Terkini...




0

Tangisan Perpisahan Ramadhan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Apakah kita termasuk orang yang merindukan kehadiran bulan Ramadhan?
 
Jika ya, inilah keindahan bulan yang kita sangat rindukan itu sedang bersama kita. Inilah detik demi detik waktu yang kita lalui bersamanya.
 
Inilah :
  1. Masa-masa bahagia.
  2. Masa-masa semakin dekatnya jiwa bersama Allah swt.
  3. Masa-masa kedamaian.
Di mana ianya belum tentu kita temui ketika ia tidak bersama kita lagi.
 
Hiruplah dalam-dalam udara malam-malamnya.
 
Hiruplah dalam-dalam udara sahurnya.
 
Kita kini sedang berada pada hari-hari perpisahan yang sangat memilukan.
  1. Perpisahan dengan bulan mulia yang telah hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya bersama kita.
  2. Perpisahan dengan bulan yang paling dirindui yang keutamaannya tidak dapat dikalahkan oleh apapun yang terindah dalam hidup ini.
Jika Rasulullah saw bersabda :
 
"Barang siapa melakukan satu ibadah sunnah dalam bulan Ramadhan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadah wajib di bulan selain Ramadhan. Dan barang siapa yang melakukan ibadah wajib di bulan Ramadhan maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadah wajib di selain bulan Ramadhan". (HR Ibnu Khuzaimah)
 
Maka, berpisah dengan bulan ini bererti kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat kali ganda.
 
Jika Rasulullah saw bersabda :
 
"Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (HR Bukhari dan Muslim)
 
Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti terhapusnya dua momentum kegembiraan di kala berbuka puasa itu.
Jika Rasulullah saw bersabda :
 
"Barangsiapa yang berpuasa kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari dan Muslim)
 
Maka, perpisahan dengan bulan ini bererti hilangnya kesempatan kita untuk memperolehi keampunan Allah swt terhadap dosa-dosa kita yang menggunung.
 
Jika Rasululah saw bersabda :
 
"Barangsiapa yang menunaikan Qiyamullail pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosa-nya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)
 
Maka selesainya kebersamaan kita dengan bulan Ramadhan adalah petanda lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan di atas dosa dan kekhilafan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.
 
Jika Rasulullah saw bersabda :
 
"Siapa sahaja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat semalam suntuk (HR Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nasai'e dan Ibnu Majah)
 
Lalu bagaimana dengan kualiti ibadah solat tarawih yang sudah kita lakukan?
 
Perpisahan dengan bulan suci ini bererti juga kita akan kehilangan pahala solat tarawih iaitu kehilangan pahala semalam suntuk. 
 
Para salafussoleh, selama bulan ini berlumba-lumba memperbanyakkan membaca Al Qur'an.
 
Malaikat Jibril memperdengarkan Al Qur'an kepada Rasulullah saw pada bulan Ramadhan.
 
Utsman bin Affan mengkhatamkan Al Qur'an setiap hari pada bulan Ramadhan.
 
Sebahagian salafussoleh mengkhatamkan Al Qur'an dalam solat tarawih setiap tiga malam sekali, tujuh malam sekali dan sepuluh malam sekali.
 
Mereka sentiasa membaca Al Qur'an samada di dalam solat ataupun di luar solat.
 
Imam Asy-Syafi'ie dapat mengkhatamkan Al Qur'an sebanyak enam puluh kali di luar solat dalam bulan Ramadhan.
 
Sementara Al-Aswad mengkhatamkannya setiap dua hari sekali.
 
Qatadah sentiasa mengkhatamkannya setiap tujuh hari sekali di luar Ramadhan, sedangkan pada bulan Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap tiga hari sekali manakala pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan ia mengkhatamkannya setiap malam.
 
Pada bulan Ramadhan, Imam Az-Zuhri menutup majlis-majlis hadits dan majlis-majlis ilmu yang biasa diisinya kerana semata-mata mengkhususkan diri membaca Al Qur'an dari mushaf.
 
Bagi Imam Ats Tsauri pula, beliau meninggalkan ibadah-ibadah lain dan mengkhususkan diri untuk membaca Al Qur'an.
 
Jika mereka demikian tingginya semangat dan mujahadahnya dalam membaca Al Qur'an di bulan ini, maka bagaimana dengan ibadah membaca Al Qur'an yang kita lakukan?
 
Apabila Ramadhan berlalu, ia bererti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperolehi barakah istimewa dari membaca Al Qur'an di bulan ini.
 
Jika Allah swt berfirman :
 
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan (QS Al-Qadr : 1-3).
 
Rasulullah saw sentiasa mencari malam Al Qadr dan memerintahkan sahabat untuk mencarinya.
Baginda membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapatkan Lailatul Qadr.
 
Dalam Musnad Ahmad dari Ubadah, Rasulullah saw bersabda:
 
"Barangsiapa yang bangun sebagai usaha untuk mendapat Lailatul Qadr, lalu ia benar-benar mendapatkannya, niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang."
 
Jika kaum salaf dari kalangan sahabat dan tabiin mandi dan memakai minyak wangi pada sepuluh malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadr, malam yang telah  dimuliakan dan diangkat darjatnya oleh Allah. Maka perginya bulan ini dari sisi kita, bererti terlepasnya kesempatan yang tidak pernah terbayar dalam seluruh hidup kita sekalipun.
 
Ia bererti, lenyapnya kesempatan kita untuk memperolehi keuntungan 1000 bulan yang sangat jauh lebih lama berbanding dengan usia kita sendiri.
 
