliti kehidupan di zaman kini, kita akan dapati beberapa perkara :
  1. Al-Qur'an wujud di setiap rumah seorang muslim.
  2. Siaran-siaran yang bermanfaat tentang kajian Al-Qur'an dan keislaman diperdengarkan di berbagai saluran televisyen dan radio.
  3. Terdapat puluhan ribu atau ratusan ribu orang yang hafal Al-Qur'an yang mana belum pernah berlaku kepada generasi pertama umat ini (generasi sahabat).
Namun,
Mengapa ummat ini tidak memperolehi apa yang di diperolehi oleh para pendahulu mereka, padahal mereka memberi perhatian yang begitu besar terhadap Al-Qur'an?
Mengapa ini berlaku?
Kitapun sudah sedia mengetahui bahwa Al-Qur'an yang ada di tangan kita hari ini sama seperti Al-Qur'an yang dibaca oleh para sahabat dahulu.
Sungguh Al-Qur'an telah menjadikan mereka sebuah generasi yang istimewa, namun :
  1. Adakah perubahan itu berlaku pada diri kita?
  2. Mengapa Al-Qur'an tidak dapat mengulangi kembali apa yang dilakukannya terhadap generasi terdahulu?
  3. Apakah sudah tidak wujud lagi orang-orang yang seperti mereka?
Sebenarnya, itulah yang sepatutnya berlaku kerana mu'jizat Al-Qur'an kekal abadi hingga ke hari kiamat, jadi kalau begitu maka kesalahan itu ada pada diri kita.
TIDAK PENUHI SYARAT PERUBAHAN
Hakikatnya kerana kita tidak memenuhi syarat-syarat yang kita perlukan agar Al-Qur'an menerapkan mu'jizatnya pada diri kita dan agar ia mengubah diri kita.
Perhatian kita terhadap Al-Qur'an hanya sebatas perhatian terhadap lafaz-lafaznya sahaja di mana perkataan "Mengajarkan Al-Qur'an" juga disempitkan maknanya dengan hanya mengajarkan tajwid dan tarannum semata-mata tanpa mengajarkan kandungannya.
Begitu juga yang menjadi pendorong utama dalam membacanya disebabkan ingin memperolehi pahala yang banyak tanpa memperhatikan makna-makna di sebalik ayat-ayat itu. Makna-makna yang jika seseorang merenungkannya akan membuatkannya merasa lega dari kepenatan dunia saat ia membaca Al-Qur'an.
Sungguh aneh keadaan diri kita ketika merasa begitu senang melihat betapa ramai dari kita yang membaca tanpa mengetahui kandungannya bahkan sudah menjadi kebiasaan kita, mencari siaran-siaran Al-Qur'an kemudian membiarkan qari' melantunkan ayat-ayat Al-Qur'an dan meninggalkannya bersama dinding, sedangkan kita disibukkan kembali oleh pekerjaan kita.

KESAN KELALAIAN TERHADAP AL-QUR'AN
Cara berinteraksi yang salah dengan Al-Qur'an menyebabkan kita tidak mampu memetik manfaat yang sebenarnya dari Al-Qur'an, maka apakah kesan yang akan berlaku?
Ketika kita tidak mampu mendapatkan cahaya Al-Qur'an, maka kemu'jizatan Al-Qur'an berupa perubahan yang nyata bagi jiwa-jiwa manusia pun akan berhenti.
Ini disebabkan kerana :
Semakin jauhnya jurang pemisah antara kewajiban yang mesti kita lakukan dan kelalaian diri kita antara ucapan dan perbuatan;
Maka pada ketika itu,
Berubah pula tujuan hidup kita dan bertambahlah kecintaan dan kebergantungan kita terhadap dunia.
Akhirnya berlakulah sunnatullah yang terjadi ke atas umat-umat sebelum kita.
"Yang demikian (siksaan) itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkannya kepada sesuatu kaum , hingga kaum itu merubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ,dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS Al-Anfal : 53)
Begitu pula berlakulah apa yang diramalkan oleh Rasulullah saw dalam suatu haditsnya :
"Kamu akan dikerumuni oleh berbagai golongan sebagaimana makanan dikerumuni oleh orang-orang yang kelaparan, salah seorang di antara sahabat bertanya, "Apakah waktu itu kita sedikit wahai Rasulullah?" Beliau bersabda, "Bahkan jumlah kamu banyak, tapi kamu bagai buih di lautan, kerana Allah telah mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu dan menanamkan pada hati kamu penyakit al-wahn." "Wahai Rasulullah apa itu al-wahn?" "Cinta dunia dan takut akan kematian."

