Terkini...




0

Perjuangan Berasaskan Paksi Dakwah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Misi gerakan Islam adalah membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.
  1. Ia berputar sepanjang zaman mengajak manusia menerapkan syariat dalam kehidupan sebagai individu, masyarakat dan warganegara.
  2. Ia terus meluru laju untuk memikul misi membimbing umat manusia seluruhnya menuju sistem Islam beserta ajaran-ajarannya.
Dalam perspektif seperti ini, dakwah sebenarnya merupakan suatu tugas peradaban. Oleh kerana itu, sejak dari mula, para pemikul dakwah mesti menyedari panjangnya jalan yang mesti ditempuhi dan banyaknya tenaga yang mesti dikerahkan.

Mereka bahkan mesti bersedia untuk mengorbankan jiwa, harta dan segala apa yang dimilikinya berupa waktu, tenaga, kesihatan, ilmu dan lain-lainnya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah swt.

TAHAPAN DAN URUTAN AMAL

Untuk merealisasikan tujuan yang mulia itu, sebuah gerakan dakwah mesti melakukan tahapan-tahapan amal, kerana salah satu ciri dakwah adalah 'At-tadarruj fi al-khutuwaat'  (bertahap dalam langkah dan perancangan).

Tahapan-tahapan amal yang mesti dilakukan adalah seperti berikut :
  1. Tahap seruan (di'ayah), pengenalan (ta'rif) dan penyebaran fikrah (nasyr al-fikrah) kepada masyarakat.
  2. Tahap pembinaan (takwin) dan pemilihan pendukung (takhyir al-anshar), penyediaan pasukan / perajurit  (I'dad al-junud) dan mobilisasi barisan (ta'biah ash-shufuf) dari kalangan mad'u.
  3. Tahap aplikasi (tanfidz), kerja (amal) dan pengeluaran hasil (intaj).
Manakala 'maratibul amal' (urutan amal) nya adalah :
  1. Perbaikan individu (Ishlah al-fard).
  2. Perbaikan rumah tangga (Ishlahul al-bait).
  3. Perbaikan masyarakat (Ishlah al-mujtama').
  4. Pembebasan negeri (Tahrir al-wathan).
  5. Perbaikan pemerintahan (Ishlah al-hukumah).
  6. Penyiapan pembinaan khilafah (Bina' al-khilafah).
  7. Pelopor dunia (Ustadziah al-alam).
Tiga tingkatan pertama merupakan kewajiban individu-individu muslim secara umum, juga menjadi kewajiban gerakan dakwah sedangkan empat tingkatan yang terakhir merupakan tugas yang mesti dipikul oleh gerakan dakwah sebagai sebuah 'tanzim' dakwah yang aktif.

PROSES PERLAKSANAAN

Perlaksanaan tahapan dan urutan amal dakwah tersebut boleh diwujudkan dalam paksi kerja seperti berikut :

MIHWAR FARDI DAN USARI (PAKSI PEMBENTUKAN INDIVIDU DAN KELUARGA)

Ia adalah paksi pertama dan terpenting iaitu proses :
  1. Membangun keperibadian Islam.
  2. Pembentukan 'rijal' (aktivis dakwah).
  3. Membentuk keluarga muslim.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan peribadi muslim yang memiliki ciri-ciri seperti berikut
  1. Mempunyai aqidah yang sejahtera.
  2. Membangun ibadah yang sahih.
  3. Memiliki akhlak yang mantap.
  4. Mampu berdikari.
  5. Mempunyai pemikiran yang berwawasan.
  6. Memiliki tubuh yang kuat dan cergas.
  7. Sentiasa bermujahadah untuk menguasai diri.
  8. Sentiasa teratur dalam segala urusannya.
  9. Sangat menghargai dan mengambil berat tentang penggunaan masa.
  10. Bermanfaat kepada orang lain.
MIHWAR TANZIMI (PAKSI ORGANISASI)

Paksi Organisasi memberi penumpuan kepada perkara-perkara berikut bagi memperkukuhkan asas operasi dakwah :
  1. Membangun wahana umum perjuangan.
  2. Membentuk dan membangun saf-saf pejuang dan aktivis dakwah.
  3. Memperbanyakkan wadah-wadah sokongan.
  4. Membangun institusi perkaderan / tarbiah.
  5. Membangun kepimpinan yang mantap di berbagai peringkat.
Gerakan dakwah perlu membangunkan dirinya menjadi sebuah organisasi yang kuat dan teguh sebagai kekuatan utama yang mengoperasikan dakwah. Organisasi ini mesti diisi oleh orang-orang yang kuat dan teguh dalam seluruh aspek keperibadian.

