Terkini...




0

Menyusuri Pendakwah Contoh

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Pada suatu ketika Imam Hasan Al-Banna telah menghadiri muktamar di Manzilah Daqliyah.
 
Setelah muktamar itu selesai dan waktu tidur telah tiba, beliau yang ditemani oleh Umar At Tilmisani menuju tempat tidur yang memiliki dua buah bilik tidur.
 
Kedua-duanya pun merebahkan diri di tempat tidur masing-masing.
 
Setelah beberapa ketika, Imam Hasan Al-Banna berkata :
 
"Apakah engkau tidur, wahai Umar?"
 
Umar Tilmisani menjawab : "Belum."
 
Beberapa saat kemudian, pertanyaan itu berulang lagi dan jawaban sama pun berulang.
 
Umar Tilmisani berkata dalam hatinya :
 
"Apabila beliau bertanya lagi, maka saya tidak akan jawab."
 
Imam Hasan Al-Banna menyangka Umar telah tidur.
 
Maka beliaupun keluar dari bilik tidur dengan mengendap-ngendap sambil memegang seliparnya.
Beliau menuju bilik mandi untuk memperbaharui wudhu'nya. Selepas itu beliau menuju ke bahagian hujung ruangan lalu menghamparkan sejadah lalu melaksanakan solat tahajjud.
 
Cerita yang disampaikan oleh Umar Tilmisani di atas mengandungi teladan yang berharga bagi kita.
Inilah Imam Hasan Al-Banna, profil pendakwah yang menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai contoh tauladan dalam gerak langkah hidupnya.
 
PERTAMA : MEWAKAFKAN WAKTU UNTUK PERJUANGAN ISLAM
 
Dari cerita di atas, diungkapkan bahwa Imam Hasan Al-Banna menghadiri muktamar di Manzilah Daqliyah.
 
Hal ini menunjukkan kepada kita bahwa beliau adalah orang yang tidak pernah berhenti bergerak memperjuangkan Islam. Beliau curahkan :
 
1.      Waktu.
2.      Tenaga.
3.      Fikiran.
 
untuk kepentingan dakwah.
 
Ruh semacam inilah yang semestinya juga kita miliki sehingga ungkapan :
 
"Dakwah tiada henti" tidak hanya menjadi slogan semata-mata dan kata-kata yang indah tapi kosong dari segi implementasinya.
 
KEDUA : MENDEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH (TAQARRUB  ILALLAH)
 
Dari cerita di atas juga kita pun dapat mengetahui bahwa 'taqarub ilallah' telah menjadi ciri dan kebiasaan Imam Hasan Al-Banna.
 
Kepenatan aktiviti tidak menjadikan beliau merasa berhak untuk terburu-buru untuk beristirehat.
 
Secara tersiratnya kita dapat menarik kesimpulan tentang betapa kerinduannya 'berkhalwat' (bersendirian) dengan Rabbnya.
 
Begitulah semestinya seorang pendakwah :
 
a.       'Taqarrub ilallah' menjadi karakter dan kebiasaannya.
b.      'Qiyamulail' menjadi kerinduannya yang tidak pernah ditinggalkan bila, di mana dan apapun keadaannya selama mana ia mampu melaksanakannya.
 
Lebih-lebih lagi para pejuang dakwah yang amat memerlukan dukungan dan pertolongan Allah swt.
 
KETIGA : KEIKHLASAN BERIBADAH DAN SIFAT KELEMBUTAN (SYAFAQAH)
 
Pelajaran lain yang dapat kita ambil adalah di sini kita lihat bahwa Imam Hasan Al-Banna tanpa dibuat-buat telah menunjukkan keikhlasannya dalam beribadah (wallahu a'lam).
 
Beliau berusaha agar ibadah yang dilakukannya tidak diketahui orang.
 
Selain itu peristiwa 'tahajjud' ini menunjukkan sikap 'syafaqahnya' (kelemahlembutannya).
 
Beliau tidak mahu mengganggu Umar Tilmisani dan membiarkannya beristirehat kerana mengetahui kepenatannya setelah melaksanakan beberapa aktiviti.
 
1.      Keikhlasan beribadah memang akan menyegarkan jiwa sedangkan ibadah yang disaluti riya' akan menyempitkan dada.
2.      Syafaqah (kelemahlembutan) menunjukkan jiwa penyayang dan sifat sabar.
 
