Terkini...




0

Hakikat Sebenar Tarbiyah

Assalamualaikum,
 

Di tengah-tengah kehidupan yang penuh dengan gaya hidup barat serta kecenderungan ke arah fahaman hedonisma, kehadiran Tarbiyah bagaikan setitis embun di tengah-tengah kekeringan  dan kegersangan hidup.

Ditambah pula dengan serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam melalui berbagai cara telah berhasil mengubah dan mewarnai kehidupan kita.

Oleh yang demikian, kita sebagai "Sebaik-baik ummah" mesti melawannya dengan cara yang sama di mana seluruh potensi yang kita miliki mesti digunakan dengan maksima dan asas awal untuk dapat mengoptimumkan potensi manusia yang ada dalam diri kita adalah 'Tarbiyah'.

Namun apakah tujuan sebenar dari 'Tarbiyah' itu?

Para murabbi mahupun mutarabbi mestilah mempunyai suatu kefahaman yang jelas akan tujuan tarbiyah sehingga tarbiyah tidak hanya menjadi sekadar aktiviti rutin tetapi ianya mestilah ada sasaran atau tujuan yang hendak dicapai.

T
ARBIYAH ADALAH SEBUAH PROSES PEMBENTUKAN

Pengertian Tarbiyah secara bahasa mempunyai beberapa makna dan di antaranya adalah :

  1. 'Tansyiah' (pembentukan).
  2. 'Ri'aayah' (pemeliharaan).
  3. 'Tanmiyah' (pengembangan).
  4. 'Taujih' (pengarahan).

Maka proses tarbiyah yang kita lakukan dengan menggunakan berbagai wasilah seperti :

  1. Halaqah / Usrah.
  2. Daurah.
  3. Ta'lim di masjid.
  4. Mukhayyam.
  5. Qiyam / Katibah.

dan yang lainnya mesti memperhatikan empat perkara di atas sebagai langkah-langkah praktikal untuk sampai kepada tujuan strategik, iaitu terbentuknya peribadi muslim yang 'soleh wa musleh'.

TANSYIAH (PEMBENTUKAN)

Dalam proses tansyiah, mesti diperhatikan tiga sisi yang penting, iaitu :

  1. Pembentukan Ruhiyah Ma'nawiyah

Pembentukan Ruhiyah Ma'nawiyah dapat dilakukan dengan kegiatan-kegiatan ibadah seperti qiyamullail, puasa sunat, tilawah Al Qur'an, zikir dan lain-lain.

Para murabbi mesti mampu menjadikan wasilah-wasilah tarbiyah ruhiyah seperti mabit, lailatul katibah, halaqah ruhiyah dalam membentuk peribadi mutarabbi pada sisi ruhiyah ma'nawiyahnya disedari serta dirasai oleh mutarabbi bahwa ia sedang menjalani proses pembentukan ruhiyah ma'nawiyah. Jangan sampai mabit hanya tinggal mabit tanpa ada apa-apa perasaan dan kesedaran yang terkesan di hati kita.

  1. Pembentukan Fikriyah Tsaqafiyah

Wasilah dan saluran tarbiyah tsaqafah mesti dijadikan sebagai wasilah dan saluran yang mampu membentuk peserta tarbiyah pada sisi fikriyah tsaqafiyah. Jangan sampai tatsqif hanya tinggal tatsqif dan ta'lim hanya tinggal ta'lim, tetapi mesti jelas tujuannya bahwa tatsqif untuk pembentukan tsaqafah yang benar dan utuh manakala ta'lim untuk tsaqafah agama dan ini mesti disedari dan dirasai oleh para murabbi dan mutarabbi.

  1. Pembentukan Amaliyah Harakiyah

Proses tarbiyah selain bertujuan membentuk peribadi dari sisi ruhiyah ma'nawiyah dan fikriyah tsaqafiyah juga bertujuan untuk membentuk amaliyah harakiyah yang mesti dilakukan secara selari dan berterusan seperti kewajiban pengambilan anggota baru melalui dakwah fardiyah, dakwah 'ammah dan bentuk-bentuk penyebaran tarbiyah lainnya, serta pengelolaan halaqah tarbiyah yang baru sehingga sisi ruhiyah ma'nawiyah dan fikriyah tsaqafiyah dapat direalisasikan dan diformulasikan dalam bentuk amal nyata dan kegiatan praktikal serta dirasai oleh lingkungan masyarakat awam.