Untuk itu diperlukan proses pembinaan dan pembentukan yang sistematik, lengkap dan memakan waktu yang secara relatifnya panjang. Mereka yang dipilih untuk dibentuk dan dibina mestilah orang-orang yang terbaik yang ada di dalam masyarakat.

MIHWAR SYA'BI (PAKSI SOSIAL)

Seterusnya gerakan dakwah mesti berusaha untuk :
  1. Membangun kesedaran umum dan kefahaman Islam murni.
  2. Membangun asas sosial yang luas dan merata serta membentuk wajihah-wajihah sebagai kekuatan pendukung dakwah.
  3. Membangun ummah, masyarakat umum dan massa, tarbiah rakyat.
  4. Memastikan penguasaan peribadi dan tokoh Islam dalam masyarakat.
  5. Menjayakan sebaran kebudayaan yang luas di mana Islam menjadi faktor pembentuk pendapat dan pandangan umum.
  6. Menciptakan struktur budaya dan adab-adab sosial yang Islamik.
  7. Mewarnakan Islam dalam penampilan-penampilan budaya seperti pakaian, produk kesenian, etika sosial, istilah-istilah umum dalam pergaulan dan seterusnya.
  8. Interaksi (engagement) dengan setiap peringkat kepimpinan politik dan masyarakat.
  9. Mempertingkatkan usaha-usaha dakwah umum dan khidmat kepada masyarakat.
  10. Membangun dokongan dan sokongan umum, ummah dan masyarakat.
Bagi tujuan tersebut, sebagai langkah awal, gerakan dakwah mesti bekerja keras membina  komitmen dan kekuatan aqidah pada sebahagian besar kalangan kaum muslimin iaitu komitmen aqidah yang menandakan persediaan ideologi masyarakat Muslim untuk hidup dengan sistem Islam pada seluruh tatacara kehidupannya beserta kekuatan aqidah untuk menampilkannya dalam lingkungan kehidupan secara yang mempesonakan.

Selain itu pada tahap ini, secara idealnya, gerakan dakwah mesti mampu mewujudkan ketinggian pemikiran Islam di tengah-tengah masyarakat sehingga muncul kepercayaan umum bahwa secara konsepnya, Islamlah yang paling mampu menyelamatkan bangsa dan negara dan dengan itu, Islam menjadi arus yang membentuk arah pemikiran nasional.

MIHWAR MUASSASI (PAKSI INSTITUSI)

Dakwah pada paksi ini mampu mentransformasikan dirinya sebagai institusi dakwah di tengah-tengah kancah perubahan pada masa peralihan yang diwarnai oleh iklim keterbukaan dan persaingan di mana berlangsungnya aktiviti-aktiviti berikut :
  1. Pembangunan berbagai institusi untuk menjadi wadah kepada segala kerja-kerja dakwah di seluruh sektor kehidupan dan di seluruh segmen masyarakat.
  2. Berlakunya usaha mempertemukan dakwah dengan kegiatan dan institusi politik serta penerobosan dakwah ke parlimen.
  3. Wilayah kerja dakwah pada paksi ini sangat luas dan rumit dan oleh yang demikian diperlukan pembentukan institusi-institusi pekerjaan seperti institusi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
  4. Pembangunan institusi-institusi dan agensi-agensi masyarakat madani.
  5. Dakwah digerakkan menerusi mekanisma lembaga, institusi, agensi, NGO, pusat-pusat kecemerlangan dan kemasyarakatan.
  6. Pembangunan kepimpinan-kepimpinan institusi-institusi, syarikat, dan konglomerat.
  7. Kemahiran dalam pengendalian lembaga-lembaga masyarakat, awam dan swasta.
  8. Pengisian institusi-institusi samada dalam masyarakat atau pemerintahan sedia ada.
Dengan usaha-usaha tersebut, maka akan terbentuklah jaringan aktivis dakwah di seluruh institusi yang strategik. Ini merupakan usaha-usaha penting yang diperlukan untuk mengurus dan mentadbir kehidupan bernegara yang Islamik.

