Terkini...




0

Istiqamah Di Atas Jalan Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Allah swt telah menerangkan dengan jelas perjalanan Nabi Yusuf as dalam berdakwah di tengah-tengah keterasingan keluarga dan sanak saudara yang membuangnya di dalam perigi. Seruan ini terdapat di dalam surah Yusuf dan termasuk dalam golongan surah Makkiyah.
Sebagaimana yang kita ketahui bahwa Nabi Yusuf as tidak pernah berhenti melakukan usaha-usaha dakwah di setiap ruang dan waktu iaitu bermula :
  1. Sejak difitnah oleh isteri pemerintah.
  2. Ketika masuk ke dalam penjara.
  3. Semasa menjawat kedudukan penting.
Firman Allah swt :
"Katakanlah: Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik." (QS Yusuf : 108)
Pesanan ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw yang merasa berada dalam keterasingan setelah kehilangan dua penyokong dakwah baginda iaitu Abu Talib, bapa saudaranya dan Khadijah, isteri baginda.
Kedua-dua kisah ini memaparkan jalur dakwah yang istiqamah dalam satu manhaj rabbani yang tidak pernah berganjak walau sejengkalpun.
Setelah pemaparan itu, Allah swt menjelaskan dengan tegas jalur dakwah yang mesti dilalui oleh setiap pembawa dan penerus jejak risalah.
Kalimah pembuka ayat di atas dinyatakan dengan 'Qul' (katakanlah). Kalimah ini dengan tegas menjelaskan bahwa tugas dakwah adalah tugas dari Allah swt.
  1. Para pendakwah adalah orang yang telah menempatkan dirinya dalam jajaran pesuruh Allah.
  2. Konsep kerja yang dilakukan adalah konsep kerja yang datangnya dari Allah.
  3. Inovasi seorang pendakwah dalam aktiviti dakwahnya tidak boleh keluar dari bingkai  yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
INILAH JALANKU ('HAZIHI SABILI' )
Inilah kata pemisah yang sangat tegas dan jelas di mana jalan yang ditempuh oleh Rasulullah saw dalam berdakwah sebagai :
  1. Garis pembatas antara iman dan kufur.
  2. Jalan pemisah antara Tauhid dan Syirik.
  3. Jalur pemisah antara Islam dan Jahiliyah.
  4. Ketetapan hukum yang membezakan antara Al Haq dan Al Bathil.
Inilah posisi seorang pendakwah yang mesti jelas dalam bersikap di mana ia tampil berbeza dengan keyakinan yang tinggi serta terpisah dari komuniti yang berbeza dengan dirinya.
Seorang pendakwah tidak cukup hanya menyerukan kebaikan sementara kehidupannya tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan dengan komuniti jahiliyah yang dia tentang.
Konfrontasi dengan jahiliyah sejak dari awal dakwah dikumandangkan telah berlaku dan akan terus berlangsung hingga akhir zaman kerana antara Islam dan Jahiliyah adalah dua kutub magnet yang selamanya tidak akan pernah bertemu.
Ketidakjelasan sikap seorang pendakwah terhadap nilai-nilai dan sistem yang ada di luar Islam akan mengganggu kemurnian risalah yang disampaikan dalam berdakwah.
Keyakinan dan keteguhan inilah yang akan membentuk sikap seorang pendakwah sebagai penyeru kepada 'Deenullah.'
AKU MENYERU KEPADA ALLAH ('AD'U ILALLAH')
Perkataan "dakwah" dan sejenisnya dalam Al Qur'an selalu dikaitkan dengan Allah.
Ada tiga perkara penting dalam kenyataan ini, iaitu :
PERTAMA:
Untuk mempertegaskan bahwa aktiviti dakwah adalah mengajak dan menghantarkan umat manusia kepada mengenal dan mematuhi Allah, bukan untuk mengenal dan mematuhi penyeru atau pendakwahnya.
KEDUA :
Yang mesti ditinggikan, dibesarkan dan dilindungi dalam dakwah adalah 'Deenullah' (agama Allah), bukan kepentingan pendakwah dan sejenisnya.
KETIGA :
Untuk menunjukkan bahwa jalan dakwah yang dilalui oleh para pendakwah adalah jalan hidup yang datangnya dari Allah, bukan buatan manusia.
Jalan Allah yang ditempuh oleh para pendakwah itu adalah jalan yang lurus yang menghantarkan manusia kepada jalan kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat.
Dengan penegasan ini, dakwah adalah tawaran objektif dari para pendakwah kepada umat manusia di mana tidak ada kepentingan peribadi pendakwah di dalamnya.
Penerimaan dan penolakan objek dakwah bergantung kepada seberapa besar kesedaran objek dakwah itu dalam menyerap kebenaran 'Deenullah'.
