Terkini...




0

Yi Ye Zhang Mu, Bu Jian Tai Shan : Sehelai Daun di Depan Mata Menutup Pemandangan Gunung Tai

07 Zulhijjah 1431H.

Asal Usul:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang (tahun 475-221 Sebelum Masihi), di negeri Chu, ada seorang lelaki bersifat "kutu buku" yang hidup dalam kemiskinan.

Pada suatu hari, si kutu buku itu terlihat satu ayat yang berbunyi, "Jika seseorang mendapatkan daun yang digunakan oleh cengkadak untuk menutup badannya ketika menangkap riang-riang, dia boleh menjadi orang limunan." Fikirnya dalam hati, "Alangkah baiknya jika saya mendapat daun itu!"

Sejak itu, tiap-tiap hari, dia merayau-rayau di hutan untuk mencari daun seperti itu. Pada suatu hari, dia benar-benar nampak ada seekor cengkadak yang menyembunyikan diri di belakang sehelai daun, sedang menjangkau untuk menangkap seekor riang-riang. Dia terus meluru ke arah cengkadak tersebut, dan berjaya mendapatkan daun itu. Bagaimanapun, disebabkan terlalu teruja, daun yang dipegangnya terjatuh ke tanah, lalu bercampur dengan daun-daun lain yang sudah gugur di situ. Dia terpaksa mengumpulkan semua daun yang ada di situ, dan membawanya semua pulang ke rumah untuk dicuba sehelai demi sehelai.

Sebaik sahaja tiba di rumah, si kutu buku itu pun menutup matanya dengan salah sehelai daun, lalu bertanya kepada isterinya, "Bolehkah awak melihat saya?"

Mula-mula, isterinya sentiasa menjawab dengan sabar, "Ya, boleh!"

Bagaimanapun, lama-kelamaan, isterinya semakin hilang sabar. Akhirnya, dia terpaksa menjawab dengan sambil lewa, "Kali ini, saya sudah tak nampak kamu!"

Mendengar jawapan isterinya itu, si kutu buku itu menjadi sangat gembira. Dia segera membawa daun itu menuju ke sebuah kedai di pasar tanpa sepatah kata pun. Setelah tiba di sana, dia mula mengambil apa-apa saja yang dillihat di kedai itu secara terang-terangan. Pemilik kedai itu sangat marah. Dia menanggap "pencuri" itu, dan membawanya ke pejabat Ketua Kaunti. Setelah mendengar aduan yang berkenaan, ketua kaunti itu berasa sangat hairan, masih ada orang yang berani mencuri di depan orang. Selepas menyoal siasat si kutu buku itu, barulah Ketua Kaunti itu faham akan apa yang telah berlaku. Dia menahan ketawanya, sambil berkata,

"Tindakan kamu justeru seperti mata terhalang oleh sehelai daun, pemandangan Gunung Tai pun tak nampak!"

Si kutu buku itu mujur dibebaskan tanpa sebarang hukuman. Tetapi, sejak itu, dia telah menjadi bahan ketawa orang sekampungnya.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Yi Ye Zhang Mu, Bu Jian Tai Shan" atau "Sehelai Daun di Depan Mata Menutup Pemandangan Gunung Tai" digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang mudah terpengaruh dengan fenomena lahiriah atau luaran, tetapi tidak dapat melihat intipati atau keadaan keseluruhan sesuatu benda. CRI/-

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top