Terkini...




0

Membangun Harapan Baru

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

 

Lahirnya berbagai gerakan dakwah dewasa ini memberi satu petunjuk bahwa setiap gerakan dakwah tersebut tidak terlepas dari ijtihad masing masing.

 

Tentu perkara ini berdasarkan kepada satu kefahaman akan pentingnya menegakkan kembali Daulah Islamiyah dalam sebuah sistem kekhalifahan berdasarkan manhaj kenabian sehingga tidak ada lagi fitnah di muka bumi ini.

 

Berbagai gerakan yang muncul tentu memiliki cara dan corak pemikiran tersendiri samada diteliti secara teks atau konteks yang berbeza dari berbagai segi terutama :

 

1.   Bagaimana cara mengembalikan kemenangan Islam tersebut.

2.      Pola pembinaan aktivis-aktivisnya.

3.      Bagaimana tahap penglibatan di dalam masyarakat.

4.      Bagaimana cara memandang sebuah sistem di luar Islam.

 

Perbezaan pemikiran dan pemahaman ini sering berakhir kepada dua sikap yang kontradiktif yang disebut oleh Ustaz Fathi Yakan dalam kitabnya "Musykilat ad-Dakwah wa ad-Da'iyyah" (Permasaalahan dakwah dan pendakwah) iaitu sikap :

 

1.      Saling mendokong.

2.      Saling mengasak/menyekat.

 

Yang dimaksudkan dengan perkataan di atas adalah sikap di mana sebahagian gerakan Islam saling mendokong sedangkan sebahagian yang lain saling mengasak/menyekat.

 

Baru sahaja gerakan-gerakan Islam ini mulai bangkit, namun sudah dilanda kegoncangan berupa diasak atau disekat oleh gerakan Islam lain atau oleh sesama aktivis dakwah.

 

Fenomena yang mendukacitakan inilah yang telah menghancurkan setiap potensi yang ada dan kemampuan yang tidak dapat diurus dengan baik yang akhirnya menyebabkan gerakan-gerakan Islam tersebut tidak mampu mewujudkan tujuan utama iaitu mendirikan Daulah Islam dan membangun kehidupan yang Islamik.

 

Kedua-dua fenomena di atas tidak hanya berlaku antara gerakan Islam secara luaran semata-mata tapi juga berlaku di dalam tubuh jamaah atau gerakan dakwah itu sendiri yang seringkali tidak dapat dihindarkan.

 

Memang menjadi sunnatullah, perbezaan sentiasa muncul akibat cara pandang yang berbeza di antara aktivis dalam sesuatu gerakan dakwah samada peringkat pimpinan atau anggota bawahan.

 

Inilah yang diperkatakan dan menjadi fokus pembahasan Ustaz Fathi Yakan dalam bahagian mendukung dan mengasak/menyekat tersebut.

Mengapa perkara ini berlaku?

 

Berbagai pendapat dikemukakan dan di antaranya adalah berikut :

 

PERTAMA : Perkara tersebut adalah sunnatullah yang pasti berlaku iaitu antara yang haq dan bathil akan sentiasa bertentangan.

 

KEDUA : Gawatnya situasi umat Islam di berbagai aspek kehidupan di penghujung keruntuhan Khilafah Islamiyah serta akibat dari konspirasi jahat kekuatan global.

 

KETIGA : Kurangnya sumber daya manusia, pengurusan dan dana yang dimiliki oleh gerakan dakwah tersebut yang mampu menghadapi kekuatan jahiliyah.

 

Namun menurut Ustaz Fathi Yakan, sebab-sebab tersebut bukanlah merupakan faktor utama penyebab kepada timbulnya kedua-dua sikap tersebut bahkan beliau berbeza pandangan serta cenderung untuk tidak sepakat dengan sebahagian dari pendapat tersebut.