Bagi para aktivis dakwah dan tarbiyah, di sini terbentang sebuah kebun amal yang sangat luas. Inilah kebun jihad yang dijanjikan oleh Allah swt untuk membuktikan kebenaran iman dan janji kita.

Di kebun luas ini juga bertebaran para penyeru kebatilan yang bersemangat untuk menarik umat dari lubang kegelapan lama kepada lubang kegelapan yang baru.
Kemenangan hanya akan diraih oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam beramal dan berjihad di jalanNya. Jika tidak, maka tunggulah saat kehancuran.

"Adapun orang-orang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar." (QS Al-Anfal : 73)

MIHWAR DAULAH (PAKSI NEGARA)

Dakwah mesti sampai pada tingkatan institusi negara di mana dengan institusi inilah gerakan dakwah dapat merealisasikan secara undang-undang dan kuat seluruh kehendak Allah swt ke atas kehidupan masyarakat.

Negara adalah wasilah dan bukan tujuan.

Ibnu Qayyim Al Jauziyah pernah berkata :

"Kebenaran mesti mempunyai negara kerana kebatilan pun mempunyai negara".

Paksi negara perlu memainkan peranan baru untuk menyediakan :
  1. Pemimpin-pemimpin negara.
  2. 'Blue Print'  pemerintahan.
  3. Peraturan-peraturan  dan perundangan.
  4. Pengelolaan negara.
Bagi memenuhi keperluan di atas, bebanan dakwah yang semakin berat dan tatacara kerja dakwah yang semakin luas ini menghendaki persiapan-persiapan yang lebih besar daripada paksi-paksi sebelumnya.

Di antara usaha-usaha yang perlu dilakukan pada paksi ini adalah :
  1. Membangun perlembagaan, sistem, institusi-institusi, perundangan dan prasarana sebuah Negara.
  2. Penyelenggaraan kehidupan rakyat dan perjalanan negara ke arah kemakmuran, kemajuan dan keadilan.
  3. Pengurusan yang baik.
  4. Penegakan syariah.
  5. Pembangunan empat unsur kekuatan : politik, ekonomi, kemasyarakatan dan ketenteraan.
  6. Melahirkan sumber tenaga manusia yang memiliki keterampilan akademik yang handal untuk mampu mentransformasikan ajaran-ajaran Islam ke dalam format perlembagaan, undang-undang dan pengeluaran hukum lainnya di samping memasukkan sekelompok tenaga kepimpinan pada tahap negara yang memiliki visi dan kemampuan teknikal untuk mengelola.
  7. Menentukan (di tahap aplikasi) seperti apakah wajah Islam dalam alam nyata dan akan menentukan berhasil atau tidaknya projek Islamisasi iaitu membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.
  8. Memberikan sumbangan yang aktif bagi mewujudkan kemandirian material yang akan menjadikan negara ini tetap hidup walaupun akan menghadapi sekatan dan pengasingan.
Pengalaman sejarah telah mengajarkan kepada kita bahwa tidak pernah ada sebuah negara yang menyatakan Islam sebagai ideologinya, melainkan ia pasti memasuki hari-hari panjang yang penuh keringat, air mata dan darah.

Sejak Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda telah menghadapi 68 kali pertempuran dan memimpin 28 peperangan.

Di zaman kini pula setidak-tidaknya kita perlu belajar dari Iran (1979) dan Sudan (1987) di mana apabila kedua negara tersebut menyatakan diri sebagai Negara Islam, dunia dengan segera bertindak melakukan sekatan atau yang paling terkini, kita dapat belajar dari pemerintahan Hamas di Gaza, Palestin (2007).

Oleh yang demikian kita perlu memahami bahwa ada risiko yang mesti ditanggung apabila sesebuah negara menyatakan Islam sebagai jati dirinya.

Oleh kerana itu, apabila putaran ekonomi tetap dapat berjalan di dalam sebuah negara yang mengistiharkan Islam sebagai dasarnya, maka itu sudah merupakan tanda persiapan ke arah negara yang lebih bebas.

