Terkini...




0

Perbezaan Suatu Keluasan


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Adalah sesuatu yang mustahil untuk menyatukan seluruh manusia dalam satu pandangan atau pemikiran tertentu kerana masing-masing mereka dianugerahkan oleh Allah swt perbezaan dalam:
1.    Pandangan.
2.    Ilmu.
3.    Tujuan.
4.    Keperluan.
5.    Situasi.
6.    Keadaan lingkungan.
yang sangat berpengaruh terhadap paradigma dan cara mereka berfikir.
Maka oleh sebab itu, "Ikhtilaf" atau berbeza pendapat dalam berbagai masalah agama adalah sesuatu yang wajar bahkan dalam keadaan tertentu menjadi suatu kemestian.
Ini adalah kerana manusia memang diciptakan berbeza-beza bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa beberapa "perbezaan" itu memang dimaksudkan atau diinginkan oleh Pembuat Syariat iaitu Allah swt.
Jika Allah swt berkehendak untuk menurunkan Al-Quran dengan hanya memiliki satu interpretasi sahaja, maka perkara itu tidak sukar bagiNya. Begitu juga dengan Sunnah Rasulullah saw. Bahkan telah masyhur di kalangan ulama' bahwa perbezaan dalam umat ini adalah rahmat.
Dunia Islam kini menyaksikan lahirnya berbagai harakah, tanzim, jamaah dan firqah Islamiyah yang beraneka ragam.
Terdapat bermacam-macam madrasah pemikiran yang masing-masing memiliki manhaj tersendiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi sesuai dengan :
  1. Penentuan sasaran.
  2. Keutamaan.
  3. Tahapan.
Dr Yusuf Al Qardhawi dalam kitabnya 'Fiqhul Ikhtilaf' menyatakan bahwa tidaklah menjadi masalah adanya beberapa kelompok dan jamaah yang berjuang untuk menegakkan Islam selagimana perkara itu merupakan :
  1. Perbezaan yang bersifat variatif (ta'addudu tanawwu')
 BUKAN
  1. Perbezaan yang bersifat kontradiktif ('ta'addudu ta'arudh')".
Di zaman Imam Ahmad bin Hanbal, ada seorang ulama' pernah menulis sebuah kitab dengan judul "Kitabul Ikhtilaf" (kitab perbezaan) dan apabila ia menunjukkan kitab itu kepada Imam Ahmad, beliau lalu berkata :
"Jangan namakan kitab perbezaan, tapi namakan ia kitab keluasan."
Ini memang suatu kenyataan apabila kita melihat keadaan umat Islam di berbagai negara yang memang berlatar belakangkan suku, adat istiadat dan bahasa yang berbeza-beza, ditambah pula dengan wujudnya kelompok-kelompok Islam yang berbagai ragam.
Sayangnya, kelompok-kelompok Islam tersebut sangat sukar untuk bersatu dan sangat suka berpecah belah hanya kerana perbezaan dalam perkara-perkara yang bukan termasuk "tsawabit" agama (ajaran yang mempunyai sifat atau unsur yang tetap dan tidak berubah).
Padahal perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah menjadi alasan untuk bersengketa atau berpecah-belah. Allah swt tidak melarang berbeza pendapat sejak dari awal lagi tetapi melarang berpecah-belah gara-gara perbezaan pendapat tersebut.
Ulama'-ulama' terdahulu sejak zaman sahabat, mereka berbeza dalam beberapa masalah namun mereka tetap terikat oleh tali 'Ukhuwah Islamiyah'.
Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak ditangani dengan benar kadang-kadang boleh menyebabkan sesama muslim saling mencela, menyesatkan bahkan mungkin mengkafirkan. Kita sering lupa bahwa kehormatan kaum muslimin adalah perkara yang amat dimuliakan di dalam Islam bahkan ia merupakan salah satu 'maqashid' (tujuan) agama ini iaitu memelihara kehormatan.
Ketika haji Wada`, Rasulullah saw bersabda :
"Sesunguhnya jiwa kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram (dinodai dan diganggu) seperti haramnya kehormatan hari ini, bulan ini dan tempat ini."
Namun gara-gara perbezaan yang sifatnya ijtihadiyah, kaum muslimin saling mencela dan menodai kehormatan sesama mereka.
Kita lupa pesanan Allah swt yang memerintahkan untuk berpegang teguh pada tali Allah dan melarang kita berpecah belah.
Allah swt berfirman :
"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah...." (QS Ali Imran : 103)
DI MANAKAH KITA MESTI SEKATA DAN DI MANA BOLEH BERBEZA?
Memang benar bahwa perbezaan mesti ditangani dengan sikap toleransi yang tinggi tetapi perbezaan yang dibenarkan adalah perbezaan yang memang boleh ditoleransi.
Untuk mengetahui samada sebuah perbezaan boleh ditoleransi atau tidak, perlu ada kejelasan terhadap kedudukan di mana letaknya umat Islam mesti bersatu dan di mana letaknya mereka boleh berbeza.
Ada dua wilayah perbezaan yang boleh kita teliti.
PERTAMA : Berbeza pada wilayah yang prinsip atau pokok-pokok agama yang merupakan asas-asas fundamental dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` umat.
Contohnya seperti :
1.    Masalah tauhid.
2.    Rukun iman.
3.    Kewajiban melaksanakan rukun Islam yang lima.
4.    Keyakinan tentang hari kebangkitan.
5.    Hari Akhirat.
