Terkini...




0

CERAMAH ISRA MIKRAJ OLEH UST HASANUDIN DI MASJID SG KELAMBU, BANTING

Salam,
Ust Hasanudin menyampaikan ceramah Isra Mikraj di Masjid Kg Sg Kelambu selepas maghrib 24 Jun 2011. Ceramah beliau dihadiri oleh lebih 300 hadirin yang terdiri daripada anak kariah dan juga pelajar-pelajar Maahad Ihya Ahmadi Kg Sg Kelambu. Ceramah kali ini berjaya mengumpul derma untuk tabung Palestine sebanyak RM729.90.
Cikgu Yusri.
0

IKRAM JUNIOR Kuala Langat : Semut dan Manisan

Salam..
 
Ikhwah dan akhawat skelian.
 
Sedikit laporan program IKRAM Junior Kuala Langat yang telah berlangsung pada Ahad 26/6/11 di Olak Lempit Kuala Langat.
 
Semut dan Manisan menjadi tema program Ikram Junior Kuala Langat selepas Jawatankuasa Pembangunan Kanak-kanak memilih haiwan ciptaan Allah ini sebagai maskot dengan tema Giat Bermanfaat. Objektif program ini untuk anak-anak mengenali semut secara fizikal,  kehidupan sosialnya dan mengikut contoh tauladannya kerana haiwan kecil ini dipuji Allah di dalam Al-Quran. Riuh rendah kanak-kanak mencari semut terbesar dan memerhatikan pergerakan dan struktur anatominya menggunakan kanta pembesar.  Cerita tauladan semut dari Al-Quran disampaikan oleh Kak Alwani. Waduh! waktu makan pun mereka diberikan santapan total iaitu bukan perut saja kenyang tapi diberi kemahiran menggunakan chopstick sambil memilih  makanan seimbang Bee Hoon yang sarat dengan sayur-sayuran. Bestnya, kecil-kecil telah disediakan untuk mengenali budaya lain. Permulaan untuk Dakwah Masyarakat Majmuk.
 
Jazakillah Muallimah Yati dari Tadika Naim yang menjadi Chef Semut kita hari itu. Beliau mengingatkan kanak-kanak akan  peribahasa Melayu, berbunyi Mati Semut Kerana Gula......iaitu menjauhi sifat tamak dan tidak beringat-ingat dengan yang datang. Donat kreatif Chef Semut kita begitu istimewa, kerana menggunakan gula perang yang rendah kandungan gulanya, mudah disediakan  sehingga ada yang terus  buat donat  selepas balik berprogram. Moga lakonan dan lagu-lagu bertemakan semut akan dihayati tauladannya dan dapat mengenali semut secara hakiki.
 
Akhir kalam Mama Fuzi dan Ummi Ila mengucapkan Tahniah dan Jazakumullah kepada semua yang bersungguh-sungguh untuk bersama anak-anak kita .
 
Jzkk
 
Dr Fuziah Osman
JK IKRAM Junior
Kuala Langat
0

X-KBM Prog Susulan di SMKBB

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Ceramah Isra Mikraj oleh Ust Hasanudin di Sg. Kelambu

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Menyusuri Pendakwah Contoh

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
 
Pada suatu ketika Imam Hasan Al-Banna telah menghadiri muktamar di Manzilah Daqliyah.
 
Setelah muktamar itu selesai dan waktu tidur telah tiba, beliau yang ditemani oleh Umar At Tilmisani menuju tempat tidur yang memiliki dua buah bilik tidur.
 
Kedua-duanya pun merebahkan diri di tempat tidur masing-masing.
 
Setelah beberapa ketika, Imam Hasan Al-Banna berkata :
 
"Apakah engkau tidur, wahai Umar?"
 
Umar Tilmisani menjawab : "Belum."
 
Beberapa saat kemudian, pertanyaan itu berulang lagi dan jawaban sama pun berulang.
 
Umar Tilmisani berkata dalam hatinya :
 
"Apabila beliau bertanya lagi, maka saya tidak akan jawab."
 
Imam Hasan Al-Banna menyangka Umar telah tidur.
 
Maka beliaupun keluar dari bilik tidur dengan mengendap-ngendap sambil memegang seliparnya.
Beliau menuju bilik mandi untuk memperbaharui wudhu'nya. Selepas itu beliau menuju ke bahagian hujung ruangan lalu menghamparkan sejadah lalu melaksanakan solat tahajjud.
 
Cerita yang disampaikan oleh Umar Tilmisani di atas mengandungi teladan yang berharga bagi kita.
Inilah Imam Hasan Al-Banna, profil pendakwah yang menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai contoh tauladan dalam gerak langkah hidupnya.
 
PERTAMA : MEWAKAFKAN WAKTU UNTUK PERJUANGAN ISLAM
 
Dari cerita di atas, diungkapkan bahwa Imam Hasan Al-Banna menghadiri muktamar di Manzilah Daqliyah.
 
Hal ini menunjukkan kepada kita bahwa beliau adalah orang yang tidak pernah berhenti bergerak memperjuangkan Islam. Beliau curahkan :
 
1.      Waktu.
2.      Tenaga.
3.      Fikiran.
 
untuk kepentingan dakwah.
 
Ruh semacam inilah yang semestinya juga kita miliki sehingga ungkapan :
 
"Dakwah tiada henti" tidak hanya menjadi slogan semata-mata dan kata-kata yang indah tapi kosong dari segi implementasinya.
 
KEDUA : MENDEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH (TAQARRUB  ILALLAH)
 
Dari cerita di atas juga kita pun dapat mengetahui bahwa 'taqarub ilallah' telah menjadi ciri dan kebiasaan Imam Hasan Al-Banna.
 
Kepenatan aktiviti tidak menjadikan beliau merasa berhak untuk terburu-buru untuk beristirehat.
 
Secara tersiratnya kita dapat menarik kesimpulan tentang betapa kerinduannya 'berkhalwat' (bersendirian) dengan Rabbnya.
 
Begitulah semestinya seorang pendakwah :
 
a.       'Taqarrub ilallah' menjadi karakter dan kebiasaannya.
b.      'Qiyamulail' menjadi kerinduannya yang tidak pernah ditinggalkan bila, di mana dan apapun keadaannya selama mana ia mampu melaksanakannya.
 
Lebih-lebih lagi para pejuang dakwah yang amat memerlukan dukungan dan pertolongan Allah swt.
 
KETIGA : KEIKHLASAN BERIBADAH DAN SIFAT KELEMBUTAN (SYAFAQAH)
 
Pelajaran lain yang dapat kita ambil adalah di sini kita lihat bahwa Imam Hasan Al-Banna tanpa dibuat-buat telah menunjukkan keikhlasannya dalam beribadah (wallahu a'lam).
 
Beliau berusaha agar ibadah yang dilakukannya tidak diketahui orang.
 
