Terkini...




0

Bangunkan Amal Sunnah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Jika kita melihat kepada perjalanan hidup para sahabat radiallahu anhum, maka kita akan nampak bagaimana mereka sentiasa menjaga terhadap perkara-perkara yang sunnah, bahkan berhati-hati terhadap perkara yang mubah kerana :
 
  1. Cinta mereka yang begitu tinggi kepada Allah swt.
  2. Takut terjerumus pada perkara-perkara yang dimurkai Allah swt.
 
Kita membaca seorang sahabat yang mulia Abu Salamah ra yang memiliki kebiasaan setiap pulang dari majlis Rasulullah saw di malam hari, sentiasa membangunkan isterinya untuk bersegera menceritakan 'hadiah' berupa cahaya wahyu Al-Qur'an yang baru diterimanya.
 
Kita juga melihat bagaimana sahabat Umar ra menginfakkan kebunnya yang disayanginya di Madinah hanya kerana tertinggal takbiratul-ihram dalam solat berjamaah dan lain-lain.

SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA PENGABAIAN

PERTAMA : DIKOTORI OLEH KEMAKSIATAN
 
Kemaksiatan, walau sekecil manapun adalah berbahaya. Bukankah Nabi saw bersabda :
"Apabila seorang hamba berbuat dosa, maka diberikan titik hitam dalam hatinya…".
 
Maka janganlah melihat kecilnya sebuah maksiat, tapi lihat kepada siapa maksiat itu diarahkan?!

Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya meriwayatkan dari Ibnu Abbas ra bahwa makna "Hajrul-Qur'an" (meninggalkan Al-Qur'an) dalam surah Al-Furqan bukan hanya bererti tidak membaca, melainkan juga tidak mahu menghafal dan mengamalkan Al-Qur'an. Maka saat kita ditimpa musibah berat, jangan bersedih kerana kemungkinan ianya berkadaran dengan sedmikian banyaknya dosa kita.

Kita tidak perlu putus asa kerana jika bertaubat insyaAllah akan dihapuskan dosa tersebut oleh Allah swt sebagaimana kata para ulama' : "La Kaba'ir ma'al Istighfar, wala Shagha'ir ma'al Istimrar (Tidak ada dosa besar dengan istighfar dan tidak ada dosa kecil dengan berterusan melakukannya).

KEDUA : BERLEBIH-LEBIHAN DALAM PERKARA YANG MUBAH (HARUS)
 
Memang perkara yang mubah adalah dibenarkan tapi jika berlebihan maka ianya dapat merosakkan amal atau minimanya menyia-nyiakan waktu yang sangat berharga.
 
Dalam Kitab At-Tauhid, Imam Ibnul Qayyim menyebutkan bahwa pintu masuk syaitan yang terakhir adalah pintu ini setelah pintu murtad, pintu syirik, pintu bid'ah, pintu kufur, pintu maksiat dan pintu makruh.

KETIGA : TIDAK SEDAR AKAN NILAI NIKMAT ALLAH
 
Dalam Al Qur'an surah Ibrahim ayat 34 disebutkan tentang demikian banyaknya limpahan nikmatNya pada diri kita :
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungkannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."
 
Begitu juga dalam surah Al-Kautsar ayat 1 :
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.."
 
Manakala dalam surah Ar Rahman ayat 13 pula :
"Maka nikmat Rabb-mu yang mana lagi yang akan kamu dustakan (dengan tidak bersyukur/beribadah)?"
 
Rasulullah saw bersabda : "Sampai-sampai kita masuk syurgapun kerana nikmatNya dan bukan kerana amal kita." (HR Bukhari dan Muslim)

KEEMPAT : LALAI TENTANG KEPERLUAN KITA TERHADAP AMAL-AMAL TERSEBUT
 
Di antara manfaat istighfar adalah menambah kekuatan fizikal, rezeki dan sebagainya sepertimana dalam surah Nuh ayat 10 -13 : "M
aka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?".

Jika kita ingin diingati oleh Allah swt maka kita terlebih dahulu mesti ingat padaNya (Fadzkuruni adzkurkum...).

Fenomena biasa di antaranya ialah banyak menyia-nyiakan waktu, menunda-nunda atau bahkan sampai tidak tahu apa yang akan dikerjakan lagi.

KELIMA : LEMAHNYA KEFAHAMAN YANG BENAR TENTANG HAKIKAT PAHALA YANG BERLIPAT GANDA
 
Di antara amal yang paling dicintai oleh Allah swt adalah yang berterusan walaupun sedikit.

Nabi saw, jika ada waktu istirehat maka istirehat baginda saw adalah semasa melakukan solat (Arihna ya Bilal bish Solat...).

