Terkini...




0

Dakwah Melalui Pertautan Hati


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Setiap manusia yang dijadikan oleh Allah swt memiliki keupayaan menerima dan menghantar. Jika hilang keupayaan itu maka hilanglah jiwa dan rahsia kewujudan mereka.

Akhirnya jadilah mereka umpama pohon yang kering yang gugur daunnya ke bumi, tiada kehijauan dan tiada pula kehidupan apalagi untuk berbuah. Sekaligus mereka tidak dapat merasa, memberi atau menerima apa sahaja.

Manusia telah dilengkapkan dengan pancaindera di mana ianya dapat diasah dan dipertingkatkan kemampuannya agar mampu mengenal dan merasai kewujudan dan kebesaran Allah swt.

Cara pengasahan itu hanyalah dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah swt. Dengan cara itu, barulah ia menjadi cergas dan mampu membawa tuannya ke arah kebaikan dan mengharungi alam malakut yang maha luas.

Pancaindera dan hati umpama dua talian telefon yang sentiasa bersambung manakala zikrullah pula adalah nombornya. Apabila kedua-dua talian ini berhubung maka suatu daya magnet yang kuat akan terhasil dan daya ini akan dapat pula menarik hati dan perasaan orang lain untuk mengikutinya.

Pendakwah yang dibimbing dengan pertolongan Allah sentiasa mendukung berbagai :

  1. Kebaikan.
  2. Keutamaan.
  3. Akhlak mulia.
samada ianya wujud pada saudaranya sendiri ataupun pada orang lain, sehingga ia sendiri menjadi penganjur dan penyeru kepadanya.

Dengan itulah ia menjadi perantara yang menghantarkannya ke sudut hati mereka.

Ada sebuah syair yang menuturkan:

"Saya mencintainya sebelum melihat
Kerana indahnya sifat yang disebut

Seperti syurga yang dicintai
Kerana keindahannya, meskipun belum diungkap oleh pancaindera"

Rasulullah saw bersabda :

"Pada hari kiamat nanti Allah akan membangkitkan beberapa kaum; di wajah mereka terdapat cahaya; mereka berada di atas mimbar-mimbar yang diperbuat dari permata. Orang-orang ingin kepadanya, padahal mereka bukan para Nabi dan bukan pula syuhada'."

Abu Darda' berkata, "Seorang Arab Badui tiba-tiba berlutut dan berkata, 'Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami sehingga kami dapat mengenali mereka.'

Rasulullah saw bersabda :

'Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah, dari kabilah dan negara yang berbeza-beza, berkumpul untuk melakukan zikrullah.'" (HR Thabrani dengan sanad Hasan)

Seorang muslim yang mempunyai asas hati yang bersih ketika membaca hadits ini dengan kehalusan perasaan dan kesedaran hati nurani tentu merasa takjub dengan anugerah ilahiah itu.

Suatu anugerah yang hanya diberikan Allah kepada orang-orang tertentu; bukan para Nabi dan bukan pula para syuhada', namun orang lain ingin sekali menjadi seperti mereka kerana kedudukannya di sisi Allah swt.

Sifat-sifat mulia yang dapat mengangkat darjat pemiliknya ini mampu menggerakkan perasaan seorang Badui, hingga ia bertanya kepada Rasulullah saw agar lebih mengenali mereka, tertarik lalu mencintai mereka. Juga agar ia dapat membantu mereka dalam menegakkan kebenaran.

Rasulullah saw telah memudahkan jalan untuk mereka agar :

  1. Hati dapat bertemu dengan hati.
  2. Ruh saling berpelukan.
  3. Nurani terpaut dengan nurani.
  4. Perasaan pun menjadi terikat.
Inilah cara dakwah yang bijak yang akan menjadikan hati orang-orang yang beriman berdebar-debar kerana rindu dan ingin bertemu dengan saudara-saudara mereka tercinta.

Alangkah agungnya perkataan orang Badui itu, "Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami sehingga kami dapat mengenali mereka."

Setiap kali Rasulullah saw menjelaskan sifat-sifat mereka yang luhur dan akhlaknya yang tinggi, setiap kali pula kerinduan itu bertambah, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits :

"Ruh adalah satu pasukan yang mantap: yang saling mengenal akan saling terikat, yang saling mengingkari akan bercerai-berai."

Suatu ketika pernah seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli.

Tatkala Imam Hasan Al Banna melihatnya, beliaupun terus berkata :

"Assalamualaikum ya Muhammad".

Lelaki itu ternyata amat terkejut dan dia hairan bagaimanakah Hasan Al Banna tahu namanya.

Hasan Al Banna berkata :

"Aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesen keretapi!"

