Terkini...




0

Bangunkan Amal Sunnah


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Jika kita melihat kepada perjalanan hidup para sahabat radiallahu anhum, maka kita akan nampak bagaimana mereka sentiasa menjaga terhadap perkara-perkara yang sunnah, bahkan berhati-hati terhadap perkara yang mubah kerana :
 
  1. Cinta mereka yang begitu tinggi kepada Allah swt.
  2. Takut terjerumus pada perkara-perkara yang dimurkai Allah swt.
 
Kita membaca seorang sahabat yang mulia Abu Salamah ra yang memiliki kebiasaan setiap pulang dari majlis Rasulullah saw di malam hari, sentiasa membangunkan isterinya untuk bersegera menceritakan 'hadiah' berupa cahaya wahyu Al-Qur'an yang baru diterimanya.
 
Kita juga melihat bagaimana sahabat Umar ra menginfakkan kebunnya yang disayanginya di Madinah hanya kerana tertinggal takbiratul-ihram dalam solat berjamaah dan lain-lain.

SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA PENGABAIAN

PERTAMA : DIKOTORI OLEH KEMAKSIATAN
 
Kemaksiatan, walau sekecil manapun adalah berbahaya. Bukankah Nabi saw bersabda :
"Apabila seorang hamba berbuat dosa, maka diberikan titik hitam dalam hatinya…".
 
Maka janganlah melihat kecilnya sebuah maksiat, tapi lihat kepada siapa maksiat itu diarahkan?!

Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya meriwayatkan dari Ibnu Abbas ra bahwa makna "Hajrul-Qur'an" (meninggalkan Al-Qur'an) dalam surah Al-Furqan bukan hanya bererti tidak membaca, melainkan juga tidak mahu menghafal dan mengamalkan Al-Qur'an. Maka saat kita ditimpa musibah berat, jangan bersedih kerana kemungkinan ianya berkadaran dengan sedmikian banyaknya dosa kita.

Kita tidak perlu putus asa kerana jika bertaubat insyaAllah akan dihapuskan dosa tersebut oleh Allah swt sebagaimana kata para ulama' : "La Kaba'ir ma'al Istighfar, wala Shagha'ir ma'al Istimrar (Tidak ada dosa besar dengan istighfar dan tidak ada dosa kecil dengan berterusan melakukannya).

KEDUA : BERLEBIH-LEBIHAN DALAM PERKARA YANG MUBAH (HARUS)
 
Memang perkara yang mubah adalah dibenarkan tapi jika berlebihan maka ianya dapat merosakkan amal atau minimanya menyia-nyiakan waktu yang sangat berharga.
 
Dalam Kitab At-Tauhid, Imam Ibnul Qayyim menyebutkan bahwa pintu masuk syaitan yang terakhir adalah pintu ini setelah pintu murtad, pintu syirik, pintu bid'ah, pintu kufur, pintu maksiat dan pintu makruh.

KETIGA : TIDAK SEDAR AKAN NILAI NIKMAT ALLAH
 
Dalam Al Qur'an surah Ibrahim ayat 34 disebutkan tentang demikian banyaknya limpahan nikmatNya pada diri kita :
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungkannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)."
 
Begitu juga dalam surah Al-Kautsar ayat 1 :
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.."
 
Manakala dalam surah Ar Rahman ayat 13 pula :
"Maka nikmat Rabb-mu yang mana lagi yang akan kamu dustakan (dengan tidak bersyukur/beribadah)?"
 
Rasulullah saw bersabda : "Sampai-sampai kita masuk syurgapun kerana nikmatNya dan bukan kerana amal kita." (HR Bukhari dan Muslim)

KEEMPAT : LALAI TENTANG KEPERLUAN KITA TERHADAP AMAL-AMAL TERSEBUT
 
Di antara manfaat istighfar adalah menambah kekuatan fizikal, rezeki dan sebagainya sepertimana dalam surah Nuh ayat 10 -13 : "M
aka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?".

Jika kita ingin diingati oleh Allah swt maka kita terlebih dahulu mesti ingat padaNya (Fadzkuruni adzkurkum...).

Fenomena biasa di antaranya ialah banyak menyia-nyiakan waktu, menunda-nunda atau bahkan sampai tidak tahu apa yang akan dikerjakan lagi.

KELIMA : LEMAHNYA KEFAHAMAN YANG BENAR TENTANG HAKIKAT PAHALA YANG BERLIPAT GANDA
 
Di antara amal yang paling dicintai oleh Allah swt adalah yang berterusan walaupun sedikit.

