Terkini...




0

Dakwah Yang Menggugah Nurani


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Kita sering mendengar sebuah pepatah Melayu lama yang mungkin masih lagi relevan sehingga ke zaman kini iaitu :
"Lidah lebih tajam daripada pedang".
Ia mengisyaratkan tentang sebuah kata-kata yang mempunyai kekuatan luar biasa sehingga kadangkala ianya lebih ampuh daripada senjata.

Betapa tidak, jika kita merenung kepada sejarah, seringkali sebuah peperangan akan berkobar hanya disebabkan oleh kata-kata.
Demikian pula sebaliknya, iaitu peperangan dapat dihentikan oleh sebuah kata-kata diplomasi atau secarik kertas perjanjian damai.

Berbagai penulis telah berbicara tentang kekuatan kata-kata dan berikut adalah sebahagian daripadanya :
1.      Kata-kata yang baik laksana pohon yang baik.
2.      Kata-kata diyakini sebagai suatu kekuatan kreatif oleh sebahagian besar agama di dunia.
3.      Kata-katalah yang menghantarkan wahyu.
4.      Kata-kata diamanahkan kepada umat manusia sebagai pemberian yang mesti dijaga, jangan sampai ada yang teraniaya, terfitnah atau terbunuh oleh kata-kata.
Oleh kerana kata-kata seseorang boleh menimbulkan ghairah, semangat, terhibur dari duka, seorang pesakit akan mempunyai harapan sembuh oleh kata-kata doktor yang optimis.

Namun jika sebaliknya berlaku :
a.       Hati yang tadinya cerah berbunga-bunga menjadi redup sedih.
b.      Perasaan yang sebelumnya begitu optimis akhirnya menjadi pesimis.
c.       Keadaan bersemangat sebelumnya akan kemudiannya bertukar menjadi patah arang.
ALAT YANG AMPUH
Kata-kata sebagai alat yang ampuh untuk tujuan pelbagai kepentingan seseorang seperti :
1.      Melobi.
2.      Mempengaruhi.
3.      Merayu.
4.      Menghina.
5.      Memperlecehkan.
6.      Membalas rasa sakit hati.
Sesetengahnya mengatakan bahwa ia adalah senjata bermata dua. Jika kata-kata itu keluar dari orang yang baik dan suka melakukan pembaikan, maka nampak kesan yang ditimbulkannya akan menjadi positif.

Namun jika ia diungkapkan oleh orang yang jahat dan mencintai tersebarnya kejahatan di muka bumi ini, maka kesan yang ditimbulkannya sudah tentu kejahatan itu sendiri sebagai produk hatinya yang jahat itu.
DAKWAH DENGAN KATA-KATA

Seorang pendakwah biasanya akan melaksanakan tugas dakwahnya mengajak orang kepada Allah dalam taat dan ibadah kepadaNya. Aktiviti dakwahnya sangat didominasi oleh penyampaian kata-kata kerana sasaran yang hendak dituju adalah akal manusia itu sendiri.

Jika tujuan dakwah adalah melakukan perubahan, maka faktor utama yang dapat mempengaruhi proses perubahan adalah akal fikiran. Dengan adanya perubahan pada cara pemahaman dan pola berfikir, maka perubahan persepsi dan tingkah laku akan berlaku.

Penyampaian kata-kata bahkan menjadi titik utama tugas para Nabi dan Rasul sepertimana yang Allah tegaskan kepada Rasulullah saw melalui firmannya :
"Jika mereka berpaling maka Kami tidak mengutus kamu sebagai pengawas bagi mereka. Kewajibanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah)." (QS As-Syura : 48)

Sebagai penerus tugas para Nabi dan Rasul, seorang pendakwah akan berdakwah menyampaikan risalah kepada manusia dan hendaklah ia sentiasa meningkatkan kemampuan dan kreativitinya dalam memasarkan risalah ini kepada manusia.