Selain itu peristiwa 'tahajjud' ini menunjukkan sikap 'syafaqahnya' (kelemahlembutannya).
 
Beliau tidak mahu mengganggu Umar Tilmisani dan membiarkannya beristirehat kerana mengetahui kepenatannya setelah melaksanakan beberapa aktiviti.
 
1.      Keikhlasan beribadah memang akan menyegarkan jiwa sedangkan ibadah yang disaluti riya' akan menyempitkan dada.
2.      Syafaqah (kelemahlembutan) menunjukkan jiwa penyayang dan sifat sabar.
 
Imam Hasan Al-Banna telah mengajarkan nilai-nilai mulia ini dengan amalnya dan bukan hanya berbicara.
Mudah-mudahan kita dapat memetik pelajaran dari hamba yang berteladankan Nabi kita Muhammad saw ini.
 
DAKWAH YANG BIJAK
 
Imam Hasan Al-Banna seringkali dituduh sebagai sumber kepada gerakan Islam garis keras yang tidak ragu-ragu untuk melakukan aksi-aksi keganasan untuk mencapai tujuannya.
Kenyataannya, tuduhan ini 'jauh panggang dari api'.
Jika kita menyelami perjalanan hidup Imam Hasan Al-Banna secara utuh dengan hati yang terbuka tanpa prasangka, pasti kita akan temui bahwa beliau tidaklah seperti yang dituduhkan oleh ramai orang apalagi dianggap sebagai penyebab kepada keganasan.
Paling tidak ini tergambar dari sebahagian peristiwa dalam hidupnya ketika Pemerintahan Mesir di bawah pimpinan 'An-Nuqrasyi' mengeluarkan keputusan pembubaran Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun yang dipimpin oleh beliau sendiri, sejak tanggal 8 Disember 1948.
Ketika itulah berlakunya ujian, cobaan, penculikan dan penyiksaan kepada anggota Ikhwan.
Sebahagian pemuda Ikhwan datang menemui Imam Hasan Al-Banna untuk meminta izin bagi melakukan penentangan terhadap pemerintah sekuat tenaga, namun Imam Hasan Al-Banna melarang dengan tegas rancangan tersebut dan menjelaskan akibat buruk yang akan ditimbulkannya.
Ia mengingatkan para pemuda itu dengan kisah Nabi Sulaiman ketika menyelesaikan persoalan dua wanita yang merebut seorang bayi. Masing-masing bersikap keras dan mengaku bayi itu adalah anaknya.
Oleh yang demikian, Nabi Sulaiman memutuskan agar anak tersebut dibelah menjadi dua.
Wanita yang tidak melahirkan anak itu setuju mendapat separuh bahagian, sedangkan wanita yang melahirkan anak itu tidak setuju. Ia kemudiannya merelakan bahagiannya diberikan kepada lawannya agar buah hatinya tetap hidup.
Selepas itu Imam Hasan Al-Banna berkata kepada para pemuda yang berniat untuk melakukan pemberontakan :
"Kita sekarang melaksanakan peranan seperti yang dilakukan oleh seorang ibu yang sejati".
Sikap bijak Imam Hasan Al-Banna di atas mengandungi beberapa pelajaran penting bagi aktivis dakwah ketika ini :
  1. Betapapun besar kebencian dan permusuhan manusia kepada dakwah, hendaknya tidak menghalang seorang pendakwah mengambil sikap bijak demi kemaslahatan yang lebih besar dan menjaga diri dan masyarakat umum dari kemudaratan yang mungkin timbul. Ini disebabkan kerana dakwah adalah usaha perbaikan dan perubahan masyarakat ke arah yang lebih baik.
Dalam peristiwa di atas, Imam Hasan Al-Banna lebih memilih bersabar di atas penderitaan dibandingkan dengan keperluan untuk melakukan pemberontakan kepada pemerintahan yang sah walaupun zalim kerana memikirkan kepentingan yang lebih besar bagi masyarakat umum.
  1. Dakwah memerlukan pemimpin yang memiliki 'hikmah' dan ´tafaqquh fiddin' (memahami agama) sehingga gerakan dakwah akan terbimbing dengan benar ke arah tujuannya.
  2. Dakwah Islam itu mestilah berlandaskan kasih sayang dan jauh dari tindakan kekerasan. Tentu sahaja ia bukanlah bererti sifat tegas dan pembelaan diri mesti dihapuskan dalam diri para mujahid dakwah. Hanya sahaja itu mestilah ditempatkan dan dipertimbangkan secara tepat dan seimbang.
 "Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepadaNyalah aku kembali." (QS Hud : 88)
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami hikmah dan kefahaman yang mendalam terhadap agama ini sehingga kami mampu menerokanya dan mengambil buah-buahnya yang ranum bagi memikul tanggungjawab dakwah terhadap umat NabiMu saw. Bantulah kami untuk istiqamah di atas jalan ini sehingga kami mampu memetik hasilnya di dunia atau kami mendapatkan pahala yang besar di akhirat nanti.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Bahtera Keselamatan Hakiki

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

"Dan sungguh telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik. Dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (QS Al-Isra' : 70)

Dalam rangka mentaati perintah Allah untuk berjalan di muka bumi dan mengambil pelajaran darinya, jika kita amati secara mendalam di dunia sekeliling kita nescaya kita akan mendapati bahwa keadaan kemanusiaan di abad 21 ini sungguh menggusarkan sehingga kerosakan berlaku di mana-mana samada di daratan atau di lautan dek kerana perbuatan tangan manusia.

Di satu sisi kita melihat sesuatu perbezaan itu biasanya akan berakhir dengan penyiksaan bahkan sampai kepada pembunuhan di mana senjata menjadi bahasa dialog antara manusia.

Ini semua telah mengganti nilai-nilai Islam yang Allah serukan, seperti ta`aruf (saling kenal mengenal), ta`awun (tolong-menolong) serta hidup bersama, sebagaimana firmanNya :

"Wahai sekalian manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu dari jenis laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (QS Al Hujuraat : 13)

Ketika ini, hakikat kemanusiaan telah jauh tersasar dari fitrah yang Allah tetapkan. Nilainya telah hilang sehingga manusia tidak lagi memuliakan manusia lainnya.

Maksud dari "kemanusiaan" di sini adalah, kaidah dasar interaksi antara sesama manusia yang Allah tetapkan untuk melaksanakan tujuan penciptaan manusia, iaitu :

1. Sebagai khalifah Allah di muka bumi.

2. Menegakkan syariat Islam.

3. Memakmurkan dunia.

4. Merealisasikan tujuan agung ketuhanan.

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di atas muka bumi..." (QS Al-Baqarah : 30)

Oleh kerana itu, manusia memiliki kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam.

Syariat Islam hadir untuk :

a. Menjaga kemanusiaan.

b. Menjamin hak-haknya.

c. Memperbaiki keadaan hidupnya.

d. Memudahkan segala urusannya di dunia.