Nabi saw, jika ada waktu istirehat maka istirehat baginda saw adalah semasa melakukan solat (Arihna ya Bilal bish Solat...).

KEENAM : MELUPAKAN KEMATIAN DAN APA YANG MENANTI SELEPASNYA
 
 Allah mengingatkan kita untuk sentiasa mempersiapkan bekalan untuk selepas mati.
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(QS Al Hasyr : 18)

 Sayyidina Ali ra berkata : "Solatlah kamu seperti solatnya seorang yang akan meninggalkan dunia."

Abu Bakar ra berpesan kepada Aisyah ra : "Dan jika aku sudah meninggal, maka kafanilah aku dengan kain yang paling murah, kerana ia hanya akan menjadi wadah nanah dan darah."

Umar Abdul Aziz rahimahullah jika membaca atau mendengar surah As Shaffaat ayat 24 :
"Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya.."
 
Maka ia pun menangis dengan kuat.

KETUJUH : MENGIRA AMALNYA SUDAH CUKUP
 
Dicela oleh Allah swt dalam surah Al A'raaf ayat 188 :
"Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".

Nabi saw saat turunnya surah Hud, Waqi'ah, An Naba' dan Takwir sehingga sampai beruban rambutnya.

KELAPAN : TERLALU BANYAK TUGAS DAN PEKERJAAN
 
Perlu ada kesimbangan seperti kisah Salman dan Abu Zar ra.

Nabi saw membahagi waktunya dalam 3 bahagian :
 
a.       1/3 untuk Rabbnya.
b.      1/3 untuk keluarganya.
c.       1/3 untuk ummatnya.
 
KESEMBILAN : DITUNDA-TUNDA DAN DINANTI-NANTI
 
Sabda Nabi saw : "Persiapkanlah yang 5 sebelum datang yang 5 : Masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sehatmu sebelum masa sakitmu, masa luangmu sebelum masa sibukmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, dan masa hidupmu sebelum masa matimu."

Orang yang kuat menurut Umar ra adalah orang bersegera dalam setiap amal.

KESEPULUH : MENYAKSIKAN SEBAHAGIAN IKUTAN DALAM KEADAAN PENGABAIAN
 
Imam Ghazali menyebutkan bahwa salah satu dosa kecil yang boleh menjadi dosa besar adalah dosa kecil yang dilakukan oleh ulama' kerana ianya boleh mengakibatkannya ditiru oleh orang lain.

Oleh yang demikian, Nabi saw begitu menekankan disiplin pada keluarganya (Fatimah ra, Ali ra, Hasan dan Husein ra) sebelum orang lain.

KESAN TERHADAP PERIBADI PARA AKTIVIS DAKWAH

PERTAMA : TIMBULNYA KEGONCANGAN DAN KETIDAKTENANGAN JIWA
 
Setiap penyimpangan pasti akan menimbulkan kegelisahan dan setiap pengabaian akan memberi kesan sehingga boleh menimbulkan tekanan dan kegoncangan.
"Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". (QS Thaha :  124)

Berlakunya personaliti terpisah di mana ianya berbeza saat bersama-sama dengan saudaranya dalam dakwah dan saat ia menyendiri.

KEDUA : MALAS MELAKSANAKAN KEWAJIBAN ATAU BAHKAN TERPUTUS
 
Timbulnya kemalasan beribadah sehingga ke peringkat tercabutnya nikmat ibadah oleh Allah swt.

Kekuatan seorang pendakwah ada pada ibadahnya dan ketika ianya dicabut maka tidak ada lagi bezanya ia dengan para musuh Allah swt.

KETIGA : MULAI BERANI BERBUAT MAKSIAT
 
Asalnya maksiat kecil dan secara sembunyi-sembunyi sehingga pada dosa besar.
 
"Laisal kaba'ir bil istighfar wa laisa shagha'ir bil istimrar." (Tidak ada dosa besar jika diikuti taubat, dan tidak ada dosa kecil jika dilakukan terus-menerus)."

Jangan sampai merasakan nikmat bermaksiat, na'udzu billah..

KEEMPAT : MENURUN DAN MELEMAHNYA FIZIKAL DAN MENTALNYA
 
Ibadah akan menambah kekuatan fizikal dan mentalnya.
"Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepadaNya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa."  (QS Hud : 52)
 
Fatimah ra di saat merasa berat pekerjaannya diberi resepi oleh ayahandanya Kekasih Allah swt : tasbih, tahmid, takbir (masing-masing 10 kali sebelum tidur).