Imam Hasan Al-Banna telah mengajarkan nilai-nilai mulia ini dengan amalnya dan bukan hanya berbicara.
Mudah-mudahan kita dapat memetik pelajaran dari hamba yang berteladankan Nabi kita Muhammad saw ini.
 
DAKWAH YANG BIJAK
 
Imam Hasan Al-Banna seringkali dituduh sebagai sumber kepada gerakan Islam garis keras yang tidak ragu-ragu untuk melakukan aksi-aksi keganasan untuk mencapai tujuannya.
Kenyataannya, tuduhan ini 'jauh panggang dari api'.
Jika kita menyelami perjalanan hidup Imam Hasan Al-Banna secara utuh dengan hati yang terbuka tanpa prasangka, pasti kita akan temui bahwa beliau tidaklah seperti yang dituduhkan oleh ramai orang apalagi dianggap sebagai penyebab kepada keganasan.
Paling tidak ini tergambar dari sebahagian peristiwa dalam hidupnya ketika Pemerintahan Mesir di bawah pimpinan 'An-Nuqrasyi' mengeluarkan keputusan pembubaran Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun yang dipimpin oleh beliau sendiri, sejak tanggal 8 Disember 1948.
Ketika itulah berlakunya ujian, cobaan, penculikan dan penyiksaan kepada anggota Ikhwan.
Sebahagian pemuda Ikhwan datang menemui Imam Hasan Al-Banna untuk meminta izin bagi melakukan penentangan terhadap pemerintah sekuat tenaga, namun Imam Hasan Al-Banna melarang dengan tegas rancangan tersebut dan menjelaskan akibat buruk yang akan ditimbulkannya.
Ia mengingatkan para pemuda itu dengan kisah Nabi Sulaiman ketika menyelesaikan persoalan dua wanita yang merebut seorang bayi. Masing-masing bersikap keras dan mengaku bayi itu adalah anaknya.
Oleh yang demikian, Nabi Sulaiman memutuskan agar anak tersebut dibelah menjadi dua.
Wanita yang tidak melahirkan anak itu setuju mendapat separuh bahagian, sedangkan wanita yang melahirkan anak itu tidak setuju. Ia kemudiannya merelakan bahagiannya diberikan kepada lawannya agar buah hatinya tetap hidup.
Selepas itu Imam Hasan Al-Banna berkata kepada para pemuda yang berniat untuk melakukan pemberontakan :
"Kita sekarang melaksanakan peranan seperti yang dilakukan oleh seorang ibu yang sejati".
Sikap bijak Imam Hasan Al-Banna di atas mengandungi beberapa pelajaran penting bagi aktivis dakwah ketika ini :
  1. Betapapun besar kebencian dan permusuhan manusia kepada dakwah, hendaknya tidak menghalang seorang pendakwah mengambil sikap bijak demi kemaslahatan yang lebih besar dan menjaga diri dan masyarakat umum dari kemudaratan yang mungkin timbul. Ini disebabkan kerana dakwah adalah usaha perbaikan dan perubahan masyarakat ke arah yang lebih baik.
Dalam peristiwa di atas, Imam Hasan Al-Banna lebih memilih bersabar di atas penderitaan dibandingkan dengan keperluan untuk melakukan pemberontakan kepada pemerintahan yang sah walaupun zalim kerana memikirkan kepentingan yang lebih besar bagi masyarakat umum.
  1. Dakwah memerlukan pemimpin yang memiliki 'hikmah' dan ´tafaqquh fiddin' (memahami agama) sehingga gerakan dakwah akan terbimbing dengan benar ke arah tujuannya.
  2. Dakwah Islam itu mestilah berlandaskan kasih sayang dan jauh dari tindakan kekerasan. Tentu sahaja ia bukanlah bererti sifat tegas dan pembelaan diri mesti dihapuskan dalam diri para mujahid dakwah. Hanya sahaja itu mestilah ditempatkan dan dipertimbangkan secara tepat dan seimbang.
 "Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepadaNyalah aku kembali." (QS Hud : 88)
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami hikmah dan kefahaman yang mendalam terhadap agama ini sehingga kami mampu menerokanya dan mengambil buah-buahnya yang ranum bagi memikul tanggungjawab dakwah terhadap umat NabiMu saw. Bantulah kami untuk istiqamah di atas jalan ini sehingga kami mampu memetik hasilnya di dunia atau kami mendapatkan pahala yang besar di akhirat nanti.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top