Dalam hal ini, tidak boleh ada perbezaan di dalam tubuh Umat Islam kerana perbezaan dalam perkara ini akan menimbulkan perbezaan prinsip dan keyakinan yang mengakibatkan keluarnya seseorang dari jalan Islam.
Jika ada orang yang berkeyakinan bahwa rukun Islam yang lima tidak wajib dilaksanakan atau meyakini bahwa hari Akhirat itu tidak ada, keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadits tentang hari Akhirat, padang Mahsyar, syurga dan neraka, tidak lain hanyalah kiasan dan tidak dimaksudkan dengan makna hakiki dari lafaz itu, seperti yang diyakini oleh kumpulan-kumpulan sesat seperti Batiniyah, Babiyah dan Bahai'ah, maka keyakinan seperti itu telah jauh terkeluar dari Islam.
Demikian juga dengan orang yang berkeyakinan bahwa ada nabi setelah Nabi Muhammad saw, yang membawa kitab suci baru, seperti keyakinan pengikut Ahmadiyah, maka keyakinan seperti itu juga dapat menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam kerana keyakinan-keyakinan itu bukanlah perbezaan pada perkara furu`atau ranting bahkan ia jelas bertentangan secara langsung dengan asas-asas agama yang sifatnya fundamental tersebut.
Bagi menangani perbezaan seperti di atas, setiap muslim mesti menampakkan identiti keyakinan dan keimanan mereka di mana mereka perlu tegas dengan mengatakan :
"Mazhab kami benar, tidak mengandungi kesalahan sama sekali dan mazhab yang lain salah dan tidak mengandungi kebenaran sama sekali."
KEDUA : Perbezaan dalam masalah furu`atau ranting di mana perbezaan dalam perkara ini adalah wajar dan masing-masing mengikut pendapat yang seharusnya saling bertoleransi.
Namun, perbezaan dalam wilayah yang kedua ini tidak boleh membawa umat kepada perpecahan kerana perbezaan yang timbul dalam hal ini boleh jadi sekadar perbezaan 'variatif' yang semuanya benar dan saling melengkapi. Bahkan dalam perbezaan 'kontradiktif' sekalipun, selagi mana masih dalam kawasan furu' dan ijtihadiyah dan masing-masing memiliki perbahasan yang cukup kuat, maka para penganut mazhab mesti tetap saling menghormati dan mencintai.
Dalam hal ini mereka seharusnya berkata seperti perkataan Imam Asy-Syafi`ie:
"Pendapatku benar tetapi boleh jadi mengandungi kesalahan dan pendapat selainku salah tetapi boleh jadi mengandungi kebenaran."
Berbeza pendapat adalah perkara yang diperbolehkan, namun perpecahan kerananya tetap tidak diperbolehkan. Sebabnya adalah perpecahan jelas merupakan perkara yang dilarang oleh agama.
Sebagai contoh, perbezaan-perbezaan manhaj atau metod dakwah yang digunakan oleh  kelompok Islam masing-masing seringkali menjadi penyebab kepada perpecahan di antara mereka padahal mereka tidak berbeza pada asas-asas fundamental dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` Umat.
Mereka seharusnya berusaha untuk saling mendekati kerana perbezaan mereka hanya sebatas perbezaan dalam metod berdakwah yang sifatnya ijtihadi.
Ada sebahagian kelompok umat :
1.    Yang berdakwah dengan amar makruf nahi mungkar.
2.    Yang berdakwah dengan memurnikan ajaran tauhid.
3.    Yang berjihad secara langsung melawan musuh-musuh Islam.
4.    Yang berjuang dengan mengajar dan memberi pencerahan kepada umat.
5.    Yang berjihad dengan lisan dan tulisan.
6.    Yang berjihad dengan menuntut ilmu.
7.    Yang berjihad dengan hartanya.
Semuanya pada hakikatnya saling melengkapi kerana tidak mungkin satu kelompok dapat menjaga semua pos yang berusaha dijaga oleh kelompok lain.
Ukhuwah terlalu besar untuk dirosak dan dimusnahkan oleh masalah khilafiah dan ijtihadiyah.
Ukhuwwah adalah perkara yang wajib dijaga sedangkan perpecahan terang-terang diharamkan oleh agama.
Lantas apakah kita akan meninggalkan perkara yang wajib lalu mengerjakan yang diharamkan?
Setiap mujtahid mendapat pahala ijtihadnya kerana mereka berijtihad untuk menggali suatu hukum, tidak semata-mata untuk mengikuti hawa nafsu belaka tetapi hanya untuk mencari kebenaran. Kemudian, setiap orang yang mengikuti pendapat salah satu imam mazhab, semuanya bermaksud untuk mentaati Allah swt dan mengikuti Rasulullah saw. Mereka juga hanya diwajibkan untuk beramal dengan hasil yang dicapai oleh ijtihad mereka.
Contoh tauladan kita adalah generasi awal umat ini yang dibina secara langsung oleh Rasulullah saw. Sebahagian mereka ada yang berbeza pendapat dalam masalah-masalah fiqh, namun hati mereka tetap satu, tidak saling berpecah atau membenci.
LANGKAH MENUJU PENSEJAJARAN
Mewujudkan pensejajaran antara kelompok Islam mungkin bukan suatu perkara yang mudah, tapi bukan bererti ia mustahil untuk diwujudkan. Oleh kerana itu setiap kita mestilah mulai menggerakkan langkah melakukan usaha pendekatan menuju pensejajaran.
Langkah tersebut boleh kita mulai dengan usaha-usaha berikut:
A.    Memahami perbezaan.
B.     Melakukan dialog untuk mendekatkan persepsi.
C.     Bekerjasama dalam masalah yang disepakati.
 