 

Lebih lanjut lagi beliau mengatakan bahwa penyakit tersebut lebih banyak mengganggu gerakan dakwah itu sendiri secara dalaman dan kesannya nampak jelas pada :

 

1.      Pertentangan ideologi dan pertikaian antara pimpinan dan anggotanya.

2.      Hilangnya ketaatan dan disiplin di kalangan aktivis dakwah.

3.      Hilangnya kepatuhan di kalangan pejuang.

4.      Hilangnya rasa tanggungjawab semua pihak dalam gerakan dakwah.

5.      Hilangnya semangat kerohanian.

6.      Sikap mengambil yang mudah dan ringan tapi mengabaikan urusan yang lebih besar dan berat.

 

Akibat dari semua kesan-kesan di atas :

 

1.      Konsep gerakan dakwah menjadi kabur.

2.      Garis perjuangan menjadi tidak jelas.

3.      Aktiviti lemah dan terputus-putus.

4.      Tidak ada penerusan dan keteguhan.

 

Beliau kemudiannya mengutip kenyataan Syaikh Abu al-Hasan Ali an-Nadwi bahwa :

 

a.       Barisan menjadi kacau bilau dan goncang.

b.      Hati menjadi kaku dan membatu.

c.       Tidak ada kehangatan dan kerinduan di dalamnya.

 

Namun di sana ada beberapa usaha yang boleh dilakukan sebagai terapi bagi mengatasi penyakit-penyakit tersebut, antara lain :

 

1.      Pelaksanaan tarbiyah atau pembinaan yang memenuhi syarat sehingga mampu melahirkan keperibadian Islam yang melepaskan diri secara total dari sifat kejahiliyahan.

2.      Komitmen dan menjadikan Islam sebagai sumber hukum dan panduan dalam bertindak.

3.      Jihad fii sabilillah menegakkan Islam sebagai tujuan utama kewujudan peribadi muslim.

 

Oleh kerana akar utama permasaalahannya adalah tarbiyah, maka agar mampu memikul tanggung jawab yang besar menegakkan kembali Daulah Islam, gerakan dakwah mestilah secara "serious" meninjau kembali terhadap :

 

1.      Pandangan pengurusan dalaman di dalam tubuh gerakan tersebut.

2.      Manhaj pembinaan yang mantap.

3.      Ikutan yang baik.

4.      Lingkungan yang baik.

5.      Tujuan, wasilah dan prasarana aktiviti gerakannya.

 

Akhir sekali marilah kita renungkan bait-bait nasyid berikut :

 

Tatap tegaplah masa depan - Tersenyumlah untuk kehidupan

Dengan cinta dan sejuta rasa – Bersama membangun ummah

 

Pegang teguhlah kebenaran – Buang jauh nafsu angkara

Berkorban dengan jiwa dan raga – Untuk tegaknya keadilan

 

Bangkitlah negeriku – Harapan itu masih ada

Berjuanglah bangsaku – Jalan ini masih terbentang

 

Mengharungi samudera kehidupan – Kita ibarat para pengembara

Hidup ini adalah perjuangan – Tiada masa untuk berpangku tangan

 

Setiap titisan peluh dan darah – Tidak akan hilang ditelan masa

Seguris luka di jalan Allah – Akan menjadi saksi pengorbanan

 

Allahu Ghayatuna – Allah adalah tujuan kita

Ar Rasulu Qudwatuna – Rasul adalah teladan kita

 

Al Qur'anu Dusturuna – Al Qur'an pedoman hidup kita

Al Jihadu Sabiluna – Jihad adalah jalan juang kita

 

Al Mautu fi sabilillahi asma amanina – Mati di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kita

 

Akan melangkah kaki dengan pasti – Menerobos segala onak dan duri

Generasi baru yang telah dinanti – Tak takut dicaci tak gentar mati

 

Bagai gelombang terus menerjah – Untuk tumbangkan segala kezaliman

Dengan tulus ikhlas untuk keadilan – Hingga pertiwi gapai sejahtera

 

Tak kan surut walau selangkah – Tak kan henti walau sejenak

Cita kami hidup mulia – Atau syahid mendapat syurga

 

Ya Allah, munculkanlah di tengah-tengah ummat ini suatu generasi yang Engkau cintai mereka dan merekapun mencintaiMu. Berlemah lembut kepada sesama orang yang beriman dan bersikap tegas/keras kepada orang kafir. Mereka berjihad di jalanMu tanpa rasa takut akan celaan dari kalangan orang yang suka mencela.

 

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top