Terkini...




0

Jamaah Perkukuhkan Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Jalan dakwah adalah suatu jalan yang :
  1. Panjang.
  2. Berliku.
  3. Curam.
  4. Penuh dengan onak dan duri.
Namun ketika kita ikhlas melalui dan menjalaninya, dakwah itu akan menjadi sungguh indah sebagaimana yang disebut oleh Ustaz Rahmat Abdullah :
"Seperti itulah dakwah. Dakwah adalah cinta dan cinta akan menarik seluruh potensi yang ada pada dirimu mulai dari tidurmu, sedarmu, mimpimu, gerakanmu, perjalananmu, bahkan diammu untuknya."

Meniti langkah di jalan dakwah tidaklah mudah sebagaimana yang kita sangka.
Tidak mudah kerana jalan dakwah ini hanya sedikit orang yang memilihnya sehingga kita mestilah benar-benar ikhlas mengharapkan pertolongan serta ridha Allah dalam meniti jalan dakwah ini.

Sampaikanlah walaupun satu ayat. Perintah dakwah ini tentu sudah biasa kita dengar. Tentu sahaja dakwah adalah perkara yang sangat penting dalam membangunkan generasi muslim kita ini.
Cuba kita bayangkan jika para sahabat enggan berdakwah setelah Rasulullah saw wafat, entah bagaimana keadaan kita ketika ini. Nikmat Islam belum tentu boleh kita rasakan seperti hembusan yang kita dapatkan sekarang ini.
Umat Islam ini bagaikan daun-daun yang berguguran dengan mudah apabila sekali diterpa angin. Tiada kekuatan yang mampu menghimpun dan menguruskannya kembali sepertimana ia masih bergayut pada pohonnya.
Begitulah kenyataannya!
Ramai orang yang soleh dan hebat, tapi semuanya seperti daun-daun yang bertaburan. Oleh kerana itu, jalan dakwah yang panjang untuk menuju kebangkitan umat ini mestilah dimulai dari:
  1. Menghimpun daun-daun tersebut dalam wadah yang bernama jamaah.
  2. Mengikat kembali jalinan cinta di antara mereka.
  3. Menyatukan potensi dan kekuatan mereka.
  4. Meledakkannya dalam momentum sejarah.
sehingga akhirnya ia akan menjadi pohon peradaban yang teduh yang akan menaungi kemanusiaan.
Harapan ini adalah sebagaimana beberapa bait syair yang diungkapkan oleh Muhammad Iqbal melalui sajak doanya.

"Walaupun satu keluarga kami tak saling mengenal
Himpunlah daun-daun yang bertaburan ini
Hidupkan lagi ajaran saling mencinta
Ajari lagi kami berkhidmat seperti dulu"

Mungkin batinnya menjerit pada setiap kesaksiannya atas zamannya :
Umat ini seperti daun-daun yang bertaburan gugur diterpa angin, tidak ada lagi kekuatan yang dapat menghimpunkannya kembali, mengurusnya seperti ketika ia masih menggayut pada pohonnya.

Begitulah kenyataan umat ini :
  1. Mungkin ramai orang yang soleh di antara mereka, tapi semuanya seperti daun-daun yang berhamburan dan tidak terhimpun dalam sebuah wadah yang bernama jamaah.
  2. Mungkin ramai orang hebat di antara mereka, tapi kehebatan mereka hilang diterpa angin zaman.
  3. Mungkin banyak potensi yang tersimpan pada individu-individu di antara mereka, tapi semuanya berserakan di sana sini, tidak terhimpun di dalam satu wadah.
Maka jamaah adalah alat yang disediakan oleh Islam bagi umatnya untuk menghimpun daun-daun yang bertaburan itu supaya kekuatan setiap orang soleh atau orang hebat atau satu potensi, bertemu secara bersepadu dengan kekuatan saudaranya yang lain yang sama solehnya, yang sama hebatnya serta yang sama potensinya.

Jamaah juga merupakan cara yang paling tepat untuk menyederhanakan perbezaan-perbezaan pada individu.
Di dalam satu jamaah, individu-individu yang memiliki kemiripan dari segi potensi disatukan dalam sebuah simpulan.
Meskipun ada banyak jamaah yang wujud, itu tetap jauh lebih baik daripada tidak ada jamaah sama sekali kerana jauh lebih mudah untuk memetakan orang ramai melalui pengelompokan atau simpulan-simpulannya berbanding perlu memetakan mereka sebagai individu.