Berbagai kajian dan petunjuk tentang kata-kata dan ceramah yang berkesan telah banyak ditulis oleh para ulama'. Namun semuanya tidak jauh berkisar kepada beberapa perkara berikut ini :

PERTAMA : HUBUNGAN YANG KUAT DENGAN ALLAH
Hubungan dengan Al Khalik inilah yang menguatkannya dan yang menjadi rujukan serta tempat menyandarkan diri di mana kepadaNyalah ia mengadu, berdoa dan berharap.

Seorang pendakwah akan mengajak orang lain menuju Allah. Bagaimana mungkin ia dapat mengajak kepada sesuatu jika ia sendiri jauh dengannya dan lemah hubungannya dengan sesuatu itu.

Syeikh Muhammad Al Ghazali menyebutkan sifat ini sebagai tiang utama seorang pendakwah yang tidak boleh diabaikan kerana setiap muslim berkewajiban membina hubungan baik dengan Allah, apatah lagi seorang pendakwah.

Sejarah telah menjadi saksi bahwa tidak ada seorang Nabi pun atau pengishlah masyarakat kecuali ia mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah.

Jalinan mereka dengan Allah :
a.       Sangat kuat.
b.      Hidup.
c.       Sentiasa segar.
d.      Tidak pernah putus walaupun sekejap.
e.       Tidak pernah layu.
f.       Terlihat dalam aktiviti sehariannya.
g.      Terbukti ketika bersama orang lain.
h.      Terserlah di saat bersendirian.
Syeikh Abdul Rahman As-Sa'ati, ayah Imam Hasan Al-Banna mengisahkan tentang kegiatan anaknya ketika berada di rumah :

"Di antara akhlaknya adalah berpaling dari orang ramai dan hanya menyendiri bersama Rabbnya, tidak ada yang tahu selain keluarga dekatnya sahaja.
Di rumahnya (Allah yang menjadi saksi) tidak pernah lepas dari mushaf, tidak berhenti membaca, tidak pernah lalai dari zikir, ia membaca Al-Qur'an dan memperdengarkan bacaannya kepada salah seorang hafiz di antara kami. Jika tidak ada seorang hafiz kecuali anak kecil, ia pun muraja'ah hafalannya dengan anak
itu.

Rumahnya penuh dengan bacaan Al-Qur'an, sujud, larut dalam zikir dan mendaki ke ketinggian langit kerohanian.
Ketika ia tahu cara Nabi membaca Al-Qur'an maka ia praktikkan termasuk waqaf-waqaf di mana Rasulullah berhenti, ia pun berhenti.
Kadang-kadang badannya gementar, hatinya penuh ketakutan, gelisah pada ayat-ayat ancaman, terhadap ayat-ayat gembira ia teruja, jauh berbeza dari suasana di mana ia hidup, jauh ia terbawa dengan makna ayat-ayat tersebut."

Semua orang yang pernah mendengar pidatonya mengakui, betapa Imam Hasan Al Banna mempunyai kata-kata yang sangat kuat.

Mengikut seorang yang pernah menghadiri ceramahnya :
"Jika ia berpidato, kata-katanya mengalir seolah-olah ianya turun dari langit."
KEDUA : SENTIASA MEMPERBAIKI DIRI

Setiap muslim wajib memperbaiki diri dari segala kekurangan, apalagi jika ia seorang pendakwah.
Boleh jadi, ini merupakan hasil dari hubungan yang baik dengan Allah kerana siapa yang mengingati Allah, ia akan :
a.       Teringat akan semua dosanya.
b.      Merasakan kekurangan dirinya.
c.       Menyedari semua aib peribadinya.
Berbeza halnya dengan orang yang lalai dari zikir. Ia pun akan lalai kepada Allah bahkan lalai kepada dirinya sendiri. Ia berjalan tanpa arah dan petunjuk.

