Terkini...




0

Pendakwah Sebagai Pengalir Tenaga

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dalam memberikan "taujih" (pengarahan) tentang tugas dakwah, Imam Hasan Al-Banna memberikan perumpamaan dengan perkataannya :

"Di setiap bandar terdapat pusat penjana tenaga elektrik. Para pegawai memasang peralatan-peralatan, tiang dan kabel di seluruh penjuru bandar dan selepas itu aliran tenaga elektrik masuk ke kilang-kilang, rumah-rumah dan tempat-tempat lain. Jika aliran tenaga elektrik tersebut kita matikan dari pusat penjanaannya, nescaya seluruh penjuru bandar akan menjadi gelap gulita. Padahal pada ketika itu, tenaga elektrik ada dan tersimpan di pusat penjana elektrik, hanya sahaja tenaga elektrik yang ada itu tidak dialirkan dan tidak dimanfaatkan."

Demikianlah, Allah swt telah menurunkan Al Qur'an Al-Karim kepada kita dan dialah sebesar-besar tenaga dalam kehidupan ini.

Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan mereka dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (QS Al-Maidah : 15-16)

Begitu pula dengan Al-Qur'an Al-Karim di mana ia adalah pusat penjana "tenaga" bagi kaum muslimin.

Namun, sumber kekuatan itu kini dicampakkan oleh kaum muslimin sendiri sehingga hati mereka menjadi gelap dan susunan atau tatacara kehidupan pun menjadi rusak.


TUGAS PENDAKWAH

Tugas kita sebagai pendakwah adalah seperti tugas para pegawai elektrik iaitu :

Mengalirkan kekuatan ini dan sumbernya ke setiap hati orang-orang muslim agar sentiasa bersinar dan menerangi sekelilingnya.

Allah swt berfirman :

"Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan keadaan orang yang berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?" (QS Al-An'am : 122)

Tatkala kita ingin memikat hati objek dakwah, kita mesti ingat bahwa kita adalah :

Seorang PENDAKWAH.

BUKAN

Seorang ULAMA’ ATAU FUQAHA’.


Tatkala kita berdakwah, kita mesti ingat bahwa kita sedang memberikan hadiah kepada orang lain, maka kita mesti mempertimbangkan hadiah apa yang sepatutnya kita berikan dan bagaimana cara memberikannya.


HALANGAN DAKWAH

Permasalahan yang menghalang seorang pendakwah di tengah-tengah medan dakwah adalah permasalahan yang muncul dari dalam dirinya, padahal orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan mampu memberikan sesuatu.

Seseorang yang tidak memiliki kunci, maka sukar baginya untuk masuk.

Manusia yang hatinya terkunci sehingga sukar dimasuki oleh dakwah, bagaikan sebuah peti besi besar yang sebenarnya dapat dibuka hanya dengan kunci yang kecil.

Demikianlah persoalannya, yang sesungguhnya kembali kepada diri pendakwah itu sendiri, iaitu berkaitan dengan :

1. Potensi dirinya secara ruhiah.
2. Kecekapannya untuk membuat program.
3. Ketahanan dalam mewujudkannya.

Jika kita telah faham bahawa syaitan juga membuat program untuk para pengikutnya dengan langkah-langkah yang bertahap sebagaimana firman Allah swt :

"Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan." (QS Al-Baqarah: 168)

Maka sudah selayaknya seorang pendakwah juga membuat program dan langkah-langkah dalam mengambil simpati objek dakwahnya.

Sungguh sangat jauh perbezaan antara tujuan syaitan dengan tujuan orang-orang yang beriman.

Allah swt berfirman :

"Dan janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuh kamu). Jika kamu menderita kesakitan (kekalahan), maka mereka sesungguhnya juga menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya. Sedangkan kamu mengharapkan dari Allah apa yang tidak mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (QS An-Nisa' : 104)

Oleh kerana itu, seorang pendakwah hendaklah memperhatikan celah-celah kebaikan yang ada pada orang lain kemudian memupuknya, sehingga celah-celah keburukan yang ada padanya tersingkir dan ia mahu bangkit berdiri melangkah di jalan Islam.

Tugas seorang pendakwah adalah seperti tugas seorang :

1. Pengajar.
2. Doktor.

Di mana mereka akan memberikan formula / ubat yang sesuai dengan masalah / penyakit yang dihadapi oleh pelajarnya / pesakitnya.

Tidak masuk akal kalau semua pelajar / pesakit diberi formula / ubat yang sama kerana pelajar / pesakit mereka tentu berbeza-beza tahap permasaalahannya antara satu sama lain.

Pengajar dan doktor adalah pendakwah yang paling berjaya jika mereka bersedia melakukan pekerjaan itu dengan berdasarkan keimanan kepada Allah dan untuk menegakkan agamaNya.

Berdasarkan kepada alasan inilah, para pengembang agama Kristian dalam memerangi dunia Islam memusatkan perhatian mereka pada universiti-universiti dan hospital-hospital serta menyalurkan berbagai bentuk bantuan.

Tugas pengajar adalah menghayati :

a. Hati pelajar.
b. Pola pemikiran pelajar.

Lalu membimbing mereka sedikit demi sedikit sehingga tujuan yang hendak dicapai terlaksana.

Manakala tugas doktor pula adalah :

a. Menghapuskan penderitaan pesakit dengan kata-kata yang dipenuhi keimanan.
b. Memberikan ubat yang sesuai.

Mungkinkah seorang pendakwah mengajak orang lain untuk kembali kepada ajaran-ajaran Islam tanpa memberikan kasih sayang kepadanya?

