Terkini...




0

Mengalirkan Sumber Kekuatan


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sesungguhnya Al-Qur'an Al-Karim yang diturunkan oleh Allah swt adalah punca "tenaga" atau kekuatan bagi kaum muslimin dan ia adalah sebesar-besar sumber tenaga dalam kehidupan ini.

Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan mereka dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (QS Al-Maidah : 15-16)

Namun amat malang bahwa sumber kekuatan itu kini dicampakkan oleh kaum muslimin sendiri sehingga hati mereka menjadi gelap dan susunan atau tatacara kehidupan pun menjadi rusak.

Imam Hasan Al-Banna dalam memberikan "taujih" (pengarahan) tentang tugas dakwah, telah  memberikan perumpamaan dengan perkataannya :

"Di setiap bandar terdapat pusat penjana tenaga elektrik. Para pegawai memasang peralatan-peralatan, tiang dan kabel di seluruh penjuru bandar dan selepas itu aliran tenaga elektrik masuk ke kilang-kilang, rumah-rumah dan tempat-tempat lain. Jika aliran tenaga elektrik tersebut kita matikan dari pusat penjanaannya, nescaya seluruh penjuru bandar akan menjadi gelap gulita. Padahal pada ketika itu, tenaga elektrik ada dan tersimpan di pusat penjana elektrik, hanya sahaja tenaga elektrik yang ada itu tidak dialirkan dan tidak dimanfaatkan."

TUGAS PENDAKWAH


Tugas kita sebagai pendakwah adalah seperti tugas para pegawai elektrik iaitu :

"Mengalirkan kekuatan ini dan sumbernya ke setiap hati orang-orang muslim agar sentiasa bersinar dan menerangi sekelilingnya."

Allah swt berfirman :

"Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan keadaan orang yang berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?" (QS Al-An'am : 122)

Tatkala kita ingin memikat hati objek dakwah, kita mesti ingat bahwa kita adalah :

Seorang PENDAKWAH.

BUKAN

Seorang ULAMA' ATAU FUQAHA'.

Tatkala kita berdakwah, kita mesti ingat bahwa kita sedang memberikan hadiah kepada orang lain, maka kita mesti memikirkan apakah hadiah yang paling sesuai untuk kita berikan dan bagaimana cara memberikannya.

Sehubungan dengan ini, ada satu kisah di zaman Imam Hasan Al Banna di mana dalam salah satu sesi pengajian, Imam Hasan Al Banna dikejutkan dengan satu pertanyaan :

"Bagaimana pendapat Ustaz mengenai tawasul?" 

Beliau berkata kepadanya :

"Wahai akhi, aku yakin yang engkau bukan hanya hendak bertanya tentang ini sahajakan? 

Engkau juga ingin bertanya tentang :

  1. Membaca salawat dan Assalamu'alaikum kepada Nabi sesudah azan.
  2. Amalan membaca surah al-Kahfi pada malam Juma'at.
  3. Mengucapkan perkataan sayyidina untuk Rasulullah saw sewaktu tahiyyat.
  4. Nasib kedua-dua orang ibu bapa Rasulullah saw di akhirat nanti sama ada ditempatkan di syurga ataupun di neraka.
  5. Bacaan Al-Qur'an, apakah pahalanya sampai kepada mayat atau tidak.
  6. Halaqah-halaqah yang diadakan oleh ahli tariqat, apakah perkara itu merupakan bentuk kemaksiatankah ataupun taqarrub kepada Allah."
Imam Hasan Al Banna sengaja mengungkapkan kepada si penanya tentang berbagai-bagai masalah khilafiyah yang menyebabkan fitnah dan perselisihan keras di antara mereka lalu si penanya pun hairan terhadap apa yang baru dikemukakan dan menjawab,

"Ya, benar. Saya memang ingin jawapan mengenai itu semua." 

Imam Hasan Al Banna kemudian berkata kepadanya :

"Wahai Akhi, aku ini bukan ulama'. Aku hanyalah seorang guru biasa yang hafal sebahagian daripada ayat-ayat Al-Qur'an, sebahagian hadis Nabi serta sebahagian dari hukum-hukum agama yang kubaca dalam beberapa kitab, lalu aku berusaha mengajarkannya kepada orang lain. Jika engkau membawa perbincangan kita keluar daripada ruang lingkup ilmu yang aku miliki itu, ertinya engkau telah membuatkan aku berhadapan dengan kesulitan. Siapa yang menjawab tidak tahu, sebenarnya ia telah berfatwa. 