Tapi ternyata, ianya bukan suatu pekerjaan yang mudah. Ternyata :
  1. Cinta tidak mudah untuk ditumbuhkan di antara mereka.
  2. Orang soleh tidak mudah untuk disatukan.
  3. Orang hebat tidak selalu bersedia untuk dikumpulkan dengan orang hebat yang lain.
Mungkin itu sebabnya, ada ungkapan di kalangan kumpulan "gangster mafia" bahwa :
"Seorang perajurit yang bodoh, kadang-kadang lebih berguna daripada dua orang jeneral yang hebat."
Namun, tidak ada jalan yang lain.
Nabi bagi umat ini tidak akan pernah memaafkan setiap orang di antara kita untuk meninggalkan jamaah semata-mata kerana ia tidak menemui kesesuaian bersama orang lain dalam jamaahnya.
Oleh sebab itu, benarlah sebagaimana kata-kata Sayyidina Ali bin Abi Talib :
"Kekeruhan jamaah, jauh lebih baik daripada kejernihan individu."
DARI INDIVIDU MENUJU JAMAAH

Orang-orang yang soleh di antara kita perlu menyedari, bahwa tidak banyak yang dapat ia berikan atau sumbangkan untuk Islam kecuali kalau ia bekerja di dalam atau melalui jamaah.
Mereka tidak dapat menolak fakta bahwa :
  1. Tidak ada orang yang dapat mempertahankan hidupnya tanpa bantuan orang lain.
  2. Tidak pernah ada orang yang dapat melakukan segalanya atau menjadi segalanya.
  3. Kecerdasan individu tidak pernah dapat mengalahkan kecerdasan kolektif.
Bekerja di dalam jamaah tidak hanya berkait dengan fitrah sosial kita sahaja tapi juga berkait terutamanya dengan keperluan kita untuk menjadi lebih :
  1. Mantap.
  2. Berkesan.
  3. Produktif.
Lebih-lebih lagi, oleh kerana kita hidup dalam sebuah zaman yang bercirikan sebuah masyarakat jaringan atau masyarakat berorganisasi, maka semua aktiviti manusia dilakukan melalui organisasi dalam semua bidang kehidupan seperti pemerintahan, politik, ketenteraan, perniagaan, kegiatan sosial kemanusiaan, rumah tangga dan lainnya.
Inilah yang menjadi kata kunci yang menjelaskan mengapa masyarakat moden menjadi sangat mantap, berkesan dan produktif.

Masyarakat moden bekerja dengan kesedaran bahwa keterbatasan-keterbatasan yang ada pada setiap individu sesungguhnya dapat dihilangkan dengan mengisi keterbatasan mereka itu dengan kekuatan-kekuatan yang ada pada individu-individu yang lain.
Jadi keperluan setiap individu Muslim untuk bekerja di dalam jamaah bukan sahaja lahir dari keperluan untuk meningkatkan kemantapan, keberkesanan dan produktivitinya, tapi juga lahir dari keperluan untuk bekerja pada tingkatan yang setara dengan keperluan zaman kita.

Musuh-musuh kita mengelola dan menguruskan kerja-kerja mereka dengan rapi, jadi adalah tidak sepatutnya jika kita bekerja sendiri-sendiri, tanpa organisasi dan tanpa sistem pengurusan yang baik.

Pilihan untuk bekerja di dalam jamaah hanya lahir dari kesedaran yang mendalam seperti ini, namun kesedaran ini sahaja tidak mencukupi.
Bahkan ia memerlukan syarat-syarat psikologi lain yang perlu kita miliki untuk dapat bekerja dengan lebih mantap, berkesan dan produktif dalam kehidupan berjamaah seperti berikut :

PERTAMA :  KESEDARAN BAHWA KITA HANYALAH SEBAHAGIAN DARI FUNGSI PENCAPAIAN TUJUAN

Jamaah didirikan untuk mencapai tujuan-tujuan yang besar di mana ia bekerja dengan sebuah perancangan dan strategi yang komprehensif dan bersepadu.
Di dalam strategi yang besar itu, individu mestilah ditempatkan sebagai sebahagian dari keseluruhan elemen yang diperlukan untuk mencapainya.
Jadi sehebat manapun seorang individu, bahkan sebesar apa pun sumbangannya, dia tidak boleh merasa lebih besar daripada strategi di mana ia merupakan sebahagian darinya.
Jika ada individu yang merasa lebih besar dari strategi jamaah, maka strategi itu akan tidak akan mencapai matlamatnya. Untuk itu, setiap indvidu mestilah memiliki kerendahan hati yang tulus.

