Terkini...




0

Meneliti Hakikat Kritikan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Kita akan mendapati begitu banyak keuntungan dengan menumbuhkan sikap kritikal secara merata sebagai sebuah budaya dalam kehidupan berorganisasi dan tidak terkecuali organisasi dakwah.
Asasnya adalah bahwa manusia secara individu menyimpan kelemahan bawaan, dan oleh yang demikian ia secara terus menerus memerlukan pengawalan, pengendalian dan perbaikan yang berterusan.
Jamaah dakwah juga memerlukan pengawalan, pengendalian dan perbaikan yang berterusan ke atas dirinya sendiri.
Oleh kerana ia juga komuniti manusia, bukan komuniti malaikat, maka dengan yang demikian, kelemahan-kelemahan bawaan yang ada pada manusia juga wujud pada jamaah dakwah.
Proses pembelajaran kita sebagai manusia, sebahagiannya terbentuk melalui interaksi dalam masyarakat; di mana berlakunya :
  1. Penerimaan dan penolakan.
  2. Pujian dan kritikan.
  3. Aksi dan reaksi.
Maka hasil dari keadaan di atas, timbulnya sifat kontra antara :
  1. Suka dan tidak suka.
  2. Cinta dan benci.
  3. Sedih dan gembira.
  4. Marah dan damai.
  5. Kecewa dan bahagia.
Dalam pergeseran itu, manusia mengalami perubahan-perubahan dalaman dalam :
  1. Fikirannya.
  2. Perasaannya.
  3. Perilakunya.
Itulah sebabnya mengapa sikap kritikal dan budaya introspeksi menjadi instrumen penting dalam proses penyempurnaan kehidupan organisasi atau kehidupan berjamaah.
Itulah juga sebabnya mengapa Umar bin Al Khattab mengucapkan terima kasih kepada siapa pun yang menghadiahkan "aibnya" kepadanya kerana itu merupakan proses penyempurnaan diri.
Seorang penyair Arab, Al–Mutanabbi  berkata :
"Orang yang sempurna adalah orang yang 'aibnya dapat dihitung'"
Namun, tidak sedikit 'syubhah' yang melekat dalam proses implementasi sikap kritikal tersebut, terutama dalam situasi di mana sikap kritikal bertemu dengan suasana keterbukaan dan kebebasaan menyampaikan pendapat.
Akibatnya adalah bahwa keuntungan yang sepatutnya kita perolehi dari sikap kritikal tersebut akan berubah menjadi satu masalah baru.
PERTAMA : Apabila sikap kritikal itu bersumber dari kebencian, bukan dari semangat saling memperbaiki.
Kebencian sentiasa membuatkan seseorang menjadi kritikal, bahkan sangat kritikal terhadap orang yang dibencinya.
Sebaliknya, cinta membuatkan seseorang jadi longgar dan mudah memaafkan orang yang dicintainya.
Benci dan cinta sentiasa menyukarkan kita "menilai" dan "meneliti" seseorang atau suatu masalah secara objektif dan adil.
Itulah sebabnya mengapa Rasulullah saw sentiasa berdoa agar diberikan kemampuan bersikap adil ketika sedang suka dan ketika sedang benci.
Sikap kritikal yang lahir dari kebencian hanya akan mendapatkan :
  1. Sambutan kebencian yang sama.
  2. Penolakan.
  3. Reaksi yang dingin.
Hanya orang mempunyai kelapangan dada yang "tidak terbatas" yang dapat menerima kritikan dari kebencian itu.
KEDUA : Apabila sikap kritikal itu lahir dari keinginan untuk berbeza dengan orang lain dan dijadikan wasilah untuk memperjelaskan identiti diri sendiri.
Itulah ungkapan yang sangat terkenal dalam pepatah Arab :
"Berbezalah, supaya kamu dikenali."
Menjadi kritikal kadang-kadang merupakan cita rasa seseorang dan ramai orang membangun cita rasa dirinya atau bahkan kemasyhurannya dari sikap seperti itu.
