Terkini...




0

Peranan Aktif Aktivis Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dakwah tidak terikat pada waktu, ruang dan tempat. Bilapun, di manapun dan dalam keadaan apapun, tugas dakwah akan sentiasa menyertai kita. Maka, waktu 24 jam yang tersisa untuk aktiviti harian perlulah kita gunakan untuk dakwah, walauapapun bentuknya.
"Nahnu Du'at Qabla Kulli Syai'in" (Kita adalah aktivis dakwah sebelum menjadi apapun)

Perkataan Imam Hasan Al-Banna di atas perlu menjadi cerminan kita bahwa pada hakikatnya, seorang muslim adalah pendakwah.
Ketika seseorang menuntut ilmu dan memiliki pengetahuan, ketika itu pula ia memiliki kewajiban untuk menyebarluaskan ilmu yang dimilikinya tersebut.
Ketika seseorang sedar bahwa ia telah memiliki bekalan untuk mengamalkan sunnah, maka ketika itu pula ia berkewajiban menyeru orang lain kepada Islam.
PENERUSAN DAKWAH
Perjuangan Islam telah berlangsung sejak 14 abad yang lalu dan sejak itu pula perjuangan dakwah dimulai.
Kita mesti ingat bahwa wahyu kedua yang diturunkan oleh Allah swt kepada Rasulullah saw adalah Surah Al-Muddatsir, ayat 1-5 yang memerintahkan kepada Rasulullah saw untuk keluar dari selimutnya, menyeru para penduduk Makkah yang ketika itu tengah berada pada titik puncak kerosakan aqidah.
Sejak itulah seruan dakwah Islam ditiupkan yang menuntut semua elemen yang bergabung dalam barisan perjuangan dakwah untuk memberikan sumbangan.
Sampai ke saat ini, perjuangan dakwah masih terus berlangsung di mana sejarah telah membuktikan  bahwa ;
  1. Semangat dakwah telah berhasil meruntuhkan istana-istana Parsi yang megah di Khurasan.
  2. Ghairah dakwah telah membuka pintu gerbang Konstantinopel dari orang-orang Romawi.
  3. Dakwah telah membuka berbagai kunci yang membantu Islam untuk menyebar ke segenap penjuru dunia.
Perjuangan dakwah, samada disedari atau tidak, telah meneguhkan kewujudan keislaman kita sehingga identiti muslim mampu melekat pada diri kita.
Suatu perkara yang sepatutnya kita maklumi adalah bahwa ruang gerakan dakwah dari masa ke semasa kini semakin lebar membentang di hadapan kita . Umpama sebuah bendera di mana kibarannya semakin kencang di mana semakin luas perkembangan dakwah, maka semakin kuat pula fitnah dan halangan.

Kita sebenarnya boleh menetapkan salah satu dari dua peranan berikut dalam diri kita iaitu :

1.      Menjadi penganalisa situasi yang suka berkomentar.
2.      Menjadi pelaku yang produktif memberikan sumbangan.

Bagi seorang aktivis dakwah, pertanyaan yang paling tepat terhadap keadaan yang dihadapi pada masa ini adalah :

"Siapakah yang bertanggung jawab ke atas perkembangan dakwah ketika ini dan di masa hadapan?"

BUKANNYA

"Siapakah yang telah melakukan prestasi yang tinggi sehingga gerakan dakwah berkembang hari ini?"

Dua pertanyaan tersebut menggambarkan persepsi kita dalam memandang diri sendiri.

Ketika gerakan dakwah ini kita pandang sebagai keperluan, maka sepesat manapun perkembangan yang dicapai tidak akan membuatkan kita menuntut 'penghargaan' kerana apa yang mesti kita fokuskan adalah bagaimana kita beramal bagi menjawab segala tuntutan di atas perkembangan tersebut.

Bagaimanakah persepsi yang seharusnya kita letakkan diri kita kerana inilah masanya kita diuji dalam menentukan kefahaman terhadap 'amal jamai'e'.