Allah swt berfirman :

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri.mereka itulah orang-orang yang fasik." (QS Al-Hasyr :19)
Adalah sangat berbahaya jika seseorang pendakwah mengajak orang melakukan sesuatu sementara dirinya sendiri jauh darinya atau mencegah orang dari melakukan sesuatu sedangkan ia sendiri belum terlepas darinya. Jika demikian, maka seruan dakwah yang dikumandangkannya tidak akan menjadi nyaring lagi.

Seseorang pernah berkata :
"Kalau saya melihat seorang pendakwah merokok, kepercayaan saya kepadanya berkurang dua puluh lima peratus."

Bahkan, tidak hanya ajakannya yang diabaikan orang, ia turut mendapatkan kemurkaan dari Allah swt.

"Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (QS As-Shaff : 3)
Tentu sahaja perkara ini tidak difahami secara yang tidak konstruktif iaitu hanya dengan menyibukkan diri sendiri serta tidak peduli kepada proses pembaikan di persekitarannya.
Bahkan, ia seharusnya sesuai dengan slogan : "Perbaiki dirimu dan ajaklah orang lain".

KETIGA : KECERDASAN AKAL, KEBERSIHAN HATI DAN PEMAHAMAN YANG MENDALAM TENTANG ISLAM

Sifat ini hendaklah menjadi watak seorang pendakwah. Dengan yang demikian, ia mampu menempatkan segala sesuatu pada tempatnya. Menimbang persoalan dengan timbangan yang benar dan tidak memihak.
Dalam bahasa dakwah, unsur ini boleh disebut sebagai hikmah sepertimana firman Allah swt :

"Allah menganugerahkan Al Hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al-Qur'an dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)." (QS Al-Baqarah : 269)
A. KECERDASAN AKAL


Menurut Syeikh Muhammad Al-Ghazali, kecerdasan akal yang dimaksudkan adalah, seseorang tidaklah perlu menjadi "Genius". Namun hanya dengan memiliki kemampuan melihat suatu permasalahan apa adanya. Tidak menambah mahupun menguranginya.

Dengan cara pandang seperti itu, seorang pendakwah akan dapat menangani sebuah persoalan dengan baik dan mampu pula memberikan terapi yang tepat sesuai dengan permasalahan yang dihadapinya. Kata-kata yang disampaikannya menjadi tepat kepada sasaran.

Dengan kemampuan seperti inilah Rasulullah saw dilihat menyampaikan nasihat yang berbeza-beza, melihat keadaan dan latar belakang psikologi seseorang yang berinteraksi dengan baginda.

Suatu ketika baginda hanya mengatakan, "Janganlah kamu marah." maka Jariyah bin Qudamah, orang yang bertanya itu pun puas dengan jawaban baginda.
Bahkan menurut riwayat Thabrani, pahalanya syurga, seperti yang baginda sabdakan, "Janganlah kamu marah, maka kamu akan mendapat syurga."
Suatu ketika pula baginda hanya mengatakan, "Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah."

B. KEBERSIHAN HATI
Kebersihan hati yang dimaksudkan tentunya bukan kebersihan hati yang setaraf dengan para malaikat. Cukuplah bagi seorang pendakwah :
1.      Memiliki hati yang penuh cinta kepada manusia.
2.      Cemburu yang positif terhadap mereka.
3.      Lembut dan tidak kasar memperlakukan mereka.
4.      Senang dengan kebaikan mereka dan bukannya senang melihat kesengsaraan mereka.
5.      Sikapnya sama samada di hadapannya mahupun di belakangnya.
6.      Sentiasa berharap atas kebaikannya sehingga antara hatinya dan hati mereka terdapat tali yang menghubungkan.
7.      Ketulusan cintanya melahirkan getaran saat tangannya berjabat, mulutnya berucap dan matanya menatap.
8.      Doa yang dipanjatkan tanpa sepengetahuan mereka menjadikan nama-nama mereka sentiasa hadir dalam hidupnya.
9.      Ketika bertemu manusia, pertemuan itu pun terasa hangat dirasakan oleh mereka.
C. KEJELASAN PEMAHAMAN