Oleh sebab itu, Allah swt menundukkan segala sesuatu untuk manusia sebagaimana firmanNya :

"Dan Allah telah menundukkan bagi kamu malam dan siang, matahari, bulan dan bintang dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada semua itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami." (QS An-Nahl : 12)

Selain itu, Islam juga mengandungi tujuan-tujuan utama syariat untuk menjaga :

1. Agama.

2. Jiwa.

3. Akal.

4. Keturunan.

5. Harta.

Ini semua adalah dalam rangka menjaga kehidupan dan kemuliaan manusia itu sendiri.

Di antara bentuk kemuliaan yang diberi oleh Allah terhadap manusia adalah Allah menciptakan manusia dalam bentuk yang paling sempurna sebagaimana firmannya :

"Sungguh kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang paling sempurna." (QS Al-Tin : 4)

Bahkan Allah mengaitkan manusia dengan Zat-Nya Yang Maha Tinggi sebagaimana firmanNya :

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Sesungguhnya Aku menciptakan manusia dari tanah. Dan apabila Aku telah menciptakannya dan meniupkan ruh milik-Ku ke jasadnya, maka sujudlah kamu kepadanya'. Kemudian seluruh malaikat sujud padanya. Kecuali Iblis, ia berlaku sombong dan ia tergolong kaum yang kafir." (QS Shad : 71-74)

Dari dasar Islam yang sangat memuliakan manusia ini, maka lahirlah sebuah nilai yang tinggi, iaitu semua manusia adalah sama dalam syariat, kerana semua manusia berasal dari keturunan yang sama, iaitu dari Adam dan Hawa.

Allah swt berfirman :

"Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakanmu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembangbiakka n laki-laki dan perempuan yang banyak... (QS An-Nisaa' : 1)

NILAI-NILAI APAKAH YANG MEREKA SERUKAN?

Itulah nilai-nilai Islam yang pernah menguasai dunia lebih dari seribu tahun.

Pada masa di mana Khilafah Islamiyah menjadi satu-satunya kiblat dunia dalam ilmu, akhlak, syariat dan pola berfikir sedangkan masyarakat Barat pada masa itu masih menjalani kehidupan gua, terkebelakang dan menerapkan hukum rimba.

Ketika memasuki zaman Renaissance di Eropah pada abad pertengahan, Barat mulai mempelajari peradaban Islam samada secara ilmu mahupun pemikiran.

Ketika itu, orang-orang mengira bahwa dunia akan menuju kedamaian dan saling tolong-menolong di mana ruh dan akal mampu disejajarkan namun yang berlaku adalah sebaliknya di mana ternyata yang lahir dari "peradaban" Barat justeru adalah peraturan yang bertentangan dengan fitrah manusia bahkan bertentangan dengan nilai yang Allah swt tetapkan.

Di antara nilai peradaban Barat yang bertentangan dengan fitrah itu adalah :

Menjadikan keuntungan material sebagai dasar dan satu-satunya timbangan untuk menilai segala sesuatu sehingga tersebarlah keburukan. Semua wasilah dibenarkan untuk merealisasikan keuntungan material bagi manusia.

Logik materialistik itulah yang menjadi sandaran kepada perluasan penjajahan Eropah dan Amerika selama 6 abad terakhir. Mereka menghalalkan perampasan kekayaan "masyarakat mundur" bahkan sehingga ke tahap mereka sanggup menjual masyarakat itu sendiri di pasar perhambaan. Ratusan juta jiwa yang Allah muliakan dipaksa bekerja di bidang pertanian dan perindustrian dalam "peradaban Barat."

Peperangan pun semakin bermaharajalela. Negara-negara bukan blok Barat semakin terbelakang setelah beberapa abad dijajah oleh imperialisma Barat. Muncullah di sana masyarakat dan negara yang tidak mengecapi makna kedamaian. Tidak tahu jalan menuju peradaban dan akhirnya negara mereka dipaksa tunduk kepada Barat untuk menjadi pasar tempat menjual hasil-hasil perindustrian dan pertanian Barat di samping menggerakkan pertukaran wang raksasa yang dibangunkan oleh Yahudi pada abad ke-17 di AS untuk menjaga penghantaran bahan mentah bagi negara-negara Barat.

Kekuasaan nilai materialisma dan pragmatisma telah menjauhkan manusia dari agama Allah dan semua ini berperanan besar dalam mengukuhkan penjajahan yang telah mengembalikan manusia ke zaman hukum rimba dan perhambaan sedangkan istilah-istilah seperti persaudaraan manusia dan tolong-menolong sangat jauh dari kamus interaksi antara manusia.

Lumpur semakin menghitam dan kebakaran semakin marak ketika berbagai kepentingan Barat dengan kapitalismanya bertemu dengan kepentingan dan ketamakan projek Zionisma di Dunia Islam.

Pertumpahan darah semakin merata di muka bumi. Gambar-gambar para pelarian dan orang-orang yang terlantar mendominasi berita tentang umat kita akibat :

a. Keangkuhan global.

b. Kediktatoran.

c. Kerosakan dalaman umat.

KEMANUSIAAN PERLUKAN PENYELAMAT

Kini, kemanusiaan di bawah kepimpinan Barat ke atas dunia sangat menyedihkan.

Aliran darah, kemiskinan, dan kelaparan menyelubungi ke seluruh penjuru dunia akibat nilai pragmatisma yang berdasarkan kepentingan material.

Kemanusiaan memerlukan konsep yang mampu :

1. Menyelamatkan kewujudannya.

2. Menjaga kehidupan.

3. Menjaga harta.

4. Menyelamatkan kehormatan yang masih tersisa.

Konsep penyelamat kemanusiaan ada pada Islam. Tidak ada agama yang sangat menjunjung tinggi kemanusiaan selain Islam. Bukan sekadar kata-kata, slogan atau cita-cita semata-mata melainkan telah terbukti dalam sejarah hasil pengalaman dari sebuah negara terbesar sepanjang sejarah.

Dalam akidah Islam, Rasulullah saw telah meletakkan asas-asas :

a. Persaudaraan.

b. Persamaan.

c. Keadilan.

sehingga baginda bersabda :

"Wahai sekalian manusia, ingatlah sesungguhanya Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu adalah satu. Sungguh tidak ada keutamaan Arab ke atas bukan-Arab, bukan-Arab ke atas Arab, kulit merah ke atas kulit hitam, dan kulit hitam ke atas kulit merah kecuali dengan ketakwaan." (HR Ahmad)

Dalam khutbah Haji Wada', Rasulullah saw meletakkan dasar interaksi sesama manusia yang sangat tinggi, iaitu memuliakan manusia dan apa yang ia miliki.

