Terkini...




0

Pembentukan Kepompong Ramadhan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Ya Ramadhan! Selamat datang wahai penghulu segala bulan.
Bulan penuh barakah yang disucikan oleh Allah swt. Di bulan ini, Allah swt menjanjikan akan menjamu semua hamba-hambanya yang beriman. Demikian hebatnya jamuan Allah, sehingga sesiapa pun yang melalui Ramadhan ini dengan sebaik-sebaiknya, maka Allah akan menjamin keselamatannya di dunia dan di akhirat.

Sepertimana dengan anak kecil yang sangat gembira jika mendapat hadiah, maka demikian juga dengan kita. Pada bulan Ramadhan yang kita jalani sekarang ini, sungguh banyak "hadiah" yang telah Allah siapkan untuk kita, jika kita mampu meningkatkan mutu ibadah di bulan ini.
Maka, alangkah bijaknya jika kita memanfaatkan bulan suci ini sebagai wasilah peningkatan amal ibadah kita kepada Allah. Kita jadikan bulan ini sebagai wasilah meraih darjat ketaqwaan.

Pada bulan mulia ini, kita dianggap sebagai tetamu Allah dan sebagai tuan rumah, Allah sangat mengetahui bagaimana cara memperlakukan tetamuNya dengan baik.
Walaubagaimanapun, Allah hanya akan memperlakukan kita dengan baik jika kita tahu adab dan berakhlak sebagai tetamuNya. Salah satunya dengan menjaga puasa kita sesempurna mungkin. Tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi juga menjaga seluruh anggota tubuh badan kita.

Mari kita perbaiki segala kekurangan dan kelalaian akhlak kita sebagai tetamu Allah kerana tidak mustahil Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan terakhir yang akan kita jalani dalam kehidupan kita. Jangan sampai disia-siakan.

Bulan Ramadhan adalah bulan latihan diri yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menjadikan akhlak dan peribadi kita lebih indah.
Ibarat sebuah kepompong, bulan Ramadhan ini perlu menjadi wasilah bagi kita untuk meningkatkan kualiti diri.
Kita lihat kepompong, bermula dari ulat yang menjijikkan, kemudian menjalani proses dan akhirnya keluarlah kupu-kupu indah yang berterbangan ke sana ke mari menambahkan indahnya sebuah taman.

Ramadhan merupakan sebuah kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita untuk memperbaiki sikap dan perilaku kita. Jadi, gunakanlah Ramadhan kali ini secara efektif bagi meningkatkan kualiti ibadah kerana kita tidak tahu bila umur kita akan berakhir.

Waktu terus berlalu dan umur kita dari hari ke hari semakin berkurang. Jangan sampai kita menjadi orang yang kurang cerdik dengan menyia-nyiakan saat berharga di bulan mulia ini dengan melalaikan ibadah.
Pantang bagi kita untuk menyia-nyiakan perjalanan detik demi detik di bulan yang mulia ini tanpa amalan apapun. Ramadhan ini sungguh sangat berharga bagi kita sehingga kita perlu memperhitungkan agar setiap ucapan, fikiran dan perilaku kita menjadi amal soleh.

Mari kita isi Ramadhan ini dengan amal ibadah. Segala aktiviti kita adalah benilai ibadah jika berdasarkan niat yang benar dan caranya juga benar. Gunakanlah bulan Ramadhan ini sebagai wasilah peningkatan kualiti keilmuan kita.

Salah satu caranya adalah dengan membuat skala keutamaan:

PERTAMA :
Pengurusan waktu kita perlu dikendalikan dengan baik sehingga semua aktiviti kita dapat dirancang dengan baik dan tidak membazir.

KEDUA :
Kita perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah. Contohnya solat. Sebenarnya solat khusyuk itu tidaklah susah tetapi yang susah adalah membulatkan tekad untuk khusyuk.

Pada sepuluh hari terakhir Ramadhan, kita cuba usahakan untuk merenung dan menangis kepada Allah swt dengan memohon keampunan semasa melakukan i'tikaf.
Demikian juga dengan sedekah, Allah menjamin akan melipatgandakan pahala dan rezeki bagi kita jika kita ikhlas dalam bersedekah. Tidak akan ada seorang pun yang akan menjadi miskin kerana menikmati hidup ini dengan bersedekah.

Tentu sahaja kemampuan ekonomi di antara kita berbeza-beza. Namun perlu difahami bahwa sedekah itu tidak diukur dari besar kecilnya nilai bahan sedekah itu, tetapi yang diukur adalah kekuatan keupayaan dan keikhlasan yang kita lakukan.
Yang paling penting adalah kita perlu meningkatkan kemampuan kita bersedekah dengan apa cara sekalipun yang ada pada diri kita. Mulailah dari yang paling murah dan mudah, iaitu senyum. Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang menyenangkan.
Mengapa kita tidak membahagiakan orang lain dengan senyuman yang tulus?

Semoga Allah Yang Maha Menyaksikan sentiasa melimpahkan hidayahNya sehingga setelah 'kepompong' Ramadhan ini kita masuki, kita akan kembali pada fitrah asal kita sebagai bayi yang baru lahir sebagaimana seekor ulat bulu yang keluar menjadi seekor kupu-kupu yang teramat indah dan mempesonakan.

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai ruang latihan yang cukup berkesan untuk diri kami kerana kami tidak tahu kemungkinan Ramadhan ini merupakan yang terakhir untuk kami jalani dalam hidup ini. Mudahkanlah untuk kami beramal di dalam kepompong Ramadhan ini
sehingga akhirnya kami keluar dari kepompong ini dengan satu perubahan peribadi yang luar biasa yang bukan sahaja terlihat indah pada diri kami tetapi juga mempesonakan dan menarik minat mereka-mereka yang mencari keindahan sebuah akhlak muslim mu'min.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top