Terkini...




0

Meningkatkan Kualiti Amal


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Kekayaan seorang hamba adalah sebanding dengan ketaatannya kepada Allah dan kesungguhannya dalam menyambut seruanNya.
Keikhlasan dalam beramal merupakan asas kepada agama. Suatu perbuatan tidak akan sempurna dan membuahkan hasil yang diberkati kecuali setelah diasaskan dengan niat dan tujuan yang baik.
Dalam beberapa ayat, Allah swt telah memerintahkan manusia untuk sentiasa ikhlas.
Allah swt berfirman :
"Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya." (QS Az-Zumar : 2)
 Demikian juga firmanNya :
"Katakanlah, 'Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama." (QS Az-Zumar : 11)
Jadi, kebaikan suatu amal dinilai kerana niat yang baik, sedangkan ketulusan niat disebabkan oleh hati yang baik.
Syarat utama diterimanya suatu amalan di sisi Allah adalah :
  1. Ikhlas.
  2. 'Ittiba' (mengikuti sunnah Rasulullah saw).
Ibnu Mas'ud ra berkata :
"Suatu perkataan dan perbuatan tidak akan bermanfaat kecuali disertai niat (yang ikhlas); sedangkan perkataan, perbuatan, dan niat tersebut tidak akan bermanfaat kecuali kalau ia sesuai dengan sunnah Rasulullah saw."
Abu Umamah Al-Bahily ra berkata :
"Ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah lalu mengatakan, 'Ya Rasulullah, bagaimana menurutmu jika ada seseorang yang berperang kerana mencari pahala sekaligus nama yang harum, pahala apakah yang akan didapatkannya?'
Baginda menjawab, 'Ia tidak mendapatkan apa-apa.'
Maka orang itu mengulang lagi pertanyaannya sampai tiga kali, sedangkan Rasulullah tetap menjawab, 'Ia tidak mendapatkan apa-apa.'
Kemudian baginda bersabda, 'Sesungguhnya Allah tidak akan menerima suatu amalan kecuali jika ia diamalkan ikhlas keranaNya dan demi mencari keridhaanNya.'" (HR Abu Daud dan An-Nasa'ie)
Rasulullah saw juga bersabda :
"Allah swt berfirman, 'Aku adalah sekutu yang paling tidak memerlukan sekutu, maka barangsiapa beramal dengan menyekutukanKu dengan selainKu, niscaya akan Ku tinggalkan dia bersama sekutunya." (HR Muslim)
Suatu amalan (betapa banyak sekalipun), jika tidak dilandaskan dengan akidah yang benar hanyalah akan menjerumuskan pelakunya ke dalam neraka.
Allah swt berfirman :
"Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan." (QS Al-Furqan : 23)
KRITERIA IKHLAS
Kriteria ikhlas ialah apabila niat kita dalam beramal hanya kerana Allah semata-mata dan BUKAN kerana :
  1. Ingin dilihat oleh orang lain.
  2. Ingin supaya didengar oleh orang lain.
Jadi, kita beramal bukan kerana menunggu-nunggu pujian orang atau khuatir akan celaan mereka.
Fudhail bin 'Iyadh berkata :
"Beramal kerana manusia adalah syirik, sedangkan meninggalkan amal kerana manusia adalah riya'. Adapun ikhlas itu ialah bila Allah memelihara kamu dari keduanya."
Allah swt berfirman :
"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam." (QS Al-An'am : 162)
KESAN DARI SEBUAH KEIKHLASAN
Jika keikhlasan telah menjadi warna tunggal dari amalan seseorang, terangkatlah kedudukan orang tersebut ke tingkatan yang tinggi.
Abu Bakar bin 'Ayyasy berkata :
"Abu Bakar Ash-Shiddiq tidaklah mengungguli kita kerana banyaknya solat dan puasa, akan tetapi kerana keimanan yang tertanam dalam hatinya, dan keikhlasannya kepada Allah swt."
Amalan yang sedikit apabila berdasarkan keikhlasan, maka pahalanya akan berlipat kali ganda.
"Barangsiapa bersedekah meskipun hanya sebiji kurma dari hasil penat lelah yang halal, niscaya Allah akan menerima dengan tangan kananNya, kemudian Dia membesarkan (pahala) sedekah tersebut bagi pelakunya, seperti seseorang di antara kamu membesarkan anak kudanya hingga sedekah tersebut menjadi seperti sebuah gunung yang besar." (Muttafaq 'alaih).
Kelak, di akhirat, Allah swt pun akan menaunginya di bawah naungan 'ArsyNya.
Nabi saw bersabda :
"Ada tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka di bawah naungan 'ArsyNya…," lalu baginda saw menyebutkan di antaranya, "…dan seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah, lalu ia berusaha menutupinya hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya." (Muttafaq 'alaih).
KEBERKATAN AMAL YANG IKHLAS WALAUPUN SEDIKIT
Apabila seorang hamba mengikhlaskan niatnya lalu beramal soleh meskipun sedikit, niscaya Allah akan menerima dan melipatgandakan pahalanya.
Nabi saw bersabda :
"Sungguh aku melihat seseorang yang berguling-guling dalam syurga (begitu nikmatnya) kerana ia menyingkirkan sebatang pohon yang berada di jalan yang sentiasa mengganggu kaum muslimin yang melaluinya." (HR Muslim)