Gerakan dakwah pada paksi negara ini pun wajib mendukung peningkatan kapasiti pertahanan yang teguh disebabkan oleh halangan luaran yang mungkin dihadapi dan tidak terbatas hanya kepada gangguan ekonomi tapi juga gangguan pertahanan.

Selain itu gerakan dakwah pun mestilah mampu membangun jaringan antarabangsa yang akan memungkinkan negara tetap wujud dalam percaturan antarabangsa atau tetap memiliki jalan keluar walaupun mungkin menghadapi risiko sekatan atau penjajahan.

Manakala apabila tahapan kerja dan syarat-syarat persediaan Islamisasi itu sudah dapat dipenuhi secara sempurna dan lengkap, maka pada saat itulah gerakan dakwah dapat memikul  tuntutan politik yang ditandai dengan adanya parti-parti politik (bersama masyarakat awam) yang secara rasminya meminta penerapan syariat Islam pada tahap perlembagaan.

Tahapan kerja dan pemenuhan syarat-syarat persediaan Islamisasi ini secara idealnya dapat berjalan secara berurutan. Namun pada kenyataannya lebih elok kalau ianya berjalan secara selari.

MIHWAR DAULI (PAKSI ANTARABANGSA)

Dalam perspektif dakwah sebagai sebuah projek peradaban, langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh gerakan dakwah adalah :
  1. Komitmen yang konstruktif dengan masyarakat antarabangsa.
  2. Dakwah ke seluruh ceruk alam.
  3. Membangun perdamaian dunia. 
  4. Penegakan dunia baru Islam untuk dunia sejagat.
  5. Penyelarasan dengan bangsa-bangsa muslim lain yang menyangkut masalah politik, ekonomi, sosial, pertahanan, keamanan dan peradaban Islam secara umum.
  6. Berusaha untuk membentuk persekutuan dan permuafakatan di antara mereka untuk mendirikan lembaga-lembaga ummat dan mengadakan muktamar antara negara lalu seterusnya berusaha untuk membentuk persekutuan bangsa-bangsa muslim.
  7. Kesepakatan untuk mengangkat pemimpin yang satu sebagai simbol persatuan umat Islam sedunia.
DAKWAH YANG LENGKAP

Apabila sampai ke tahap ini, barulah gerakan dakwah dapat berbicara kepada dunia sepertimana yang pernah Rasulullah saw katakan kepada Heraclius :

"Masuklah ke dalam Islam supaya kamu selamat!"

atau mengatakan kepada mereka seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis ;

"Ini (surat) datang dari Sulaiman, dan sesungguhnya (ia datang) dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (QS An Naml : 30)

TUGAS YANG BESAR

Ketahuilah bahwa ada empat tugas yang besar di hadapan kita semua ketika ini. Masa depan Islam ditentukan pada kemahuan dan kemampuan kita merealisasikan keempat-empatnya.

Tidak ada tempat bagi orang yang ragu dan tidak ada jalan bagi orang yang bersikap santai. Cukuplah kisah sahabat Ka'ab bin Malik menjadi pelajaran yang berharga bagi kita!
 
PERTAMA : TERLIBAT SEPENUH TENAGA UNTUK MEMBEBASKAN UMAT DARI BELENGGU KEJAHILIAHAN DAN KEZALIMAN POLITIK

Momentum perubahan tidak akan berulang dua kali dalam waktu yang sama. Nabi Daud yang masih muda ketika itu telah menemui momentum terbaiknya ketika dengan tangan kecilnya mampu merobohkan Raja Jalut dan menghancurkan seluruh sendi-sendi kekuatan dan kekuasaannya.

KEDUA : MEMENUHI ARUS MASYARAKAT DENGAN PENYELESAIAN ISLAM

Ini dilakukan bukan hanya pada tingkatan pandangan umum dan wacana, tetapi perlu sampai ke tingkatan praktikal dan aplikasi nyata.