KEENAM : MELUPAKAN KEMATIAN DAN APA YANG MENANTI SELEPASNYA
 
 Allah mengingatkan kita untuk sentiasa mempersiapkan bekalan untuk selepas mati.
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(QS Al Hasyr : 18)

 Sayyidina Ali ra berkata : "Solatlah kamu seperti solatnya seorang yang akan meninggalkan dunia."

Abu Bakar ra berpesan kepada Aisyah ra : "Dan jika aku sudah meninggal, maka kafanilah aku dengan kain yang paling murah, kerana ia hanya akan menjadi wadah nanah dan darah."

Umar Abdul Aziz rahimahullah jika membaca atau mendengar surah As Shaffaat ayat 24 :
"Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya.."
 
Maka ia pun menangis dengan kuat.

KETUJUH : MENGIRA AMALNYA SUDAH CUKUP
 
Dicela oleh Allah swt dalam surah Al A'raaf ayat 188 :
"Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Nabi saw saat turunnya surah Hud, Waqi'ah, An Naba' dan Takwir sehingga sampai beruban rambutnya.

KELAPAN : TERLALU BANYAK TUGAS DAN PEKERJAAN
 
Perlu ada kesimbangan seperti kisah Salman dan Abu Zar ra.

Nabi saw membahagi waktunya dalam 3 bahagian :
 
a.       1/3 untuk Rabbnya.
b.      1/3 untuk keluarganya.
c.       1/3 untuk ummatnya.
 
KESEMBILAN : DITUNDA-TUNDA DAN DINANTI-NANTI
 
Sabda Nabi saw : "Persiapkanlah yang 5 sebelum datang yang 5 : Masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sehatmu sebelum masa sakitmu, masa luangmu sebelum masa sibukmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, dan masa hidupmu sebelum masa matimu."

Orang yang kuat menurut Umar ra adalah orang bersegera dalam setiap amal.

KESEPULUH : MENYAKSIKAN SEBAHAGIAN IKUTAN DALAM KEADAAN PENGABAIAN
 
Imam Ghazali menyebutkan bahwa salah satu dosa kecil yang boleh menjadi dosa besar adalah dosa kecil yang dilakukan oleh ulama' kerana ianya boleh mengakibatkannya ditiru oleh orang lain.

Oleh yang demikian, Nabi saw begitu menekankan disiplin pada keluarganya (Fatimah ra, Ali ra, Hasan dan Husein ra) sebelum orang lain.

KESAN TERHADAP PERIBADI PARA AKTIVIS DAKWAH

PERTAMA : TIMBULNYA KEGONCANGAN DAN KETIDAKTENANGAN JIWA
 
Setiap penyimpangan pasti akan menimbulkan kegelisahan dan setiap pengabaian akan memberi kesan sehingga boleh menimbulkan tekanan dan kegoncangan.
"Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". (QS Thaha :  124)

Berlakunya personaliti terpisah di mana ianya berbeza saat bersama-sama dengan saudaranya dalam dakwah dan saat ia menyendiri.

KEDUA : MALAS MELAKSANAKAN KEWAJIBAN ATAU BAHKAN TERPUTUS
 
Timbulnya kemalasan beribadah sehingga ke peringkat tercabutnya nikmat ibadah oleh Allah swt.

Kekuatan seorang pendakwah ada pada ibadahnya dan ketika ianya dicabut maka tidak ada lagi bezanya ia dengan para musuh Allah swt.

KETIGA : MULAI BERANI BERBUAT MAKSIAT
 
Asalnya maksiat kecil dan secara sembunyi-sembunyi sehingga pada dosa besar.
 
"Laisal kaba'ir bil istighfar wa laisa shagha'ir bil istimrar." (Tidak ada dosa besar jika diikuti taubat, dan tidak ada dosa kecil jika dilakukan terus-menerus)."

Jangan sampai merasakan nikmat bermaksiat, na'udzu billah..

KEEMPAT : MENURUN DAN MELEMAHNYA FIZIKAL DAN MENTALNYA
 
Ibadah akan menambah kekuatan fizikal dan mentalnya.
"Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa."  (QS Hud : 52)
 
Fatimah ra di saat merasa berat pekerjaannya diberi resepi oleh ayahandanya Kekasih Allah swt : tasbih, tahmid, takbir (masing-masing 10 kali sebelum tidur).

KELIMA : DIHARAMKAN DARI PERTOLONGAN DAN TAUFIQ ILAHI
 
Sebagaimana dalam Al Qur'an :
"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan." QS An Nahl : 128)

Samada dalam kehidupan peribadinya ataupun ummat secara keseluruhan, sebagaimana kata Umar ra : "Kamu ditolong Allah bukan kerana jumlah kamu, tetapi kerana kesucian kamu, maka jika kamu bermaksiat, tidak ada lagi perbezaan kamu dengan musuh kamu disisi Allah swt."

