Terkini...




0

Pertahankan Kemurnian Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Kemurnian dakwah tidak memiliki prinsip kecuali prinsip keimanan dan pemikiran yang bersumber dari Al Qur'an dan As Sunnah.

Jika kita berbicara tentang kemurnian dakwah, ia adalah sebuah masalah yang besar yang berkait secara langsung dengan kemurnian Islam.

Kemurnian Dakwah Islamiyah itulah yang digunakan oleh gerakan Islam di mana-mana tempat sekalipun dan ianya tidak ada perbezaan yang ketara.

Perlu kita sedari betapa luasnya pembicaraan tentang kemurnian dakwah seluas pembahasan tentang Islam itu sendiri.

Salah satu keistimewaan dakwah ialah ruang lingkupnya yang terangkum dalam ajaran Islam yang bersifat lengkap dan bersepadu samada dari sisi :

a.       Perjuangan.
b.      Pengurusan.
c.       Sistem yang diterapkan.

Sudut lengkap dan bersepadu itu lebih kepada pendekatan secara prinsip tetapi dari sudut pendekatan operasi, kita boleh lihat kemampuan dakwah Islam kontemporari untuk mewarisi nilai-nilai Islam dan nilai-nilai dakwah dari para Rasul dan Anbiya', para shahabat Nabi dan juga para salafus soleh.

Kemampuan itu terserlah dalam bentuk keseimbangan dalam melakukan langkah-langkah pemurnian dan pengembangan.

Itulah salah satu keistimewaan dakwah kontemporari yang sebenarnya merupakan keistimewaan Islam yang selalunya diabaikan oleh gerakan dakwah, meskipun kita mengakui kewujudan perjuangan mereka sekaligus mengakui keikhlasan dan pengorbanan mereka dalam berjuang.

Maka, kemampuan dakwah dalam menyeimbangkan pemurnian dan pengembangan di zaman moden ini mestilah benar-benar dilaksanakan secara konsisten.

Ketika dakwah mulai memasuki marhalah seterusnya dari marhalah-marhalah sebelumnya, kadang-kadang kita di tuntut untuk menyesuaikan diri dengan segala perubahan dan situasi serta keadaan yang bergerak cepat.

Mungkin masih segar dalam ingatan kita ketika marhalah dakwah ini masih berada pada 'Paksi Organisasi' di mana dakwah itu terasa sangat kental namun ketika kita telah beralih ke 'Paksi Sosial', ternyata kekuatan dakwah terasa telah mula mencair.

Oleh yang demikian, ketika setiap perubahan marhalah yang berlaku inilah, akan terlihat :

1.      Apakah dakwah ini akan tetap mampu menjaga kemurniannya atau tidak?
2.      Apakah kemurnian dakwah pun mesti mengikuti situasi dan keadaan perkembangan yang berlaku?

Agar sesebuah gerakan dakwah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran dan matlamat, maka ia mestilah menjaga dan memelihara kemurniannya kerana sekecil apapun penyimpangan atau berkurangnya kemurnian, pasti akan melahirkan penyimpangan yang semakin besar seiring dengan kesinambungan, pertumbuhan dan kekuatan yang terus semakin berkembang.

Akhirnya ia akan menyeret gerakan Islam semakin jauh dari jalannya yang benar di samping melambatkan lagi usaha bagi tercapainya sasaran dan matlamat.

Jika dakwah yang kita bawa adalah dakwah Islam sebagaimana yang di nyatakan oleh Imam Hasan Al Banna, maka ini bererti kemurnian dan kesinambungannya akan hanya dapat diwujudkan dengan Islam.

Menjaga kemurnian bererti :

1.      Berpegang teguh kepada Islam.
2.      Tidak menyalahinya samada dalam teori ataupun praktiknya.

Imam Hasan Al Banna sentiasa menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, kitab dan sunnah serta melangkah sesuai dengan sirah Rasulullah saw ketika beliau memulakan usaha untuk menegakkan Daulah Islamiyah yang telah jatuh.

