Terkini...




0

Usrah Batu Asas Jamaah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Manhaj perubahan sebenarnya bermula dengan pembentukan jiwa yang :
 
a.       Tunduk.
b.      Takut.
c.       Khusyu'.
 
kepada Allah swt.
 
Manhaj ini ialah suatu unsur yang tidak akan berubah di dalam sesebuah jamaah yang mantap dan ianya bukanlah suatu taktik seperti yang disangka oleh sebahagian manusia. Bahkan manhaj ini merupakan prinsip akhlak dan agama yang tetap selama-lamanya.
 
Sesungguhnya Allah swt mewariskan bumi ini kepada mereka yang ia kehendaki. Maka prinsip ini akan menolak segala bentuk pendekatan yang bersifat keganasan.
 
Kita berpegang teguh bahawa tarbiyah sebagai jalan yang tiada pilihan lain selain darinya. Ianya merupakan manhaj yang :
 
1.      Bijaksana.
2.      Memiliki disiplin.
3.      Teguh.
 
Dakwah yang kita bawa pula dikawal dengan hikmah dan nasihat yang baik serta tidak ada unsur-unsur paksaan, kekerasan dan desakan yang melampau.
 
Dakwah ini berdiri di atas kekuatan hujah dan syiarnya berdasarkan firman Allah swt :
 
"Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik." (Al Baqarah : 83)
 
Penegaknya pula adalah sebagaimana kata-kata Saidina Ali ra :
 
"Sesiapa yang lembut kata-katanya, wajiblah mahabbahNya".
 
Tarbiyah Islamiyah yang kita jalani adalah berasaskan Al-Quran dan As Sunnah melalui pelbagai wasilah sehingga mampu merubah individu yang sekadar bercakap menjadi individu yang beramal.
 
Syiarnya ialah :
 
"Kenalilah Tuhanmu, perbaikilah dirimu dan serulah orang lain. Tegakkan daulah Islam dalam hatimu, niscaya ia akan tertegak di atas muka bumi".
 
Tarbiyah ini mempunyai beberapa ciri :
 
a. Bersifat rabbani.
b. Mempunyai asas yang tetap.
c. Bertepatan dengan fitrah.
d. Merangkumi seluruh aspek kehidupan secara seimbang.
e. Menyatupadukan tenaga-tenaga manusia.
f. Optimis, positif dan praktikal yang dibangunkan di atas asas aqidah, ibadat dan
syariah.
 
Semua ciri-ciri di atas diperlukan dalam rangka untuk mencapai kemuliaan insan bagi menegakkan semula tamadun Islam.
 
Daripada asas di atas, maka dibentuk pula keluarga Islam, kemudian masyarakat Islam dan
seterusnya kerajaan Islam.
 
Oleh sebab itu, tarbiyah secara perlahan-lahan menjadi antara unsur yang tetap agar kita akan memperolehi individu muslim sebagai titik tolak perubahan sebagaimana yang ditunjukkan oleh manhaj Rasulullah saw.
 
Maka, mengikut Imam Hasan Al Banna, wasilah untuk melaksanakan tarbiyah sebegitu rupa ialah melalui "USRAH".
 
Usrah dalam pengertian bahasa Arab ialah :
 
"Kumpulan individu-individu muslim yang beriman dengan agama ini, berusaha untuk tolong menolong antara satu sama dengan yang lain bagi memahami dan menghayati Islam."
 
Dr Ali Abdul Halim Mahmud pernah berkata bahwa :
 
"Pengurusan yang paling penting dalam jamaah adalah pengurusan usrah, kerana ia merupakan batu bata pertama dalam bangunan. Apabila pengurusan usrah baik, maka baik pulalah keadaan jamaah secara keseluruhan, demikian juga sebaliknya." 
 
Begitu juga Hasan Al Hudhaibi menyebut bahwa :
 
"Sistem usrah tidak lain merupakan hakikat Islam di kalangan Ikhwan. Jika mereka telah merealisasikan perkara itu pada diri mereka sendiri, maka adalah benar bahwa mereka menantikan datangnya pertolongan yang dijanjikan Allah kepada orang-orang yang beriman."
 
KEPENTINGAN USRAH
 
Usrah menjadi wasilah tarbiyah yang penting oleh sebab-sebab berikut :
 
1. Melaksanakan perintah Allah untuk belajar seumur hidup.
2. Ikut sunnah Rasul dalam membina para sahabat dalam sistem usrah.
3. Wasilah paling berkesan bagi membentuk Syakhsiyah Islamiyah.
4. Melatih amal jama'ie dalam mempertahankan kewujudan jamaah Islam.
5. Jalan yg paling tepat untuk takwin ummah.
 