A : MEMAHAMI PERBEZAAN
Dr Yusuf Al Qardhawi memaparkan beberapa langkah menuju kepada tercapainya saling memahami antara gerakan Islam dalam menangani perbezaan yang berlaku di antara mereka.
 
PERTAMA :  Bagi masalah-masalah furu', perbezaan pendapat adalah sebuah kemestian dan rahmat.
Kemestian itu berlaku kerana tabiat agama Islam memang memberi peluang berlakunya perbezaan pendapat.
Dalam kitab 'Al-Arbain', Imam An-Nawawi meriwayatkan hadits dari Daraquthni :
"Sesungguhnya Allah swt telah membuat ketentuan-ketentuan, janganlah kamu melanggarnya; telah mewajibkan sejumlah kebaikan, janganlah kamu abaikan; telah mengharamkan banyak hal, janganlah kamu melanggarnya; telah mendiamkan banyak masalah sebagai rahmat bagimu, bukan kerana lupa, janganlah kamu mencarinya."
Meminjam istilah Dr Yusof Al Qardhawi, ada 'kawasan kosong syariat' yang sengaja Allah swt sediakan.
 
KEDUA : Dengan mengikuti manhaj pertengahan dan meninggalkan sikap berlebih-lebihan dalam beragama.
Meruncingnya perbezaan yang berlaku kerana satu atau kedua belah pihak mengambil sikap berlebihan dalam beragama. Sikap 'ghuluw' (berlebih-lebihan) dalam perlaksanaan agama sering menyebabkan seseorang memandang rendah dan mencerca mereka yang tidak mengikutinya.
Maka tidak hairan jika Rasulullah saw mencela sikap ini :
"Jauhkan dari kamu sikap berlebih-lebihan dalam agama. Kerana orang sebelum kamu hancur hanya sebab berlebih-lebihan dalam agama." (HR Ahmad, Nasa'i, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ibnu Huzaimah dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas).
 
KETIGA : Mengutamakan 'muhkamat' bukan 'mutasyabihat.'
Ayat 'muhkamat' memberi kepastian, sedangkan ayat 'mutasyabihat' tanpa ilmu yang mendalam akan membuatkan seseorang yang mengikutinya mempertentangkan ayat yang satu dengan lainnya.
Dari Abdullah bin Amr ra, ia berkata :
"Rasulullah saw pernah keluar mendatangi dan mengecam serta mengingkari para sahabat yang sedang berbantah-bantahan tentang masalah taqdir."
 
KEEMPAT : Tidak memastikan dan tidak menolak dalam masalah-masalah ijtihadiyah.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang orang yang mengikuti sebahagian ulama' dalam masalah ijtihadiyah, apakah ia perlu dihindari atau diingkari?
Beliau menjawab :
"Segala puji milik Allah. Orang yang dalam masalah-masalah ijtihadiyah mengamalkan sebahagian pendapat ulama', tidak boleh diingkari dan dihindari. Demikian pula orang yang mengamalkan salah satu dari dua pendapat, tidak boleh dikecam. Jika dalam suatu masalah terdapat dua pendapat, maka bagi orang yang telah nampak mana yang lebih kuat boleh beramal sesuai dengannya. Tapi jika tidak, ia boleh mengikuti sebahagian ulama' yang dapat dipercayai dalam menjelaskan mana yang lebih kuat (rajih) di antara dua pendapat."
 
KELIMA : Meneliti perbezaan pendapat para ulama'.
Dengan penelitian yang jernih akan nampak dalil-dalil yang menjadi asas kepada perbezaan itu dan kemudian akan diketahui bahwa lautan syariah itu amat dalam dan luas.
Dengan itu baru kita akan nampak kebenaran ungkapan berikut :
"Siapa yang tidak mengetahui ikhtilaf ulama', maka dia bukan ulama'. Siapa yang tidak mengetahui ikhtilaf para fuqaha', maka hidungnya belum mencium bau fiqh."
 
B. MELAKUKAN DIALOG UNTUK MENDEKATKAN PERSEPSI
Kekerapan dialog dua hala antara kelompok Islam perlu ditingkatkan, samada secara rasmi atau tidak. Dialog yang sistematik, walaupun tidak menghasilkan kesepakatan di akhirnya, paling minima akan memudahkan proses saling memahami dan mengerti antara sesama kelompok Islam.
Dalam konteks realiti kita, dialog itu memerlukan proses dua hala di samping keluasan wawasan dan kematangan jiwa dalam menangani perbezaan. Pada beberapa peristiwa, aspek kematangan jiwa sering lebih diperlukan. Ini adalah kerana ada banyak konflik yang berlaku bukan disebabkan perbezaan sudut pandang, melainkan ketidakmatangan jiwa para peserta dialog.
 
