Terkini...




0

Menyusuri Sunnah Perkahwinan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Berkahwin merupakan sunnah Nabi Muhammad saw. Berkahwin juga merupakan sebuah peristiwa sosial dan episod permulaan bagi seseorang manusia dalam meniti proses kedewasaannya namun ada juga yang menunda perkahwinan dengan pelbagai alasan.

Di zaman di mana keruntuhan moral semakin meruncing, perkahwinan sepatutnya perlu dijadikan sebagai institusi yang boleh menyelesaikan sebahagian masalah tersebut di mana perkahwinan itu mungkin perlu disegerakan. Namun ternyata yang berlaku adalah sebaliknya.

Dewasa ini, jika ada seseorang ditanya apakah ia sudah bersedia untuk berkahwin?

Ramai yang menjawab dengan ukuran-ukuran kebendaan atau keduniaan misalnya seperti :
  1. Jika saya sudah mempunyai pekerjaan.
  2. Jika saya sudah mempunyai wang yang cukup.
  3. Jika saya sudah mempunyai rumah.

Apakah semua itu memang perkara-perkara terpenting untuk dipersiapkan oleh mereka yang akan berkahwin?

Ramai juga di kalangan mereka yang bujang yang sudah memiliki itu semua bahkan sesetengahnya sudah mempunyai jumlah dan kualiti kebendaan yang lebih dari mencukupi namun ternyata mereka mengaku masih belum bersedia untuk berkahwin.

Jadi apa yang membuatkan seseorang merasa belum bersedia untuk berkahwin?

Persediaan untuk berkahwin adalah masalah persediaan mental.

Berkahwin merupakan langkah penting yang oleh Nabi saw dikatakan sebagai bernilai "separuh agama".

Seseorang yang melaksanakan perkahwinan :

  1. Akan mengalami berbagai kecepatan dalam kehidupannya.
  2. Sifat kematangan keperibadiannyapun akan lebih cepat dapat diwujudkan.

Dalam budaya kita, jika seorang anak yang sudah berkahwin akan lebih dihargai dalam keluarga besarnya dibandingkan dengan adik beradiknya yang belum berkahwin.

Apakah seorang pemuda memang sebaiknya segera berkahwin ataukah sebaiknya menunda sehingga "lebih bersedia" atau "lebih matang"?

"Lebih bersedia" atau "lebih matang" adalah sesuatu yang sangat relatif.

Sebahagian dari keraguan seseorang untuk melangkah ke jinjang pernikahan sebenarnya disebabkan oleh prasangka-prasangka yang belum tentu benar.

Bahkan di kawasan bandar, usia perkahwinan anak muda semakin lambat seolah-olahnya semakin tinggi pendidikan dan taraf hidup seseorang justeru semakin meningkat keraguan untuk melaksanakan perkahwinan.

  1. Adakah semestinya "trend' itu begitu atau mengapa berlaku demikian?
  2. Apakah sebenarnya halangan yang dihadapi?

Mungkin asas-asas berikut boleh dijadikan renungan :

PERTAMA : FAHAMILAH BAHWA BERKAHWIN ITU ADALAH SUNNAH NABI SAW.

Dengan pemahaman bahwa berkahwin adalah sunnah, seharusnya tidak ada lagi yang sanggup mengatakan :

  1. Tidak suka.
  2. Tidak mahu.
  3. Tidak penting.

Mempersiapkan mental untuk menerima perkahwinan kadang-kadang memang agak sukar bagi orang-orang yang tertentu, tapi demi kebaikan dirinya sendiri, sebaiknya tidak usah ada perasaan benci kepada perkahwinan.

Secara umumnya mereka yang menolak perkahwinan berkemungkinan pernah menghadapi trauma di atas peristiwa-peristiwa perkahwinan yang pernah dilihatnya.

Sebahagian lagi menunda-nunda perkahwinan disebabkan oleh terkena berbagai prasangka tadi.

Ada pemuda yang khuatir tidak dapat menyediakan makan minum isteri dan anak-anak, ada juga pemudi yang enggan melangkah ke jinjang perkahwinan kerana khuatir pendidikannya terganggu.

