Terkini...




0

Menanam Pokok Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum wbt.,

Ibarat sebuah tanaman, amal-amal soleh di bulan Ramadhan adalah pokoknya dan musimnya adalah bulan Ramadhan.

Apa sahaja pokok yang kita tanam di sepanjang Ramadhan, itulah buah yang akan kita petik dan nikmati kerana :

"Siapa yang menanam maka dialah yang akan menuai".

Persoalannya adalah pokok apakah yang perlu kita tanam di bulan suci ini?

Paling tidak ada sepuluh (10) pokok yang mesti kita tanam di sepanjang bulan Ramadhan ini :

POKOK PERTAMA - Puasa

Puasa bukan sekadar menahan perkara-perkara yang membatalkan puasa samada makan, minum atau hubungan biologi antara pasangan dari sejak terbit fajar sehingga terbenamnya matahari sahaja.

Ini adalah kerana, kalau hanya sekadar menahan yang demikian, boleh jadi anak kecil yang belum baligh sekalipun sudah mampu melakukannya. Betapa anak-anak kita sudah belajar berpuasa semenjak di bangku sekolah lagi bukan?

Jadi, kalau demikian, apakah bezanya puasa kita dengan mereka?

Mesti kena ada nilai yang lebih, iaitu menjaga dari yang membatalkan nilai dan pahala puasa.

Apakah yang membatalkan nilai puasa?

Di antaranya :

Bercakap bohong.
Mengejek.
Melaga-lagakan.
Mengumpat.
Hasad dengki.
Oleh yang demikian, mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan anggota badan kita kena ikut sama berpuasa.

"Betapa ramai orang yang berpuasa, tidak mendapatkan sesuatu kecuali hanya rasa lapar dan dahaga semata-mata." Begitulah penegasan Rasulullah saw.

POKOK KEDUA - Sahur

Sahur bukanlah pengganti kepada sarapan pagi dan bukan pula penambah kepada makan malam namun sahur yang penuh berkat itu dilakukan di akhir waktu menjelang fajar.

Di sinilah waktu-waktu yang sangat mahal di mana doa dikabulkan dan segala permintaan dipenuhi sehingga ketika kita melaksanakan sahur, jangan sekali-kali sambil :

Menonton televisyen.
Mendengar hiburan yang melalaikan.
Sibukkanlah diri dan keluarga kita dengan mensyukuri nikmat Allah dengan bersama-sama melaksanakan sunnah sahur ini dengan penuh berkat dan perasaan kekeluargaan.

"Bersahurlah, kerana dalam sahur itu ada keberkatan." Begitulah sabda Rasulullah saw yang mengajarkannya kepada kita.

POKOK KETIGA – Berbuka Puasa

Adalah menjadi sunnah menyegerakan berbuka puasa. Ketika kita mendengar berkumandangnya azan Maghrib, segeralah berbuka puasa. Jangan dilambat-lambatkan atau ditunda selepas solat sunat tarawih dan sebagainya.

Dengan apakah kita berbuka?

Sunnahnya dengan "ruthab" atau kurma muda.

Berapa biji?

Ikut bilangan ganjil satu atau tiga biji, namun kalau tidak ada, boleh dilakukan dengan seteguk air kosong. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Berbuka puasa bukanlah acara balas dendam di mana setelah seharian menahan lapar, ketika beduk Maghrib berbunyi, seakan-akan kita ingin melampiaskan rasa lapar kita dengan memakan semua yang ada. Perilaku seperti ini tentunya tidak akan membawa kesan perubahan dalam kehidupan pelakunya.

Justeru dengan berlapar sambil merenungkan hikmah puasa dan menjadi bukti kesyukuran adalah sebahagian dari tujuan berpuasa sehingga dengan secara sedar dan insaf, kita berdoa di saat berbuka:

"Ya Allah, kepadaMu aku berpuasa, dengan rezekiMu aku berbuka, telah hilang rasa haus (dahaga) ku, kerongkongan telah basah, kerana itu, tetapkan pahala bagiku, insya Allah."

POKOK KEEMPAT – Solat Tarawih

Tarawih berasal dari akar kata "raaha-yaruuhu-raahatan-watarwiihatan" yang bererti :

Rehat.
Istirehat.
Bersenang-senang.
sehingga solat tarawih diumpamakan sebagai solat yang dilaksanakan dengan :

Thuma'ninah.
Mudah.
Khusyu'.
Penuh penghayatan.
bukan hanya sekadar mengejar sasaran bilangan rakaatnya sahaja.