KELIMA : DIHARAMKAN DARI PERTOLONGAN DAN TAUFIQ ILAHI
 
Sebagaimana dalam Al Qur'an :
"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan." QS An Nahl : 128)

Samada dalam kehidupan peribadinya ataupun ummat secara keseluruhan, sebagaimana kata Umar ra : "Kamu ditolong Allah bukan kerana jumlah kamu, tetapi kerana kesucian kamu, maka jika kamu bermaksiat, tidak ada lagi perbezaan kamu dengan musuh kamu disisi Allah swt."

KEENAM : HILANGNYA KEWIBAWAAN DAN PENGARUH DI HADAPAN UMMAT LAIN
 
Sabda Nabi saw : "Kelak datang suatu masa dimana kamu seperti makanan dalam hidangan di hadapan orang-orang yang lapar…Jumlah kamu saat itu sangat banyak, namun kualiti kamu bagaikan buih yang terbawa oleh banjir)."

Salah satu keistimewaan ummat Nabi Muhammad saw adalah diberikan rasa takut musuh sejauh sebulan perjalanan.
 
Sabda Nabi saw lagi : "Takutlah kamu dengan banyak ketawa, kerana akan memberi kesan kepada matinya hati kamu dan hilangnya cahaya khusyu' di wajah kamu."

KESAN TERHADAP SEBUAH KELOMPOK DAKWAH


PERTAMA : SEMAKIN JAUHNYA KEMENANGAN DITAMBAH BANYAKNYA HALANGAN DALAMAN
 
Ketika sebuah kelompok dakwah bersikap lalai terhadap 'amal yaumiyyah'  ini, maka akan semakin melambatkan datangnya 'nashrullah' (pertolongan Allah) sehingga aktiviti sesuatu kelompok itu seolah-olah berputar di tempat yang sama di samping tidak ada kemajuan yang bererti.

Selain itu, datang berbagai halangan yang disebabkan faktor dalaman kerana :
a.       Lemahnya azam.
b.      Sikap tidak berdisiplin.
c.       Kurangnya jiwa berkorban.
d.      Menurunnya sifat taat.
 
di kalangan para pendukung kelompok dakwah tersebut.

KEDUA : TIDAK ADANYA KETEGUHAN SAAT DITIMPA UJIAN DAN RINTANGAN
 
1.Saat datangnya ujian maka para aktivis dakwah akan berguguran seperti daun kering ditiup angin kerana rendahnya kualiti keimanan dan lemahnya hubungan dengan Allah swt di kalangan aktivis-aktivis dalam kelompok dakwah tersebut.  
 
2.Saat datangnya rintangan maka aktivis-aktivis dalam kelompok dakwah tersebut akan lebih mengutamakan dunia dan meninggalkan amal dakwah, kerana :
 
a.       lemahnya kekuatan ruhiyyah mereka.
b.      Berlaku perebutan kekuasaan.
c.       Irihati dan hasad yang semuanya akan menjadi api dalam sekam yang sewaktu-waktu siap untuk memusnahkan kelompok dakwah tersebut.
 
Kesemua kesan-kesan di atas akan memukul ke belakang kelompok dakwah tersebut, bahkan sehingga mampu memporak-porandakannya.
 
Perjalanan dakwah adalah perjalanan yang panjang, berat dan sukar kerana ia merupakan tugas terberat yang dipikul oleh manusia iaitu para Nabi as, oleh yang demikian, ia memerlukan aktivis-aktivis yang teruji.
 
 Orang-orang yang mudah terluka oleh duri dan tergores oleh kerikil kecil akan dibersihkan dari saf para mujahid :
 
"Dan agar Allah membersihkan saf orang-orang yang beriman dan menjadikan sebahagian dari mereka menjadi syuhada'..)."

Oleh kerana itu, para aktivis dakwah tersebut mesti benar-benar mengikuti proses pembinaan yang serius dan berterusan bagi :
 
a.       Mematangkan fikrah dan mentalnya.
b.      Melaksanakan kewajiban-kewajiban dan tugas-tugas yang diperintahkan oleh Allah swt dan Rasul saw.
c.       Meningkatkan kualiti dan keteguhannya demi memikul amanah yang amat berat ini.
"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah dakwah ini kepada langit, bumi dan gunung-gunung, tetapi mereka semuanya menolaknya kerana takut mengkhianatinya. lalu amanah itu diterima oleh manusia."
 