 C : BEKERJASAMA DALAM MASALAH YANG DISEPAKATI
Sungguh sangat elok jika para aktivis gerakan Islam mampu duduk dalam satu majlis untuk :
  1. Merumuskan agenda bersama.
  2. Menggarap masalah-masalah besar yang dihadapi umat.
  3. Mengurangkan pertentangan-pertentangan kecil di antara mereka.
Marilah kita bekerjasama dalam menanamkan nilai-nilai keimanan dan Al-Qur'an pada jiwa generasi muda dan membuang jauh-jauh perdebatan falsafah serta ilmu Kalam dan pengaruh ajaran-ajaran lain yang menimbulkan kebingungan dan pertentangan. 
Marilah kita bekerjasama dalam membenteng generasi muda dari wabak 'atheisma' dan segala 'pengantar'nya berupa keraguan dan syubhat yang menggigit aqidah dan mengotori pemikiran.
Marilah kita bekerjasama dalam memperkuatkan keimanan umat kepada akhirat dan keyakinan akan pembalasannya. Marilah kita usir segala syubhat yang berusaha mendangkalkan aqidah yang agung ini, atau segala bentuk syahwat yang menggoda manusia sehingga melalaikannya dari keyakinan ini.
Mengapa  kita tidak bekerjasama dalam meningkatkan pengajaran rukun-rukun amaliah Islam kepada kaum muslimin dan mencari cara yang terbaik untuk mendakwahkannya kepada mereka.
Mengapa kita tidak bekerjasama dalam memperjelaskan, memperkukuhkan dan menyampaikan tiang-tiang keimanan yang enam dalam akal dan hati kaum muslimin dengan bahasa yang sederhana sesuai dengan kesederhanaan Islam.
Marilah kita bekerjasama dalam meningkatkan penghayatan akhlak mulia pada diri generasi muda dan tua. Marilah kita bekerjasama dalam mengusir segala kerendahan dan kenistaan yang bertentangan dengan nilai-nilai kebaikan.
Marilah kita bekerjasama dalam memelihara, mengaplikasikan dan melindungi syariah dari permainan orang-orang yang ingin mengubah hal-hal yang 'qath'i' (tegas dan terang) menjadi hal-hal yang 'zhanni' (samar-samar); hal-hal yang 'muhkamat' menjadi hal-hal yang 'mutasyabihat'.
Marilah kita bekerjasama dalam mengajarkan dasar-dasar aqidah, ibadah, akhlak dan adab yang tidak diperselisihkan oleh para ulama'. Kita pun perlu bekerjasama menyampaikan dakwah Islam kepada semua penduduk bumi dengan bahasa yang mereka fahami agar mereka dapat mengenal Islam secara benar dan tidak menjadi korban kejahatan musuh-musuh Islam yang ingin merosakkan gambaran agama yang hanif ini.
Mengapa kita tidak bekerjasama menggarap pekerjaan yang sangat besar ini serta mempersiapkan para pendakwah  dan dana yang memadai?
Mengapa para pemikir dan aktivis Islam tidak melupakan perselisihan mereka mengenai masalah-masalah 'juz'iyyah ijtihadiyah' untuk kemudiannya menyatukan barisan mereka dalam menghadapi kekuatan-kekuatan besar yang bersepakat menghancurkan mereka?
Kenapa perlu berputar kepada masalah yang diperselisihkan yang menyebabkan kita lalai mengerjakan masalah lain yang kita sepakati yang jumlahnya jauh lebih banyak?
PERBINCANGAN DALAM BINGKAI UKHUWAH
Kemestian berbeza pendapat tidaklah mencegah umat Islam untuk mengadakan perbincangan ilmiah dalam berbagai masalah yang mereka perdebatkan. Perkara ini justeru sangat positif kerana dapat mengurangkan sikap fanatik terhadap mazhab atau golongan tertentu.
Dengan kajian yang mendalam terhadap dalil dan analisa ketepatannya, kita mampu membuat perbandingan antara banyak pendapat dan sebagainya, maka setidak-tidaknya kita akan sampai kepada pendapat yang benar atau secara minimanya kepada pendapat yang paling kuat.
Yang paling penting dalam perbincangan ini adalah :
a.    Keikhlasan untuk mencari kebenaran.
b.    Tidak ada kecenderungan atau kepentingan apapun selain dari di atas.
c.    Mesti berdasarkan kaedah saling nasiat-menasihati dan musyawarah.
d.    Tetap berada di bawah payung ukhuwah serta rasa saling mencintai.
Kalaupun berlaku perdebatan, ia bukanlah debat untuk memenangkan kepentingan peribadi atau golongan kerana perdebatan seperti itu boleh membutakan hati sehingga kita tidak dapat melihat kebenaran.
Perdebatan ini tidak akan membuahkan hasil apalagi menyelesaikan masalah, bahkan akan menjadi masalah itu sendiri dan merumitkan masalah yang telah ada.
Ketika perbincangan ilmiah telah sampai kepada sebuah pendapat yang terang kebenarannya, maka semua umat mesti bersatu dalam perkara itu.
Ini adalah kerana Allah swt tidak sekadar melarang berpecah-belah, tetapi juga melarang untuk tetap berselisih pendapat sesudah datangnya keterangan dan perbahasan yang jelas atas pendapat yang benar.
Allah swt berfirman :
"Dan janganlah kamu seperti orang yang berpecah-belah dan berselisih, padahal sudah datang kepada mereka keterangan yang nyata." (QS Ali Imran : 105)
Jadi, perbezaan pendapat sebenarnya hanya boleh dalam perkara-perkara ijtihadiyah yang memang belum ada dalil tegas yang menyelesaikan perbezaan yang ada dan kewajiban kaum muslimin ketika itu adalah tetap toleransi dan saling mencintai.
Namun jika dalil telah jelas dan tegas, maka dalam hal ini Allah melarang kita untuk berbeza kerana tidak ada ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dan tegas dalilnya.
Nubuwwah Rasulullah saw menjelaskan bahwa akan berlaku di tubuh umat ini banyak :
1.    Kemaksiatan.
2.    Kezaliman.
3.    Penyimpangan.
4.    Kesesatan.
5.    Perpecahan.
Tapi, apakah kita mahu menjadi :
a.    Orang yang bermaksiat?
b.    Orang yang berbuat zalim?
c.    Orang yang menyimpang?
d.    Orang yang sesat?
e.    Orang yang berpecah belah?
Mengapa kita tidak berusaha untuk :
1.    Membersihkan hati kita.
2.    Menjalankan ketaatan.
3.    Melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.
4.    Berlaku lurus dan adil.
5.    Berusaha menjalankan kewajiban mencintai kaum muslimin.
6.    Menjadi orang yang tetap melakukan usaha menyatukan kaum muslimin?
Sungguh, hidup ini :
  1. Terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan dan perselisihan.
  2. Terlalu sempit untuk dipenuhi oleh rasa saling benci.
  3. Terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat.
Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang berlandaskan :
1.    Semangat ukhuwwah yang tinggi.
2.    Saling cinta-mencintai.
3.    Manifestasi dengan amalan-amalan yang bermanfaat bagi masa depan dunia dan akhirat.
Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di atas DeenMu yang lurus. Tautkanlah ia dengan semangat ukhuwah yang bernyala-nyala. Janganlah engkau jadikan perbezaan di kalangan kami menjadi sebab kepada perselisihan dan perpecahan . Hindarkanlah hati kami dari perasaan kedengkian sesama saudara kami serta limpahkanlah perasaan saling cinta mencintai antara sesama kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 
0

