Terkini...




0

Menyambut Teguran Positif

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

"Tolonglah saudaramu, samada dia zalim atau dizalimi. Apabila dia zalim, cegahlah. Bila ia dizalimi, menangkanlah." (HR Al-Bukhari)

Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini dengan begitu sempurna. Malam dan siang silih berganti melayani keperluan hidup manusia. Terang dan gelap pun menjadi sebuah keperluan makhlukNya di seluruh pelusuk bumi. Oleh itu, tidak semua yang gelap boleh dibiarkan selama-lamanya begitu.

ANGGAPALAH TEGURAN SEBAGAI HADIAH RABBANIYAH

Tidak ada dosa dan kesalahan yang tidak mempunyai balasan. Semuanya akan dibalas oleh Allah swt., samada dalam kehidupan ini atau di akhirat kelak.
 
Bayangkan jika dosa dan kesalahan berjalan berterusan :
 
1. Tanpa terasa apa-apa.
2. Tanpa ada teguran.
3. Tanpa ada peringatan.
 
Niscaya akan berlaku kerosakan yang banyak dalam kehidupan manusia.

Menggunungnya dosa dan kesalahan boleh menyebabkan tersumbatnya semua cahaya kesedaran. Orang-orang seperti ini bukan hanya tidak menemui pintu kesedaran, bahkan ia merasa bahwa dirinya sahaja tergolong orang yang mendapat petunjuk.

Maha Benarlah Allah swt dalam firmanNya :
 
"Sebahagian diberiNya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahwa mereka mendapat petunjuk. (QS Al-A'raaf : 30)

Allah swt sentiasa sayang pada hamba-hambaNya. Berbeza dengan orang kafir yang mendapat berbagai nikmat dan peluang sehingga tanpa segan silu melakukan maksiat, orang mukmin tidak begitu.

Sedikit sahaja bengkok, sentiasa ada teguran. Ada teguran secara langsung berupa musibah, bencana atau malapetaka dan ada pula teguran yang tidak secara langsung yang disuarakan melalui mulut manusia.

Bahkan Allah swt menamakan ciri mereka yang saling menegur sebagai generasi yang selamat dari bencana kerugian dunia dan akhirat.

Maha Agung Allah swt dalam firmanNya :
 
"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian kecuali, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS Al-Ashr : 1-3)

ANGGAPLAH TEGURAN SEBAGAI UNGKAPAN SAYANG

Kadang-kadang agak sukar menterjemahkan sebuah ungkapan dengan timbangan yang jernih dan lurus termasuk dalam soal teguran. Kebiasaannya, orang yang menegur diterjemahkan atau dianggap sebagai lawan yang menyusahkan bahkan ingin menjatuhkan.

Dalam timbangan akhlak Islam, nilai sebuah teguran adalah jauh dari anggapan tersebut. Bahkan kalau kita melihat secara positif :

1. Teguran bukan untuk menyusahkan melainkan untuk memudahkan.

2. Teguran bukan ungkapan marah apalagi permusuhan melainkan ianya adalah ungkapan sayang dan persaudaraan.

Rasulullah saw pernah bersabda :
 
"Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan keadaan, saling menyedarkan satu sama lain dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan)."
(HR Ad Dailami)

Teguran adalah ungkapan sayang yang sejati seorang saudara terhadap saudaranya yang lain yang mungkin terjebak dalam suatu kesalahan. Cinta kerana Allah dan benci pun kerana Allah. Kalau bukan kerana cinta, mungkin ia tidak akan peduli untuk menegur kerana usaha itu terasa begitu berat.

ANGGAPLAH TEGURAN SEBAGAI GURU DI MEDAN

Teguran tidak selalunya berkaitan atau ada hubung kait dengan dosa. Tidak selalunya berkaitan dengan sesuatu yang prinsip. Ada teguran yang memang sangat diperlukan ketika sesuatu yang bersifat teori cuba diimplementasikan ke bumi nyata dalam wilayah aplikasi.

Dalam hal berumahtangga misalnya, ketika belum memasuki alam perkahwinan, seseorang merasa sudah faham betul dengan yang hal ehwal rumah tangga setelah mendapatkan informasi dari buku, ceramah dan sebagainya. Tapi, ketika rumahtangga sudah menjadi kenyataan, semua perkara menjadi sungguh berbeza. Realiti kadangkala tidak selalunya bertepatan dengan suasana ideal yang diimpikan.

Berlaku perbezaan di sana di mana wujudnya konflik antara suami dan isteri. Sesuatu yang dalam teori begitu indah, tetapi ternyata begitu gersang dalam kenyataan di medan. Tentunya, yang salah bukannya cita-cita idealnya tadi, tapi cara bagaimana menggarap dan mencapai tujuan dan impian itu yang belum
benar-benar selaras. Di sinilah, seseorang memerlukan teguran dan teguran ketika itu bertukar menjadi guru di lapangan realiti sebenar.

ANGGAPLAH TEGURAN SEBAGAI CERMIN MEMPERINDAHKAN DIRI

Ego manusia sentiasa merasakan yang ia serba sempurna tanpa ada cacat cela dan titik noda malah semuanya dirasai bagus. Kalau ada orang lain yang menilai sedikit berbeza, pasti si penilai yang dianggap silap.

Begitulah juga yang boleh berlaku dalam diri seorang mukmin. Dengan penuh kepercayaan terhadap dirinya, ia begitu yakin bahwa semua langkahnya sempurna tanpa ada kesalahan. Yang salahnya adalah jika ada yang menganggapnya salah.

Dari sudut pandangan Islam, manusia adalah tempat salah dan lupa. Jadi, akan ada sahaja kemungkinan kalau seorang mukmin pun boleh khilaf. Kalau seorang ulama' pun boleh salah dan seorang pemimpin pun boleh tersasar, jadi pada ketika itu, ia sangat memerlukan teguran sebagai cermin yang boleh menyedarkan dirinya.

Rasulullah saw bersabda :
 
"Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin lainnya. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya." (HR Al-Bukhari)

Indahnya nikmat keimanan. Hati yang mulanya gelap menjadi terang. Bahaya dan penyakit yang bersarang di sekeliling dirinya yang sebelumnya tertutup, boleh tersingkap dengan jelas. Kian nampak mana yang baik dan mana yang buruk dalam perkara apa pun termasuklah dalam pergaulan dan persaudaraan Islam.

TIDAK ADA MANUSIA YANG SERBA SEMPURNA

Ketika ini tidak ada manusia yang sempurna dalam segala perkara bahkan sentiasa sahaja ada kekurangan.

Boleh jadi :

1. Ada yang bagus dalam rupa paras, tapi ada kekurangan dalam gaya bicara.

2. Ada yang bagus dalam penguasaan ilmu, tapi tidak mampu menguasai emosi kalau ada singgungan.

3. Ada yang kuat di satu segi, tapi lemah di sudut yang lain.

Dari situlah seorang mukmin mesti cermat untuk mengukur, menimbang dan membuat penilaian terhadap seseorang. Apa kekurangan dan kesalahannya. Kenapa boleh berlaku begitu dan seterusnya.

Walau bagaimanapun keadaan orang yang sedang dinilai, keadilan tidak boleh dilupakan meskipun terhadap orang yang tidak disukai. Yakinlah bahwa di sebalik keburukan sifat seorang mukmin, pasti ada kebaikan di sisi yang lain. Tidak boleh main `pukul rata': "Ah, orang seperti itu memang tidak berkelakuan baik!"

Allah swt. meminta orang-orang yang beriman agar sentiasa bersikap adil.