Rasulullah saw bersabda :

"Wahai sekelian manusia, dengarlah ucapakanku. Sungguh aku tidak tahu, boleh jadi aku tidak akan bertemu lagi dengan kamu di tahun-tahun mendatang. Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahwa harta dan darah kamu adalah haram (suci) hingga kamu bertemu Allah, sebagaimana sucinya hari kamu ini, sucinya bulan kamu ini." (HR Ibnu Ishaq)

Islam juga merupakan agama akhlak dan nilai yang menjaga kemanusiaan.

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemulian akhlak..."

INILAH NABI KITA DAN INILAH AGAMA KITA

Bukti sejarah bahwa Islam sebagai penyelamat manusia ini tidak hanya pada masa Rasulullah saw, tetapi juga selepasnya kerana Islam merupakan madrasah Rabbani yang membentuk generasi.

Berikut adalah kisah Umar bin Al Khattab, murid dari madrasah "kenabian" :

Pada suatu hari, Umar melihat seorang nenek sedang meminta sedekah di pasar yang sibuk. 

Umar bertanya kepadanya, "Siapakah anda wahai nenek tua?" 

Nenek tersebut adalah seorang Yahudi dari Madinah. Ia menjawab, "Saya seorang yang telah terlalu tua. Saya memerlukan jizyah (pajak) dan nafkah." 

Maka Umar menjawab, "Sungguh kami tidak berlaku adil padamu wahai nenek. Kami mengambil jizyah darimu di masa muda dan membiarkan dirimu dalam kesukaran di masa tua."

Lalu Umar membawa nenek tersebut ke rumahnya, kemudian menghidangnya makanan. Setelah itu Umar mengutus seseorang menuju ke Baitul Mal dan berkata, "Berikanlah nenek ini dan orang-orang sepertinya keperluan yang memenuhi keperluan dirinya dan keluarganya. "

Dari kisah di atas, Umar ra menunjukkan bahwa Islam adalah rahmat dan keadilan bagi pemimpin mahupun rakyat. Masih banyak kisah lain yang serupa dengannya.

Inilah agama Islam yang oleh pihak yang membencinya diperlakukan dengan kejam di samping kesan negatif lainnya sepertimana yang berlaku pada anak-anak di Gaza, Irak, Afghanistan dan lainnya yang dianggap sebagai "kasih sayang" hukum antarabangsa.

BANGKITLAH KAUM MUSLIMIN WALAU DI MANAPUN KAMU BERADA

Sungguh amanah yang kita pikul sangat berat. Setiap kita dituntut untuk berusaha semaksima mungkin sesuai dengan posisi masing-masing samada pendakwah, ulama', ahli politik, wartawan, mahasiswa, pengusaha, petani dan lain-lainnya.

Hendaklah setiap kita melihat kembali keadaan persekitarannya. Hendaklah kita kembali kepada agama yang benar. Mengembalikan nilai-nilai Islam sebagaimana yang Allah turunkan. iaitu berupa petunujk-petunjuk kehidupan yang komprehensif bukan hanya akidah, ibadah dan muamalat semata-mata akan tetapi seluruh sisi kehidupan manusia di mana ajaran Islam diterapkan secara menyeluruh.

Marilah kita beriman kepada Allah, RasulNya, kitab-kitab Nya dan Hari Akhirat.

Perbaikilah hubungan sesama manusia. dengan orang tua, keluarga dan kerabat terdekat kerana sesungguhnya memperbaiki hubungan sesama manusia adalah ibadah yang agung dan sangat mulia.

Tunaikanlah amanah-amanah secara adil.

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat". (QS An-Nisa' : 58)

Bersungguh-sungguhlah dalam kerja kita.

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya Allah mencintai seseorang hamba yang bersungguh-sungguh dalam bekerja."

Islam tidak hanya memperbaiki umat Islam semata-mata bahkan juga menyelamatkan kemanusiaan secara utuh.

Renungkanlah firmahNya :

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (QS As Shaad : 150)

Ya Allah, sesunguhnya Engkau telah menurunkan keselamatan kepada kami iaitu Islam sebagai agama yang mampu menyelesaikan semua persoalan dan permasaalahan manusia. Selamatkanlah kemanusiaan dari kehancuran dan kemusnahan dan jadikanlah kami sebagai "asbab" kepada perubahan yang mesti dilakukan di dalam masyarakat manusia sehingga kemanusiaan akan berjalan menuju matlamat penciptaan asalnya sebagai sebaik-baik makhluk.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Punca Penyakit Manusia

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sebagaimana akhlak terpuji mempunyai induk dan akarnya tersendiri, begitu pula akhlak tercela memiliki akarnya yang berada di dalam  jiwa dan fikiran kita.

Ada dua akar penyakit akhlak :

PERTAMA : SYUBHAT

Penyakit ini menimpa wilayah akal manusia, di mana kebenaran tidak menjadi jelas (samar) dan bercampur dengan kebatilan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia memahami secara baik dan memilih secara tepat.

Penyakit syubhat sesungguhnya berkaitan dengan pemahaman dasar manusia dan struktur pemikirannya. Akarnya adalah ilmu yg belum sempurna dan mendalam bertemu dengan kecenderungan jiwa untuk menyimpang. 

Allah swt berfirman :

"...Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong pada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihaat....." (QS Ali Imran : 7)

Oleh kerana itu, akar penyakit ini dapat ditelusuri pada :

1. Kemampuan manusia dalam memahami.
2. Adanya kelemahan logik atau penyalahgunaan logik.
3. Ketidakmampuan memahami hakikat sesuatu secara benar.
4. Kesalahan metodologi dalam berfikir.

Kesemua perkara di atas akan menyebabkan lahirnya kesimpulan yang juga salah dan akhir sekali penyimpangan pemahaman keagamaan yang menyebabkan lahirnya bid'ah dan aliran sesat.

Orang-orang yang menderita penyakit ini biasanya :

a. Memiliki keberanian luar biasa untuk membahas apa sahaja yang datang dari Allah swt.
b. Mempunyai kegemaran luar biasa untuk berdebat.
c. Sifat rakus dalam mempertahankan pendapat sendiri sekalipun sesungguhnya ia tidak pernah memiliki keyakinan yang kuat dan selalu ragu dalam segala perkara.

Lawan dari penyakit ini adalah ilmu yang benar dan mendalam yang kemudian menimbulkan keyakinan yang kuat yang tidak disertai keraguan.

Pada akhirnya, penyakit syubhat ini melahirkan kekufuran, bid'ah dan nifaq.

KEDUA : SYAHWAT

Penyakit ini menimpa wilayah hati dan naluri manusia, di mana dorongan kekuatan dalam hatinya mengalahkan dorongan kekuatan kebaikan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia untuk mengendalikan diri dan bertekad secara kuat.

Adapun penyakit ini pada umumnya lahir dari lemahnya kehendak baik dalam hati seseorang, baik untuk melakukan kebaikan (positif) mahupun untuk melawan dorongan kejahatan dalam dirinya.

