Terkini...




0

Membentuk Aktivis Mujahid

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Salah satu sifat kualiti diri yang diinginkan dari aktivis dakwah adalah lahirnya aktivis yang 'muta'awin'.

Apakah yang dimaksudkan dengan aktivis 'muta'awin'?

Aktivis 'muta'awin' ialah aktivis yang siap sedia untuk terlibat dalam kerja-kerja dakwah.

Persoalan ini menjadi suatu yang mendesak dan sentiasa perlu ditekankan kerana tidak sedikit dari aktivis-aktivis dakwah yang namanya hanya tertulis sebagai anggota atau merasa cukup dengan bergabung dengan sebuah institusi dakwah tanpa mahu terlibat lebih jauh atau bahkan memberi sumbangan dalam kerja dakwah dan perjuangan.

Inilah masalah besar bagi harakah dakwah. Jika ini berlaku, ia jelas sebagai petanda tidak tercapainya secara maksima tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat usaha pembentukan aktivis dakwah.

Oleh kerana itu, murabbi sangat berperanan dalam mengangkat seseorang aktivis dari yang 'biasa-biasa sahaja' menjadi aktivis yang 'luar biasa'.

Berikut adalah beberapa cara bagi melakukan usaha transformasi tersebut :

PERTAMA : MENYEDARI PENTINGNYA AMAL JAMAI'E

Para murabbi hendaknya selalu mengingatkan para mutarabbinya tentang kepentingan amal jama'ie untuk seterusnya mereka dapat terlibat di dalamnya.

Mereka perlu memahami dari awal-awal lagi bahwa keberkatan dan pertolongan Allah ada pada amal-amal jamai'e.

Dalam Al-Qur'an disebutkan :

"Tangan Allah ada di atas tangan-tangan mereka".

Juga dalam sebuah hadits, Rasululah saw bersabda :

"Tangan Allah ada pada jamaah".

Kalau Allah ingin, Rasulullah saw boleh berjuang dan berdakwah sendirian tanpa perlu  melibatkan orang lain.

  1. Allah swt sanggup memenangkan agamaNya tanpa cucuran keringat dan peristiwa berdarah Rasulullah saw dan sahabatnya.
  2. Allah swt sanggup membalikkan hati musuh-musuh dakwah sejak zaman Makkah dan terus beriman pada RasulNya, tanpa perlu mencaci maki, mengejek bahkan memerangi Rasulullah saw.

Namun, itu semua tidak berlaku kerana :

  1. Allah swt menginginkan agar Rasulullah saw dapat menjadi contoh bagi ummatnya di setiap zaman bahwa memperjuangkan agama ini diperlukan penglibatan ramai orang.
  2. Agar setiap orang yang beriman mempunyai saham dalam perjuangan.

Ini adalah kerana sebuah projek besar yang bernama 'I'laa kalimatillah' (menegakkan kalimah Allah) yang tidak boleh hanya disokong oleh seorang tokoh.

Semangat amal jamai'e ini boleh kita lihat menjelang perang khandaq. Ketika Rasulullah saw dan para sahabat semuanya turun menggali parit padahal saat itu mereka semua dalam keadaan lapar.

Salah seorang di antara mereka memperlihatkan kepada Rasulullah saw akan perutnya yang diikat sebuah batu. Namun baginda justeru memperlihatkan perut baginda juga diikat dengan dua biji batu.

Jelas nampak di sana ada kebersamaan, kerjasama, semangat setiakawan dan saling tolong menolong yang dibangunkan di atas cinta kepada Allah dan RasulNya dalam bentuk amal jamai'e.

KEDUA : MERASA MULIA DENGAN PENGLIBATAN

Setiap murabbi hendaknya menyedarkan para mutarabbinya bahwa terlibat dalam kerja-kerja dakwah adalah suatu kemuliaan kerana :

  1. Kerja-kerja dakwah adalah kerja memperjuangkan dan menjayakan agama Allah.
  2. Kerja-kerja ini adalah 'wazhifatul anbiyaa' warrusul' (kerja utama para Nabi dan Rasul).