Mereka mungkin menggunakan kesalahan orang lain sebagai jambatan untuk memperbaiki cita rasa dirinya.
Walaupun kenyataan ini lebih banyak berlaku dalam dunia politik, tapi ia juga boleh berlaku dalam dunia dakwah.
Di samping ia merupakan niat yang salah, cara seperti itu juga sebenarnya hanyalah memberi bebanan hutang yang mesti dibayar; bahwa kritikan kita mesti mampu kita buktikan.
KETIGA : Apabila sikap kritikal itu dijadikan cara untuk mendapatkan imej sebagai seorang  pemberani;
  1. Bahwa dirinya tidak takut pada siapa-siapa, termasuk orang atasan.
  2. Bahwa dirinya berani menanggung risiko dari sikap kritikalnya, walauapapun risiko itu.
Cita rasa sebagai pemberani tentu sahaja menggoda ramai orang, tapi dengan bersikap begitu kita sebenarnya tidak melakukan perbaikan apa-apa bahkan hanya akan menimbulkan provokasi terhadap sikap defensif dari orang yang dikritik itu dengan niat seperti itu.
KEEMPAT : Apabila sikap kritikal itu dijadikan topeng untuk merosakkan nama baik orang lain atau membuka aib sesama sendiri, misalnya mengkritik seseorang di khalayak umum.
Mengkritik seseorang di khalayak ramai secara umum tidak dianjurkan dalam Islam.
Bahkan ketika Allah memerintahkan Nabi Musa dan Harun untuk memberi peringatan kepada Fir'aun, Allah justeru menyuruh mereka berdua berkata yang lembut.
Imam Syafi'e juga mengatakan bahwa seandainya ada orang yang mengkritiknya di khalayak ramai maka beliau tidak akan menerima kritikan itu.
Kritikan dengan niat seperti ini tidak akan berkesan memperbaiki orang yang dikritik, bahkan hanya akan merosakkan hubungan persaudaraan.
KELIMA : Apabila sikap kritikal itu berkembang menjadi 'ghibah'.
Contohnya, ketika seseorang mengkritik orang secara tidak langsung, tapi mengkritiknya dengan cara membuka kesalahan atau aib seseorang kepada orang lain yang sebenarnya tidak ada hubungan dengan orang yang dikritik tersebut.
Cara seperti ini hanya akan memperbanyakkan jumlah majlis 'ghibah' di mana kritikan-kritikan (yang sepatutnya memiliki kebenaran) tapi disampaikan tidak pada orang yang tepat sehingga orang-orang merasakan kritikan itu tidak "terdengar" atau telah diabaikan. Mereka merasa sudah mengkritik, tapi tetap sahaja tidak ada yang berubah.
Tentu sahaja 'ghibah' tidak akan menghantar kritikan sampai ke alamatnya dengan cara yang tepat dan oleh yang demikian tidak akan berkesan dalam memperbaiki seseorang atau suatu keadaan.
Ini adalah kerana, sebagaimana Islam tidak menghalalkan 'ghibah', maka kebebasan, keterbukaan dan demokrasi juga tidak akan pernah menghalalkan 'ghibah'.
Oleh yang demikian, kritikan hanya akan berkesan bagi memperbaiki seseorang atau suatu keadaan apabila anasir-anasirnya telah dipenuhi.
PERTAMA : Ada niat yang benar dari orang yang mengkritik bahwa ia melakukan itu semata-mata sebagai pelaksanaan dari kewajiban menasihati sesama muslim dan untuk itu ia mengharapkan pahala dengan melaksanakan kewajiban itu.
KEDUA : Memang ada kesalahan objektif yang mesti dikritik, samada kesalahan individu ataupun kesalahan polisi.
KETIGA : Kritikan itu disampaikan dengan cara yang benar dan tepat sesuai dengan adab-adab menasihati dalam Islam.
Ya Allah, kurniakanlah kelapangan dada kepada kami untuk kami sentiasa mendengar dan menerima nasihat yang baik dan memberikan kekuatan untuk menyampaikan nasihat dengan cara yang benar dan tepat.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top