Oleh itu, jika engkau suka apa yang aku ajarkan dan engkau dapat apa-apa manfaat daripadanya, itulah yang aku inginkan dan silalah dengar. Namun jika engkau menginginkan jawapan dan pengetahuan yang lebih dalam, maka rujuklah kepada orang lain. Tanyakan kepada para ulama' yang ahli. Merekalah yang mampu memberikan fatwa kepadamu mengenai apa yang engkau inginkan itu.

Adapun aku, hanya setakat inilah ilmu yang aku ada. Sesungguhnya Allah tidak membebankan seorang hamba itu lebih daripada kemampuannya."

HALANGAN DAKWAH

Permasalahan yang menghalang seorang pendakwah di tengah-tengah medan dakwah adalah permasalahan yang muncul dari dalam dirinya, padahal orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan mampu memberikan sesuatu.

"Seseorang yang tidak memiliki kunci, maka sukar baginya untuk masuk."

"Manusia yang hatinya terkunci sehingga sukar dimasuki oleh dakwah, bagaikan sebuah peti besi besar yang sebenarnya dapat dibuka hanya dengan kunci yang kecil."

Demikianlah persoalannya, yang sesungguhnya kembali kepada diri pendakwah itu sendiri, iaitu berkaitan dengan :

1. Potensi dirinya secara ruhiah.
2. Kecekapannya untuk membuat program.
3. Ketahanan dalam mewujudkannya.

Jika kita telah faham bahawa syaitan juga membuat program untuk para pengikutnya dengan langkah-langkah yang bertahap sebagaimana firman Allah swt :

"Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan." (QS Al-Baqarah: 168)

Maka sudah selayaknya seorang pendakwah juga membuat program dan langkah-langkah dalam mengambil simpati objek dakwahnya.

Sungguh sangat jauh perbezaan antara tujuan syaitan dengan tujuan orang-orang yang beriman.

Allah swt berfirman :

"Dan janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuh kamu). Jika kamu menderita kesakitan (kekalahan), maka mereka sesungguhnya juga menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya. Sedangkan kamu mengharapkan dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (QS An-Nisa' : 104)

Oleh kerana itu, seorang pendakwah hendaklah memperhatikan celah-celah kebaikan yang ada pada orang lain kemudian memupuknya, sehingga celah-celah keburukan yang ada padanya tersingkir dan ia mahu bangkit berdiri melangkah di jalan Islam.

Tugas seorang pendakwah adalah seperti tugas seorang :

1. Guru.
2. Doktor.

Di mana mereka akan memberikan formula / ubat yang sesuai dengan masalah / penyakit yang dihadapi oleh pelajarnya / pesakitnya.

Tidak masuk akal kalau semua pelajar / pesakit diberi formula / ubat yang sama kerana pelajar / pesakit mereka tentu berbeza-beza tahap permasaalahannya antara satu sama lain.

Guru dan doktor adalah pendakwah yang paling berjaya jika mereka bersedia melakukan pekerjaan itu dengan berdasarkan keimanan kepada Allah dan untuk menegakkan agamaNya.

Berdasarkan kepada alasan inilah, para pengembang agama Kristian dalam memerangi dunia Islam memusatkan perhatian mereka pada universiti-universiti dan hospital-hospital serta menyalurkan berbagai bentuk bantuan.

Tugas guru adalah menghayati :

a. Hati pelajar.
b. Pola pemikiran pelajar.

Lalu membimbing mereka sedikit demi sedikit sehingga tujuan yang hendak dicapai
terlaksana.

Manakala tugas doktor pula adalah :

a. Menghapuskan penderitaan pesakit dengan kata-kata yang dipenuhi keimanan.
b. Memberikan ubat yang sesuai.

Apakah mungkin seorang pendakwah mampu mengajak orang lain untuk kembali kepada ajaran-ajaran Islam tanpa memberikan kasih sayang kepadanya?

Perilaku dan keteladanan seorang pendakwah yang ikhlas akan mempunyai pengaruh yang lebih besar daripada tulisan dan ceramah.

Ibarat "remote control" yang dapat digunakan untuk menukarkan siaran televisyen dari jarak yang jauh tanpa perlu menggunakan kabel.

