Terkini...




0

Fw: [ikram-ajk-DISKUSI] Prinsip Nasihat Yang Berkesan


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Sebenarnya musuh terbesar yang sentiasa kita perlu berwaspada adalah diri kita sendiri. Kita sering sibuk mengendalikan musuh zahir tanpa sibuk mengendalikan musuh batin (ketidaksibukan pengendalian diri sendiri) padahal mengendalikan diri sepatutnya diutamakan.
Musuh zahir hanyalah bonus dari Allah sebagai alat agar kita memiliki kesempatan untuk berjihad sedangkan bersungguh-sungguh mengendalikan diri adalah 'Fardhu Ain'.

Peperangan bukanlah masalah menang atau kalah. Ketika Saidina Ali sudah mampu untuk membunuh musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah ke mukanya hingga beliau tidak jadi untuk membunuhnya. Kemudian musuhnya
bertanya mengapa beliau tidak membunuhnya maka dijawab oleh Saidina Ali :
"Kerana aku khuatir jika aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah dengan ludahan mu itu".

Ketika dipukul oleh lawan kita, kita tidak rugi bahkan rasa sakit itu boleh menggugurkan dosa. Jika kita membalas agar lawan kita berhenti dari berbuat zalim, kita mendapat pahala. Tapi jika kita membalas lebih
dari yang sepatutnya maka kitalah yg zalim.

Masalah terbesar bagi kita adalah mengendalikan hawa nafsu kerana ia ibarat kuda. Hawa nafsu (syahwat) adalah sebahagian dari kurniaan Allah.
Ia akan jadi amal soleh jika digunakan dengan niat dan cara yang benar tetapi ia akan menjerumuskan kita ke lembah kebinasaan jika tidak dikendalikan dengan betul.
Allah menciptakan syaitan sebagai musuh kita dan menjatuhkan kita melalui hawa nafsu. Kalau tidak pandai mengendalikannya ibarat kuda liar dengan syaitan sebagai jurulatihnya. Jika kuda tunduk pada kita insyaallah kita akan cepat mencapai tujuan maslahat dengan tenaga yang lebih efisyen, tapi kalau tidak dikendalikan dengan betul ia akan jadi seperti kuda 'RODEO' (kuda koboi) yang membuatkan penunggangnya terumbang ambing akhirnya terpelanting dan dipijak.