KEENAM : HILANGNYA KEWIBAWAAN DAN PENGARUH DI HADAPAN UMMAT LAIN
 
Sabda Nabi saw : "Kelak datang suatu masa dimana kamu seperti makanan dalam hidangan di hadapan orang-orang yang lapar…Jumlah kamu saat itu sangat banyak, namun kualiti kamu bagaikan buih yang terbawa oleh banjir)."

Salah satu keistimewaan ummat Nabi Muhammad saw adalah diberikan rasa takut musuh sejauh sebulan perjalanan.
 
Sabda Nabi saw lagi : "Takutlah kamu dengan banyak ketawa, kerana akan memberi kesan kepada matinya hati kamu dan hilangnya cahaya khusyu' di wajah kamu."

KESAN TERHADAP SEBUAH KELOMPOK DAKWAH


PERTAMA : SEMAKIN JAUHNYA KEMENANGAN DITAMBAH BANYAKNYA HALANGAN DALAMAN
 
Ketika sebuah kelompok dakwah bersikap lalai terhadap 'amal yaumiyyah'  ini, maka akan semakin melambatkan datangnya 'nashrullah' (pertolongan Allah) sehingga aktiviti sesuatu kelompok itu seolah-olah berputar di tempat yang sama di samping tidak ada kemajuan yang bererti.

Selain itu, datang berbagai halangan yang disebabkan faktor dalaman kerana :
a.       Lemahnya azam.
b.      Sikap tidak berdisiplin.
c.       Kurangnya jiwa berkorban.
d.      Menurunnya sifat taat.
 
di kalangan para pendukung kelompok dakwah tersebut.

KEDUA : TIDAK ADANYA KETEGUHAN SAAT DITIMPA UJIAN DAN RINTANGAN
 
1.Saat datangnya ujian maka para aktivis dakwah akan berguguran seperti daun kering ditiup angin kerana rendahnya kualiti keimanan dan lemahnya hubungan dengan Allah swt di kalangan aktivis-aktivis dalam kelompok dakwah tersebut.  
 
2.Saat datangnya rintangan maka aktivis-aktivis dalam kelompok dakwah tersebut akan lebih mengutamakan dunia dan meninggalkan amal dakwah, kerana :
 
a.       lemahnya kekuatan ruhiyyah mereka.
b.      Berlaku perebutan kekuasaan.
c.       Irihati dan hasad yang semuanya akan menjadi api dalam sekam yang sewaktu-waktu siap untuk memusnahkan kelompok dakwah tersebut.
 
Kesemua kesan-kesan di atas akan memukul ke belakang kelompok dakwah tersebut, bahkan sehingga mampu memporak-porandakannya.
 
Perjalanan dakwah adalah perjalanan yang panjang, berat dan sukar kerana ia merupakan tugas terberat yang dipikul oleh manusia iaitu para Nabi as, oleh yang demikian, ia memerlukan aktivis-aktivis yang teruji.
 
 Orang-orang yang mudah terluka oleh duri dan tergores oleh kerikil kecil akan dibersihkan dari saf para mujahid :
 
"Dan agar Allah membersihkan saf orang-orang yang beriman dan menjadikan sebahagian dari mereka menjadi syuhada'..)."

Oleh kerana itu, para aktivis dakwah tersebut mesti benar-benar mengikuti proses pembinaan yang serius dan berterusan bagi :
 
a.       Mematangkan fikrah dan mentalnya.
b.      Melaksanakan kewajiban-kewajiban dan tugas-tugas yang diperintahkan oleh Allah swt dan Rasul saw.
c.       Meningkatkan kualiti dan keteguhannya demi memikul amanah yang amat berat ini.
"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah dakwah ini kepada langit, bumi dan gunung-gunung, tetapi mereka semuanya menolaknya kerana takut mengkhianatinya. lalu amanah itu diterima oleh manusia."
 
Tidak ada jalan lain bagi mengatasi semua ini melainkan dengan :
 
a.      Melakukan introspeksi (muhasabah) ke atas berbagai faktor penyebab di atas.
b.      Bertaubat dan kembali melaksanakan 'amal yaumiyyah'.
c.       Mengikuti pembinaan yang berterusan.
d.      Bertawakkal kepada Allah swt
 
Ya Allah, kami memohon keteguhan dariMu untuk kami istiqamah di atas jalanMu yang lurus dengan berpegang teguh dengan amalan-amalan harian berdasarkan sunnah NabiMu saw. Jadikanlah perlaksanaan amalan-amalan tersebut sebagai 'asbab' untuk kami mendapat pertolongan dan kemenangan dariMu serta layak untuk dimasukkan ke dalam kelompok para 'junud' dan 'anshar'Mu.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top