AL QUR'AN SUMBER KEKUATAN
Ruh merupakan inti kehidupan manusia yang dibaluti oleh badan yang berbentuk fizikal. Manakala Al-Qur′an pula adalah ruh yang boleh memberi kekuatan dan kehidupan manusia secara psikologi ruhiyah.
Perkara ini bertepatan dengan ungkapan Malik bin Dinar tentang ruh Al-Qur′an :

"Wahai Ahlul Qur′an!, apa yang telah ditanam oleh Al-Qur′an ke dalam lubuk hatimu? Sesungguhnya Al-Qur′an adalah penyubur hati sebagaimana hujan yang menyuburkan bumi."
Firman Allah swt :
"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu ruh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab (Al-Qur′an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al-Qur′an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (QS Asy-Syura : 52)
Penamaan Al-Qur′an dengan ruh dalam ayat di atas bukanlah secara kebetulan dan tanpa hikmah bahkan ianya perlu digali oleh hambaNya yang merindukan keberkatan dan kekuatan dari Al-Qur′an seperti juga nama dan sifat lain yang dimiliki oleh Al-Qur′an yang mencerminkan fungsi dan peranannya yang komprehensif dan bersifat kesejagatan.
Betapa hanya Al-Qur′an yang boleh diharapkan bagi menyelesaikan masalah kemanusiaan dalam segala bentuknya.
Sayyid Qutb menyatakan pandangannya tentang penamaan Al-Qur′an dengan ruh berdasarkan firman Allah di atas sebagai sebuah kekuatan yang :
  1. Menggerakkan.
  2. Mempertahankan kehidupan di dalam hati.
  3. Menjana tenaga di dalam kehidupan nyata sehari-hari.
Kekuatan besar dari sentuhan Al-Qur′an ini dirasakan benar oleh para sahabat Rasulullah saw kerana memang mereka menerima Al-Qur'an ini dengan sepenuh hati, fikiran dan kemahuan mereka sepertimana yang diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin Amr bin Ash bahwa ia berkata:

"Ketika turun surah Az-Zalzalah, maka serentak dengan itu, Abu Bakar yang sedang duduk waktu itu menangis. Maka Rasulullah saw pun menghampirinya dan bertanya, "Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?". Surah inilah yang membuat aku menangis".
Maka Rasulullah saw menenangkan beliau dengan sabdanya :

"Jika kamu tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka itu melakukan kesalahan dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni mereka."
Maka sangat tepat ungkapan Dr Yusuf Al-Qardhawi yang menegaskan bahwa :

"Al-Qur′an adalah "Ruh Rabbani" (Kekuatan Rabbani) yang akan mampu menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati sebagaimana Al-Qur′an juga undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa secara kolektif."

Syeikh Muhammad Al-Ghazali juga menyebutkan :

"Al-Qur′an inilah kitab yang membentuk jiwa, membangun umat dan kebudayaan mereka. Inilah sesungguhnya kekuatan Al-Qur′an. Namun sayang sekali bahwa cahaya ini tidak nampak di depan umat Islam kerana mata-mata mereka sudah tertutup sehingga aib dalam konteks sekarang ini bukan aib Al-Qur′an, tetapi aib pandangan manusia yang lebih mengagungkan kekuatan lain selain Al-Qur′an."
Kekuatan lain yang seharusnya kita sedari dari Al-Qur′an yang mulia ini bahwa Al-Qur′an merupakan sistem hidup yang mengarahkan orang-orang yang beriman untuk mewujudkan kehidupan dalam bingkai keimanan iaitu sebuah hakikat kehidupan yang meliputi segenap komponen yang ada pada diri manusia; iaitu menghidupkan fizikal, perasaan, getaran jiwa, kemahuan, fikiran dan kehendaknya.
KEMBALI KEPADA AL-QUR'AN
Dari sini, amat jelas bahwa sudah sampai masanya untuk kita kembali semula kepada Al-Qur'an, maka :
  1. Sambutlah jamuannya.
  2. Arahkanlah wajah kita kepadanya.
  3. Tinggalkanlah segala kesibukan diri kita untuk menghadapinya.
Sekaranglah masanya untuk memulakan perubahan baru dalam diri kita agar berlaku janji Allah, sebagaimana yang Allah sebutkan dalam Al-Qur'an :
"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." (QS Ar-Ra'ad : 11)
Ketahuilah bahwa tidak mungkin memulakan perubahan selain melalui pintu Al-Qur'an dan permulaan selain Al-Qur'an tidak akan membuahkan hasil yang kita inginkan.
Kenapa demikian?
Ini adalah kerana Al-Qur'an adalah ubat yang diturunkan oleh Allah untuk mengubati penyakit-penyakit yang ada dalam diri manusia dan mengembalikan kesihatan dalam hatinya.
Allah swt berfirman :