RI'AAYAH (PEMELIHARAAN)

Keperibadian Islam yang sudah atau mulai terbentuk mesti dijaga dan dipelihara ruhiyah ma'nawiyah, fikriyah tsaqafiyah dan amaliyah harakiyahnya dan dibuat penilaian sehingga jangan sampai ada yang berkurang, menurun atau melemah.

Oleh yang demikian, kualiti dan kuantiti ibadah asasi, wawasan pengetahuan, fikrah dan harakah tetap terjaga dan terpelihara dengan baik. Tidak ada penurunan dalan tilawah harian, qiyamullail, puasa sunat, baca buku, tatsqif, halaqah tarbiyah dan aktiviti dakwah serta pembinaan aktivis dakwah.

TANMIYAH (PENGEMBANGAN)

Dalam proses tarbiyah, murabbi dan mutarabbi tidak boleh merasa puas dengan apa yang ada dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki, apalagi menganggap semuanya sudah sempurna.

Murabbi dan mutarabbi yang baik adalah murabbi dan mutarabbi yang sentiasa memperbaiki kekurangan dan kelemahan serta meningkatkan kualiti di samping berpandangan jauh ke depan bahwa tarbiyah mesti bersedia dan mampu menawarkan konsep perubahan dan dapat mengajukan jalan penyelesaian kepada berbagai permasalahan umat dan berani tampil untuk memimpin umat. Oleh kerana itu, kualiti diri dan jamaah merupakan suatu tuntutan dan keperluan dalam proses tarbiyah.

TAUJIH (PENGARAHAN)

Tarbiyah bukanlah hanya bertujuan untuk melahirkan manusia yang baik dan berkualiti secara peribadi namun ianya mestilah mampu untuk memperkasakan kualiti diri untuk menjadi unsur perubah yang aktif dan produktif (Al Muslim As Soleh Al Musleh).

Murabbi sepatutnya mampu untuk :

  1. Mengarahkan.
  2. Meletakkan fungsi.
  3. Memperkasakan.

mutarabbinya sesuai dengan bidang dan kapasitinya.

Manakala mutarabbi pula hendaklah sentiasa bersedia untuk :

  1. Diarahkan.
  2. Ditugaskan.
  3. Ditempatkan.
  4. Diberi fungsi.

sehingga dapat memberikan sumbangan yang nyata dan praktikal untuk dakwah, jamaah dan umat serta tidak ragu-ragu untuk berjuang dan berkorban demi tertegaknya Agama Islam.

Ukuran keberhasilan tarbiyah boleh dilihat pada peranan dan sumbangan aktivis dakwah dalam penyebaran fikrah, pembentukan masyarakat Islam, memerangi kemungkaran, membenteras kerusakan dan mampu mengarahkan dan membimbing umat ke jalan Allah di samping sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi segala bentuk kebatilan yang menghalang kelajuan dakwah Islam.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu lelah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (QS At Taubah : 111)

KEPENTINGAN TARBIYAH

Tarbiyah adalah sangat penting sebagai :

  1. Sistem pertahanan diri dalam menghadapi serangan musuh.
  2. Wasilah penguat aqidah.

Ini adalah kerana Tarbiyah adalah sebuah wasilah untuk membentuk peribadi dambaan umat hingga mampu membentuk masyarakat Islam menuju kepada kewujudan semula sebuah peradaban yang ideal.

Tarbiyah yang merupakan sebuah kemestian bagi pendakwah Islam memiliki karakteristik tersendiri yang menjadikannya 'begitu indah'.

  1. Rabbaniyah

Sebagaimana karakteristik Islam itu sendiri, Tarbiyah juga bersumber dan bertujuan hanya kepada Allah swt.

  1. Tadarruj (Bertahap).

Dakwah adalah sebuah proses dan tahapan sehingga Tarbiyah pun dilakukan dan berjalan secara bertahap atau 'step by step' sehingga tidak memberatkan dan tidak memaksakan walaupun ianya juga tidak ringan.

  1. Tawazun (Seimbang)

Selain itu dalam Tarbiyah juga berlaku keseimbangan di mana ia menempatkan segala sesuatu pada haknya.

  1. Syaamil (Menyeluruh)

Tarbiyah juga menyentuh seluruh aspek dan sisi kehidupan kerana ia adalah sebagai asas dakwah Islam yang bersifat "Rahmatan lil 'alamiin" yang 'memanusiakan' manusia.

  1. Istimrar (Berterusan)

Tarbiyah tidak mengenal kata 'cukup' atau 'berhenti' malah ianya berkesinambungan  sepanjang hayat atau yang biasa disebut 'life education' atau 'Tarbiyah Madal Hayah'.