Sebagai contoh firman Allah swt :

"Dan sesungguhnya telah kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu) dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (QS Thaha : 115)

Dorongan-dorongan kejahatan itu sendiri pada dasarnya berasal dari naluri manusia yang sebahagiannya adalah keperluan dasar yang memberikan kepentingan dan dinamik kehidupan kepada manusia.

Naluri seksual, misalnya, pada kadar tertentu diperlukan untuk mempertahankan kelangsungan hidup umat manusia, namun, ia menjadi kejahatan saat tuntutan pemuasannya berlebihan dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah.
 
Demikian pula naluri berkuasa, misalnya ia diperlukan untuk mencipta kemampuan memimpin dan bermasyarakat dalam kehidupan manusia. Namun, jika kadarnya melampaui batas yang tabi'e dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah, maka ia menjadi ancaman bagi kebaikan.

Ada beberapa jenis syahwat yang kemudiannya menjadi akar kepada semua bentuk dosa manusia :

1. SYAHWAT KEKUASAAN

Ia bererti dorongan berkuasa dalam diri seseorang begitu kuat sampai ke tingkat di mana ia mulai menyerap sebahagian dari sifat yg hanya layak dimiliki oleh Allah swt. Hal ini bermula dari yang terkecil seperti :
 
a. Suka dikagumi (sum'ah).
b. Senang disanjungi di depannya (riya').
c. Merasa puas diri (ghurur).
 
sehingga sampai kepada yang lebih besar seperti :
 
a. Sombong.
b. Angkuh.
c. Mengancam.
d. Zalim.

Syahwat inilah yang kemudiannya mendorong manusia sampai pada tingkat yang lebih jauh lagi iaitu syirik. Inilah dosa yang membuat Fir'aun terlaknat.

Syahwat ini biasanya menimpa orang yang memiliki banyak perkara seperti :
 
a. Harta yang melimpah ruah.
b. Kekuasaan yang luas.
c. Dukungan ketenteraan yang kuat.
d. Rakyat yang miskin, bodoh dan lemah dan tidak berdaya.
e. Teknologi yang tinggi dan canggih.

2.SYAHWAT KESYAITANAN

Ia bererti bahwa ada dorongan yg kuat dalam diri seseorang untuk menyerupai syaitan dalam berbagai bentuk perilaku dasarnya seperti :
 
a. Memiliki sifat benci, dengki, dendam.
b. Gemar menipu.
c. Membuat rancangan yang jahat.
d. Menyebarkan gosip.
e. Memfitnah.
f. Menyesatkan orang lain.
 
Syahwat ini biasanya mempertemukan antara kecerdasan di satu sisi dengan dorongan syaitan di sisi yang lain. Oleh kerana itu, pelakunya cenderung licik dan culas dalam pergaulan serta bermuka dua.
 
Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang cerdas namun tidak memiliki hati yang bersih dan niat yang baik.

3.SHAHWAT BINATANG BUAS

Syahwat ini berasal dari nafsu amarah dan angkara murka seperti api yang cenderung membakar dan memusnahkan. Jika syahwat angkara murka bertemu dengan kekuatan fizikal yang mendokongnya, maka lahirlah berbagai macam perilaku buruk seperti :
 
a. Permusuhan.
b. Perdebatan.
c. Penjajahan.
d. Pembunuhan.
e. Kezaliman.
f. Perkelahian.
 
Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang kuat secara fizikalnya namun tidak memiliki rasa kasih, kemurahan hati dan naluri sosial yg baik.

4.SHAHWAT BINATANG TERNAK

Syahwat ini berasal dari naluri binatang dalam diri manusia dan mendorongnya untuk memenuhi keperluan perut dan kemaluannya secara berlebihan. Penyakit ini mendorong manusia menjadi :
 
a. Hedonis.
b. Permisif
c. Berfikiran pendek.
 
Dari syahwat perut lahirlah sifat-sifat :
 
a. Serakah.
b. Rakus.
c. Makan harta anak yatim.
d. Mencuri.
e. Rasuah.
f. Sifat pengecut dan penakut.
 
Adapun dari syahwat kemaluan lahirlah perzinaan.

Sebahagian besar manusia terjebak dalam penyakit ini disebabkan pemenuhannya yang tidak memerlukan banyak kecerdasan ataupun kekuatan fizikal atau wilayah kekuasaan.

Demikianlah kita melihat bahwa kedua penyakit ini iaitu penyakit syubhat dan syahwat berpunca dari sumber yg sama iaitu kelemahan akal dan jiwa di mana kita boleh rumuskan seperti berikut :

1.Kelemahan akal disebabkan oleh kedangkalan ilmu dan kelemahan jiwa>>>Penyakit Syubhat

2.Kelemahan jiwa disebabkan oleh kelemahan kemahuan dan tekad>>>Penyakit Syahwat

Islam telah membahagikan akhlak menjadi dua jenis :

PERTAMA : AKHLAK FITRIYAH

Iaitu sifat bawaan yg melekat dalam fitrah seseorang yang dengannya ia diciptakan, baik sifat fizikal mahupun sifat jiwa.
 
Firman Allah swt :
 
"…(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah…." (QS Ar Rum : 30)

Berbagai-bagai sifat bawaan yang bercampur boleh membentuk karakter fitriyah yang lain misalnya seseorang membawa kecerdasan dari ibunya dan membawa sifat serakah dari bapanya maka hasilnya muncul sifat ketiga iaitu sifat licik.
 
Begitu pula jika ia membawa sifat cinta kepada kebenaran lalu bertemu dgn keberanian maka ia menjadi adil seperti yg boleh dirumuskan seperti berikut:

Serakah + Cerdas = Licik
Cinta Kebenaran + Berani = Adil

KEDUA : AKHLAK PEROLEHAN

Sifat semulajadi yang tidak ada dalam sifat bawaan seseorang namun diperolehi melalui lingkungan alam dan sosial, pendidikan, latihan dan pengalaman. Islam menganggap wilayah akhlak ini sebenarnya lebih luas dari akhlak fitriyah.
 
Rasulullah saw bersabda mengenai perkara ini :
 
"Ilmu diperolehi dengan belajar dan sifat santun diperolehi dgn latihan menjadi santun." (HR Bukhari)

Terdapat beberapa faktor luaran yang mempengaruhi pembentukan karakter di atas seperti berikut :

PERTAMA : Lingkungan alam, misalnya iklim tropika mempengaruhi tabiat masyarakatnya untuk bersikap hangat dan terbuka.

KEDUA : Lingkungan sosial iaitu lingkungan keluarga dan masyarakat.

KETIGA : Pendidikan, latihan dan pengalaman iaitu usaha-usaha secara sedar samada langsung mahupun tidak langsung untuk mengembangkan karakter tersebut.