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman." (QS Yunus : 57)
BAGAIMANA KITA MENGAMBIL MANFAAT DARI AL-QUR'AN?
Tidak syak lagi, barangsiapa yang meyakini bahwa Al-Qur'an itu merupakan kalam Allah yang ditujukan untuk dirinya, yang setiap lembarannya mengandungi kunci-kunci keselamatan dunia dan akhirat, maka ia akan dapat mengubah dirinya dalam keadaan yang bagaimanapun dengan izin Allah swt.
Bahkan ia tidak memerlukan seseorang yang lain untuk menunjukkan wasilah-wasilah untuk membantunya mengambil manfaat dari Al-Qur'an kerana ia dengan sendirinya telah bersedia untuk menerima arahan-arahan dari Al-Qur'an yang akan mengubah dirinya.
Namun, jika kita merasa begitu sukar pada permulaannya untuk melakukan perkara yang demikian, disebabkan kebiasaan kita berinteraksi dengan Al-Qur'an dengan cara yang salah yang menjadi pembatas antara kita dan Al-Qur'an atau yang sentiasa menghalangi kita mengambil manfaat yang sebenarnya dari Al-Qur'an, maka untuk kembali kepada Al-Qur'an, kita memerlukan wasilah-wasilah dan cara-cara yang praktikal yang akan membantu kita untuk :
  1. Memusingkan wajah kita kepada Al-Qur'an.
  2. Menerima jamuan pestanya.
  3. Masuk ke alam dan projek Al-Qur'an beserta tahapannya.
Di antara wasilah-wasilah yang penting untuk membantu merealisasikan perkara ini, di antaranya ialah :
PERTAMA : MENYIBUKKAN DIRI DENGAN AL-QUR'AN
Etinya, menjadikannya sebagai satu-satunya yang menyibukkan kita, pusat perhatian dan keutamaan kita dan untuk menjadikannya seperti itu maka mestilah dengan membiasakan untuk membacanya setiap hari walau dalam keadaan yang bagaimana sekalipun. Dengan kata lain, kita kena banyak meluangkan waktu untuk Al-Qur'an.
Disebabkan perubahan yang dilakukan oleh Al-Qur'an adalah perubahan yang lambat, tenang dan bertahap maka untuk dapat memetik hasilnya diperlukan penerusan dalam berinteraksi dengannya dan tidak membiarkan satu hari pun berlalu tanpa membacanya.
Ketahuilah, sebanyak mana kita memberikan waktu untuk Al-Qur'an maka sebanyak itu pulalah Al-Qur'an memberikan cahayanya kepada kita. Barangsiapa yang mampu berinteraksi dengannya berulang kali dalam satu hari maka ia telah meraih tongkat kemenangan.

KEDUA : MENYIAPKAN KEADAAN YANG SESUAI
Supaya Al-Qur'an melakukan perubahan pada diri kita maka kita mesti menyiapkan keadaan  yang tepat untuk menyambutnya, di antaranya mencari tempat sepi yang jauh dari kebisingan sebagai tempat kita bertemu dengannya.
Tempat yang tenang akan membantu kita untuk :
  1. Lebih teliti dalam membaca.
  2. Memahami dengan baik.
  3. Cepat untuk bertindakbalas terhadap bacaan.
  4. Mampu untuk kita menzahirkan perasaan-perasaan kita ketika kita merasakan gejolak-gejolak jiwa dengan tangisan atau doa.
Di samping itu, kita juga mesti menentukan agar pertemuan kita dengan Al-Qur'an dilakukan pada waktu-waktu yang produktif bukan pada waktu keletihan, mengantuk dan sebagainya. Begitu juga dianjurkan untuk berwudhu' dan bersiwak terlebih dahulu.

