Terkini...




0

Kekuatan Penguasaan Pendakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

 

Penguasaan atau 'Isti'ab' adalah kemampuan pendakwah untuk menarik objek dakwah (mad'u) dan membentuk mereka dengan segala perbezaan intelektual, kejiwaan, status sosial dan sebagainya.

Pendakwah yang berjaya adalah pendakwah yang mampu mengharungi dan dapat mempengaruhi setiap manusia dengan fikrah dan dakwahnya, sekalipun mereka mempunyai pelbagai kecenderungan, tabiat dan tingkatan kefahaman yang berbeza.

Di samping itu ia juga mampu menarik sejumlah besar manusia dan menguasai mereka dari sudut fikrah dan harakah.

Jadi, penguasaan merupakan :

  1. Kemampuan individu.
  2. Kelayakan akhlak.
  3. Sifat keimanan.
  4. Kurniaan Ilahiyah.

yang membantu para pendakwah dan menjadikan mereka paksi bagi masyarakat sehingga orang ramai sentiasa berputar dan berkerumun di sekitarnya.

Pada hakikatnya kemampuan untuk "menguasai" bolehlah dianggap sebagai syarat kelayakan yang pertama dan terpenting bagi seorang pendakwah.

Tanpa kemam­puan "penguasaan" ini, pendakwah sebenarnya belum lagi wujud dan dakwah juga belum benar-benar berlaku.

TINGKATAN KEMAMPUAN DALAM PENGUASAAN

Tingkatan penguasaan seorang pendakwah berbeza-beza, namun seorang pendakwah dituntut untuk memiliki tahap minima kemampuan dalam penguasaan agar boleh menjadi produktif dan mendatangkan manfaat bagi masyarakat, bukan mendatangkan kemudharatan atau tidak mendatangkan manfaat sama sekali, bahkan Nauzubillah, kalau ianya menyebabkan orang-orang di sekelilingnya lari.

Tanpa kemampuan penguasaan paling minima ini, seorang pendakwah  tidak  boleh dianggap sebagai seorang amil atau pekerja dalam arena dakwah.

Berapa ramai orang yang telah dianggap sebagai para pendakwah tetapi mereka :

  1. Telah merosakkan Islam itu sendiri.
  2. Tidak membawa manfaat kepadanya.
  3. Meruntuh bukan membina.
  4. Menyebabkan orang lari dari Islam bukan menggembirakan.
  5. Menjadi hujah bagi musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam dan bukan menjadi hujah untuk kebaikan Islam.

Berapa ramai orang yang hidup dalam lingkungan dakwah dan mengunyah prinsip-prinsip dakwah tetapi mereka tidak mampu memindahkan suasana dan prinsip-prinsip dakwah itu keluar dari lingkungannya walau dalam kadar selangkah sekalipun.

Begitu pula terdapat orang-orang yang :

  1. Hidup dalam dakwah dan dakwah hidup kerana kewujudan mereka.
  2. Sehidup  semati  bersama dakwah  dan  dakwah juga sehidup semati dengan mereka.

Golongan ini adalah para pendakwah yang sebenarnya. Mereka inilah yang digelar 'Rijaluddin' (Pembela Agama) yang amat diperlukan oleh Islam.

Mereka inilah orang-orang yang diperlukan untuk :

  1. Menjulang kembali panji-panji Islam.
  2. Membangunkan Daulah Islamiah.
  3. Menegakkan hu­jah kepada alam sejagat.

Tingkatan-tingkatan kemampuan dalam penguasaan digambarkan dengan begitu indah di dalam sebuah hadits Rasulullah saw :

"Perumpamaan petunjuk dan ilmu yang dengannya Allah swt mengutusku adalah bagaikan hujan yang turun ke bumi. Maka ada bahagian bumi yg baik, ia menerima air hujan itu dengan baik lalu menumbuhkan tanaman dan rerumput yang banyak. Ada juga bahagian bumi yang menahan air, lalu Allah swt memberikan manfaat kepada manusia dengan air yang disimpannya, sehingga mereka boleh minum dan menyirami tanaman dari air tersebut. Bahagian lainnya adalah padang tandus, ia sama sekali tidak boleh menyimpan air dan juga tidak menumbuhkan apa pun. Demikian itu adalah perumpamaan orang yang diberi kefahaman dalam agama, lalu ia dapat memanfaatkan apa yg aku bawa itu, hingga ia sentiasa belajar dan mengajarkan apa yang ia fahami. Dan itulah juga perumpamaan orang yang sama sekali tidak ambil peduli dan tidak mahu menerima petunjuk Allah swt yg aku sampaikan". (HR Bukhari Muslim)