Oleh sebab itu akhlak dalam Islam sentiasa terbuka bagi semua bentuk perbaikan, pengembangan dan penyempurnaan kerana sumber-sumber karakter perolehan itu wujud dan bersifat tetap.

Orang yang membawa sifat kasar boleh memperolehi sifat lembut setelah melalui mekanisma latihan yang sistematik. Contoh nyata adalah Saidina Umar Al Khattab yang sifat asalnya adalah kasar kemudian beliau belajar menjadi lembut setelah masuk Islam.
 
Begitu juga Saidina Abu Bakar yang memang seorang yang lembut sebelum Islam sehingga dianggap lemah oleh sesetengah kalangan tetapi menjadi tegas, keras dan kuat setelah masuk Islam.

Demikianlah Islam memberi peluang kepada setiap orang untuk belajar membentuk karakternya sendiri sehingga lahirlah dari agama ini manusia-manusia ajaib yang menghiasi sejarah peradaban manusia.

Semoga Allah swt melindungi kita dari terjebak ke dalam dua penyakit berbahaya iaitu penyakit syubhat dan syahwat serta memberi kekuatan kepada kita untuk membaiki, meningkatkan dan mengembangkan karakter-karakter yang ada di dalam diri kita sehingga ia benar-benar menghasilkan satu peribadi yang unggul dan memancarkan kesempurnaan akhlak yang diimpikan oleh setiap manusia-manusia yang beriman untuk mendapat darjat yang tinggi di akhirat nanti.

Ya Allah tambahkanlah ilmu yg bermanfaat dan kemahuan yang kuat kepada kami supaya dengannya kami dapat menghalang dari kelemahan akal dan jiwa yang akhirnya boleh menyebabkan kami dijangkiti penyakit syubhat dan syahwat.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Amal Yang Menyelamatkan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sebagaimana yang sudah kita ketahui bahwa setiap Ahli Tauhid sebelum berhak sampai ke pintu gerbang syurga dimestikan melalui ujian yang berat iaitu menyeberangi jambatan yang membentang di atas Neraka Jahannam.

Nabi saw menggambarkan jambatan itu sebagai :

  1. Lebih nipis dari sehelai rambut.
  2. Lebih tajam dari sebilah pedang.
Di antara mereka :

  1. Ada yang berjaya menyeberanginya.
  2. Ada yang berjaya namun terluka disebabkan terkena sabitan duri-duri dan besi-besi pengait yang merobek sebahagian anggota tubuhnya.
  3. Ada yang gagal sehingga terjatuh dan terjerumus dengan wajahnya terlebih dahulu masuk ke dalam api Neraka Jahannam yang menyala-nyala.
Setiap orang yang mengaku beriman sudah tentu berharap dirinya akan masuk ke dalam golongan mereka yang selamat menyeberanginya sehingga berhak masuk ke Syurga dan dijauhkan dari azab api neraka.

Namun persoalannya ialah bagaimana perkara ini boleh tercapai?

Apakah syarat-syarat agar seorang Mukmin berhak menikmati kejayaan tersebut?

Sebenarnya dalam hadits berikut, Nabi saw telah mengisyaratkan sebahagian jawabannya.

"Allah akan memanggil umat manusia di akhirat nanti dengan nama-nama mereka yang ada tirai penghalang dariNya. Adapun di atas jambatan, Allah memberikan cahaya kepada
setiap orang yang beriman lelaki dan perempuan dan orang munafiq.

Apabila mereka telah berada di tengah jambatan, Allahpun segera merampas cahaya orang-orang munafiq lelaki dan perempuan.

Mereka menyeru kepada orang-orang yang beriman :

"Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahaya kamu." (QS Al-Hadid : 13)

Dan berdoalah orang-orang yang beriman :

"Ya Rabb kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami."(QS At-Tahrim : 8)

Ketika itulah setiap orang tidak akan ingat orang lain." (HR Thabrani)

Di antara jawapannya ialah seorang mukmin mesti mengusahakan agar dirinya kelak memiliki cahaya yang cukup agar mampu menyeberangi kegelapan dan panasnya api neraka kerana pada ketika akan menyeberangi jambatan tersebut, setiap orang akan dibekalkan oleh Allah cahaya agar mampu melihat jalan yang sedang ditelusurinya di atas jambatan tersebut.

Jika ia termasuk mukmin sejati, cahaya yang diterimanya itu akan setia menemani dan menyinari dirinya sepanjang penyeberangan itu hingga sampai ke hujung berhadapan dengan pintu syurga.

Namun jika ia termasuk orang yang imannya bermasalah lantaran begitu banyak dosanya, apalagi kalau ia termasuk orang munafik, maka di tengah perjalanan menyeberangi jambatan tersebut, Allah tiba-tiba memadamkan cahaya yang menemaninya sehingga ia dibiarkan dalam kegelapan dan akibatnya ia tersesat dan terjatuh ke dalam api neraka.

Apabila cahaya orang-orang munafik itu serta merta dipadamkan oleh Allah, maka mereka akan berteriak dalam keadaan panik dan memohon kepada orang-orang yang beriman dengan sebenar agar diberi sebahagian cahaya yang setia menemani mukmin sejati itu.

Seseungguhnya gambaran yang mengerikan itu dihuraikan secara jelas oleh Allah swt di dalam ayat-ayat berikut ini:

"Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperolehi pahala yang banyak, (iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mu'min laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka) :
"Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman :

"Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu".

Dikatakan (kepada mereka) :

"Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)".

Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada siksa. Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mu'min) seraya berkata :

"Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?"

Mereka menjawab :

"Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu. Maka pada hari ini tidak diterima tebusan dari kamu dan tidak pula dari orang-orang kafir. Tempat kamu ialah neraka. Dialah tempat berlindungmu. Dan dia adalah sejahat-jahat tempat kembali." (QS Al-Hadid : 11-15)

Jadi apakah amal perbuatan yang akan menyebabkan seorang mukmin memiliki cahaya yang cukup untuk berjaya dalam menyeberangi jambatan tersebut?

PERTAMA : BERTAUBAT DARI SEGALA DOSA-DOSA

Kesungguhan seorang mukmin untuk bertaubat dari dosa-dosa yang selama ini dia kerjakan disebut dengan aktiviti 'Taubat Nasuha' (Taubat Yang Murni). Taubat Nasuha inilah yang akan menyebabkan seorang mukmin memperolehi cahaya yang disempurnakan untuk berjaya menyeberangi jambatan Neraka. Ia bukan Taubat Bermusim atau taubat yang tidak menyebabkan seseorang benar-benar meninggalkan perbuatan dosa yang dilakukannya.

Perhatikanlah ayat-ayat Allah berikut ini:

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan Taubatan Nasuhan (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu". (QS At-Tahrim : 8)

Al-Hakim meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, baginda Rasullah saw bersabda :

"Shirath itu setajam pedang dan sangat menggelincirkan."