PROSES TARBIYAH

Tarbiyah dalam prosesnya boleh dilakukan melalui tiga pendekatan iaitu :

  1. Idealistik.
  2. Taktikal.
  3. Strategik.

PENDEKATAN IDEALISTIK

Tarbiyah adalah jalan bagi para pendakwah Islam dan tidak ada jalan lain selainnya atau dengan kata lain, jalan para pendakwah adalah jalan tarbiyah yang memiliki paling tidak tiga (3) ciri-ciri asasi :

PERTAMA : SUKAR TAPI HASILNYA NYATA DAN BERKUALITI.

 

Sukarnya sebuah proses biasanya membuahkan hasil yang berkualiti dan oleh kerana itu,

proses dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah saw bukanlah perkara yang mudah.

 

Bayangkan, lima tahun pertama dalam dakwahnya di Makkah, hanya  baru terkumpul 40 laki-laki dan 5 wanita namun dengan jumlah 45 orang inilah yang kemudiannya menjadi bukan sahaja 'kepala lembing' dakwah bahkan juga anasir perubah yang menyebabkan berlakunya suatu perubahan sosial dari masyarakat jahiliyah menuju masyarakat yang Islamik.

 

Proses tarbiyah ibarat menanam pokok jati di mana ianya hendaklah sentiasa dijaga dan dipelihara sehingga akarnya tetap kuat dan tidak mudah goyah diterpa angin badai yang kencang.

 

Oleh yang demikian, jalan Tarbiyah merupakan proses pembentukan peribadi yang diimpikan di mana ia memiliki sistem pertahanan dalaman samada secara "ma'nawiyah" (moral), "fikriyah" (gagasan pemikiran) dan "Tandzimiyah" (struktur organisasi).

 

Ka'ab bin Malik ra adalah contoh dari sebuah keperibadian yang berkualiti di mana dengan

kesedaran ma'nawiyah, fikriyah dan tandzimiyahnya, Ia mengakui kelalaiannya untuk tidak ikut serta dalam perang Tabuk dan kemudian iapun dengan ikhlas menerima hukuman yang telah

ditetapkan oleh Rasulullah saw.

 

Bahkan ketika datang utusan dari kerajaan Ghassan yang secara diam-diam menemuinya untuk menyampaikan surat dari raja yang isinya antara lain menjanjikan suaka politik dan jawatan penting yang telah tersedia baginya jika ia mahu berhijrah dari Madinah, Ia malah berkata sambil

mengoyak surat tersebut :

 

'Musibah apa lagi ini..'!

 

Itulah sebuah tindakbalas dari sikap pertahanan dalaman yang hanya mampu dihasilkan melalui proses tarbiyah yang tidak mudah serta melalui jalan dakwah yang diperkuatkan dengan konsep secara nyata di mana Al-Qur'an menyebutnya dengan "Al-Qaulu Al-Tsabit":

 

"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki."  (QS Ibrahim : 27 ).

 

KEDUA : PROSES YANG PANJANG TAPI TERJAGA KEMURNIANNYA.

 

Dakwah adalah jalan yang panjang yang dilalui bukan hanya oleh satu generasi bahkan kadang-kadang untuk mencapai sasaran dan tujuan jangka panjangnya memerlukan beberapa generasi.

Ingatlah ketika Rasulullah saw menghayunkan paluan untuk memecahkan batu-batu di parit

Khandaq, ada percikan api keluar dari setiap hentaman tersebut ke arah timur, lalu beliau

mengisyaratkan bahwa umatnya kelak akan dapat menaklukkan Romawi, padahal Romawi hanya mampu ditaklukkan oleh umat Islam pada masa Khilafah Utsmaniyah iaitu beberapa abad sesudahnya.

 

Renungilah, berapa generasi yang telah dilalui dan berapa panjang perjalanan dakwah yang telah dilalui?

 

Betapapun telah melewati sekian banyak generasi, kemurniannya tetap terjaga dan semangat perjuangannya tetap terpelihara. Islam yang sampai ke Romawi adalah Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh generasi pertama iaitu Rasulullah saw dan para sahabat ra.

 

Keperibadian yang asli adalah keperibadian yang telah teruji dengan panjangnya mata rantai perjalanan dakwah dan keperibadian yang mempunyai semangat juang adalah keperibadian yang tidak lekang dek 'panas' dan tidak lapuk dek 'hujan' di sebalik ujian dan cobaan dalam perjalanan dakwah.