Kalau kita mahu buat lapan, dua puluh, tiga puluh enam, sila kerjakan asalkan kita memperhatikan rukun, wajib, dan sunnah solat.

Kalau kita disuruh memilih,

Apakah solat tarawih di masjid yang dalamnya dibaca "idzaa jaa'a nashrullahi wal fathu".
atau

Solat tarawih di masjid yang dibaca "idzaa jaa'akal munaafiquna qaaluu nasyhadu innaka larasulullah…"
Kita pilih yang mana?

Kita tidaklah dalam keadaan ingin membandingkan surah yang dibaca, semuanya adalah surah dalam Al-Qur'an, namun kita ingin membandingkan sikap kita, apakah kita pilih yang panjang-panjang namun khusyu' atau pilih yang pendek-pendek namun secepat kilat.

Umat Islam mesti berani membuat penilaian diri dalam hal pelaksanaan solat tarawih ini kerana sudah kesekian kalinya kita melaksanakan solat tarawih dalam hidup kita, namun kita belum :

Mampu meresapinya dalam hati.
Merenungkan dan mendapatkan rasa lazatnya solat.
Bermunajat kepada Allah swt secara langsung.
Bukankah Rasulullah saw telah menunjuk ajar kepada kita bahwa ketika beliau solat tarawih, di raka'at pertama setelah beliau membaca surah Al-Fatihah, beliau membaca surah Al-Baqarah sampai selesai.

Para sahabat mengira bahwa beliau akan ruku', namun beliau meneruskan membaca surah An-Nisa' sampai selesai.

Para sahabat kembali mengira bahwa beliau akan ruku', namun kembali beliau membaca surah Ali-Imran sampai selesai, barulah beliau ruku'.

Sedangkan ruku', i'tidal dan sujud beliau lamanya seperti beliau berdiri rakaat pertama…Subhanallah!

Tentunya kita tidak sekuat Rasulullah saw, namun yang kita patut contohi dari beliau adalah perlaksanaannya iaitu dengan cara yang thuma'ninah, khusyu' dan penuh tadabbur.

POKOK KELIMA - Membaca Al-Qur’an

Membaca Al-Qur'an atau yang masyhurnya disebut tadarus Al-Qur'an. Tadarus bukan hanya dilakukan di bulan suci ini, bahkan juga dilakukan setiap hari di luar Ramadhan, namun pada bulan suci ini tadarus lebih :

Diperkuatkan.
Ditambahkan kuantitinya.
Diperhalusi kualitinya.
setiap malam.

Rasulullah saw bergantian bertadarus dan mengkhatamkan Al-Qur'an dengan malaikat Jibril.

Imam Malik, ketika memasuki bulan Ramadhan, meninggalkan semua aktiviti keilmuan atau memberi fatwa. Semua ia tinggalkan hanya untuk mengisi waktu Ramadhannya dengan tadarus.

Imam Asy-Syafi'i, yang mazhabnya diikuti di negara kita, ketika masuk bulan Ramadhan ia mengkhatamkan Al-Qur'an sehari dua kali sehingga beliau khatam Al-Qur'an 60 kali selama sebulan penuh. Subhanallah!

Kita tidak perlu berdebat, apakah itu sesuatu yang mungkin berlaku ?

Bagaimanakah cara-caranya beliau boleh melakukan perkara tersebut?

Intipati yang jauh lebih penting adalah semangat dan mujahadah yang kuat, itulah yang mesti kita miliki dalam berinteraksi dengan Al-Qur'an.

POKOK KEENAM - Menyediakan makanan berbuka

Jangan memandang remeh menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa samada secara langsung ataupun melalui masjid walaupun hanya dengan :

Sebiji kurma.
Seteguk air.
Makanan.
Minuman.
dan lainnya.

Ini adalah kerana nilai dan pahalanya sama seperti orang yang berpuasa yang kita menyediakan untuk berbuka itu.

Di negara-negara Timur Tengah, tradisi dan sunnah menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa ini sangat kuat.

Hampir-hampir setiap rumah membuka pintu selebar-lebarnya bagi para musafir, kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai untuk berbuka bersama dengan mereka.

Kita jadikan usaha menyediakan makanan berbuka bersama ini sebagai wasilah untuk :

Menyebarkan sikap kepedulian.
Membangunkan perasaan kekeluargaan.
Menjalin keakraban sesama Islam.
Berlumba-lumba ke arah membuat kebajikan.


POKOK KETUJUH - I'tikaf

Melaksanakan i'tikaf 10 hari di akhir Ramadhan adalah amalan sunnah muakkadah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah saw semasa hayatnya.