Memahami Fiqh Tarbiyah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Tarbiyah memainkan peranan yang amat penting bagi melahirkan 'Syakhshiyah Islamiyah Mutakamilah Mutawazinah' (keperibadian Islam yang sempurna dan seimbang) yang bersedia untuk menghadapi tentangan dan halangan  zaman dengan segala masalah, ujian dan cobaannya.
 
Oleh yang demikian, kita memerlukan kefahaman yang sahih terhadap fiqh tarbiyah agar usaha-usaha untuk menghasilkan rijal-rijal seperti yang tersebut di atas akan berhasil.
 
Bagi mencapai matlamat tersebut, manhaj tarbiyah mestilah mampu merealisasikan tujuan-tujuan berikut :
 
PERTAMA : Memahami Islam sebagai manhaj atau pedoman hidup bagi manusia yang bersifat :
 
  1. 'Syumul' (lengkap).
  2. 'Tawazun' (seimbang).
  3. 'Takamul' (sempurna).
  4. 'Alamiyah' (sejagat).
  5. 'Murunah' (anjal).
  6. 'Waqi'ieyah' (realististik).
  7. 'Rabbaniyah' (bersumber dari Allah).
 
KEDUA : Memiliki komitmen pada Islam dalam semua aspeknya samada sosial, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lainnya sehingga semua teori dan pandangan dapat di aplikasikan di dalam kehidupan yang nyata.
 
KETIGA : Memperhatikan keadaan objektif masyarakat dalam hal aplikasi, komunikasi dan interaksi dengan prinsip-prinsip Islam. Semua ini mesti disesuaikan dengan situasi, keadaan, waktu dan tempat samada yang melibatkan kaum muslimin ataupun dengan bukan muslim dan juga samada dalam interaksi dakwah ataupun interaksi politik.
 
Selain itu juga perlu dilihat apakah di dalam masyarakat yang mempunyai ketaatan yang jitu  ataukah ketaatan yang pelbagai dimensi kerana memang tidak mungkin untuk mengaplikasikan Islam hanya dengan satu model.
 
Oleh kerana itu diperlukan pengukuhan hukum syari'e dalam berinteraksi dengan orang lain  dan manhaj tarbiyah mestilah dicernakan di atas landasan ini.
 
KEEMPAT : Memperhatikan tanggungjawab tarbiyah dalam rangka mencetak rijal dakwah dan generasi yang boleh bergaul dengan masyarakat luar, mampu mempengaruhi dan tidak menganggap mereka sebagai musuh walaupun perlakuan mereka keras, kasar dan menyakitkan.
 
Oleh kerana itu, pendakwah sebenar dan rijal yang berjaya adalah justeru orang yang  mampu merekrut orang-orang yang sukar direkrut. Di sini nampak adanya perbezaan daya tarik dan kemampuan di antara para rijal untuk menguasai dan merekrut masyarakat.

PEMBINAAN RIJAL
 
Pembinaan rijal merupakan lanjutan dari pembinaan masyarakat yang berfungsi untuk saling melengkapi dan tidak boleh dipisahkan antara yang satu dengan yang lainnya.
 
Pembinaan rijal adalah proses pembentukan yang difokuskan kepada orang-orang tertentu hasil rekrut dari masyarakat dan bertujuan untuk mempersiapkan para pendakwah dan murabbi di tengah-tengah masyarakat serta untuk masyarakat.
 
Jika perkara ini tidak menjadi tujuan tarbiyah, maka proses pembinaan rijal hanya akan menjadi sebagai kegiatan rutin yang terbatas pada pengislahan peribadi yang ekslusif, bahkan kebaikan yang bersifat pasif, kerana tidak memiliki peranan pengislahan terhadap masyarakat dan realiti kehidupan.
 
