Terkini...




0

Disiplin Penentu Kejayaan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Sesungguhnya amal tarbawi yang bersistem, produktif dan dilaksanakan dalam konteks jamaah adalah manhaj yang kukuh dalam Islam.
a.       Tiada jamaah tanpa sistem
b.      Tiada sistem tanpa jamaah.
Kedua-duanya adalah ibarat dua muka bagi sekeping duit syiling.
Apabila kita sepakat bahwa adanya sebuah jamaah merupakan tuntutan syara' dan sekaligus menjadi salah satu unsur tetap Islam, maka jamaah itu hanyalah sepeti jasad tanpa ruh jika tidak wujud sistem dan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.
Sistem yang dimaksudkan merangkumi
1.      Aspek aqidah.
2.      Aspek ibadah.
3.      Aspek harakah.
Oleh sebab itu Imam Hasan Al Banna telah menggariskan manhaj aqidah, manhaj ibadah dan manhaj harakah agar :
a.      Kefahaman dapat disatukan.
b.      Perjalanan jamaah dapat dikawal.
Oleh yang demikian, kepatuhan kepada sistem merupakan :
  1. Prinsip berjamaah.
  2. Unsur tetap jamaah.
Sesiapa yang ingin masuk dan menjadi pekerja harakah, maka hendaklah dia menghormati sistem dan peraturan dan ini merupakan satu perkara yang mudah difahami di mana dalam praktik kehidupan kita pun apabila seseorang itu menyertai mana-mana kelab, syarikat atau persatuan, dengan sendirinya dia tertakluk kepada sistem dan peraturan institusi tersebut.
Jika ia tidak menghormati peraturan maka hukuman atau denda yang setimpal akan dikenakan.
Bahkan jika kita lihat amalan di dalam parti-parti politik, apabila seseorang ahli politik itu mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan idealisma dan pemikiran partinya, maka ia akan berhadapan dengan tindakan jawatankuasa disiplin.
Firman Allah swt :
"Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh." (QS An Nur : 49)
Sudah tentu, sebuah jamaah yang ingin menegakkan agama dan khilafah yang telah jatuh, tidak akan dapat mencapai matlamat dan objektifnya tanpa sistem dan peraturan.
Bolehkah seseorang berkata :
"Saya meyakini fikrah, tasawur dan objektif yang dibawa tetapi saya tidak boleh beriltizam dengan sistem dan peraturan jamaah."
Ada juga yang berkata dengan nada yang lebih keras :
"Apa kena mengena kami dengan undang-undang, peraturan, sistem dan manhaj yang mengongkong gerakan. Biarkan kami bekerja, kami bukan budak kecil lagi."
Bahkan ada yang mengatakan :
"Tidakkah lebih baik, selepas ditarbiyah, kamu biarkan pekerja dakwah itu bekerja dan masuk ke medan dakwah tanpa disekat dengan undang-undang dan peraturan."
SIKAP-SIKAP YANG DIANGGAP TIDAK BERDISIPLIN
Kes-kes melanggar peraturan memerlukan ketegasan pimpinan dalam menanganinya. Jika tidak, sudah tentu akan berlaku keadaan yang tidak stabil dalam jamaah.
Ada beberapa contoh kes pelanggaran undang-undang yang pernah berlaku dalam jamaah Ikhwanul Muslimin, antaranya ialah kes Syeikh Ahmad Hasan Al Baquri.
Beliau menerima tawaran jawatan menteri dalam kabinet Jamal Abdul Nasir tanpa izin Mursyidul Am, Hasan Al Hudhaibi.
Berikut adalah percakapan antara keduanya :
Mursyid :         Apakah pendirian kamu sekarang?
Al Baquri :      Saya meletak jawatan daipada Maktab Irsyad.
Mursyid :         Kemudian apa pula?
Al Baquri :      Saya menarik diri daripada "Hai'ah Ta'sisiyah" atau Lembaga Pengasas.
Mursyid ;         Kemudian apa pula?
Al Baquri:        Saya keluar daripada Jamaah Ikhwanul Muslimin.
Mursyid :         Itulah penyelesaian yang tepat.
Kemudian Ustaz Mursyid telah pergi ke pejabat di Kementerian Waqaf mengucapkan tahniah kepada Syeikh Ahmad Hasan Al Baquri.
Pada tahun 1965 berlaku fitnah takfir (kafir mengkafir) iaitu wujudnya satu golongan dalam Ikhwan yang mengkafirkan orang lain. Selain fikrahnya yang menyeleweng, golongan takfir ini mempunyai kesan yang merbahaya kepada jamaah Ikhwanul Muslimin dan boleh memecah belahkan Ikhwan dari dalam.
Keputusan yang dibuat adalah memulaukan golongan yang memiliki pemikiran takfir agar mereka kembali kepada fikrah dan peraturan jamaah.