Kejelasan pemahaman dimilikinya kerana penguasaannya terhadap konsep kesejagatan Islam. Perkara ini membuat ianya mampu mengenalpasti setiap persoalan di mana ia dapat membezakan mana yang boleh dikategorikan sebagai persoalan aqidah dan mana yang bukan.
Dengan ini pula seorang pendakwah dapat berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat dan dapat melihat kekurangan serta kelebihan mereka. Ia juga memiliki skala keutamaan dalam dakwahnya.

Alangkah bijaknya Imam Malik ra ketika ia berkata kepada Khalifah Abu Ja'far Al Mansur yang ingin memaksa orang ramai mengikuti kitab 'Al-Muwattha',

"Para sahabat Rasulullah saw terpancar-pancar di banyak negeri dan daerah. Masing-masing kaum mempunyai ilmu. Jika kamu memaksa mereka kepada satu ilmu, akan terjadi fitnah."
Tidak ada salahnya dengan perbezaan, namun yang salah adalah sikap fanatik terhadap pendapat tertentu dan menutup diri dari pendapat orang lain. Cara pandang seperti ini mampu menyatukan hati yang bersengketa ke dalam kesatuan fikrah.
Pandangan seperti ini sangat penting dimiliki oleh sesebuah jamaah yang ingin menyebarkan fikrah pada sesuatu negeri atau tempat yang dilanda sebuah konflik tentang masalah yang tidak seharusnya diperdebatkan.

KEEMPAT : KEIKHLASAN
Keikhlasan merupakan tuntutan yang mesti dipenuhi oleh setiap muslim dalam ibadahnya kepada Allah kerana ia sebagai syarat diterimanya ibadah.

Ibnu Atha'illah As Sakandari berkata :

"Amal perbuatan merupakan tubuh yang tegak sedangkan ruhnya adalah wujudnya rahsia di sebalik amal yang berupa keikhlasan."
Lebih-lebih lagi bagi seorang pendakwah atau aktivis dakwah di mana aktiviti dakwahnya adalah sebaik-baik amal dan wasilah taqarub kepada Allah dan sudah tentu keikhlasan menjadi sesuatu yang penting.
Seorang pendakwah hendaknya menjauhkan kepentingan peribadi yang berupa sebutan nama, imbalan dan pengaruh peribadi kerana aktiviti dakwahnya.

Keikhlasan tentu sahaja ada buahnya. Aktiviti dakwah yang berlandaskan keikhlasan tentu berbeza hasilnya dengan yang dilakukan kerana keinginan kepada sesuatu habuan.

Bersamaan dengan kata-kata yang diucapkan, interaksi yang dilakukan, dan kegiatan yang dilaksanakan, seorang pendakwah sentiasa menambatkan hatinya kepada Zat yang menguasai dan membolak-balikkan hati-hati sebagaimana pepatah Arab,

"Kata-kata yang keluar dari hati akan sampai kepada hati pula."
Rasulullah saw bersabda :
"Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima selain kebaikan."
Bagi seorang pendakwah, kebaikan yang hendak dipersembahkan kepada Allah adalah keyakinannya terhadap keutamaan dakwahnya dan harapannya yang ditambatkan kepada ridha Allah semata-mata.

KELIMA : KELUASAN WAWASAN

Dakwah di zaman moden sekarang ini mesti didukung oleh keluasan wawasan kerana seorang pendakwah bertugas mengarahkan dan membimbing manusia dengan segala strata sosial dan intelektual mereka.

Ia berbicara dengan :
a.       Doktor.
b.      Pesakit.
c.       Guru.
d.      Pegawai.
e.       Pekerja bawahan.
f.       Jurutera.
g.      Peniaga.
h.      Orang yang pintar.
i.        Orang yang kurang ilmunya.
Mestilah ada penguasaan wawasan yang boleh memasuki pola berpikir mereka semua.