"Begitu juga dengan seorang pendakwah yang ikhlas dan penuh kasih sayang, ia tidak akan menghadapi kesukaran memasukkan apa yang ada dalam hatinya ke dalam hati orang lain."

Jika tatapan mata yang dipenuhi oleh rasa irihati dan dengki itu dapat memberikan mudharat.

Maka,

Tatapan mata yang dipenuhi rasa iman dan kasih sayang akan menimbulkan cinta dan keimanan.

SUMBER KEKUATAN IMAM HASAN AL BANNA

Antara sumber kekuatan Imam Hasan Al Banna ialah :

PERTAMA

  1. Semangat untuk berdakwah yang luar biasa.
  2. Yakin dan puas dengan berdakwah.
  3. Memberikan dedikasi tertinggi dalam dakwah dengan segala kemampuan dan instrumen yang dimiliki.
Semua itu merupakan syarat pokok dan ciri-ciri asas bagi seorang pendakwah dan pemimpin. Di tangan mereka inilah, Allah swt mengalirkan kebaikan yang sangat banyak. 

KEDUA

Selain dari itu, ia juga memiliki pengaruh yang sangat mendalam terhadap sahabat dan murid-muridnya serta kejayaan yang cemerlang dalam tarbiyah dan pembentukan. Beliau adalah :

  1. Pembangun generasi.
  2. Pentarbiyah bangsa.
  3. Pemegang madrasah.
yang mampu memberi pengaruh kepada objek dakwah berbekalkan pengetahuan, pemikiran dan perilaku yang baik.

Beliau juga menjadi simbol dan karakter yang sentiasa hidup serta menjadi rujukan, bila dan walau di manapun pengikutnya berada. 

KETIGA

Beliau mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah swt.

Ada satu kisah yang diceritakan oleh Umar At-Tilmisani, salah seorang pengikut Imam Hasan Al Banna.

"Pada waktu itu kami sedang melakukan pertemuan di luar kota. Setelah selesai kerja-kerja tersebut kira-kira pukul 12 malam, kami semua sangat letih kerana semangat dan kesungguhan kami dalam kerja. Kebetulan aku mendapat bilik yang sama dengan Imam Al Banna.

Aku terasa sangat penat sekali dan ingin terus tidur, agar esok tidak terlambat bangun solat subuh. Kami pun berbaring di tempat tidur masing-masing.

Tidak beberapa lama kemudian beliau memanggilku, "Umar, sudah tidur ?".

Aku jawab, "Labbaika, belum Mursyid.".

Beliau tidak berkata apa-apa lagi. Tak beberapa lama kemudian, beliau bertanya lagi hal yang sama, "Umar, kamu sudah tidur ?".

Aku jawab, "Labbaika, belum Mursyid". 

Dalam hatiku bertanya-tanya mengapa beliau melakukan hal ini. Lama beliau terdiam, tiba-tiba beliau memanggil lagi.

Oleh kerana aku sudah sangat letih, akhirnya aku tidak menjawab dan membiarkan beliau menyangka aku sudah terlelap.

Dengan mengira aku sudah tidur, tiba-tiba beliau bangun perlahan-lahan, berjalan sambil memegang kasutnya, menuju bilik mandi. Di dalam bilik mandi kudengar beliau dengan sangat hati-hati berwudhu', agar percikan airnya tidak sampai membangunkanku.

Kemudian kulihat beliau mengambil tempat di sudut bilik, menghadap kiblat lalu beliau pun solat malam (qiyamullail) beberapa rakaat. Subhanallah!!, begitulah ajaran beliau yang sangat melekat di hatiku."

KEPENTINGAN PANCAINDERA


Dari huraian dan kisah-kisah yang dipaparkan di atas, kita dapat mengetahui betapa berharganya pancaindera yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia.

Pancaindera adalah bahagian terpenting dari tubuh manusia sedangkan jasad secara keseluruhannya adalah sebagai tempat tinggal bagi pancaindera tersebut.