Beliau meneruskan :

"Lalu mereka melintas sesuai dengan cahaya yang mereka miliki. Maka di antara mereka ada yang melintas secepat kilat, ada pula yang melintas secepat kerdipan mata, ada pula yang melintas secepat angin, ada pula yang melintas seperti orang berlari, dan ada pula yang berjalan dengan cepat. Mereka melintas sesuai amal perbuatan mereka, hingga tibalah saat orang yang cahayanya ada di hujung jari kedua kakinya melintas, satu tangannya jatuh, dan satu tangannya lagi menggantung, satu kakinya jatuh dan satu kakinya lagi menggantung, kedua sisinya terkena api neraka."

KEDUA : RAJIN BERJALAN KE MASJID DALAM KEGELAPAN

Seorang Mukmin akan dijamin memiliki cahaya yang cukup ketika menyeberangi jambatan di atas Neraka jika ia rajin berjalan ke masjid dalam kegelapan untuk menegakkan solat wajibnya semata-mata ingin meraih keridhaan Allah swt.

Nabi saw bersabda:

"Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan menuju masjid-masjid dalam kegelapan dengan cahaya yang sempurna pada hari Kiamat." (HR Ibnu Majah)
Nabi saw seringkali ketika berjalan menuju ke masjid berdoa dengan doa berikut:

"Ya Allah jadikanlah cahaya dalam hatiku, dalam penglihatanku, dalam pendengaranku, di sebelah kananku, di sebelah kiriku, di sebelah atasku, di sebelah bawahku, di depanku, di belakangku dan jadikanlah aku bercahaya." (HR Bukhari)

KETIGA : MELINDUNGI SESAMA MUKMIN DARI KEJAHATAN ORANG MUNAFIK

Seorang Mukmin akan berjaya menyeberangi jambatan neraka bila ia melindungi sesama mukmin dari kejahatan orang Munafik dan sebaliknya barangsiapa yang mengucapkan perkataan buruk untuk mencemarkan seorang Muslim, maka Allah akan menghukumnya dalam bentuk ia ditahan di atas jambatan neraka hingga dosa ucapannya menjadi bersih.

"Barangsiapa melindungi seorang Mukmin dari kejahatan orang Munafik, Allah akan mengutus malaikat untuk melindungi daging orang itu –pada hari Kiamat- dari Neraka Jahannam. Barangsiapa menuduh seorang Muslim dengan tujuan ingin mencemarkannya, maka Allah akan menahannya di atas jambatan Neraka Jahannam hingga orang itu dibersihkan dari dosa perkataan buruknya." (HR Abu Dawud)

Sesungguhnya kita semua sangat memerlukan cahaya yang mencukupi untuk menyeberangi jambatan neraka dengan selamat.
Semoga Allah masukkan kita bersama ke dalam golongan Mukmin sejati dan membersihkan hati kita semua dari penyakit kemunafikan kerana kemunafikan akan menyebabkan cahaya seseorang tiba-tiba padam ketika menyeberangi jambatan neraka sehingga ia tergelincir lalu jatuh ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Na'udzubillahi min dzalik...!