TUJUAN / SASARAN USRAH
 
Pembentukan melalui usrah dilaksanakan bagi mencapai tujuan atau sasaran berikut :
 
PERTAMA  : Tercapainya 'muwashofat' / kenaikan 'mustawa' (peringkat)
 
Ukuran produktiviti adalah seramai mana mutarabbi berhasil naik ke 'mustawa' berikutnya manakala ukuran kenaikan 'mustawa' adalah sejauh mana mutarabbi mencapai 'muwashofat' yang telah ditetapkan.
 
Karakter yang perlu diwujudkan itulah yang disebut dengan 'muwashofat'.
 
Tugas murabbi ialah membimbing mutarabbi untuk mencapai 'muwashofat' yang telah ditetapkan.
 
Kenaikan 'mustawa' adalah cara untuk menempatkan seseorang sesuai dengan tempatnya dalam susunan jamaah di samping mengukur kapasiti seseorang dalam memikul bebanan dakwah.
 
KEDUA : Tercapainya pembentukan murabbi / naqib
 
Sebagai wadah pembentukan aktivis dakwah, ukuran produktiviti adalah sejauh mana mutarabbi berhasil menjadi murabbi / naqib.
 
Ini adalah kerana :
 
a. Tidak ada wasilah lain yang dapat melahirkan murabbi / naqib kecuali usrah.
b. Usrah tidak akan tersebar ke dalam masyarakat jika tidak lahir murabbi-murabbi / nuqaba'
    baru yang akan mengembangkan pembinaan melalui usrah.
 
Membentuk ummah yang Islamik adalah wajib dan oleh yang demikian, cara mewujudkannya juga menjadi wajib.
 
Cara yang paling berkesan untuk membentuk ummah yang Islamik adalah dengan mentarbiyah ummah melalui usrah maka pembentukan murabbi / naqib menjadi wajib kerana tidak mungkin usrah itu ada jika tidak ada murabbi / naqib.
 
Mengikut Dr Abdullah Qadiri Al Ahdal :
 
"Sesungguhnya seorang akh yang benar tidak dapat tidak kecuali dia mesti menjadi murabbi."
 
Manakala Ustaz Mustafa Masyhur pula berkata :
"Murabbi perlu membiasakan binaannya untuk memberikan sumbangan, menyeru orang lain kepada Allah dan menyampaikan berbagai pelajaran. Bahkan ia perlu membentuk mereka menjadi murabbi yang melakukan tugas seperti dia bagi binaan-binaan yang baru."
 
KETIGA : Tercapainya pengembangan potensi.
 
Ukuran produktiviti adalah sejauh mana mutarabbi berhasil mengembangkan potensinya.
 
Potensi adalah keunggulan terpendam yang dimiliki oleh seseorang dan ia terbahagi kepada dua :
 
a. Potensi umum yang meliputi kreativiti, komunikasi dan kepimpinan.
b. Potensi khusus terutama pemilikan bakat yang unik seperti kemampuan berniaga, kemahiran computer dan menulis, kecerdasan matematik, kekompetenan dalam bidang kedoktoran, kimia, fizik dan lain-lain.
 
Tugas murabbi adalah membantu mutarabbi menemukan dan mengembangkan potensi umum atau khusus tersebut.
 
Pengabaian terhadap sasaran ini akan memberi kesan kepada lambatnya perkembangan potensi mutarabbi dan jamaah akan kehilangan potensinya untuk bergerak lebih cepat dan profesional dalam menghadapi perubahan lingkungan yang semakin cepat ketika ini.
 
Jadi, fahamlah kita bahwa usrah merupakan suatu unsur yang tetap di mana di dalam usrah berlakunya :
 
1.      Ta'aruf.
2.      Tafaahum.
3.      Takaaful.
 
Pembetulan mana-mana kesilapan daripada sudut kefahaman atau amal akan dilakukan di dalam usrah. Oleh yang demikian, di dalam usrah, kefahaman akan diperdalamkan lagi.
 
Usrah juga menjadi sebagai wasilah bagi melaksanakan tuntutan ukhuwah. Melaluinya akan
kelihatan :
 
a.       Potensi.
b.      Kepimpinan.
 
Di dalamnya, setiap peserta akan dilatih untuk mengenali unsur yang tetap dan unsur yang berubah.
 
Seterusnya, usrah akan mampu memperkasakan 'intima'' (penggabungan dengan Islam dan jamaah).
 
Institusi ini dinamakan usrah kerana mengandungi pengertian :
 
1.      Ketenangan.
2.      Kasih sayang.
3.      Rahmat.
 
Ketuanya dinamakan 'naqib' sebagai mengikuti tindakan Rasulullah saw dalam Bai'ah Aqabah yang kedua selepas kepulangan Mus'ab bin Umair dari Madinah bersama tujuh puluh tiga (73) orang lelaki dan dua (2) orang perempuan.
 