Mari kita lihat kisah seorang pelacur dari Bani Israel tatkala ia melakukan suatu amalan yang remeh dalam pandangan manusia iaitu memberi minum seekor anjing, kemudian Allah swt mengampuni dosanya kerana itu, padahal ia seorang pelacur.
Rasululullah saw bersabda :
"Suatu ketika ada seekor anjing yang berpusing-pusing di sekitar telaga, hampir sahaja ia mati kehausan. Tatkala pelacur dari Bani Israel melihatnya…maka wanita itu serta merta menanggalkan sepatunya lalu mengambil air dari telaga dengannya, dan memberi minum anjing tersebut, dan Allah pun mengampuninya kerana itu." (Muttafaq 'alaih)
MENJADI SEORANG YANG IKHLAS
Di antara perkara-perkara yang boleh menimbulkan keikhlasan ialah:
PERTAMA : DOA
Hidayah seluruhnya ada ditangan Allah swt dan hati manusia berada di dalam genggaman Allah Yang Maha Pengasih. Ia membolak-balikkannya sesuai dengan kehendakNya.
Oleh kerana itu, kembalilah kepada Zat yang seluruh hidayah berada di tanganNya dan mintalah selalu dariNya akan keikhlasan.
Umar bin Al Khatthab ra sentiasa berdoa :
"Ya Allah, jadikanlah amalku soleh semuanya, dan jadikanlah ia ikhlas keranaMu, dan janganlah Engkau jadikan untuk seseorang dari amal itu sedikit pun."
KEDUA : MENYEMBUNYIKAN AMAL
Semakin tersembunyi suatu amalan, maka semakin besar pula peluangnya untuk diterima dan semakin kuat pula untuk dilakukan dengan ikhlas.
Orang yang benar-benar ikhlas suka untuk menyembunyikan amalnya sebagaimana ia suka untuk menutupi keburukannya.
Rasulullah saw bersabda :
"Ada tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka di bawah naungan 'ArsyNya di hari tiada naungan selain naunganNya.
  1. Pemimpin yang adil.
  2. Seorang pemuda yang dibesarkan dalam suasana beribadah kepada Allah swt.
  3. Seorang laki-laki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.
  4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah; keduanya bertemu dan berpisah keranaNya.
  5. Seorang laki-laki yang diajak berzina oleh wanita yang cantik dan mempunyai kedudukan lalu (menolaknya dan) mengatakan, "Aku takut kepada Allah".
  6. Seseorang yang bersedekah dengan sesuatu lalu ia berusaha menutupinya hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.
  7. Seseorang yang mengingati Allah swt dalam keadaan sunyi lalu menitislah air matanya.
 (Muttafaq 'alaih)
KETIGA : MEMPERHATIKAN ORANG-ORANG YANG AMALANNYA LEBIH BAIK
Dalam beramal soleh, berusahalah untuk sentiasa meneladani para Nabi dan orang-orang yang soleh.
Allah swt berfirman :
"Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka. Katakanlah, 'Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan (Al-Qur'an).' Al-Qur'an itu tidak lain hanyalah peringatan untuk semua umat." (QS Al-An'am : 90)
Dengan membaca biografi orang-orang soleh dari kalangan ulama', ahli ibadah, orang-orang yang mempunyai kedudukan mulia, dan orang-orang zuhud, maka hal itu akan berkesan untuk menambah keimanan di dalam hati.
KEEMPAT : MENUMBUHKAN SIKAP KHUATIR JIKA AMAL-AMALNYA TIDAK DITERIMA
Anggap remehlah semua amal yang telah kita lakukan, kemudian berusahalah untuk sentiasa merasa khuatir jika amal-amal yang telah kita kerjakan tidak diterima.
Para salaf sering mengucapkan dalam doa mereka :
"Ya Allah, kami memohon agar Engkau mengurniakan kami amal soleh dan menjaganya."
Di antara bentuk penjagaan tersebut ialah :
  1. Hilangnya sikap kagum dan bangga terhadap amalan peribadi.
  2. Hadirkan rasa khuatir kalau-kalau amalnya tidak diterima oleh Allah swt.
KELIMA : TIDAK TERPENGARUH DENGAN UCAPAN MANUSIA
Orang yang mendapat taufik ialah orang yang tidak terpengaruh dengan pujian manusia.
Jika orang-orang memujinya ketika melakukan suatu kebaikan, maka hal tersebut justeru menjadikannya lebih tawadhu' dan takut kepada Allah swt.
Ia yakin bahwa pujian manusia hanyalah ujian belaka baginya.
Tidak ada pujian yang bermanfaat dan celaannya yang berbahaya selain yang datang dari Allah swt semata-mata.
Ya Allah, kurniakanlah keikhlasan ke dalam hati kami di dalam setiap amal yang kami lakukan. Jauhkanlah hati kami dari mengharapkan pujian dan sanjungan dari manusia kerana Engkau hanya menerima amal-amal yang tidak bercampur walau sedikitpun unsur-unsur syirik kepadaMu. Sesungguhnya kami tidak mahu amal-amal kami menjadi debu-debu yang berterbangan di akhirat nanti meskipun jumlah amal yang banyak yang kami lakukan di dunia. Terimalah amal kami yang paling ikhlas yang kami lakukan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top