Terkini...




0

Intipati Penghayatan Rabbani


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Kehidupan ini adalah untuk kita hidup menghadapi realiti bukan membina makna realiti itu sendiri.
Bahkan :
  1. Hakikat hidup sudah ditentukan.
  2. Makna hidup sudah dijelaskan.
Jika kita terus memilih selain hakikat dan makna hidup yang telah dijelaskan oleh Allah swt, maka kita hanya mencari kebahagiaan yang palsu.
  1. Semakin kita melangkah menuju kebahagiaan palsu, semakin kita menjauhi kebahagiaan hakiki.
  2. Semakin kita menuju 'realiti' ciptaan sendiri, semakin kita memalingkan diri daripada hakikat sebenar kehidupan ini.
Kebanyakan manusia melihat kehidupan dari berbagai sudutnya.
  1. Ada yang melihat kesusahan hidup lalu memahami kehidupan ini suatu tempat yang dikelilingi oleh kedukaan.
  2. Ada yang melihat kesenangan duniawi lalu memahami kehidupan adalah tempat yang paling layak untuk menikmatinya.
Ini semua adalah nilai kehidupan dengan pandangan kepentingan dan syahwat tapi, kenapa kita mahu melihat kehidupan ini pada sisi susah atau senangnya sedangkan setelah berlalunya kesusahan maka akan hadirlah kesenangan dan begitu juga apabila kesenangan telah meninggalkan kita maka kesusahan akan segera hadir. Begitulah silih berganti.
Malah, kesenangan di dunia bukan selamanya, begitu juga kesusahannya. Akhirnya insan yang sibuk dengan kesusahan dan kesenangan hidup di dunia akan mati meninggalkan dunia ini. Itu semua hanyalah persepsi yang bersifat keanak-anakan semata-mata yang menginginkan khayalannya menjadi mimpi yang nyata.
Begitulah insan yang sentiasa terkesan samada dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan.
Cahaya keimanan yang sepatutnya kita warisi daripada generasi Sahabat yang sentiasa tenang dalam susah dan senang, seakan-akan suatu fantasi semata-mata.
Memang benar bahwa indahnya berbicara berbanding menghadapinya. Namun, inilah realitinya.
Bagaimana Bilal ra mampu memikul batu berat di bawah panas terik matahari hanya dengan menyebut 'ahad'…'ahad' tapi kita, dengan sembilan puluh sembilan nama Allah telah dihafal, namun belum tentu sanggup memikul dugaan kerana Allah swt.
Begitu jauh penghayatan aqidah kita berbanding penghayatan aqidah mereka yang dididik oleh  Rasulullah saw.
Nilai aqidah itu adalah pada penghayatannya BUKAN pada perbahasannya.
Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka.
Bukti berharga paling utama yang menunjukkan aqidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-soleh) khususnya para sahabat ra, adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap aqidah Islam itu sendiri.
Iman itu harganya pada kelazatannya dalam berinteraksi dengan Allah swt melalui  kehidupan.
Bagaimana generasi sahabat khususnya, tidak pernah mengenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka?
Ramai orang berkata  bahwa :
  1. Kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam.
  2. Kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka.
Namun, hakikat sebenar yang menjadi kunci utama kekuatan mereka adalah :
  1. Penghayatan mereka terhadap aqidah mereka.
  2. Kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari.
Kelazatan iman mereka membawa mereka kepada mengenal makna kehidupan yang lebih besar.
