Terkini...




0

Mewarisi Syariat Kurban

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Syariat berkurban merupakan warisan ibadah yang paling tua.

Ianya mula diperintahkan ketika Nabi Adam `alaihis salam tidak menemui cara yang paling adil dalam mengahwinkan anak-anaknya yang kembar.

Meskipun sudah diputuskan perkahwinan secara silang namun akhirnya Allah swt mewahyukan agar kedua anak Nabi Adam, Habil dan Qabil melaksanakan kurban untuk membuktikan amal siapakah yang diterima.

Habil berkurban dengan ternakannya iaitu unta dan Qabil berkurban dengan tanamannya iaitu gandum.

Sampai di sini, Allah swt sebenarnya ingin menguji hamba-hambaNya, siapa yang dengan sukarela menerima perintahnya dan siapa yang menentangnya.

Habil dengan ikhlas mempersembahkan kurbannya dan oleh kerananya kurbannya diterima sedangkan Qabil, oleh kerana tidak tulus dan ikhlas dalam menjalankan perintah berkurban, maka tidak diterima darinya sehingga dengan nekad ia membunuh saudaranya.

Inilah peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah umat manusia.

Syariat berkurban kemudiannya diteruskan dengan Nabi-Nabi berikutnya.

"Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, Maka Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa, Oleh kerana itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)." (QS Al-Hajj : 34)

Peristiwa kurban yang paling besar telah dibuktikan oleh Bapa Tauhid, Khalilullah, Nabi Ibrahim Alaihissalam.

Nabi Ibrahim yang menunggu kelahiran seorang putra sejak sekian lama itu diperintahkan oleh Allah swt untuk menyembelih putranya, Isma'il alaihissalam.

Ujian berat menerpanya iaitu samada melaksanakan perintah Allah swt atau membiarkan hidup putranya dengan tidak melaksanakan perintah Allah swt di mana putranya itu nanti akan meneruskan perjuangan bapanya. Alasan ini kelihatannya begitu rasional di mana boleh jadi ianya menjadi suatu pembelaan diri dan pembenaran terhadap pilihan yang tepat.

Namun, Nabi Ibrahim sudah teruji ketaatannya kepada Allah swt sehingga tanpa ragu ia melaksanakan perintah Allah swt. Perintah itu disampaikan kepada putranya Isma'il.

Betapa bangganya sang ayah apabila mendengar ketegasan putranya :

"Wahai Ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Engkau akan menemukan diriku termasuk orang yang penyabar."

Allah swt rakamkan rangkaian kisah yang hebat itu di dalam Al-Qur'an,

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar". Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya) , (nyatalah kesabaran keduanya ). Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim. Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim". Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS As-Shaffaat : 100-110)

NIKMAT ALLAH

Syariat itu kembali direalisasikan oleh nabi akhir zaman, Nabi Muhammad saw dan kita sebagai umatnya.

Perintah itu digambarkan dalam surah yang pendek,

"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkurbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus." (QS Al Kautsar 1- 3)

Sebelum Allah swt memerintahkan untuk berkurban, terlebih dahulu Allah swt mengingatkan betapa nikmat pemberian Allah swt begitu banyak "Al Kaustar", atau juga bererti telaga kautsar di syurga.

Mari cuba kita renungkan :

  1. Nikmat Allah swt yang besar adalah nikmat diciptakanya kita sebagai manusia iaitu makhluk Allah swt yang paling mulia dan paling baik bentuknya,

    " Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. " (QS At-Tiin : 4)
  2. Nikmat membawa peranan sebagai khalifah Allah swt untuk memakmurkan bumi dan seisinya.

    "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (QS Al-Baqarah : 30)
  3. Nikmat anggota badan yang begitu menakjubkan dan luar biasa.