Allah memberi jaminan bagi siapa yang menolong agamaNya bahwa pasti ia akan ditolong oleh Allah swt.

Ini perlu sentiasa ditekankan kerana ada semacam kekhuatiran yang ditiupkan oleh syaitan kepada mereka yang menceburkan diri dalam kegiatan dakwah :

  1. Bagaimana kita boleh hidup dengan kerja seperti ini?
  2. Bagaimana kita akan memberikan penghidupan yang selayaknya kepada anak dan keluarga kita jika kita sibuk mengurus agama ini?

Selain itu, banyak lagi 'syubhah' yang sejenisnya yang kesemuanya adalah sebahagian dari kerja-kerja iblis dan syaitan yang ingin menakut-nakutkan hambaNya.

Allah swt berfirman :

"Jika kamu menolong agama Allah maka Allah akan menolongmu."

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitabnya 'Az-Zuhd':

"Suatu ketika Abu Ayub al-Anshari membaca firman Allah : "Infiruu khifaafan wa tsiqaalan" (Pergilah kamu berjihad dalam keadaan ringan dan berat). Seketika itu juga ia berkata pada anak-anaknya, "Bekalilah aku, bekalilah aku untuk pergi berjihad".

Anak-anaknya berkata,"Semoga Allah merahmatimu, kamilah yang akan berangkat berjihad. Ayahanda telah berjihad bersama Rasulullah saw, Abu Bakar dan Umar. Kamilah yang akan berangkat."

Beliau lalu menjawab, "Perkataan 'khifaafan' ditujukan untuk kamu yang masih muda, adapun perkataan 'tsiqaalan' ditujukan untuk orang seperti ayahanda yang sudah tua."

Ia pun berangkat bersama angkatan laut beberapa waktu lamanya. Ketika ia wafat dalam perjalanan, tidak ditemui pulau untuk memakamkan jenazahnya kecuali setelah tujuh hari, namun jenazahnya tidak rosak, masyaallah!

KETIGA : PANDAI MEMPOSISIKAN DIRI

Para aktivis dakwah mesti sentiasa menanamkan dalam dirinya bahwa ia seperti seorang perajurit yang sentiasa menunggu arahan dari komandannya.

Apapun jenis perintah itu, selama mana ianya tidak dalam rangka bermaksiat kepada Allah maka syiar seorang aktivis 'muta'awin' adalah 'sam'an wa tha'atan' (dengar dan taat).

Tentunya kita masih ingat bagaimana sikap yang diambil oleh Khalid Al Walid ketika ia perlu berubah posisi dari seorang panglima perang menjadi perajurit biasa. Disebabkan penggantian ini adalah arahan dari panglima tertinggi, Umar Al Khatthab, maka ia menerima perintah itu dengan lapang dada dan memposisikan dirinya sebagai perajurit biasa, padahal sahabat yang dikenali dengan 'Saifullah Al-Maslul' ini sentiasa tampil cemerlang di medan jihad dan meraih kegemilangan setiap kali ia memimpin pasukan.

Kepandaian memposisikan diri dalam sebuah kerja-kerja jamaah adalah salah satu di antara buah keikhlasan.

Keikhlasan sentiasa menyedarkan pemiliknya bahwa apa yang ia kerjakan, walaupapun posisinya adalah dalam rangka menjayakan agama Allah.

Amanah yang ia pegang tidak ditujukan untuk 'membesarkan' dirinya dan 'menaikkan' peribadinya menjadi orang hebat, tapi dalam rangka beribadah kepada Allah.

Oleh kerana itu, jika pimpinan memintanya menukar posisi atau diberi amanah yang lain, selama ia sanggup, maka tidak ada pilihan kecuali mesti ditaati.