Ya Allah, bersihkanlah hati kami dari kemunafikan, dan amal perbuatan kami dari riya' dan lisan kami dari dusta serta pandangan mata kami dari khianat. Sesungguhnya Engkau Maha Tahu pengkhianatan pandangan mata dan apa yang disembunyikan oleh hati.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Disiplin Penentu Kejayaan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Sesungguhnya amal tarbawi yang bersistem, produktif dan dilaksanakan dalam konteks jamaah adalah manhaj yang kukuh dalam Islam.
a.       Tiada jamaah tanpa sistem
b.      Tiada sistem tanpa jamaah.
Kedua-duanya adalah ibarat dua muka bagi sekeping duit syiling.
Apabila kita sepakat bahwa adanya sebuah jamaah merupakan tuntutan syara' dan sekaligus menjadi salah satu unsur tetap Islam, maka jamaah itu hanyalah sepeti jasad tanpa ruh jika tidak wujud sistem dan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.
Sistem yang dimaksudkan merangkumi
1.      Aspek aqidah.
2.      Aspek ibadah.
3.      Aspek harakah.
Oleh sebab itu Imam Hasan Al Banna telah menggariskan manhaj aqidah, manhaj ibadah dan manhaj harakah agar :
a.      Kefahaman dapat disatukan.
b.      Perjalanan jamaah dapat dikawal.
Oleh yang demikian, kepatuhan kepada sistem merupakan :
  1. Prinsip berjamaah.
  2. Unsur tetap jamaah.
Sesiapa yang ingin masuk dan menjadi pekerja harakah, maka hendaklah dia menghormati sistem dan peraturan dan ini merupakan satu perkara yang mudah difahami di mana dalam praktik kehidupan kita pun apabila seseorang itu menyertai mana-mana kelab, syarikat atau persatuan, dengan sendirinya dia tertakluk kepada sistem dan peraturan institusi tersebut.
Jika ia tidak menghormati peraturan maka hukuman atau denda yang setimpal akan dikenakan.
Bahkan jika kita lihat amalan di dalam parti-parti politik, apabila seseorang ahli politik itu mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan idealisma dan pemikiran partinya, maka ia akan berhadapan dengan tindakan jawatankuasa disiplin.
Firman Allah swt :
"Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh." (QS An Nur : 49)
Sudah tentu, sebuah jamaah yang ingin menegakkan agama dan khilafah yang telah jatuh, tidak akan dapat mencapai matlamat dan objektifnya tanpa sistem dan peraturan.
Bolehkah seseorang berkata :
"Saya meyakini fikrah, tasawur dan objektif yang dibawa tetapi saya tidak boleh beriltizam dengan sistem dan peraturan jamaah."
Ada juga yang berkata dengan nada yang lebih keras :
"Apa kena mengena kami dengan undang-undang, peraturan, sistem dan manhaj yang mengongkong gerakan. Biarkan kami bekerja, kami bukan budak kecil lagi."
Bahkan ada yang mengatakan :
"Tidakkah lebih baik, selepas ditarbiyah, kamu biarkan pekerja dakwah itu bekerja dan masuk ke medan dakwah tanpa disekat dengan undang-undang dan peraturan."
SIKAP-SIKAP YANG DIANGGAP TIDAK BERDISIPLIN
Kes-kes melanggar peraturan memerlukan ketegasan pimpinan dalam menanganinya. Jika tidak, sudah tentu akan berlaku keadaan yang tidak stabil dalam jamaah.
Ada beberapa contoh kes pelanggaran undang-undang yang pernah berlaku dalam jamaah Ikhwanul Muslimin, antaranya ialah kes Syeikh Ahmad Hasan Al Baquri.
Beliau menerima tawaran jawatan menteri dalam kabinet Jamal Abdul Nasir tanpa izin Mursyidul Am, Hasan Al Hudhaibi.
Berikut adalah percakapan antara keduanya :
Mursyid :         Apakah pendirian kamu sekarang?
Al Baquri :      Saya meletak jawatan daipada Maktab Irsyad.
Mursyid :         Kemudian apa pula?
Al Baquri :      Saya menarik diri daripada "Hai'ah Ta'sisiyah" atau Lembaga Pengasas.
Mursyid ;         Kemudian apa pula?
Al Baquri:        Saya keluar daripada Jamaah Ikhwanul Muslimin.
Mursyid :         Itulah penyelesaian yang tepat.
Kemudian Ustaz Mursyid telah pergi ke pejabat di Kementerian Waqaf mengucapkan tahniah kepada Syeikh Ahmad Hasan Al Baquri.
Pada tahun 1965 berlaku fitnah takfir (kafir mengkafir) iaitu wujudnya satu golongan dalam Ikhwan yang mengkafirkan orang lain. Selain fikrahnya yang menyeleweng, golongan takfir ini mempunyai kesan yang merbahaya kepada jamaah Ikhwanul Muslimin dan boleh memecah belahkan Ikhwan dari dalam.
Keputusan yang dibuat adalah memulaukan golongan yang memiliki pemikiran takfir agar mereka kembali kepada fikrah dan peraturan jamaah.
Oleh kerana itu,diterbitkanlah sebuah buku khusus yang ditulis oleh Mursyid Am sendiri yang bertajuk "Dua't la Qudhat" (Kita adalah para da'ie bukan hakim) bagi membezakan :
1.      Mana "muttabi" (pengikut) dan mana "mubtadi" (pembuat bid'ah dalam jamaah).
2.      Mana "multazim" (anggota yang mempunyai komitmen) dan mana "kharij" (anggota yang keluar dari fikrah jamaah).
Ada pihak yang mencadangkan agar perbincangan masalah pemikiran takfir ini ditunda memandangkan situasi yang sangat berat pada masa itu tetapi Ustaz Mursyid tidak bersetuju seraya berkata :
"Fikrah ini (takfir) sungguh lebih membahayakan dakwah daripada cemeti dan penyiksaan yang dilakukan oleh algojo Jamal Abdul Nasir"
Kemudian beliau melakukan tindakan tegas terhadap masalah ini.
"Supaya Dia (Allah) melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya) yang nyata dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya) yang nyata (pula)." (QS Al Anfal : 42)
Hasilnya ramai yang kembali kepada fikrah yang asal dan jamaah terpelihara dengan ketegasan itu.
Yang tinggal hanyalah segelintir yang keluar daripada jamaah daripada sudut fikrah dan tanzim.
Ada sesetengah mereka berkata :
"Kami berbai'ah dalam semua perkara dengan jamaah kecuali masalah takfir".
Lalu Ustaz Mursyid menjawab :
"Bahkan dalam semua perkara termasuk yang ini (takfir), sesiapa yang tidak berbai'ah sedemikian maka hendaklah ia mencari platform atau organisasi yang lain selain daripada Ikhwanul Muslimin."
KEPENTINGAN MENTAATI SISTEM DAN PERATURAN
Kita mesti memahami sikap-sikap ini agar sedar betapa pentingnya mentaati sistem dan peraturan-peraturan jamaah yang akan membezakan pengikut dari penyeleweng.
Allah swt telah mengajarkan kita bahawa alam ini mempunyai undang-undang dan peraturannya yang tidak boleh dilanggar.
"Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malampun tidak dapat mendahului siang. Dan tiap-tiap satunya beredar pada garis edarnya masing-masing." (QS Yaasin : 40)
Rasulullah saw pula mengajar kita bahwa sesiapa yang :
1.      Mengikut Al Qur'an.
2.      Melaksanakan arahannya.
3.      Meninggalkan larangannya.
4.      Sabar di atas kesusahan yang menimpanya.
Maka dia akan mendapat hidayah.
Sesiapa yang tidak menuruti perintah Al Qur'an dan menyanggahi arahan dan larangannya maka musnahlah ia.
"Maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." (QS Thaha : 123-124)
Jadi di sana ada unsur tetap untuk memelihara alam dan manhaj tetap untuk membahagiakan manusia.
Antara pengajarannya ialah mesti ada sistem yang mapan yang mampu menghimpunkan kesemua individu dalam ketaatan kepada Allah dan rasulNya selama mana kita meyakini:
a.       Kesahihan aqidah jamaah ini.
b.      Kebenaran para pengikutnya.
c.       Keikhlasan para pimpinannya.
Di kala itu ketaatan menjadi ibadah kepada Allah swt.
Oleh itu, di samping menghidupkan jiwa dengan keimanan, tabiat Harakah Islamiyah juga menuntut agar berjalan secara bersistem dan berperaturan.
Ikatan ukhuwah yang kuat tidak sepatutnya melalaikan daripada keperluan kesatuan kefahaman dan kesatuan tanzim yang bertindak sebagai tarbiyah idariah (latihan pengurusan) yang mempunyai hubungan dengan nilai keimanan.
Antara halangan tarbiyah ialah berlakunya kecenderungan yang lebih pada sudut teori ke atas sudut amali dan pelaksanaannya tanpa dihubungkan dengan tarbiyah.
Oleh itu mesti wujud tiga perkara iaitu :
1.      Iman yang memberikan keyakinan kepada amal.
2.      Taqwa yang menanamkan sikap berhati-hati dalam setiap amalan kerana merasai diri sentiasa diperhatikan.
3.      Ihsan yang menyebabkan seseorang individu melakukan amalnya dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersungguh-sungguh .
Ketiga-tiga perkara ini akan menjadi sempurna dengan adanya :
a.       Sistem yang satu.
b.      Kepimpinan yang satu.
c.       Pengarahan yang satu.
Semuanya itu akan menukarkan seorang muslim :
  1. Menjadi ledakan tenaga yang begitu kuat.
  2. Melakukan amalan demi pencapaian yang maksima.
Kesemua perkara-perkara itu bertujuan untuk melaksanakan ubudiyah kepada Allah swt melalui syiar :
a.       Ibadah.
b.      Sistem.
c.       Peraturan.
d.      Akhlak.
e.       Pengurusan.
TITIK TOLAK KITA ialah ubudiyah kepada Allah swt.
TUGAS KITA ialah mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah swt semata-mata.
Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalanMu yang lurus bersama-sama dengan Harakah Islamiyah yang berusaha untuk menegakkan Deen dan syariatMu di muka bumi ini. Janganlah Engkau biarkan sikap keingkaran kami kepada segala sistem dan peraturan yang ada di dalam harakah ini kerana ianya akan merencatkan perjalanannya menuju matlamat yang telah ditetapkan. Kurniakanlah kepada kami kesabaran berada di atas jalan ini samada dalam keadaan kami suka atau benci selagimana kami tidak disuruh untuk bermaksiat kepadaMu sehingga kami dipanggil pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top