Pembinaan rijal adalah bertujuan untuk meningkatkan berbagai kemampuan dan keahlian rijal agar dapat berperanan dalam  mengendalikan dan merekrut anggota masyarakat di bidang tarbiah, dakwah, harakah dan siasah serta mampu menyiapkan masyarakat agar bersedia melakukan gerakan reformasi dan perubahan.
 
Namun, tidak semua orang mesti atau dipaksakan mengikuti proses pembinaan rijal kerana potensi, kemampuan dan persediaan manusia  tidaklah sama. Selain itu, tidak semua orang memiliki persediaan untuk menjadi 'Rijal Dakwah'.
 
Di antara sifat-sifat yang mesti ada pada seorang pendakwah adalah :
 
  1. Pandangan yang jauh ke depan.
  2. Kejernihan hati.
  3. Bijak.
  4. Sabar.
  5. Mencintai orang lain.
  6. Bersemangat membimbing mereka.
  7. Tawakkal kepada Allah.
  8. Ikhlas hanya menginginkan balasan dariNya.
sehingga ia mampu  membuatkan :
 
  1. Sesuatu yang dibenci menjadi disenangi.
  2. Yang jauh menjadi dekat.
  3. Lawan menjadi kawan.
Orang-orang pilihan Allah, para nabi dan rasul berdakwah secara aktif di tengah-tengah masyarakat dan hidup bersama mereka.
 
Sebagai contoh perjuangan Nabi Nuh alaihissalam untuk berdakwah kepada kaumnya tanpa kenal penat lelah :
 
"Nuh berkata: ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari(dari kebenaran).  Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka  (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka  (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam–diam, maka aku katakan kepada mereka: mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya  Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah? padahal Dia sesungguhnya  telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian" (QS Nuh : 5 – 14)  
 
Kemudian Nabi Ibrahim as yang merupakan peribadi pemimpin yang taat kepada Allah swt,  yang menghadapi kaumnya sendiri tanpa adanya jamaah, parti atau golongan yang mendukungnya. Ia menghadapi mereka dengan pembahasan yang kuat dan logik yang mantap ketika kaumnya berpaling maka ia menghancurkan berhala-berhala mereka.
 
"Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan tipu daya terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya. Maka  Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur terpotong-potong kecuali yang terbesar (induk) dari patung-patung yang lain agar mereka kembalikan (untuk bertanya) kepadanya. Mereka berkata: siapa yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami?, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim. Mereka berkata: Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim. Mereka berkata: (Kalau demikian) bawalah dia dengan cara yang dapat dilihat orang banyak agar mereka menyaksikan. Mereka bertanya: Apakah kamu yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan–tuhan kami wahai Ibrahim? Ibrahim menjawab: Sesungguhnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu jika mereka dapat berbicara. Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka dan lalu berkata: Sesungguhnya kamu sekalian adalah orang–orang yang menganiaya (diri sendiri) ".  (QS Al-Anbiya' : 58 ­- 64.)   
 
Dan akhirnya Nabi Muhammad saw yang tidak membiarkan kesempatan berlalu tanpa usaha dakwah, mengajak manusia ke jalan Allah.
 
Baginda di satu sudut mempersiapkan 'Rijal Dakwah' di rumah Al Arqam bin Abi Al Arqam namun di sudut lain juga tidak pernah putus berdakwah dalam masyarakat Arab dengan mendatangi tempat-tempat berkumpulnya orang ramai seperti di pasar-pasar 'Ukaz, Majinnah, Zilmajaz dan Mina.
 
Bukankah Rasul memang diutus sebagai rahmat untuk semesta alam sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Qur'an :
 
"Wahai manusia sesungguhnya aku utusan Allah kepada kamu semua". (QS AL A'raf : 158)
 
'Dan Aku tidak mengutusmu melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam". (QS Al-Anbiya' : 107)
 
"Dan Kami tidak mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia membawa berita gembira dan peringatan akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya".  (QS Saba' : 28)   
 
Imam Hasan Al Banna pernah ditanya, kenapa ia tidak menyusun buku (kitab) lalu beliau menjawab :
 
"Aku lebih suka menghasilkan dan mencetak rijal berbanding buku kerana buku akan tersimpan dan menjadi usang di rak-rak buku, hanya segelintir yang mahu menikmati manfaatnya.
 
Sedangkan rijal akan menjadi buku berjalan yang akan memberikan manfaat bagi siapa sahaja yang bersentuhan dengannya."
 
TUJUAN TARBIYAH
 
Di antara tujuan tarbiyah adalah untuk :
 
1.      Menguatkan keimanan.
2.      Menambah ilmu pengetahuan.
3.      Memperkukuhkan akhlak.
4.      Meningkatkan kesolehan.
5.      Melaksanakan kewajiban dakwah.
6.      Memiliki komitmen di jalan dakwah untuk menggapai ridha Allah.
 
Oleh yang demikian, pembinaan rijal untuk peningkatan kualiti peribadi dan difungsikannya rijal tersebut untuk kepentingan Islam mestilah sesuatu yang menjadi tujuan  tarbiyah.
 
Allah memilih para Nabi bukan sebagai tujuan, tetapi yang menjadi tujuan adalah :
 
a.       Menyiapkan mereka untuk bertarung melawan kebatilan.
b.      Menyelamatkan masyarakat dari kekuasaan thaghut (pemimpin yang zalim).
c.       Membimbing manusia agar mereka tunduk beribadah hanya kepada Allah.
d.      Menolak segala bentuk sistem jahiliyah dalam masyarakat.
 
