Terkini...




0

Memperkukuhkan Tiang Persaudaraan


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Memperkukuhkan tiang-tiang persaudaraan merupakan salah satu tugas penting bagi kita. Namun, bagaimanakah agar ruh persaudaraan itu akan tetap kukuh?
Rahsianya terletak kepada sejauhmana kita mampu bersungguh-sungguh membentuk kesedaran untuk memiliki hati yang :
  1. Suci.
  2. Bersih.
  3. Selamat.
Ini adalah kerana hati yang kotor yang dipenuhi dengan sifat irihati, dengki, hasad dan buruk sangka hampir pasti akan membuatkan pemiliknya melakukan perbuatan-perbuatan yang tercela yang akhirnya akan merosakkan persaudaraan.

Mengapa?
Ini adalah kerana jika di antara sesama muslim sahaja sudah saling berburuk sangka, saling irihati dan saling mendengki, bagaimana mungkin akan tumbuh nilai-nilai persaudaraan yang indah?
Suatu ketika Rasulullah saw pernah bertanya kepada para sahabatnya:

"Mahukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?"
Sahabat menjawab, "Tentu sahaja!"
Rasulullah pun kemudian menjelaskan,
"Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menghubungkan berbagai kelompok dalam Islam dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan." (HR Bukhari-Muslim)
Sabdanya lagi :
"Mahukah kamu aku tunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat? Memberi maaf orang yang menzalimimu, memberi orang yang menghalangimu dan menyambung silaturrahim orang yang memutuskanmu." (HR Baihaqi)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, kita dapat renungkan bahwa betapa besarnya nilai sebuah jalinan persaudaraan.
Adakah nikmat persaudaraan dapat kita rasakan dari orang yang tidak memiliki kemuliaan akhlak?
Tentu sahaja tidak!

Kemuliaan akhlak tidak akan pernah berpadu dengan hati yang penuh :
  1. Irihati.
  2. Dengki.
  3. Ujub.
  4. Riya'.
  5. Takabur.
Di dalam hati yang kusam dan busuk inilah justeru tersimpan benih-benih "tafarruq" (perpecahan) yang akan bercambah dalam aneka bentuk permusuhan dan kebencian terhadap sesama muslim.

Oleh yang demikian :
PERTAMA :
Jika ada dua bangsa yang berperang, sekurang-kurangnya salah satu di antara mereka adalah sekumpulan manusia yang :
  1. Buruk akhlaknya.
  2. Tamak.
  3. Dibius oleh gejolak hawa nafsu untuk melemahkan pihak yang lain.
KEDUA :
Jika dua suku berseteru, setidak-tidaknya satu di antara mereka adalah manusia yang bermental rendah dan hina kerana (mungkin) merasa sukunya lebih tinggi darjat kemuliaannya.
KETIGA :
Jika dua keluarga tidak bertegur sapa, sekurang-kurangnya salah satunya telah diselimuti oleh hawa nafsu sehingga menganggap permusuhan adalah satu-satunya langkah yang boleh menyelesaikan masalah.

Seterusnya, tanyakanlah kepada diri kita masing-masing :
  1. Adakah pada saat ini, kita sedang merasa tidak sedap hati terhadap adik, kakak atau
    bahkan ayah dan ibu kita sendiri?
  2. Adakah pada saat ini, kita masih menyimpan perasaan kesal kepada teman sepejabat
    kerana dia lebih diberi perhatian oleh orang atasan?
  3. Adakah pada saat ini, kita masih menyimpan rasa dengki terhadap saudara seiman
    sesama pekerja dakwah lantaran mungkin keadaan saudaranya lebih baik dari
    dirinya sendiri?
Jika demikianlah keadaannya :
  1. Bagaimanakah boleh terketuk hati ini ketika mendengar ada seorang muslim yang
    teraniaya atau ada sekelompok masyarakat muslim yang diperangi?
  2. Bagaimana mungkin kita mampu bangkit serentak manakala hak-hak muslim
    dirampas oleh kaum yang zalim?
  3. Bagaimana mungkin kita akan mampu merancang kembali kejayaan umat Islam?
Dari sinilah sayugianya kita memulai langkah untuk merenungkan dan mengulangkaji sejauhmana kita telah memahami makna 'Persaudaraan Islam' kerana justeru dari sini pulalah Rasulullah saw memulakan amanah kerasulannya.