Ianya adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian.
Ianya lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut rasa diri tidak berdosa yang mana itu juga merupakan sifat ujub yang tercela.
Qudwah mereka adalah Rasulullah saw. Mereka melihat bagaimana Rasulullah saw beristighfar seratus kali setiap hari sedangkan sudah terpelihara daripada dosa.
Mereka meneliti bagaimanakah penghayatan baginda Rasulullah saw dalam memperbanyakkan taubat.
Nah, kelazatan dan penghayatan itulah yang diwarisi oleh para sahabat radhiallahu anhum yang secara halusnya telah meresap di dalam tarbiah yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Kunci utama bagi seseorang untuk mewarisi perkara yang berkaitan dengan hati dan kebersihan rohani adalah pada kecintaan dalam keimanan.
Oleh sebab itulah, Rasulullah saw menyuruh para sahabat ra mencintai baginda saw lebih daripada diri mereka sendiri. Ini kerana, kunci berlakunya proses pewarisan hubungan hati seseorang dengan Allah daripada Rasulullah saw adalah dengan cinta kepada Rasulullah saw.
Jalan untuk mencintai Rasulullah saw adalah dengan mencintai para pewaris Rasulullah saw iaitu:
  1. Para sahabat radhiallahu anhum.
  2. Keluarga Rasulullah saw.
  3. Para ulama' (yang mewarisi ilmu Rasulullah saw).
  4. Para solehin (yang mewarisi amalan Rasulullah saw).
  5. Para murabbi (yang mewarisi manhaj tarbiah Rasulullah saw).
Ini adalah kecintaan kerana Allah swt. yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah saw dan inilah juga antara sebab untuk mendapatkan kelazatan iman.
Penghayatan ini juga dikuatkan dengan mujahadah melawan hawa nafsu dengan meninggalkan terus maksiat dan dosa kita tanpa menoleh kepadanya semula.
Antara kuncinya adalah dengan membenci untuk kembali kepada dosa sebagaimana takut untuk dicampak ke dalam neraka. Perasaan takut itu apabila terus meningkat, maka ia akan membawa kepada takut akan murka Allah swt.
Kemuncak proses mengecapi penghayatan aqidah tauhid dan kelazatan iman adalah dengan menjadikan setinggi-tinggi cinta teragung seseorang adalah Allah swt.
Kecintaan kepada Allah swt. ini bukan suatu proses yang mudah semudah mengungkapkannya dengan lisan semata-mata. Betapa ramai manusia yang mudah mengungkap cinta tetapi debu cinta pun tiada di hatinya.
Prosesnya adalah dengan mencintai jalan-jalan untuk mencintai Allah swt iaitu mencintai :
  1. Para solehin.
  2. Para murabbi.
  3. Para ahlul-bait.
  4. Para sahabat radhiallahu anhum.
dan kemuncaknya adalah cinta kepada Rasulullah saw.
Dengan kecintaan kepada Rasulullah saw melebihi cinta kita kepada segalanya, akan membawa kepada kecintaan kepada Allah swt dengan bantuanNya.
Memang benar bahwa cinta kepada Allah swt adalah suatu anugerah. Ianya :
  1. Tidak semudah sehingga semua yang mendakwanya, memilikinya.
  2. Tidak serendah semua yang membicarakannya, merasainya.
Ianya adalah :
  1. Pilihan dalam pilihan.
  2. Anugerah dalam hadiah.
  3. Kurniaan dalam pemberian.
Maka, mintalah cinta kepadaNya hanya daripadaNya.
Dengan mencintai Allah swt, seseorang akan memfokuskan dirinya hanya kepada Allah swt.
Seluruh jalan cerita dalam kehidupannya adalah ungkapan untuk mendapatkan redha dan cintaNya.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Jum'ah Amin bahwa :
 