Untuk itulah, beliau menekankan kepada pendokong dakwah untuk sentiasa memberikan perhatian penuh kepada perkara-perkara berikut dalam rangka menjaga kemurnian dakwah :

PERTAMA : PERHATIAN KEPADA ASPEK KEFAHAMAN ( Al-FAHMU)

Kefahaman yang dimaksudkan di sini adalah kefahaman yang menyeluruh terhadap sebuah gerakan dakwah itu sendiri, samada tentang :

a.       Manhajnya.
b.      Tujuannya.
c.       Sasarannya.
d.      Marhalah-marhalahnya.
e.       Masalah-masalah dan halangan-halangan yang akan ditempohi di dalam perjalanannya.

Untuk melindungi aspek kefahaman ini, Imam Hasan Al Banna meletakkan kefahaman (Al-Fahmu) sebagai salah satu prinsip dari 20 prinsip sebagai kerangka yang dapat membenteng kefahaman dari kesalahan dan penyimpangan.

Beliau menjadikan kefahaman (Al-Fahmu) yang sahih terhadap Islam sebagai salah satu rukun bai'ah agar setiap al akh dapat menjadi orang-orang yang melaksanakan janji dengan teguh dan dipercayai serta terjaga dari penyimpangan atau perubahan.

'Menepati bai'ah pada hakikatnya adalah memegang teguh janji kepada Allah swt'.

Ini sebagaimana firmanNya :

"Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, Sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, Maka Barangsiapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan Barangsiapa menepati janjinya kepada Allah Maka Allah akan memberinya pahala yang besar." ( QS Al-Fath : 10 )

Demikian pentingnya kesahihan akan kefahaman (Al-Fahmu) ini yang membuatkan Imam Hasan Al Banna mengingatkan kepada seluruh pendokong dakwah yang menempuh dan berada di jalan dakwah ini dengan nasihatnya yang sangat indah :

"Siapa yang menginginkan :

1.      Keuntungan duniawi.
2.      Kedudukan.
3.      Pangkat.

Maka tempuhilah jalan selain jalan dakwah.

Jalan dakwah hanya menghendaki orang yang :

a.      Berani menempuh perjalanan.
b.      Bersedia mengerahkan tenaga.
c.       Bersiap mengorbankan jiwa, harta dan segala yang dimilikinya.

berupa waktu, tenaga, kesihatan, ilmu dan lain-lainnya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah swt.

Hasilnya, setiap pendakwah mesti terus menerus mengikhlaskan niat dan menghapuskan penyakit-penyakit hati yang merosakkan dan menyia-nyiakan amal serta menjauhkannya dari barisan 'shiddiqun' dan 'mukhlisun' ( orang yang jujur dan ikhlas )."

Sebuah nasihat yang sangat menyentuh hati dan menepati dengan suasana dan keadaan kita ketika ini, di mana dakwah mulai menampakkan " buah manisnya" yang menawan hati.

Ketika dakwah telah berinteraksi dengan segala kemanisan dunia berupa harta dan jawatan mahupun kekuasaan, masihkah kefahaman yang sahih akan makna dakwah ini tetap terus terjaga atau justeru tergadai demi meraih kemanisan duniawi tersebut?

KEDUA : TIDAK MENGABAIKAN ASPEK TARBIYAH DAN RUHIYAH

Mengabaikan aspek tarbiyah dan ruhiyah adalah salah satu sebab yang paling penting untuk difahami kerana kelalaian ini boleh muncul kerana terlalu memberikan penumpuan kepada  masalah politik dan pentadbiran.

Perkara ini banyak dialami oleh gerakan dakwah yang telah bersentuhan atau bahkan telah berubah  menjadi sebuah parti politik. Tingginya pencapaian dan agenda politik yang ada sering menjadikan kita lengah dan lalai dalam memperhatikan aspek asas dari dakwah itu sendiri iaitu tarbiyah dan ruhiyah.