Perilaku dan keteladanan seorang pendakwah yang ikhlas akan mempunyai pengaruh yang lebih besar daripada tulisan dan ceramah.

Ibarat "remote control" yang dapat digunakan untuk menukarkan siaran televisyen dari jarak yang jauh tanpa perlu menggunakan kabel.

Begitu juga dengan seorang pendakwah yang ikhlas dan penuh kasih sayang, ia tidak akan menghadapi kesukaran memasukkan apa yang ada dalam hatinya ke dalam hati orang lain.

Jika tatapan mata yang dipenuhi oleh rasa irihati dan dengki itu dapat memberikan mudharat.

Maka

Tatapan mata yang dipenuhi rasa iman dan kasih saying akan menimbulkan cinta dan keimanan.


KEPENTINGAN PANCAINDERA

Dari sini kita dapat mengetahui betapa berharganya pancaindera yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia.

Pancaindera adalah bahagian terpenting dari tubuh manusia sedangkan jasad secara keseluruhannya adalah sebagai tempat tinggal bagi pancaindera tersebut.

Allah swt berfirman :

"Katakanlah, 'Terangkanlah kepadaku jika Allah mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup hatimu, siapakah tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepadamu?' Perhatikanlah bagaimana berkali-kali Kami perlihatkan tanda-tanda kebesaran (Kami), kemudian mereka tetap berpaling (juga)." (QS Al-An'am : 46)

"Katakanlah, 'Dialah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati." (QS Al-Mulk : 23)

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) lidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (QS Al-A'raf : 179)

Orang yang tidak mengetahui dan mensyukuri nikmat Allah swt berupa pancaindera adalah orang yang tidak mengetahui sumber kehidupan yang amat besar.

Allah swt berfirman ;

"Ataukah seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya lagi awan; gelap gulita yang tindih-menindih, apabila ia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah, tidaklah dia mempunyai cahaya sedikitpun." (QS An-Nur : 40)

Dengan kehilangan pancaindera, manusia akan menjadi sebentuk makhluk yang tidak hidup dan tidak mati. Ia menjadi makhluk yang tidak berguna.

Kalau sudah begitu, maka ia tidak akan mampu memberikan pengaruh kepada orang lain kerana alat pengirim dan penerima sudah tidak lagi berfungsi seperti orang yang tidur di atas katil empuk tetapi ia tidak menyedarinya kerana pancainderanya sudah tidak berfungsi lagi.

Manusia yang sedemikian itu memerlukan orang lain yang boleh membangunkan dirinya dari tidurnya yang lelap.

Allah swt berfirman :

"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan itu ia dapat berjalan di tengah-tengah manusia, serupa dengan orang yang keadaannya dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?" (QS Al-An'am : 122)

Marilah kita perhatikan gambaran-gambaran berikut :

"Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Bagi mereka siksa yang amat berat." (QS Al-Baqarah : 7)

"Dan Kami adakan tutupan di atas hati mereka dan sumbatan di telinga mereka, agar mereka tidak dapat memahaminya. Apabila kamu menyebut Tuhanmu sahaja dalam Al-Qur'an, niscaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya." (QS Al-Isra' : 46)


AKIBAT TIDAK MENGGUNAKAN PANCAINDERA

Orang yang tidak menggunakan pancainderanya adalah orang yang hidup dalam "dunia khayalan" sehingga alam sekitarnya tidak akan melihat dan merasakan keberadaannya serta tidak akan sedih jika ditinggal pergi.

Mereka tidak memahami :

1. Makna hidup yang sebenarnya.
2. Tujuan penciptaan.
3. Tanggungjawab yang ditaklifkan.

Adapun pendakwah, ia ibarat "qalbu" (hati), maka barangsiapa yang tidak melaksanakan fungsi hatinya, ia tidak akan mendapatkan sambutan dari masyarakatnya.

Allah swt berfirman :

"Maka disebabkan rahmat Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu berlaku keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu." (QS Ali Imran : 159)

Hati yang beriman adalah sumber penggerak sebagaimana firmanNya :

"Tiada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan seizin Allah. Barangsiapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (QS At-Taghabun : 11)


PERASAAN DAN KASIH SAYANG “BAHASA” ANTARABANGSA

Perasaan dan kasih sayang adalah "bahasa" antarabangsa yang digunakan oleh pendakwah dalam menghadapi seluruh penduduk bumi, hingga kepada orang yang bisu sekalipun.

Dengan rahmat Allahlah kita berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kita bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka akan menjauhi kita, wahai para pendakwah.

"Bahasa" ini ibarat mata wang yang ditetapkan untuk digunapakai oleh setiap negara secara sejagat.

Dengan "bahasa" inilah, generasi pertama umat ini dapat menaklukkan dunia. Mereka adalah lampu kehidupan.

"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau mempergunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya." (QS Qaaf : 37)

Oleh kerana itulah, barangsiapa yang tidak :

Mengingati.
Merasakan.
Terpengaruh.
oleh setiap keburukan atau keindahan, maka dia adalah orang yang tidak mempunyai hati.

Ya Allah, jadikanlah kami pengalir tenaga yang akan mengalirkan tenaga dari sumber tenaga yang tidak akan kehabisan iaitu kalamMu, Al Qur'an Al Karim. Berilah kekuatan kepada kami sehingga kami mampu menggunakan setiap pancaindera yang dikurniakan oleh Engkau bagi melaksanakan fungsi-fungsinya dengan betul dan limpahkanlah perasaan halus dan kasih sayang dalam hati kami yang akan menjadi senjata kami untuk menaklukkan setiap hati manusia walau di mana mereka berada.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top