Tidak semestinya menguasai semua disiplin ilmu secara mendalam, namun wawasan global tentang berbagai persoalan hendaklah difahami kecuali wawasan keislaman yang asasi mestilah dikuasai seperti pemahaman terhadap Al-Qur'an dan Sunnah serta wawasan keislaman lain; budaya Islam, sejarah Islam dan lain-lain.

Oleh kerana itulah Imam Hasan Al-Banna memberikan penekanan khusus kepada sudut ini dan itu sebagai salah satu karakteristik dakwahnya yang bercirikan :
'Jamaah Ilmiyyah Tsaqafiyyah' (Organisasi ilmu pengetahuan dan wawasan).
Semua wasilah yang dilaksanakan pada asasnya adalah untuk membina intelektual, hati dan jasad para anggotanya.

Keluasan wawasan yang dimiliki seorang pendakwah membuatnya mampu menemui `pembuka hati' bagi orang-orang yang menjadi objek dakwahnya.

Ketika berkomentar tentang wawasan Abu Bakar yang paling tahu tentang nasab suku Quraisy dan paling tahu tentang apa yang baik dan buruk bagi mereka, Syeikh Munir Muhammad Al-Ghadhban berkata :

"Ilmu atau pengetahuan tidak kalah pentingnya daripada akhlak. Yang dituntut dalam masalah ini bukan segala jenis pengetahuan tetapi pengetahuan :
a.      Mengenai masyarakat dan kecenderungan-kecenderungannya.
b.      Pengetahuan yang menjelaskan karakteristik jiwa manusia.
Pengetahuan inilah yang akan memberikan daya gerak kepada pendakwah yang merupakan pintu masuk ke hati orang yang di dakwah.

Setiap hati memiliki `kunci' dan tugas seorang pendakwah adalah untuk mendapatkan kunci itu agar ia boleh memasuki hati seseorang itu lalu hati itu menyambutnya."

KEENAM : MENGUASAI METODOLOGI KOMUNIKASI
Ada sebuah pepatah Arab yang mengatakan :
"Bagi masing-masing saat dan ketika, ada ungkapannya".
Setiap orang memiliki kecenderungan terhadap suatu bentuk jalinan komunikasi tertentu.
1.      Ada yang suka dengan gaya bicara yang berapi-api.
2.      Ada yang tertarik dengan ceramah yang banyak `lawak' nya.
3.      Ada pula yang tidak suka terhadap sesuatu yang bersifat mendatar dan serius.
4.      Ada yang lebih suka kalau ceramah banyak diselang selikan dengan ilustrasi.
Kemampuan untuk memilih model komunikasi yang tepat akan menjadi daya tarikan yang
dapat menggamit hati.

Rasulullah saw bersabda :
"Sesungguhnya kejelasan (komunikasi) adalah sihir."

Syeikh Al-Bahi Al Khuli mencadangkan kepada seseorang pendakwah agar menggunakan beberapa metodologi dalam aktiviti dakwah yang dilakukannya. Di antaranya adalah :


A. KISAH

Kisah sesuatu yang bersifat naratif lebih mudah difahami kerana nilai-nilai itu berubah menjadi :
a.       Kaki yang berjalan.
b.      Tangan yang bergerak.
c.       Mulut yang berucap.
Barangkali inilah di antara rahsia Al-Qur'an yang menggunakan cara kisah sebagai salah satu wasilahnya agar Islam dapat difahami sebagai agama yang realistik dan tidak hanya bersifat yang turun dari langit tanpa dapat diterapkan dalam kehidupan nyata. Terbukti para pendakwah itu mampu melakukannya. Di samping ia juga menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

B. PERUMPAMAAN
Perumpamaan mampu :
a.       Mendekatkan yang jauh.
b.      Menjelaskan yang kabur.
c.       Menentukan kadar sesuatu yang abstrak.
Al-Qur'an dan Al-Hadits seringkali menggunakan perumpamaan sebagai wasilah menjelaskan kepada kaum Muslimin tentang ajaran Islam.

