Terkini...




0

Nilai Islam Mengatasi Nilai Kelompok

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Salah satu karakteristik Dakwah Islam ialah "Islamiyyah qabla jamaa'iyyah" iaitu mendahulukan Islam sebelum Struktur Organisasi.

Maknanya sebuah aktiviti dakwah Islam yang sepatutnya ialah aktiviti yang mengutamakan langkah-langkah penyebarluasan nilai-nilai Islam sebelum berfikir mengajak orang kepada organisasi dakwah.

Perkara ini selaras dengan ciri-ciri dakwah Islam lainnya iaitu "Rabbaniyyah" (Ketuhanan) kerana seorang pendakwah yang ingin mengajak orang ke jalan Allah atau jalan Rabbnya pastilah sentiasa mengutamakan Islamiyyah dalam segala sesuatunya sebelum berfikir untuk mengajak orang kepada kumpulan atau kelompok dakwahnya.

Oleh itu aktivis dakwah Islam seharusnya perlu memahami kedudukan Islam dan kedudukan organisasi.

Islam merupakan perkara pertama dan utama yang sentiasa ingin dia perjuangkan dan tegakkan di manapun ia berada sedangkan organisasi bagi dirinya hanyalah sebuah wasilah untuk dia menyalurkan usaha bekerjasama dengan para anggota lainnya dalam penegakan nilai-nilai Islam tersebut.

Oleh kerana itu, seorang pendakwah akan sentiasa menjadikan nilai-nilai Islam sebagai perkara utama sedangkan nilai-nilai organisasi sebagai perkara selepasnya dan itu pun dalam rangka menyalurkan perkara utamanya, iaitu nilai-nilai Islam.

Oleh yang demikian, seorang pendakwah yang ikhlas akan sentiasa bersikap teliti dan berwaspada terhadap organisasi dakwah yang akan ia pilih untuk bergabung dan memberi komitmen di dalamnya. Ia tidak akan dengan mudah dalam memilih suatu organisasi dakwah yang akan ia jadikan wasilah perjuangannya dalam menegakkan dan menyebarkan nilai-nilai Islam.

Seorang aktivis dakwah akan sentiasa mendahulukan "Islamic Values" daripada "Group
Values"
yang wujud di dalam organisasi dakwahnya.

Jika ia dapati bahwa nilai-nilai kumpulan yang dipraktikkan selaras dengan nilai-nilai Islam yang ia perjuangkan, maka tanpa ragu ia pasti akan mendokong nilai-nilai kumpulan tersebut.

Namun, bagaimana jika ia dapati bahwa nilai-nilai kumpulan organisasinya ternyata
bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang ia yakini?

Jika keadaannya seperti itu, maka ia tentu akan tetap mengutamakan nilai-nilai Islam daripada
nilai-nilai kumpulannya.

Apakah itu bererti ia akan segera meninggalkan organisasi tersebut jika berlakunya pertentangan nilai tersebut?

Tentu tidak, kerana ada langkah-langkah pembetulan yang mesti ia usahakan terlebih dahulu sebagai kewajiban seorang muslim terhadap muslim lainnya sesuai dengan hadits Nabi saw:

"Agama adalah nasihat." (HR Muslim)

Bahkan Allah menggambarkan bahwa orang-orang yang tidak rugi dalam kaitan dengan waktu ialah mereka yang saling menasihati (taushiah) satu sama lain dalam kebenaran dan kesabaran.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati
supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (QS
Al-Ashr : 1-3)

Apabila nasihat telah disampaikan dan berlaku pembetulan, maka ini merupakan perkara yang terbaik. Ianya bermakna pendakwah tersebut telah menjalankan kewajibannya menyampaikan nasihat atau pembetulan dan organisasi telah menjalankan kewajibannya pula iaitu menyesuaikan diri dengan nasihat atau pembetulan yang dilakukan oleh anggota.

Namun apabila yang berlaku ialah sebaliknya, organisasi menolak untuk diperbetulkan, bererti pendakwah tersebut telah gugur kewajibannya dalam hal memberi nasihat atau melakukan pembetulan sedangkan organisasi telah memperlihatkan sikap tidak konsistennya sebagai organisasi yang mengaku memperjuangkan nilai-nilai Islam.

Selebihnya aktivis dakwah tersebut sepatutnya tetap berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam yang ia yakini kebenarannya dan tidak tunduk kepada nilai-nilai organisasi yang sudah jelas mengalahkan nilai-nilai Islam dan mendahulukan nilai-nilai kelompok.