PENGUASAAN DAN KEJAYAAN DAKWAH

Tidak akan ada kejayaan dakwah tanpa kemampuan penguasan kerana kejayaan dapat diukur dengan kemampuan pendakwah untuk menarik sebanyak-banyaknya masyarakat kepada Islam dan pergerakan yang ada, sehingga mampu merealisasikan sasaran-sasarannya.

Dakwah yang kaya dengan para pendakwah yang mampu menarik orang ramai ke dalam Islam dan gerakan Islam mempunyai harapan yang tinggi untuk berjaya dan dapat mencapai matlamatnya, sekiranya ia memiliki situasi-situasi yang diperlukan beserta syarat-syarat yang lain.

Sebaliknya, dakwah yang miskin dari para pendakwah yang mampu menguasai orang yang berada di sekeliling mereka, akan tetap kekal sebagai dakwah yang beku.

Jika pendakwah tersebut tidak mempunyai kemahiran penguasaan, maka dakwahnya akan menjadi mandul dan perkembangan serta pengaruhnya amat terbatas sehinggalah :

  1. Allah swt menganugerahkan para rijal dan tokoh-tokoh yang memiliki sebab-sebab yang dapat membawa petunjuk, pengaruh dan penguasaan sehingga mampu menarik masyarakat.

Atau

  1. Allah swt akan menggantikannya dengan "dakwah" yang lain yang tidak sama dengannya.

Inilah sunnatullah yang akan terus berlaku :

"… dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah swt". (QS Al-Ahzab : 62)

"… Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah swt dan sekali-kali tidak (pula) akan menemuui penyimpangan bagi sunnah Allah swt itu".. (QS Fathir : 43)

PENGUASAAN LUARAN DAN DALAMAN

Penguasaan luaran adalah penguasaan terhadap orang-orang yang berada :

  1. Di luar dakwah.
  2. Di luar pergerakan.
  3. Di luar organisasi.

Iaitu tahap orang-orang yg belum bergabung dalam barisan dakwah.

Penguasaan dalaman adalah penguasaan terhadap orang-orang yang berada di dalam organisasi, iaitu mereka yang telah bergabung ke dalam jamaah dakwah dan pergerakan.

Kejayaan seorang pendakwah sangat terkait dengan kemampuan untuk menguasai kedua-duanya, kerana tidak ada gunanya penguasaan terhadap masyarakat di luar tanzhim (jamaah) tanpa disusuli dengan penguasaan terhadap masyarakat yang ada dalam tanzhim.

PENGUASAAN LUARAN

Membawa dakwah kepada orang ramai dan men­jadikan mereka :

  1. Mengimani.
  2. Mempercayai.
  3. Terpengaruh dengannya.
  4. Timbul dorongan untuk menggabungkan diri ke dalamnya.
  5. Bekerja.
  6. Berjihad.
  7. Berkorban.

merupakan proses yang agak sukar dan susah kerana ia memerlukan kemampuan dan tuntutan-tuntutan yang berbagai bentuk.

Sesiapa yang memiliki sebahagian besar darinya, beliau adalah pendakwah yang mendapat taufiq, berjaya dan mampu menguasai orang ramai dan menarik mereka satu demi satu ke dalam Islam dan ke dalam dakwah.

Sejauh mana ramainya para pendakwah yang memiliki syarat-syarat penguasaan ini, maka sejauh itulah pula kemampuan dakwah untuk menguasai orang ramai dan sejauh itulah juga pengaruh dakwah terhadap mereka semakin meningkat dan mendalam.