Oleh yang demikian :
  1. Jangan sia-siakan detik detik perpisahan ini.
  2. Rasakan benar-benar kehadiran kita di sini, di bulan ini.
  3. Lantunkan zikir, tilawah Al Qur'an, munajat, permohonan ampun di sini.
  4. Buanglah kepenatan, hilangkan rasa letih, dan paksalah diri ini hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan yang penuh kemuliaan.
Kejarlah segala yang terluput dari diri kita sebelum ini pada malam Al Qadr dan jangan ditunda-tunda lagi.
 
Menangislah!!!  kerana kita pun semestinya akan berpisah dengan bulan ini.
 
Ya Allah, kurniankanlah kepada kami malam Al Qadr yang akan menjadi wasilah untuk kami mendapat keampunan dariMu dari segala dosa-dosa samada yang besar atau kecil, yang awal dan akhir, yang terang dan tersembunyi dan panjangkanlah umur kami sehingga kami dapat bertemu lagi di bulan Ramadhan yang akan datang.
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

PROGRAM 3R 2011 IKRAM KUALA LANGAT


PROGRAM 3R 2011 IKRAM KUALA LANGAT
MASJID NURUL HUDA KG OLAK LEMPIT
13 OGOS 2011/13 RAMADAN 1432H, SABTU

Alhamdullillah ,Program 3R 2011, IKRAM Kuala Langat telah dapat dijalankan dengan jayanya dengan disertai oleh 60 orang remaja dan Fasilitator yang dibawa khas dari Kolej Mara Banting. Pengendali Program 3R kali ini ialah Akh Cikgu Din (Cikgu Kamaludin Taib) dan Akh Zulkifli Said . Program kali ini dianjurkan bersama antara IkramTeens Kuala Langat, MasjiD Nurul Huda Kg Olak Lempit dan JKK Kg Olak Lempit. Program ini juga diserikan oleh Tazkirah yang diberikan oleh Ustaz Sharif, Nazir Masjid Nurul Huda dan ditutup rasmi oleh Tuan Haji Selamat Juhdi, Ketua Kampong, Kg Olak Lempit.
 Cikgu Din mengawasi  sesi kumpulan

Program dimulakan seawal 8 pagi dengan pendaftaran peserta di mana setiap peserta diberikan fail dan bahan aktiviti di samping lencana Ikram Teens yang dipakai di sepanjang program ii berlangsung. Semasa sesi ‘icebreaking’ peserta telah dipecahkan kepada 7 kumpulan. Program sepanjang hari ini diselangselikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan antara kumpulan, aktiviti perbincangan bersama Abang dan kakak fasilitator, tilawah dan hafazan ayat Quran terpilih  dalam kumpulan, selain membincangkan bahan edaran yang difokuskan terhadap ihya Ramadan. Dalam sesi ‘Bedah Ramadan’, peserta dingatkan kembali mengenai konsep dan tuntutan puasa dalam kehidupan seorang Muslim.

 Peserta sedang sedang diuji

 Tuan Nazir Masjid Nurul Huda memberikan Tazkirah

Penekanan kepada amalan mulia dalam bulan Ramadan bukan sahaja diberikan secara kuliah tetapi juga secara amali, contohnya peserta diberikan masa untuk solat dhuha di samping solat zohor dan asar secara berjemaah. Tuan Nazir Masjid Ust Sharif juga memberikan tazkirah mengenai tuntutan Ramadan selepas solat Zohor.  Peserta juga diberikan peluang untuk sama-sama berkongsi lagu tema, lagu ‘Debu dalam Suci’ yang diolahsuai untuk mengingatkan peserta tentang keindahan dan kedudukan Islam, sebagai Addin yang paling mulia. Selain daripada itu, peserta didedahkan dengan konsep istighfar dan Zikir serta Munajat dan diamalkan terus sambil mengikut klip video yang ditayangkan. 

 Peserta mengadakan perbincangan dalam kumpulan

Peserta sedang menyanyikan lagu tema

Perjuangan Palestin untuk membebaskan AlAqsa juga ditayangkan kepada peserta untuk mengingatkan bahawa perjuanagan ini adalah perjuangan seluruh Ummat Islam. Dan untuk itu, sempena Ramadan ini, Umat Islam digalakkan bersedekah. Sebagai latihan amali, tabung palestin telah diedarkan dan sejumlah kutipan telah dibuat oleh peserta yang masih remaja lagi.

 Aktiviti antara kumpulan(untuk merebut hadiah yang disediakan)

 Berlatih Menyumbang untuk Palestin

Dalam sesi refleksi di akhir program ini, peserta umumnya minta supaya program yang lebih lama diadakan supaya mereka lebih mengenali rakan lain di samping lebih banyak pengalaman dan ilmu yang dapat diraih.  Peserta membawa kembali bersama diari Muslim yang digunakan untuk menyemak amalan peribadi semasa Bulan Ramadan dan selepasnya. Mudah-mudahan program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi agar lebih ramai remaja yang dapat menghayati tuntutan  Ramadan sepanjang tahun, inshaAllah.
0

Remaja Raikan Ramadhan (3R)

Salam.

Pada Sabtu 13/8/11 telah berlangsung Program Remaja Raikan Ramadhan (3R) bagi peringkat daerah Kuala Langat, yang diadakan di Masjid Nurul Huda Olak Lempit. Program bermula dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Program ini anjuran bersama antara IKRAMTeens, Masjid Nurul Huda dan JKKK Kg Olak Lempit.

Akhi Hj Kamaluddin Md Taib dengan penyampaian yang mantap dan bermaklumat menceriakan 60 remaja (termasuk fasilitator dari KMB) berumur 13 - 17 tahun yang hadir bersama.

