Terkini...




0

Perbezaan Rahmat, Perpecahan Azab

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

"Ikhtilaf" atau berbeza pendapat dalam berbagai masalah agama adalah sesuatu yang wajar bahkan dalam keadaan tertentu menjadi suatu kemestian.

Ini adalah kerana manusia memang diciptakan berbeza-beza bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa beberapa "perbezaan" itu memang dimaksudkan atau diinginkan oleh Pembuat Syariat iaitu Allah swt.

Jika Allah swt berkehendak untuk menurunkan Al-Qur'an dengan hanya memiliki satu interpretasi sahaja, maka perkara itu tidak sukar bagiNya. Begitu juga dengan Sunnah Rasulullah saw. Bahkan telah masyhur di kalangan ulama' bahwa perbezaan dalam umat ini adalah rahmat.

Seorang ulama' pernah menulis sebuah kitab dengan judul "Kitabul Ikhtilaf" (kitab perbezaan pendapat).

Ketika ia menunjukkan kitab itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, beliau berkata :

"Jangan namakan kitab perbezaan pendapat, tapi namakan ia kitab keluasan."

Adalah sesuatu yang mustahil untuk menyatukan seluruh manusia dalam satu pandangan atau pemikiran tertentu kerana masing-masing mereka dianugerahkan oleh Allah swt perbezaan dalam:

1.    Pandangan.

2.    Ilmu.

3.    Tujuan.

4.    Keperluan.

5.    Situasi.

6.    Keadaan lingkungan.

yang sangat berpengaruh terhadap paradigma dan cara mereka berfikir.

Ini memang suatu kenyataan apabila kita melihat keadaan umat Islam di berbagai negara yang memang berlatarbelakangkan suku, adat istiadat dan bahasa yang berbeza-beza, ditambah pula dengan wujudnya kelompok-kelompok Islam yang berbagai ragam.

Sayangnya, kelompok-kelompok Islam tersebut sangat sukar untuk bersatu dan sangat suka berpecah belah hanya kerana perbezaan dalam perkara-perkara yang bukan termasuk  "Tsawabit"  agama (ajaran yang mempunyai sifat atau unsur yang tetap dan tidak berubah).

Padahal perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah menjadi alasan untuk bersengketa atau berpecah-belah.

Allah swt tidak melarang berbeza pendapat sejak dari awal lagi tetapi melarang berpecah-belah gara-gara perbezaan pendapat tersebut.

Ulama'-ulama' terdahulu sejak zaman sahabat, mereka berbeza dalam beberapa masalah namun mereka tetap terikat oleh tali Ukhuwah Islamiyah.

Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak ditangani dengan benar, kadang-kadang boleh menyebabkan muslim sesama sendiri :

  1. Saling mencela.
  2. Saling menyesatkan.
  3. Mungkin saling mengkafirkan.

Kita sering lupa bahwa kehormatan kaum muslimin adalah perkara yang amat dimuliakan di dalam Islam bahkan ia merupakan salah satu 'maqashid' (tujuan) agama ini iaitu memelihara kehormatan.

Ketika haji Wada`, Rasulullah saw bersabda :

"Sesunguhnya jiwa kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram (dinodai dan diganggu) seperti haramnya kehormatan hari ini, bulan ini dan tempat ini."

Namun gara-gara perbezaan yang sifatnya 'ijtihadiyah', kaum muslimin saling mencela dan menodai kehormatan sesama mereka.

Kita lupa pesanan Allah swt yang memerintahkan untuk berpegang teguh pada tali Allah dan melarang kita berpecah belah.

Allah swt berfirman :

"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah...." (QS Ali Imran : 103)

DI MANAKAH KITA MESTI SEKATA DAN DI MANA BOLEH BERBEZA?

Memang benar bahwa perbezaan mesti ditangani dengan sikap toleransi yang tinggi tetapi perbezaan yang dibenarkan adalah perbezaan yang memang boleh ditoleransi.

Untuk mengetahui samada sebuah perbezaan boleh ditoleransi atau tidak, perlu ada kejelasan terhadap kedudukan di mana letaknya umat Islam mesti bersatu dan di mana letaknya mereka boleh berbeza.

Ada dua wilayah perbezaan yang boleh kita teliti :

PERTAMA : Berbeza pada wilayah yang prinsip atau pokok-pokok agama yang merupakan asas-asas  dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` umat.

Contohnya seperti :

1.    Masalah tauhid.

2.    Rukun iman.

3.    Kewajiban melaksanakan rukun Islam yang lima.

4.    Keyakinan tentang hari kebangkitan.

5.    Hari Akhirat.

Dalam hal ini, tidak boleh ada perbezaan di dalam tubuh Umat Islam kerana perbezaan dalam perkara ini akan menimbulkan perbezaan prinsip dan keyakinan yang mengakibatkan keluarnya seseorang dari jalan Islam.