Melalui Al Qur'an yang tidak pernah diresapi oleh kebatilan dan di bawah cahaya sinar Sunnah Nabawiah yang mulia, ada beberapa tuntutan yang mesti dipenuhi oleh para pendakwah dalam proses penguasaan dan pembentukan di antaranya adalah:

  1. KEFAHAMAN TENTANG AGAMA

Pendakwah yang sebenar pada jalan Allah mestilah memiliki kadar yang boleh diterima tentang kefahaman terhadap ajaran-ajaran agama Allah di mana ianya lebih awal diperlukan berbanding keperluan-keperluan yang lain.

Mereka mesti jelas tentang :

  1. Manakah yang halal dan manakah yang haram.
  2. Manakah yang buruk dan manakah yang baik.
  3. Yang mana fardhu, wajib, sunat dan haram.
  4. Permasalahan akidah dan hukum-hukumnya.

di mana kesemua perkara tersebut merupakan menara hidayah sepanjang perjalanan dakwah dan pendakwah amat memerlukan kepada memahami ajaran-ajaran agama Islam.

Bertolak dari kenyataan inilah, arahan-arahan Al-Qur'an dan As Sunnah datang dalam bentuk menarik perhatian kepada nilai kefahaman terhadap ajaran Islam di samping menggalakkannya.

"Katakanlah:'adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?' Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran" (QS Az-Zumar : 9)

"Dan orang-orang yang diberi ilmu (Ahli Kitab) berpendapat bahwa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Rabb-mu itulah yang benar dan menunjuki (manusia) kepada jalan Rabb Yang Maha perkasa lagi Maha Terpuji". (QS Saba' : 6)

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan agama itu, maka ikutilah syari'at itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui". (QS Al-Jatsiyah : 28)

"Wahai manusia sesungguhnya ilmu hanya didapati dengan belajar, sedang kefahaman hanya akan didapati melalui pendalaman (tafaqquh), dan barang siapa yg dikehendaki Allah swt baik maka akan diberi kefahaman dalam agama, sesungguhnya yang takut kepada Allah swt dari hamba-hamba-Nya adalah ulama" (HR Bukhari)

"Apabila Allah swt menghendaki kebaikan bagi seorang hamba maka Allah swt memberinya kefahaman tentang agama dan memberinya ilham kelurusan (HR Thabrani)

"Sesungguhnya perumpamaan para ulama di muka bumi adalah bagaikan bintang-bintang yang dijadikan petunjuk dalam kegelapan daratan dan lautan. Jika bintang-bintang itu padam, maka para penunjuk jalan akan tersesat" (HR Ahmad).

Memahami agama Allah dan pengetahuan umum akan membolehkan para pendakwah :

  1. Berbicara dengan manusia sesuai dengan kemampuan pemikiran mereka setelah beliau mengetahui pemikiran mereka.
  2. Menyentuh hati orang ramai setelah beliau mengetahui apakah yang sedang bermain dan bergelora di dalam hati mereka.

Pendakwah yang tidak mempunyai kunci yang dapat membuka akal dan hati tidak akan mampu menarik pemilik-pemilik akal dan hati tersebut serta menguasai mereka malah seruan dakwahnya kepada mereka itu akan tetap tinggal sebagai jeritan-jeritan di tanah lapang dan di padang pasir.

Di antara perkara yang dikira sebagai memahami ajaran agama Allah ialah membekalkan diri dengan berbagai bentuk ilmu pengetahuan yang dapat menolong para pendakwah  menarik semua manusia yang mempunyai ber­bagai corak ilmu pengetahuan dan kecenderungannya terutama dalam zaman di mana terdapatnya bermacam-macam haluan dan aliran falsafah yang  terlalu banyak sehingga membuatkan usaha-usaha untuk mempengaruhi dan menarik orang ramai bukan lagi suatu perkara yang mudah.

  1. CONTOH TAULADAN YANG BAIK

Seorang pendakwah mesti menjadi contoh tauladan yang baik bagi masyarakat agar ia memiliki pengaruh dalam masyarakat sehingga mereka boleh dibentuk. Oleh kerana pengaruh ucapan tidak sekuat pengaruh yang ditimbulkan oleh perbuatan, maka perbutan zahir mestilah sesuai dengan apa yang ada di dalam hatinya.

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah swt bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan" (QS Ash-Shaf : 2-3)

"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?" (QS Al-Baqarah : 44)

"Perumpamaan orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain dan melupakan dirinya, bagaikan lilin yang menerangi manusia dan membakar dirinya sendiri." (HR Thabrani)

  1. SABAR

Menarik manusia dan menguasai mereka menuntut agar pendakwah bersifat sabar dalam menghadapi mereka dan bukan menghadapi mereka dengan kebosanan dan sempit dada.

