Terkini...




0

Kunci Kemenangan Dakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Manusia adalah unsur teras dari kehidupan ini.
 
Peningkatan dan pengembangan Sumber Manusia (SM) sentiasa menjadi isu penting dalam semua organisasi.
 
Bahkan pada ketika teknologi dianggap sebagai kayu ukur sesebuah negara yang dikatakan maju, Sumber Manusia (SM) tetap menjadi persoalan penting yang diyakini mampu mempengaruhi secara signifikan kewujudan negara tersebut dalam peradaban dunia.
 
MANUSIA DI SEBALIK SENJATA (THE MAN BEHIND THE GUN)
 
Begitulah ungkapan yang tepat apabila kita membahasakan betapa pentingnya unsur manusia di samping teknologi. Walau secanggih manapun teknologi, tidak akan bermanfaat apabila tidak ada manusia yang boleh menggunakannya dan bahkan ia akan menjadi bencana apabila manusia menyalahgunakannya.
 
Dari ungkapan tersebut, kita akan memperolehi dua kata kunci tentang Sumber Manusia (SM) ini. 
 
PERTAMA : Persoalan pembentukan keperibadian manusia sehingga ia tidak menyalahgunakan apapun yang  berada di tangannya. 
 
KEDUA : Peningkatan kemampuan, kompetensi dan keupayaan manusia sesuai dengan bakat, minat dan pengkhususannya.
 
Bahwa pengembangan dalam teknologi, metodologi atau apapun tidak akan memberi erti apa-apa jika tidak diiringi dengan peningkatan kemampuan manusia itu sendiri.
 
Secara ringkasnya kita dapat mengatakan bahwa teknologi, metodologi dan lain-lain hanyalah  alat (tools) dan manusialah sebenarnya yang menentukan apakah ia bermanfaat atau justeru akan membawa bencana.
 
Jelaslah kepada kita vahwa ada dua aspek penting yang berkait dengan Sumber Manusia (SM) yang menjadi teras kepada kerja tarbiyah kita :
 
1.      Pembentukan keperibadian manusia.
2.      Peningkatan kemampuan manusia.
 
Kedua-duanya mesti berjalan seiring dan seimbang.
 
Jadi, intipati kepada kerja-kerja tarbiyah adalah membentuk keperibadian manusia secara bertahap sehingga menjadi peribadi yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya lalu meningkatkan kemampuannya hingga menjadi aktivis yang mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya dalam rangka mengembalikan kejayaan Islam dan kaum muslimin.
 
Di sinilah terletak persoalannya iaitu Tarbiyah hanyalah merupakan :
 
a.       Metodologi.
b.      Cara.
c.       Wasilah.
d.      Alat.
 
Manakala Tarbiyah sangat memerlukan unsur-unsur lain agar dapat diaplikasikan secara berkesan dan unsur-unsur tersebut adalah :
 
1.      'Manhaj' (Sistem).
2.      'Idarah' (Pengurusan).
3.      'Murabbi' (Pendidik).
4.      'Mutarabbi' (Anak Didik).
 
Mari kita renungkan secara lebih mendalam bagi setiap unsur-unsur ini.
 
Untuk aspek 'manhaj', kita sudahpun memilikinya bahkan untuk menjaga keasliannya dan mengikuti perkembangan di medan, 'Manhaj Tarbiyah' terus dibuat penilaian dan pengubahsuaian secara berkala. Selain itu, setiap aktivis dakwah dapat pula menggunapakai dan berinteraksi secara langsung dengan manhaj yang telah dicetak dalam bentuk tulisan.
 
Untuk aspek  'idarah' (pengurusan) pula, setiap aktivis dakwah dapat melaksanakan sistem itu dengan mudah, apalagi pengurusan ini bukanlah suatu konsep yang sukar dan rumit bagi seseorang aktivis dakwah.
 