Apabila selesai berbai'ah, Rasulullah saw meminta mereka memilih dua belas orang di kalangan
mereka sebagai 'naqib'. Alangkah bijaknya tindakan Rasulullah saw itu.
 
Kajian pendidikan moden telah membuktikan bahawa semakin sedikit bilangan pelajar, semakin kuat pengaruh 'murabbi' dan tarbiyah akan terus diperkuatkan dengan 'qudwah' dan kebersamaan.
 
Oleh kerana usrah merupakan batu bata asas kepada organisasi, ketuanya mempunyai hak untuk
 
a.       Mengarah.
b.      Mentarbiyah.
c.       Ditaati.
 
Pimpinan bertanggungjawab untuk :
 
1.      Menentukan objektif.
2.      Menetapkan wasilah.
3.      Menggariskan tahap-tahap amal.
 
Maka dalam rangka inilah, usrah bertindak sebagai pelaksana.
 
Amal tarbawi yang produktif ialah suatu manhaj yang tetap. Jika kita mempunyai individu-individu yang berkualiti dan keluarga-keluarga Islam yang diikat dengan hubungan kasih-sayang, maka apakah insititusi yang :
 
a.       Boleh mengikuti antara mereka?
b.      Boleh menjaga dan mengikuti perkembangan perjalanan hidup mereka?
c.       Boleh mengenal pasti turun naik prestasi iltizam dan pencapaian objektif mereka?
 
Jawapannya ialah "Tarbiyah Melalui Usrah".
 
Maka usrah adalah suatu proses tarbiyah yang mengandungi unsur-unsur ilmu, fiqh dan kefahaman serta memerlukan murabbi dalam satu naungan atau semaian.
 
Murabbi dalam usrah samalah seperti imam dalam solat di mana beliau akan ditaati dan dipatuhi.
 
Imam Hasan Al-Banna telah mengenal pasti bahawa proses tarbiyah tidaklah semudah yang disangka oleh kebanyakan orang. Umat Islam telah menghadapi serangan pemikiran, kekeliruan dan keperibadian.
 
Semua penyakit itu tidak dapat dirawat dalam masa sehari semalam. Tidak cukup dengan kuliah, ceramah atau kursus di sana sini oleh pemikir Islam atau para ulama'. Selepas ceramah, kursus dan kuliah, masing-masing membawa diri. Begitu juga dengan risalah atau makalah, kesannya
akan hilang selepas habis membacanya.
 
Rawatan itu memerlukan kesabaran dan Tarbiyah Islamiyah yang panjang dalam satu naungan tarbawi iaitu 'usrah'.
 
la juga perlu kepada murabbi yang memiliki ciri-ciri tertentu. Ini disebabkan tarbiyah yang merupakan unsur tetap dakwah memerlukan satu usaha yang bersungguh-sungguh tanpa henti agar dapat melahirkan 'rijal', bukannya tulisan atau buku.
 
Proses ini memerlukan :
 
1.      Manhaj yang betul.
2.      Ketekunan amal.
3.      Akhlak yang mantap.
4.      Polisi nafas panjang.
5.      Kesabaran.
6.      Nasihat yang baik.
7.      Hujah yang jelas.
8.      Kepekaan dan pemantauan yang teliti dan berhati-hati.
 
Proses ini tidak boleh tidak mesti dipikul oleh para 'murabbi'.
 
Inilah usrah atau pun manhaj Islam bagi menghadapi arus kehidupan secara sempurna. Ia juga
merupakan dakwah yang sebenar yang mampu membetulkan kefahaman. Maka usaha ini memerlukan tarbiyah yang bermanhajkan Al-Kitab, As-Sunnah dan pengalaman salafus soleh yang berpegang teguh dengan 'al-Usul al-Fiqh' dan 'al-Qawaid al-Syariah'.
 
Semua tugas ini tidak akan berjaya melainkan dengan rasa tanggungjawab 'naqib' terhadap anak-anak didiknya di mana ia perlu menerangkan kepada mereka sejelas-jelasnya apakah tanda dan isyarat ketika melalui jalan ini (dakwah) agar tidak timbul kerumitan dan kekaburan.
 
Ia memerlukan :
 
a.       Kejelasan fikrah.
b.      Kesepaduan tasawwur dan suluk.
c.       Kesatuan tujuan dan kesudahan.
d.      Kesatuan matlamat dan wacana.
 
bagi menjayakan keseluruhan amanah ini hingga tiada di sana timbul persoalan, syak wasangka dan kekeliruan.
 