Maka aktivis dakwah yang baik adalah aktivis yang mampu memposisikan dirinya dalam sebuah kerja jamaah.

KEEMPAT : MAMPU MEMBERI

Yang dimaksudkan mampu memberi di sini adalah bagaimana agar setiap aktivis dakwah mampu memberi sumbangan dalam kerja-kerja menjayakan agama Allah.

Sumbangan yang diberikan oleh aktivis mestilah sesuai dengan apa yang ia miliki samada dalam bentuk :

  1. Pemikiran.
  2. Idea-idea cemerlang.
  3. Kemampuan pengurusan.
  4. Profesionalisma.
  5. Dokongan kewangan.

Setiap aktivis dakwah diharapkan boleh mengenalpasti dengan baik di mana titik kelebihannya sehingga ia boleh segera menggunakan kelebihan itu untuk dakwah dan perjuangan kerana kemampuan kita terbatas.

Kita tidak boleh memberi segalanya dan tidak akan pernah sanggup memberi segalanya. Maka hendaknya setiap aktivis segera memastikan di mana terletak keunggulannya yang dengan itu ia bekerja dan fokus berjuang untuk ummat ini.

Lihatlah para sahabat Rasulullah saw. Mereka semua sanggup memberi sumbangan dalam perjuangan.

  1. Abu Bakar as-Shiddiq, Utsman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Shuhaib ar-Rumi menyumbangkan harta mereka.
  2. Abu Hurairah, Aisyah, Ibnu Abbas, Ibn Mas'ud, Zaid bin Tsabit memainkan peranan sebagai ulama' yang benar-benar ahli.
  3. Khalid bin Al Walid, Usamah bin Zaid, Sa'ad bin Abi Waqqash, Abu Ubaidah ibn Jarrah memainkan peranan sebagai panglima dan pembuka kota yang ulung.

Bahkan mereka yang termasuk dalam kategori uzur sekalipun memainkan peranan yang tidak kalah pentingnya seperti Abdullah bin Ummi Maktum yang mengganti Rasulullah saw menjadi imam solat setiap kali baginda dan para sahabat meninggalkan kota Madinah.

Begitu juga Ummu Mihjan yang sudah begitu tua menjadi tukang sapu masjid Rasulullah saw sehingga ketika wanita itu meninggal, Rasulullah saw terkilan kerana baginda tidak diberitahu tentang kematiannya.

KELIMA : MAMPU BEKERJA DALAM SEBUAH PASUKAN

Usamah bin Zaid masih sangat muda ketika ia dilantik oleh Rasulullah saw menjadi panglima perang dalam menghadapi pasukan Romawi.

Ia sedar betul bahwa di bawahnya ada ramai sahabat 'senior' seperti Abu Bakar, Umar, Utsman dan lain-lain sehingga beliau merasa segan menerima amanah itu. Pasukan ini tidak dapat  diberangkatkan kerana Rasulullah saw wafat.

Ketika Abu Bakar ra dilantik sebagai khalifah menggantikan baginda, ia merasa berkewajiban meneruskan misi penyerangan ini.

Di saat  keberangkatan, Usamah bin Zaid meminta kepada Abu Bakar agar ia diletakkan posisi hanya sebagai perajurit biasa sahaja dan bukan sebagai komandan. Namun usul ini ditolak oleh Abu Bakar dengan perkataannya yang terkenal :

"Berangkatlah engkau wahai Usamah, sungguh pada pasukanmu ada tujuan mulia yang dengannya engkau diperintah. Berperanglah sesuai dengan perintah Rasulullah saw".

Inilah secebis contoh bagaimana para sahabat mampu bekerja dalam sebuah pasukan yang penuh setiakawan. Usamah bin Zaid dengan kesedaran yang mendalam bahwa ia masih sangat muda dan di sekelilingnya ramai sahabat 'senior' beranggapan ada baiknya kalau mereka sahaja yang memimpin ekspedisi perang menghadapi pasukan Romawi yang terkenal hebat itu.