KETIGA : MEMBACA SECARA PERLAHAN
Ketika kita membaca Al-Qur'an maka bacalah ia secara perlahan, tenang dan tidak tergesa-gesa.
Sikap ini menjaga kita dalam pengucapan perkataan yang benar dan agar dapat melantunkan ayat-ayat Allah swt dengan indah dan sesuai dengan perintah Allah swt :
"Dan bacalah Al Qur'an itu dengan perlahan-lahan." (QS Al Muzzammil : 4)
Janganlah perhatian kita bertumpu kepada akhir surah yang kita baca. Tidaklah dianjurkan bagi kita untuk menamatkan Al-Qur'an lebih dari satu kali dalam satu bulan, misalnya dalam bulan Ramadhan, yang justeru akan menyebabkan kita tergesa-gesa dalam membacanya.
Bukankah sudah berkali-kali kita menamatkan Al-Qur'an dalam bulan-bulan Ramadhan sebelumnya, namun apa yang kita dapatkan?
Adakah perubahan pada diri kita?
Marilah kita saling berlumba untuk memetik buah-buah keimanan yang terkandung dalam Al-Qur'an bukan seberapa banyak kita habiskan lembaran-lembaran Al-Qur'an tersebut.

KEEMPAT : TELITI DALAM MEMBACA
Bacalah Al-Qur'an sebagaimana kita membaca buku lain. Jika kita membaca sebuah buku atau majalah atau suratkhabar biasanya kita berusaha memahami apa yang kita baca dan apabila timbul rasa jemu, kita akan kembali membolak-balik lembaran yang sudah kita baca dan mengulangi beberapa makna yang tidak kita fahami, yang demikian itu disebabkan kerana kita ingin memahami apa isi bacaan tersebut.
Begitulah pula seharusnya kita membaca Al-Qur'an, kita membacanya dengan fikiran yang jernih. Apabila sampai masanya kita merasa bosan, kita mengulang-ulang kembali ayat-ayat yang terakam dalam fikiran kita.
Pertama kali membacanya kita mungkin akan merasa sukar, disebabkan kita sudah terbiasa membaca Al-Qur'an seakan-akan ia mantera-mantera yang tidak bermakna.
Hanya dengan kesungguhan dan terus mencuba, kita akan terbiasa untuk membaca dengan teliti tanpa merasa jemu.

KELIMA : BERTINDAKBALAS TERHADAP APA YANG KITA BACA
Al-Qur'an adalah 'Kalamullah' yang ditujukan kepada seluruh umat manusia. Ia ditujukan kepada kita dan orang-orang selain kita tanpa terkecuali.
Oleh kerana itu, dalam Al-Qur'an kita akan menemui :
  1. Pertanyaan dan jawaban.
  2. Janji dan ancaman.
  3. Perintah dan larangan.
Maka kita mesti bertindakbalas terhadap perkara-perkara yang kita baca dalam Al-Qur'an misalnya :
  1. Menjawab pertanyaan-pertanyaannya.
  2. Melaksanakan perintahnya dengan bertasbih.
  3. Memuji Allah.
  4. Beristighfar kepada Allah.
  5. Sujud ketika kita mendapatkan ayat-ayat yang memerintahkan kita untuk itu.
  6. Mengucapkan amin setiap melalui ayat-ayat yang berisi doa.
  7. Meminta perlindungan kepada Allah dari panasnya api neraka ketika membaca ayat-ayat yang berhubungan dengan neraka.
  8. Memohon syurga ketika membaca ayat-ayat yang bercerita tentang syurga.
Demikianlah Rasulullah saw memberikan petunjuk kepada kita dalam berinteraksi dengan Al-Qur'an dan sebagaimana yang dicontohkan oleh para sahabat yang mulia. Begitu juga melakukan solat malam dengan membacanya dapat menambah kekhusyu'an, teliti dalam membaca ayat-ayat Al-Qur'an tanpa merasa jemu.