Firman Allah swt :
 
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang sentiasa menegakkan (kebenaran) kerana Allah; menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (QS Al Maidah : 8)

Dari timbangan yang adil itulah, penilaian akan menjadi seimbang. Tidak serta-merta mengecap bahwa orang itu pasti salah. Mungkin, ada sebab yang membuatkan ia lalai, lengah dan kehilangan pengendalian diri. Bahkan boleh jadi, jika pada posisi dan situasi yang sama, kita pun tidak lebih bagus dari orang
yang kita nilai.

KEKURANGAN DIRI SEORANG MUKMIN MERUPAKAN UJIAN TERHADAP MUKMIN YANG LAIN

Hubungan sesama mukmin adalah seperti satu tubuh. Ada keterkaitan yang begitu kuat. Sakit di salah satu bahagian tubuh, bererti sakit pula di bahagian yang lain. Aib pada diri seorang mukmin, bererti aib pula buat mukmin yang lain.

Setidak-tidaknya, ada dua ujian buat seorang mukmin ketika keaiban saudaranya tersingkap :

PERTAMA : Kesabaran untuk menanggung keburukan secara bersama.

Siapa lagi yang layak memberi kritikan dan arahan kalau bukan saudara sesama mukmin. Ini kerana dialah yang lebih faham keadaan daya tahan keimanan saudaranya sesama mukmin. Sabar untuk sentiasa menegur, mendekati dan memberi penyelesaian.

KEDUA : Kesabaran untuk tidak menyebarkan keburukan saudaranya kepada orang lain.

Ini memang sukar kerana lidah kerap tersasul dan sentiasa sahaja tergelincir untuk menyampaikan isu-isu baru yang menarik minat orang ramai. Tapi sayangnya, sesuatu yang menarik buat seseorang itu kadang-kadang menjadi sesuatu yang buruk buat mereka atau objek yang dibicarakan.

Di situlah ujian seorang mukmin untuk mampu memilih dan menilai. Mana yang perlu dikhabarkan dan mana yang mesti dirahsiakan.

Rasulullah saw bersabda :
 
"Tidak akan masuk syurga orang yang suka mendengar-dengar berita rahsia orang lain." (HR Al-Bukhari)

TATAPILAH KEKURANGAN DIRI SEBELUM MENILAI KEKURANGAN ORANG LAIN

Ego manusia sentiasa membisikkan `Sayalah yang sentiasa baik dan yang lain buruk'.

Dominasi ego seperti inilah yang kerapkali membuatkan timbangan penilaian jadi tidak adil. Kesalahan dan kekurangan orang lain begitu jelas, tapi kekurangan diri tidak pernah terasa dan terlihat. Padahal, kalau bukan kerana anugerah Allah berupa tertutupnya aib diri sendiri, tentunya orang lain pun akan secara jelas menemui aib kita.

Sebelum memberi reaksi terhadap aib orang lain, lihatlah secara jernih apakah mutu diri kita sendiri. Lebih baikkah? atau jangan-jangan lebih buruk lagi. Dari situlah ucapan syukur dan istighfar mengalir dari hati yang paling dalam. Syukur kalau diri ternyata lebih baik dan istighfar jika terlihat bahwa diri sendiri
lebih buruk.

Tatapilah aib saudara mukmin lain dengan pandangan baik sangka :

1. Mungkin ia terpaksa.

2. Mungkin itulah pilihan buruk dari sekian banyak yang terburuk.

3. Mungkin langkah dia jauh lebih baik dari kita jika berada pada situasi dan
keadaan yang sama.

MEMBUKA AIB SEORANG MUKMIN BERERTI MEMPERLIHATKAN AIB SENDIRI

Seorang mukmin dengan mukmin lainnya adalah bersaudara. Sebuah persaudaraan yang jauh lebih kuat berbanding satu ayah dan satu ibu kerana Allah sendiri yang menyatakan kekuatan persaudaraan itu:
 
"Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara…." (QS Al-Hujurat : 10)

Ketika seorang mukmin membuka dan menyebarkan aib saudaranya, ada dua kesalahan yang dilakukan sekaligus :

PERTAMA : Citra keagungan orang-orang beriman telah dikotori.

Reaksi spontan yang muncul boleh memalukan umat Islam, "Ya, sama sahaja, keimanan tidak boleh menjadi jaminan!" dan seterusnya.

KEDUA : Orang yang gemar menyebarkan aib saudaranya sebenarnya tanpa sedar sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli.

Di antara jati dirinya yang tersingkap adalah :

1. Tidak boleh memegang rahsia

2. Lemah semangat kesetiakawan

3. Penyebar berita bohong

Semakin banyak aib yang ia sebarkan, semakin jelas pula keburukan diri si penyebar.

Benarlah apa yang dinasihatkan oleh Rasulullah saw bahwa diam adalah pilihan terbaik ketika tidak ada bahan ucapan yang baik.

Simpanlah aib seorang teman dan saudara sesama mukmin kerana dengan berbuat begitu; kelak, Allah swt akan menutup aib kita di hadapan manusia di akhirat nanti.

Ya Allah, jadikanlah kami umat yang sentiasa memberi teguran dan nasihat di atas perkara kebenaran dan sentiasa menetapi kesabaran di atas segala ujian dan fitnah yang berlaku terhadap sesama mukmin atau dilakukan oleh orang-orang kafir. Berilah kekuatan dan keteguhan iman untuk kami mampu bertahan dan tidak menyebarkan keaiban dan kelemahan saudara-saudara kami kerana akhirnya ia memberi kesan kepada diri kami sendiri samada di dunia atau di akhirat.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
0

Merintis Jalan Kebajikan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Rasulullah saw bersabda :

"Siapa yang menunjukkan jalan kebajikan maka ia memperolehi pahala (seperti pahala) orang yang melaksanakannya." (HR Muslim, At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Menunjukkan jalan kebajikan adalah salah satu tugas dakwah. Tentu sahaja tujuannya untuk mengajak orang-orang melakukan kebajikan itu. Tetapi kita mestilah ingat bahwa mengajak tidak cukup dengan hanya berbekalkan kata-kata yang berbunga.

Seseorang yang berkempen untuk sesuatu kebajikan mestilah juga menjadi perintis kepada kebajikan itu sendiri kerana tidak semua objek dakwah menggunakan prinsip "dengar perkataannya, bukan lihat siapa yang mengatakan".

Masih ramai yang menilai sesuatu itu benar atau salah, menerima atau menolak dakwah dengan merujuk kepada apa yang ia lihat terhadap si pendakwah.

Jika rasa simpati dan cinta manusia terhadap diri pendakwah merupakan salah satu kunci kejayaan dakwah, maka mewujudkannya dalam diri pendakwah adalah sebahagian dari dakwah itu sendiri.

Rasulullah saw mempunyai peribadi yang menarik dan mempesonakan. Oleh kerana itu, orang-orang yang didakwahkannya tidak mempunyai alasan untuk mencelanya. Mereka yang menolak dakwahnya sekalipun mengakui bahwa Rasulullah saw memang orang yang layak dicintai kerana :

  1. Amanah.
  2. Kejujuran.
  3. Budi pekertinya yang baik.

Jika tiada alasan yang munasabah, dalih mereka untuk menolak beliau hanyalah dengan menuduh bahwa apa yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah sihir. Bahkan ini suatu tuduhan yang tidak dapat dibuktikan.

Faktor utama yang akan memperkukuhkan usaha merintis kebajikan adalah "Cinta Allah".

