Terkini...




0

Profil Keperibadian Muslim

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

 

Manusia adalah makhluk yang paling sempurna dan paling mulia dibandingkan dengan makhluk-makhluk Allah yang lainnya.

 

Allah swt berfirman :

 

"Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan." (QS Al Isra' : 70)

 

KEPENTINGAN PEMBENTUKAN KEPERIBADIAN MUSLIM

 

Pembentukan keperibadian muslim merupakan suatu perkara yang sangat diperhatikan dalam agama Islam.

 

Ini adalah kerana Islam itu sendiri bukan suatu ajaran yang hanya diyakini dan difahami semata-mata tanpa perlu diwujudkan dalam kehidupan yang nyata, tetapi Islam menyatukan dan memadukan dua perkara :

  1. Antara keyakinan dan aplikasi.
  2. Antara norma dan perbuatan.
  3. Antara keimanan dan amal soleh.

Oleh sebab itulah, ajaran yang diyakini dalam Islam mestilah tercermin dalam setiap tingkah laku, perbuatan dan sikap peribadi-peribadi muslim.

 

Memang, setiap jiwa yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, namun ia bukanlah bererti kesucian dari kelahiran itu menafikan usaha untuk membangun dan menjaganya.

 

Bahkan, justeru kerana dimulai dengan fitrah itulah, jiwa tersebut mesti dijaga dan dirawat kesuciannya dan seterusnya dibangunkan agar seseorang itu membentuk dirinya menjadi peribadi muslim yang sejati.

 

RUJUKAN KEPERIBADIAN MUSLIM

 

Al-Qur'an dan As Sunnah merupakan dua pusaka Rasulullah saw yang mesti sentiasa  dirujuk oleh setiap muslim dalam segala aspek kehidupannya.

 

Satu dari sekian banyak aspek kehidupan yang amat penting adalah pembentukan dan pengembangan keperibadian muslim.

 

Peribadi muslim yang dikehendaki oleh Al-Qur'an dan As Sunnah adalah peribadi yang soleh di mana sikap, ucapan dan tindakannya diwarnai oleh nilai-nilai yang datang dari Allah swt.


Persepsi masyarakat tentang keperibadian muslim memang berbeza-beza. Bahkan banyak yang kefahamannya begitu sempit sehingga seolah-olah keperibadian muslim itu hanya tercermin pada orang yang rajin melaksanakan Islam dari aspek ubudiyah semata-mata.

 

Padahal itu hanyalah satu aspek sahaja dan masih banyak aspek lain yang mesti melekat kuat pada keperibadian seorang muslim. Oleh kerana itu, piawaian keperibadian muslim yang berdasarkan Al Qur'an dan As Sunnah merupakan sesuatu yang mesti dirumuskan sehingga boleh menjadi acuan bagi pembentukan keperibadian muslim.

 

Jika dibuat penelitian, setidak-tidaknya ada sepuluh (10) karakter atau ciri-ciri khas yang mesti ada pada sebuah keperibadian muslim.

 

PERTAMA : AQIDAH YANG SEJAHTERA (Salimul Aqidah)

 

Aqidah yang sejahtera merupakan sesuatu yang mesti wujud pada setiap muslim.

Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat dengan Allah swt.

 

Dengan ikatan yang kuat itu dia :

 

a.       Tidak akan menyimpang dari jalan Allah.

b.      Tidak akan melanggar segala ketentuan-ketentuanNya.

 

Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firmanNya :

 

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam." (QS Al An' aam : 162)

 

Oleh kerana aqidah yang sejahtera merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam awal dakwahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah saw mengutamakan pembinaan aqidah, iman dan tauhid.

 

KEDUA : IBADAH YANG BENAR (Shahihul Ibadah)

 

Ibadah yang benar merupakan salah satu perintah Rasulullah saw yang penting.

 

Dalam satu haditsnya, baginda saw bersabda :

 

"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat."

 

Dari ungkapan ini maka dapat dibuat kesimpulan bahwa dalam melaksanakan setiap ibadah, mestilah merujuk kepada sunnah Rasul saw yang bererti :

 

Tidak boleh wujud unsur :

 

a.       Penambahan.

b.      Pengurangan.