Tidak ada jalan lain bagi mengatasi semua ini melainkan dengan :
 
a.      Melakukan introspeksi (muhasabah) ke atas berbagai faktor penyebab di atas.
b.      Bertaubat dan kembali melaksanakan 'amal yaumiyyah'.
c.       Mengikuti pembinaan yang berterusan.
d.      Bertawakkal kepada Allah swt
 
Ya Allah, kami memohon keteguhan dariMu untuk kami istiqamah di atas jalanMu yang lurus dengan berpegang teguh dengan amalan-amalan harian berdasarkan sunnah NabiMu saw. Jadikanlah perlaksanaan amalan-amalan tersebut sebagai 'asbab' untuk kami mendapat pertolongan dan kemenangan dariMu serta layak untuk dimasukkan ke dalam kelompok para 'junud' dan 'anshar'Mu.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

IKRAM Daerah Kuala Langat + An-Naim Educare : Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1432H/2011M

Salam Ikhwah/Akhawat,
 
Insyaallah sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini, iaitu anjuran bersama IKRAM Daerah Kuala Langat dan An-Naim Educare (Tadika/Taska Islam Naim, Tadika Sinar Pintar) akan di adakan pada 11 September 2011 (Ahad).
 
Berikut ini ialah maklumat tambahan;
 
Tarikh:   11hb September 2011 ( 9/11), Ahad
Masa:     9.30 pagi - 11 pagi
Tempat:  Tadika Islam Naim Bukit Jati, Kg. Jawa, Klang
Kehadiran: Ibubapa, Staff An-Naim, Ahli IKRAM Daerah Kuala Langat & Keluarga, Rakan-Rakan Ahli, Anak-Anak Usrah.
Pakaian:    Pakaian Raya
Makanan: "Pot Luck", Di-alu alukan penajaan (sponsor) makanan daripada individu/syarikat.
 
Insyaallah, YDP IKRAM Daerah Kuala Langat, Ustaz Asmadi Mustakim akan menyampaikan tazkirah berkenaan Pendidikan Anak-Anak / Motivasi Keibubapaan.
Program ini adalah merupakan aktiviti Rabtul Am IKRAM Daerah Kuala Langat.
 
SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN
 
Jzkk + Wasalam
Rosdin Anang
PSU IKRAM Daerah Kuala Langat
JK Lembaga Tadbir An-Naim
0