Lebih dari 8 atau 9 kali beliau beri'tikaf di bulan yang mulia ini bahkan pada tahun di mana beliau wafat, beliau beri'tikaf 20 hari di akhir Ramadhan.

Beliau membangunkan isteri-isterinya, kaum kerabatnya untuk menghidupkan malam-malam mulia dan bernilai tinggi ini.

POKOK KELAPAN - Memburu Malam Al Qadr

Rata-rata usia umat Nabi Muhammad saw adalah 60 tahun. Jika lebih, itu dikira bonus dari Allah swt.

Namun usia yang relatif pendek itu boleh menyamai nilai dan makna usia umat-umat terdahulu yang bilangan umur mereka ratusan bahkan ribuan tahun.

Bagaimana caranya?

Ya, dengan cara memburu malam Al Qadr kerana orang yang meraih malam Al Qadr dalam keadaan beribadah kepada Allah swt bererti ia telah berbuat kebaikan sepanjang 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan.

Jika kita meraih malam Al Qadr sekali, dua kali, tiga kali dan seterusnya, maka nilai usia dan ibadah kita mampu menyamai umat-umat yang terdahulu.

Rahsia inilah pada hari akhirat kelak, umat Muhammad saw dibangkitkan dari alam kubur terlebih dahulu, dihisab terlebih dahulu dan dimasukkan ke syurga terlebih dahulu atau juga dimasukkan ke neraka terlebih dahulu, wal iyadzu billah.

Sabda Rasulullah saw :

"Pada bulan ini ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, siapa yang terhalang dari kebaikannya bererti ia telah benar-benar terhalang dari kebaikan." (HR Ahmad)

POKOK KESEMBILAN – Umrah

Melaksanakan ibadah umrah di bulan Ramadhan terutama 10 akhir Ramadhan adalah seperti malaksanakan ibadah haji atau ibadah haji bersama Rasulullah saw.

"Umrah di bulan Ramadhan sebanding dengan haji."

Dalam riwayat yang lain : "Sebanding haji bersamaku." (HR Bukhari dan Muslim)

POKOK KESEPULUH - Mengeluarkan zakat, infaq, sedekah dan wakaf

Zakat, infaq, sedekah dan wakaf adalah merupakan ibadah yang berkait dengan harta dan kesannya amat ketara untuk manfaat sosial.

Mengeluarkan zakat tidak hanya tertentu dalam bulan Ramadhan, kecuali zakat fitrah yang memang perlu dikeluarkan sebelum solat sunat Aidil Fitri, sedangkan zakat-zakat yang lain, sedekah, infaq dan wakaf boleh dilakukan bila-bila masa sahaja dan di mana sahaja, namun kerana bulan Ramadhan menjanjikan kebaikan berlipat kali ganda, biasanya kesempatan ini tidak disia-siakan oleh umat Islam sehingga umat Islam berbondong-bondong menunjukkan kepeduliannya dengan melaksanakan perkara-perkara tersebut.

Ianya lebih baik lagi jika disalurkan melalui Lembaga Zakat atau Majlis Agama Negeri yang mengelola dana-dana umat ini sepanjang hari dan tidak hanya terbatas kepada acara tahunan semata-mata.

Bercakap tentang potensi zakat, infaq, sedekah dan wakaf di negara ini sangatlah besar jumlahnya di mana jika ianya mampu digali dan diperkasakan, maka ekonomi umat Islam akan menjadi lebih baik.

Inilah sepuluh pokok yang boleh kita tanam sepanjang bulan Ramadhan dan benarlah kata-kata hukama' :

"Siapa yang menanam maka dialah yang akan menuai", dengan izin Allah swt.

Ya Allah, kami mengharapkan semoga Engkau menghidupkan pokok-pokok yang kami tanam di bulan Ramadhan ini dan hasilnya dapat kami kecapi apabila kami bertemu denganMu di akhirat nanti. Hindarkanlah tanaman-tanaman kami dari menjadi gersang yang tidak dapat memberi manfaat apa-apa kepada penanamnya walaupun kami membanting tulang mengusahakannya disebabkan oleh kami tidak mengikuti cara-cara penanaman pokok yang betul yang mampu mengeluarkan hasil yang berlipat kali ganda.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

0 comments:

Post a Comment

Alamat Perhubungan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Daerah Kuala Langat
No. A-2-08, Blok A, Tingkat 2,
Jalan Bunga Pekan 9,
Pusat Perniagaan Banting Uptown,
42700 Banting, Selangor.

GPS: 2.811313,101.503486


Back to Top