Betapa Rasulullah saw menyedari bahwa menyempurnakan akhlak pada hakikatnya adalah mengubah sifat dasar manusia. Sifat akan berubah seiring dengan munculnya kesedaran setiap orang akan jati dirinya.
Oleh kerana itu :
"Menumbuhkan kesedaran adalah jihad kerana kesedaran merupakan sebutir mutiara yang hilang tersapu oleh berlapis-lapis tingkatan hawa nafsu."

Apabila kesedaran telah tersemai, jangan kita merasa hairan jika :
  1. Umar bin Al Khatthab yang dulunya seorang yang garang menjadi manusia yang paling pemaaf kepada musuhnya yang telah menyerah di medan perang.
  2. Seorang sahabat menempelkan pipinya di tanah dan minta dipijak kepalanya oleh sahabat bekas hamba hitam yang telah dihinanya.
  3. Para sahabat yang berhijrah bersama Rasulullah saw ke Madinah, dipertautkan dalam tali persaudaraan yang indah dengan kaum Anshar sementara kaum Muslimin Madinah ini rela berkongsi tanah dan tempat tinggal dengan saudara-saudaranya seiman dan seaqidah tersebut.
Kekuatan persaudaraan memang hanya dapat dibangkitkan dengan :
'Kemuliaan akhlak'.
Oleh kerana itu, nampaknya kita amat merindukan peribadi-peribadi yang menjelmakan keluhuran akhlak.

PERTAMA :
Peribadi-peribadi yang memiliki pelbagai buah fikiran, walau sederhana apa pun, adalah buah fikiran yang kuat yang boleh dicurahkan untuk meringankan atau bahkan memecahkan masalah-masalah yang berlegar pada diri sendiri mahupun orang-orang di sekelilingnya sehingga berdialog dengannya sentiasa membuahkan kelapangan.

KEDUA :
Tatapan matanya adalah tatapan yang bijak bestari sehingga sesiapapun akan merasakan kesejukan dan ketenteraman.
KETIGA :
Wajahnya adalah cahaya cemerlang yang sedap dipandang lagi memberi kesan kerana menzahirkan kejujuran 'i'tiqad'.

KEEMPAT :
Senyumannya yang tidak pernah lekang menghiasi bibirnya adalah sedekah yang jauh lebih mahal nilainya daripada intan mutiara.
KELIMA :
Lisannya sentiasa mengeluarkan untaian kata-kata yang penuh hikmah, menyejukkan, membangkitkan keinsafan dan meringankan beban derita sesiapapun yang mendengarkannya.

KEENAM :
Jabatan tangannya yang hangat adalah jabatan tangan yang mempertautkan seerat-eratnya dua hati dan dua jiwa yang tidak akan terlepas kecuali dimulai dan diakhiri dengan ucapan salam. Kedua tangannya sangat mudah dihulurkan kepada sesiapapun yang memerlukannya. Sementara itu, bimbingan kedua tangannya, tidak dapat tidak, sentiasa akan berakhir di majlis-majlis yang diberkati oleh Allah Azza wa Jalla.

Oleh yang demikian, umat Islam perlu berhijrah dari keadaan berpecah belah menuju 'Persaudaraan Islam' di samping menepis karat-karat jahiliyah dari hati ini.

Memiliki hati yang bersih dan selamat mesti diutamakan di atas segala-galanya agar kita mampu membuat penilaian diri dengan sebaik-baiknya dan menatap jauh ke depan agar Islam benar-benar dapat dimanifestasikan menjadi "Rahmatan lil `aalamiin" dan umat atau pemeluknya benar-benar menjadi "Sebaik-baik umat" yang dikeluarkan di tengah-tengah manusia.

Ya Allah kuatkanlah iman kami dan hiasilah hati-hati kami dengan sifat-sifat yang mulia yang akan menumbuhkan perasaan persaudaraan sejati terhadap sesama saudara kami. Hindarkanlah hati kami dari perasaan buruk sangka yang akan menjadi benih kepada sifat-sifat buruk yang lain yang akhirnya akan menghancurkan kekuatan persaudaraan sesama saudara muslim.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/      

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top