    Renungkan betapa mahalnya kesihatan anggota tubuh badan itu ketika kaki kita tidak dapat berjalan kerana patah atau sebagainya. Oleh kerana itu, Allah swt kembali mengingatkan "Dan pada diri kamu, apakah kamu tidak memperhatikan? " (QS Adz-Dzariyat : 21)
  4. Nikmat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Allah swt adalah nikmat Iman dan Islam. Ini digambarkan sendiri oleh Allah swt :

    "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku ridhai Islam itu jadi agama bagimu." (QS Al-Ma'idah : 3)

HAKIKAT BERKURBAN

Setelah Allah swt menyebut nikmat-nikmat yang begitu banyak itu, Allah swt mengingatkan hamba-hamba Nya agar mahu melaksanakan perintah-perintahNya :

  1. Perintah solat lima waktu atau solat Aidil Adha.
  2. Berkurban sebagai bukti rasa syukur kepadaNya.

Bahkan Rasulullah saw memerintahkan berkurban dengan bahasa yang tegas dan jelas disertai dengan ancaman.

Ancaman bahwa jangan mendekati tempat solat atau dengan istilah lain tidak diakui menjadi umat Muhammad saw.

"Dari Abu Hurairah ra., Nabi Muhammad saw bersabda, "Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi ia tidak berkurban, maka janganlah ia menghampiri (mendekati) tempat solat kami". (HR Ahmad dan Ibnu Majah)

Berkurban bukanlah :

  1. Hanya sekadar mengalirkan darah binatang ternak.
  2. Hanya menyembelih haiwan kurban.

Namun lebih dari itu, berkurban bererti :

  1. Ketundukan sepenuhnya terhadap perintah-perintah Allah swt.
  2. Sikap menghindarkan diri dari perkara-perkara yang dilarangNya.

Allah swt ingin menguji hamba-hambaNya dengan suatu perintah, apakah :

  1. Ia akan berbaik sangka kepadaNya dan kerananya melaksanakan dengan baik tanpa ragu-ragu sepertimana Nabi Ibrahim melaksanakannya.
  2. Atau seperti Qabil yang menurut logik akalnya dan kemahuan syahwatnya sehingga dengan perintah berkurban itu, ia malah melanggar perintah Allah swt dengan membunuh saudara kembarnya sendiri.

Berkurban juga membawa pengertian :

  1. Wujudnya ketaatan dan peribadatan seseorang dan oleh kerananya seluruh sisi kehidupan seseorang akan membuahkan satu manifestasi sikap untuk berkurban.
  2. Keupayaan untuk menyembelih hawa nafsu dan memotong kemahuan syahwat yang sentiasa menyuruh kepada kemungkaran dan kejahatan.

Seandainya sikap ini dimiliki oleh umat Islam, nescaya mereka akan maju dalam segala bidang yang diceburi.

Betapa tidak? Mereka yang mempunyai profesyen sebagai :

  1. Guru, ia berkurban dengan ilmunya.
  2. Pengusaha, ia berkurban dengan memastikan perniagaannya halal.
  3. Ahli politik, ia berkurban demi kemaslahatan umum dan bukan kelompoknya.
  4. Pemimpin, ia berkurban untuk kemajuan rakyat dan bangsanya.

Kita mestilah berani :

  1. Menyembelih kemahuan peribadi yang bertentangan dengan kemahuan kelompok.
  2. Menyembelih keinginan peribadi yang bertentangan dengan syariat.
  3. Menyembelih kemahuan kelompok yang bertentangan dengan perintah Allah swt.
Dengan semangat ini, bentuk-bentuk penyelewengan dan kejahatan akan dapat dikurangkan bahkan dihilangkan di muka bumi ini, insyaAllah.

Oleh sebab itu, Allah swt menegaskan dalam firmanNya :

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (QS Al-Hajj : 37)

Akhirnya marilah kita meningkatkan semangat berkurban dalam hidup kita sehingga ianya menjadi kebiasaan yang melegakan dan bukan menjadi bebanan atau suatu paksaan kerana hakikat kurban itu tidak sekadar menyembelih haiwan tetapi lebih dari itu penyerahan hati sepenuhnya kepada segala perintah dan arahan Allah swt melalui sifat takwa.

Ya Allah, terimalah kurban kami dan amal-amal kami yang kami persembahkan semata-mata keranaMu. Kami memohon kepadaMu hidayah, ketakwaan, penjagaan kemuliaan diri dan kecukupan rezeki serta kembalikan kami kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top