Mengapa masih ada orang yang tidak boleh mengendalikan diri di bulan Ramadhan padahal syaitan pada ketika itu dibelenggu?
Jawabannya adalah kerana syaitan itu sebenarnya adalah jurulatih kepada nafsu. Jika jurulatihnya diikat tetapi yang dilatihnya sudah terlatih maka tetap sahaja orang itu akan berbuat maksiat.
Oleh kerana itulah waktu pengendalian diri yang paling baik ialah semasa bulan Ramadhan kerana di waktu itulah kita mempelajari cara untuk menjaga nafsu amarah, fikiran, lisan, pandangan, keinginan dan lain-lain.
Ketahuilah bahwa tabiat nafsu itu tidak sebanding antara kesenangannya dengan akibat dan risiko yang perlu dipikulnya. Misalnya ketika kita melepaskan sifat marah kita kepada seseorang maka, nikmatnya sebentar tapi akibatnya hati orang lain akan terhiris dan mungkin hubungan persaudaraan dan kasih sayang akan terhakis.
Bandingkanlah kenikmatan sebentar dgn akibat akhir yang akan dideritainya. Apa lagi yang kita miliki kalau kita sudah tidak boleh mengendalikan diri. Jika kita tertipu dan diperbudakkan oleh nafsu lalu apakah yang berharga bagi diri kita?
Ada beberapa prinsip yang perlu difahami ketika kita berada pada posisi nasihat menasihati sesama saudara kita supaya nasihat itu menjadi berkesan.
PERTAMA : MASALAH NIAT
Sampaikanlah nasihat semata-mata kerana Allah, BUKAN kerana tujuan :
  1. Keduniaan.
  2. Hawa nafsu.
  3. Hasrat peribadi.
Dengan cara begitu, kita tidak perlu berkecil hati apabila nasihat kita tidak diterima dengan baik dan anggaplah tindak balas negatif tersebut sebagai ujian kesabaran.
Pengalaman mengajarkan kita bahwa orang-orang yang kecewa (sekalipun kerana nasihat yang terbuka dan bersifat pembetulan) pada asasnya akan menghargai dan berterimakasih dalam hati mereka.
Mengapa kita perlu berkecil hati?
Bukankah nasihat itu ibarat pohon kebaikan yang kita tanam dan kita tidak tahu bila ianya akan tumbuh dan berbuah?
"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa." (QS Al A'raf : 164)
KEDUA : TUNJUKKANLAH CINTA, KASIH SAYANG DAN KEIKHLASAN KETIKA MEMBERI NASIHAT
Hindarkan diri dari nada bicara yang menunjukkan :
  1. Kebanggaan.
  2. Celaan.
  3. Olok-olokan.
  4. Cemuhan.
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (QS Al Hujurat : 11) 
KETIGA : PEMILIHAN WAKTU YANG TEPAT
Akhlak Islam menuntut kita untuk menyampaikan nasihat secara peribadi, bukan di depan khalayak ramai bagi menghindari timbulnya perasaan yang tidak baik.
Tujuan nasihat adalah memperbaiki kelemahan dan menyempurnakan kekurangan seseorang, BUKAN :
  1. Mengumumkan kesalahannya.
  2. Menyebarkan kelemahannya. 
KEEMPAT : BERSABAR DAN BERHATI-HATI DALAM MENGGUNAKAN PERKATAAN DAN MEMILIH SUASANA EMOSI YANG TEPAT
Kita tidak boleh tersinggung atau kecewa jika nasihat kita tidak memberi pengaruh terhadap  orang lain. Mungkin semua itu memerlukan waktu. 
KELIMA : JAUHI PERTENTANGAN YANG SIA-SIA
Adakalanya pendapat kita salah dan pendapat orang yang kita beri nasihat itu benar.
Dalam situasi ini, ubahlah tindakan memberi nasihat menjadi wahana untuk bertukar fikiran dengan penuh persaudaraan.
Ingatlah, tanggungjawab kita hanyalah memberi nasihat, BUKAN memberi hidayah.
Sebuah nasihat tidak akan bermanfaat kecuali hanya dengan izin Allah dan bergantung pula pada kadar keimanan penerima nasihat.
Allah swt berfirman :
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (QS Az-Zariyaat : 55)
KEENAM : JADILAH CERMIN YANG TERPERINCI DENGAN MEMBERI INFORMASI YANG LEBIH SPESIFIK
Contohnya, nasihat tentang kebersihan masih bersifat umum. Agar saudara kita menyedari masalahnya, sebutkan perkara yang lebih spesifik, misalnya :
  1. Nafas yang kurang sedap.
  2. Pakaian yang compang camping.  
Dalam pengurusan nasihat, diperlukan kepekaan dan kearifan yang tinggi agar mencapai hasil yang optimum.
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS An-Nahl : 125)
Pemimpin sebuah negara pernah berkata lebih seratus tahun yang lalu :
"Orang lebih mudah menangkap lalat dengan sirap daripada dengan cuka."