Oleh kerana itu,diterbitkanlah sebuah buku khusus yang ditulis oleh Mursyid Am sendiri yang bertajuk "Dua't la Qudhat" (Kita adalah para da'ie bukan hakim) bagi membezakan :
1.      Mana "muttabi" (pengikut) dan mana "mubtadi" (pembuat bid'ah dalam jamaah).
2.      Mana "multazim" (anggota yang mempunyai komitmen) dan mana "kharij" (anggota yang keluar dari fikrah jamaah).
Ada pihak yang mencadangkan agar perbincangan masalah pemikiran takfir ini ditunda memandangkan situasi yang sangat berat pada masa itu tetapi Ustaz Mursyid tidak bersetuju seraya berkata :
"Fikrah ini (takfir) sungguh lebih membahayakan dakwah daripada cemeti dan penyiksaan yang dilakukan oleh algojo Jamal Abdul Nasir"
Kemudian beliau melakukan tindakan tegas terhadap masalah ini.
"Supaya Dia (Allah) melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya) yang nyata dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya) yang nyata (pula)." (QS Al Anfal : 42)
Hasilnya ramai yang kembali kepada fikrah yang asal dan jamaah terpelihara dengan ketegasan itu.
Yang tinggal hanyalah segelintir yang keluar daripada jamaah daripada sudut fikrah dan tanzim.
Ada sesetengah mereka berkata :
"Kami berbai'ah dalam semua perkara dengan jamaah kecuali masalah takfir".
Lalu Ustaz Mursyid menjawab :
"Bahkan dalam semua perkara termasuk yang ini (takfir), sesiapa yang tidak berbai'ah sedemikian maka hendaklah ia mencari platform atau organisasi yang lain selain daripada Ikhwanul Muslimin."
KEPENTINGAN MENTAATI SISTEM DAN PERATURAN
Kita mesti memahami sikap-sikap ini agar sedar betapa pentingnya mentaati sistem dan peraturan-peraturan jamaah yang akan membezakan pengikut dari penyeleweng.
Allah swt telah mengajarkan kita bahawa alam ini mempunyai undang-undang dan peraturannya yang tidak boleh dilanggar.
"Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang. Dan tiap-tiap satunya beredar pada garis edarnya masing-masing." (QS Yaasin : 40)
Rasulullah saw pula mengajar kita bahwa sesiapa yang :
1.      Mengikut Al Qur'an.
2.      Melaksanakan arahannya.
3.      Meninggalkan larangannya.
4.      Sabar di atas kesusahan yang menimpanya.
Maka dia akan mendapat hidayah.
Sesiapa yang tidak menuruti perintah Al Qur'an dan menyanggahi arahan dan larangannya maka musnahlah ia.
"Maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." (QS Thaha : 123-124)
Jadi di sana ada unsur tetap untuk memelihara alam dan manhaj tetap untuk membahagiakan manusia.
Antara pengajarannya ialah mesti ada sistem yang mapan yang mampu menghimpunkan kesemua individu dalam ketaatan kepada Allah dan rasulNya selama mana kita meyakini:
a.       Kesahihan aqidah jamaah ini.
b.      Kebenaran para pengikutnya.
c.       Keikhlasan para pimpinannya.
Di kala itu ketaatan menjadi ibadah kepada Allah swt.
Oleh itu, di samping menghidupkan jiwa dengan keimanan, tabiat Harakah Islamiyah juga menuntut agar berjalan secara bersistem dan berperaturan.
Ikatan ukhuwah yang kuat tidak sepatutnya melalaikan daripada keperluan kesatuan kefahaman dan kesatuan tanzim yang bertindak sebagai tarbiyah idariah (latihan pengurusan) yang mempunyai hubungan dengan nilai keimanan.
Antara halangan tarbiyah ialah berlakunya kecenderungan yang lebih pada sudut teori ke atas sudut amali dan pelaksanaannya tanpa dihubungkan dengan tarbiyah.
Oleh itu mesti wujud tiga perkara iaitu :
1.      Iman yang memberikan keyakinan kepada amal.
2.      Taqwa yang menanamkan sikap berhati-hati dalam setiap amalan kerana merasai diri sentiasa diperhatikan.
3.      Ihsan yang menyebabkan seseorang individu melakukan amalnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh .
Ketiga-tiga perkara ini akan menjadi sempurna dengan adanya :
a.       Sistem yang satu.
b.      Kepimpinan yang satu.
c.       Pengarahan yang satu.
Semuanya itu akan menukarkan seorang muslim :
  1. Menjadi ledakan tenaga yang begitu kuat.
  2. Melakukan amalan demi pencapaian yang maksima.
Kesemua perkara-perkara itu bertujuan untuk melaksanakan ubudiyah kepada Allah swt melalui syiar :
a.       Ibadah.
b.      Sistem.
c.       Peraturan.
d.      Akhlak.
e.       Pengurusan.
TITIK TOLAK KITA ialah ubudiyah kepada Allah swt.
TUGAS KITA ialah mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah swt semata-mata.
Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalanMu yang lurus bersama-sama dengan Harakah Islamiyah yang berusaha untuk menegakkan Deen dan syariatMu di muka bumi ini. Janganlah Engkau biarkan sikap keingkaran kami kepada segala sistem dan peraturan yang ada di dalam harakah ini kerana ianya akan merencatkan perjalanannya menuju matlamat yang telah ditetapkan. Kurniakanlah kepada kami kesabaran berada di atas jalan ini samada dalam keadaan kami suka atau benci selagimana kami tidak disuruh untuk bermaksiat kepadaMu sehingga kami dipanggil pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top