Kenyataan di medan menunjukkan bahwa agenda gerakan dakwah dari masa ke semasa berkembang dengan begitu pantas namun faktor manusia seringkali menjadi jalan masuk kepada syaitan untuk melemahkan kita ter­utama ketika kita melihat aktivis dakwah berubah gaya dan penampilan kerana amanah barunya dan kemudiannya mereka mula :

a.       Mem­bangun kemasyhuran diri.
b.      Menghitung prestasi yang telah dicapai.

Bagi sesiapa yang terjebak dalam persepsi fitnah inimaka :

"Berhenti­lah dari kungkungan itu, inilah masanya untuk kita membuk­tikan semua komitmen dan kefahaman kita. Ingatlah, semakin tinggi ke­dudukan, semakin kencang angin menerpa. Sedarlah kita bahwa dalam perkembangan dakwah ketika ini, semua peringkat mengalami tekanan 'angin' yang sama kualitinya, dalam bentuknya masing-masing".

AMANAH KEPIMPINAN YANG BERAT

Kita perlu menyegarkan kefahaman kita tentang tanggungjawab amal. Sepatutnya, tidak ada amanah yang kita rasa enak atau tidak enak.

Amanah yang datang adalah untuk kita tunaikan. Kedudukan apapun kita dalam gerakan dakwah ini, di setiap bahagian ruangannya terdapat fitnah dan ujiannya masing-masing.

Kita tentu masih ingat akan satu kenyataan yang dibuat oleh Khalifah Islam yang pertama iaitu Abu Bakar ra, ketika upacara perlantik­annya :

"Ketahuilah, aku bu­kanlah orang yang terbaik di antara kamu, akan tetapi aku hanyalah seorang laki-laki seperti kamu, namun Allah menjadikan aku sebagai orang yang  paling berat bebanannya di antara kamu."

Perasaan ini adalah pera­saan yang hanya dimiliki oleh 'jiwa-jiwa yang bersatu'.

Ketika keistimewaan-keistimewaan amanah yang ketara itu sudah tidak ada lagi, lalu digantikan oleh sifat tawadhu' dan per­saudaraan (ukhuwah), maka :

"Tidak ada yang tersisa dari erti kepimpinan kecuali tinggal bebanannya yang berat."

Lalu apa bezanya jenis amanah tersebut di hadapan Allah dengan apa yang ketika ini menjadi tanggungjawab kita?

Ini adalah gambaran yang seharusnya membuatkan kita banyak merenung dan tidak menambah senarai pertanggung­jawaban kita di hadapan Allah swt kerana :

"Semakin tinggi tingkatan amanah yang kita pikulianya hanya akan meninggalkan beban yang juga semakin berat."

Jika kita mampu memberi komitmen dengan lapang dada dan melihat saudara-saudara kita dengan perasaan cinta kerana beratnya bebanan tersebut, maka ge­rakan dakwah ini tidak akan dibatasi oleh apa-apa jenis penghalang.

Tuntutan untuk mengambil peranan nyata dalam gerakan dakwah adalah sebuah kemestian.

Putaran gerakan dakwah dengan segenap perkembangannya meninggalkan tanggungjawab yang tidak ringan.
Jika kita pernah mendengar suatu kenyataan :

"Berpindah dari medan kata-kata kepada medan amal".

Maka sekaranglah ketikanya dan inilah masanya aqad perniagaan dengan Allah kita ikrarkan.

Siapakah di antara kita yang akan menjawab seruan Allah?

"…..Mahukah engkau Aku tunjukkan kepada perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih(QS As-Shaf :10)

Siapakah di antara kita yang bersungguh-­sungguh menggolongkan dirinya ke dalam jaminan Allah?

"Se­sungguhnya Allah membeli diri dan harta sebahagian dari golongan orang-orang yang beriman dengan bayaran syurga……." (QS At-Taubah : 111)

MASA UNTUK BERAMAL

Kita sudah lama membincangkan berbagai tema dan agenda dalam gerakan dakwah ini.