Kesabaran diperlukan kerana manusia memiliki :

  1. Keadaan kejiwaan yang bermacam-macam.
  2. Kelebihan dan kekurangan yang berbagai.
  3. Tabiat yang berbeza-beza.
  4. Kepentingan yang berlainan.

"Dan mintalah pertolongan kepada Allah swt dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu'." (QS Al-Baqarah : 45)

"Tidak ada rezeki Allah swt yang lebih baik dan lebih luas bagi seorang hamba selain dari kesabaran." (HR Hakim)

"Siapa yang berusaha untuk bersabar maka Allah swt akan mengurniakan kesabaran, dan tidak ada kurniaan yg lebih baik dan lebih luas bagi seseorang selain dari kesabaran." (HR Bukhari -Muslim)

  1. LEMAH LEMBUT

Sifat ini sangat-sangat diperlukan kerana masyarakat membenci kekerasan dan menjauhi pelakunya.

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya Allah swt mencintai kelembutan dalam segala hal" (HR Bukhari dan Muslim)

"Sesungguhnya Allah swt Maha Lembut dan menyukai kelembutan, memberi kepada orang yang lemah lembut apa yang tidak diberikan kepada orang yang kasar dan juga apa yang tidak diberikan kepada yang lain." (HR Muslim)

  1. MEMUDAHKAN DAN TIDAK MENYUKARKAN

Manusia memiliki ciri-ciri, kemampuan dan daya tahan yang berbeza-beza. Apa yang boleh dilakukan oleh seseorang belum tentu boleh dilakukan oleh orang yang lain dan oleh kerana itu, Rasulullah saw bersabda:

"Mudahkanlah dan jangan mempersulitkan, senangkanlah mereka dan jangan membuat mereka lari." (HR Bukhari dan Muslim)

"Berjalanlah dengan menanggung perjalanan yang paling lemah di antara kamu"

  1. TAWADHU' DAN MERENDAHKAN SAYAP

Pendakwah yang tawadhu' boleh :

  1. Hidup dan bergaul dengan sesiapa sahaja.
  2. Menerima siapa sahaja.
  3. Berbicara kepada setiap orang.
  4. Menziarahi sesiapa sahaja.
  5. Mencintai semua manusia.

Dialah yang melayani masyarakat dan bukan masyarakat yang melayaninya.

"Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat sedikit kesombongan." (HR Muslim)

"Sesungguhnya orang yang paling aku cintai adalah orang yang paling baik akhlaknya, yang merendahkan sayap, yang mahu menghimpun dan mahu dihimpun..". (HR Thabrani)

Fenomena kesombongan yang bertentangan dengan tawadhu' hendaklah dijauhi oleh para pendakwah di mana ia kebiasaannya  boleh dilihat dalam berbagai suasana :

  1. Lebih senang bergaul dengan orang-orang kaya dan berpangkat daripada dengan orang miskin atau orang awam.
  2. Lebih memperhatikan pakaian dan penampilan dan suka meremehkan orang yang terlihat comot atau tidak kemas.
  3. Memilih-milih hadirin.
  4. Lebih mementingkan ungkapan yang dibuat-buat.
  5. Merasa takjub dengan ilmu yang dimiliki.
  1. MURAH SENYUMAN DAN PERKATAAN YANG BAIK

Wajah merupakan cermin yang menampakkan hakikat kejiwaan. Jika wajah seorang pendakwah itu masam dan serius maka perkara itu merupakan cerminan dari kekasarannya dan jika wajahnya berseri-seri dan murah senyuman, maka ini adalah petanda kebaikannya.

Mengenai ucapan yang baik banyak terdapat dalam nash-nash Al-Qur'an di antaranya :

"Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." (QS Al-Isra': 53)

 

"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." (QS Al Ahzab : 70)

 

"Dan mereka diberi petunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjuki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji." (QS Al-Hajj : 24)

 

"Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut"." (QS Thaha : 44)

"Janganlah kamu memandang remeh kebaikan sedikit pun, meski kebaikan itu hanyalah berupa wajah yg berseri ketika bertemu dengan saudara kamu". (HR Muslim)

  1. DERMAWAN DAN BERINFAQ KEPADA ORANG LAIN

Sifat suka menderma dengan harta benda menunjukkan kelapangan jiwa, sebaliknya orang yang kikir menunjukkan kekerdilan jiwanya.

