Terkini...




0

Harga Sebuah Janji

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Kehidupan kebiasaannya di lingkungi oleh :
  1. Undang-undang.
  2. Tatatertib.

Namun selain keduanya , sesungguhnya hidup ini juga dibangunkan di atas kepercayaan.

Undang-undang hanya mengatur dan mengikat tetapi kepercayaanlah yang membuktikannya.

Tatatertib hanya merapikan dan membuat urutan-urutan tetapi kepercayaanlah yang membuat segala-galanya boleh berjalan.

Maka orang-orang yang tidak boleh dipercayai akan dengan mudah :

  1. Melanggar undang-undang.
  2. Menguraikan kesepakatan.
  3. Melawan peraturan.

meskipun dalam perkara-perkara yang berkait dengan kepentingan dirinya sendiri.

  1. Apabila kepercayaan adalah aspek jiwanya, maka janjilah aspek raganya.
  2. Apabila kepercayaan adalah ruhnya, maka janji adalah jasadnya.
  3. Apabila kepercayaan adalah kekuatan batin, maka janji adalah penyokong lahirnya.
  4. Apabila kepercayaan adalah ikatan putihnya, maka janjilah bukti hitamnya.

Maka sebentuk janji adalah harga yang mahal untuk sebuah kepercayaan kerana janji yang tidak boleh dipercayai atau janji yang tidak ada kepercayaan di dalamnya ibarat buah yang ranum kulitnya, tapi lopong di dalamnya. Tidak ada buahnya yang boleh dimakan.

Janji yang tidak ada kepercayaan di dalamnya, tidak akan memberi manfaat seperti sebiji buah, tidak ada yang mahu memakan kulitnya.

Dalam banyak peristiwa, janji menjadi semacam `wang muka' atau `deposit' bagi segala bentuk hubungan sosial di antara kita. Urusan selebihnya baru boleh di katakan lunas, jika memang janji-janji itu telah dipenuhi.

Maka Islam mengajarkan akhlak tentang janji dari dua sudut yang sangat dominan :

SUDUT PERTAMA : JANJI MESTI SENTIASA DIGANTUNGKAN KEPADA KEHENDAK DAN IZIN ALLAH SWT.

Maka kita diseru untuk mengiringi setiap janji, bahkan setiap perancangan dengan mengucapkan InsyaAllah.

Allah swt berfirman :

"Dan janganlah sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, `Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi. Kecuali (dengah menyebut) InsyaAllah. ` Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah, `Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada yang ini." (QS Al-Kahfi : 23 - 24)

Akhlak janji seperti ini menegaskan kepada kita bahwa kita tidak akan mampu melakukan apa sahaja kecuali atas izin Allah.

Mengucapkan 'InsyaAllah' mengajarkan kita tentang etika kelemahan diri kita sebagai seorang manusia yang tidak mengerti akan apa-apa takdir yang akan berlaku pada esok hari. Kenyataan ini memberi suatu penilaian betapa beratnya nilai sebuah janji.

SUDUT KEDUA : BENTUK PENUNAIAN JANJI.

Janji-janji itu mesti ditepati dalam kadar ikhtiar manusia secara maksima. Maka fahamlah kita bahwa kepada seorang Muslim, janji adalah suatu pertaruhan diri.

Kesetiaan pada janji adalah kehidupan kerana dengan itu interaksi kita dengan sesama manusia boleh berjalan.

Dengan kepercayaan itu pula :

  1. Percanggahan boleh dihindarkan kerana hak-hak ditunaikan kepada yang memiliki.
  2. Nilai prestasi dapat dipacu.
  3. Kehendak untuk berkarya dapat dijulang.
  4. Dorongan untuk beramal dapat dibuka seluas-luasnya.
  5. Keinginan yang kuat untuk memberi manfaat bagi kehidupan akan menemui ledakan-ledakan sebenarnya.

Begitulah para salafus soleh dahulu mengajarkan kepada kita. Bagi mereka, janji telah meningkat kadarnya dari hanya soal kepercayaan menjadi kesetiaan.

Pada saat kepercayaan telah berubah menjadi kesetiaan, maka persiapan jiwa menanggung beban janji akan menjadi lebih kuat.

Seperti seorang Muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah, itu adalah janji keislamannya. Menunaikan rukun Islam adalah pembuktian kepercayaannya. Namun kesetiaanlah yang akan memberinya umur bagi pembuktian janji itu.

Ini sebagaimana yang dilakukan oleh seorang sahabat terkenal, Abu Ubaidah Al Jarrah.

Semenjak menghulurkan tangannya berbaiah dan bersumpah setia kepada Rasulullah saw, ia sedar bahwa hidupnya akan diberikan sepenuhnya di jalan Allah. Ia telah mengikrarkan janji itu lalu ia membuktikan bahwa dirinya boleh dipercayai serta bekerja dengan tulus. Setelah itu segalanya berubah menjadi kesetiaan abadi.

Maka dalam perang Uhud, Abu Ubaidah menjadi benteng kepada Rasulullah saw. Ia mencabut mata rantai yang menempel di pipi Rasulullah saw dengan giginya. Gigi Abu Ubaidah pun tercabut. Di saat itu pula ia mampu mendahului Abu Bakar dalam soal berlumba dan bersegera kepada kebaikan.

Abu Bakar mengisahkan :

"Di waktu Perang Uhud berkecamuk dan Rasulullah saw terkena anak panah hingga dua buah rantai topi besi masuk ke kedua belah pipinya bahagian atas, aku segera berlari mendapatkan Rasulullah saw. Kiranya ada seorang yang datang bagaikan terbang dari arah timur. Maka aku berkata, `Ya Allah, semoga itu merupakan pertolongan. '

Tatkala aku sampai kepada Rasulullah saw, orang itu adalah Abu Ubaidah yang telah mendahuluiku ke sana."