Jika dakwah dan pergerakannya diibaratkan sebagai sebatang pohon, maka :

'Tarbiyah dan tazkiyah ruhiyah adalah air dan bajanya'.

Pohon akan dilanda kekeringan, bahkan boleh mati jika kekurangan air dan baja. Namun sebaliknya ia akan tumbuh subur jika terus-menerus disirami oleh air dan diberi baja yang cukup.

Tarbiyah adalah wasilah untuk memperkuatkan iman. Semua wasilah tarbiyah mesti memberi fokus kepada terciptanya pohon dakwah yang :

a.       Kukuh.
b.      Rendang.
c.       Berbuah ranum setiap saat dengan izin Allah swt.

Seorang individu yang ditarbiyah dalam berbagai aspek memiliki peranan individu bersama dirinya dan berperanan sosial bersama saudara-saudaranya. Oleh kerana itu, aktiviti tarbiyah untuk semua peringkat mesti benar-benar dijaga penerusannya.

'Tarbiyah bagi seseorang atau jamaah adalah ibarat ruh di dalam jasad'.

Imam Hasan Al-Banna menegaskan :

"Individu muslim yang beriltizam dengan sifat-sifat mukmin adalah unsur asasi di dalam harakah serta di dalam mewujudkan sasaran. Dialah yang akan menegakkan Baitul Muslim, Mujtama' Muslim, Hukumah Islamiyah dan Daulah Islamiyah. Jika unsur ini tegak dan kukuh, maka bangunan dan segala tahapannya akan tegak dan kukuh pula."

Memelihara kemurnian dakwah bererti memperhatikan secara penuh aspek tarbiyah dan ruhiyah.

Oleh kerana itu, perhatian terhadap aspek tarbiyah dan ruhiyah ini tidak boleh berkurang oleh kegiatan-kegiatan seperti politik, penerbitan atau jihad sekalipun manakala tarbiyah mesti mencakupi semua peringkat dan mesti dilakukan sepanjang hayatnya dan tidak boleh terbatas hanya pada orang biasa tetapi juga para mas'ul.

Memperhatikan aspek tarbiyah akan membantu para aktivis dakwah ke peringkat mas'ul. Mereka akan turut serta menjadi orang yang memikul berbagai tanggungjawab yang semakin bertambah di lapangan. Mereka akan berta'awun dan bertafahum dengan baik tanpa perlu menimbulkan perbezaan dan kemusykilan yang besar.

Sebaliknya, dengan tiadanya perhatian terhadap aspek tarbiyah akan melahirkan unsur-unsur yang tidak mempunyai kelayakan untuk naik ke peringkat mas'ul selain terancam dengan berbagai :

a.       Perpecahan.
b.      Perselisihan.
c.       Persoalan yang menghalang perjalanan amal dan kelahiran produktiviti.

Di saat agenda dan kerja dakwah ini hanyut oleh derasnya arus tsunami politik sehingga agenda-agenda tarbiyah dan halaqah berubah menjadi agenda politik maka pada ketika itulah, inti kandungan tarbiyah mulai mengalami pengikisan sehingga sampai pada puncaknya di mana para aktivis dakwah merasa kosong dan kering ruhiyahnya kerana pertemuan dalam majlis tarbiyah yang diharapkan akan dapat memenuhi rasa hausnya akan siraman ruhiyah tidak didapatinya.

Apabila keadaan ruhiyah seseorang berada pada titik kosongnya maka risiko akan jatuh ke dalam kefuturan bukanlah suatu perkara yang mustahil berlaku.

Apabila perkara ini tidak segera disedari oleh para pimpinan gerakan Islam maka akan di khuatiri barisan jamaah dakwah ini akan diserang wabak kelemahan secara meluas.