Namun, bagi seorang Abu Bakar yang peka, perlantikan Usamah sebagai pemimpin tidak boleh diubah kerana itu adalah perintah Rasulullah saw.

Abu Bakar melihat bahwa betapapun Rasulullah saw telah wafat, ia sebagai khalifah mesti tetap bekerja meneruskan ketetapan Rasulullah saw. Walaupun Usamah masih dalam usia belia dan ramai para sahabat lain yang lebih berusia dan berpengalaman, namun di atas semangat setiakawan, beliau tetap menggalas amanah yang telah diberikan oleh Rasulullah dan Abu Bakar tersebut.

Nampak dalam kisah ini ada suasana tarik menarik, namun kerana kesedaran semua pihak yang terlibat iaitu para sahabat sebagai sebuah pasukan, maka mereka pun memposisikan diri mereka dengan baik.

KEENAM : BELAJAR MEMAHAMI ORANG LAIN

Bekerja dalam sebuah jamaah memerlukan kemampuan untuk memahami.

Oleh yang demikian, hendaknya setiap aktivis dakwah menumbuhkan kemampuan untuk memahami kelebihan sekaligus kekurangan saudara seperjuangannya.

Setiap aktivis dakwah mesti sedar bahwa ia bergabung dengan orang-orang yang memiliki wawasan, perasaan, pengalaman, watak dan ciri-ciri yang berbeza.

Dengan modal ini, seseorang aktivis dakwah dapat menyesuaikan diri dengan lincah dan mengurangkan pergeseran dan sikap menyinggung saudaranya yang lain meskipun pergeseran dan sikap menyinggung itu hampir pasti sukar untuk dielakkan, namun kemampuan memahami orang lain menjadi alat penyerap yang paling ampuh dari bahaya perpecahan.

Contoh yang unik dalam masalah ini adalah bagaimana sikap Rasulullah saw ketika menghadapi orang Arab badui yang kencing di dalam masjid. Baginda tidak memukulnya kerana orang ini berasal dari kawasan pedalaman yang kurang mengerti akan adab.

Begitu juga sikap Rasulullah saw kepada Mu'adz bin Jabal yang dilaporkan terlalu memanjangkan bacaannya ketika solat berjamaah. Lalu baginda menasihatinya sekaligus mengingatkannya untuk meringkaskan bacaannya disebabkan keadaan  makmum yang berbeza-beza.

Inilah beberapa cara dan kaedah yang mudah bagaimana agar para binaan kita boleh berpindah dari sekadar bergabung dengan institusi dakwah sehingga menjadi aktivis yang mampu melibatkan diri dan memberi sumbangan dalam perjuangan menegakkan agama Allah swt.

Yang pasti, berjuang menegakkan agama Allah memerlukan komitmen yang kuat dari setiap aktivis dakwah bahwa hanya dengan 'tajarrud' lah, risalah ini boleh dizahirkan dan mengatasi semua sistem batil yang menguasai dunia hari ini.

Namun, persoalannya kenapa masih ramai orang yang mampu ber'tajarrud' bekerja dengan sunguh-sungguh untuk urusan dunia, tetapi untuk urusan akhirat dan dalam menjayakan agama ini, masih ramai yang enggan dan yang lebih parah lagi kalau ada yang berkicau ke sana ke mari sambil mengatakan bahwa bekerja secara berorganisasi dan tersusun itu tidak berdasarkan sunnah dari Rasulullah saw.

Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan dakwah ini dan mudahkanlah kami untuk memberi sumbangan terhadap perjuangan ini. Kami memahami bahwa segala kerja-kerja dakwah yang kami pikul ini sebenarnya adalah suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapanMu nanti dan kami memohon supaya dijauhkan perasaan 'membesarkan' dan 'menaikkan' diri kami dalam usaha-usaha dakwah yang kami lakukan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS 


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top