Mengapa?

PERTAMA :

Dakwah adalah tugas suci dari Allah swt. Restu Allah swt sangat menentukan samada berhasil atau gagalnya sesuatu projek itu. Mengejar cinta manusia dengan membuat murka Allah pasti akan menggagalkan dan menghancurkan dakwah itu sendiri.

KEDUA :

Apabila Allah telah mencintai seseorang, maka orang tersebut akan mendapatkan tempat dan memperolehi penerimaan yang luas di kalangan manusia.

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya Allah jika mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril seraya mengatakan, `Sesungguhnya Aku mencintai si fulan maka cintailah dia.' Maka Jibril mencintainya. Kemudian ia (Jibril) menyeru di langit dengan mengatakan, `Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia oleh kalian.' Maka penduduk langit mencintainya. Kemudian jadilah orang itu mendapatkan penerimaan di bumi. " (HR Bukhari dan Muslim)

Tidak ada cara lain untuk meraih cinta Allah selain dengan cara taat kepadaNya dalam keadaan apa pun.

"Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS Ali Imran : 31).

Selebihnya, mereka yang berkempen untuk kebenaran, keadilan dan kebajikan wajib melakukan cara-cara yang dibenarkan oleh Islam untuk menumbuhkan sikap berpihak masyarakat kepada kebenaran.

Berikut adalah beberapa cara yang dianjurkan :

PERTAMA : BERLAPANG DADA

Berlapang dada dalam bertindakbalas terhadap kesalahan-kesalahan terutama yang "merugikan" diri pendakwah merupakan pintu gerbang penting bagi hadirnya kecintaan Allah swt.

"Mereka harus memaafkan dan berlapang dada. Tidakkah kamu ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS An-Nur: 22)

Sikap memaafkan ini tentu sahaja akan membuatkan hati menjadi lembut.

Seorang penulis Islam menulis dalam bukunya "Peribadi Muslim sebagaimana digambarkan dalam Al Quran" bahwa Islam menjadikan sikap pemaaf dan berlapang dada sebagai salah satu jalan tarbiyah. Sikap itu dapat membersihkan hati dari dengki dan kecenderungan-kecenderungan buruk yang lainnya. Dengan demikian meningkatlah keyakinan seorang muslim dan semakin sempurnalah keimanannya.

KEDUA : MENCINTAI KERANA ALLAH

Untuk meraih cinta yang murni adalah dengan mewujudkan cinta yang murni pula. Cinta palsu hanya akan melahirkan cinta kosong. Oleh kerana itu, landasan interaksi seorang pendakwah dengan 'mad'u'nya hanyalah landasan cinta kerana Allah swt.

Anas bin Malik mengatakan :

"Aku sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba lalu seorang laki-laki. Seseorang dari yang sedang duduk bersama Rasulullah saw mengatakan, `Ya Rasulullah saw aku mencintai orang itu.' Rasulullah saw mengatakan, `Sudahkah kamu menyatakannya kepadanya?' Orang itu menjawab, `Belum.' Kata Rasulullah saw, `Bangunlah dan nyatakanlah kepadanya." Maka orang itu bangkit menuju ke arahnya seraya mengatakan, `Aku mencintaimu kerana Allah.' Orang itu menjawab, `Semoga Allah mencintaimu pula yang keranaNya kamu mencintaiku'." (HR Ahmad)

KETIGA : SILATURAHIM

Allah swt berfirman :

"Dan orang-orang yang menyambungkan apa-apa yang Allah perintahkan untuk disambungkan, merasa takut kepada Rabb mereka dan merasa takut akan buruknya penghitungan." (QS Ar-Ra'd : 21)

Rasulullah saw memerintahkan kita untuk menjalin hubungan dengan orang yang memutuskannya dengan kita.

Rasulullah saw juga bersabda :

"Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan hubungan, yakni memutuskan hubungan rahim (kekeluargaan)." (Muttafaq `alaih)

Selain besar pahalanya, silaturahim juga mendatangkan banyak manfaat bagi seorang pendakwah. Contohnya ia akan mudah memahami keadaan mad'unya. Dengan demikian, boleh mengenali masalah yang dihadapi oleh mad'unya.

Paling tidak, pendakwah dapat memberikan empati kepadanya dan perkara itu akan meringankan beban penderitaannya. Ia akan menjadi lebih baik lagi jika ia dapat melakukan sesuatu yang konkrit yang dapat dirasakan oleh si mad'u.

KEEMPAT : MENAMPILKAN SENYUMAN

Menampilkan wajah ceria dan senyuman adalah amal soleh yang ringan untuk dilaksanakan tetapi mempunyai nilai yang mulia di sisi Allah dan pengaruh yang besar kepada manusia.

Rasulullah saw bersabda :

"Janganlah engkau meremehkan kebaikan sekecil apa pun, walaupun hanya mampu menemui saudaramu dengan wajah ceria." (HR Muslim)

Ini adalah kerana senyuman mempunyai nilai yang tinggi seperti sabda Nabi saw,

"Senyumanmu di hadapan wajah saudaramu adalah shadaqah." (HR Ibnu Hibban)

KELIMA : JAUHI KESOMBONGAN


Seorang yang sedang berkempen untuk kebajikan boleh sahaja menampilkan perkara-perkara baik yang pernah dilakukannya sebagai usaha menceritakan kenikmatan, akan tetapi, ia mesti berusaha untuk menjauhi riya' dan kesombongan.

Qatadah mengatakan :

"Siapa yang diberi harta, atau kecantikan, atau pakaian, atau ilmu kemudian tidak bersikap tawadhu' maka semua itu akan menjadi kebinasaan bagi dirinya pada hari kiamat."

KEENAM : HATI-HATI DALAM BERJANJI

Membuat janji secara tepat dan tidak menjualnya dengan harga murah. Melanggar janji akan :

  1. Membuatkan Allah murka.
  2. Menyebabkan manusia kecewa.
  3. Mengakibatkan kehilangan kepercayaan.

Oleh kerana itu agar kita tidak termasuk orang yang melanggar janji, membuat janji secara cermat dan benar adalah pilihan yang tepat.

Daripada melanggar janji, adalah lebih baik jika kita menampilkan bukti-bukti yang sebenarnya.

Jangan sampai kita terjebak untuk menyaingi atau mengimbangi janji-janji para penyeru yang berhati busuk dengan janji busuk mereka.

Kesungguhan dalam memperbaiki keadaan umat dapat dilihat dari sejauh mana para pendakwah dalam menerapkan nilai-nilai kebaikan di dalam kehidupannya.

Memang, untuk sentiasa konsisten dan berterusan dalam kebenaran memerlukan stamina yang lebih.

Oleh kerana itu, penegak nilai-nilai kebenaran dan keadilan akan sentiasa berhadapan dengan pemelihara kezaliman.

Orang yang berusaha hidup bersih dari rasuah akan berhadapan secara langsung dengan orang yang membangun kejayaan dengan rasuah.