Seorang pendakwah mesti menggunakan hartanya sebagai wasilah agar masyarakat yang didakwahkannya mendapat hidayah, misalnya dengan:

  1. Islam mewajibkan memuliakan tamu.
  2. Memberi hadiah kepada orang lain termasuk akhlaq Islam yang dianjurkan Nabi saw.
  3. Berbagai perbuatan mulia yang diperintahkan Allah swt seperti berinfak kepada fakir miskin, menanggung anak yatim, memperhatikan hak tetangga dan seterusnya yang bertentangan dengan kebakhilan.

Dalam Al-Qur'an dan hadits, banyak nash yang mengecam kebakhilan, di antaranya :

"Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung." (QS. Al-Hasyr : 9).

 

"Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal. (QS Al-Isra : 29)

 

"Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian." (QS Az-Zaariyat : 19)

 "Tidak ada sesuatu yang dapat menghapus keislaman seperti halnya kekikiran" (HR Thabrani)

  1. MELAYANI ORANG LAIN DAN MEMBANTU KEPERLUAN MEREKA

Seorang pendakwah wajib menterjemahkan pemikiran dan konsepnya dalam bentuk tindakan yang konkrit, iaitu dengan turut merasakan permasaalahan umat dan berusaha semaksima mungkin untuk turut menyelesaikannya.

"Barang siapa yang tidur tanpa peduli terhadap masalah kaum muslimin maka ia tidak termasuk golongan mereka".

"Amalan yang paling utama adalah menyenangkan seorang mukmin dengan cara memberi pakaian, makanan, minuman dan memenuhi keperluannya." (HR Thabrani)

PENGUASAAN DALAMAN

Penguasaan dalaman adalah kemampuan dan keahlian untuk menampung objek dakwah yang telah berada di tengah-tengah saf dakwah samada oleh para pemimpin mahupun para anggotanya.

Tujuannya adalah untuk menggunakan potensi mereka dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah dan pergerakannya.

Tahapan-tahapannya adalah seperti berikut:

  1. PENGUASAAN DALAM AQIDAH DAN TARBIYAH
  1. Dalam tahap ini, para aktivis mesti dibersihkan dari berbagai masaalah masa lalu, meluruskan aqidah, perilaku, akhlaq, mengarahkan kecenderungannya, menentukan, menjelaskan arah sasaran dan tujuan mereka.
  2. Penguasaan tarbawi tidak boleh ditentukan oleh suatu fasa atau situasi, tetapi mutlak diperlukan samada bagi orang yang baru bersama dakwah ataupun orang yang telah lama.
  3. Penguasaan tarbawi mesti memperhatikan berbagai perkembangan kehidupan tahapan-tahapan alami dan khusus yang dilalui oleh para individu.
  4. Penguasaan tarbawi mesti memenuhi semua bidang tarbiyah, samada pemikiran, kerohanian dan keperluan fitrah manusia.
  5. Penguasaan tarbawi mesti diukur dengan menggunakan ukuran syari'at dengan mengambil semua 'azimah (hukum asal)nya dan berbagai keringanannya bukan produk emosi dan keinginan peribadi semata-mata.

Aspek penting dan asasi yang mesti dimiliki dalam pembentukan peribadi muslim adalah :

  1. Sunnah Rasul dalam pembentukan peribadi muslim.

Rasulullah saw menggunakan metod yang unik sesuai dengan kesempurnaan manhaj Islam dan fitrah yg ditetapkan Allah swt  memandang manusia dengan kelayakan yang ada pada mereka di samping memperhatikan kecenderungan dan keperluan manusia.

  1. Beberapa kaidah asasi dalam sunnah.
  1. Menonjolkan sisi positif atas sisi negatif.
  2. Menonjolkan sikap keseimbangan atas sikap berlebih-lebihan.