Oleh yang demikian, kejayaan dalam dakwah tidak membuatkan para pendakwah merasa bangga diri manakala kegagalan dalam dakwah pula tidak membuatkan para pendakwah menjadi kecewa.
KEFAHAMAN TERHADAP JALAN DAKWAH
Berikut adalah beberapa kefahaman yang boleh kita ambil pengajaran terhadap hakikat dan tabiat jalan dakwah :
PERTAMA :
Jalan dakwah seperti yang diserukan pada ayat di atas difahami oleh Imam Hasan Al Banna  sebagai : "Jalan yang sangat panjang dan berliku serta tiada pilihan lain selain jalan ini yang dapat ditempuhi untuk membangun kejayaan umat".
KEDUA :
Perhatikanlah perjalanan dakwah Nabi Nuh as, ia berdakwah siang dan malam tanpa pernah merasa bosan meskipun kaumnya tetap sombong dan memusuhinya.
KETIGA :
Nabi Ibrahim dalam berdakwah terpaksa berkonfrontasi dengan ayah dan kaumnya. Liku-liku dakwahnya terasa sangat meletihkan dengan berbagai halangan yang memerlukan kekuatan daya tahan namun Nabi Ibrahim as menyedari bahwa tidak ada jalan lain kecuali 'sabilullah' (jalan Allah) maka Nabi Ibrahim tetap istiqamah di jalan dakwah itu meskipun tentangan yang kuat menghalangnya.
KEEMPAT :
Rasulullah saw dalam dakwahnya selama di Makkah membuktikan dengan jelas bahwa perjalanan dakwah adalah perjalanan yang telah Allah gariskan.
Tawaran-tawaran yang diajukan oleh kaum kafir Quraisy untuk cuba mengalihkan dakwah
Nabi Muhammad saw tidak dapat sedikitpun mempengaruhi jalan dakwahnya. Rasulullah saw
menyedari sepenuhnya bahwa yang berhak menentukan arah perjalanan dakwah hanyalah
Allah swt, bukan dirinya atau permintaan kaum yang terus menerus menentangnya.
DAKWAH TUGAS PARA ANBIYA' DAN PEWARISNYA
Dakwah menuju jalan Allah ini merupakan tugas para rasul dan seluruh pengikutnya, 'ana wa manittaba'ani' ( aku dan orang-orang yang mengikutiku) dengan tujuan untuk mengeluarkan umat manusia dari 'zhulumaat' (kegelapan kufur) menuju kepada 'nur' (cahaya Islam).
Ciri asas orang yang beriman adalah pendakwah atau penyeru kebaikan untuk diri sendiri dan orang-orang yang berada di bawah penguasaannya dan tiada seorangpun dari umat Islam ini yang boleh berlepas diri dari tugas dan tanggungjawab dakwah.
Firman Allah swt :
'Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar dan beriman kepada Allah." (QS Ali Imran : 110)
Sabda Rasulullah saw :
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan ia bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang khadim (pelayan) adalah pemimpin bagi harta tuannya dan ia akan bertanggungjawab atas kepimpinannya."  (Muttafaq alaih).
Seorang pendakwah dalam aktiviti dakwahnya sentiasa berdasarkan kepada pengetahuan dan keyakinan yang benar, iaitu 'ala bashirah'.
Dakwah Islam adalah dakwah ilmiyah dan sentiasa berlandaskan kepada hujjah yang nyata dan
tidak cukup dengan 'zhan' (dugaan) yang boleh berubah.
Al Qur'an menentang orang-orang yang memiliki kefahaman yang tidak sesuai dengan kebenaran atau kenyataan dengan mengatakan :
"Katakan : Tunjukkan bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang-orang yang benar." (QS Al Baqarah : 111)
Tradisi dakwah Islam adalah :
'Tradisi Ilmiah'
BUKAN
'Tradisi Taqlid' (mengekor).
Al Qur'an sering menyamakan budaya taqlid dengan sikap kaum kafir yang jauh dari hidayah dan kebenaran.
Firman Allah swt :
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah" mereka menjawab:"(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami. "(Apakah mereka akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk." (QS Al Baqarah : 170)
Oleh kerana itulah diperlukan persiapan ilmiah yang cukup bagi setiap pendakwah dalam aktiviti dakwahnya.
Dengan yang demikian maka :
  1. Dakwah Islam akan mencerahkan kehidupan umat dengan ilmu pengetahuan.
  2. Dakwah Islam akan mengangkat peradaban umat menjadi umat madani dengan ciri-ciri ilmiah, membaca, mengkaji dan memahami persoalan dengan berlandaskan kepada
    sumber-sumber ilmiyah yang kuat dan benar.
Orang-orang yang menjadi pengikut dakwah ini akan merasakan kekaguman kerana menemui izzah (kehormatan) diri.