PEMBINAAN MASYARAKAT
 
Sebagaimana yang dijelaskan di permulaan di mana pembinaan rijal adalah lanjutan dari pembinaan masyarakat. Ia merupakan penggerak pembinaan masyarakat dan sekaligus mengarahkan, meluruskan serta mengendalikannya. Jadi pembinaan rijal bukanlah sebagai pengganti atau sesuatu yang kontradiktif.
 
Sementara pembinaan masyarakat adalah  usaha untuk merealisasikan peranan pembinaan rijal melalui :
 
1.      Usaha tabligh.
2.      Penyebaran fikrah.
3.      Usaha pengajaran Islam kepada masyarakat.
 
sehingga mereka akan menjadi pendukung dakwah dan dengan itu akan berlakulah proses merekrut anggota masyarakat.
 
Jika perkara itu tidak berlaku, ini bererti pembinaan rijal telah gagal kerana tarbiyah menjadi sesuatu yang tidak mempunyai peranan dan tujuan.
 
Oleh yang demikian, pembinaan rijal mesti direalisasikan dalam aktiviti dan sumbangan sosial sesuai dengan perspektif hadits nabawi :
  
'Sampaikanlah olehmu dariku walaupun hanya satu ayat'. (HR Bukhari)
 
  1. Belajar mestilah diteruskan dengan usaha mengajar.
  2. Menerima mestilah diikuti dengan memberi.
 
Oleh yang demikian, pembinaan rijal dan pembinaan masyarakat bagaikan dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain dalam gerakan dakwah.
 
Ini jelas tergambar di dalam arahan Allah kepada para anbiya' :
 
PERTAMA : Nabi Musa dan Harun alaihimas-salam :

"Dan Aku telah memilihmu untuk diriku (menjadi rasul). Pergilah kamu beserta saudaramu dengan membawa ayat-ayatKu, dan janganlah kamu berdua lalai dalam mengingatiKu; Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut ".  (QS Thaha : 41 – 44)
 
KEDUA : Nabi Muhammad saw :
 
    "Wahai Nabi sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, dan membawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan untuk itu jadi penyeru (da'ie) kepada  agama Allah dengan izinNya dan untuk jadi cahaya yang menerangi ". (QS Al-Ahzab : 45 – 46)
 
KETIGA : Para Nabi dan Rasul, dakwah mereka adalah juga dakwah kepada massa :
 
     "Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (di masa mereka masing-masing), sebagai satu keturunan yang sebahagiannya (keturunan) dari yang lain. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui". (QS Ali 'Imran : 33 – 34)
  
    "Dan tidaklah Kami mengutus para rasul itu melainkan untuk memberi khabar gembira dan memberi peringatan. Barang siapa beriman dan mengadakan perbaikan maka tidak ada kekhuatiran pada  mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati". (QS Al 'An'am : 48)
 
Ayat-ayat di atas dan yang serupa dengannya menegaskan akan adanya :
 
1.      Komunikasi dengan masyarakat.
2.      Arahan terhadap masyarakat awam.
3.      Seruan dakwah secara terbuka.
 
Ini adalah prinsip dalam syariat Islam iaitu wajib dilaksanakan dan tidak boleh diabaikan walaupun dengan alasan :
 
a.       Tiada keamanan.
b.      Belum ada kekuatan tanzim.
c.       Dakwah masih pada marhalah tertentu.
 
Jika kelalaian itu berlaku ianya bererti kita telah mengabaikan kewajiban 'Da'wah Ilallah' dan 'Amar Ma'ruf Nahi Munkar' yang mungkin disebabkan :
 
1.      Lemahnya semangat.
2.      Sibuk dengan dunia.
3.      Lemah iman.
4.      Takut kehilangan harta benda.
5.      Takut mati.
 
Dakwah wajib disampaikan sekalipun situasi ketika itu berat dan sulit, kerana pandangan  tentang adanya  'da'wah sirriyah' itu tidak mempunyai dalil syar'ie yang kuat sementara prinsip dalam dakwah adalah 'jahriyah' (terbuka). Dakwah tidak boleh hilang kerana takutkan akan bahaya walaupun perlu menyesuaikan caranya ('fiqh da'wah').
 
Al-Qur'an dan Sunnah Rasulllah saw menegaskan perkara ini :
 
Firman Allah :
 
"Dan katakanlah yang Haq dari Rabbmu maka barangsiapa menginginkan maka berimanlah dan barangsiapa yang menginginkan maka kafirlah."
 
'Ubadah bin Shamit meriwayatkan :
 
"Rasulullah memerintahkan kepada saya agar saya bicara yang Haq sekalipun pahit dan memerintahkan kepada saya agar saya tidak takut di jalan Allah akan kecaman orang lain". (HR Ahmad)   
 
Demikianlah kefahaman yang benar tentang 'Fiqh Tarbiyah', iaitu tidak boleh ada rijal yang :
 
1.      Tidak memiliki kewajiban dakwah dan tarbiyah.
2.      Mengemukakan alasan untuk tidak berdakwah atau mentarbiyah.
3.      Berpeluk tubuh menjadi penganggur harakah.
 
Setiap rijal mestilah menjadi unsur yang produktif dengan memberikan sumbangannya kepada jamaah dan harakah agar jamaah  terus berkembang dan meluas tanpa perlu menunggu perintah kepimpinan dan tanzim kerana pada dasarnya setiap muslim bertanggungjawab kepada Allah swt :
 
''Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri"
(QS Maryam : 95)

 

"Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya". (QS Al-Muddathir :  38)
 
BEBERAPA KESIMPULAN    
     
PERTAMA : Bahwa tarbiyah bersifat terbuka nampak jelas melalui arahan nabi / hadits yang diulang-ulang dan anjuran yang terus menerus untuk memenuhi keperluan masyarakat luas di mana perlu adanya sikap kepedulian terhadap urusan mereka dan menghilangkan kezaliman yang menimpa mereka.
 
