Terkini...




0

Memahami Skop Dakwah & Tarbiyah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Perkataan "Dakwah" jika dirujuk kepada kamus bahasa membawa pengertian :
"Panggilan untuk berhimpun, mengajak makan dan minum atau dorongan ke arah mengikuti mana-mana cara, jalan, aliran atau yang seerti dengannya."
Dakwah berasal dari kata akar "da'a yad'u wa da'watan" yang terdiri dari tiga huruf iaitu 'dal', 'ain' dan 'alif'. Apabila ditukar kepada 'masdar' (kata terbitan) ia berubah menjadi "Dakwah yang bererti seruan, panggilan, ajakan dan segala perkataan yang semakna dengan itu.
Di dalam Al-Qur'an, dakwah dinisbahkan kepada 'Dakwah Ilallah' yang bermaksud dakwah yang kita serukan itu mengajak manusia menuju ke arah pengabdian diri kepada Allah swt. Dengan kata lain, dakwah itu adalah proses merubah dan menukar.
Sebelum kita membicarakan persoalan skop dakwah dan tarbiyah, elok jika kita meneliti dan memahami beberapa perkara berkaitan dengan dakwah agar kemurnian dakwah yang kita warisi ini diperkukuhkan di samping inovasi dan kreativiti dakwah dapat dikembangkan.
KEFAHAMAN TERHADAP DAKWAH
Dr. Taufik Al-Wa'ei mendefinasikan bahawa dakwah adalah :
"Proses menghimpunkan manusia di atas kebaikan dan membimbing mereka mengenali kebenaran dengan :
  1. Melaksanakan manhaj Allah di atas muka bumi secara lisan dan praktikal.
  2. Menyeru mereka melaksanakan makruf dan mencegah kemungkaran.
  3. Memandu dan memimpin mereka ke jalan yang lurus.
  4. Bersabar serta berpesan-pesan dengan kesabaran dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah."
Dari definasi ini, ada beberapa perkara penting yang boleh dibuat rumusan iaitu :
  1. Dakwah adalah proses 'tajmik', 'irsyad' dan 'qiyadah' (kumpul, bimbing dan pimpin). Ini bermakna dakwah tidak terhenti dengan proses penyampaian semata-mata tetapi menuntut kepada proses 'takwin' (pembentukan).
  2. Dakwah adalah proses mengeluarkan manusia dari kebatilan menuju kepada Al-Haq ( kebenaran) dan ini memberi definasi bahwa dakwah adalah proses merubah manusia dari buruk kepada baik atau kepada yang lebih baik.
  3. Visi dakwah ialah memastikan pelaksanaan  manhaj Allah di muka bumi dan peneguhannya.
  4. Tabiat dakwah memerlukan kesabaran dan sentiasa dalam rangka ingat mengingati dengan kesabaran sebagai kayu ukur kejayaan dakwah. Tanpa sabar, tidak mungkin dakwah akan dimenangkan.
  5. Dakwah ialah proses penegakan makruf dan pembasmian mungkar. Ruang kemakrufan dibesarkan dan ruang kemungkaran dihilangkan.
  6. Dakwah itu melibatkan dua pihak iaitu pelaksana dakwah (Dai'e) samada secara individu atau jamaah dan sasaran dakwah (mad'u) yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat mengunakan uslub tertentu bagi mencapai objektif dakwah.
DAKWAH BERDIRI DI ATAS FIQH
Dalam melaksanakan proses dakwah, kita memerlukan 'Fiqh' (kefahaman). Ini yang kita namakan sebagai 'Fiqh Dakwah'. Menurut apa yang tercatat di dalam himpunan 'Risalah Al 'Ain', 'Fiqh Dakwah'  mempunyai dua maksud :
  1. Kefahaman yang mendalam terhadap hukum syara' yang bersifat amali yang diambil dari dalil-dalil 'tafsili' dengan tujuan untuk menarik manusia beriman kepada Allah dan apa yang dibawa oleh para Rasul serta membenar dan mentaati segala perintahnya.
  2. Kajian kaedah dan asas ilmu untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt.
Berdasarkan kefahaman ini, 'Fiqh Dakwah' ialah kajian berkaitan :
  1. Kewajipan dakwah.
  2. Amal Jama'ie.
  3. Ciri-ciri Jamaah Islam.
  4. Asas-asas Islam.
  5. Hudnah.
  6. Harb.
  7. Tahalluf.
  8. Piagam Amal Jama'ie.
  9. Sejarah harakah.
  10. Pendirian dan ijtihad dalam isu-isu siasah dan sosial.
  11. Polisi-polisi gerakan Islam, manhaj, landasan, tujuan, kandungan, sasaran, strategi, metod, intipati dan segala sesuatu yang secara mutlak termasuk di dalam istilah manhaj dakwah.