ZULKIPLI SAID
0

Program 3R IKRAM Kuala Langat : Anjuran bersama Masjid Nurul Huda Olak Lempit

 
0

Pembentukan Kepompong Ramadhan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Ya Ramadhan! Selamat datang wahai penghulu segala bulan.
Bulan penuh barakah yang disucikan oleh Allah swt. Di bulan ini, Allah swt menjanjikan akan menjamu semua hamba-hambanya yang beriman. Demikian hebatnya jamuan Allah, sehingga sesiapa pun yang melalui Ramadhan ini dengan sebaik-sebaiknya, maka Allah akan menjamin keselamatannya di dunia dan di akhirat.

Sepertimana dengan anak kecil yang sangat gembira jika mendapat hadiah, maka demikian juga dengan kita. Pada bulan Ramadhan yang kita jalani sekarang ini, sungguh banyak "hadiah" yang telah Allah siapkan untuk kita, jika kita mampu meningkatkan mutu ibadah di bulan ini.
Maka, alangkah bijaknya jika kita memanfaatkan bulan suci ini sebagai wasilah peningkatan amal ibadah kita kepada Allah. Kita jadikan bulan ini sebagai wasilah meraih darjat ketaqwaan.

Pada bulan mulia ini, kita dianggap sebagai tetamu Allah dan sebagai tuan rumah, Allah sangat mengetahui bagaimana cara memperlakukan tetamuNya dengan baik.
Walaubagaimanapun, Allah hanya akan memperlakukan kita dengan baik jika kita tahu adab dan berakhlak sebagai tetamuNya. Salah satunya dengan menjaga puasa kita sesempurna mungkin. Tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi juga menjaga seluruh anggota tubuh badan kita.

Mari kita perbaiki segala kekurangan dan kelalaian akhlak kita sebagai tetamu Allah kerana tidak mustahil Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan terakhir yang akan kita jalani dalam kehidupan kita. Jangan sampai disia-siakan.

Bulan Ramadhan adalah bulan latihan diri yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menjadikan akhlak dan peribadi kita lebih indah.
Ibarat sebuah kepompong, bulan Ramadhan ini perlu menjadi wasilah bagi kita untuk meningkatkan kualiti diri.
Kita lihat kepompong, bermula dari ulat yang menjijikkan, kemudian menjalani proses dan akhirnya keluarlah kupu-kupu indah yang berterbangan ke sana ke mari menambahkan indahnya sebuah taman.

Ramadhan merupakan sebuah kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita untuk memperbaiki sikap dan perilaku kita. Jadi, gunakanlah Ramadhan kali ini secara efektif bagi meningkatkan kualiti ibadah kerana kita tidak tahu bila umur kita akan berakhir.

Waktu terus berlalu dan umur kita dari hari ke hari semakin berkurang. Jangan sampai kita menjadi orang yang kurang cerdik dengan menyia-nyiakan saat berharga di bulan mulia ini dengan melalaikan ibadah.
Pantang bagi kita untuk menyia-nyiakan perjalanan detik demi detik di bulan yang mulia ini tanpa amalan apapun. Ramadhan ini sungguh sangat berharga bagi kita sehingga kita perlu memperhitungkan agar setiap ucapan, fikiran dan perilaku kita menjadi amal soleh.

Mari kita isi Ramadhan ini dengan amal ibadah. Segala aktiviti kita adalah benilai ibadah jika berdasarkan niat yang benar dan caranya juga benar. Gunakanlah bulan Ramadhan ini sebagai wasilah peningkatan kualiti keilmuan kita.

Salah satu caranya adalah dengan membuat skala keutamaan:

PERTAMA :
Pengurusan waktu kita perlu dikendalikan dengan baik sehingga semua aktiviti kita dapat dirancang dengan baik dan tidak membazir.

KEDUA :
Kita perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah. Contohnya solat. Sebenarnya solat khusyuk itu tidaklah susah tetapi yang susah adalah membulatkan tekad untuk khusyuk.

Pada sepuluh hari terakhir Ramadhan, kita cuba usahakan untuk merenung dan menangis kepada Allah swt dengan memohon keampunan semasa melakukan i'tikaf.
Demikian juga dengan sedekah, Allah menjamin akan melipatgandakan pahala dan rezeki bagi kita jika kita ikhlas dalam bersedekah. Tidak akan ada seorang pun yang akan menjadi miskin kerana menikmati hidup ini dengan bersedekah.

Tentu sahaja kemampuan ekonomi di antara kita berbeza-beza. Namun perlu difahami bahwa sedekah itu tidak diukur dari besar kecilnya nilai bahan sedekah itu, tetapi yang diukur adalah kekuatan keupayaan dan keikhlasan yang kita lakukan.
Yang paling penting adalah kita perlu meningkatkan kemampuan kita bersedekah dengan apa cara sekalipun yang ada pada diri kita. Mulailah dari yang paling murah dan mudah, iaitu senyum. Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang menyenangkan.
Mengapa kita tidak membahagiakan orang lain dengan senyuman yang tulus?

Semoga Allah Yang Maha Menyaksikan sentiasa melimpahkan hidayahNya sehingga setelah 'kepompong' Ramadhan ini kita masuki, kita akan kembali pada fitrah asal kita sebagai bayi yang baru lahir sebagaimana seekor ulat bulu yang keluar menjadi seekor kupu-kupu yang teramat indah dan mempesonakan.