Begitu sekali, Imam Hasan Al Banna peka dan sensitif dalam memenangi hati manusia di sekitar beliau.

Perkara ini bukanlah kemahiran yang dibuat-buat, tetapi ianya datang dari jiwa yang meyakini bahawa manusia berhubung dengan hati dan perasaan, bukan dengan formaliti dan ilmu kepandaian apatah lagi hubungan secara paksaan.

DAKWAH ADALAH SEBUAH STESEN PERJALANAN

Sikap tergesa-gesa dan keinginan mewujudkan harapan serta cita-cita dengan secepatnya adalah tabiat asas manusia (tentunya tidak dalam segala perkara).

"Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa," (QS Al-Anbiya : 37)

Ada beberapa perkara yang memerlukan penanganan secara perlahan.

Ibarat pohon, ia perlu tumbuh dan berkembang hingga kukuh batangnya dan memberikan buahnya. Namun ada pula beberapa masalah yang memerlukan sikap dan penanganan secara cepat kerana kehadirannya mungkin hanya sekali itu sahaja dan tidak akan kembali lagi.

Menyampaikan dakwah kepada umat manusia adalah misi yang amat berharga dan kita semestinya perlu mengutarakannya dalam bentuk yang terhormat dan cara yang bijak.

Dakwah di tengah masyarakat ini kadang-kadang belum dikenali oleh ramai anggota masyarakat. Ini lantaran ketidaksedaran mereka tentang hakikat Islam dan ketinggian nilai ajarannya di samping juga kerana kabus yang menyelimuti hati generasi mudanya lantaran berbagai fahaman yang menyesatkan.

Oleh kerana itulah, seorang pendakwah memerlukan kesabaran sekaligus kecerdikan.

Dakwah tidak seperti air yang boleh diminum dengan sekali teguk tetapi ia merupakan terapi yang mesti dipersembahkan dengan :

  1. Ilmu.
  2. Seni.
  3. Waktu.

Sebagaimana perkataan para ahli hikmah :

"Waktu adalah sebahagian dari rawatan dan penyelesaian".

Selain itu, waktu juga merupakan bahagian dari tahapan dalam :

  1. Penanaman nilai.
  2. Pembangunan tiang-tiang dakwah hingga tegak akarnya.
  3. Pengukuhan dasar-dasar kefahaman.
Bila kefahaman terhadap nilai disusuli dengan :

  1. Penguasaan ke atas realiti.
  2. Gerakan secara langsung.
  3. Berbagai ilustrasi dan peristiwa yang berlaku (seperti kata ahli hikmah : 'At-tafsir bit tamsil' (interpretasi dengan ilustrasi).

Maka, dakwah akan :

  1. Mempunyai pengaruh yang mendalam.
  2. Lebih mudah diyakini.
  3. Lebih produktif dalam proses 'tarbiyah' dan 'takwiniyah'.

JAUHI SIFAT TERGESA-GESA

Oleh kerana itulah, tergesa-gesa dalam memahamkan seseorang akan hakikat dakwah tanpa disertai dengan kaidah-kaidah alamiah (yakni bertahap dan perlahan-perlahan) akan :

  1. Mencemari produk pemikiran.
  2. Merencatkan praktik pembinaan.
Oleh yang demikian, ketika seseorang ingin sekali merekrut orang baru agar bergabung di medan dakwah, hendaklah berhenti sejenak sebelum terjun ke medan usaha untuk merancang pola dan wasilah yang tepat dan bermanfaat yang dapat membuahkan hasil sehingga dapat menghantarkan kepada tujuan.

Sifat tergesa-gesa seringkali dapat :

  1. Menutup pintu hati.
  2. Menyumbat jendela perasaan.
Ia seumpama angin kencang yang akan menutup pintu bilik dengan keras dan cepat.

Namun, gerakan yang :

  1. Perlahan-perlahan.
  2. Penuh kebijaksanaan.
  3. Bernafas panjang.
dapat membantu untuk membangunkan ikatan-ikatan yang saling menguatkan dalam rangka menuju sasaran yang diharapkan.

Tahap pertama adalah perkenalan dan ikatan perasaan sehingga terbina kepercayaan yang merupakan senjata seorang pendakwah untuk memperolehi :

  1. Ketsiqahan.
  2. Kesetiaan.
Hari-hari pun berlalu bersama berbagai peristiwa yang dialami, bukan sesuatu yang dibuat-buat.