Selain dari skop di atas, termasuk juga dalam kerangka 'Fiqh Dakwah' ialah menguasai pengurusan dakwah dan siasah dakwah.
Muhammad Ahmad Ar-Rasyid di dalam kitabnya 'Al Masaar' membahagikan siasah dakwah kepada tiga iaitu :
  1. Siasah Luaran.
  2. Siasah Dalaman.
  3. Siasah Tarbawiyah.
'Fiqh Dakwah' merupakan salah satu cabang ilmu yang diakui mu'tabar kerana tanpanya :
  1. Operasi dakwah tidak akan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
  2. Kurangnya interaksi antara pendakwah dan mad'u.
  3. Ramai manusia akan lari dari seruan dakwah.
Kesimpulannya bahwa keperluan dalam menguasai 'Fiqh Dakwah' adalah sama penting dengan kita menguasai 'Fiqh Al-Ahkam'.
Ramai di antara para Syuyukh dakwah yang menulis buku-buku berkaitan 'Fiqh Dakwah' yang boleh kita jadikan sebagai bahan rujukan dalam memahami perkara berkaitan dakwah dan di antaranya seperti berikut :
  1. Imam Hasan Al Banna – Majmu' Rasaail.
  2. Syeikh Jum'ah Amin - Fiqh Dakwah.
  3. Dr. Abdul Karim Zaidan - Usul Dakwah.
  4. Ustaz Fathi Yakan – Musykilatud Dakwah Wad Dai'yah.
  5. Ustaz Abu A'la Al Maududi Tazkiratud Duat.
  6. Syeikh Mustafa Masyhur – Tariqud Dakwah.
  7. Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid - Silsilah Ihya' Fiqh Dakwah.
  8. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi - As-Sohwah Islamiah.
  9. Ustaz Syed Qutb – Tafsir Fi Dzilalil Qur'an.
  10. Ustaz Hasan Al Hudhaibi - Duat La Qudhaat.
  11. Syeikh Jasim Muhalhil - Lid Du'at Faqat / Ad Dakwah Al Islamiah.
  12. Syeikh Al- Bahi Al-Khauli - Tazkiratud Duat.
  13. Syeikh Muhammad Abdul Qadir Abu Faris  - Qawa'id Dakwah.
Menguasai 'Fiqh Dakwah' bermakna kita perlu juga menguasai 'Fiqh Syara'' dan memantapkannya dengan menguasai beberapa jenis fiqh yang lain seperti :
  1. Fiqh Sunan.
  2. Fiqh Maqasid.
  3. Fiqh Muwazanat.
  4. Fiqh Aulawiyaat.
  5. Fiqh Ikhtilaf.
  6. Fiqh Waqi'.
Fiqh Dakwah sebenarnya adalah suatu jenis metodologi untuk :
'Mempertemukan kebenaran dengan ketepatan'.
Ia berdiri di atas ilmu syara', landasan-landasan 'Usul Fiqh' dan kaedah-kaedah fiqhiyah untuk memastikan tujuan syara' dilaksanakan dengan  mengambil kira 'dharuriyat', 'hajiyat' dan 'tahsiniyat'. Oleh itu, para aktivis dakwah perlu menghadiri daurah-daurah pemantapan ilmu syariah kerana manhaj dakwah kita adalah manhaj Ar Rasul dan manhaj salafus soleh serta  bersifat rabbani.
VISI DAN MISI DAKWAH
Visi dakwah kita ialah memastikan terlaksananya 'Ubudiyyah Lillahi Wahdah' iaitu manhaj Allah ditegakkan di muka bumi ini.
Dalam konteks ini, dakwah kita adalah proses membina peradaban dan projek ketamadunan sebagaimana yang dihuraikan dengan panjang lebar dalam buku yang bertajuk "Di sekitar  asas-asas utama projek Islami untuk kebangkitan ummah" tulisan Dr Abd. Hamid Al-Ghazali.
Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan agenda besar dakwah sebagaimana yang tercatat di dalam 'Risalah Ta'lim' iaitu :
a.       Islahun Nafs. (membaiki diri)
b.      Takwin Baitul Muslim. (membentuk keluarga Islam)
c.       Irsyadul Mujtama'. (memimpin masyarakat)
d.      Tahrirul Watan. (membebaskan tanah air)
e.       Islahul hukumah. (reformasi pemerintahan)
f.       I'adah Al-Kiyan Ad-Dauli. (mengembalikan semula kekhalifahan Islam)
g.      Ustaziyatul Alam. (menjadi mahaguru dunia)
Bagi memastikan kejayaan agenda besar dakwah ini, kita mesti melaksanakan strategi dakwah secara gerakan kebudayaan dan organisasi.