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai ruang latihan yang cukup berkesan untuk diri kami kerana kami tidak tahu kemungkinan Ramadhan ini merupakan yang terakhir untuk kami jalani dalam hidup ini. Mudahkanlah untuk kami beramal di dalam kepompong Ramadhan ini
sehingga akhirnya kami keluar dari kepompong ini dengan satu perubahan peribadi yang luar biasa yang bukan sahaja terlihat indah pada diri kami tetapi juga mempesonakan dan menarik minat mereka-mereka yang mencari keindahan sebuah akhlak muslim mu'min.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Program Ikram junior K. Langat : Wonderful Journey & Ahlan Ya Ramadhan

Aktiviti anak-anak Ikram Junior K.Langat pada 31/7/2011 (Ahad)
Tema :Wonderful Journey & Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan. 
 
Program ini telah dijalankan di Tadika Naim, Taman Sri Andalas. Anak-anak yang mengikuti program nampaknya begitu gembira sekali dengan aktiviti explorace, anak-anak  mengambil wuduk dengan mengguna air dlm botol yg sedikit (masa prgm yg lepas tlh dipraktikkan dan amat berkesan).
 
Anak-anak begitu tekun sekali membuat tabung roket Palestine untuk menabung kpd rakyat Palestine, sempena Menyambut Ramadhan ini anak-anak diminta membanyakkan amalan sedakah dan  memenuhi tabung Palestine tersebut.
 
Alhamdillah anak-anak begitu gembira kerana dapat membawa balik hasil kraftangan (roket Palestine dan sebuah buku setiap seorang)


0

Ramadhan Merubah Ruhiyah Kita

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Ketika ini kita berada di bawah naungan keindahan dan keberkatan bulan Ramadhan iaitu bulan yang sentiasa hadir membawa nilai-nilai dan cita-cita bagi umat Islam setiap tahun.
 
Di dalamnya terdapat banyak keberkatan, kenikmatan dan kewajiban yang sebenarnya mampu menjadi titik tolak kebangkitan umat dan pertumbuhan pada setiap tangga dan tingkatannya sehingga bulan Ramadhan sentiasa menjelaskan kepada kita peta projek pembaikan bagi individu dan umat.
 
Sudah tentulah kebaikan itupun mesti sentiasa kita pertahankan dan pelihara niscaya Allah akan memberikan petunjuk kepada kita dan menolong kita untuk dapat dijadikan sebagai pelaburan terbaik pada masa akan datang.
 
Nabi saw bersabda :
 
"Lakukanlah yang terbaik pada masa hidup kamu, dan hadapilah untuk mencapai rahmat Allah; kerana Allah memiliki banyak sentuhan dari rahmatNya, yang diberikan kepada siapa sahaja yang dikehendaki dari hamba-hambaNya, dan mintalah kepada Allah agar ditutup aurat kamu dan dilindungi jasad kamu". (HR Thabrani)
 
Di antara sentuhan Allah yang penuh berkat ke atas kita adalah bulan Ramadhan yang merupakan pusat tarbiyah bagi umat untuk :
 
a.       Mendekatkan diri kepada Allah swt.
b.      Membersihkan jiwa.
c.       Menilai kembali misi dan strategi perjalanan hidup kita.
d.      Memanfaatkan waktu yang berharga dan petunjuk rabbaniyah sebagai sebaik-baik bekalan dalam melalui jalan dakwah kepada Allah.
 
Sesungguhnya kita pada ketika ini sangat memerlukan sesuatu yang kita sebut sebagai "Perubahan Ruhiyah Di Bulan Ramadhan" sehingga kita mampu menilai sentuhan-sentuhan rabbani ini untuk :
 
1.      Dapat muncul di permukaan bumi dengan lebih mulia dari keadaan hidup kita sekarang ini.
2.      Mengambil dan menikmati sentuhan-sentuhan yang penuh berkat untuk mengarahkan jiwa-jiwa kita menuju perbaikan yang lebih baik.
3.      Mengubati apa yang terdapat di dalam jiwa kita berupa penyakit dan racun-racun.
 
sehingga kita berhasil membersihkan ruh iman kita dan mengangkatnya dengan lantunan ayat-ayat Al-Qur'an.
Sebagaimana yang kita ketahui, bahwa asas perubahan adalah berasal dari dalam jiwa setiap insan iaitu jiwa yang rindu meneguk ilmu dan perilaku yang baik sehingga :
 
a.       Mampu menguasai berbagai urusannya.
b.      Berdisiplin dalam berbagai tindak tanduknya.
c.       Bijak dalam berbagai pandangannya.
 
Kesemua itu memerlukan usaha yang berterusan.
 
Allah swt berfirman :
 
 "Sungguh beruntung orang yang selalu membersihkan jiwanya dan sungguh merugi orang selalu mengotori jiwanya". (QS As-Syams : 9-10)
 
Selain itu, suatu yang perlu difahami bahwa perjuangan yang hakiki adalah perjuangan melawan hawa nafsu sebelum perjuangan melawan musuh.
 
Imam Hasan Al-Banna mengungkapkan :
 
"Medan utama kamu adalah jiwa kamu sendiri; jika kamu berhasil mengalahkannya maka terhadap yang lainnya akan lebih mampu, namun jika kamu tidak berhasil mengendalikan dan mengubatinya maka di hadapan yang lainnya akan lebih lemah"
 
Oleh kerana itulah, kita mesti sentiasa berusaha melakukan :
 
1.      Perbaikan jiwa.
2.      Pembersihan jiwa.
3.      Penyucian jiwa.
 
Syukur Alhamdulillah kerana Allah telah memberikan kemudahan kepada kita jalan menuju perubahan ruhiyah dalam bulan Ramadhan sehingga menjadikan ia sebagai titik tolak dan wasilah terbaik untuk melakukan perubahan yang menyeluruh serta mampu memperbaiki seluruh keadaan yang sedang kita alami ketika ini.
 