Ini kerana apabila ia tunduk kepada nilai-nilai kumpulan dan mengalahkan nilai-nilai Islam, bererti keterlibatannya di dalam organsisasi itu menjadi keterlibatan yang bersifat 'fanatik' kelompok atau taqlid buta sedangkan perkara ini dilarang oleh Rasulullah saw :

"Tidaklah termasuk golongan kami barangsiapa yang menyeru kepada ashobiyyah (fanatik kelompok/kumpulan/golongan/parti/suku/bangsa/warna kulit/bahasa). Dan tidaklah termasuk golongan kami barangsiapa yang berperang atas dasar ashobiyyah (fanatik kelompok). Dan tidaklah termasuk golongan kami barangsiapa yang terbunuh atas nama ashobiyyah (fanatik kelompok)." (HR Abu Dawud)

Yang menjadi kesulitan ialah seringkali seorang anggota organisasi bersikap kompromi atau bertolak ansur terhadap kekeliruan yang dilakukan oleh organisasinya dengan alasan bahwa ia tidak mahu dipencilkan dari kumpulannya.

Alasan ini biasanya tidak akan ia kemukakan secara terbuka dan biasanya ia melindunginya dengan sebab-sebab seolah-olahnya bersifat syar'ie, misalnya dengan mengambil atau menyandarkan kepada dalil berikut :

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas." (QS Al-Kahfi : 28)

Sepatutnya pengambilan dalil ini semestinya dilakukan secara komprehensif dan tidak sebahagian-sebahagian. Dalam perkara ini ia cenderung hanya mengambil bahagian awalnya sahaja iaitu : "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang."

Ia terhenti hanya sampai di tahap ini sehingga kesimpulan yang muncul ialah seolah-olah ia mesti sentiasa bersama orang-orang di dalam kelompok tersebut walaubagaimana keadaan sekalipun.

Padahal sambungan ayat itu secara terang menjelaskan sifat-sifat orang-orang yang tidak patut ia tinggalkan iaitu "orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya"...

Jika ini menjadi sifat-sifat mereka tentunya mereka akan tetap mendahulukan nilai-nilai Islam berbanding nilai-nilai kumpulan kerana orang yang mengharapkan keridhaan Allah pasti mendahulukan nilai-nilai Rabbani daripada nilai-nilai 'ashobiyyah' (fanatik kelompok).

Apalah ertinya sebuah kebersamaan jika tidak terikat dan diikat oleh tali Allah?

Ini adalah kerana Allah menyuruh kita hanya memilih kebersamaan yang berlandaskan ikatan
kepada tali Allah atau berlandaskan ketaqwaan kepada Allah. Semua bentuk kebersamaan selain itu akan menghantarkan kita kepada kecelakaan dan bencana.

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu
bercerai berai." (QS Ali Imran : 103)

Sangat jelas ayat ini menyuruh kita hanya menjalin kebersamaan berlandaskan ikatan kepada tali Allah semata-mata. Jika tidak, maka bercerai berai akan menjadi akibat yang logik.

Jika suatu kelompok memproklamasikan dirinya sebagai sebuah kelompok berlandaskan Islam, namun dalam praktiknya ia meninggalkan dan menanggalkan ideologi Islam dan mengambil ideologi lainnya sebagai rujukan, maka bercerai berai merupakan akibat yang logik yang Allah telah peringatkan bakal berlaku.

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian
yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa." (QS Az-Zukhruf : 67)

Di hari kebangkitan kelak, Allah pasti akan memelihara keakraban kita sebagaimana sewaktu di dunia jika kita menjalin keakraban sewaktu di dunia dengan landasan iman dan taqwa semata-mata.

Bahkan melalui ayat di atas, Allah mengancam bakal terjadi permusuhan di kalangan orang-orang yang sewaktu di dunia saling menjalin keakraban namun bukan dengan landasan ketaqwaan kepada Allah sehingga Nabi saw pernah menggambarkan sifat orang-orang yang memperolehi kedudukan sedemikian mulia dan dekatnya kepada Allah sehingga menimbulkan kecemburuan para Nabi dan para Syuhada sebagai berikut :

"Mereka adalah kumpulan manusia dari aneka latar belakang dan aneka suku (bangsa, warna kulit, bahasa, kelompok, golongan, harakah, jamaah, parti), mereka tidak diikat oleh hubungan keluarga di antara mereka satu sama lain. Mereka saling mencinta hanya kerana Allah. Allah akan mendudukkan mereka di atas mimbar-mimbar dari cahaya, wajah-wajah mereka bercahaya, dan pakaian mereka bercahaya. Manusia merasa ketakutan pada hari kiamat sementara mereka tidak ketakutan. Mereka merupakan wali-wali Allah yang tidak ada rasa takut atas mereka dan merekapun tidak bersedih hati." (HR Ahmad)

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu. Satukanlah hati kami dengan orang-orang yang beriman yang sentiasa mendahulukan nilai-nilai DeenMu Al-Islam daripada nilai-nilai kelompok. Bersihkanlah hati kami dari berbagai penyakit 'ashobiyyah' (fanatik kelompok, golongan, jamaah, harakah, parti, suku mahupun bangsa).

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top