'Bukankah fenomena hilangnya aktivis-aktivis dakwah dari halaqah serta menurunnya tingkatan penyertaan mereka dalam jamaah menunjukkan lemahnya tarbiyah dan ruhiyah jamaah?'

Oleh kerana itu, menjaga kemurnian dakwah bererti memberikan perhatian penuh kepada masalah tarbiyah dan ruhiyah.

KETIGA : MENGUTAMAKAN SYURA (MUSYAWARAH)

Syura adalah sebuah prinsip dalam dakwah. Di dalam syura, yang diambil adalah pendapat yang paling kuat bagi kepentingan dakwah. Setelah adanya keputusan yang disepakati bersama, maka tidak diperkenankan orang-orang yang memiliki pendapat yang berbeza, berbicara dan bergerak menurut pendapatnya sendiri.

Jika ianya berlaku seperti itu, tentunya ia akan menggoncangkan kepercayaan kepada pimpinan dan keputusan-keputusannya. Boleh jadi, perselisihan ini bersumber dari urusan peribadi di antara anggota jamaah akibat dijerumuskan oleh syaitan.

Jika perkara ini tidak diatasi dengan sesegera mungkin, tidak mustahil ianya akan memberi akibat yang serius dan melahirkan orbit pertentangan selain medan perselisihannya semakin tajam dan meluas berlaku antara kelompok, padahal sebelumnya ia hanyalah antara peribadi tertentu.

Perselisihan seperti ini biasanya lebih banyak berlaku di kalangan pimpinan yang jika dibiarkan berlarutan, tidak mustahil boleh menimbulkan kelemahan dan juga kegagalan.

Yang jelas adalah bahwa setiap al akh itu wajib menjaga diri dengan rasa kecintaan dan persaudaraan agar tidak menimbulkan sesuatu yang menyakitkan pada diri saudaranya.

Kewajiban orang yang menyakiti saudaranya adalah :

1.      Menahan dirinya.
2.      Meminta maaf.
3.      Bersalaman.

Sedangkan orang atau pihak yang tidak terlibat berkewajiban mendamaikan mereka.

Inilah cara yang  tepat untuk menangani kewujudan fenomena perselisihan yang berlaku dengan berdasarkan ajaran Islam dan adab-adabnya.

Menjaga kemurnian bererti mesti menjaga dan mengurus kewujudan prinsip syura sehingga dapat memutuskan hasil yang diharapkan.

Syura mesti di tegakkan dengan benar-benar dan  tidak boleh hanya bersifat formal kerana jika proses syura telah menghasilkan sebuah keputusan maka bererti ianya telah mengikat semuanya.

Tidak boleh persoalan-persoalan di biarkan berserakan kepada peribadi-peribadi anggota sehingga boleh menimbulkan blok-blok dan kelompok-kelompok.

Inilah tiga rangkaian penjelasan yang singkat dan sederhana namun sarat dengan makna agar penerusan sebuah gerakan dakwah tetap wujud.  

Kejayaan aktivis dakwah dalam menjaga kemurnian dakwah akan memberikan kekuatan yang sangat penting dalam pengembangan dan kemenangan dakwah. Oleh yang demikian, para aktivis dakwah perlu memperhatikan perkara-perkara yang prinsip dalam usaha pengembangan dakwah agar kemurnian dakwah tetap terpelihara dan semoga Allah swt menyatukan kita semua dalam barisan para mujahidinNya.

Ya Allah, berilah kefahaman yang benar kepada kami tentang keistimewaan dakwah ini yang lengkap dan sempurna serta mewarisi nilai-nilai Islam dan nilai-nilai dakwah dari para Rasul dan Anbiya', para sahabat Nabi serta Salafus Soleh. Kurniakanlah kemampuan dan kekuatan kepada kami dalam bentuk keseimbangan dalam melakukan langkah-langkah bagi menjaga kemurnian dakwah di samping meraikan prinsip-prinsip kemodenan dalam kehidupan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top