Namun, sebagaimana yang diceritakan di awal perbahasan ini di mana, walau betapa bagus dan lengkapnya 'manhaj' atau 'idarah' yang dimiliki, ianya tidak akan bererti apa-apa jika tidak ada yang mampu dan mahu mengaplikasikannya.
 
Jadi, suka atau tidak suka, kita mesti kembali kepada pentingnya unsur manusia (dalam konteks ini adalah 'Murabbi' dan 'Mutarabbi') untuk memastikan tarbiyah berjalan dengan baik.
 
Maka, usaha mengubahsuai 'manhaj' dan 'idarah' mesti diiringi dengan usaha persiapan dan peningkatan kemampuan para 'Murabbi'.
 
Ini kerana para 'Murabbi' adalah 'Manusia Di Sebalik Manhaj dan Pengurusan' (The Man Behind The Manhaj and The Idarah).
 
Lalu, siapakah yang bertanggungjawab untuk menyelenggarakan program persiapan dan peningkatan kemampuan para 'Murabbi'?
 
Ya, jawabannya adalah struktur yang memiliki program tersebut dan siapakah yang berada dalam struktur itu?
 
Manusia jugakan?
 
Maka usaha yang mesti dilakukan juga adalah meningkatkan penguasaan mereka yang berada di dalam struktur tarbiyah (murabbi) hingga mempunyai kemampuan dan kemahuan untuk melaksanakan program yang menjadi tanggungjawabnya.
 
DI ANTARA TUGAS MURABBI
Dalam menghadapi arus kehidupan masyarakat yang berteraskan materialistik, sudah tentu bukan sesuatu yang mudah untuk tetap menjaga orientasi dakwah kita.
Itulah di antara tugas 'murabbi' di mana mereka adalah penjaga kepada dakwah ini iaitu yang :
  1. Menjaga fikrah organisasi ini agar tidak salah, keliru dan menyimpang.
  2. Menjaga uslub dakwah dengan hikmah dan 'mauizah hasanah'.
  3. Menjaga organisasi agar tidak lemah.
  4. Mewarisi semangat "sampaikan dariku, walau satu ayat" yang diwasiatkan oleh Rasulullah saw.
  5. Mewariskan dakwah ini dengan segala ketetapannya kepada generasi selepas mereka.
Selain itu, 'murabbi' akan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan iman yang ada di dalam organisasi.
Itulah yang dilakukan oleh Abu Bakar ra di mana beliau sentiasa memeriksa pasukan Islam dengan menilai keimanan mereka iaitu sejauh mana ketaatan mereka kepada Allah.
Ini adalah kerana ketika kita dan musuh sama-sama bermaksiat, maka kemenangan adalah bagi yang lebih kuat persediaan persenjataannya dan lebih banyak jumlahnya.
Begitulah juga yang dikatakan oleh Umar bin Al Khatthab :
"Yang paling aku takuti adalah dosa kamu daripada musuh kamu."
Abdullah bin Rawahah juga berkata :
"Amal solehlah yang akan mengalahkan musuh kamu."
Dengan mental seperti inilah mereka tetap 'tsabat' dan beroleh kemenangan dan perkara ini mestilah juga menjadi perhatian setiap 'murabbi'.
'Murabbi' juga mestilah memperhatikan kekuatan ikatan organisasi setelah kekuatan iman.
Urutan ini penting di mana kekuatan organisasi asasnya bukan bertumpu kepada  'idarah' (pengurusan) dan peraturan tetapi lebih berpaksikan kepada :
  1. 'Ukhuwah'.
  2. 'Tsiqah' kepada organisasi.
  3. 'Taat' kepada kepimpinan.
'Murabbi' sebagai penjaga dakwah perlu menghargai semua peraturan dan sistem dalam organisasi. Istilah jawatan yang pelbagai dalam organisasi itu hanyalah untuk memudahkan pembahagian kerja dan itu bukanlah kemuliaan yang sebenarnya.
Semua orang sama bagaikan gerigi sikat. Boleh jadi ada orang yang kusut masai, namun jika ia bersumpah dengan nama Allah, Allah swt akan mengabulkan sumpahnya.
Semua kita akan dihisab dan akan mendapat catatan amal masing-masing. Baik atau buruknya suasana kubur kita, kitalah yang menyiapkan dan menentukannya.
Demikianlah persoalan ini akan saling berkait antara satu dengan yang lain tetapi pada asasnya, faktor manusia (aktivis dakwah) sentiasa menjadi faktor yang sangat penting untuk mempengaruhi kejayaan dakwah di samping faktor alat lainnya tadi.
 