Ya Allah, jadikanlah kami mereka-mereka yang sentiasa merintis kepada jalan kebajikan sehingga kami tetap teguh dan istiqamah berusaha di jalanMu kerana hanya dengan cara ini setiap kebajikan itu akan dapat diwariskan kepada generasi penerus dan ganjaran pahalanya masih terus dapat dinikmati oleh para perintis.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat - Lintas Langsung #8

Salam,

Pembentangan Penyata Kewangan oleh Bendahari.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat - Lintas Langsung #7

Salam,

Akh SU membentangkan laporan tahunan.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Salam,

Penyampaian cenderahati oleh YDP IKRAM Kuala Langat kepada Perasmi MAD.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat - Lintas Langsung #5

Salam,

Antara ahli-ahli IKRAM Kuala Langat yang menghadiri MAD 2011.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat - Lintas Langsung #4

Salam,

Antara ahli-ahli IKRAM Kuala Langat yang menghadiri MAD 2011.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat - Lintas Langsung #3

Salam,

Ucapan Perasmian MAD IKRAM Kuala Langat oleh SU IKRAM Negeri Selangor, Akh Hj Ridzuan.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat - Lintas Langsung #2

Salam,

Ucapan alu-aluan YDP IKRAM Daerah Kuala Langat.

'Bekerja utk mendapat hasil dan amanah,

'Jika bekerja tidak mendapat hasil tapi InsyaAllah amanah telah dilaksanakan'


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Mesyuarat Agong Daerah IKRAM Kuala Langat

Salam,

MAD IKRAM Daerah Kuala Langat sedang berlangsung sekarang di Pejabat Utama IKRAM Kuala Langat, Bandar Sg. Emas, Banting.

Kelihatan Akh Samsudin sedang membaca Al-Quran surah Ali Imran...

Dihimpit oleh Akh Pengerusi Tetap dan Akh Penolong SU.

Lintas Langsung
Alikin Ahmad

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0

Profil Keperibadian Muslim

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

 

Manusia adalah makhluk yang paling sempurna dan paling mulia dibandingkan dengan makhluk-makhluk Allah yang lainnya.

 

Allah swt berfirman :

 

"Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan." (QS Al Isra' : 70)

 

KEPENTINGAN PEMBENTUKAN KEPERIBADIAN MUSLIM

 

Pembentukan keperibadian muslim merupakan suatu perkara yang sangat diperhatikan dalam agama Islam.

 

Ini adalah kerana Islam itu sendiri bukan suatu ajaran yang hanya diyakini dan difahami semata-mata tanpa perlu diwujudkan dalam kehidupan yang nyata, tetapi Islam menyatukan dan memadukan dua perkara :

  1. Antara keyakinan dan aplikasi.
  2. Antara norma dan perbuatan.
  3. Antara keimanan dan amal soleh.

Oleh sebab itulah, ajaran yang diyakini dalam Islam mestilah tercermin dalam setiap tingkah laku, perbuatan dan sikap peribadi-peribadi muslim.

 

Memang, setiap jiwa yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, namun ia bukanlah bererti kesucian dari kelahiran itu menafikan usaha untuk membangun dan menjaganya.

 

Bahkan, justeru kerana dimulai dengan fitrah itulah, jiwa tersebut mesti dijaga dan dirawat kesuciannya dan seterusnya dibangunkan agar seseorang itu membentuk dirinya menjadi peribadi muslim yang sejati.

 

RUJUKAN KEPERIBADIAN MUSLIM

 

Al-Qur'an dan As Sunnah merupakan dua pusaka Rasulullah saw yang mesti sentiasa  dirujuk oleh setiap muslim dalam segala aspek kehidupannya.

 

Satu dari sekian banyak aspek kehidupan yang amat penting adalah pembentukan dan pengembangan keperibadian muslim.

 

Peribadi muslim yang dikehendaki oleh Al-Qur'an dan As Sunnah adalah peribadi yang soleh di mana sikap, ucapan dan tindakannya diwarnai oleh nilai-nilai yang datang dari Allah swt.


Persepsi masyarakat tentang keperibadian muslim memang berbeza-beza. Bahkan banyak yang kefahamannya begitu sempit sehingga seolah-olah keperibadian muslim itu hanya tercermin pada orang yang rajin melaksanakan Islam dari aspek ubudiyah semata-mata.

 

Padahal itu hanyalah satu aspek sahaja dan masih banyak aspek lain yang mesti melekat kuat pada keperibadian seorang muslim. Oleh kerana itu, piawaian keperibadian muslim yang berdasarkan Al Qur'an dan As Sunnah merupakan sesuatu yang mesti dirumuskan sehingga boleh menjadi acuan bagi pembentukan keperibadian muslim.

 

Jika dibuat penelitian, setidak-tidaknya ada sepuluh (10) karakter atau ciri-ciri khas yang mesti ada pada sebuah keperibadian muslim.

 

PERTAMA : AQIDAH YANG SEJAHTERA (Salimul Aqidah)

 

Aqidah yang sejahtera merupakan sesuatu yang mesti wujud pada setiap muslim.

Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat dengan Allah swt.

 

Dengan ikatan yang kuat itu dia :

 

a.       Tidak akan menyimpang dari jalan Allah.

b.      Tidak akan melanggar segala ketentuan-ketentuanNya.

 

Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firmanNya :

 

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam." (QS Al An' aam : 162)

 

Oleh kerana aqidah yang sejahtera merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam awal dakwahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah saw mengutamakan pembinaan aqidah, iman dan tauhid.

 

KEDUA : IBADAH YANG BENAR (Shahihul Ibadah)

 

Ibadah yang benar merupakan salah satu perintah Rasulullah saw yang penting.

 

Dalam satu haditsnya, baginda saw bersabda :

 

"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat."

 

Dari ungkapan ini maka dapat dibuat kesimpulan bahwa dalam melaksanakan setiap ibadah, mestilah merujuk kepada sunnah Rasul saw yang bererti :

 

Tidak boleh wujud unsur :

 

a.       Penambahan.

b.      Pengurangan.

 

KETIGA : AKHLAK YANG KUKUH (Matinul Khuluq)

 

Akhlak yang kukuh merupakan sikap dan perilaku yang mesti dimiliki oleh setiap muslim, samada dalam hubungannya dengan Allah atau dengan makhluk-makhlukNya.

 

Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apalagi di akhirat.

Disebabkan begitu pentingnya memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah saw diutuskan untuk memperbaiki akhlak dan baginda sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah swt di dalam Al Qur'an.

 

Allah swt berfirman :

 

"Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung" (QS Al Qalam : 4)

 

KEEMPAT : KEKUATAN JASMANI (Qawiyyul Jismi)

 

Kekuatan jasmani merupakan salah satu sisi keperibadian muslim yang mesti ada.

Kekuatan jasmani bererti seseorang muslim memiliki daya tahan tubuh badan sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan fizikalnya yang kuat.

 

Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang mesti dilaksanakan dengan fizikal yang sihat dan kuat. Apalagi berjihad di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan lainnya.

 

Oleh kerana itu, kesihatan jasmani mesti mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan.

 

Meskipun demikian, kesakitan tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar jika ianya kadang-kadang berlaku, namun jangan sampai seorang muslim sentiasa dalam keadaan sakit dan tidak berdaya.

 

Oleh kerana kekuatan jasmani juga termasuk perkara yang penting, maka Rasulullah saw bersabda :

 

"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah." (HR Muslim)

 

KELIMA : PEMIKIRAN YANG BERWAWASAN (Mutsaqqaful Fikri)

 

Pemikiran yang berwawasan merupakan salah satu sisi keperibadian muslim yang juga penting kerana salah satu sifat Rasul adalah 'fatanah' (cerdas).

 

Al Qur'an juga banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah swt :

 

"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: " pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan". Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir." (QS Al Baqarah : 219)

 

Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang mesti kita lakukan kecuali mesti  dimulai dengan aktiviti berfikir.

 

Oleh yang demikian, seorang muslim mesti memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas.