Gerakan kebudayaan ialah penglibatan para aktivis dakwah ke dalam pelbagai lapisan masyarakat dalam mentransformasi diri menuju suasana sosio-budaya yang Islamik. Ini bermakna para aktivis dakwah perlu bergerak bersama masyarakat untuk terlibat sama membangunkan pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, budaya, sosial, pendidikan dan sebagainya atau dikenali dengan istilah 'bottom-up'.
Manakala strategi gerakan organisasi pula ialah  penyebaran para aktivis dakwah ke dalam institusi-institusi legislatif, eksekutif dan penggubalan polisi  dalam kerangka melayani, membangun dan memimpin umat melalui mekanisma undang-undang. Tujuannya ialah bagi membangunkan sistem, membuat polisi-polisi dalam rangka perubahan  ummah. Ini berlaku secara 'top-down'.
Kedua-dua strategi ini perlu melebarkan pengaruhnya serta saling berkomunikasi bagi mancapai visi  dan misi dakwah dan bagi tujuan memobilisasikan perkara ini, ia mestilah dipelopori dan dipimpin oleh  gerakan Islam.
TONGGAK-TONGGAK DAKWAH
Dakwah yang ingin kita bawa sepertimana yang ditegaskan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah menyeru kepada Jalan Allah atau kepada  Islam yang tulen iaitu :
    1. Islam dengan sepenuh pengertiannya.
    2. Fikrah Islam yang merangkumi seluruh maksud pengislahan.
    3. Dakwah kepada Islam yang syumul.
Dalam mengemudi dakwah ini, kita perlu memahami tonggak-tonggak dakwah atau tiang-tiang dakwah.
Imam Hasan Al-Banna menyatakan bahawa :
"Sesungguhnya kewajipan kita, di mana di tangan kita terdapat cahaya lampu dan ubat - adalah bangkit untuk membaiki dan mengajak orang lain menuju pembaikan. Jika berhasil, itulah keberhasilan yang sebenar-benarnya. Namun jika tidak, sesungguhnya kita sudah menyampaikan risalah dan melaksanakan amanah…cukuplah kewujudan mereka yang mahu memikul risalah dan melaksanakan tugas dakwah sebagai tonggak-tonggak keberhasilan. Dengan tonggak-tonggak itu mereka yakin, mereka ikhlas dan dijalannya mereka berjihad.."
Rukun-rukun dakwah ini dinyatakan dalam tiga kata kunci :
a.       Ilmu.
b.      Tarbiyah.
c.       Jihad.
PERTAMA : ILMU
Ilmu bagi seorang aktivis dakwah mestilah meliputi ilmu tentang :
  1. Tajuk dan intipati dakwah.
  2. Manhaj dakwah.
  3. Tabiat dakwah.
KEDUA : TARBIYAH
Tarbiyah pula ialah :
  1. Wasilah bagi menyiapkan para aktivis dakwah yang akan menjadi tulang belakang dakwah.
  2. Proses merubah sifat kognitif kepada aplikatif (membentuk perilaku Islami).
  3. Proses mengembangkan aspek kebaikan dan membuang aspek jahiliyah di dalam diri individu.
  4. Bermaksud pemeliharaan, penambahbaikan, pertumbuhan kebaikan, menjaga fitrah, mengembang bakat dan potensi, mengarah potensi ke arah kebaikan dan kesempurnaan  secara bertahap.
  5. Menjalani suatu proses kepayahan dan kesulitan.
  6. Bersifat integrasi dan komprehensif.
  7. Usaha untuk melahirkan 'Rijal' yang memiliki muwasofat 10, melaksanakan wajibat rukun bai'ah dan mengimplimentasikan makna 10 rukun ba'iah dalam kehidupan sehingga ia benar-benar layak menjadi 'Rijal Dakwah'.
Pembentukan 'Rijal Dakwah' dalam proses tarbiyah menjadi sesuatu yang amat penting dalam kefahaman kita kerana :
"Sesungguhnya kebangkitan Deen itu adalah dengan kebangkitan umatnya, manakala kebangkitan umat pula melalui kelahiran rijalnya dan sesungguhnya kebangkitan rijal-rijalnya adalah dengan kebangkitan aqidah, fikrah dan akhlaknya".