Hampir seluruh sendi-sendi kekuatan masyarakat dan bangsa ini telah mula rapuh dan akan mencapai usia reputnya bahkan berkemungkinan menghadapi bahaya kematiannya.
    1. Pelajar-pelajar sekolah menengah yang terdedah dengan penyalahgunaan dadah,  gejala seks bebas serta pembuangan bayi memerlukan penyelesaian segera.
    2. Nasib kaum pekerja yang dieksploitasi oleh majikan juga memerlukan pembelaan dan pemerkasaan.
    3. Usahawan-usahawan kecil dan sederhana yang terhimpit oleh syarikat konglomerat dan terinjak oleh birokrasi pentadbiran memerlukan dukungan politik dan keadilan ekonomi.
    4. Rakyat kecil yang semakin menjerit disebabkan kenaikan harga barangan yang melambung tinggi, sewa rumah yang tidak mampu dibayar, pekerjaan yang hilang dan jenayah yang mengancam memerlukan orang-orang yang memihak dan membela mereka atas nama kebenaran dan keadilan.
Umat benar-benar memerlukan sesuatu yang baru yang boleh menyelamatkan mereka. Mereka memerlukan ruh yang baru yang mampu menyatukan dan mendamaikan diri mereka.

Jawaban kepada semua persoalan di atas kini sudah sampai pada tahap aksi, bukan lagi diskusi.

Setiap aktivis dakwah dan tarbiyah adalah orang-orang yang cerdas yang mampu menggerakkan komuniti di sekeliling mereka untuk bersama-sama melakukan perubahan dan perbaikan.

Jangan biarkan umat menanti terlalu lama, hingga akhirnya mereka dituntun oleh orang yang buta.

Gerakan dakwah ini memiliki ramai aktivis dengan berbagai ragam ilmu, kemampuan, kemahiran dan profesyen yang mampu dipersiapkan untuk menjadi perintis perubahan dalam  berbagai bidang.

"Wahai kaumku, bekerjalah sesuai dengan keadaanmu. Sesungguhnya aku akan bekerja (pula), maka kelak kamu akan mengetahui." (QS Az-Zumar : 39)

KETIGA : MENGAJAK SERAMAI MUNGKIN MANUSIA UNTUK MENERIMA ISLAM DAN MENJADI PENDUKUNG DAKWAH

Ingatlah, Rasulullah saw akan berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Jalan demokrasi kebiasaanya akan memberikan kekuasaan kepada mereka yang memiliki pendukung yang ramai, meskipun perubahan biasanya dilakukan hanya oleh sekelompok kecil manusia.

Untuk tujuan ini :
  1. Pekerjaan pertama kita adalah PENDAKWAH.
  2. Pekerjaan kedua kita adalah 'MURABBI'.
  3. Pekerjaan ketiga kita adalah PEMIMPIN.
Setiap waktu kita mesti :
  1. Menyeru manusia kepada Islam.
  2. Mentarbiyah mereka untuk menjadi peribadi muslim sejati.
  3. Memimpin mereka untuk meraih kemenangan dan kebahagiaan.
Selepas itu, kita tidak mempunyai pekerjaan lain sehinggalah Allah swt membebaskan kita dari semua pekerjaan itu di syurga kelak, Insya Allah!

KEEMPAT : TERUS MENERUS MEMPERSIAPKAN DIRI DAN MENGEMBANGKAN SEGALA KEMAMPUAN YANG DIPERLUKAN OLEH DAKWAH

Tarbiyah adalah madrasah tempat kita membina diri. Bagi mereka yang menyedari dan memahami semua ini, apakah sikap yang akan diberikan terhadap tarbiyah?
Hanya ada satu jawaban iaitu : KUKUHKAN KEMBALI TARBIYAH.

Suatu umat tidak akan pernah bangkit untuk kali kedua, selama mana mereka tidak mampu memenuhi syarat-syarat yang dimiliki bagi kebangkitannya yang pertama.

Dalam kaidah dakwah kita :

"Pemimpin tidak muncul, kecuali dilahirkan oleh rahim tarbiyah".

Namun untuk sampai ke tahap ini, jalannya masih panjang dan berliku, 'La haula wa laa quwwata illa billah' (Tiada daya dan kekuatan melainkan kekuatan dari Allah).

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami teruskan usaha-usaha kami di setiap paksi-paksi yang kami lalui dan menetapkan kaki kami di atas jalan dakwah ini sehingga kami pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top