Untuk mencapai wawasan yang luas maka seorang muslim itu dituntut untuk mencari atau menuntut ilmu sepertimana yang disabdakan boleh Rasulullah saw :

 

"Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim." (Muttafaqun 'alaihi)

 

Cara menuntut ilmu yg paling baik adalah melalui majlis-majlis ilmu seperti yang digambarkan oleh Allah swt dalam firmanNya :

 

"Wahai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."(QS Al-Mujaadilah : 11)

 

Boleh kita bayangkan, betapa bahayanya sesuatu perbuatan yang dilakukan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu.

 

Oleh kerana itu, Allah swt menimbulkan suatu persoalan kepada kita tentang tingkatan kecerdasan seseorang sebagaimana firman Allah swt :

 

"Katakanlah: "samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?"', sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran". (QS Az Zumar : 9)

 

KEENAM : BERJUANG MELAWAN HAWA NAFSU(Mujahadatul Linafsihi)

 

Berjuang melawan hawa nafsu merupakan salah satu keperibadian yang mesti ada pada diri seorang muslim kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada :

 

a.       Yang baik.

b.      Yang buruk.

 

Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan.

 

Kesungguhan itu akan terwujud apabila apabila seseorang itu berjuang melawan hawa nafsunya.

Hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia mesti diusahakan supaya tunduk pada ajaran Islam.

 

Rasulullah saw bersabda :

 

"Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam)" (HR Hakim)

 

KETUJUH : BERDISIPLIN DALAM MENJAGA WAKTU (Harishun Ala Waqtihi)

 

Pandai menjaga waktu merupakan faktor penting bagi manusia.

 

Ini adalah kerana waktu mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan RasulNya.

 

Allah swt banyak bersumpah di dalam Al Qur'an dengan menyebut nama waktu seperti :

 

a.       'Wal fajri'. (Demi Waktu Fajar)

b.      'Wad dhuha'. (Demi Waktu Dhuha)

c.       'Wal ashri'. (Demi Masa)

d.      'Wallaili'. (Demi Waktu Malam)

 

Allah swt memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama, iaitu 24 jam sehari semalam.

 

Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tidak sedikit manusia yang rugi.

 

Oleh kerana itu, amat tepat sebuah ungkapan yang mengatakan :

 

"Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu".

 

Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi.

 

Oleh kerana itu, setiap muslim amat dituntut untuk berdisiplin dalam mengelola waktu

nya dengan baik sehingga waktu berlalu dengan penggunaan yang berkesan dan tidak ada yang sia-sia.

 

Maka di antara yang disinggung oleh Nabi saw adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu :

 

a.       Hidup sebelum mati.

b.      Sihat sebelum datang sakit.

c.       Muda sebelum tua.

d.      Lapang sebelum sibuk.

e.       Kaya sebelum miskin.

 

KELAPAN : TERATUR DALAM SUATU URUSAN (Munazhzhamun fi Syuunihi)

 

Teratur dalam suatu urusan termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al Qur'an maupun As Sunnah.

 

Oleh kerana itu dalam hukum Islam, samada yang berkait dengan masalah ubudiyah ataupun muamalah, mesti diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik.

 

Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka digalakkan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya.

 

Dengan kata lain, suatu urusan mesti dikerjakan secara profesional kerana walauapapun yang dikerjakan, sikap profesionalisma hendaklah sentiasa diperhatikan.

 

Di antara perkara yang mesti mendapat perhatian serius dalam penunaian tugas-tugas adalah :

 

a.       Bersungguh-sungguh.

b.      Bersemangat.

c.       Mudah berkorban.

d.      Berterusan.

e.       Berasaskan ilmu pengetahuan.

 

KESEMBILAN : MEMILIKI KEMAMPUAN USAHA SENDIRI (Qadirun Alal Kasbi)

 

Kemampuan usaha sendiri merupakan ciri lain yang mesti ada pada diri seorang muslim.

 

Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan di mana mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya mampu dilaksanakan apabila seseorang itu memiliki kemandirian terutama dari segi ekonomi.

 

Kadang-kadang kita lihat, tidak sedikit seseorang yang mengorbankan prinsip yang telah dianutnya kerana tidak memiliki kemandirian dari segi ekonomi.

 

Peribadi muslim tidaklah semestinya dalam keadaan miskin, bahkan seorang muslim boleh sahaja menjadi kaya bahkan memang perlu kaya agar dia dapat menunaikan ibadah haji dan umrah, zakat, infaq, sedekah dan mempersiapkan masa depan yang baik.

 

Oleh kerana itu, perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al Qur'an mahupun hadits dan perkara itu memiliki keutamaan yang sangat tinggi.

 

Dalam kaitan menciptakan kemandirian inilah, seorang muslim amat dituntut memiliki keahlian apa sahaja yang baik.

 

Keahliannya itu akan menjadi sebab baginya untuk mendapat rezeki dari Allah swt.

 

Rezeki yang telah Allah sediakan mesti diambil dan untuk mengambilnya diperlukan  keterampilan dan keahlian dalam sesuatu bidang pekerjaan.

 

KESEPULUH : BERMANFAAT BAGI ORANG LAIN (Nafi'un Lighairihi)

 

Bermanfaat bagi orang lain merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim.

 

Manfaat yang dimaksudkan tentu sahaja manfaat yang baik sehingga di manapun dia berada, orang di sekitarnya merasakan keberadaannya.

 

Janganlah pula sampai keberadaan seorang muslim tidak menggenapkan dan ketiadaannya tidak mengganjilkan.

 

Ini bererti, setiap muslim itu mesti sentiasa berfikir, mempersiapkan dirinya dan berusaha semaksima mungkin untuk mampu bermanfaat dan mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya.

 

Dalam kaitan ini, Rasulullah saw bersabda :

 

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain"

 

Demikianlah secara umum profil keperibadian seorang muslim yang disebutkan dalam Al Qur'an dan As Sunnah.

 

Ia adalah sesuatu yang perlu kita jadikan sebagai tahap pencapaian keperibadian pada diri kita masing-masing.

 

Untuk meraih kriteria dan ciri-ciri keperibadian muslim di atas memerlukan mujahadah dan iltizam yang bersungguh-sungguh secara berterusan.

 

Allah swt berjanji akan memudahkan hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh untuk meraih keridhaanNya.

 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."(QS Al Ankabut : 69)

 

Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk kami mampu membina dan membangunkan ciri-ciri keperibadian muslim yang akan melengkapkan syakhshiah kami sehingga ianya bermanfaat untuk dakwah ini dan mampu menjadi contoh tauladan kepada manusia yang ingin mendapat hidayah dariMu.

 

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0

Meneliti Agenda Tarbiyah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

 

Ada satu ungkapan yang menjadi keinginan semua orang yang terlibat dalam dakwah dan tarbiyah iaitu :

"Banyak dalam kuantiti dan bagus dalam kualiti".

 

Ungkapan ini bukanlah suatu khayalan tetapi Allah swt sendiri memberikan isyarat kemungkinannya sepertimana firman Allah swt dalam ayat berikut :

 

"Dan berapa banyak para nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami, dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan." (QS Ali Imran : 146-148)

 

Ada tiga isi penting dari ayat di atas :

 

PERTAMA :

 

Kenyataan bahwa para nabi memerlukan pengikut dalam jumlah yang besar sebagai barisan mujahid fi sabilillah.

 

KEDUA :

 

Pengikut-pengikut mereka itu pula adalah 'Rabbaniyyin' iaitu mereka memiliki kualiti yang hebat dalam medan perjuangan di mana mereka :

 

a.       Tidak mudah lemah dalam menghadapi ujian dunia.

b.      Tidak mudah lesu dalam menghadapi kesulitan perjuangan.

c.       Tidak mudah menyerah kepada musuh-musuh Allah.