Kini :

1.      Tiba saatnya untuk kita meng­amalkan semua kefahaman tersebut.
2.      Setiap detik yang kita miliki adalah masa untuk menerapkan semua konsep gerakan yang telah lama kita letakkan dalam suatu sistem.
3.      Di hadapan kita ada hamparan ruangan amal yang sangat luas.

Hamparan amal tersebut memerlukan :

a.       Peranan aktif kita semua.
b.      Corakan wama yang menyejukkan pandangan.
c.       Sentuhan rasa yang kental.
d.      Semangat penghambaan yang membara kepada Allah swt.

Inilah ketikanya kita masuk ke dalam paksi seterusnya tanpa melupakan agenda paksi sebelumnya.

Ini semua kita lakukan bukan semata-mata kita menjadi sebahagian dari gerakan dakwah Islam ini, tapi ianya sebagai suatu rasa syukur kita kepada Allah swt kerana ternyata ia masih mem­beri kita kesempatan untuk berada dalam zaman yang penuh dengan berbagai kemudahan ini.

Untuk itu, kita mesti menebus kesyukuran tersebut dengan meningkatkan kuantiti amal gerakan dakwah secara sempurna.

KEPENTINGAN AMANAH TARBIYAH

Persepsi yang salah terhadap amanah biasanya lahir dari peralihan orientasi hidup (ittijah) kepada material atau urusan-urusan duniawi.

Ini memberi kesan terhadap kelemahan keyakinan akan rezeki Allah swt dan akibatnya keterikatan terhadap agenda gerakan menjadi lemah kerana sebahagian aktivis dakwah disibukkan dengan urusan mata pencarian (ma'isyah).

Pergerakan yang hebat menuntut penggunaan tenaga yang tidak sedikit. Aktivis dakwah terkesan berada di mana-mana, namun satu fenomena umum yang menyer­tainya adalah lemahnya amal-amal ibadah harian.

Kita dapati ramai aktivis dakwah yang kemudiannya menyelesaikan amal ibadah hariannya pada tingkatan biasa-biasa sahaja.

Agenda-agenda peningkatan 'ruhiyah' yang disediakan sebagai 'backup' atau 'charger' mula menjadi tidak  popular di mata para aktivis dakwah di samping tenaga yang ada memang sudah terserap habis.

Akhirnya semangat pencapaian sasaran kualiti diri (muwashafat) seperti yang pernah bergema kuat sebelum ini mula mengalami penurunan.

Lalu, apalagi yang membuatkan kita dapat bertahan menghadapi fitnah dan 'mihnah' ini jika ibadah kita menjadi perkara yang perlu diperbetulkan?

Satu lagi gambaran yang juga sebelumnya terpendam adalah cara pandang kita terhadap pembentukan diri.

Dalam beberapa situasi, akti­vityang menuntut waktu dan perhatian seringkali mengalah­kan agenda-agenda pembentukan diri.

1.      Ada yang minta izin untuk tidak menghadiri 'liqa'' mingguan kerana amanah di tempat tertentu.
2.      Ada yang terbiar kerana 'murabbi' dan pengelolanya sibuk dengan agendanya masing-masing.

Semua ini menyebabkan banyak aktiviti yang terkorban.

Profil dan gaya aktivis dakwah yang sudah sedemikian rapuhnya itu ditambah lagi dengan kelemahan dalam penguasaan 'manhaj' gerakan.

Inilah kelemahan yang cukup besar bagi aktivis dakwah di mana kesannya benar-benar mengancam kelangsungan proses membentuk atau membina (takwin).

Kelemahan-kelemahan tersebut bahkan membuatkan sebahagian aktivis dakwah tidak berani menjadi 'murabbi' atau pembina generasi penerusnya.

Bahkan ianya boleh menimbulkan perasaan rendah diri yang membuatkan aktivis dakwah tidak dapat berkembang dalam mengikuti agenda pentarbiyahan.

Kita berharap agar fenomena terakhir ini hanya bersifat sementara kerana akibat besarnya mungkin akan ada aktivis dakwah yang meminta untuk 'pencen' atau 'berehat terus' dari aktiviti dakwah dan tarbiyah.