"Sesungguhnya tarbiyah bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya tidak akan menjadi baik tanpa tarbiyah".
KETIGA : JIHAD
Jihad adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan dari dakwah dan tarbiyah. Hanya dengan jihad yang sebenarlah, semua proses transformasi dan perubahan akan berjalan dengan baik semua sasaran-sasaran dakwah akan tercapai.
Imam Hasan Al-Banna menyatakan :
"Tiada dakwah tanpa jihad dan tidak ada jihad tanpa pengorbanan".
Jihad ialah pencurahan seluruh tenaga, keupayaan, potensi, jiwa dan raga untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.
Jihad menjadi sesuatu yang dituntut sebagaimana sbada Nabi saw :
"Barangsiapa yang mati, sedangkan dia tidak berjihad, atau tidak ada niat untuk berjihad, maka dia mati dalam kemunafikan" (Dalam hadis lain ia mati sebagai mati jahiliyah)
Perkataan "yaqhzu" dalam hadith di atas tidak hanya terhad kepada peperangan fizikal semata-mata malah juga dalam konteks kontemporari mencakupi peperangan yang lebih meluas seperti perang media, perang siber, perang budaya, perang ekonomi dan sebagainya.
Jihad itulah yang menjadi slogan dakwah kita "Al-jihadu Sabiluna" iaitu jihad dalam pengertian  yang luas meliputi jihad 'qital' (peperangan), jihad 'ta'limi' (pendidikan), jihad 'ilmu' (pengetahuan) dan jihad 'siasi' (politik).
Tanpa jihad maka usaha yang dilakukan hanya berupa omong kosong dan mimpi di siang hari. Hanya aktivis mujahid yang mampu menjayakan agenda dakwah. Merekalah yang akan membawa ruh jihad di mana-manapun mereka berada samada di mimbar-mimbar masjid, di mimbar-mimbar parlimen, di desa dan bandar, di ceruk rantau gunung ganang, di institusi dan jabatan sehingga tumbuhlah pohon-pohon dan dahan-dahan dakwah.
PRINSIP DAN KAEDAH DAKWAH
Dakwah kita adalah dakwah yang bersumberkan Al-Qur'an dan As Sunnah, maka sudah tentu dakwah ini berdiri di atas satu prinsip yang jelas, bersifat rabbani dan tulen. Oleh kerana itu, dakwah kita mesti terikat dengan 'dhawabit syari'e' (prinsip syara').
Dalam melaksanakan dakwah, kita juga memerlukan kaedah sebagaimana kaedah-kaedah dalam 'Usul Fiqh' atau 'Qawaid Fiqhiyyah'. Ulama'-ulama' silam seperti Jalaluddin As-Suyuti, Al-Qarafi dan lain-lain banyak membicarakan perkara berkaitan 'Qawaid Fiqhiyyah'. Tradisi ini diteruskan dan dikembangkan oleh ulama' masa kini seperti Dr. Fathi Duraini, Syeikh Mustafa Zarqa', Abul Hasan Ali An Nadwi, Dr. Muhamad Al-Burno dan lain-lain lagi.
Dalam konteks dakwah, Syeikh Jum'ah Amin telah menulis buku bertajuk 'Fiqh Dakwah' yang berkaitan dengan sepuluh (10) kaedah-kaedah  dakwah di antaranya ialah :
Kaedah 1 : 'Al-Qudwah Qabla Ad Dakwah' (menjadi qudwah sebelum berdakwah)
Kaedah 2 : 'Ar-Ta'lif Qabla At Ta'rif' (menjinak dan mengikat hati sebelum memperkenalkan)
Kaedah 3 : 'At-Ta'rif Qabla At Taklif' (memperkenalkan sebelum memberi tugas)
Kaedah 4 : 'At-Tadarruj Fi Taklif' (bertahap dalam memberikan tugasan)
Kaedah 5 : 'At-Taisir La Ta'sir' (memudahkan bukan menyusahkan)
Kaedah 6 : 'Al-Usul Qabla Al Furu'' (memulakan yang pokok sebelum cabang)
Kaedah 7 : 'At-Targhib Qabla At Tarhib' (memberi harapan bukan ancaman)
Kaedah 8 : 'At-Tafhim La Al-Talqin' (memberi kefahaman bukan menyampaikan semata-mata)
Kaedah 9 : 'At-Tarbiyah La At-Ta'riyah' (mendidik bukan membuka pekung / keburukan)
Kaedah 10 : 'Tilmizu Imam La Tilmiz Kitab' (murid kepada guru bukan murid kepada buku)
Manakala Syeikh Dr. Hammam Abd. Rahim Saeed di dalam bukunya "Qawa'id Dakwah Ilallah" pula menulis dengan pendekatan motivasi dan memberikan dorongan semangat agar para aktivis dakwah sentiasa bersikap optimistik dalam memberikan sumbangan dakwah.