 

KETIGA :

 

Mereka adalah orang-orang yang menyedari kelemahan dan kesalahan diri mereka. Cara mereka menghadapinya adalah dengan sentiasa memohon keampunan Allah dan bertaubat dari kesalahan dan kekeliruan serta menggantungkan diri semata-mata kepada Allah swt dalam menghadapi musuh.

Tiga isi inilah yang menggambarkan agenda tarbiyah yang perlu diusahakan oleh kita sekarang ini iaitu :

 

1.      Bermula dengan usaha yang sistematik untuk merekrut dan mencetak aktivis dakwah sebanyak-banyaknya.

2.      Kemudian mentarbiyah mereka secara 'manhaji' agar memiliki kualiti yang hebat.

3.      Seterusnya membangun sistem dan iklim dakwah yang baik iaitu kemampuan untuk menghidupkan semangat :

a.       Kekuatan hubungan dengan Allah swt.

b.      Muraqabatullah dan muhasabah diri.

c.       Kerjasama dan tolong menolong.

d.      Melakukan suatu amal dengan terbaik.

 

AGENDA PERTAMA : MEMPERBANYAKKAN PEMBENTUKAN AKTIVIS

 

Merekrut aktivis dakwah adalah usaha untuk memberi jalan kepada manusia bagi mendapatkan hidayah dan pilihan Allah swt. Hasil akhirnya bergantung kepada kesediaan manusia untuk datang kepada Allah dan pada kehendak mutlak Allah swt sendiri.

 

"... Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada (agama) Nya, orang yang kembali (kepadaNya)." (QS As Syuura : 13)

 

Oleh kerana itu, misi dakwah untuk merekrut manusia ke dalam Islam dan dakwah hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang secara sedar telah memutuskan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam.

 

Ini adalah kerana seorang pendakwah tidak mampu memberi hidayah tetapi sebenarnya ia hanya mampu menuntun manusia kepada hidayah itu.

 

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya. Dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (QS Al Qashash : 56)

 

Misi dakwah adalah untuk merekrut manusia ke dalam Islam dan dakwah hanya mampu dilakukan oleh mereka yang menjadikan dakwah sebagai pekerjaan utama dan yang terbaik, dengan mengharapkan ganjaran semata-mata dari Allah swt.

 

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (QS Al Fushshilat : 33)

 

"Dan aku sekali-kali tidak meminta upah kepadamu atas seruan-seruan itu. Upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam." (QS Asy Syu'ara : 109)

 

Dengan orientasi seperti inilah, setiap aktivis dakwah akan memiliki persiapan untuk berdakwah. Kejayaan untuk merekrut manusia kemudiannya akan ditentukan oleh kesungguhan dan kepasrahannya dalam mengajak manusia. Hari-harinya adalah waktu dakwah.

 

Perhatikan ungkapan Nabi Nuh as :

 

"Nuh berkata : "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang." (QS Nuh : 5)

 

Ayat ini menggambarkan, dalam setiap kesempatan apapun, keberadaan di manapun dan dalam situasi dan keadaan apapun, Nabi Nuh menjadikan dakwah sebagai misi besar dan utamanya.

 

Kejayaan dalam mencetak aktivis dakwah baru juga akan ditentukan oleh sikap :

 

Mengembangkan Generasi

 

bukan

 

Mengerdilkannya.

 

Perhatikan peringatan Allah swt :

 

"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)

 

Nabi Zakaria as, dalam usianya yang sudah senja, masih memiliki kemahuan yang kuat untuk dapat mengembangkan generasi dakwah.

 

"Ia (Zakaria) berkata: "Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku sudah beruban. Dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap penerus sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul. Maka anugerahkanlah kepadaku dari sisi Engkau seorang putera. Yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub. Dan jadikanlah ia, Ya Tuhanku, seorang yang diridhai." (QS maryam : 4-6)

 

Prinsip dan sikap seperti inilah yang diperlukan oleh setiap aktivis dakwah sehingga mampu menggerakkan kekuatan pengkadiran dakwah secara optimum. Dakwah tidak dipandang sebagai bebanan kerana ia adalah jalan kehidupan kita (Sabilil-Mu'minin).

 

AGENDA KEDUA : MENINGKATKAN KUALITI AKTIVIS

 

Tidak ada kejayaan yang terbaik dalam mencetak aktivis berkualiti kecuali apa yang telah dilakukan oleh Rasul kita, Nabi Muhammad saw.

 

Dengan izin Allah swt, baginda mampu mencetak :

 

1.      Pedagang menjadi pejuang.

2.      Tukang pukul menjadi pemimpin yang zuhud.

3.      Pemuda menjadi ulama'.

4.      Hamba menjadi pentadbir.

 

Apakah kunci kejayaan Tarbiyah Islamiyah yang dilakukan oleh Rasulullah saw?

 

KUNCI PERTAMA : MENGUKUHKAN BANGUNAN KEYAKINAN

 

Rasulullah saw memulai pembentukan keperibadian aktivis dengan menanamkan bangunan keyakinan baru secara utuh. Keimanan akan betapa berkuasanya Allah, keyakinan akan kebenaran Islam serta kefahaman yang kukuh akan jalan dakwah Islam dan kerinduan yang sangat besar terhadap syurga. Keyakinan seperti inilah yang membentuk orientasi dan wawasan hidup para sahabat. Di sinilah lahirnya apa yang disebut sebagai pendukung Islam dan dakwah.

 

Ketika bangunan keyakinan ini kuat dan terpelihara, maka sikap dukungan terhadap Islam dan dakwah para sahabat tetap membara sehingga seorang sahabat seperti Khalid bin Al Walid begitu sedih apabila beliau menemui kematiannya di atas tempat tidur.

 

Sebagai murabbi, Rasulullah saw sentiasa mengingatkan para sahabat baginda akan keyakinan dan orientasi ini khususnya ketika para sahabat mengalami ujian dan cubaan yang sukar dalam kehidupan mereka.

 

Sekali lagi, rahsia pertamanya adalah :

 

a.       Keimanan yang kuat terhadap Allah swt.

b.      Keyakinan yang kuat akan kebenaran Islam.

c.       Kefahaman yang kukuh tentang jalan dakwah dan kerinduan yang dalam terhadap syurga.

 

Yang diperlukan sekarang adalah bagaimana program-program tarbiyah dalam berbagai tahap dan dalam berbagai forum mampu dihiasi dengan usaha untuk menyegarkan dan mengukuhkan bangunan keyakinan ini.

 

1.      Ruh pengabdian menjadi sesuatu yang mutlak untuk dihidupkan dalam berbagai perjumpaan-perjumpaan.

2.      Mengkaji sejarah kehidupan para anbiya', para salafus-soleh dan para mujahid dakwah akan memberi pengaruh yang kuat terhadap kekukuhan dukungan terhadap Islam dan dakwah.

3.      Diskusi dan kajian secara mendalam akan manhaj dakwah dan asas-asasnya, perlu dilakukan secara rutin pada bahagian awal perjumpaan yang bersifat 'tarbawi' atau 'tanzhimi'.

4.      Membiasakan untuk menilai hasil-hasil pekerjaan, bukan sahaja dari sudut-pandang pengurusan, tetapi juga pengajaran dan hikmah 'rabbaniyah' yang terkandung di dalamnya.