Tidak mungkin Nabi saw yang mulia mencontohkan sesuatu yang tidak baik bagi kita sebagai umatnya.

KEDUA : KENALILAH DIRI SENDIRI.

Kita berada di titik mana? Secara umumnya berkahwin adalah sunnah Nabi saw yang sangat dianjurkan bahkan hampir wajib.

Namun dalam penerapan hukumnya, kadang-kadang seseorang pada suatu masa boleh dikategorikan seperti berikut :

  1. Sudah wajib berkahwin.
  2. Sunnah (lebih baik) jika segera berkahwin.
  3. Kurang baik jika berkahwin segera.
  4. Mungkin juga seseorang pada ketika tertentu dianggap tidak baik atau haram berkahwin.

Maka kenalilah diri kita termasuk dalam kategori yang mana.

a.       Jika seorang itu merasa senang dengan pembicaraan tentang perkahwinan atau termasuk yang tidak mampu menahan syahwatnya begitu juga mungkin ia sudah cukup matang dan bersedia maka ada kemungkinan ia sudah wajib untuk berkahwin.

b.      Jika seorang itu mempunyai jiwa yang tidak stabil dan emosinya tidak menentu seperti anak kecil walaupun terhadap perkara-perkara yang remeh, mungkin ia sebaiknya memperbaiki dirinya dahulu sebelum mengajak orang lain hidup bersamanya.

KETIGA : PERLUASKAN WAWASAN DAN INFORMASI YANG BENAR TENTANG PERKAHWINAN.

Jangan bertanya tentang perkahwinan kepada orang-orang yang mempunyai pengalaman perkahwinan yang pahit.

Pengalaman seseorang tidak semestinya akan dialami oleh semua orang. Bahkan setiap pengalaman buruk sebenarnya boleh dianalisa dan yang paling penting, berdoalah agar pengalaman buruk orang lain itu tidak berlaku kepada diri kita.

Mencari informasi juga dapat dilakukan dengan membaca berbagai buku yang berkait dengan perkahwinan. Jika dalam buku-buku tersebut ditemui berbagai pengalaman indah atau berbagai harapan indah tentang perkahwinan, maka akuilah hal itu.

Namun hidup tidak selalu seperti "taman bunga", ada masa indah dan ada juga masa sukar. Bersikap positif dan realistik insyaallah akan bermanfaat dalam menghadapi ujian mahupun nikmat hidup ini.

Sebaliknya jika mendapatkan informasi yang merimaskan hati, hendaklah kita sentiasa bersikap optimistik dan bertawakkal kepada Allah swt, InsyaAllah selamat.

KEEMPAT : CARILAH INFORMASI SEBANYAK-BANYAKNYA TENTANG TUGAS DAN KEWAJIBAN MASING-MASING PIHAK DALAM PERKAHWINAN.

Semakin banyak yang kita ketahui semestinya akan membuatkan kita semakin bersedia untuk melangkah.

Namun harus difahami juga bahwa sentiasa ada proses penyesuaian atau peralihan. Proses adalah sunnatullah dan segala sesuatu ada prosesnya dan penyesuaian juga merupakan sunnatullah dalam hidup.

KELIMA : PERMUDAHKANLAH URUSAN PERKAHWINAN INI.

Ini amat bersesuaian dengan perintah Allah swt dalam Al Qur'an yang berbunyi :

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui. (QS Nur : 32)

Dengan adanya perintah yang sedemikian jelas, tidak ada alasan bagi para ibubapa ketika jodoh sudah datang bagi anak-anaknya sementara ia masih sahaja menunda-nunda pelaksanaan perkahwinan mereka.

Ya Allah, sesungguhnya kami memahami bahwa perkahwinan adalah sunnah RasulMu, maka permudahkanlah segala urusan perkahwinan bagi para ibubapa dan juga anak-anak mereka sehingga ianya menjadikan kebanggaan bagi Rasulullah saw di akhirat nanti dengan banyaknya zuriat yang soleh yang meneruskan tugas risalah RasulMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top