Ini semua adalah kerana pintu-pintu kebaikan telah terbuka lebar dan celah-celah kejahatan telah tertutup rapat sedangkan syaitan-syaitan telah terbelenggu dengan kuat.
 
Rasulullah saw bersabda :
 
"Jika datang bulan Ramadhan maka pintu-pintu syurga terbuka dan pintu-pintu neraka tertutup dan syaitan-syaitan terbelenggu, dan ada seruan yang memanggil: Wahai para pencari kebaikan bersegeralah, dan wahai para pelaku kejahatan berhentilah". (HR lima perawi hadits kecuali Abu Dawud)
 
Di dalamnya juga terdapat seruan yang sangat jelas kepada para 'ulul albab' (orang yang cerdas) untuk memanfaatkan bulan yang penuh keistimewaan setelah Allah mudahkan berbagai jalan dengan terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka serta terbelenggunya para syaitan.
 
Namun agar "Perubahan Ruhiyah" ini memberikan buahnya, maka kita mesti memiliki beberapa syarat di antaranya adalah :
 
a.       Keinginan yang sungguh-sungguh untuk melakukan perubahan.
b.      Memahami bagaimana melakukan perubahan.
c.       Menjadikan perubahan sebagai kerja yang nyata bukan hanya sekadar ucapan lisan.
d.      Memahami bahwa perubahan tidak datang dari luar namun hadir dari dalam jiwa itu sendiri.
 
Allah swt berfirman :
 
"Bahwa sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum hingga kaum itu sendiri yang melakukan perubahan ke atas diri mereka sendiri". (QS Ar-Ra'ad : 11)
 
Perubahan jiwa menuju yang lebih baik bukan hanya sekadar mimpi dan angan-angan namun ia merupakan gerakan di atas bumi nyata :
 
1.      Dimulai dengan pembersihan jiwa dari berbagai kekurangan dan kesalahan.
2.      Kemudian menghiasi dan mengisinya dengan berbagai wasilah pembersihan jiwa yang pengaruhnya nampak dalam ucapan, perbuatan dan interaksi kita dengan keluarga, jiran tetangga dan manusia yang ada disekitar kita.
3.      Setelah itu ia akan dapat merubah jiwa kita samada pada bulan Ramadhan dan selepasnya, secara maksimum menuju jiwa qur'ani yang rindu dengan siraman ruhani Al-Quran dan bekalannya.
4.      Akhirnya ia akan berubah menjadi sebuah peribadi rabbani yang tidak mencari sesuatu yang lain di sebaliknya kecuali hanya berharap ridha Allah.
 
Di antara perkara yang dapat merealisasikan perihal di atas adalah :
 
a.       Menghiasi diri dengan keinginan yang kuat dan teguh.
b.      Memulai dengan sikap yang optimis.
c.       Bersungguh-sungguh dalam membangun jiwa yang baik.
 
Oleh kerana itu, bulan Ramadhan merupakan kesempatan keemasan dan paling berharga untuk :
 
1.      Mengubahsuai kembali tubuh dan jiwa kita.
2.      Membetulkan perilaku dan tindak tanduk tercela di tengah kehidupan kita.
3.      Mengeluarkan diri dari kongkongan ekslusif menuju pembangunan kepada hubungan yang positif dengan orang lain.
 
Langkah-langkah utama dalam melakukan perubahan hakiki pada bulan yang mulia ini adalah dengan memberi fokus kepada :
 
a.       Keikhlasan yang murni kerana Allah.
b.      Memiliki rasa malu di hadapannya.
c.       Rasa takut dan sentiasa muhasabah diri.
d.      Melakukan taubat yang sebenar-benarnya serta bersungguh-sungguh.
e.       Berusaha untuk memperbanyakkan ibadah pada bulan ini, khususnya qiyamullail, tahajjud dan membaca Al Qur'an diiringi denagn mentadabbur, berinteraksi dan menerapkannya dalam jiwa dan realiti kehidupan.
f.       Berzikir kepada Allah dan beristighfar, berdoa dan mengagungkan Allah swt.
 
sehingga perkara tersebut menjadi pendorong sepanjang hidup kita insyaAllah.
 
Selain itu kita hendaklah juga berhati-hati dari tipu daya dan hiburan yang ada disekitar kita sehingga menghilangkan waktu yang berharga kita pada bulan Ramadhan yang mulia dan jangan lupa pula :
 
1.      Memperbanyakkan sedekah.
2.      Menjalin kasih sayang terhadap anak yatim dan fakir miskin.
3.      Memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa.
 
Kita tidak boleh lalai dari memanfaatkan prestasi perubahan yang ada dalam bulan Ramadhan terhadap jiwa kita.
Sebagaimana kita juga tidak lupa akan permasaalahan kita yang utama dan orbit kita yang asasi iaitu "Permasaalahan Palestin" dan menjadikan bulan Ramadhan sebagai :
 
a.       Titik awal dan langkah menuju perubahan dari sikap-sikap negatif terhadapnya.
b.      Ruang kepada para pejuang yang ikhlas untuk memobilisasi doa kemenangan bagi mereka pada waktu-waktu dan saat-saat yang dimustajabkan doa.
c.       Mengeluarkan wang infak untuk mereka.
d.      Melakukan boikot terhadap barangan buatan Israel.
e.       Meneguhkan sikap yang baik dan menyebarkan permasaalahan mereka ke berbagai penjuru dunia.
 