Kekaguman itu mereka nyatakan dalam ungkapan :
'Subhanallah' (Maha Suci Allah).
Sudut lain yang boleh difahami dari kalimah ini adalah kesedaran penuh yang jauh dari kelalaian. Perkara ini boleh dilihat dari penggunaan kalimah tasbih ini untuk mengingatkan orang lain yang dianggap lupa atau salah.
Kesedaran diri dengan 'izzah' Islam ini membentuk peribadi kuat yang mampu menyatakan jati dirinya di tengah-tengah komuniti lain yang melingkunginya.
Aqidah yang benar mendorongnya untuk menyatkan seruan :
'Wama ana minal musyrikin' (dan aku tidaklah termasuk orang-orang yang musyrik).
Kenyataan seperti ini tidak akan pernah keluar dari seorang yang pengecut. Menyatakan identiti diri di tengah-tengah komuniti yang berbeza dan hanya mampu dilakukan oleh orang yang berani dan kuat.
Demikianlah dakwah Islam menghasilkan orang-orang yang :
  1. Berkeperibadian teguh.
  2. Memiliki identiti yang jelas.
  3. Berpengetahuan luas.
  4. Bertanggungjawab.
  5. Produktif dalam menebarkan kebaikan di tengah-tengah umatnya.
KEBERKESANAN ORGANISASI DAKWAH
Ustaz Mustafa Masyhur menjelaskan bahwa :
"Jalan Dakwah" adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah Rasulullah saw dan para sahabatnya berjalan. Demikian juga kita, para pendukung dakwah berjalan dengan 'taufiq' (pertolongan) Allah swt. Kita dan mereka berjalan berbekalkan :
  1. Iman.
  2. Amal.
  3. Kasih Sayang (Mahabbah).
  4. Persaudaraan (Ukhuwah).
Aktiviti dakwah adalah aktiviti secara organisasi untuk mencapai tujuan mulia. Ayat di atas menggambarkan bentuk organisasi utama dalam dakwah ini. Organisasi dakwah akan menjadi berkesan jika ia memiliki tiga tiang utama iaitu :
PERTAMA : PEMIMPIN YANG IKHLAS        
Rasulullah saw menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatu-padukan hati mereka di atas dasar cinta dan ukhuwah. Berpadulah kekuatan iman dan kekuatan aqidah dengan persatuan. Maka jadilah jamaah yang dibangunkan oleh Nabi ini menjadi jamaah contoh teladan. Seruannya satu iaitu : seruan tauhid "La ilaha Illallah, Muhammad Rasulullah".
Rasulullah saw benar-benar menyedari akan keperluan kepada pemimpin yang berkualiti untuk memimpin jamaah kaum muslimin. Hal ini dapat kita lihat dari usaha Nabi membentuk sahabat-sahabat tertentu untuk menjadi calon pengganti diri baginda di kemudian hari.
Kedekatan hubungan yang Rasulullah bangunkan dengan Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali tidak hanya hubungan persahabatan atau kekeluargaan semata-mata tetapi lebih jauh dari itu, Rasulullah saw sering memberikan kesempatan kepada mereka untuk berlatih dan mempersiapkan diri untuk memimpin umat jika suatu ketika Rasulullah saw kembali ke hadrat Allah swt.
Penghantaran delegasi dan 'sariyah' (ekspedisi pasukan) menjadi salah satu bukti perhatian Rasulullah saw pada masalah pembentukan pemimpin umat ini.
Kepimpinan dalam organisasi adalah syarat mutlak yang tidak dapat ditawar lagi. Kualiti pemimpin dalam sebuah jamaah akan benar-benar mempengaruhi perjalanan sebuah jamaah. Di sudut lain, munculnya seorang pemimpin yang ikhlas dalam sebuah jamaah adalah gambaran hakiki akan kualiti jamaah itu sendiri.
Ali bin Abu Talib ketika menjadi khalifah pernah ditanya oleh salah seorang rakyatnya :
"Mengapa di zaman Abu Bakar menjadi khalifah, dalam waktu yang singkat ia mampu menyelesaikan permasalahan negara yang sedang terancam dan di masa tuan, permasalahan yang jauh lebih kecil dari masalah Abu Bakar menjadi berlarutan serta tidak dapat diselesaikan?"
Ali menjawab :
"Abu Bakar mampu dengan cepat menyelesaikan masalah yang sangat besar kerana rakyatnya orang seperti aku dan aku tidak mampu dengan cepat menyelesaikan masalah yang tidak begitu besar kerana rakyatnya adalah orang seperti kamu".