KEENAM : FAHAMILAH MAKNANYA SECARA UMUM
Sebahagian di antara kita ketika memulai untuk mentadabur Al-Qur'an, dia berusaha untuk memahami Al-Qur'an perkataan demi perkataan yang membuatnya merasa kesulitan untuk melakukannya, terputus-putus dalam membacanya dan akhirnya ia akan merasa bosan dan kembali membaca Al-Qur'an tanpa tadabbur dan kefahaman.
Namun adakah cara lain yang membuatkan kita dapat mentadabur Al-Qur'an tanpa perlu terputus-putus dalam membacanya?
Satu-satunya cara yang mudah untuk mempraktikkan kedua perkara ini dalam waktu yang bersamaan adalah dengan memahami makna secara umum setiap ayat.
Ketika kita menemui beberapa perkataan yang sukar untuk di fahami, maka cukuplah bagi kita untuk meletakkannya sesuai dengan makna yang kita dapatkan dari makna ayat tersebut secara umum sepertimana ketika kita membaca tulisan bahasa asing lainnya, misalnya Bahasa Inggeris, ketika kita tidak tahu erti beberapa perkataan, maka boleh difahami dari makna kalimah secara umum.
Begitulah Rasulullah saw mengajarkan kepada kita dalam sabdanya :
"Sesungguhnya Al-Qur'an tidak diturunkan untuk mendustakan antara satu bahagian dengan bahagian lainnya, tetapi membenarkan antara satu bahagian dan bahagian lainnya, maka apa-apa yang kau ketahui darinya maka amalkanlah, dan apa-apa yang tidak kau ketahui maka tanyakanlah kepada orang yang tahu."
Dengan cara seperti ini tadabur Al-Qur'an bukanlah suatu perkara yang sukar bagi setiap orang.
Namun ianya bukanlah bererti kita tidak perlu membaca kitab-kitab tafsir dan mengetahui makna setiap perkataan kerana tafsir mempunyai peranan yang sangat besar untuk menjaga kefahaman yang benar dan merupakan pokok untuk mengetahui hukum-hukum syar'ie dan jangan sampai kita mengambil kesimpulan sendiri dari ayat-ayat Al-Qur'an.
Sejarah umat Islam telah menyaksikan berbagai penyimpangan yang berlaku disebabkan oleh pengambilan hukum berdasarkan penafsiran peribadi tanpa memiliki keahlian di dalamnya, seperti kaum khawarij dan aliran sesat lainnya.
Dengan peranan tafsir yang begitu besar maka kita perlu mempunyai waktu khusus untuk itu, selain waktu tilawah, kerana kita tidak ingin selesainya tilawah Al-Qur'an kita hanya dengan kefahamannya sahaja yang bertambah tetapi juga mesti disertai dengan hati yang hidup.
Ini memerlukan pertemuan langsung dengan Al-Qur'an, mengizinkan pengaruh-pengaruh kuat yang meresap dalam jiwa kita yang terus menghunjam saat kita meneruskan bacaan dan mengizinkannya masuk ke dalam jiwa kita dengan pengaruhnya yang kuat dan bertindakbalas dengan ayat-ayat yang kita baca.

KETUJUH : MENGULANG-ULANG AYAT YANG MENYENTUH HATI
Ini adalah wasilah yang paling penting yang membantu mempercepatkan dalam memetik manfaat dari Al-Qur'an.
Berbagai wasilah sebelumnya walaupun sama pentingnya tetapi ia ditujukan kepada akal fikiran yang menjadi tempat bagi ilmu dan pengetahuan sedangkan keimanan bersumber pada hati.
Hati adalah tempat berkumpulnya perasaan dan emosi dalam jiwa manusia dan sebanyak kadar keimanannya itulah seseorang akan tergerak melakukan amal soleh.
Ertinya, iman adalah perasaan dan emosi. Ada "gejolak" saat jiwa kita merasakan adanya tindakbalas semula dan luapan emosi keimanan yang kita rasakan dalam doa-doa kita atau dalam solat kita atau ketika kita membaca Al-Qur'an menyebabkan bertambahnya iman dalam hati kita.

BACALAH DAN IMANPUN BERTAMBAH
Allah Ta'ala berfirman :
"Dan apabila di bacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka(kerananya) dan mereka bertawakkal kepada Rabb mereka."(QS Al-Anfal : 2)

Al-Qur'an adalah wasilah utama dalam bertambahnya keimanan pada diri seseorang. Disebabkan Al-Qur'an mengandungi pelajaran-pelajaran yang sangat berharga yang menggugah perasaan dan menerangi jiwa, maka berlakulah tindakbalas semula dengan fikiran dan perasaan.
Benar…pada permulaannya sangat jarang kita menemui "gejolak" luapan emosi keimanan tadi, akan tetapi dengan selalunya kita membaca Al-Qur'an sesuai dengan wasilah-wasilah sebelumnya, "gejolak" itu akan datang lebih kerap lagi setiap kali kita membaca Al-Qur'an.