Kaedah-kaedah ini digali dari asas-asas syara' dan Seerah Nabawiyah, kisah para sahabat dan salafus soleh. Ia  memberikan ledakan baru dalam memperkayakan 'Fiqh Dakwah'. Di antara kaedah-kaedah yang dinyatakan di dalam buku itu adalah :
Kaedah 1 : Dakwah di Jalan Allah adalah jalan keselamatan di dunia dan akhirat.
Kaedah 2 : Semoga dengan usaha kamu seseorang memperolehi hidayah lebih baik dari unta merah.
Kaedah 3 : Pahala diperolehi semata-mata dengan berdakwah dan tidak dikira  dengan penerimaan manusia.
Kaedah 4: Pendakwah hendaklah menjadi   sebagai mubaligh ( penyampai dakwah) dan berusaha mencapai 'Al-Balagh' ( kepetahan & kefasihan dalam berdakwah )
Kaedah 5 : Pendakwah memberikan segala usaha dakwah demi menuntut ganjaran rabbani.
Kaedah 6 : Pendakwah adalah cermin bagi dakwah  dan modelnya.
Kaedah 7 : Berbicaralah dengan manusia menurut kadar pemikiran mereka.
Kaedah 8 : Ujian adalah sunnatullah.
Kaedah 9 : Lapangan dakwah adalah luas, hendaklah pendakwah memilih yang sesuai untuk dakwahnya.
Kaedah 10 : Masa adalah unsur penting  dan kejayaan dakwah.
Kaedah 11 : Dakwah adalah seni dan kepimpinan, perancangan dan pemantauan.
Kaedah 12 : Dakwah merupakan satu tasawwur besar Jihad dari segi matlamat dan kesan.
Kaedah 13: Dakwah adalah perniagaan  mulia, tidak boleh dijual dengan habuan dunia, habuan dunia merosakkan maruah pendakwah .
Kaedah 14 : Mengenali mad'u faktor utama mempengaruhinya.
Kaedah 15 : Kontemporari, memahami keadaan umum adalah sebab-sebab kejayaan dakwah.
Kaedah 16 : Perpecahan, fitnah, uzlah dan jamaah…halangan di jalan dakwah.
Kaedah 17 : Kefahaman yang betul adalah jalan amal yang betul.
Kaedah 18 : Kefahaman yang memandu dan kefahaman yang wajib.
Kaedah 19 : Menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkuran merupakan kefardhuan umat.
Kaedah 20 : Menyalahi maksud dan tujuan Al-Qur'an lebih bahaya dari meninggal dan mengabaikan  Al-Qur'an.
Kaedah 21 : Amal umum adalah asas amal khusus sebagai penarik dokongan dakwah.
Kaedah-kaedah di atas menjadi sebahagian dari maksud skop dakwah dan tarbiyah. Kaedah-kaedah ini akan memberikan tenaga baru dalam mengaplikasikan dakwah.
Ia pasti menjadikan dakwah sesuatu yang :
  1. Mengasyikkan minda pendakwah.
  2. Mengghairahkan semangat.
  3. Menarik minat mad'u.
  4. Membentuk wilayah pengaruh.
Akhir sekali, marilah kita renungi ungkapan Imam Hasan Al- Banna berkaitan dengan penguasaan dakwah :
"Dakwah ini tidak akan sesuai dan serasi kecuali dengan orang yang memahami dan menguasai dakwah dari segala aspeknya."
Mana mungkin orang yang tidak memiliki apa-apa mampu memberi dan menyumbang kepada orang lain bak kata pepatah :
 "Orang yang tiada apa-apa, tidak akan memberi."
Oleh itu wahai aktivis dakwah! Janganlah kita jemu dalam berdakwah serta jangan mudah pasrah dan merasa letih kerana kitalah obor harapan ummah ini.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami hikmah dan kefahaman yang mendalam tentang 'Fiqh Dakwah' sehingga kami dapat merealisasikan kaedah-kaedahnya dalam kami melaksanakan tugas-tugas dakwah kerana kami memahami bahwa tidak ada perkataan yang lebih mulia kecuali perkataan yang menyeru manusia untuk kembali kepadaMu dengan mentaati segala suruhanMu dan meninggalkan segala laranganMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top