Manusia Selepas Ramadhan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Malam-malam kita tidak lagi seperti sebulan yang lepas, yang syahdu di bawah lantunan kalam Ilahi dari para imam-imam tarawih.
Penghujung malam kita pun tidak seperti sebelumnya lagi, yang larut dalam tahajjud panjang, lalu menggamit keberkatan sahur, sambil berzikir dan beristighfar di sela-sela sisa waktunya.
Saat waktu Subuh tiba, saf-saf di masjid terlihat lebih padat dibandingkan waktu Subuh di luar Ramadhan. Selepas solat, sebahagian makmum lebih memilih untuk duduk berzikir menanti waktu syuruq, mereka berlumba-lumba mengejar pahala haji dan umrah yang disempurnakan dengan mengerjakan solat sunat dua rakaat.
Solat kita pun tidak segagah di bulan Ramadhan lagi di mana kita lebih bersemangat memburu lima waktu berjamaah di masjid. Mengejar untuk mengkhatamkan Al Qur'an berulang kali, berlama-lama di masjid untuk satu, dua atau bahkan tiga juz Al Qur'an setiap hari.
Suasana petang hari kita tidak lagi disibukkan dengan zikir petang dan doa. Sebelum ini kita larut dalam detik mustajab menjelang masuknya waktu Maghrib, menikmati dua ganjaran kebahagiaan; bahagia kerana berbuka dan bahagia kerana puasa kita menjadi 'wasilah bertemu' dengan Allah swt.
Setelah semua keindahan suasana itu berlalu, lantas bagaimana dengan hari ini, selepas Ramadhan?
Bukankah Rabb yang menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda selama Ramadhan juga adalah Rabb yang sama ketika di luar Ramadhan?
Ada kata-kata yang menarik yang menyedarkan kita akan perkara ini :
"Kun rabbâniyyan, wa lâ takun ramadhâniyyan" (Jadilah hamba Rabbani bukan hamba di bulan Ramadhan)
Jangan menjadi manusia Ramadhan, yang kuat ibadahnya kerana berada di bulan Ramadhan sahaja, kerana setelah bulan itu berlalu, ia tidak akan mengalami perubahan hidup untuk menjadi lebih bertaqwa.
Namun jadilah manusia selepas Ramadhan yang :
  1. Memiliki nilai keperibadian diri.
  2. Merasai perhambaan kepada Allah yang tidak kenal henti.
  3. Bertakwa tanpa batas.
  4. Menepati sasaran yang diharapkan dari penggembelengan yang dilakukan selama sebulan.
  5. Nilai ibadahnya terus meningkat sekali pun ia telah berada di luar bulan Ramadhan.
Para sahabat menyiapkan diri mereka selama enam bulan untuk menyambut kehadiran tamu agung bernama Ramadhan.
Pastinya mereka bermati-matian untuk beribadah sepenuh masa selama sebulan penuh itu seumpama bertemu dengan seorang yang dirindui di mana kita ingin berlama-lamaan bersama dengannya, menjamu, memberinya layanan sebaik mungkin dan sudah tentunya kita akan merasakan kesedihan yang amat sangat ketika perlu berpisah dengannya.
Perkara yang sama dirasakan oleh para sahabat Nabi di penghujung Ramadhan di mana mereka tidak gembira dengan baju baru, kueh-mueh dan makanan sempena Aidil Fitri sepertimana masyarakat secara umumnya menyambut, tapi mereka justeru bersedih kerana tamu agung itu sudah pergi meninggalkan mereka.
Mâ ba'da Ramadhân? (Apakah agenda selepas Ramadhan)?
Inilah masa-masa yang paling mencemaskan bagi para sahabat Nabi. Mereka takut akan amalan yang tertolak di mana puasa, qiyam yang panjang, tilawah yang berulang kali khatam, infak harta, pengorbanan jiwa raga dari satu medan perang ke perang lainnya, serta segunung amalan ibadah lainnya yang mereka lakukan selama Ramadhan, semuanya itu telah menjadi sebuah kekhuatiran terbesar bagi diri mereka.
Mereka lebih banyak bermuhasabah dalam sebuah tanda tanya :
 "Apakah amal ibadahku di bulan Ramadhan sebelum ini diterima oleh Allah swt.?"
Para sahabat merawat Ramadhan dalam hati mereka dengan rasa 'khauf' (takut) dan 'raja' (pengharapan).
Mereka sekuat tenaga berusaha untuk istiqamah dalam amalan ibadah mereka. Jika mereka lengah sedikit, maka ini memberikan tanda bahwa amal ibadah mereka selama Ramadhan telah sia-sia kerana di antara ciri-ciri diterimanya amal ibadah seseorang dalam bulan Ramadhan adalah :
  1. Keringanannya dalam mengerjakan kebaikan dan ibadah.
  2. Jauhnya mereka dari melakukan kemaksiatan kepada Allah swt.