Kesetiaan itu telah menjadikan Abu Ubaidah sebagai orang kepercayaan Rasulullah saw.

Suatu ketika datang utusan Najran dari Yaman yang menyatakan masuk Islam. Mereka lantas meminta kepada Rasulullah seorang guru untuk mengajar Al Quran di sana. Rasul pun berjanji bahwa esok baginda akan mengirim seorang yang keperibadian Islamnya amat terpercaya. Kalimah itu sampai diulangnya tiga kali.

Mendengar itu, Umar amat tertarik dan berharap kata-kata itu akan menjadi miliknya. Namun setelah selesai solat Zuhur berjamaah, meskipun Umar telah berusaha menghulurkan badan agar kelihatan oleh Rasulullah saw, ternyata Abu Ubaidah yang terpilih.

Itulah makna hadits Rasulullah saw ;

"Sesungguhnya setiap ummat mempunyai orang kepercayaan, dan sesungguhnya kepercayaan ummat ini (aminul ummah) adalah Abu Ubaidah Al Jarrah."

Sepanjang hidupnya, Abu Ubaidah dengan setia menemani perjuangan Rasulullah saw, Abu Bakar dan Umar bin Al Khattab sehingga wafatnya.

Ketika terdengar berita bahwa Abu Ubaidah wafat, Umar menangis dan mengenang masa-masa perjuangan yang indah bersamanya. Bahkan kenangan itu tidak hilang hingga saat Umar hendak menghembuskan nafas terakhirnya, ia sempat berkata :

"Seandainya Abu Ubaidah masih hidup, tentu ia di antara orang-orang yang akan aku angkat sebagai penggantiku. Dan jika Tuhanku menanyakan perkara itu, niscaya akan aku jawab, `Aku angkat kepercayaan Allah dan kepercayaan RasulNya.'"

Begitulah para salafus soleh meniti puncak tangga jati diri (Syakhsiyah Islamiyah) iaitu pada mulanya memang hanya sebuah janji, lalu kemudiannya berubah menjadi kepercayaan dan seterusnya bertukar menjadi kesetiaan abadi selagi hayat masih dikandung badan.

Hanya ketika kemudiannya manusia menemui cara-cara baru untuk :

  1. Bersikap licik.
  2. Semakin pandai mencari-cari alasan.
  3. Sentiasa mencari-cari model baru pengkhianatan.

Maka pada saat itulah janji-janji menjadi segunung sampah serta tidak ada lagi kepercayaan, apalagi kesetiaan.

Orang tidak lagi mengenal janji yang memiliki ruh kerana janji telah dikotori :

  1. Di panggung politik.
  2. Oleh para penipu yang menjual mimpi kepada rakyat.
  3. Di dunia penjenayah.
  4. Di belantara birokrasi yang sarat dengan kepentingan.
  5. Di rumah-rumah yang buruk akhlak penghuninya.
  6. Di jalan-jalan dan lorong-lorong kehidupan yang kejam.

Bahkan janji dalam ikatan perkahwinan pun kini sudah tidak lagi mempunyai makna. Janji perkahwinan itu tidak lagi berisi kepercayaan apalagi untuk meningkat menjadi kesetiaan. Maka ramailah pasangan yang dengan mudah mengkhianatinya atas nama cinta. Padahal bukan cinta asasnya tetapi berdasarkan hasrat hawa nafsu.

Di dalam lubuk keimanan, janji-janji bagi seorang Mukmin adalah kontrak-kontrak kerohanian dengan Tuhannya walaupun format aplikasinya dalam berbagai bentuk.

Janji itu adalah ketakwaan yang menjadi penghantar bagi petunjuk jalan dan ampunan.

Allah swt berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu `furqan' (pembeza) dan menghapuskan kesalahan-kesalahan mu dan mengampuni (dosa-dosamu) . Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (QS Al-Anfal : 29)

Mengenai ayat ini, Sayyid Qutb berkata dalam tafsirnya `Fi Zilalil Qur'an' :

"Inilah bekalan itu. Bekalan dalam mengharungi perjalanan yang panjang. Iaitu bekalan taqwa yang menghidupkan hati dan membangunkannya. Bekalan cahaya yang memberi petunjuk bagi hati untuk membelah sudut-sudut jalan sepanjang penglihatan manusia. Cahaya ini tidak boleh ditipu oleh syubhah-syubhah yang mata biasa tidak mampu menembusinya. Itulah bekalan ampunan bagi segala dosa. Bekalan yang memberikan ketenteraman, kesejukan dan kemantapan. Dan bekalan merenungi nikmat-nikmat Allah Yang Maha Agung di hari ketika bekalan-bekalan itu diperlukan dan di hari amal perbuatan manusia berkurang."

Maka, marilah kita mulai berjanji dengan benar iaitu janji yang mempunyai ruh kepercayaan lalu ianya akan hidup panjang dengan kesetiaan.

Sebagai orang yang beriman, memang sesungguhnya, membangun kepercayaan bukanlah suatu perkara yang mudah, tetapi ianya akan lebih sukar lagi ketika kita mencuba untuk membangunkan kepercayaan di atas puing-puing runtuhan ketidakpercayaan dan ketidaksetiaan yang sudah lama bermaharajalela dalam sesebuah masyarakat.

Ya Allah, jadilah kami orang-orang yang memenuhi janji apabila kami berjanji kerana sesungguhnya segala janji-janji itu akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hadapanMu di akhirat nanti. Jauhkanlah kami dari sikap mengkhianati janji kerana ia adalah salah satu sifat munafik yang sangat buruk.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



Now that's room service! Choose from over 150,000 hotels
in 45,000 destinations on Yahoo! Travel
to find your fit.

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top