 

KUNCI KEDUA : MENDEKATKAN INTERAKSI DENGAN AL QUR'AN

 

Kunci kedua adalah kuatnya interaksi secara langsung antara ayat-ayat Allah dengan perjalanan kehidupan. Sebagaimana yang kita fahami bersama, turun naik perjalanan kehidupan Rasulullah saw bersama sahabat-sahabatnya adalah seiring dengan turunnya ayat-ayat Al Qur'an sehingga, bukan sahaja kehidupan itu berjalan di bawah bimbingan atau pengarahan dari langit (Taujih Rabbani), tetapi juga dapat dilihat dari interaksi secara langsung dan kuat dengan Al-Qur'an sebagai acuan kehidupan (Minhajul-Hayah). Inilah yang menjadi sebab kenapa Sayyid Qutb menyebut para sahabat itu sebagai Generasi Al Quran (Jiil-Qur'ani).

 

Dalam konteks semasa, interaksi dengan Al Qur'an bukan hanya sebatas aspek tilawah, hafazan dan kefahaman, namun yang lebih penting adalah pada sisi pengamalan Islam dan dakwah yang terus mengarah kepada bimbingan Al Qur'an. Sudah semestinyalah, setiap aktivis dakwah mampu menjelaskan seluruh aktiviti hariannya dengan acuan Al Qur'an dan berusaha untuk menemui jawaban ke atas seluruh persoalan-persoalan hariannya dalam Al Qur'an.

 

Salah satu kayu ukur dalam menilai sudut ini ialah apabila seseorang aktivis dakwah itu memiliki kedekatan dengan Al Qur'an terjemahan di mana melalui terjemahan inilah aktivis-aktivis dakwah tersebut akan sentiasa mentadabbur ayat-ayat Allah untuk memahami dan menjelaskan kehidupannya.

 

Untuk menjawab halangan-halangan terhadap peningkatan kualiti ini, maka perlu segera dilakukan usaha mendekatkan interaksi seseorang aktivis dengan Al Qur'an. Misalnya dalam enam bulan pertama memulai proses tarbiyah, setiap 'mutarabbi' dibuat perancangan supaya  mampu menguasai bacaan Al Qur'an dengan baik. Enam bulan berikutnya, mereka diprogramkan untuk menghafal ayat-ayat keimanan, khususnya pada juz 30. Masa-masa seterusnya, program hafazan Al Qur'an disesuaikan dengan tema-tema pembahasan tarbiyah sehingga kefahaman keislaman dan fikrah dakwah dapat diikuti dengan hafazan ayat-ayat yang berkaitan.

 

Kegiatan 'taushiyah' dalam 'liqa' tarbawi' boleh diselang-selikan dengan ulasan tafsir dari ayat-ayat tilawah yang sedang dibaca. Tentu sahaja, ulasan tafsir ini diarahkan untuk merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang sudah banyak diterjemahkan. Begitu juga pembahasan terhadap berbagai permasaalahan dakwah perlu diusahakan untuk melihat kepada tinjauan terhadap Al Qur'an sehingga kefahaman dan penguasaan aktivis terhadap makna dan pengajaran dari ayat-ayat Al-Qur'an tersebut menjadi kuat.

 

KUNCI KETIGA : MEMBIMBING KEPADA PENERAPAN AMAL

 

Islam adalah agama amal dalam ertikata bahwa Islam mengutamakan kebaikan amal sebagai bukti dari keimanan dan kefahaman. Seterusnya, penerapan amal justeru akan mempercepatkan dan memperkukuhkan bangunan keimanan dan kefahaman terhadap Islam. Tentu sahaja semua ini dilakukan dengan menjaga agar setiap amal yang dilakukan sentiasa berlandaskan keikhlasan dan kefahaman.

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dalam mentarbiyah umatnya. Mereka menjadi 'Qaumun 'Amaliyyun' atau orang yang sentiasa beramal.

 

"Dan katakanlah: "Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya beserta orang-orang mu'min akan melihat amalmu itu. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata. Lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (QS At Taubah : 105)

 

Ketika arahan amal begitu kuat dalam Islam, hal ini mendorong para sahabat untuk sentiasa berkomunikasi dan bermesyuarat dengan Rasulullah saw dalam kapasiti baginda sebagai nabi, ketua dan juga hakim. Dari sinilah kefahaman mereka bertambah seiring dengan banyaknya amal. Kebaikan mereka berlipat kali ganda seiring dengan kesalahan yang diperbaiki. Keyakinan mereka menjadi semakin kuat seiring dengan kemenangan amal yang mereka raih sehingga akhirnya, keyakinan Islam mereka semakin kukuh kerana Rasulullah saw sentiasa menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang berjaya dalam beramal soleh.

 

Tarbiyah bukanlah semata-mata untuk tarbiyah, tetapi tarbiyah adalah untuk dakwah. Kita adalah pertubuhan dakwah, bukan pertubuhan tarbiyah. Oleh kerana itu, peningkatan kualiti aktivis dakwah akan menuju kepada prinsip ini iaitu bagaimana para 'mutarabbi' sejak awal tarbiyahnya lagi diarahkan dan dibimbing untuk mulai mengamalkan Islam dan dakwahnya.

 

Murabbi yang berjaya adalah yang mampu menjadikan mutarabbinya sebagai subjek dakwah dan bukan objek dakwah.

 

Ingatlah firman Allah swt :

 

"Tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." (QS Ali Imran : 79)

 

Akhirnya kita menemui satu kata kunci iaitu 'Tajribah Maidaniyah' atau pengalaman di medan sebenar adalah cara yang berkesan untuk mematangkan keyakinan, kefahaman dan kemampuan amal seseorang aktivis.

 

Ilmu Allah yang sangat luas akan diajarkan kepada kita ketika kita ada di medan kehidupan sebenar untuk mengamalkan ajaran Islam dengan penuh tawakal.

 

"... Dan bertakwalah kepada Allah, niscaya Allah akan mengajarkanmu. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (QS Al Baqarah : 282)

 

KUNCI KEEMPAT : MENGUTAMAKAN KETELADANAN DAN KEPIMPINAN YANG BAIK

 

Perilaku dan amal para pendakwah adalah cerminan dari dakwahnya. Mereka adalah teladan dalam pembicaraan dan amalan.

 

Slogan mereka adalah "Ashlih Nafsaka, Wad'u Ghairaka" (perbaiki dirimu, kemudian serulah orang lain).

 

Rasulullah saw telah menampilkan keteladanan ini dalam dirinya. Sungguh, beliau adalah teladan yang sempurna bagi manusia. Baginda adalah teladan bagi setiap pendakwah, setiap pemimpin, setiap bapa dari anak-anaknya, setiap suami dari isterinya, setiap sahabat, setiap murabbi, setiap pengamal politik dan berbagai tingkatan sosial manusia yang lain.

 

Dengan cara inilah, Rasulullah saw berjaya dalam membentuk sahabat-sahabatnya. Islam menampilkan keteladanan sebagai wasilah dakwah dan tarbiyah yang paling berkesan sehingga Islam menetapkan sistem tarbiyah yang berterusan berdiri kukuh di atas dasar prinsip keteladanan tersebut.

 

Sesungguhnya, kebaikan amal seorang pendakwah adalah khutbah yang paling mantap. Akhlaknya yang mulia bagaikan "sihir" yang memikat hati. Oleh kerana itulah, seorang pendakwah yang berjaya adalah pendakwah yang mengajak kepada kebenaran dengan perilakunya, meskipun dia sedikit berbicara. Ini adalah kerana peribadinya telah menjadi contoh yang hidup dan bergerak memperagakan prinsip-prinsip yang diyakininya.