"Barang siapa yang bermalam dan ia tidak peduli terhadap urusan kaum muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka". (HR Al-Bazzar)
 
KEDUA : Tarbiyah bersifat terbuka nampak jelas melalui keterangan rasul tentang hubungan yang terus berkembang dan maju di antara sesama kaum muslimin dan antara kaum muslimin dengan bukan muslim. Di antaranya kewajiban setiap individu terhadap yang lainnya:
 
 
  1. Pada gambaran sosial, Rasulullah saw bersabda :
 
      
          "Hak seorang muslim atas muslim yang lain ada enam; [1] bila kamu bertemu dengannya maka ucapkan salam kepadanya, [2] bila kamu diundang maka penuhilah undangannya, [3] bila ia minta nasihat kepadamu maka nasihatilah dia, [4] bila ia bersin dan membaca alhamdulillah maka doakanlah dia dengan mengucap yarhamukallah, [5] bila ia sakit maka jenguklah dan [6] bila ia meninggal maka hantarkanlah jenazahnya sampai ke perkuburan".  (HR Muslim)
 
 
 "Orang yang paling baik adalah orang yang paling bermanfaat buat    masyarakatnya".  (HR Al-Qadha'i)
 

 

  "Seorang mu'min yang bergaul dengan masyarakat dan bersabar atas perilaku dan sikap buruk mereka itu lebih utama dari pada seorang mu'min  yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas perilaku dan sikap buruk mereka". (HR Tirmizi)
 
 
  1. Pada gambaran dakwah, Rasulullah saw bersabda :
 
" Belalah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi, lalu  berkata   seorang laki-laki: ya Rasulullah, saya membelanya jika ia dizalimi, bagaimana saya membelanya jika ia yang  menzalimi? Rasul menjawab: kamu cegah dia dari berbuat zalim, dengan demikian kamu telah membelanya". (HR Bukhari)
 
 
         "Demi Allah, dengan usahamu Allah memberikan hidayah kepada seseorang itu lebih baik bagi kamu dari unta merah (harta yang paling berharga)". (HR Bukhari dan Muslim)
 
           "Barang siapa yang menunjukkan orang lain kepada kebaikan maka baginya pahala  seperti  pahala orang yang melakukannya". (HR Muslim)
 
 
  1. Pada gambaran hubungan persaudaraan, Rasulullah saw bersabda :
 
 
"Seorang mu'min dengan mu'min yang lain bagaikan satu bangunan, satu dengan yang lain saling memperkuat".  (HR Bukhari dan Muslim)
 
         "Seorang muslim adalah orang yang tidak mengganggu kaum muslimin dengan   lidah (kata-kata) dan tangan (perbuatan) nya, dan seorang mu'min adalah orang yang memberikan jaminan keamanan terhadap nyawa dan harta orang lain". (HR Tirmizi dan Nasaie)
           
 "Seorang muslim bersaudara dengan muslim yang lain, maka ia tidak boleh      mengkhianati, mendustai dan  menjadikannya hina, setiap muslim atas muslim yang lain baginya haram kehormatan, harta dan darah (nyawa) nya, taqwa ada di sini (Rasulullah mengisyaratkan tangan ke dadanya/hati), sudah cukup keburukan bagi seseorang dengan menghina saudaranya yang muslim".  (HR Tirmizi)
 
  1. Pada gambaran amal jama'ie dalam menjalankan misi dakwah, 'amar ma'ruf nahi munkar', pengislahan dan pengarahan, Allah swt berfirman :
"Dan mesti ada di antara kamu ummat (golongan) yang menyeru kepada kebajikan, memerintahkan yang ma'ruf (baik) dan mencegah dari yang munkar (buruk) dan mereka adalah orang-orang yang beruntung ". (QS Ali 'Imran : 104)

             "Dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah bekerjasama di atas dosa  dan permusuhan ". (QS Al-Maidah : 2)
 
Rasulullah saw bersabda :
 
 "Hindari perpecahan dan berkomitmenlah pada jamaah, kerana syaitan selalu bersama dengan orang yang menyendiri (tidak berjamaah), dan ia menjauh dari   dua orang, maka barang siapa yang menginginkan syurga yang terbaik ia mesti berkomitmen pada jamaah".
 
             "Dan saya memerintahkan kepada kamu lima perkara, Allah memerintahkan saya dengannya: [1] berjamaah, [2] selalu bersedia untuk mendengar, [3] taat, [4] hijrah dan [5] jihad fi sabilillah. Barang siapa yang keluar dari jamaah walaupun hanya satu jengkal maka ia telah melepaskan ikatan Islam dari lehernya sampai ia kembali dan berkomitmen lagi pada jamaah, para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, sekalipun solat dan puasa? Rasul menjawab: Sekalipun ia puasa dan solat serta mengaku sebagai seorang muslim".  (HR Ahmad)
 
Ya Allah, berilah kefahaman yang benar kepada kami terhadap fiqh tarbiyah sehingga ianya
mampu menjadikan proses pembinaan rijal sebagai wasilah ke arah pengumpulan dan
penggembelingan masyarakat.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS  
 

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top