Marilah kita tengok sejarah di mana kejayaan dakwah Rasulullah saw boleh dikatakan sangat berkait dengan dukungan oleh dua faktor Sumber Manusia (SM) di samping tentu sahaja faktor bimbingan manhaj Alllah swt.
 
Faktor Pertama :
 
Baginda sendiri sebagai Sumber Manusia (SM) pertama sebagai 'Murabbi' yang handal.
 
Faktor Kedua :
 
Wujudnya Sumber Manusia (SM) kedua iaitu 'Mutarabbi'  berupa aktivis-aktivis dakwah yang berkualiti di mana dalam  istilah Sayyid Qutb, ianya disebut sebagai 'Al-Jiil Al-Qur'an Al-Fariid' (Generasi Qur'an Yang Unik).
 
Itulah Abu Bakar Ash-Shiddiq, Umar bin Al Khatthab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ammar bin Yasir, Abdullah bin Mas'ud dan banyak lagi.
 
Merekalah generasi sahabat Rasululllah saw yang mempersembahkan hidup mati mereka demi tegaknya kemuliaan Islam dan kaum Muslimin.
 
Jadi, jika kita ingin meraih kembali kemenangan dakwah, kita mesti membentuk aktivis dakwah di setiap tingkatan dan lapisannya meliputi :
 
a.       Aktivis peringkat pimpinan.
b.      Aktivis pelaksana struktur.
c.       Aktivis yang berada di tingkatan legislatif dan eksekutif.
d.      Aktivis ketua daerah.
e.       Aktivis birokrat.
f.       Aktivis profesional.
g.      Aktivis Murabbi.
h.      Aktivis Mutarabbi.
 
Semua peringkat aktivis mestilah diperkukuhkan secara terus menerus akan pentarbiyahannya di mana program-program yang berorientasikan kepada pengukuhan tarbiyah aktivis mestilah  menjadi keutamaan kita.
 
Ini semua dilakukan agar setiap aktivis dakwah memiliki kekuatan dan tenaga yang maksimum untuk melakukan kerja-kerja dakwah agar Allah swt memberikan pertolonganNya.
 
Imam Hasan Al Banna pernah berkata :
 
"Ketahuilah bahawa golongan salaf yang mulia itu tidak mendapat kemenangan melainkan dengan :
 
1.      Kekuatan iman.
2.      Kebersihan jiwa.
3.      Kesucian rohani.
4.      Amalan mereka yg bertunjangkan aqidah dan kepatuhan.
 
Maka sebatilah aqidah dan jiwa mereka dan bergaullah jiwa dan aqidah mereka maka jadilah mereka fikrah dan fikrah itu mereka."
 
Maka dengan kekuatan aktivis dakwah dan pertolongan dari Allah swt, insyaallah dakwah ini akan mampu mengembalikan kemuliaan Islam dan kaum Muslimin, Allahu Akbar!
 
Ya Allah, kurniakanlah kekuatan iman, kebersihan jiwa dan kesucian rohani kepada kami yang bertunjangkan aqidah yang benar kepadaMu sehingga ianya akan menjelma menjadi suatu fikrah yang kuat dan mantap yang akan membawa kemenangan seruan dakwahMu dengan pertolongan dariMu jua.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
 
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/



0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top