Apa yang kita lakukan ketika "luapan keimanan" itu datang?
Kesempatan yang datang itu mesti kita petik dengan baik, berusahalah agar cahaya iman dapat masuk ke dalam jiwa kita sebanyak-banyaknya dalam "luapan keimanan" itu dan perkara itu boleh kita lakukan dengan mengulang-ulang ayat yang menggugah perasaan kita, jangan sampai merasa bosan untuk melakukannya selagi jiwa kita masih bertindakabalas dan inilah yang dilakukan oleh para shahabat dan salafus soleh ridhwanullahi alaihim.
Diriwayatkan dari Ubadah bin Hamzah ia berkata :
"Suatu hari saya menemui Asma' solat dan membaca ayat :
"Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka." (QS At-Thur : 27)
maka saya pun diam (memperhatikannya), kemudian dia mengulang-ulang ayat itu dan berdoa dalam solatnya. Saya kemudian pergi ke pasar, menunaikan keperluan saya dan pulang kembali. Saya temui dia masih mengulang-ulang ayat tersebut dan berdoa."
Dengan mengulang-ulang ayat yang menyentuh hati akan melipatgandakan potensi keimanan dalam jiwa hamba dan dianjurkan untuk meneruskannya dengan tangisan dan doa.
Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya orang-orang yang diberikan pengetahuan sebelumnya apabila Al-Qur'an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud. Dan mereka berkata : Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti penuhi. Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyu'." (QS Al-Isra' : 107-109)

Wasilah-wasilah ini merupakan cara-cara yang praktikal dan tidak sukar untuk dilaksanakan. Yang tinggal hanyalah kemahuan kuat kita untuk sedia berubah di mana kemahuan ini akan mudah kita dapatkan pada diri setiap kita hasil anugerah dari Allah swt.
Oleh kerana itu, kita ungkapkanlah ia dengan doa agar Allah swt memudahkan jalan kita untuk kembali kepada Al-Qur'an dan mengambil manfaat darinya.
Allah swt berfirman :
"Dan Tuhan kamu berkata. Berdoalah padaku niscaya aku kabulkan." (QS Ghafir : 60)
Setiap kita seharusnya melihat dengan jelas sasaran yang akan dicapai dalam kehidupannya iaitu "al qalbu al hay" (hati yang hidup) yang diceritakan oleh Rasulullah saw akan tanda-tandanya :
"Kerinduan pada kampung keabadian, merasa jauh dengan dunia yang menipu, menyiapkan diri untuk kematian sebelum ia datang."
Maka teruskanlah untuk membaca Al-Qur'an dengan cara-cara seperti di atas sepanjang umur kita.
Al-Qur'an adalah sebaik-baik pemimpin menuju Allah dalam kehidupan yang dipenuhi oleh fitnah dan syahwat.
Apabila kita menginginkan kebahagiaan pada diri dan keluarga kita, maka kembalilah kepada Al-Qur'an dan apabila kita menginginkan 'izzah' (kemuliaan) dan kemenangan untuk umat ini, maka berpegang teguhlah pada Al-Qur'an kerana di dalamnya terdapat segala apa yang kita perlukan untuk merealisasikan perkara itu.
Allah swt berfirman :
"Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahwasanya kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur'an) sedang dia dibacakan kepada mereka?" (QS Al-Ankabut : 51)
Di saat kita sudah merasakan indahnya hidup bersama Al-Qur'an, memetik makna-makna yang terdapat di dalamnya dan di saat kita mengecap kemanisan iman, janganlah lupa untuk mendoakan untuk diri kita, keluarga kita serta saudara-saudara kaum muslimin di berbagai penjuru dunia agar memperolehi keampunan, rahmat dan mendapatkan 'husnul khatimah' (kesudahan yang baik).
Ya Allah, permudahkanlah usaha-usaha kami untuk kami jadikan Al Qur'an sebagai panduan dan rujukan dalam kehidupan kami. Bantulah kami supaya kami dapat melaksanakan wasilah-wasilah penting yang akan mengembalikan kami mendapatkan sebesar-besar manfaat dari isi-isi Al-Qur'an serta merubah hidup kami mengikut sistem dan kehendakMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS   
 
 

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top