Jika ada orang yang berkeyakinan bahwa rukun Islam yang lima tidak wajib dilaksanakan atau meyakini bahwa hari Akhirat itu tidak ada, keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadits tentang hari Akhirat, padang Mahsyar, syurga dan neraka, tidak lain hanyalah kiasan dan tidak dimaksudkan dengan makna hakiki dari lafaz itu, seperti yang diyakini oleh kumpulan-kumpulan sesat seperti Batiniyah, Babiyah dan Bahai'yah, maka keyakinan seperti itu telah jauh terkeluar dari Islam.

Demikian juga dengan orang yang berkeyakinan bahwa ada nabi setelah Nabi Muhammad saw, yang membawa kitab suci baru, seperti keyakinan pengikut Ahmadiyah, maka keyakinan seperti itu juga dapat menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam kerana keyakinan-keyakinan itu bukanlah perbezaan pada perkara furu`atau ranting bahkan ia jelas bertentangan secara langsung dengan asas-asas agama yang sifatnya 'fundamental' tersebut.

Bagi menangani perbezaan seperti di atas, setiap muslim mesti menampakkan identiti keyakinan dan keimanan mereka di mana mereka mesti tegas dengan mengatakan :

" Mazhab kami benar, tidak mengandungi kesalahan sama sekali dan mazhab yang lain salah dan tidak mengandungi kebenaran sama sekali."

KEDUA : Perbezaan dalam masalah furu`atau ranting di mana perbezaan dalam perkara ini adalah wajar dan masing-masing mengikut pendapat yang seharusnya saling bertoleransi.

Namun, perbezaan dalam wilayah yang kedua ini tidak boleh membawa umat kepada perpecahan kerana perbezaan yang timbul dalam hal ini boleh jadi sekadar perbezaan 'variatif' yang semuanya benar dan saling melengkapi. Bahkan dalam perbezaan kontradiktif sekalipun, selagi mana masih dalam wilayah furu' dan ijtihadiyah dan masing-masing memiliki perbahasan yang cukup kuat, maka para penganut mazhab mesti tetap saling menghormati dan mencintai.

Dalam hal ini mereka seharusnya berkata seperti perkataan Imam Asy-Syafi`ie :

"Pendapatku benar tetapi boleh jadi mengandungi kesalahan dan pendapat selainku salah tetapi boleh jadi mengandungi kebenaran."

Berbeza pendapat adalah perkara yang diperbolehkan, namun perpecahan kerananya tetap tidak diperbolehkan. Ini adalah kerana perpecahan jelas merupakan perkara yang dilarang oleh agama.

Sebagai contoh, perbezaan-perbezaan manhaj atau metod dakwah yang digunakan oleh  kelompok Islam masing-masing seringkali menjadi penyebab kepada perpecahan di antara mereka padahal mereka tidak berbeza pada asas-asas 'fundamental' dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` Umat.

Mereka seharusnya berusaha untuk saling mendekati kerana perbezaan mereka hanya sebatas perbezaan dalam metod berdakwah yang sifatnya ijtihadi.

Ada sebahagian kelompok umat :

1.    Yang berdakwah dengan amar makruf nahi mungkar.

2.    Yang berdakwah dengan memurnikan ajaran tauhid.

3.    Yang berjihad secara langsung melawan musuh-musuh Islam.

4.    Yang berjuang dengan mengajar dan memberi pencerahan kepada umat.

5.    Yang berjihad dengan lisan dan tulisan.

6.    Yang berjihad dengan menuntut ilmu.

7.    Yang berjihad dengan hartanya.

Semuanya pada hakikatnya saling melengkapi kerana tidak mungkin satu kelompok dapat menjaga semua pos yang berusaha dijaga oleh kelompok lain.

Ukhuwah terlalu besar untuk dirosak dan dimusnahkan oleh masalah khilafiah dan ijtihadiyah.

Ukhuwah adalah perkara yang wajib dijaga sedangkan perpecahan terang-terang diharamkan oleh agama.

Lantas apakah kita akan meninggalkan perkara yang wajib lalu mengerjakan yang diharamkan?

Setiap mujtahid mendapat pahala ijtihadnya kerana mereka berijtihad untuk menggali suatu hukum, tidak semata-mata untuk mengikuti hawa nafsu belaka tetapi hanya untuk mencari kebenaran. Kemudian, setiap orang yang mengikuti pendapat salah satu imam mazhab, semuanya bermaksud untuk mentaati Allah swt dan mengikuti Rasulullah saw. Mereka juga hanya diwajibkan untuk beramal dengan hasil yang dicapai oleh ijtihad mereka.