KEDUA : SEMANGAT MEMBERI YANG MENGALAHKAN SEMANGAT MENERIMA

Dalam kehidupan berjamaah berlaku proses memberi dan menerima. Namun, jika pada sebahagian besar proses, kita sentiasa berada pada posisi menerima, maka secara perlahan-lahan kita 'memakan' kebaikan-kebaikan orang lain hingga habis. Itu tidak akan pernah mampu mengekalkan hubungan individu dalam sebuah jamaah.

KETIGA : PERSIAPAN UNTUK MENJADI ANGGOTA YANG KREATIF

Pusat kestabilan dalam jamaah adalah kepimpinan yang kuat, namun, seorang pemimpin hanya akan menjadi berkesan apabila ia memiliki perajurit-perajurit yang taat dan setia.
Ketaatan dan kesetiaan adalah inti keperajuritan.
Begitu juga apabila kita bergabung dalam sebuah jamaah, kita mestilah bersedia untuk menjadi taat dan setia, namun, ruang lingkup amal Islami yang sangat luas memerlukan manusia-manusia yang kreatif dan kreativiti tidak bertentangan dengan ketaatan dan kesetiaan.
Jadi kita perlu menggabungkan antara ketaatan dan kreativiti di mana :
  1. Ketaatan lahir dari kedisiplinan dan komitmen.
  2. Kreativiti lahir dari kecerdasan dan kelincahan.
Maka, itu merupakan perpaduan yang indah.

KEEMPAT : BERORIENTASI PADA KARYA, BUKAN PADA KEDUDUKAN

Perangkap terbesar yang boleh menjerumuskan kita dalam kehidupan berjamaah adalah kedudukan di dalam sesuatu struktur.
Jamaah hanyalah wadah bagi kita untuk beramal. Maka kita perlu sentiasa berorientasi pada amal dan karya yang menjadi tujuan utama kita berjamaah dan memandang kedudukan dalam struktur organisasi hanya sebagai perkara sampingan semata-mata.
Dengan pandangan yang sedemikian, kita akan sentiasa bekerja dan berkarya samada mempunyai kedudukan atau tanpa apa-apa kedudukan dalam struktur organisasi.

KELIMA : BEKERJASAMA WALAUPUN BERBEZA

Perbezaan adalah tabiat kehidupan yang tidak dapat dimatikan oleh jamaah. Maka adalah salah jika berharap untuk hidup dalam sebuah jamaah yang bebas dari perbezaan.
Yang perlu kita tumbuhkan adalah kemampuan jiwa dan kelapangan dada untuk tetap bekerjasama di tengah-tengah berbagai perbezaan yang wujud.
Perbezaan tidaklah sama dengan perpecahan dan oleh kerana itu kita akan tetap bersatu walaupun kita berbeza.
JAMAAH YANG BERKESAN
Mungkin, jauh lebih realistik untuk kita mencari jamaah yang berkesan berbanding mencari jamaah yang ideal.
Sebagai perumpamaan, katakana kita adalah umat yang sakit dan setiap kita mewarisi kadar tertentu dari penyakit tersebut. Jika orang-orang sakit itu saling bertemu dalam sebuah jamaah, maka, pada dasarnya, jamaah itu juga merupakan jamaah yang sakit.
Itulah faktanya! Namun tugas kita adalah menyalakan lilin, bukan mencela kegelapan.