Tentang hakikat amal perbuatan orang-orang kafir, Allah swt berfirman :
" Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitunganNya." (QS An-Nur : 39)

C. PERBANDINGAN
Tujuannya adalah untuk menjelaskan kadar keterkaitan sebuah nilai. Dalam salah satu haditsnya, Rasulullah saw bersabda :
"Solat berjamaah lebih utama daripada solat sendirian dengan nilaian dua puluh tujuh darjat."
Juga sabda baginda saw :
"Perbandingan antara orang berilmu dan yang tidak berilmu seperti perbandinganku dengan sahabatku yang paling rendah (pengetahuannya)".

KETUJUH : BERDOA
Setelah semua usaha dan wasilah dikerahkan untuk menggamit orang menuju Allah dalam aktiviti dakwah, seseorang pendakwah tidak boleh menyandarkan hasil kepada kemampuan dan usahanya. Usaha itu mesti dikembalikan kepada Allah yang menguasai hati dan fikiran.

Ini akan menjaganya dari sikap tertipu apabila dakwahnya mendapatkan kemenangan dan menjauhkannya dari berputus asa jika menemui kegagalan kerana ia yakin, walau sehebat manapun wasilah yang dikuasainya, ia hanyalah senjata samada boleh mengenai sasaran atau tidak.

Doa juga dapat menutup segala kekurangan dan kelemahannya kerana tidak ada orang yang memiliki dan menguasai segala-galanya secara ideal. Adakalanya seseorang memiliki kelebihan pada satu sisi, namun ia juga memiliki kekurangan pada sisi lain.

Selain itu, berdoa adalah ibadah dan senjata seorang mukmin di saat senjata lain tidak lagi berkesan. Ketajaman doa dapat menembusi sesuatu yang tidak boleh ditembusi oleh senjata biasa.

KELAPAN : HIDAYAH DARI ALLAH

Pendakwah hanyalah menyeru dan menggerakkan potensi yang diberikan oleh Allah. Hasil seterusnya dikembalikan kepada Allah.

Sebuah kegagalan, selain mesti diurus secara tepat dengan melakukan penilaian terhadap aktiviti dakwah dan motivasi amal dakwah, ianya tentulah seharusnya dikembalikan kepada kehendak Allah yang berhak memberi hidayah atau tidak.

Tentu sahaja ia tidak berhenti di situ. Sifat optimistik hendaklah sentiasa ditanamkan dalam diri walau seberat apapun medan dakwah yang dilalui kerana perjalanan belum berakhir. Hidup manusia tidak berhenti sampai di sini sahaja kerana masih ada harapan untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar.

Dengan pemahaman inilah kita tidak pernah menganggap Nabi Nuh, Nabi Luth, Nabi Saleh dan Nabi-Nabi yang lain gagal dalam dakwah mereka kerana semua wasilah dan prasarana telah dikerahkan untuk mengetuk pintu hati umat mereka.

Rasulullah saw juga tidak pernah gagal ketika bercita-cita agar bapa saudaranya yang tercinta, Abu Talib untuk mendapatkan hidayah, namun firman Allah swt :
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk." (QS Al-Qashash : 56)
Kegagalan akan berlaku apabila pendakwah itu sendiri yang terhapus pahala aktiviti dakwahnya kerana dosanya atau ia sendiri yang berhenti dari aktiviti dakwah dan meninggalkan kancah perjuangan.

Ya Allah, bantulah kami supaya kami dapat menyampaikan risalahMu yang memberi kesan kepada hati dan jiwa manusia serta mampu menggugah nurani manusia yang dulunya mati kemudian hidup dan bangun menjadi ruh baru yang mengalir di dada umat ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top