Sesungguhnya ajaran Islam telah lebih dahulu menganjurkan umatnya agar "menangkap orang" dengan sifat ramah tamah yang manis, bukan dengan gertakan-gertakan yang mengecutkan sekalipun terhadap anak dan orang kesayangan yang paling dekat.
Inilah "misteri hati" yang sangat lemah dan rapuh dalam menghadapi kelembutan.
Allah swt membekalkan Nabi Muhammad saw dengan sifat kelembutan untuk berdakwah menghadapi umatnya.
"Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya." (QS Ali Imran : 159)
Itulah sebabnya dalam beberapa kisah, seringkali orang-orang yang diberikan nasihat oleh Nabi saw memberikan tindak balasnya sambil mengungkapkan perasaan bahwa orang itu mencintai Nabi.
Sungguh benar, ini bukan sekadar buah dari nasihat yang mempunyai unsur logik yang cerdas, melainkan nasihat itu bersandarkan kepada sifat kelemah-lembutan yang mampu terus menyentuh dasar hati penerima nasihat.  
Pelajaran ini insyaAllah akan membuka mata dan kesedaran kita akan kesan dari pemberian nasihat bernilai yang disampaikan dengan penuh kelembutan.
Bila perkara ini dilakukan secara berterusan dan berulang-ulang, tanpa disedari, di antara pemberi dan penerima nasihat, akan tumbuh jalinan ikatan kasih sayang di samping persaudaraan yang semakin kuat.
Setakat ini, jika interaksi nasihat menasihati berlaku di antara sesama laki-laki, mahupun sesama wanita, kesan dari sikap lembut dan ramah sentiasa bernilai positif.
Namun, fakta di medan seringkali menunjukkan perkara yang "negatif" apabila aktiviti saling menasihati berlaku di antara seorang laki-laki dan seorang wanita.
Kedekatan yang bermula dari motivasi yang ikhlas secara perlahan-lahan dicemari oleh rasa tarikan yang berhembus dari nafsu dan hasrat peribadi.
Nasihat yang pada mulanya mengalir secara tulus tanpa mengharapkan sesuatu kecuali ingin memperbaiki kekurangan saudaranya, sedikit demi sedikit tergugat menjadi pengharapan akan penerimaan yang lebih mendalam.
Perhatian yang berlebihan (dalam konotasi negatif) dan rasa ingin sentiasa dekat telah bercampur dengan semangat keikhlasan ketika ingin memberikan nasihat.
Sifat kebergantungan telah tercipta seketika seolah-olah hanya pemberi nasihat yang mampu menasihati dirinya.
Lebih jauh lagi, pengakuan secara lisan bahwa pemberi nasihat tersebut adalah satu-satunya penasihat kerohanian kerapkali mendorong keinginan untuk memberikan "ruang" tambahan kepada pemberi nasihat agar mahu berperanan lebih iaitu sebagai penasihat peribadi dalam rumah tangga. 
Di sini, kita tidak perlu membahas tentang pro dan kontra kesan dari aktiviti saling menasihati antara lawan jenis kecuali sekadar menunjukkan "garis merah" hubungan sebab akibat antara sikap lembut dalam menasihati dan hasrat serta tarikan dari dorongan nafsu manusia.
Satu perkara yang perlu dihalusi adalah bahwa kita memerlukan persiapan dan kewaspadaan tambahan di dalam hati kita ketika memutuskan untuk terjun dalam wilayah saling menasihati kepada seseorang (dakwah fardiyah) yang berbeza jenis dengan kita.
Tanpa kematangan dan kemantapan kerohanian, sebaiknya batalkanlah niat kita untuk masuk terlalu dalam ke dalam wilayah ini.
Yang pasti, syaitan sentiasa mengintai dan berusaha mencari celah-celah kelalaian dan kelengahan dalam semua aktiviti amal soleh yang dilakukan oleh setiap hamba Allah.
Semoga Allah swt sentiasa melindungi kita semua dari godaan syaitan yang terkutuk.
Ya Allah, tetapkanlah hati kami untuk sentiasa meluruskan niat dan tujuan kami kepadaMu dalam usaha nasihat menasihati antara sesama kami. Kurniakanlah sifat kelembutan kepada kami dalam melaksanakan tugas ini serta jauhkanlah hati kami dari rangsangan-rangsangan hawa nafsu yang akan menjauhkan kami dari matlamat sebenar yang akhirnya boleh menyelewengkan kami dari jalanMu yang benar. Sesungguhnya kami menyedari bahwa kemuliaan hanyalah bagi orang-orang yang gigih mengendalikan dan memelihara diri.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top