  1. Sesekali ia menghilang beberapa ketika, jika demikian kita tentu perlu menanyakan tentang dirinya.
  2. Di saat yang lain ia berjaya dalam menempuh ujian pelajarannya, kita perlu memberinya ucapan selamat.
  3. Suatu waktu ia sakit, kita mesti menjenguknya dengan memberi doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan jangan terlalu panjang. Bersamaan dengan itu juga, berilah sekadar hadiah kerana Rasulullah saw bersabda : "Saling memberi hadiahlah agar kamu saling mencintai."
  4. Apabila suatu ketika ia berziarah ke rumah kita, sambutlah kedatangannya.
  5. Apabila berlaku suatu masalah dalam keluarganya, jadilah pendampingnya.
  6. Apabila ia pergi haji atau umrah, kitapun perlu menghantar dan menjemputnya.
Demikianlah, kehidupan penuh dengan berbagai peristiwa dan itu merupakan kesempatan di mana kita perlu mengikutinya dengan cermat dan penuh perhatian sehingga tidak luput sedikitpun akan kesan-kesan dakwah di dalam kehidupan.

Inilah "stesen-stesen perjalanan" kehidupan yang tidak seorang pun patut luput darinya, samada di kala senang ataupun susah dan ianya adalah stesen-stesen alamiah yang bukan dibuat-buat kerana  peristiwa yang dibuat-buat tidak akan pernah menjadi sesuatu yang benar dan tidak pula dapat mewujudkan impian.

Biarlah berbagai peristiwa itu berlaku dan ia hadir sebagai sebahagian dari senario takdir Allah swt. Maka oleh kerana itulah kita hendaknya bersegera untuk menunaikan kewajiban yang disyariatkan untuk memperteguh ikatan tanpa berlebihan dan tanpa dibuat-buat.

Pendakwah yang mampu menempuh langkah yang bijaksana ini, medan aktivitinya menjadi luas terbentang dan tidak terbatas kepada orang perseorangan sehingga tidak menyukarkan atau  mengganggunya.

Sebaliknya, misi risalahnya terbuka untuk setiap individu di mana ia berinteraksi dengan persoalan mereka sehingga tatkala buahnya telah matang, ia bersedia untuk memetik hasilnya.

Meskipun berbagai langkah bertahap dan berhati-hati telah dijalankan dalam suatu dakwah fardiyah, kadang-kadang secara mengejut berlaku juga perkara-perkara di luar perhitungan dan tidak terduga. Maka di saat itulah hatinya perlu menggantungkan harapan dan penantian sepenuhnya kepada Allah swt :

"Mudah-mudahan Allah mewujudkan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan Allah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Al-Mumtahanah : 7)

CINTA KERANA ALLAH ADALAH PINTU MENUJU HATI

Cinta kerana Allah adalah pembuka hati namun, kadang-kadang muncul beberapa perilaku yang menghalang cinta tersebut.

Menyatakan atau melahirkan perasaan cinta :

  1. Tanpa pertimbangan.
  2. Tanpa penahapan.
  3. Tanpa kesesuaian.
  4. Tanpa keserasian.
  5. Tanpa memperhatikan saat atau kesempatan terbaik.
boleh menyebabkan kontraproduktif.

Cinta kerana Allah dan persaudaraan keranaNya, bukanlah :

  1. Wasilah untuk menikmati pelampiasan perasaan.
  2. Membuang-buang waktu dengan berbual-bual kosong.
  3. Kegiatan lain yang mengasyikkan namun tiada faedah.
  4. Sekadar untuk meringankan bebanan, amanah dan tanggungjawab  sesama muslim.
Namun persaudaraan kerana Allah adalah :

  1. Curahan perasaan.
  2. Berjuang untuk membantu saudaranya demi peningkatan potensi diri secara bersama-sama.
  3. Usaha tarbiyah dan takwiniyah melalui "penyemaian biji benih" dan "pencabutan rumput atau lalang".
  4. Dorongan semangat dan hasrat yang murni.
  5. Penyebaran dakwah melalui persaudaraan yang tulus, ibadah yang khusyu' serta penerusan dalam menyampaikan dakwah dengan cara yang baik.

Tidak ada darjat cinta kerana Allah yang lebih agung daripada cinta yang dapat :

  1. Memunculkan keagungan dakwah.
  2. Membangunkan kerangkanya.
  3. Menegakkan Daulah Islam di dunia.

Kaedah dakwah seperti ini mungkin tidak disukai oleh pendakwah-pendakwah yang ingin cepat memetik buah dari dakwah mereka.

Padahal kalau mereka benar-benar mahu memperhatikan, maka akan dijumpai bahwa semua gerakan kehidupan ini mesti dijalani dengan sabar dan bijaksana, samada ianya yang berkaitan dengan perniagaan atau belajar mengajar.

Jika demikian, maka mengapa kita melupakan 'sunnatullah' itu tatkala mengembangkan tugas dakwah?