KEDUA : PENDUKUNG YANG BERIMAN ( WAMANITTABA'ANI)
Perjalanan sebuah jamaah dalam melintasi sejarah sangat ditentukan oleh :
  1. Kualiti pendukung yang menjadi pembelanya.
  2. Penegak peranannya.
  3. Penjagaan terhadap kemurniannya dan pelindungnya dari pengaruh-pengaruh lainnya.
Organisasi yang kuat sentiasa didukung oleh para pengikut yang :
  1. Berkualiti.
  2. Taat setia.
  3. Bersatu teguh.
  4. Bertanggungjawab penuh.
Allah swt mendorong umat ini untuk bersatu dan membentuk diri dan organisasi di bawah bendera Allah.
 Firman Allah swt :
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai…."
Imam Bukhari meriwayatkan dari Hudzaifah ibnul Yaman yang berkata :
Orang bertanya kepada Rasulullah tentang kebajikan dan saya menanyakannya tentang keburukan kerana khuatir jika kami menemuinya…lalu saya bertanya :
Apa yang engkau perintahkan kepadaku jika aku menemuinya?
Jawab Nabi saw :
"Kamu tetap dalam Jamaah kaum Muslimin dan imamnya".
Ibnu Abbas ra berkata bahwa Rasulullah saw bersabda :
"Tangan Allah bersama dengan jamaah".
Umar bin Al Khathab berkata:
"Sesungguhnya Islam tidak akan tegak tanpa jamaah, dan tidak ada jamaah tanpa 'imarah' (pemimpin) dan tidak ada kepimpinan tanpa 'taat'.
Nabi Isa as pernah menguji ketaatan pengikutnya sebagaimana yang tersebut di dalam Al Qur'an dengan mengatakan :
"Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?" Para hawariyyin (sahabat-sahabat setia) menjawab: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah. Kami beriman kepada Allah, dan saksikanlah bahwa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri. Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, kerana itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan Allah)." (QS Ali Imran  : 52-53)
Dari ayat di atas dapat difahami bahwa di antara ciri-ciri pendukung dakwah yang baik adalah :
  1. Beriman kepada Allah.
  2. Berserah diri kepada Allah.
  3. Beriman kepada kitab Allah.
  4. Beriman kepada Rasul.
  5. Telah menunjukkan jati dirinya.
  6. Pernyataan kesediaan untuk menjadi pendukung dakwah.
KETIGA : MANHAJ YANG BENAR ('ALA BASIRAH)
Manhaj yang benar akan menjadi pemandu kepada pendakwah dalam aktiviti dakwahnya untuk mencapai cita-cita dakwah yang agung.
Beberapa perkara penting yang mesti diketahui oleh setiap pendakwah dalam memahami manhaj ini adalah:
PERKARA PERTAMA :
Memahami tujuan utama dakwah ini, iaitu menjadikan Allah swt sebagai puncak semua tujuan aktiviti dakwah sehingga produk dari proses dakwah adalah masyarakat Rabbani yang sentiasa berorientasi kepada Allah swt.
PERKARA KEDUA :
Memahami proses berdakwah dalam menghantarkan umat manusia agar keluar dari kegelapan jahiliyah menuju kepada cahaya Islam mulai dari pencerahan ilmiah, pembentukan kesedaran hingga menjadi aktivis muslim yang bermula dari kefahaman yang benar dan kesedaran penuh. Proses ini dilakukan terus menerus tanpa  henti kerana ianya adalah proses sepanjang hayat.
PERKARA KETIGA :
Memahami 'marhalah' (fasa) dakwah.
Ada tiga marhalah penting dalam dakwah iaitu :
a)      Marhalah 'ta'arif' iaitu pembentukan pandangan dan pencerahan umum dengan menyebarkan pemikiran-pemikiran yang mencerahkan kepada seluruh lapisan masyarakat.
b)      Marhalah 'takwin' iaitu pembentukan dan pemilihan anasir-anasir berkualiti untuk dipersiapkan menjadi perajurit dakwah.
c)      Marhalah 'tanfidz' iaitu perlaksanaan amal produktif dari pemikiran yang telah difahami.
PERKARA KEEMPAT :
Memahami bahan-bahan dakwah yang menjadi suatu keperluan penting bagi para pendakwah kerana hanya dengan penguasaan terhadap bahan-bahan tersebut dapat dipastikan :
a)      Penanaman iman yang kuat dan mendalam.
b)      Pembentukan keperibadian yang utuh dan menyeluruh.
Dengan yang demikian, kemurnian dakwah akan terjaga dan produktiviti dakwah akan dapat diharapkan berbuah dengan baik dan sempurna.
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan dakwah yang benar ini kerana hanya di atas jalan inilah semua para utusanMu dan para pendakwah lain mewakafkan diri mereka dengan penuh tabah dan sabar walau dikelilingi oleh berbagai halangan dan rintangan. Permudahkanlah usaha ini sehingga manusia mendapat taufiq dan hidayah dariMu untuk mengikuti jalan lurus yang telah ditentukan olehMu yang akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top