 

KISAH 1

 

Abu Ayub Al Ansari ra merupakan salah seoarang sahabat yang Allah swt berikan kepadanya umur yang panjang sehingga beliau masih hidup pada masa kekhalifahan Utsman ra, beliau yang

ketika itu usianya sudah sangat tua, ketika ada seruan jihad melalui jalan laut, sanggup mengharungi lautan menuju perairan Yunani untuk menghadapi pasukan Romawi di mana seruan jihad berkumandang melalui lantunan ayat-ayat al-Qur'an :

 

"Infiruu khifafan wa tsiqaalan" (Berangkatlah kamu dalam keadaan ringan mahupun berat).

 

lalu anak-anaknya berkata kepadanya :

 

"Sudahlah, ayah tidak usah ikut berperang, cukuplah kami sahaja yang masih muda yang mewakili ayah di medan perang".

 

Dengan kecerdasan menafsirkan ayat tersebut disusuli dengan pembawaan "hikmatussuyukh wahamasatussyabab", Abu Ayyub menjawab :

 

"Tidak boleh, ayat tersebut telah mewajibkan kepada seluruh kaum muslimin baik yang tua mahupun yang muda kerana ayat tersebut menyebutkan "khifafan" (ringan) bererti ditujukan untuk kamu yang masih muda dan "tsiqalan" (berat) ditujukan untukku yang sudah tua."

 

Maka anak-anaknya pun tidak dapat membendung ayah mereka lalu berangkatlah Abu Ayub Al Ansari ra sehingga ia menemui syahadahnya.

 

KISAH 2

 

Saad bin Abi Waqqash ra yang telah menggoreskan kesaksian perjalanan dakwah dengan keperibadian yang murni yang tidak berubah dengan perubahan situasi dan zaman dari masa-masa yang penuh dengan kesulitan dan penderitaan hingga ke masa-masa yang penuh

dengan kemudahan dan kesenangan.

 

Dalam mengenang semua itu beliau berkata :

 

"Aku adalah salah seorang dari 7 orang sahabat (dari 10 sahabat yang dijanjikan masuk syurga). Dahulu kami bersama Rasulullah saw dalam sebuah ekspedisi, kami tidak memiliki makanan sehingga kami makan daun-daunan sampai terasa pedih tenggorok kami. Namun, sekarang kami yang tujuh orang ini semuanya menjadi gabenur di beberapa daerah, maka kami berlindung kepada Allah swt agar tidak menjadi orang yang merasa besar di tengah-tengah manusia tetapi

menjadi kecil di sisi Allah swt."

 

Tarbiyah telah membentuk peribadi yang telah teruji dengan panjangnya mata rantai perjalanan dakwah serta peribadi yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

 

KETIGA : LAMBAT TAPI HASILNYA TERJAMIN.

 

Tarbiyah adalah ibarat lari berganti-ganti dan bukan lari pecut maka, untuk itu diperlukan kesabaran dan ketahanan dengan tetap bertenaga untuk mencapai sasaran dan tujuan dengan kualiti yang terjamin.

 

Lari berganti-ganti memang nampak kelihatan lambat, tetapi potensi dan tenaga yang disalurkan secara kolektif serta perpaduan kerjasama yang terarah secara baik untuk memberikan sebuah jaminan kemenangan di akhir perlumbaan.

 

Watak perjalanan dakwah yang lambat mesti dilihat dari proses dan tahapannya, bukan dari perangai para pelakunya kerana perangai yang lambat dalam berdakwah adalah suatu bentuk kelalaian yang nasabnya (penggabungan) kepada jamaah yang bersifat antarabangsa sekalipun tidak akan mempercepatkan langkah dakwahnya sepertimana yang disebut di dalam sebuah hadis Rasulullah saw :

 

"Barangsiapa yang lambat kerjanya, tidak boleh dipercepatkan dirinya dengan nasabnya."

 

Salah satu jaminan dari proses tarbiyah adalah lahirnya keperibadian yang lengkap melengkapi dan tidak terpecah. Integriti keperibadian seorang muslim yang ditempa di jalan Tarbawi tercermin pada :

 

  1. Keteguhan akidahnya.
  2. Keluhuran akhlaknya.
  3. Kebersihan hatinya.
  4. Kebaikan tingkah lakunya baik secara ta'abbudi, ijtima'i mahupun tandzimi.

 

Keberhasilan sebuah dakwah akan benar-benar terserlah apabila dihadapkan oleh situasi dan keadaan yang menguji integriti keperibadiannya sebagaimana ketika berlakunya tragedi "haditsul ifk" yang menimpa Aisyah ra, maka orang yang tidak terjamin akhlaknya sehingga sanggup turut menyebarluaskan fitnah keji itu.