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya agama ini kukuh, maka bimbinglah orang lain ke dalamnya dengan lembut. Sesungguhnya kuda yang terus menerus dipukul, ia tidak akan sampai pada tujuan dan ia sendiri akan mati."

Peniaga yang berjaya adalah peniaga yang dapat menghasilkan satu 'Ringgit' dalam setiap harinya.

Manakala,

Seorang pendakwah yang berjaya adalah pendakwah yang dapat menarik 'seorang' setiap harinya.

Seandainya yang mahu mengembangkan risalah dakwah ini berjumlah ribuan orang lalu mereka berjuang dengan gigih tanpa rasa putus asa, maka kita boleh bayangkan betapa ramai orang yang akan merasakan manisnya dakwah ini dan semakin ramai kaum muslimin yang benar-benar memahami ajaran agama.

Allah swt berfirman :

"Wahai Yahya, ambillah Al-Kitab (Taurat) itu dengan 'kekuatan' (sungguh-sungguh). Dan Kami
berikan kepadanya hikmah sejak ia masib kanak-kanak." (QS Maryam : 12)

Kekuatan yang dimaksudkan bukanlah kekuatan material atau fizikal semata-mata tetapi lebih dari itu, iaitu :

  1. Kekuatan aqidah.
  2. Kemantapan iman.
  3. Keteguhan kehendak.
dalam mencapai sebuah tujuan.

Kekuatan inilah yang dapat :

  1. Mengusir keraguan.
  2. Memantapkan langkah.

Ketika kita mengajak untuk menerapkan kaedah dakwah ini, bukanlah bererti kita akan dapat menghimpun ramai orang pada cara berfikir yang sama sepertimana cara kita berfikir kerana perbezaan pendapat dalam masalah 'khilafiyah' dan 'furu'iyah' diperbolehkan oleh agama.

Yang kita kehendaki adalah bersatunya tujuan.

Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah ia antara saudaramu." (QS Al-Hujurat : 10)

KEWAJIBAN BERDAKWAH

Berdakwah adalah kewajiban setiap muslimin dan muslimah.

Allah swt berfirman :

"Serulah manusia) kejalan Rabbmu dengan hikmah dan mau'izhah hasanah dan bantahlah mereka dengan bantahan yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS An-Nahl : 125)

Kita yakin bahwa masih ramai orang yang belum mengenali dakwah ini dan kita juga mengetahui bahwa ajaran-ajaran sesat telah tersebar di mana-mana, maka orang-orang itu akan mengikuti yang lebih dahulu datang kepada mereka.

Sungguh benarlah apa yang telah disabdakan Rasulullah saw :

"Ukasyah telah mendahuluimu."

Kita pun tidak lupa bahwa tujuan kita adalah menyelamatkan para pemuda muslim dari kesesatan yang tersebar di negara-negara Islam. Mereka sesatkan pemuda-pemuda muslim dengan segala macam kaedah yang menipu samada dengan arak, harta dan wanita.

Menyelamatkan mereka adalah wajib, seperti wajibnya solat lima waktu.

Allah swt berfirman :

"Maka apakah orang yang berjalan terjungkal di atas mukanya itu lebih banyak mendapat petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?" (QS Al Mulk : 22)

Sekelompok umat tidak akan tumbuh dari peribadi-peribadi yang rosak dan sebuah pemerintahan tidak akan tegak kecuali diperkuatkan oleh orang-orang yang beriman.

Meskipun di muka bumi ini ramai orang yang menyebarkan kesesatan dan kerosakan tetapi kaedah dakwah ini akan mampu :

  1. Mendiamkan teriakan mereka.
  2. Menghancurkan angan-angan mereka.
Kaedah ini tidak akan memberikan kesempatan kepada mereka untuk berbuat sewenang-wenangnya dan menuduh para pendakwah muslim sebagai penyebar fitnah dan kerosakan.

Allah swt berfirman :

"Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (QS At-Taubah : 105)

Seruan yang disampaikan oleh seorang pendakwah itu hendaklah mampu :

  1. Menerangi kegelapan.
  2. Menunjuki jalan kepada orang buta.
  3. Memperdengarkan kepada orang yang pekak.
  4. Memberi makan kepada orang yang lapar.
  5. Menurunkan sayap persengketaan lalu menggantikannya dengan lembayung kasih sayang sesama Islam.
Ya Allah, kurniakanlah kekuatan dari dalam jiwa kami yang mampu mempertautkan hati-hati yang beriman lalu terpaut dan terikat dalam sebuah persaudaraan yang tulus. Sesungguhnya dakwah ini memerlukan jiwa-jiwa yang besar yang tetap teguh memelihara aqidah, keimanan dan kehendak yang benar sehingga ia menghilangkan segala keraguan serta menetapkan langkah-langkah menuju penegakan syariatMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top