Terkini...




0

Merasai Pengawasan Allah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Merasa diawasi Allah akan menjauhkan kita dari kesepian.
Sebaliknya, kita akan sentiasa :
  1. Bahagia.
  2. Dimudahkan.
  3. Dilapangkan.
bila sentiasa bersama Allah swt.

'Ar-Raqiib' adalah nama Allah yang terdapat dalam Asma'ul Husna.
Perkataan 'Ar-Raqiib' yang akar katanya terdiri dari tiga huruf iaitu ra', qaf dan ba' memiliki makna asas iaitu 'tampil tegak lurus untuk memelihara sesuatu'.
Seorang pengawas dinamakan Raqiib kerana ia tampil memerhatikan dan mengawasi untuk memelihara orang-orang yang diawasinya.

Merujuk kepada kata akar 'Ar-Raqiib', maka kepengawasan Allah tidak bertujuan untuk mencari-cari kesalahan makhlukNya seperti yang dilakukan oleh para agen perisik misalnya.
Bahkan, kepengawasanNya dimaksudkan untuk :
  1. Mengarahkan.
  2. Membimbing.
  3. Memelihara.
agar hambaNya tidak terjerumus ke arah kesesatan.

Apakah  bukti kenyataan di atas?
Ketika terdetik niat buruk dalam hati kita, maka niat tersebut tidak langsung dicatat oleh malaikat sebelum dilaksanakan dalam bentuk tindakan.
Sebaliknya, sebuah niat yang baik, walaupun belum dilaksanakan, sudah mendapat satu pahala.
Ketika dilaksanakan, maka pahalanya sepuluh kali ganda atau lebih.

Boleh jadi kita ingin berbuat maksiat. Namun kerana kasih sayangNya, Allah swt menggagalkannya. Banyak jalan dan cara bagi Allah untuk menggagalkan niat buruk kita.
Senario 1 :
Ada sesetengah manusia yang mahu keluar bersama teman wanitanya tapi tiba-tiba kenderaannya rosak.
Senario 2 :
Ada sesetengah pula yang ingin berjudi, tiba-tiba wang dalam dompetnya hilang dicuri orang.
Semua contoh-contoh di atas bukanlah kerana kebetulan bahkan ianya berlaku kerana Allah berkehendak melindungi kita dari maksiat.

Allah Maha Tahu isi hati dan fikiran manusia. Allah Maha Tahu segala risiko dari apa yang kita cita-citakan.
Mungkin ia baik menurut pandangan kita tapi belum tentu baik di sisi Allah.

Bagaimanakah kita perlu bersikap dengan sifat 'Ar Raqiib' ini?

PERTAMA : BERZIKIRLAH KEPADA ALLAH.

Perbanyakkanlah zikrullah di samping ucapan dalam hati kita ;
  1. Allah menatapku.
  2. Allah melihatku.
  3. Allah mengawasi.
  4. Allah mendengarkanku.
Semakin kita merasa diawasi, semakin diri kita terpelihara.
Merasa diawasiNya mestilah lengkap meliputi hati dan pancaindera. Boleh juga kita amalkan
wirid Ar-Raqiib, Ar-Raqiib misalnya.

KEDUA : MULAI AWASI DIRI KITA.

Apa yang mesti kita awasi?

1. Suasana hati.

Setiap amal bergantung pada niat. Sehebat apa pun amal, kalau niatnya tidak lurus tidak akan bererti.
  1. Betulkan niat kita bekerja untuk mencari ridha Allah kerana menurut Saiyidina Ali ra, orang yang bekerja hanya untuk perut, maka darjatnya tidak jauh berbeza dengan yang keluar dari perut tersebut.
  2. Betulkan niat melayani suami atau isteri untuk ibadah, jangan sekadar ingin menyenangkan hati pasangan semata-mata.
Segala-galanya mesti ikhlas kerana Allah.
Jaga dan awasi niat kita samada :
  1. Di awal.
  2. Di tengah.
  3. Di akhir.
Belajarlah berhenti sejenak untuk berfikir sebelum bertindak.

2. Pancaindera.

a. Awasi lisan kita. Sesiapa pun yang pandai menjaga lisannya pasti akan selamat dunia dan akhirat.
Ucapan kita mesti ada ciri-ciri Benar, Manfaat, Tidak Menyakiti, Tenang, Sopan, Fasih, Akur, Lembut dan Secukupnya.
  1. Jangan melakukan tindakan yang boleh merosakkan suasana sekeliling.
  2. Jangan berbual-bual yang boleh membuatkan suasana tidak enak.
b. Awasi pula setiap jelingan mata kerana mata akan mempengaruhi suasana hati. Jika mata tidak terkendali, hati juga akan turut merasai kesannya.

c. Awasi pendengaran kita. Berjuanglah agar telinga tidak dimasuki kata- kata yang kotor, mengumpat, musik-musik maksiat dan sejenisnya.
Sebagaimana mata, pendengaran yang tidak terjaga adalah berpotensi untuk mengotori hati dan merampas kebahagiaan.

3. Perut dan anggota badan lainnya.
Awasi jangan sampai kita menggunakan dan memakan barangan yang haram.
Kalau membeli makanan pastikan kehalalan atau keharamannya. Jika hendak makan di
restoran, lihat apa jenis restorannya. Cuba hindarkan diri dari perkara yang boleh membawa kepada pembaziran.

Awasilah semua yang ada pada diri kita termasuk fikiran kita kerana dengan cara ini insyaAllah hidup kita akan lebih terkawal.
Adalah suatu yang sungguh luar biasa apabila Allah swt  mengawasi kita dan kita pun turut mengawasi diri kita sendiri dan inilah sebenarnya salah satu dari ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk merasai bahwa Engkau sentiasa mengawasi setiap apa yang berlaku kepada diri kami termasuklah niat-niat yang halus yang tidak diketahui oleh manusia tetapi diperhatikan dengan teliti olehMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top