Kita juga menyeru kepada seluruh umat untuk menjadikan bulan Ramadhan yang mulia sebagai pelaburan untuk :
 
1.      Menyatukan 'shaf' (barisan) dalam melawan segala sekatan yang sedang dihadapi .
2.      Menghancurkan penghalang yang menjadi ancaman terhadap kewujudan aqidah dan wawasan umat.
3.      Menjadikannya sebagai titik tolak dan ilham akan berbagai pelajaran dan 'ibrah'.
4.      Bekerja bagi menambah prestasi perubahan dalam berbagai tingkatan dan usaha.
 
Perubahan yang diidam-idamkan dalam bulan Ramadhan ini mestilah merupakan perubahan yang mendalam dan menyeluruh yang dimulai dari :
 
PERTAMA : DALAM DIRI
 
a.       Dengan bertaubat.
b.      Adanya 'muraqabah '(perasaan diawasi).
c.       Ikhlas.
d.      Muhasabah.
e.       Bersegara melakukan kebaikan-kebaikan.
 
KEDUA : DALAM RUMAHTANGGA
 
a.       Dengan melakukan qudwah.
b.      Dengan memberikan arahan dan tarbiyah yang baik sehingga rumah tangganya  menjadi kiblat bagi orang lainnya. "Dan jadikanlah rumah-rumah kamu qiblat".
 
KETIGA : DALAM MASYARAKAT
 
a.       Dengan berperanan melakukan kebaikan.
b.      Mengajak pada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar.
 
KEEMPAT : DALAM TUBUH UMAT
 
a.       Dengan memberikan perhatian terhadap berita yang dialami oleh umat.
b.      Memahami keadaan Islam dan umat Islam.
c.       Menghulurkan tangan untuk membantu mereka yang memerlukan mencakupi  buah fikiran sehingga menjadi fikrah Islam yang kukuh serta perilaku sehingga menjadi akhlak yang Islamik dan nyata sehingga menjadi teori yang realistik dan hidup.
 
Marilah kita jadikan bulan Ramadhan sebagai titik awal perubahan dalam kehidupan kita dengan :
 
1.      Memanfaatkan keutamaan-keutamaan yang ada pada bulan ini dengan sebaik-baiknya.
2.      Memperbaiki hubungan kita dengan Allah niscaya dapat membuka hati kita yang telah tertutup.
3.      Memperkuat dan memperkukuhkan ukhuwah kita sehingga kita menjadi seperti sebuah bangunan yang kukuh.
4.      Mewujudkan perasaan saling mencintai kerana Allah.
5.      Bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menambah indeks nilai-nilai dan risalah kita pada waktu-waktu dan saat-saat yang berharga dan mulia ini.
 
Hendaklah kita ketahui bahwa masjid merupakan pusat utama pembentukan 'syakhsiyah muslimah'.
 
Oleh  kerana itu, marilah kita berusaha memperbanyakkan langkah menuju kepadanya bagi mendekatkan diri dan taat kepada Allah serta mewujudkan dalam diri kita sifat-sifat orang-orang yang beriman sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Qur'an Al-Karim :
 
"Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas mukabumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan Kami, jauhkan azab Jahannam dari Kami, Sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal". (QS Al-Furqan : 63-65)
"Dan ketahuilah bahwa Allah sentiasa bersama orang-orang yang bertaqwa" . (QS Al-Baqarah : 194)
 
Jangan kita sia-siakan bulan Ramadhan yang berharga ini sehingga berlalu dalam jiwa kita seperti yang telah berlalu sebelumnya.
 
Oleh kerana itu, kita mesti segera :
 
a.       Menguasainya dan memanfaatkannya dengan baik sebelum bulan tersebut pergi meninggalkan kita kembali.
b.      Mencari darinya pada bulan Ramadhan tahun ini sebagai titik perubahan jiwa menuju sesuatu yang dicintai dan diridhai oleh Allah swt.
 
Ya Allah, jadikanlah bulan Ramadhan pada tahun ini sebagai gelanggang untuk kami melakukan perubahan dari dalam diri kami sehingga kesan dari perubahan itu akan pula mengalir ke dalam keluarga kami seterusnya akan memberi kesan yang baik pula terhadap masyarakat di sekeliling kami sehingga ianya menjadi titik tolak kepada perubahan yang menyeluruh terhadap sistem kehidupan bernegara yang akhirnya tunduk  melaksanakan syariat yang telah diwahyukan melalui Al Qur'an yang mulia. 
 
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Iman Asas Puasa

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (QS Al-Baqarah :183)

PANGGILAN UNTUK MEREKA YANG BERIMAN

Allah swt memanggil pada permulaan ayat di atas : "yaa ayyuhalladziina aamanuu" (Wahai orang-orang yang beriman).
Ini bukan sebarang panggilan kerana yang memanggil adalah Allah swt, Pencipta alam semesta.

Semua makhluk bergantung kepadaNya. Tidak ada yang boleh berlepas diri dariNya. Maka siapa yang mengaku dirinya sebagai hambaNya hendaklah segera bergerak memenuhi panggilan ini.

Allah swt dalam panggilan tersebut tidak menyebutkan kriteria yang bersifat duniawi.
Dengan kata lain, Allah swt TIDAK berfirman:  "yaa ayyuhal aghniyaa' (Wahai orang-orang yang kaya), wahai orang-orang yang berkedudukan tinggi dan sebagainya, melainkan yang Allah swt panggil adalah mereka yang beriman sahaja.
Mengapa demikian?

Sebenarnya ada beberapa rahsia yang tersimpan, di antaranya ialah:

PERTAMA : Bahwa dengan menyatakan keimanannya, seseorang mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah swt. Allah swt sangat bangga dengan hambaNya yang beriman. Oleh kerananya, Allah swt mengundang mereka secara khusus.