Mereka yang mencintai Allah swt ialah yang benar-benar memahami tugas, risalah dan matlamat kejadian setiap insan iaitu untuk beribadah kepada Allah swt yang Esa sebagaimana firmannya :
 
"Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (QS Az Zariaat : 56)
 
Ibadah yang dimaksudkan ialah yang syumul dan lengkap.
 
Setiap insan tidak dapat mencapai kebahagiaan, kebebasan, kemuliaan, ketamadunan dan kemanusiaannya kecuali dengan keikhlasan ubudiyah kepada Allah semata-mata.
 
Hakikat diri insan yang mulia terletak pada kehinaannya di hadapan Allah swt. Oleh itu seorang muslim merupakan seorang hamba yang bebas apabila ia mengungkapkan :
 
"Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau yang kami mohon pertolongan".
 
Ibadahnya mengambil semua ruang lingkup dan detik kehidupannya, tidak kira :
 
  1. Malam atau siang.
  2. Ketika menjadi rahib di malam hari atau bagaikan pahlawan di siang hari.
 
Dia adalah hamba di dalam :
 
  1. Masjid.
  2. Rumah.
  3. Institusi.
  4. Tempat kerja.
  5. Jalanraya.
  6. Kehidupan pendidikannya.
  7. Ilmunya.
  8. Kegiatan politiknya.
  9. Pergaulan sosialnya.
  10. Kehidupan keluarganya.
  11. Kehidupan peribadi dan umumnya.
  12. Perancangan dan pengurusannya.
  13. Halatujunya.
 
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya." (QS Al An'aam : 162-163)
 
Ciri istimewa yang ada padanya serta garis tetap dalam kehidupannya ialah ibadah kepada Allah swt.
 
"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid". (QS Al Bayyinah : 5)
 
Ini adalah kerana dengan ibadahlah kita boleh sampai ke peringkat pimpinan dunia.
 
Benarlah Imam Hasan Al-Banna apabila ia berkata :
 
"Jadilah kamu hamba-hamba sebelum menjadi pemimpin. Ibadah menyampaikan kamu kepada sebaik-baik kepemimpinan".
 
Oleh itu, dia tidak akan meninggalkan perhambaannya itu selama-lamanya.
 
Kesempurnaan ibadah menyebabkan dia tidak takut kepada keganasan taghut, walaupun tidak mempunyai apa-apa kekuatan material.
 
"Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat tinggal dan diperkuatkan-Nya, serta di kurniakan-Nya kamu daripada rezeki yang baik, supaya kamu bersyukur" (QS Al Anfal : 26)
 
Syeikh Jum'ah Amin menambah lagi :
 
Apabila kita telah menunaikan tanggungjawab dan kesemua hak-hak yang sepatutnya, secara pasti kita akan mampu bangkit untuk mencapai matlamat iaitu ubudiyah kepada Allah swt.
 
Dalam rangka itulah, maka kita hendaklah menjadi hamba-hambanya yang sentiasa :
 
  1. Berwudhu' dan sujud.
  2. Berkaki kematu akibat ibadah.
  3. Mengalir air matanya.
  4. Berzikir dengan lidahnya.
  5. Bergetar hatinya kerana Allah.
  6. Khusyu' anggota tubuh badannya.
 
"Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadi mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpahan kurnia yang mulia (di syurga)" (QS Al Anfaal : 2 - 4)
 
Mereka adalah 'mukminun  yang sebenarnya kerana matlamat mereka ialah Allah sehingga masuk ke syurga pun matlamat mereka tetap Allah.
 
Matlamat ini ialah unsur tetap dakwah yang menuntut setiap diri yang bergabung dengan dakwah ini agar sentiasa menimbang segala aktiviti berdasarkan neraca matlamat ini.
 
Setiap sesuatu yang bermaksud untuk mendapat keredhaan Allah adalah diterima dalam dakwah ini. Sebaliknya setiap sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah adalah dibenci dan tidak diterima dalam dakwah ini.
 