Allah swt berfirman :

"Katakanlah, 'Terangkanlah kepadaku jika Allah mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hatimu, siapakah tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepadamu?' Perhatikanlah bagaimana berkali-kali Kami perlihatkan tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling (juga)." (QS Al-An'am : 46)

"Katakanlah, 'Dialah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati.'" (QS Al-Mulk : 23)

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) lidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (QS Al-A'raf : 179)

Orang yang tidak mengetahui dan mensyukuri nikmat Allah swt berupa pancaindera adalah orang yang tidak mengetahui sumber kehidupan yang amat besar.

Allah swt berfirman ;

"Ataukah seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya lagi awan; gelap gulita yang tindih-menindih, apabila ia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tidaklah dia mempunyai cahaya sedikitpun." (QS An-Nur : 40)

Dengan kehilangan pancaindera, manusia akan menjadi sebentuk makhluk yang tidak hidup dan tidak mati. Ia menjadi makhluk yang tidak berguna.

Kalau sudah begitu, maka ia tidak akan mampu memberikan pengaruh kepada orang lain kerana alat pengirim dan penerima sudah tidak lagi berfungsi seperti orang yang tidur di atas katil empuk tetapi ia tidak menyedarinya kerana pancainderanya sudah tidak berfungsi lagi.

Manusia yang sedemikian itu memerlukan orang lain yang boleh membangunkan dirinya dari tidurnya  yang lelap.

Allah swt berfirman :

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan itu ia dapat berjalan di tengah-tengah manusia, serupa dengan orang yang keadaannya dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?" (QS Al-An'am : 122)

Marilah kita perhatikan gambaran-gambaran berikut :

"Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Bagi mereka siksa yang amat berat." (QS Al-Baqarah : 7)

"Dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Apabila kamu menyebut Tuhanmu sahaja dalam Al-Qur'an, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya." (QS Al-Isra' : 46)

AKIBAT TIDAK MENGGUNAKAN PANCAINDERA

Orang yang tidak menggunakan pancainderanya adalah orang yang hidup dalam "dunia khayalan" sehingga alam sekitarnya tidak akan melihat dan merasakan keberadaannya serta tidak akan sedih jika ditinggal pergi.

Mereka tidak memahami :

1. Makna hidup yang sebenarnya.
2. Tujuan penciptaan.
3. Tanggungjawab yang ditaklifkan.

Adapun pendakwah, ia ibarat "qalbu" (hati), maka barangsiapa yang tidak melaksanakan fungsi hatinya, ia tidak akan mendapatkan sambutan dari masyarakatnya.

Allah swt berfirman :

"Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu berlaku keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu." (QS Ali Imran : 159)

Hati yang beriman adalah sumber penggerak sebagaimana firmanNya :

"Tiada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan seizin Allah. Barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (QS At-Taghabun : 11)

PERASAAN DAN KASIH SAYANG "BAHASA" ANTARABANGSA

Perasaan dan kasih sayang adalah "bahasa" antarabangsa yang digunakan oleh pendakwah dalam menghadapi seluruh penduduk bumi, hingga kepada orang yang bisu sekalipun.

Dengan rahmat Allahlah kita berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kita bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka akan menjauhi kita, wahai para pendakwah.

"Bahasa" ini ibarat mata wang yang ditetapkan untuk digunapakai oleh setiap negara secara sejagat.

Dengan "bahasa" inilah, generasi pertama umat ini dapat menaklukkan dunia. Mereka adalah lampu kehidupan.

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau mempergunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya." (QS Qaaf : 37)

Oleh kerana itulah, barangsiapa yang tidak :

  1. Mengingati.
  2. Merasakan.
  3. Terpengaruh.
oleh setiap keburukan atau keindahan, maka dia adalah orang yang tidak mempunyai hati.

Justeru, marilah kita mengambil pengajaran dari kata-kata Syeikh Jum'ah Amin bahwa :

"Kita menakluki manusia dengan kasih sayang"

Ya Allah, jadikanlah kami pengalir tenaga yang akan mengalirkan tenaga dari sumber kekuatan yang tidak akan kehabisan iaitu kalamMu, Al Qur'an Al Karim. Berilah kekuatan kepada kami sehingga kami mampu menggunakan setiap pancaindera yang dikurniakan oleh Engkau bagi melaksanakan fungsi-fungsinya dengan betul dan limpahkanlah perasaan halus dan kasih sayang dalam hati kami yang akan menjadi senjata kami untuk menaklukkan setiap hati manusia walau di mana mereka berada.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

http://tinta-perjalananku.blogspot.com/   

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top