RENUNGAN UNTUK KITA

Marilah kita bangkit!

Inilah tanggungjawab yang menuntut banyak :

a.       Kreativiti.
b.      Kecerdasan.

Inilah ruang gerakerja yang tidak pernah mengenal perkataan selesai.

1.      Lakukanlah apa yang boleh kita sumbangkan untuk mengisi ruang besar gerakan dakwah ini.
2.      Jangan sekali-kali kita menganggap kecil, walau sekecil apapun sumbang­an kita dalam dakwah ini.
3.      Sesunggunnya Allah swt tidak mengukur pada besar kecilnya amal, melainkan sejauh mana keikhlasan dan kesempurnaan dalam kita menyele­saikannya.

Medan perjuangan adalah :

a.       Wilayah panjang tanpa akhir, kecuali berakhir pada titik kemenangan atau kematian.
b.      Jalan penuh rintangan di samping berhiaskan onak, duri dan ujian.

Arena panjang yang penuh ujian bukanlah tempat bagi para pencari pengalaman atau bahkan sekadar mengisi waktu terluang.

Di sini diperlukan para pejuang yang memberikan seluruh hidupnya demi agenda perjuangan kerana pada kenyataannya, kadang-kadang medan perjuangan dijadikan sebagai tempat mencari :

1.      Keuntungan.
2.      Kemasyhuran.
3.      Wang demi kelangsungan kehidupan.

Semakin hari semakin kemenangan perjuangan mulai menampakkan kesannya ke permukaan dan segala keperitan perjuangan akan segera terbayar, maka di saat itulah banyak ujian kesenangan yang akan melalaikan para pejuang seperti dalam peristiwa Perang Uhud yang pada mulanya memperolehi kemenangan.

Ketika ini, tunas kemenangan mulai menggeliat dan mengembang manakala gerakanpun mulai menampakkan pengaruhnya.

Namun, sesuatu yang kadang-kadang membuatkan hati kita tidak tenang adalah ketika ada yang terlena dengan riak-riak kemenangan.

Kalaulah yang dilupakan adalah masalah-masalah keduniaan, itu sudah menjadi sebuah kemestian.

Tapi pada realitinya, kadang-kadang kuantiti dan kualiti ibadahpun sudah menjadi agenda yang dilupakan.

Ketika ini, walaupun riak-riak kemenangan sudah menampakkan wajahnya di permukaan, namun, jangan terlalu sering mengucapkan kemenangan selagi mana masih banyak manusia yang jauh dengan pemilik dan yang memberikan kemenangan iaitu Allah swt.

Ini adalah kerana cita-cita kita :

BUKANLAH

"Bagaimana menikmati kemenangan."

TETAPI YANG LEBIH PENTING ADALAH :

"Bagaimana nilai-nilai kalimah syahadah mampu menjadi aqidah semua manusia sehingga ketundukan sepenuhnya kepada Allah swt di setiap lapangan dapat direalisasikan."

Namun, suatu perkara yang perlu difahami bahwa dakwah ini masih belum selesai. Masih banyak yang perlu diperbaiki pada lingkungan kita, ketika kita berbicara dalam konteks dakwah.
Tugas dakwah masih lebih banyak dari waktu yang tersedia. Oleh kerana itu, dakwah mesti dilakukan secara terus menerus oleh setiap individu muslim lebih-lebih lagi para aktivis dakwah dengan segala kemungkinan yang mungkin ditimbulkan olehnya.
Maka :
Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kelemahan itu lemah menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Tahu bahwa di setiap ruang waktu, terlalu banyak seruan dan ajakan untuk meninggalkan jalan hidup RasulMu dan di sela-sela ruangan waktu itulah kami berharap akan tetap istiqamah di jalanMuKami juga memohon agar Engkau memelihara harapan itu di hati kami sehingga ke akhir hayat kami dan menguatkan barisan kami, umat NabiMu saw.

Ameen Ya Rabbal Alameen

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top