Dalam kaitannya dengan komitmen peribadi kepada Islam, Rasulullah saw bersabda :

"Ingatlah akan hancur orang yang berlebih-lebihan, akan hancur orang yang berlebih-lebihan" (HR Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

"Sesungguhnya agama ini sangatlah keras, maka masuklah ke dalamnya dengan lembut (HR Ahmad)

Dalam kaitannya dengan dakwah dan menarik orang kepada Islam, terdapat nash-nash Al-Qur'an dan sabda Rasulullah saw, di antaranya ialah :

"Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahwa Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keteranganpun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim." (QS Ali-'Imran : 159)

 

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."  (QS An Nahl : 125)

  1. "Mudahkanlah dan jangan mempersulitkan, senangkanlah dan jangan membuat mereka lari". (HR Bukhari dan Muslim)
  2. Sedikit dan berterusan itu lebih baik daripada banyak tapi terputus.
  3. Mendahulukan keutamaan dalam pembentukan.
  4. Pembentukan melalui keteladanan.
  5. Pembentukan yang menyeluruh dan tidak juzi'yyah.
  6. Kesolehan lingkungan dan pengaruhnya dalam pembentukan.
  7. Kesan pahala dan hukuman dalam pembentukan.
  1. PENGUASAAN DALAM JAMAAH

Maksudnya adalah kemampuan sebuah pergerakan dalam menampung :

  1. Para anggotanya.
  2. Para pendukungnya.
  3. Para pesimpati.
  4. Berbagai persoalan, prinsip dan kaidah-kaidah pergerakan.

Permasalahan pokok yang berhubungan dengan penguasaan jamaah :

1. Berkait dengan daya tampung gerakan terhadap para anggotanya.

Syarat yg mesti dipenuhi untuk dapat menampung para anggota dan sikap dinamiknya adalah :

  1. Proses tarbiyah yang matang.
  2. Tersedianya berbagai potensi dan keupayaan serta faktor pendukung lainnya dalam sebuah pergerakan, misalnya pentadbiran yang cekap, perencanaan yg matang, konsep yang jelas dalam pendidikan, pemikiran, politik dan seterusnya.
  3. Memahami semua anggotanya dengan benar, mengetahui potensi yang dimiliki, kecenderungan mereka, sisi positif dan negatifnya dan lain-lain sehingga dapat membantu untuk menentukan tugas dan tanggungjawab setiap individu dan menempatkan pada posisi yang tepat dan akhirnya akan membuahkan hasil yang memuaskan.
  4. Mengerahkan seluruh anggota dan bukan sebahagian sahaja atau hanya orang-orang yang berprestasi sahaja kerana kita perlu melipatgandakan hasil dan menghindarkan dari fitnah yang ditimbulkan oleh para penganggur atau orang-orang yang tidak memiliki tugas dan peranan dakwah.

2. Berkait dengan penguasaan haraki.

Beberapa masalah penting yang berkait dengan pergerakan yang mesti dikuasai oleh para pendakwah di antaranya adalah:

  1. Pemahaman yang benar dan sempurna tentang sasaran dan wasilah yang digunakan.
  2. Memahami tanzhim dan tabiatnya dengan benar.
  3. Pemahaman yang benar dan menyeluruh terhadap tabiat kawan dan lawan.
  4. Pemahaman yang baik tentang berbagai aspek, tabiat dan keperluan amal.
  5. Menjauhi fenomena 'keengganan' untuk bergabung dalam masyarakat di samping berbagai organisasi yang ada.

Ya Allah, berilah kekuatan penguasaan kepada kami dan organisasi kami yang dipacu oleh barisan kepimpinan yang berwibawa dengan penuh keazaman dan bashirah yang tembus bagi menggerakkan perjuangan, memperhebat amal, memacu dakwah dan tarbiah, menyusun saf dan mengirim mereka ke medan-medan perjuangan dengan tepat dan berkesan. Kami juga menyedari bahwa kekuatan itu tidak mampu dicapai melainkan ianya menuntut daripada kami untuk terus mempersiapkan peribadi dan saf dengan keupayaan yang berganda dan tarbiah dalam menghadapi berbagai cabaran serta berusaha untuk sentiasa berada di pusat aksi dan operasi bagi menggembeling penglibatan bersama masyarakat dan massa untuk meraih kemenangan dan kejayaan dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top