 

KETIGA : AKHLAK YANG KUKUH (Matinul Khuluq)

 

Akhlak yang kukuh merupakan sikap dan perilaku yang mesti dimiliki oleh setiap muslim, samada dalam hubungannya dengan Allah atau dengan makhluk-makhlukNya.

 

Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apalagi di akhirat.

Disebabkan begitu pentingnya memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah saw diutuskan untuk memperbaiki akhlak dan baginda sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah swt di dalam Al Qur'an.

 

Allah swt berfirman :

 

"Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung" (QS Al Qalam : 4)

 

KEEMPAT : KEKUATAN JASMANI (Qawiyyul Jismi)

 

Kekuatan jasmani merupakan salah satu sisi keperibadian muslim yang mesti ada.

Kekuatan jasmani bererti seseorang muslim memiliki daya tahan tubuh badan sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan fizikalnya yang kuat.

 

Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang mesti dilaksanakan dengan fizikal yang sihat dan kuat. Apalagi berjihad di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya.

 

Oleh kerana itu, kesihatan jasmani mesti mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan.

 

Meskipun demikian, kesakitan tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar jika ianya kadang-kadang berlaku, namun jangan sampai seorang muslim sentiasa dalam keadaan sakit dan tidak berdaya.

 

Oleh kerana kekuatan jasmani juga termasuk perkara yang penting, maka Rasulullah saw bersabda :

 

"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah." (HR Muslim)

 

KELIMA : PEMIKIRAN YANG BERWAWASAN (Mutsaqqaful Fikri)

 

Pemikiran yang berwawasan merupakan salah satu sisi keperibadian muslim yang juga penting kerana salah satu sifat Rasul adalah 'fatanah' (cerdas).

 

Al Qur'an juga banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah swt :

 

"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: " pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan". Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir." (QS Al Baqarah : 219)

 

Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang mesti kita lakukan kecuali mesti  dimulai dengan aktiviti berfikir.

 

Oleh yang demikian, seorang muslim mesti memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas.

Untuk mencapai wawasan yang luas maka seorang muslim itu dituntut untuk mencari atau menuntut ilmu sepertimana yang disabdakan boleh Rasulullah saw :

 

"Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim." (Muttafaqun 'alaihi)

 

Cara menuntut ilmu yg paling baik adalah melalui majlis-majlis ilmu seperti yang digambarkan oleh Allah swt dalam firmanNya :

 

"Wahai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(QS Al-Mujaadilah : 11)

 

Boleh kita bayangkan, betapa bahayanya sesuatu perbuatan yang dilakukan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu.

 

Oleh kerana itu, Allah swt menimbulkan suatu persoalan kepada kita tentang tingkatan kecerdasan seseorang sebagaimana firman Allah swt :

 

"Katakanlah: "samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?"', sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran". (QS Az Zumar : 9)

 

KEENAM : BERJUANG MELAWAN HAWA NAFSU(Mujahadatul Linafsihi)

 

Berjuang melawan hawa nafsu merupakan salah satu keperibadian yang mesti ada pada diri seorang muslim kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada :

 

a.       Yang baik.

b.      Yang buruk.

 

Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan.

 

Kesungguhan itu akan terwujud apabila apabila seseorang itu berjuang melawan hawa nafsunya.

Hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia mesti diusahakan supaya tunduk pada ajaran Islam.

 

Rasulullah saw bersabda :

 

"Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam)" (HR Hakim)

 

KETUJUH : BERDISIPLIN DALAM MENJAGA WAKTU (Harishun Ala Waqtihi)

 

Pandai menjaga waktu merupakan faktor penting bagi manusia.

 

Ini adalah kerana waktu mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan RasulNya.

 

Allah swt banyak bersumpah di dalam Al Qur'an dengan menyebut nama waktu seperti :

 

a.       'Wal fajri'. (Demi Waktu Fajar)

b.      'Wad dhuha'. (Demi Waktu Dhuha)

c.       'Wal ashri'. (Demi Masa)

d.      'Wallaili'. (Demi Waktu Malam)

 

Allah swt memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama, iaitu 24 jam sehari semalam.

 

Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tidak sedikit manusia yang rugi.

 

Oleh kerana itu, amat tepat sebuah ungkapan yang mengatakan :

 

"Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu".

 

Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi.