Enam bulan selepas Ramadhan, mereka masih bersedih memikirkan kepergian Ramadhan. Mereka memohon dengan sungguh-sungguh agar amalan ibadah selama sebulan penuh itu diterima oleh Allah swt sedangkan di separuh tahun sisanya, mereka kembali bergembira, bersiap diri menyambut kehadiran Ramadhan yang akan datang iaitu tetamu agung yang sentiasa mereka rindui.
Begitulah putaran roda kehidupan para solehin terdahulu di mana rentang waktu dari Ramadhan ke Ramadhan berikutnya diisi dengan 'taqarrub ilallâh' seakan-akan menutup semua celah untuk 'futur' (merasa lemah) dalam beribadah.
Rindu mereka adalah rindu keimanan. Begitu pula kesedihan mereka adalah kesedihan kerana iman sehingga hari-hari berjalan dengan penuh kekhusyukan, hati mereka tenang, diisi dengan mengingati Allah dalam apa keadaan sekalipun.
Ini adalah kerana Allah swt telah memberi jaminan :
"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram." (QS Ar Ra'du : 28)
Mereka memiliki keperibadiaan yang layak untuk diteladani.
Lalu bagaimana dengan kita?
Sudahkah ibadah kita melebihi mereka sehingga lebih merasa hebat dan yakin kalau amalan Ramadhan kita diterima?
Sedarlah bahwa ibadah kita pastinya masih jauh dari kesungguhan para sahabat itu sehingga rasa 'khauf' dan 'raja' yang kita miliki sepatutnya lebih besar berbanding mereka.
Sesungguhnya ini bukanlah suatu perkara yang bersifat 'fiksyen'. Kita baru sahaja meninggalkan stesen 'ruhi' di mana kita sudah memenuhkan kembali tenaga diri kita. Bateri yang 'fully charged' yang kita miliki seharusnya mampu untuk bertahan bagi sebelas bulan berikutnya.
Ramadhan memang sudah pergi kerana datang dan pergi sudah merupakan sebahagian dari sunnatullah dalam kehidupan ini.
Memang dalam sebelas bulan ke hadapan, tidak ada puasa wajib seperti di bulan Ramadhan lagi, tapi sekarang kita masih memiliki amalan puasa yang lain, puasa sunnah 6 hari Syawal misalnya,yang keutamaannya telah dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis :
"Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun." (HR Muslim)
Masih ada puasa lainnya seperti puasa sunnah Isnin dan Khamis, puasa 'Arafah, puasa 'Asyura, puasa Nabi Daud dan sebagianya. Qiyamullail juga masih boleh kita lakukan. Solat sunnah ini menempati tingkatan kedua selepas solat fardhu sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw :
"Solat yang paling utama sesudah solat wajib adalah qiyamullail." (Muttafaqun 'alaih)
Baginda juga menyebutnya sebagai 'tradisi dari orang-orang soleh'.
Amal ibadah yang menjadi amalan rutin kita selama sebulan Ramadhan diharapkan memang sudah menjadi sebuah kebiasaan sehingga ketika Ramadhan telah berakhir, kita tidak mengalami kesulitan untuk memulainya kembali.
Ketika masih terasa hangat aura Ramadhan kita, mari kita sama-sama hidupkan kembali amal rutin baik kita itu. Menjadikan amalan-amalannya sebagai sebuah kebiasaan sekali pun sedikit di mana yang penting kita memiliki amalan pengharap dan rutin dalam melaksanakannya kerana barangsiapa yang memiliki amalan rutin yang baik, ia tidak akan selamanya mengalami kerugian sekalipun terkena uzur di mana pahala akan tetap mengalir untuknya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahwa Rasululullah saw telah bersabda :
"Apabila seseorang menderita sakit atau sedang berpergian maka dicatat pahala untuknya amal yang biasa ia kerjakan di saat ia sihat dan tidak berpergian." (HR Bukhari)
Semoga kita tidak menjadi manusia Ramadhan yang optimum ibadahnya selama sebulan sahaja manakala kosong di sebelas bulan berikutnya.
Sebaliknya jadilah kita manusia 'Rabbâni', yang sentiasa mengingati Allah bila dan dalam keadaan bagaimana sekalipun sepertimana ciri-ciri 'ulul albâb' yang termaktub dalam Al Qur'an :
"(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring." (QS Ali Imran : 191)
Ya Allah, anugerahkan kepada kami rasa takut kepadaMu yang membatasi antara kami dengan perbuatan maksiat kepadamu dan berikan ketaatan kepadaMu yang menghantarkan kami ke syurgaMu dan anugerahkan pula keyakinan yang akan menyebabkan ringan bagi kami segala musibah di dunia ini.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Kekalkan Nilai Ramadhan


Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Setelah Ramadhan meninggalkan kita, ia bukanlah bererti berakhir sudah suasana ketaqwaan kepada Allah swt, tapi justeru tugas berat kita adalah untuk membuktikan keberhasilan ibadah Ramadhan itu dengan peningkatan ketaqwaan kepada Allah swt.

Ini adalah kerana bulan sesudah Ramadhan yang hadir bersama kita sekarang ini adalah Syawwal yang bererti 'Peningkatan'.
 
Disinilah letaknya kepentingan untuk mengekalkan nilai-nilai Ibadah Ramadhan.
 
Sekurang-kurangnya, ada lima nilai ibadah Ramadhan yang mesti kita kekalkan, paling tidak sehingga Ramadhan di tahun yang akan datang.
 
PERTAMA : TIDAK MERASA MUDAH UNTUK MEMBUAT DOSA
 
Ibadah Ramadhan yang kita kerjakan dengan sebaik-baiknya membuatkan kita mendapatkan jaminan ampunan dari dosa-dosa yang kita lakukan selama ini.
 
Maka sudah semestinya setelah melalui ibadah Ramadhan, kita tidak merasa ringan lagi untuk melakukan perbuatan yang bernilai dosa, apalagi secara harfiyah, Ramadhan ertinya membakar, yakni membakar dosa.
Jika dosa itu kita ibaratkan seperti pokok, maka apabila sudah dibakar, pokok tidak akan mudah untuk tumbuh lagi, bahkan boleh jadi mati, sehingga dosa-dosa itu kita tidak mahu lakukan lagi.
 
Oleh yang demikian, jangan sampai dosa yang kita tinggalkan pada bulan Ramadhan hanya sekadar ditahan-tahan untuk seterusnya dilakukan lagi sesudah Ramadhan berakhir dengan kualiti dan kuantiti yang lebih besar.
 
Jika berlaku demikian, ibarat sebuah pokok di mana ianya bukanlah dibakar, tapi hanya ditebang cabang-cabangnya sehingga apabila satu cabang ditebang tumbuh lagi tiga, empat bahkan lima cabang dalam beberapa waktu mendatang.
 
Dalam kaitan dengan dosa, sebagai seorang muslim, kita jangan sampai termasuk orang yang bangga dengan dosa, apalagi kalau mati dalam keadaan bangga terhadap dosa yang dilakukan kerana jika ini yang berlaku, maka sangat besar risiko yang akan kita hadapi dihadapan Allah swt sebagaimana firmanNya :
 
"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit dan tidak (pula) mereka dapat masuk ke dalam syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat kejahatan." (QS Al A'raf :40)
 
KEDUA :  HATI-HATI DALAM BERSIKAP DAN BERTINDAK
 
Selama beribadah di bulan Ramadhan, kita cenderung berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerana kita tidak ingin ibadah Ramadhan kita menjadi sia-sia dengan sebab kekeliruan yang kita lakukan.
 
Secara harfiyahnya, Ramadhan juga bererti 'mengasah', yakni mengasah ketajaman hati agar dengan mudah dapat menapis atau membezakan antara yang haq dengan yang bathil.
 
Ketajaman hati itulah yang akan membuatkan seseorang menjadi sangat berhati-hati dalam bersikap dan bertingkah laku. Sikap seperti ini merupakan sikap yang sangat penting sehingga dalam hidupnya, seorang muslim tidak hanya melakukan sesuatu, apalagi sekadar mendapat nikmat secara duniawi.
 
Sikap berhati-hati dalam kehidupan ini menjadi amat penting kerana walau apapun yang kita lakukan, ianya akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah swt.
 
Oleh kerana itu, apa yang hendak kita lakukan mestilah kita fahami secara baik dan pertimbangkan secara matang sehingga tidak sekadar ikutan dalam melakukannya.
 
Allah swt berfirman :
 
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabannya." (QS Al Isra : 36)
 
KETIGA : BERSIKAP JUJUR
 
Ketika kita berpuasa di bulan Ramadhan, kejujuran mewarnai kehidupan kita sehingga kita tidak berani makan dan minum meskipun tidak ada orang yang mengetahuinya.
 
Ini kita lakukan kerana kita yakin Allah swt yang memerintahkan kita berpuasa sentiasa mengawasi diri kita dan kita tidak mahu membohongi Allah swt dan tidak mahu membohongi diri sendiri kerana hal itu memang tidak mungkin kita lakukan.
 
Inilah kejujuran yang sebenarnya dan oleh itu, setelah berpuasa sebulan Ramadhan, kita sudah semestinya mampu menjadi orang-orang yang sentiasa bersikap jujur, samada :
 
1.      Jujur dalam perkataan.
2.      Jujur dalam berinteraksi dengan orang lain.
3.      Jujur dalam berjanji.
 
Dalam kehidupan masyarakat dan bangsa kita sekarang ini, kejujuran merupakan sesuatu yang amat diperlukan.
Terdapat banyak kes mahkamah di negara kita yang begitu lambat untuk diselesaikan bahkan tidak selesai-selesai kerana tidak adanya kejujuran.
 
Orang yang bersalah sukar untuk dinyatakan bersalah kerana belum dapat dibuktikan kesalahannya dan mencari pembuktian memerlukan waktu yang panjang, padahal kalau yang bersalah itu mengaku sahaja secara jujur bahwa dia bersalah, tentu segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cepat. Sementara orang yang secara jujur mengaku tidak bersalah tidak perlu lagi untuk diselidiki apakah dia melakukan kesalahan atau tidak.
 
Tapi oleh kerana kejujuran itu tidak ada, yang berlaku adalah saling curiga mencurigai bahkan tuduh menuduh yang membuatkan segala persoalan semakin rumit.
 