 

Bandingkan dengan para sahabiyah yang terjamin kualiti tarbawinya, yang menjaga lisannya, yang lebih senang mengutamakan sangka baik kepada Ummul Mu'minin Aisyah ra, cukuplah isteri Abu Ayyub Al-Anshari mewakili para sahabiyah yang mulia, ia menghadapi peristiwa tersebut dengan penuh ukhuwah dan mencintai saudaranya kerana Allah.

 

Berkenaan dengan fitnah yang menimpa aisyah ra, isteri Abu Ayyub Al-Anshari berkata kepada suaminya :

 

"Wahai Abu Ayyub, jika engkau yang menjadi Safwannya apakah engkau berbuat yang bukan-bukan kepada isteri Rasulullah saw dan Safwan lebih baik dari engkau. Wahai Abu Ayyub, kalau aku yang jadi Aisyah, tidak akan pernah akau mengkhianati Rasulullah saw dan Aisyah lebih baik dariku."

 

Kata-kata isteri Abu Ayyub sarat dengan 'taushiah' agar kita menjaga nafsu lisan, mendahulukan sangka baik dan menonjolkan sikap tawadhu' sebagai bukti terjaminnya hasil tarbiyah.

 

PENDEKATAN TAKTIKAL

 

Setelah ketiga-tiga faktor idealistik tersebut telah dapat direalisasikan dengan baik, maka langkah

berikutnya adalah memetakan langkah-langkah taktikal dengan melakukan program peningkatan kualiti dan kuantiti pertumbuhan aktivis dakwah dan menyelenggarakan pengutusan pendakwah.

 

Sepertimana beberapa orang sahabat yang diutus oleh Rasulullah saw untuk mendawahkan dan mengajarkan serta melakukan pembinaan kepada orang-orang yang baru masuk Islam, yang telah melampaui wilayah Makkah dan Madinah, seperti Muadz bin Jabal yang diutus ke Yaman dan Khalid bin Walid yang dikirim ke wilayah Irak.

 

Hal itu dimaksudkan untuk menyeimbangkan luasnya medan dakwah dengan jumlah aktivis dan menyelaraskan dukungan massa dengan potensi (kemampuan) tarbiyah.

 

PENDEKATAN STRATEGIK

 

Langkah yang terakhir adalah langkah strategik di mana dalam perkara ini, yang paling penting dalam sebuah perjalanan dakwah adalah fokus untuk menyusun aktivis inti serta untuk mengelakkan dari berlakunya "lost generation" (generasi yang hilang) serta perlu dirumuskan strategi untuk membina aktivis-aktivis yang baru.

 

Semakin ramai aktivis inti disamping aktivis baru samada secara kualiti mahupun kuantiti akan banyak membantu dakwah ini dalam menghadapi permasalahan dan ancaman.

 

Pada masa Abu Bakar ra, berlaku gelombang kemurtadan yang luar biasa sehingga 2/3

Jazirah Arab nyaris mengalami gejala kemurtadan iaitu ertinya hanya 1/3 wilayah yang selamat yang terdiri dari kota Makkah, Madinah dan Thaif.

 

Maka di ketiga-tiga kota inilah aktivis inti dakwah tetap dijaga dan dipelihara di samping aktivis-aktivis baru dibina pada masa Khalifah Umar bin Al Khattab di mana kebanyakan mereka adalah tawanan perang 'Riddah' pada masa Abu Bakar ra.

 

Terbukti kemudiannya dalam perang 'Qadisiyah', ketika datang ancaman dari imperialis Parsi, aktivis-aktivis baru yang dibina oleh Umar bin Al Khattab selama kurang lebih satu tahun kebanyakan mereka berada di barisan paling depan dalam jihad fi sabilillah dan tidak jarang pula di antara mereka kemudiannya terkenal sebagai panglima dan komander pasukan. Itulah hasil sebuah produk tarbiyah sebagaimana yang tegaskan oleh Allah swt :

 

"Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar." (QS Ali Imran : 146)

Semoga Allah sentiasa bersama kita dan kemenangan memihak kepada kita.

"Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (QS Muhammad : 7)

Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan tarbiyah kerana ianya adalah satu-satunya jalan yang selamat yang akan membawa kepada kekuatan dan kemenangan Islam walaupun jalannya sukar dan melalui proses yang panjang serta lambat dari segi proses dan tahapannya namun sebenarnya ia akan memberi natijah yang berkualiti, terjaga keasliannya serta terjamin hasilnya.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS


0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top