Contoh tauladan kita adalah generasi awal umat ini yang dibina secara langsung oleh Rasulullah saw. Sebahagian mereka ada yang berbeza pendapat dalam masalah-masalah fiqh, namun hati mereka tetap satu, tidak saling berpecah atau membenci.

PERBINCANGAN DALAM BINGKAI UKHUWAH

Kemestian berbeza pendapat tidaklah mencegah umat Islam untuk mengadakan perbincangan ilmiah dalam berbagai masalah yang mereka perdebatkan. Perkara ini justeru sangat positif kerana dapat mengurangkan sikap fanatik terhadap mazhab atau golongan tertentu.

Dengan kajian yang mendalam terhadap dalil dan analisa ketepatannya, kita mampu membuat perbandingan antara banyak pendapat dan sebagainya, maka setidak-tidaknya kita akan sampai kepada pendapat yang benar atau secara minimanya kepada pendapat yang paling kuat.

Yang paling penting dalam perbincangan ini adalah :

1.    Keikhlasan untuk mencari kebenaran.

2.    Tidak ada kecenderungan atau kepentingan apapun selain dari di atas.

3.    Mesti berdasarkan kaedah saling nasiat-menasihati dan musyawarah.

4.    Tetap berada di bawah payung ukhuwah serta rasa saling mencintai.

Kalaupun berlaku perdebatan, ia bukanlah debat untuk memenangkan kepentingan peribadi atau golongan kerana perdebatan seperti itu boleh membutakan hati sehingga kita tidak dapat melihat kebenaran.

Perdebatan ini tidak akan membuahkan hasil apalagi menyelesaikan masalah, bahkan akan menjadi masalah itu sendiri dan merumitkan masalah yang telah ada.

Ketika perbincangan ilmiah telah sampai kepada sebuah pendapat yang terang kebenarannya, maka semua umat mesti bersatu dalam perkara itu.

Ini adalah kerana Allah swt tidak sekadar melarang berpecah-belah, tetapi juga melarang untuk tetap berselisih pendapat sesudah datangnya keterangan dan perbahasan yang jelas atas pendapat yang benar.

Allah swt berfirman :

"Dan janganlah kamu seperti orang yang berpecah-belah dan berselisih, padahal sudah datang kepada mereka keterangan yang nyata." (QS Ali Imran : 105)

Jadi, perbezaan pendapat sebenarnya hanya boleh dalam perkara-perkara ijtihadiyah yang memang belum ada dalil tegas yang menyelesaikan perbezaan yang ada dan kewajiban kaum muslimin ketika itu adalah tetap toleransi dan saling mencintai.

Namun jika dalil telah jelas dan tegas, maka dalam hal ini Allah melarang kita untuk berbeza kerana tidak ada ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dan tegas dalilnya.

Nubuwwah Rasulullah saw menjelaskan bahwa akan berlaku di tubuh umat ini banyak :

1.    Kemaksiatan.

2.    Kezaliman.

3.    Penyimpangan.

4.    Kesesatan.

5.    Perpecahan.

Tapi, apakah kita mahu menjadi :

1.    Orang yang bermaksiat?

2.    Orang yang berbuat zalim?

3.    Orang yang menyimpang?

4.    Orang yang sesat?

5.    Orang yang berpecah belah?

Mengapa kita tidak berusaha untuk :

1.    Membersihkan hati kita.

2.    Menjalankan ketaatan.

3.    Melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.

4.    Berlaku lurus dan adil.

5.    Berusaha menjalankan kewajiban mencintai kaum muslimin.

6.    Menjadi orang yang tetap melakukan usaha menyatukan kaum muslimin.

Sungguh, hidup ini :

  1. Terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan dan perselisihan.
  2. Terlalu sempit untuk dipenuhi oleh rasa saling benci.
  3. Terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat.

Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang berlandaskan :

1.    Semangat ukhuwah yang tinggi.

2.    Saling cinta-mencintai.

3.    Manifestasi dengan amalan-amalan yang bermanfaat bagi masa depan dunia dan akhirat.

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di atas DeenMu yang lurus. Tautkanlah ia dengan semangat ukhuwah yang menyala. Janganlah engkau jadikan perbezaan di kalangan kami sebagai sebab kepada perselisihan dan perpecahan . Hindarkanlah hati kami dari perasaan kedengkian sesama saudara kami serta limpahkanlah perasaan saling cinta mencintai antara sesama kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top