Ibadah puasa telah mendidik kita untuk bersikap jujur kepada hati nurani kita yang sihat dan tajam.
Apabila kejujuran ini tidak mewarnai kehidupan kita sebelas bulan yang akan datang, maka 'tarbiyah' dari ibadah Ramadhan kita sudah pasti akan menemui kegagalan, meskipun secara hukumnya ibadah puasa kita tetap sah.
 
KEEMPAT : MEMILIKI SEMANGAT BERJAMAAH
 
Kebersamaan kita dalam proses pengendalian diri membuatkan syaitan merasa sukar dalam menggoda manusia sehingga syaitan menjadi terbelenggu pada bulan Ramadhan.
 
Hal ini diperkuatkan lagi dengan semangat yang tinggi bagi kita dalam menunaikan solat  lima waktu secara berjamaah sehingga di bulan Ramadhanlah, solat berjamaah yang paling banyak kita laksanakan, bahkan melaksanakannya juga di masjid atau musolla.
 
Di samping itu, ibadah Ramadhan yang membuatkan kita dapat merasakan lapar dan haus, telah memberikan pelajaran kepada kita untuk memiliki keterikatan sosial kepada mereka yang menderita dan mengalami berbagai macam kesulitan. Begitu juga kita buktikan dengan zakat yang kita tunaikan.
 
Oleh kerana itu, semangat berjamaah kita sesudah Ramadhan ini semestinya menjadi sangat baik, apalagi kita menyedari bahwa kita tidak mungkin dapat hidup sendirian walau sehebat manapun kekuatan dan potensi diri yang kita miliki, kita tetap  memerlukan bantuan pihak lain.
 
Itulah pula sebabnya, dalam konteks perjuangan, Allah swt mencintai hamba-hambaNya yang berjuang secara berjamaah, yang saling kuat menguatkan sebagaimana firmanNya:
 
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam satu barisan yang teratur, seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh." (QS Ash Shaf :4)
 
KELIMA : MELAKUKAN PENGENDALIAN DIRI
 
Kemampuan kita dalam mengendalikan diri dari perkara-perkara yang pokok seperti makan dan minum sudah semestinya membuatkan kita mampu mengendalikan diri dari perkara-perkara yang kurang pokok dan tidak perlu sama sekali.
 
Namun sayang, ramai orang yang telah dilatih untuk menahan makan dan minum yang sebenarnya perkara pokok, tapi tidak dapat menahan diri dari perkara-perkara  yang tidak perlu, misalnya ada orang yang  mengatakan :
 
"Saya lebih baik tidak makan daripada tidak merokok"
 
Padahal makan itu adalah perkara pokok dan merokok itu tidak perlu sama sekali.
 
Kemampuan kita mengendalikan diri dari perkara-perkara yang tidak benar menurut Allah dan RasulNya merupakan sesuatu yang amat mendesak kerana jika tidak,  kehidupan ini akan berjalan seperti tanpa peraturan di mana :
 
a.       Tidak ada lagi halal dan haram.
b.      Tidak ada lagi hak dan bathil.
c.       Tidak ada lagi kesopanan dalam berinteraksi sesama manusia.
 
di mana, selama mana manusia menginginkan sesuatu, perkara itu akan terus dilakukannya meskipun tidak benar, tidak selayaknya dan sebagainya.
 
Jika ini yang berlaku, apa bezanya kehidupan manusia dengan kehidupan binatang, bahkan kehidupan binatang masih lebih baik kerana mereka tidak diberi potensi akal.
 
Allah swt berfirman :
 
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakannya dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tapi) tidak dipergunakannya  untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang  ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (QS Al A'raf :179)
 
Oleh yang demikian, mestilah kita sedari bahwa Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan.
 
Keberhasilan ibadah Ramadhan justeru tidak hanya terletak pada amaliyah Ramadhan yang kita kerjakan dengan baik, tapi yang lebih penting adalah bagaimana menunjukkan adanya peningkatan taqwa yang dimulai dari bulan Syawal hingga Ramadhan tahun yang akan datang.
 
Ya Allah, perbaikilah agama kami untuk kami, kerana ia merupakan benteng bagi urusan kami. Perbaikilah dunia kami untuk kami yang ia menjadi tempat hidup kami. Perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagi kami dalam setiap kebaikan dan jadikan kematian kami sebagai kebebasan bagi kami dari segala kejahatan.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top