Akhirnya ia akan membentuk individu jamaah yang satu dan kerana itulah diletakkan secara jelas segala peraturan, pengurusan, wacana dan matlamat.
 
Apa yang diperlukan sekarang ialah iltizam terhadap sistem yang tetap ini.
 
Imam Hasan Al-Banna berkata :
 
"Islam menitik beratkan pembentukan usrah-usrah yang mendorong ahli-ahlinya ke arah nilai-nilai yang tinggi, memperkuatkan ikatan ukhuwah, menaikkan taraf bercakap dan berteori kepada taraf beramal dan perbuatan. Rukun ikatan ini ada tiga, maka peliharalah dan berikan tumpuan untuk melaksanakannya agar ia tidak sekadar tugasan tanpa ruh."
 
PERTAMA : TAARUF
 
Ia adalah rukun yang pertama. Hendaklah kita saling kenal mengenali dan berkasih sayang kerana Allah.
 
Hayatilah pengertian ukhuwah yang sahih dan sempurna di kalangan kita dan berusaha agar hubungan ini tidak dicemari oleh sesuatu.
 
Allah swt berfirman dalam surah Al Hujuraat :
 
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara".
 
Selepas zaman para salaf, ukhuwah yang merupakan arahan Allah dan rasulNya ini hanya tinggal sebagai mainan lidah sahaja dan tidak berada di dalam hati kaum muslimin, sehingga munculnya Jamaah Ikhwan Muslimin yang cuba melaksanakannya dalam masyarakat serta berusaha untuk menyatukan umat dengan ruh ukhuwah ini.
 
KEDUA : TAFAAHUM
 
Melalui rukun yang kedua ini, berlakulah muhasabah diri di mana setiap anggota boleh menasihati saudaranya jika ia melihat sebarang kesilapan atau kekurangan yang perlu dibaiki.
 
Anggota yang diberi nasihat itu hendaklah menerimanya dengan hati yang gembira. Jika nasihatnya tidak memberi kesan, kekurangan itu tidak disebarkan kepada sesiapa kecuali naqib usrah. Walaupun begitu, ia tetap menghormati dan mengasihi saudaranya yang mempunyai keaiban itu.
 
KETIGA : TAKAAFUL
 
Hendaklah kita saling membantu bantu, pikul memikul masalah dan tanggungjawab antara kita.
 
Ini adalah sebuah tuntutan iman yang nyata dan intipati ukhuwah di mana kita hendaklah sentiasa saling bertanya khabar dan bersegera sedaya upaya untuk membantu pihak yang memerlukannva.
 
Sabda Rasulullah saw ;
 
"Usaha seseorang untuk memenuhi hajat saudaranya lebih baik baginya dari beri'tikaf sebulan dalam masjidku ini".
 
Allahlah yang mempertautkan hati-hati kita dengan kekuasaanNya. Tidakkah kita lihat bagaimana sistem ini boleh melaksanakan kewajipan individu, sosial dan kewangan?
 
Di sini dibawakan contoh agenda usrah yang boleh meninggalkan kesan tarbawi yang besar dalam kehidupan individu :
 
PERTAMA :
 
Setiap akh membentangkan permasalahannya agar dapat dikongsi oleh orang lain demi mendapatkan penyelesaian dalam suasana ukhuwah dan ikhlas.
 
Itu semua boleh memantapkan 'thiqah' (kepercayaan) dan memperkukuhkan ikatan persaudaraan di mana seorang mukmin itu adalah cermin bagi saudaranya sehingga tercapai apa yang disabdakan Rasulullah saw :
 
"Perumpamaan hubungan kasih sayang dan simpati sesama mukmin seperti satu jasad, jika satu anggota mengadu sakit niscaya anggota-anggota yang lain akan turut berasa sakit dan berjaga malam".
 
KEDUA
 
Mengkaji dan bermuzakarah tentang urusan umat Islam di samping menerima arahan-arahan daripada pimpinan.
 
Usrah bukanlah tempat untuk berdebat atau mengangkat suara. Itu adalah haram di sisi fiqh usrah, sebaliknya usrah merupakan tempat untuk penjelasan dan penerangan dalam suasana beradab dan saling hormat-menghormati.
 
KETIGA
 
Mengkaji buku-buku yang berkualiti yang mendatangkan manfaat kepada individu agar tercapai objektif keperibadian Islam sebagai agen perubah.
 
Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami untuk kami tetap menjalani Tarbiyah Islamiyah melalui 'usrah' yang menjadi medan sebenar bagi membentuk ikatan persaudaraan keranaMu di samping kami dapat nasihat menasihati serta bersama memikul beban dakwah di jalanMu.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top