Jamaah yang berkesan adalah :
"Jamaah yang dapat melaksanakan atau merealisasikan rancangan-rancangannya".
Kemampuan perlaksanaan itu lahir dari integrasi antara berbagai elemen iaitu :
  1. Ada sasaran dan matlamat yang jelas.
  2. Ada strategi yang tepat.
  3. Ada wasilah yang pelbagai.
  4. Ada jumlah pendukung yang memadai.
  5. Ada pelaksana yang bekerja dengan penuh semangat.
  6. Ada lingkungan strategi yang kondusif.
Jamaah yang didirikan untuk kepentingan menegakkan syariat Allah swt di muka bumi akan menjadi berkesan apabila ia memiliki syarat-syarat berikut :

PERTAMA : IKATANNYA ADALAH AQIDAH, BUKAN KEPENTINGAN

Orang-orang yang bergabung dalam jamaah itu mestilah :
  1. Disatukan oleh ikatan aqidah.
  2. Dipersaudarakan oleh iman.
  3. Bekerja untuk kepentingan Islam.
Mereka tidak disatukan oleh kepentingan duniawi yang biasanya lahir dari dua kekuatan syahwat iaitu :
  1. Keserakahan (hubbud dunya).
  2. Ketakutan (karahiatul maut).
KEDUA : JAMAAH ITU WASILAH, BUKAN TUJUAN

Jamaah itu tetap diletakkan sebagai wasilah, bukan tujuan sehingga tidak ada alasan untuk memupuk dan memelihara sikap fanatik sekadar untuk menunjukkan kesetiaan kepada kumpulan tersebut.
Hilangnya sikap fanatik juga memungkinkan jamaah-jamaah itu :
  1. Saling bekerjasama di antara mereka.
  2. Membangun jaringan yang kuat.
  3. Tidak terjebak dalam pertarungan yang saling mematikan.
KETIGA : SISTEM, BUKAN TOKOH

Jamaah itu akan menjadi berkesan jika orang-orang yang ada di dalamnya bekerja dengan sebuah sistem yang jelas dan bukan bekerja dengan seseorang yang berfungsi sebagai sistem.
Pemimpin dan anggota jamaah hanyalah sebahagian dari strategi manakala sistem adalah sesuatu yang terpisah.
Dengan cara ini, kita mampu mencegah munculnya sikap diktator di mana selera seseorang pemimpin itu akan menjelma menjadi suatu sistem.

KEEMPAT : PENUMBUHAN, BUKAN PEMANFAATAN

Sebuah jamaah akan menjadi berkesan jika ia memandang dan menempatkan orang-orang yang bergabung di dalamnya sebagai pelaksana-pelaksana yang kerananya perlu ditumbuhkan dan dikembangkan secara terus menerus untuk fungsi pencapaian tujuan jamaah itu sendiri.
Jamaah itu akan menempatkan dirinya sebagai pemudahcara (fasilitator) bagi perkembangan kreativiti individunya dan tidak memandang mereka sebagai pembantu-pembantu yang mesti dipaksa bekerja keras umpama lembu-lembu susu yang perlu diperah setiap saat.

KELIMA : MENGELOLA PERBEZAAN, BUKAN MEMATIKANNYA

Jamaah yang berkesan sentiasa mampu mengubah kepelbagaian menjadi sumber kreativiti kolektifnya.
Ini dapat dilakukan melalui mekanisma 'syura' yang dapat memudahcarakan setiap perbezaan untuk diubah menjadi suatu persepakatan (consensus).
GABUNGAN YANG MEMBAWA KEJAYAAN
Gabungan antara syarat-syarat keanggotaan yang mantap dan keberkesanan sistem jamaah itulah yang akan menjadikan dakwah :
  1. Terasa nikmat dilakukan.
  2. Nyaman dilaksanakan.
  3. Tulus dan ikhlas dalam menyertainya.
Maka diperlukan kesedaran diri yang penuh akan kewajiban dakwah ini dan tentunya dukungan dari jamaah.

Dari kesedaran akan kewajiban berdakwah inilah akan memunculkan peranan aktif anggota jamaah untuk turut serta dalam barisan dakwah.
Apabila kesedaran diri ini belum muncul ataupun belum menggerakkan hatinya maka akan menjadi sukar untuk mendukung gerakan dakwah apalagi untuk berperanan aktif dalam amal jamai'e.

Maka amat sesuailah apabila sesuatu gerakan dakwah mementingkan usaha memberi kefahaman sebagai keutamaan.

Dari kefahamanlah maka akan muncul :

  1. Kesedaran diri dalam mendukung dakwah.
  2. Berperanan aktif dalam dakwah.
Bergerak dan berjuang di jalan Allah ini merupakan kewajiban seluruh kaum muslimin tanpa kecuali walau di manapun mereka berada.