 

Oleh kerana itu, setiap muslim amat dituntut untuk berdisiplin dalam mengelola waktu

nya dengan baik sehingga waktu berlalu dengan penggunaan yang berkesan dan tidak ada yang sia-sia.

 

Maka di antara yang disinggung oleh Nabi saw adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu :

 

a.       Hidup sebelum mati.

b.      Sihat sebelum datang sakit.

c.       Muda sebelum tua.

d.      Lapang sebelum sibuk.

e.       Kaya sebelum miskin.

 

KELAPAN : TERATUR DALAM SUATU URUSAN (Munazhzhamun fi Syuunihi)

 

Teratur dalam suatu urusan termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al Qur'an maupun As Sunnah.

 

Oleh kerana itu dalam hukum Islam, samada yang berkait dengan masalah ubudiyah ataupun muamalah, mesti diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik.

 

Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka digalakkan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya.

 

Dengan kata lain, suatu urusan mesti dikerjakan secara profesional kerana walauapapun yang dikerjakan, sikap profesionalisma hendaklah sentiasa diperhatikan.

 

Di antara perkara yang mesti mendapat perhatian serius dalam penunaian tugas-tugas adalah :

 

a.       Bersungguh-sungguh.

b.      Bersemangat.

c.       Mudah berkorban.

d.      Berterusan.

e.       Berasaskan ilmu pengetahuan.

 

KESEMBILAN : MEMILIKI KEMAMPUAN USAHA SENDIRI (Qadirun Alal Kasbi)

 

Kemampuan usaha sendiri merupakan ciri lain yang mesti ada pada diri seorang muslim.

 

Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan di mana mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya mampu dilaksanakan apabila seseorang itu memiliki kemandirian terutama dari segi ekonomi.

 

Kadang-kadang kita lihat, tidak sedikit seseorang yang mengorbankan prinsip yang telah dianutnya kerana tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi.

 

Peribadi muslim tidaklah semestinya dalam keadaan miskin, bahkan seorang muslim boleh sahaja menjadi kaya bahkan memang perlu kaya agar dia dapat menunaikan ibadah haji dan umrah, zakat, infaq, sedekah dan mempersiapkan masa depan yang baik.

 

Oleh kerana itu, perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al Qur'an mahupun hadits dan perkara itu memiliki keutamaan yang sangat tinggi.

 

Dalam kaitan menciptakan kemandirian inilah, seorang muslim amat dituntut memiliki keahlian apa sahaja yang baik.

 

Keahliannya itu akan menjadi sebab baginya untuk mendapat rezeki dari Allah swt.

 

Rezeki yang telah Allah sediakan mesti diambil dan untuk mengambilnya diperlukan  keterampilan dan keahlian dalam sesuatu bidang pekerjaan.

 

KESEPULUH : BERMANFAAT BAGI ORANG LAIN (Nafi'un Lighairihi)

 

Bermanfaat bagi orang lain merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim.

 

Manfaat yang dimaksudkan tentu sahaja manfaat yang baik sehingga di manapun dia berada, orang di sekitarnya merasakan keberadaannya.

 

Janganlah pula sampai keberadaan seorang muslim tidak menggenapkan dan ketiadaannya tidak mengganjilkan.

 

Ini bererti, setiap muslim itu mesti sentiasa berfikir, mempersiapkan dirinya dan berusaha semaksima mungkin untuk mampu bermanfaat dan mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya.

 

Dalam kaitan ini, Rasulullah saw bersabda :

 

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain"

 

Demikianlah secara umum profil keperibadian seorang muslim yang disebutkan dalam Al Qur'an dan As Sunnah.

 

Ia adalah sesuatu yang perlu kita jadikan sebagai tahap pencapaian keperibadian pada diri kita masing-masing.

 

Untuk meraih kriteria dan ciri-ciri keperibadian muslim di atas memerlukan mujahadah dan iltizam yang bersungguh-sungguh secara berterusan.

 

Allah swt berjanji akan memudahkan hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh untuk meraih keridhaanNya.

 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."(QS Al Ankabut : 69)

 

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami mampu membina dan membangunkan ciri-ciri keperibadian muslim yang akan melengkapkan syakhshiah kami sehingga ianya bermanfaat untuk dakwah ini dan mampu menjadi contoh tauladan kepada manusia yang ingin mendapat hidayah dariMu.

 

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top