Di dalam Al-Qur'an, undangan "yaa ayyuhal ladziina aamanuu" sentiasa Allah swt ulang-ulangkan untuk menggambarkan betapa yang Allah swt anggap sebagai hambaNya hanya mereka yang beriman. Yang tidak beriman tidak termasuk di dalam kategori sebagai hambaNya.

KEDUA : Bahwa kedudukan keduniaan walaubagaimana megah sekalipun, bila tidak disertai oleh iman, Allah swt tidak bangga dengannya. Bahkan Allah swt sangat benci kepada seseorang yang setelah diberi kenikmatan dunia, ia malah berbuat maksiat kepadaNya.

Ingatlah Allah swt berfirman:

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, Maka dia akan berkata, "Tuhanku telah memuliakanku". Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya Maka dia berkata, "Tuhanku menghinakanku". (QS Al-Fajr :15-16)

Di sini nampak bahwa ukuran berhasil atau tidaknya seseorang bukan terletak kepada kekayaan atau kemiskinannya, melainkan terletak kepada keimanannya. Oleh yang demikianlah, panggilan Allah swt pada ayat di atas adalah mereka yang beriman kerana kaya dan miskin di sisi Allah swt adalah ujian.

Apalah ertinya seseorang itu kaya jika ia tidak beriman dan mentaati Allah swt bahkan semua itu hanyalah kesia-siaan. Sebaliknya sungguh sangat mulialah seseorang sekalipun dalam kedudukan yang sangat miskin tetapi ia beriman dan mentaatiNya dan ia akan tergolong mereka yang Allah swt panggil dalam ayat di atas.

KETIGA : Bahwa untuk melaksanakan ibadah puasa syaratnya haruslah beriman terlebih dahulu. Tanpa iman, ibadah puasa seseorang tidak akan diterima oleh Allah swt. Allah swt hanya mengakui ibadah puasa hambaNya yang beriman. Oleh kerana itulah, dalam banyak hadits Rasulullah saw, sentiasa menyebutkan kata "iimaanan wahtisaaban", untuk menunjukkan bahwa ibadah yang Allah swt terima adalah berdasarkan iman dan harapan atas ridhaNya.

Marilah kita semak beberapa hadits berikut :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan harapan akan ridhaNya, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits lain disebutkan :
"Sesiapa yang menegakkan solat malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan harapan akan ridhaNya, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Muslim)

Secara khusus mengenai solat pada malam Al Qadr pula, Rasulullah saw bersabda :
"Sesiapa yang menegakkan solat malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan harapan akan ridhaNya, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

DENGAN IMAN PUASA RAMADHAN TERASA LAZAT

Setelah memanggil orang-orang beriman dengan "yaa ayyuhalladziina aamanuu", Allah swt menegaskan : "kutiba 'alaikumush shiyaam" (diwajibkan ke atasmu berpuasa).

1. Apakah hubungan puasa dengan iman?

2. Mengapa hanya orang beriman yang diwajibkan berpuasa?

3. Apakah puasa Ramadhan merupakan bukti keimanan seseorang?

PERTAMA :
Ketika seseorang beriman kepada Allah swt, seharusnya ia sedar bahwa Allah swt sentiasa bersamaNya. Di dalam dirinya menggelora hakikat keagunganNya. Setiap disebut namaNya hatinya bergetar penuh ketakutan.

Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (QS Al Anfaal : 2)

Dengan keimanan, seluruh kegiatan sehariannya sentiasa dalam rangka mentaatiNya. Tidak ada perbuatan sekecil apapun yang ia lakukan kecuali dengan petunjukNya.
Ia menjauhi sama sekali dari apa sahaja yang disebut kemaksiatan. Baginya, kemaksiatan adalah bencana yang tidak hanya menghancurkan harga dirinya melainkan juga menjadi sumber malapetaka bagi kemanusiaan di muka bumi.

Kesedaran ini membuatnya sangat berhati-hati dalam bersikap, jangan sampai langkahnya terjerumus ke dalam kemaksiatan sehingga yang "syubuhat" (samar-samar) pun ia jauhi kerana dari yang "syubuhat" akan lahir daya tarikan kepada yang haram.

Puasa adalah ibadah menahan diri dari yang halal. Dari sini nampak betapa hakikat puasa adalah sebagai benteng supaya pelakunya terhindar dari yang haram kerana kebiasaan menahan diri dari yang halal akan membangunkan lapisan-lapisan baja yang menjaganya supaya tidak terjatuh kepada perkara yang Allah swt haramkan.

Perhatikan betapa untuk menegakkan puasa, seseorang mesti mempunyai iman kerana hanya dengan iman yang jujur seseorang akan benar-benar merasakan lazatnya puasa. Tanpa kesedaran iman, puasa akan menjadi suatu bebanan. Di saat orang-orang berbahagia dengan puasa, ia malah merasa sempit hatinya dengan puasa.

KEDUA :
Ketika seseorang melakukan puasa, ia sedang berjuang menutup segala pintu yang selama ini syaitan selalu masuk darinya.
  1. Pintu nafsu makan ia tutup di mana ramai di antara manusia yang mengambil benda-benda yang haram hanya kerana nafsu makan.
  2. Pintu nafsu permusuhan juga ia tutup di mana selama ini banyak berlaku konflik saling menyakiti, saling menjatuhkan, saling menzalimi bahkan tidak jarang pula saling membunuh di antara manusia adalah kerana nafsu ini. Lidahnya ia tahan dari perbuatan yang keji. Setiap ada orang yang mengajaknya bertengkar, ia menjawab: "Maaf saya sedang berpuasa".
  3. Pintu nafsu seks pun ia tutup di mana selama ini ramai manusia yang terjerumus ke dalam dosa-dosa kerana nafsu ini. Perhatikan betapa puasa mencerminkan hakikat perlawanan yang dahsyat seorang hamba Allah swt terhadap syaitan.
Di dalam dirinya menggelora semangat untuk tidak tunduk kepada syaitan, bilapun dan di manapun ia berada. Ia sedar bahwa syaitan adalah musuhnya.

Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala." (QS Al-Fathir : 6)

Ketika seseorang masuk ke medan pertarungan melawan syaitan, bererti ia masuk ke dalam pertempuran yang tidak akan pernah berakhir. Dalam rangka ini ia mesti mempunyai bekalan iman yang kukuh kerana jika imannya lemah ia tidak akan mampu untuk 'istiqamah'.

Maka ketika Allah swt memanggil di awal ayat ini : "yaa ayyuhalladziina aamanuu", itu maksudnya adalah orang-orang yang benar-benar jujur dalam imannya bukan orang-orang munafik yang pura-pura beriman kerana tidak mungkin seseorang yang tidak jujur dalam imannya boleh melaksanakan ibadah puasa dengan jujur.

Dari sini nampaklah rahsia firman Allah swt dalam hadits Qudsi:

"Semua amal anak Adam itu untuk dirinya kecuali puasa, itu untukKu dan Aku akan memberikan langsung pahalanya." (HR Bukhari)

Perhatikan betapa puasa merupakan bukti kejujuran iman seseorang sehingga Allah swt mengagungkannya dan terlibat secara langsung untuk memberikan pahala kepada pelakunya.

KETIGA :
Puasa Ramadhan adalah merupakan salah satu tiang ajaran Islam. Untuk menegakkan tiang ini secara kukuh, tidak mungkin dilakukan oleh seseorang yang tidak mempunyai iman atau pura-pura beriman.

Allah swt Maha Mengetahui, benar-benar tahu siapa di antara manusia yang benar-benar patut diundang untuk menegakkan tiang ini. Itulah mereka yang benar-benar beriman kepada Allah swt secara jujur dan kerana itulah, Allah swt panggil mereka dengan : "yaa ayyuhalladziina aamanuu".

Perhatikan bentuk panggilan ini di mana Allah swt memanggil mereka hanya dengan kualiti keimanannya, bukan yang lain-lain. Ini menunjukkan bahwa yang Allah swt inginkan dari manusia melalui puasa ini adalah bagaimana ia benar-benar beriman kepada Allah swt secara kukuh dan jujur.

Iman yang menghidupkan jiwanya sehingga ia sentiasa merasa bersama Allah swt. Bukan iman yang semata-mata diucapkan dengan lisan, diiklankan di sepanduk-sepanduk atau tayangan televisyen sementara hatinya tidak pernah menikmati lazatnya iman tersebut.

Ya Allah, kami menyahut seruanMu untuk melaksanakan ibadah puasa ini yang juga merupakan ibadah kesinambungan dari umat-umat sebelum kami. Kurniakanlah di dalam hati kami, keimanan yang mendalam serta niat hanya mengharapkan keridhaanMu sehingga kami dapat melaksanakan puasa ini semata-mata keranaMu dan mendapat balasan yang terus dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Perutusan Ramadhan oleh YDP IKRAM Kuala Langat

Salam Ramadhan
 
Saya mewakili semua jawatankuasa daerah Ikram Kuala Langat mengucapkan selamat menyambut kehadiran bulan ramadhan.
 
Semoga ramadhan pada tahun akan kita susun dengan aktiviti hidup berteraskan kepada nilai ibadah sebenarnya. Doronglah isteri/suami dan anak-anak melakukan aktiviti terbaik pada bulan yang mulia ini.
 
Renung dan fikirlah peristiwa-peristiwa besar Islam sepanjang bulan ini seperti nuzul Quran, Badr Kubra dan seumpamanya. Moga kita mendapat kurniaan makam taqwa dari Allah swt. Doakan kami semua semoga thabat dan sabar dalam melaksanakan amanah tarbiah dan dakwah ini.
 
Amin.
0

MAJLIS IFTAR PERDANA 2011-JOM SEBARLUASKAN

 
JOM SEBARKAN.....!!

ALHAMDULILLAH, 
TAHUN 2011, MIPHC SEKALI LAGI "UP ONE NOTCH"  MENGADAKAN 
MAJLIS IFTAR DI 5 BUAH NEGERI
IAITU :

I) MIPHC WILAYAH PERSEKUTUAN 20.08.2011

II) MIPHC PULAU PINANG 13.08.2011

III) MIPHC SABAH 21.08.2011

IV) MIPHC SARAWAK 21.08.2011

V) MIPHC PAHANG 20.08.2011

AYUH!

" HULURKAN SUMBANGAN, RINGANKAN BEBAN "
KUTIPAN DANA BAGI MEMBANTU SAUDARA BARU
MELALUI...???




PENAMPILAN ISTIMEWA :
IMAM MUDA HASSAN, 
TUAN HJ. MUHAMMAD FITRI ABDULLAH, 
SISTER CHAN LI JIN, 
PERSEMBAHAN STUDIO MUALLAF 

& ramai lagiiiiiiiii.....!! 
Jangan lepaskan peluang...!! (^_^)
SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI : 
Puan Rosmawati 019-2386 333/ Cik Alya 013-3137 685
Hotline Hidayah Centre 03-4108 9669


Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top