Ianya akan lebih berkesan apabila gerakan dakwah ini berjalan secara teratur, kukuh dan terurus secara rapi serta tidak tercerai-berai ataupun berjalan sendiri-sendiri, kerana itulah pentingnya suatu Jamaah untuk bergerak secara bersama-sama melalui amal jamai'e kerana Islam bukanlah agama perseorangan bahkan Islam adalah agama satu umat iaitu kaum muslimin sepertimana firman Allah swt :

"Dan berpeganglah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai". (QS Ali Imran : 103)

Peranan aktif anggota jamaah dalam gerakan dakwah sangatlah besar ertinya begitu pula dengan kepimpinan kerana jamaah tidaklah mungkin dapat bergerak tanpa kepimpinan yang :

  1. Mengatur seluruh gerakannya.
  2. Menentukan tujuan.
  3. Mengawasi dan mengawal pelaksanaan program-program dakwahnya.
Di sinilah pentingnya kerjasama amal jamai'e di mana :

  1. Kepimpinan mesti memahami watak dan sifat karakteristik jamaahnya.
  2. Anggota jamaahnya mesti mengikuti dan mematuhi terhadap arahan yang diberikan oleh para pimpinan.
sehingga akan tercipta nada harmoni dalam pergerakan dakwah.

Peranan aktif anggota jamaah jelas sangat membantu dalam kelangsungan gerakan dakwah, namun ketika bergerak untuk berdakwah, maka diperlukan tips-tips dan strategi dakwah agar dapat merangkul sasaran dakwah serta tepat sasarannya.

Perlu pula dipelajari bagaimana jamaah boleh bergerak bersama-sama dengan masyarakat tanpa masyarakat merasa terbeban serta mampu menyampaikan bahan dakwah sehingga dapat mengubah paradigma masyarakat ke arah kebaikan tanpa paksaan.

Di sinilah Imam Hasan Al-Banna berkata dengan perkataan yang sangat indah untuk direnungkan :

"Umat yang berada dalam situasi seperti sekarang ini, yang sedang memikul tugas sangat penting seperti kita ini, yang tengah menghadapi berbagai tanggungjawab dan kewajiban, tidak perlu menghibur diri dengan diam atau berdalih dengan berbagai alasan, angan-angan dan harapan.

Sebaliknya, umat ini mesti mempersiapkan diri mengharungi lautan perjuangan yang panjang, penuh dengan berbagai tentangan yang dahsyat serta pertarungan sengit :

    1. Antara hak dan bathil.
    2. Antara yang berguna dengan yang berbahaya.
    3. Antara yang berhak dan perampas hak.
    4. Antara yang ikhlas, jujur dan murni dengan yang palsu dan pura-pura.
    5. Antara yang berjalan dengan lurus dan yang menyeleweng.
Jihad diambil dari perkataan `al-juhdu' yang bererti kepayahan. Ketahuilah! Bahwa kesusahan dalam berjihad menuntut kita berjuang terus sampai pertarungan berakhir.

Hanya di awal perjalanan, kamu sempat memuji pimpinan, tetapi jika telah berada di tengah perjalanan yang penuh risiko dan mengerikan, tidak ada bekalan dan persiapan umat ini kecuali :

  1. Jiwa yang beriman.
  2. Tekad yang kuat dan benar.
  3. Rela berkorban.
  4. Tampil ke gelanggang dalam keadaan apapun.
Jika tidak ada aktivis seperti itu, maka kekalahan dan kegagalan telah menghalangnya".

Semoga kata-kata indah tersebut mengingatkan kita kembali bahwa jalan dakwah bukanlah jalan yang ditaburi oleh bunga-bunga yang indah nan harum baunya malah ia merupakan jalan yang curam dan meninggi, penuh dengan onak dan duri serta banyak pula selekoh tajam yang perlu dilalui.

Ya Allah tetapkanlah kami untuk berada di atas jalan dakwah bersama dengan jamaah yang berkat ini. Sesunguhnya kami memahami bahwa jalan ini cukup panjang bermula dengan Nabi Adam sehingga manusia terakhir yang beriman sebelum kiamat, kelebarannya menjangkau setiap inci tanah, laut dan udara serta ketinggiannya dari kedalaman perut bumi hingga ke arashMu. Engkau ridhalah hamba-hambaMu yang berada di atas jalan dakwah ini serta kurniakanlah kemenangan hakiki kepada mereka walau di mana mereka berada.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top