 

Munculnya gejala penurunan kualiti aktivis dakwah sekarang ini berkemungkinan disebabkan kerana lemahnya keteladanan yang ditampilkan oleh para pendakwah dan para pemimpin. Masyarakat tidak dapat belajar secara langsung tentang kebaikan dari pendakwah dan pemimpinnya atau bahkan mereka mungkin dikejutkan dengan perilaku yang kontradiktif dari pendakwah dan pemimpinnya.

 

Untuk tujuan tersebut, walauapapun usaha peningkatan kualiti aktivis yang akan kita lakukan, pada akhirnya ianya perlu disempurnakan dengan keteladanan dan kepimpinan yang baik dari para murabbi dan pendakwah. Kita tidak berhak menegur aktivis dakwah yang lemah kualitinya, selama mana kita sendiri belum mampu mengajarkan dan menunjukkan mereka tentang keteladanan.

 

AGENDA KETIGA : MENGEMBANGKAN IKLIM NASIHAT MENASIHATI

 

Ketika kita bekerja untuk menyediakan aktivis berkualiti dalam jumlah yang banyak, langkah penting seterusnya adalah melakukan pemeliharaan aktivis. Pemeliharaan ini mencakupi aspek keperibadian Islam dan keperibadian pendakwah mereka, sehingga kehidupan dakwah ini terus sihat dan kuat.

 

Tentu sahaja banyak cara yang boleh dilakukan untuk tujuan ini dan salah satunya adalah mengembangkan iklim atau budaya nasihat menasihati (Taushiyah).

 

Masyarakat mu'min di antara ciri-cirinya adalah kuatnya budaya 'taushiyah' dan 'amar ma'ruf nahi munkar'. Mereka memandang perkara ini sebagai keperluan untuk menjaga kebaikan Islam. di samping sebagai hak kewajiban seorang mu'min ke atas mu'min lainnya dan yang lebih penting, ini merupakan salah satu misi dakwah Islam.

 

Dalam sejarahnya, kehancuran umat terdahulu adalah kerana mereka tidak mengembangkan iklim 'taushiyah' dan 'amar ma'ruf nahi munkar'. Boleh jadi hal ini bukan kerana kebodohan mereka terhadap ajaran agama, tetapi kerana kungkungan budaya tertentu. Misalnya sikap takut untuk menegur orang lain terutama yang status atau darjat sosialnya dianggap lebih tinggi atau rasa tidak sedap hati yang akan menyinggung perasaan orang lain. Sikap-sikap ini akan membawa kepada  pengabaian terhadap kesalahan yang berlaku kepada saudara kita. Jika perkara ini terus berlaku, maka sensitiviti kita terhadap kemunkaran yang berlaku dalam kehidupan dakwah boleh lenyap. Inilah pintu malapetaka yang nyata bagi dakwah.

 

Ada banyak cara untuk mengembangkan iklim ini. Yang paling asas adalah menghidupkan kembali suasana Ukhuwah Islamiyah di kalangan aktivis. Manakala interaksi persaudaraan  hidup dengan baik di mana sesama aktivis saling menjalin silaturahim dan berbagai bentuk mu'amalah lainnya.

 

Ini akan membuatkan seorang akh mengenali dengan betul keadaan saudaranya yang lain. Semakin kita kenal dengan saudara yang lain, semakin kita tahu akan kebaikan atau kekurangannya. Di sinilah peluang amal soleh untuk melakukan 'taushiyah' terbuka. Secara tabi'ienya, seseorang merasa lebih nyaman dan lapang apabila yang memberi 'taushiyah' adalah orang yang dekat dengannya.

 

Kemudian, peranan 'taushiyah' yang dilakukan setiap murabbi iaitu bagaimana seorang murabbi menjadikan halaqah tarbiyah sebagai wasilah yang berkesan untuk mentaushiyah para mutarabbinya.

Nasihat-nasihat yang diberikan sesuai dengan persoalan kehidupan mereka sehingga para mutarabbi sentiasa terbimbing untuk istiqamah di jalan Islam. Untuk itu, interaksi antara murabbi dan mutarabbi tidak boleh hanya sebatas di dalam halaqah semata-mata. Interaksi yang lebih bersifat peribadi di luar waktu halaqah menjadi penting agar kedua belah pihak lebih saling mengenali. Ingatlah agama itu adalah nasihat.

 

Yang terakhir yang perlu dilihat secara serious juga adalah peranan kepimpinan di semua peringkat dan tingkatan. Taushiyah seorang pemimpin yang disampaikan secara bijaksana dan penuh ungkapan kasih-sayang, bukan sahaja akan meluruskan orientasi dan proses kerja tetapi juga akan menguatkan kesepaduan organisasi kerana orang-orang yang di dalam organsasi itu tidak merasa terikat secara pentadbiran semata-mata, tapi juga dengan ikatan hati sehingga menjadi sesuatu yang sangat penting dan mendesak.

 

Ia juga penting untuk para pemimpin dakwah khususnya yang ada di bahagian operasi untuk mengukuhkan peranan kepimpinan kerohaniannya serta tidak terjebak sebatas kepimpinan pentadbiran yang fungsi dan peranan kepimpinannya hanya muncul ketika halaqah berbentuk organisasi sahaja.

 

Dalam konteks kepimpinan organisasi, perlu disediakan saluran agar antara para pemimpin dan anggota-anggota organisasinya di setiap tahap dan tingkatan boleh bertemu dan membicarakan perkara-perkara penting secara bersama. Di dalam forum ini, disampaikan perkembangan dan permasalahan dakwah yang perlu diketahui oleh para anggota dan para pimpinan berusaha untuk mendapatkan masukan-masukan yang sebanyak-banyaknya dari para anggota. Setiap anggota pula berhak untuk menyampaikan kritikan dan cadangan pembaikan secara terbuka dan konstruktif dalam forum ini.

 

Apabila iklim 'taushiyah' dan 'amar ma'ruf nahi munkar' hidup dengan baik di semua aspek, insya Allah kehidupan dakwah ini akan sentiasa sihat dan kuat kerana setiap potensi dan gejala penyakit boleh dikesan dengan cepat secara spontan.

 

Menumpuknya masalah yang mengganggu organisasi dakwah biasanya akibat dari tidak hidupnya iklim ini sehingga semua persoalan mesti ditanggung oleh organisasi.

 

Perhatikan firman Allah swt :

 

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar. Mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS at Taubah : 71)

 

Ya Allah, berilah pertolongan dan kekuatan kepada kami untuk kami mampu menuntun manusia kepada jalan hidayahMu serta meningkatkan jumlah pengikut yang sanggup berkorban di jalanMu. Jadikanlah kami golongan 'Rabbaniyyin' yang mempunyai kualiti keimanan dan ketabahan serta mampu melihat segala kelemahan dan kesilapan kami sehingga kami cepat memohon taubat dan keampunan dariMu.

 

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0

Mukhayyam Akhawat IKRAM Kuala Langat

Mukhayyam Akhawat 1

 

2-3 April 2011 (Sabtu-Ahad)

9.00 pagi (Sabtu) - 12.30 tengah hari (Ahad)

D Woods, Ulu Yam Gombak.

 

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30/03/2011 (Rabu)

Khas untuk Akhawat IKRAM Kuala Langat Sahaja

 

Sila Hubungi:

Dr Ruziaton : 013-3855861

 Ketua Wanita Ikram K/Pengarah Mukhayyam


Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top