Itulah sebenarnya hakikat apabila kita sudah mulai mencintai Allah. Apa sahaja akan sanggup untuk diredah demi redha dan cinta kepadaNya. Pandangan redha yang dicintai adalah idaman setiap sang pencinta.
Jika benar kita mencari redha Allah :
  1. Mengapa kita mengeluh ketika diberi ruang untuk mendapatkannya?
  2. Bukankah ujian dan dugaan hidup itu ruang untuk mendapatkan redhaNya?
  3. Mengapa ketika diberi ruang untuk mendapat redhaNya dalam dugaan yang melanda, dengan sabar dan redha dalam setiap ketentuanNya, namun kita tetap memilih untuk mengeluh dan mula merasa duka?
  4. Bukankah seseorang yang Allah swt cinta, semakin kuat diuji?
  5. Bukankah ujian itu sebenarnya nilai cinta?
  6. Mengapa kita mengeluh ketika dikurniakan simbol cinta?
  7. Adakah kerana kita tidak memahami hakikat cinta?
  8. Atau kerana memang dalam diri kita tiada cinta kepadaNya?
Oleh kerana itulah, hidup kita tidak sunyi dari keluhan terhadap Allah swt dan memberontak apabila diberi ujian.
Para pencinta dari kalangan salaf dan khalaf mengenali dan menghayati hakikat cinta lalu, setiap inci kehidupan mereka dilalui dengan penuh redha sebagai seorang hamba.
Mereka melihat agungnya "nilai" di sebalik ujian berbanding beratnya ujian.
Mereka melihat besarnya "tujuan" mereka dalam redha kepadaNya, iaitu demi meraih redhaNya, berbanding melihat ketentuanNya dalam kehidupan mereka.
Seseorang yang sentiasa fokus terhadap kebesaran tujuan dan keagungan nilai di sebalik ketentuan, tidak pernah letih untuk menghadapi ketentuan demi ketentuan kerana tahu apa yang dicari di sebalik kesabaran dalam menempuh ketentuan.
Bagaimana boleh terungkap di mulut para pencinta :
"sedang lautan api sanggup ku redahi demi cinta…", kalau memang itu bukanlah hakikat sebenar cinta.
Itulah hakikat cinta wahai sang pencari cinta.
Rasulullah saw sangat kagum dengan sikap orang yang beriman yang sentiasa mendapati kebaikan dalam kehidupannya, samada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Malah, Rasulullah saw sendiri sebagai simbol teragung dalam menterjemahkan makna kelapangan hidup dalam hidup baginda saw.
Teringat kisah di mana linangan air mata mulia baginda saw menitis keluar dari kedua mata baginda saw yang mulia, ketika pemergian anakanda baginda saw yang bernama Ibrahim. Lalu para sahabat ra bertanya tentang titisan air mata tersebut, adakah ianya tanda sedih atau bagaimana.
Lalu Rasulullah saw bersabda :
"Ini adalah rahmat (kasih sayang)".
Apa makna di sebalik itu?
Maknanya, sehingga kepada menangis itu sendiripun dalam penghayatan baginda saw adalah rahmat daripada Allah swt, bukan suatu kesempitan, apatah lagi segala ketentuan dalam kehidupan baginda saw.
Rasulullah saw mengecapi rahmat dan kelembutan Allah sswt dalam setiap ketentuanNya sehingga air mata itu juga dirasakan nikmat daripada rahmat Allah swt.
  1. Inilah hakikat penghayatan iman dan taqwa yang mendalam.
  2. Inilah penghayatan aqidah yang murni yang perlu dirasai oleh setiap orang yang beriman.
Maka, carilah para pembimbing yang dapat membantu kita untuk mewarisi penghayatan ini daripada generasi terdahulu melalui :
  1. Tarbiah.
  2. Qudwah.
Indahnya hidup dengan melaluinya berbekalkan kelazatan iman dan penghayatan tauhid yang murni. Fokuslah kepada keagungan nilai tujuan, niscaya lapang bagi kita setiap jalan menujunya.
Ya Allah, berilah kekuatan dan kemudahan untuk kami meningkatkan penghayatan Rabbani meliputi aqidah, kecintaan, iman dan taqwa semata-mata keranaMu. Bimbinglah kami untuk kami warisi penghayatan tersebut melalui tarbiyah dan qudwah sehingga kami benar-benar dapat membentuk suatu kehidupan Rabbani yang menekankan penghayatan amali.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS  
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/  

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top